EPISOD 3
BUNYI air sungai yang melatari kawasan itu terasa begitu nyaman. Ditambahkan pula dengan pepohon kehijauan yang memberikan atmosfera kesegaran kepada pengunjung. Sememangnya, kawasan itu begitu tenang tanpa sebarang pencemaran.
Sesekali, Aisar yang sedang membaling batu kerikil ke dalam sungai memandang wajah Inara yang ralit termenung. Timbul satu idea nakal di benak fikiran pemuda itu. Senyuman nakal sudah terkulum di bibirnya. Lantas, air sungai ditadah dengan tangan lalu dipercik ke wajah Inara.
Tak semena-mena, Inara tersedar dari lamunannya. Melihatkan Aisar ralit mentertawakannya membuatkan Inara tercabar. Lantas, dua sahabat itu saling berbalas percikan air. Wajah sugul Inara serta-merta bertukar ceria. Itulah magis seorang Aisar Mumtaz. Bisa membuatkan seorang Nur Inara yang susah hati kembali tersenyum.
"Kau mengelamunkan apa? Dari tadi kau diam saja. Kau juga yang bawa aku ke sini. Ni, mesti kau rindu aku kan. Sebab tu kau ajak aku lepak hujung minggu," kata Aisar sambil menjongketkan keningnya.
"Rindu? Eh, buang masa aku saja nak rindu kau. Baik aku buat persediaan bergelar Doktor Nur Inara binti Rosham. Lagi bermanfaat daripada rindukan manusia tak ada wawasan macam kau!" ejek Inara.
"Amboi engkau! Senang saja cakap aku tak ada wawasan hidup. Menusuk hingga ke relung hatiku yang paling dalam. Rasa sakit kena ejek itu macam kena toreh saja. Auch!"
Inara tertawa kecil dengan reaksi Aisar yang terlebih drama itu. Siap dengan dahi berkerut dan kepala tertunduk. Tangan kanan pula sudah mengenggam t-shirt. Seakan-akan menahan sakit akibat tusukan omongan Inara.
"Kau ni over betullah! Dah kau sendiri tak pernah kongsi dengan aku pasal wawasan hidup kau. Cita-cita kau. Jadi, bagi pendapat aku sendiri, kau ini tak ada wawasan orangnya!" kata Inara. Sesekali, hujung tudung bawal yang ditiup angin digenggam.
Aisar memanggung kepalanya. Wajah manis Inara yang tak lekang dengan senyuman ditatap. Sudah sepuluh tahun mereka menjadi sahabat. Jangka masa yang terlalu panjang itu mengukuhkan lagi hubungan dua insan.
"Kenapa kau pandang aku macam tu? Betullah kan apa yang aku cakap?" soal Inara.
"Betul sekali. Wawasan hidup aku eh, dah ada sebenarnya. Cuma... aku malu nak bagi tahu kau," kata Aisar sambil tersengih kelat. Tengkuknya diusap tatkala pandangan Inara semakin menusuk kornea mata Aisar.
"Kau merepek apa nak malu dengan aku? Angin kus-kus ke apa tiba-tiba rasa malu. Ala, cakap sajalah apa cita-cita dan wawasan hidup kau. Aku janji aku tak akan gelak," kata Inara. Tangan kanan diangkat tanda berjanji. Inara mahu membantu Aisar merealisasikan impiannya.
Aisar menarik nafas panjang lalu dihembuskan dengan perlahan. Bibirnya diketap. Lantas, isi yang tersirat di sudut hati dituturkan dengan rasa libang-libu.
"Kau."
"Hah? Kenapa dengan aku?" soal Inara. Pelik dengan jawapan yang diberikan oleh Aisar.
"Kau tanya apa wawasan dan cita-cita aku, kan? Jawapannya ada depan mata aku. Nur Inara. Aku mahu menjadi bayang untuk melindungi kau. Aku mahu sentiasa gembirakan kau," ujar Aisar. Senyuman lebar terkulum di bibirnya tatkala wajah Inara bertukar tegang. Malahan, gadis itu terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Aisar.
"Dalam erti kata lain, cita-cita aku nak jadi bodyguard kepada Doktor Nur Inara," tambah Aisar lagi.
Mendengarkan omongan Aisar membuatkan hati Inara digeletek kelucuan. Tawa kecil terletus di bibir si gadis. Apa punya cita-citalah yang ingin diimpikan oleh seorang Aisar Mumtaz ini. Mengarut!
"Tapi, aku tak nak kau jadi bodyguard aku. Nanti, tak fasal-fasal aku tak kahwin-kahwin bila kau kongkong aku. Halang lelaki yang cuba nak kenal aku! No way!" kata Inara dengan jari telunjuk digoyang-goyangkan.
"Baguslah tu. Boleh aku kahwin dengan kau. Kan? Logik tak?"
Inara kembali memandang raut wajah Aisar yang sudah tersengih. Air sungai dipercik lagi ke wajah Aisar. Melepaskan geramnya dengan omongan mengarut Aisar itu. Terkekek-kekek Aisar menerima serangan daripada Inara.
"Kau jangan nak mengarutlah! Ni, Aisar Mumtaz... kau tu ada banyak kelebihan. Cuma kau saja yang selalu abaikan kelebihan yang kau miliki. Kau ni nampak saja tak berakal. Tapi, bila keluar keputusan peperiksaan, nama kau bukannya tercorot. Aisar, fikirlah soal masa depan kau juga. Banggakan keluarga kau. Terutamanya bapa kau yang garang itu," kata Inara terselit dengan nasihat buat Aisar.
"Aku cuma nak kita sama-sama berjaya dalam hidup. Dapat apa yang kita impikan. Paling penting, aku tak nak orang kampung fikir yang buruk-buruk pasal kau lagi. Kau kena buktikan bahawa kau juga boleh berjaya dalam hidup. Tolonglah berubah Aisar. Demi masa depan kau," tambah Inara lagi. Memberikan dorongan kepada Aisar untuk maju ke hadapan.
Aisar sekadar mendengar nasihat Inara. Wajah polos Inara ditatap lagi. Dalam diam, Aisar memuji kemanisan sahabatnya. Kata-kata positif Inara menambahkan lagi aura ketegasan gadis itu. Hal itulah yang membuatkan hati Aisar jadi tak keruan.
"Bagi balik dompet kita!"
Tiba-tiba, suara tegas seseorang menusuk telinga dua sahabat. Masing-masing mula melilau mencari empunya diri. Sehinggalah Aisar tiba-tiba bangun tatkala kornea matanya tertancap ke arah seorang remaja lembam yang dikelilingi dengan tiga orang remaja lelaki.
"Banyak giler doh duit budak ini biarpun luarannya dompet power rangers!" ejek si lelaki bersubang di telinga. Duit kertas bernilai RM 100 ditayangkan ke wajah sahabatnya.
"Hah, apa lagi! Aku dah lama tak layan gian aku. Lekas bahagikan duit itu kepada aku!" kata si remaja bertopi pula. Sudah terbayang serbuk putih yang bisa memberikan ketenangan kepada dirinya.
"Jangan curi..."
Tak semena-mena, si remaja lembam terduduk di atas air setelah ditolak oleh sekumpulan remaja. Malahan, salah seorang daripada mereka melepaskan bertubi-tubi tumbukan ke wajah si remaja malang sebelum wajahnya dicelup ke dalam air.
Kudrat apalah yang dimiliki oleh si remaja lembam itu. Mahu melawan saja dia tidak mampu dek kerana kekuatan mereka bertiga. Terkapai-kapai sudah tangannya yang hampir lemas ingin melepaskan diri.
Malahan, tiada langsung empati dalam diri ketiga-tiga lelaki itu tatkala mereka hanya tertawa suka. Suka menyeksa lelaki yang lemah seperti remaja lembam itu.
"Kau orang bertiga ni nak jadi pembunuh ke apa!" jerkah Aisar seraya menolak kuat tubuh Thariq yang sedang asyik menenggelamkan wajah Abu ke dalam air.
"Adoi! Si setan ni lagi. Kau boleh jangan masuk campur urusan kita orang tak? Semaklah kauni!" marah Thariq dengan dinding hati yang mula dibakar dengan api kemarahan.
Aisar tidak mengendahkan. Perlahan-lahan, Aisar membantu si remaja lembam bangun dari duduknya. Terbatuk-batuk si remaja lembam setelah hampir dilemaskan oleh Thariq. Wajahnya juga sudah memar akibat penangan pembuli.
"Bagi balik duit Abu yang kau curi," tegas Aisar. Dia mengenggam pergelangan tangan Abu yang sudah teresak-esak sambil menggigil ketakutan.
Thariq dan tiga kawannya yang lain saling berpandangan. Masing-masing memberikan pandangan sinis kepada Aisar yang sudah menjadi hero. Tak lama kemudian, terletus tawa daripada Thariq dengan ketegasan seteru utamanya di gelanggang persilatan itu.
"Bagi balik? Banyak cantik muka kau nak aku bagi balik duit ni. Penat-penat aku heret si lembab ni datang sini, sesuka hati kau saja suruh aku pulangkan..."
"Kau itu anak ketua kampung. Pergi sajalah minta duit dekat bapa kau! Ke bapa kau dah serik nak bagi kau duit sebab kau curi emas mak kau haritu?" pintas Aisar bersama senyuman sinis yang sudah terukir di bibirnya.
Omongan sinis Aisar membuatkan amarah di jiwa Thariq semakin marak. Kecil besar saja wajah sinis Aisar dipandangannya tika itu. Barannya kembali muncul. Tinggal tunggu masa untuk meletus seperti gunung berapi saja.
"Eh, memang nak kena budak setan ini. Kau bagi dia pelajaran sikitlah Thariq macam mana nak hormat kau. Ini sudah melibatkan kehormatan maruah diri kau!" kata Baizul. Mat gian yang sudah mula mengapi-apikan ketuanya.
"Apa lagi Riq! Mamat ni dah lama tak makan penumbuk kau. Bagilah hadiah istimewa kau kepada dia. Kalau boleh, bagi bisu terus!" tambah Leman si kutu rayau lagi.
Sungguh, kata-kata yang menusuk telinga Thariq menambahkan lagi kepanasan di hatinya. Tangannya sudah dikepal erat. Sudah tentunya dia tercabar! Dia ini anak ketua kampung! Mana bisa diperlekehkan oleh anak-anak penduduk kampung.
"Dahlah! Aku tak nak bergaduh dengan kau orang. Kau orang tak kesian..."
Belum sempat Aisar menghabiskan kata-katanya, sebiji penumbuk sulung sudah dilayangkan ke rahangnya. Sontak, kepala Aisar terteleng ke kanan dengan penangan daripada Thariq. Terasa seakan-akan mahu patah rahangnya dengan penangan itu. Malahan, bajunya terus dicengkam kuat sehingga tubuhnya terdorong di hadapan Thariq yang berwajah bengis.
"Kau nak sangat duit ni kan? Okay, boleh! Dengan syarat... kalau aku kalah dengan kau, aku bagi duit ini kepada si lembab itu. Tapi kalau kau kalah, duit ini jadi milik aku," tegas Thariq dengan gigi yang terkacip menahan geram. Dahinya sudah dilapisi dengan kerutan. Urat-urat hijau turut kelihatan.
Aisar sekadar tersenyum sinis. Hujung lidahnya sudah menjilat birai bibir yang pecah akibat penangan padu Thariq. Dalam hati, sumpah seranah sudah ditujahkan kepada anak ketua kampung tak ada adab itu.
Aisar juga tercabar. Namun, omongan Abidin anak kepada jiran neneknya tiba-tiba berlayar di kotak memori. Ada peringatan yang membuatkan Aisar mahu menolak pelawaan Thariq yang ingin melancarkan pergaduhan.
"Kau hati-hati sikit dengan Thariq tu. Jangan nak tunjuk hero depan dia. Kau tahu kan dia tu banyak geng samseng dekat kampung ni. Kalau kau nak hidup lama, baik kau elakkan diri daripada dia."
"Kau faham bahasa Melayu tak? Kan aku kata aku tak nak bergaduh..."
Sekali lagi, Aisar kematian kata tatkala tubuhnya ditolak kasar sehingga dia terduduk di atas air. Malahan, Thariq yang sudah dirasuki dengan kemarahan menghayunkan sepakannya ke perut Aisar dengan kuat. Melepaskan amarahnya.
Aisar hanya kaku menahan sakit. Penangan Thariq itu seakan-akan merodok isi perutnya saja. Jurus silat Thariq itu sungguh luar biasa. Kepala Aisar sudah tertunduk dengan tangan yang menggenggam baju. Sungguh, Aisar mahu melawan. Namun, memikirkan amaran Abidin membejatkan pergerakannya.
"Kenapa kau diam? Bukan bertumbuk ini hobi kau ke? Ke kau nak bagi peluang kepada aku? Hah boleh! Tak ada masalah. Memang dah lama aku nak bantai kau cukup-cukup!" tegas Thariq seraya mengarahkan Baizul dan Leman untuk memegang Aisar. Tidak sabar rasanya mahu menjadikan seterunya itu sebagai samsak.
Namun, belum sempat Thariq melayangkan tumbukannya, beberapa ketulan batu dilempar ke tubuhnya. Baizul dan Leman juga turut menjadi mangsa sehingga tiga samseng itu mengadu kesakitan.
"Hoi manusia tak ada masa depan! Kau orang jangan berani-berani nak pukul kawan aku. Mentang-mentang dia tak nak melawan, sesuka hati kau orang saja kan nak bantai dia!" jerkah Inara. Bergelegak panas pula hatinya melihat Aisar diperlakukan dengan kasar.
"Inara..."
"Kau diam, Aisar! Aku nak bagi sesi kaunseling dekat manusia tak ada masa depan ini. Mungkin, mak bapa dia orang tak ajar adab dan akhlak! Ops lupa pula. Kau orang bertiga ni sekolah kan tak habis! Memang terlepaslah kan nak belajar akhlak yang baik!" marah Inara yang sudah menghampiri. Wajah tiga samseng dipandang silih berganti.
Kemarahan Inara membuatkan ketiga-tiga samseng itu berasa tercabar. Perit di tubuh terasa menggigit dengan penangan ketulan batu yang dilempar oleh Inara. Luka-luka sudah jelas kelihatan.
"Alahai sayang, kenapa cakap kasar-kasar ni? Ermm? Nak abang Thariq belai ke supaya sayang berlembut dengan abang?" kata Thariq yang sudah menghampiri Inara. Dahinya yang sudah tercalit dengan darah dikesat lembut.
"Aku tak nak banyak cakap dengan kau. Sekarang, baik kau bagi balik duit Abu! Kau..."
Tak semena-mena, Leman mendekatkan wajahnya ke Inara. Wangian Inara yang menusuk rongga hidungnya membuatkan jiwa Leman bergelora. Laju saja tangannya singgah di bahu Inara. Dia menginginkan gadis manis itu.
Sontak, Inara menendang kelengkang Leman apabila dia merasakan kehormatannya diperlekehkan. Leman terduduk seraya melolong kesakitan dengan penangan padu Inara.
"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!"
"Baby, relaks! Leman nak rasa sikit saja kot. Aisar, awek kau ni garang sangatlah. Kita orang ni bukan apa. Alang-alang ada awek cun depan mata, baik rembat jadikan lauk!" kata Baizul. Mempertahankan rakannya yang sudah kesakitan. Tawa sinisnya turut meledak.
Melihat Inara sudah diperlekehkan membuatkan Aisar hilang kesabaran. Buku limanya digenggam erat. Bahang sudah terasa di seluruh wajahnya. Hujung baju Inara yang berlapik ditarik di belakangnya.
"Pergi dari sini, Inara. Bawa Abu pergi dengan kau."
Saat arahan mandatori Aisar menusuk telinga Inara, saat itu juga Inara mula ditujah dengan kerisauan. Suara Aisar yang tegang tanpa nada cukup memberikan petanda bahawa Aisar sudah dalam mood amarah.
"Pergi Inara!" jerkah Aisar seraya meluru ke arah Baizul. Tangkas, bertubi-tubi tendangan ditujahkan ke tubuh Baizul tanpa memberikan kesempatan untuk Baizul mengelak.
Melihatkan rakannya sudah digasak, Thariq turut mara dengan menyerang Aisar dari belakang. Namun, Aisar terlebih dahulu menyedari seraya mencengkam pergelangan Thariq yang ingin memukulnya. Lututnya lantas ditujahkan ke rusuk Thariq. Beberapa tumbukan turut ditujahkan sehingga Thariq tersungkur di atas air.
"Aisar, dahlah tu. Nanti kau kena dengan bapa kau! Jomlah kita pergi..."
"Aku tak akan pergi selagi aku tak puaskan hati aku! Bajingan ini dah jatuhkan maruah kau, Inara! Aku tak akan biarkan dia orang terlepas semudah itu!" tegas Aisar. Melepaskan amarahnya kepada Inara yang ingin menghalang perkelahiannya.
Inara terpempan. Dia kaku. Bersungguh-sungguh Aisar mahu melindungi maruahnya sehingga menepikan diri sendiri. Bukannya Inara tidak tahu Aisar akan dihukum oleh Encik Yusof yang garang itu jika bergaduh. Oh sungguh, memikirkan hal itu membuatkan Inara takut.
Dia tidak suka melihat Aisar dihukum oleh askar pencen itu!
"MANA abang kamu? Bapa suruh beli surat khabar. Bukannya tulis surat khabar. Lambat betul budak bertuahni balik!" omel Encik Yusof. Jam dinding berbentuk bulat yang tergantung di ruang tamu dipandang sekilas. Hari hampir menjelang senja. Anak terunanya masih belum pulang.
"Dia lepak dengan Kak Nara kut. Yelah, abang tu kalau dah jumpa Kak Nara macam belangkas. Susah nak dipisahkan!" jawab Aira. Secawan teh panas dihulurkan kepada bapanya.
"Hah alang-alang cakap pasal Kak Nara kamu tu. Bapa nak tanya sikit. Dah lama bapa nak tanya. Tapi bapa ni pelupa. Mak kamu banyak sangat bagi makan semut sampai bapa jadi pelupa!"
Tak semena-mena, Puan Suhaila yang sedang menjahit baju tempahan pelangannya mencebik dengan tuduhan suaminya. Dia pula dituduh akibat sikap pelupa lelaki itu. Walhal, Encik Yusof yang gemar dengan kuih bingkanya yang manis.
"Tanya apa?"
"Bapa nak tanya pasal hubungan abang kamu dengan Kak Nara. Dia orang berdua ni bercinta ke? Rapat lain macam pula bapa tengok."
Tak semena-mena, Aira dan Puan Suhaila ketawa geli hati dengan soalan Encik Yusof. Terasa pijar pipi Aira akibat mentertawakan tuduhan bapanya. Jauh benar pemikiran askar pencen yang garang itu.
"Aik! Ketawa pula dua beranak ini. Bapa tanya serius ni."
"Soalan abang ni macam tak logik. Nara dengan Aisar tu membesar sama-sama. Sebaya. Hidup berjiran. Memang dia orang rapat sejak kecil lagi kan. Apalah abang punya soalan ini," kata Puan Suhaila. Sesak dadanya akibat rancak mentertawakan Encik Yusof.
"Bukan apa, Su. Budak-budak tu dah besar. Kejap lagi dah nak masuk universiti. Perasaan sebagai anak remaja tu mestilah dah ada kan? Lagipun, aku tahulah anak aku si Aisar tu macam mana. Senakal-nakal dia, aku masih faham isi hati dia."
Puan Suhaila sekadar menggelengkan kepalanya dengan omongan suaminya. Tangannya yang ligat dengan mesin jahit terbejat buat seketika. Senyuman terkulum di bibir wanita berbaju kurung Kedah itu.
"Kalau abang faham Aisar, kenapa abang selalu berkasar dengan dia? Dia salah sikit saja, mulalah abang hukum dia. Aisar tu anak kita. Bukan anak buah abang dalam medan pertempuran. Aisar tu selalu buat masalah pun sebab dia memberontak dalam diam. Abang kasar sangat! Layan dia macam nak rekrut askar baru," tutur Puan Suhaila. Melepaskan ketidakpuasan di sudut hatinya mengenai didikan suaminya terhadap anak lelaki mereka.
Encik Yusof terkelu buat seketika. Terasa menusuk hingga ke relung hati dengan omongan isterinya. Perlahan-lahan, Encik Yusof menghirup teh panas. Kotak memori mula menayangkan babak cara didikannya terhadap Aisar Mumtaz.
Kasar.
Sentiasa berbirat saja tubuh Aisar akibat rotan panjangnya. Tapi, itulah yang selayaknya diberikan kepada Aisar yang semakin menginjak dewasa itu. Encik Yusof mahu anak lelakinya tumbuh menjadi seorang yang kuat fizikal dan mental saja.
"Suhaila! Keluar kau sekarang!"
Tiba-tiba, suara keras bergema di luar rumah. Serentak, tiga beranak yang sedang bersantai saling berpandangan. Ketenangan mereka serta-merta direnggut dengan ketegangan yang berada di luar rumah.
Apa pula masalah kali ini?
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya Syaf yang tak seberapa dan sendu ini ehek 💕🤣
Sedutan episod 4
"Kalau kau menangis macam ini, aku rasa muka kau dah jadi macam bini Shrek versi mak kau hijau. Tak pun, macam muka lembu nenek aku yang masam itu. Kau jangan Nara. Takut aku kalau kau jadi lembu jadian. Nanti tak fasal-fasal heboh satu kampung yang Nur Inara menjelma menjadi lembu jadian akibat menangis tanpa henti"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro