Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 29

PERBUALAN yang sayup-sayup kedengaran di ruang dapur memberikan tanda tanya di benak fikiran Cassandra. Langkahnya menuruni anak-anak tangga semakin perlahan. Sesekali, perbualan tersebut diselangi dengan tawa. Entah apa yang menarik pun Cassandra tidak tahu. Jarang sekali rumahnya dihiasi dengan tawa pada waktu tengah hari.

"Aku ingat lagi. Aku pernah panjat pokok kelapa jiran nenek aku. Sebab aku tertanya-tanya, macam mana seekor monyet tu boleh panjat pokok kelapa yang tinggi. Hah aku apa lagi, dapat idealah nak kerja jadi pengutip kelapa masa cuti sekolah. Nanti upah tu aku boleh simpan dan belanja awek olok-olok aku," kata Aisar.
Menyampaikan pula ceritanya di kampung kepada Lukman dan Mak Habsah.

Sementara menunggu Datin Sri Zurina bersiap, di kesempatan itulah mereka berbual mengenai zaman remaja masing-masing. Tak lekang tawa daripada mereka tatkala kisah masing-masing begitu menghiburkan.

"Cerdik juga idea kapten. Demi nak belanja awek olok-olok, sanggup buat part time kerja panjat pokok kelapa," ujar Lukman diselangi dengan tawanya. Terbayang idea Aisar yang muncul daripada seekor monyet.

"Yalah. Baru nampak gentleman guna duit sendiri kalau nak dating walaupun dengan awek olok-olok. Tapi kerja tu cuma bertahan dua minggu sajalah. Ada tragedi cuti sekolah yang berlaku lepas tu."

"Apa jadi?" soal Mak Habsah yang sedang mengelap pinggan.

Aisar meneguk teh panas yang dihidangkan oleh orang gaji majikannya. Dalam cuaca yang sedang hujan, sudah tentunya teh bisa menghangatkan lagi tubuh pemuda berkemeja hitam itu.

"Aku bergaduh dengan monyet jiran nenek aku sebab..."

Tak semena-mena, omongan Aisar terbejat tatkala Mak Habsah dan Lukman menghaburkan tawa terlebih dahulu. Wajah dua figura itu dipandang silih berganti. Terbahak-bahak mereka tertawa seakan-akan tiada hentinya.

"Kejaplah. Simpan dulu gelak masing-masing. Cerita aku tak habis lagi ni. Ada lagi plot menarik yang kau orang kena tahu," tambah Aisar. Terselit nada tidak puas hati di sebalik bait bicaranya.

"Hah sambung," kata Lukman sambil mengatur nafasnya yang terasa sesak. Sungguh, tidak dapat diterima dek akal tatkala Aisar bergaduh dengan seekor monyet.

"Aku bergaduh dengan monyet tu sebab dia cuba caras kerja aku. Haish tak fasal..."

Sekali lagi, Aisar kematian diksi. Kali ini bukan kerana gangguan daripada Mak Habsah dan Lukman. Namun, gangguan daripada seseorang yang tiba-tiba muncul duduk bertentangan dengan Aisar di meja makan. Tergaris senyuman manis di bibir gadis berbaju putih dan sendat itu.

"Kenapa stop? Sambunglah. I pun nak dengar juga cerita yang you sampaikan. Tak salah kan?" kata Cassandra tanpa riak bersalah. Sengaja dia menukar pakaian menjolok mata tatkala Aisar berada di rumahnya waktu itu. Menayangkan bentuk tubuhnya yang genit untuk menarik perhatian Aisar.

Bagi Cassandra, lelaki tidak pernah berhenti dari melayani nafsu. Tambahan lagi tubuh seorang perempuan yang terdedah dan menjolok mata. Aisar juga seorang lelaki. Sudah pastinya Aisar turut mempunyai naluri nafsu meskipun sedikit. Cassandra yakin.

Kemunculan Cassandra di ruang makan, serta-merta mengubah situasi menjadi senyap. Hanya bunyi kipas yang ligat berputar saja kedengaran. Sepinya sehingga bunyi Mak Habsah mengelap pinggan dengan kain pun boleh kedengaran.

"Kenapa stop? Sambunglah lagi..."

"Cerita aku sampai kat sini saja. Luk, jom tunggu datin dekat luar. Tak manis pula bila majikan dah ada dekat ruang ni, kita masih boleh berfoya-foya," pintas Aisar seraya bangun dari duduknya. Tak betah mahu berhadapan dengan Cassandra yang mula beraksi gedik itu. Bikin dosanya makin banyak saja bila memandang Cassandra yang seksi dan seksa.

Melihatkan itu, air muka Cassandra yang manis dengan senyuman berubah drastik menjadi masam. Bibirnya diketap menahan geram. Kenapalah Aisar Mumtaz itu susah benar mahu didekati? Apa lagi caranya untuk dia menarik perhatian Aisar? Sungguh, Cassandra bengang.

Lantas, Cassandra membuntuti Aisar dari belakang. Dia tidak akan mengalah dalam mengambil hati pengawal peribadi ayahnya itu. Namun, langkah Cassandra terbejat sebaik saja Datin Sri Zurina muncul di hadapannya.

"Mummy pergi dengan Aisar dan Lukman ke?" soal Cassandra.

"Ya. Hari ni, Aisar dengan Luk temankan mummy. Ramesh tak dapat datang sebab mak dia sakit. Sebab tu Aisar gantikan. Kalau Sandra nak keluar, bagi tahu Adeline..."

"I nak ikut! Mummy tunggu sini," pintas Cassandra seraya berlari anak menaiki anak tangga. Inilah peluangnya untuk menghabiskan masa bersama Aisar.

Datin Sri Zurina terus dihempap tanda tanya melihat keanehan Cassandra. Setahunya, Cassandra tidak mahu menguruskan mengenai program dermawan di Kampung Dusun. Lain pula yang berlaku pada hari ini tatkala gadis itu berubah fikiran. Hailah, geleng kepala sajalah yang Datin Sri Zurina mampu dengan perubahan drastik Cassandra itu.

PERTEMUAN bersama pengarah Hospital Bima Sakti bagi membincangkan projek kerjasama ke Kampung Dusun semakin membosankan bagi Cassandra Lee. Sebaik mungkin wajahnya cuba dimaniskan bagi menjaga air muka keluarganya.

Sesekali, Cassandra memusatkan anak matanya ke arah pintu. Mencari idea untuk keluar dari bilik Doktor Irfan dan menyambung semula 'projek' yang tergendala sebentar tadi. Pasti Aisar sedang berjaga di luar demi keselamatannya dan ibu tirinya.

"Cik Sandra pun boleh jadi duta kepada artis-artis lain dalam menjalankan projek amal ni. Semacam bagi awareness mengenai misi kemanusiaan di kawasan pedalaman," kata Doktor Irfan.

Mendengarkan cadangan Doktor Irfan, senyuman Cassandra kembali lebar. Dia membenarkan cadangan itu. Sekurang-kurangnya, namanya akan dijulang tinggi oleh media. Seterusnya, syarikat produksi dan pengarah pasti akan berpusu-pusu memberikan tawaran berlakon kepada gadis itu.

"Good idea! Of course we should create an awareness about this kind of project! Bukan apa, sesetengah artis kadang-kadang lebih kejar populariti berbanding buka mata pasal kedaifan orang sekeliling," ujar Cassandra bersama nada yang ceria. Persetankan segala kepura-puraanya. Apa yang penting, Cassandra ada niat yang tersendiri.

"Bagus juga pemikiran Cik Sandra. Untuk pengetahuan cik dan datin, Kampung Dusun boleh dikatakan sangat daif. Kehidupan mereka masih berlandaskan sumber semulajadi. Bahkan, dia orang pun tak tahu pasal perkembangan semasa. Hanya penghulu saja yang akan uruskan segalanya," kata Doktor Irfan. Memberikan sedikit penjelasan mengenai latar belakang Kampung Dusun.

"Kiranya, penduduk Kampung Dusun masih mengamalkan aktiviti bercucuk tanam dan memburu?" soal Datin Sri Zurina.

"Ada sesetengah ahli keluarga yang masih mengamalkan aktiviti keduanya. Bagi penduduk yang mempunyai ahli keluarga yang dah bekerja di bandar, mereka lebih hidup moden sedikit. Sebab tu, saya dah sediakan beberapa orang doktor pakar bagi..."

"Err... maaf sebab I ganggu. Izinkan I ke ladies kejap," pintas Cassandra seraya bangun dari duduknya. Makin membosankan pula perbincangan mereka tatkala Doktor Irfan sudah masuk ke sejarah Kampung Dusun. Bercucuk tanam dan memburu? Oh sungguh, apa sajalah nasibnya selama tiga hari dua malam nanti.

Sudah pastinya itu mimpi buruk bagi Cassandra Lee!

Usai saja melangkah keluar, keluhan berat terlepas dari bibir Cassandra. Senyuman di bibirnya mulai menghilang. Tak fasal-fasal, niatnya mahu menyendeng dengan Aisar terbejat hanya kerana diskusi tersebut!

"Cik Sandra nak ke mana?" soal Lukman yang berdiri di tepi pintu.

Cassandra mengalihkan pandangannya ke laman wajah Lukman. Dipandangnya kecil besar saja pemuda berkemeja putih bersama kot hitam itu. Anak rambutnya disebak ke belakang telinga.

"Mana Aisar? I nak dia yang temankan I."

"Kapten menunggu dekat luar. Katanya..."

"Okay! Cukup. I cuma tanya mana Aisar, kan. Bukan minta penjelasan daripada you apa yang Aisar buat," pintas Cassandra bersama dengan dengusan kasar.

Segera Cassandra melangkah keluar dan mencapai telefon pintarnya dari tas tangan. Mahu menghubungi keberadaan Aisar tatkala itu. Namun, langkah Cassandra terbejat bila Lukman tiba-tiba menghalang.

"Cik Sandra tak boleh bergerak seorang. Saya kena temankan Cik Sandra demi keselamatan. Kita tak tahu bahaya apa yang sedang menanti Cik Sandra dekat sini," tegas Lukman.

"Ni tempat awamlah! Pandai-pandailah I jaga diri. Lagi pun you tak nampak ke tempat ni sibuk? Ceruk mananya malaun tu boleh muncul? Dah! Baik you temankan mummy. I cuma nak cari Aisar," ujar Cassandra seraya melekapkan telefonnya ke telinga.

"Tapi..."

Belum sempat Lukman menamatkan bicaranya, Cassandra terlebih dahulu kembali mengatur langkah untuk keluar. Hanya gelengan saja yang mampu Lukman berikan dengan kedegilan anak majikannya itu. Sungguhlah, berhadapan dengan Cassandra memerlukan tatatingkat kesabaran yang tinggi.

SKRIN telefon pintar yang sedang bergetar hanya dipandang dengan tatapan yang kosong. Secara tidak langsung, segaris senyuman sinis terukir di bibir pemuda itu. Apabila Aisar sengaja tidak menjawab panggilan, telefon pintar berjenama iPhone itu masih bergetar. Seakan-akan tiada erti putus asa dalam diri Cassandra Lee untuk menganggunya.

Aisar sengaja menunggu di parkir kereta bagi mengelakkan sebarang bahaya berlaku. Dalam keadaan keluarga majikannya diancam bahaya, sudah tentunya Aisar perlu lebih berhati-hati. Takut kalau-kalau seseorang menggunakan kereta keluarga Datuk Sri Lee Abdullah sebagai alat membunuh.

Sebiji bola tiba-tiba dilantun di hadapan Aisar. Sontak, anak mata pemuda itu tertancap ke arah seorang kanak-kanak lelaki berpakaian pesakit yang sudah terkaku. Kelihatan, budak lelaki berwajah cengkung seakan-akan takut mahu mendekati Aisar. Takut jika dimarah kerana membaling bola ke arah Aisar.

"Sufi! Cepatlah ambil bola tu. Kita tak habis main lagi," laung kawan kepada budak bernama Sufi dari jauh.

Mendengarkan itu, segaris senyuman terukir di bibir Aisar Mumtaz. Terimbas kenangan ketika dia seusia dengan Sufi. Waktu itu, dia hanya tahu bermain dan bergaduh. Tidak payah memikirkan marabahaya yang bisa memgorbankan nyawa. Apa yang ada hanyalah sebuah keceriaan di kampung halamannya.

"Abang, sa... saya... nak minta maaf sebab baling... bola dekat... abang. Saya tak... sengaja," tutur Sufi sambil tertunduk-tunduk.

"Janganlah takut. Abang ni bukan ahli sihir yang makan budak-budak macam dalam buku cerita. Nah, sambut bola ni," ujar Aisar seraya membaling bola ke arah Sufi. Buru-buru, Sufi menyambut. Automatik, segaris senyuman turut terukir di bibir Sufi. Senang hati dengan keramahan Aisar.

"Terima kasih!"

"Abang nak join, boleh? Oh lupa nak kenalkan diri. Nama abang, Aisar. Nama adik siapa?"

"Boleh! Kita orang pun kurang orang nak main bola. Nama saya, Sufi. Saya pesakit dekat wad kanak-kanak. Umi kata, dah sebulan saya duduk dekat wad. Saya pun tak tahu bila saya boleh balik. Tapi, saya suka duduk sini sebab dapat doktor yang baik. Kalau saya tak makan ubat pun, doktor tu selalu pujuk saya dan tak marah pun," kata Sufi. Terpancar aura yang penuh bersemangat di roman wajahnya.

Aisar mengusap lembut kepala Sufi yang disarung dengan snowcap. Ada pujian turut diberikan kepada pesakit itu. Demi memberikan kegembiraan kepada si kanak-kanak yang berusia lapan tahun. Aisar tidak mahu bertanyakan penyakit apa yang dideritai oleh Sufi. Biarlah, Sufi sendiri yang menceritakan semuanya kepada Aisar.

Tatkala itu juga, Aisar yang sudah dikelilingi dengan lima orang kanak-kanak di sebuah taman yang lapang, semakin ligat melayani kerenah mereka. Sempat lagi Aisar menghantar pesanan kepada Lukman mengenai keberadaannya.

Kemudian, permainan mereka diteruskan dengan aktiviti melukis dan meneka gambar. Kelihatan warna air yang sudah dibancuh dan kertas di atas meja. Aisar terlebih dahulu menawarkan diri untuk melukis. Lantas, Sufi menghulurkan sebuah papan kecil dan marker kepada Aisar.

"Okay, gambar yang pertama ni siapa dapat teka... abang bagi dia lima ringgit," kata Aisar seraya menayangkan hasil lukisannya kepada kanak-kanak tersebut.

Sekilap, tawa kelima-lima kanak-kanak tersebut terletus sebaik saja melihat lukisan Aisar. Masing-masing tercuit hati dengan lukisan yang terlalu sukar diungkapkan melalui kata. Manakan tidak, Aisar hanya melukis figura lidi dan sebuah petak tanpa mereka tahu maksud di sebaliknya.

"Hodohnya lukisan abang! Abang tak pandai melukis ke? Nak Raziq ajarkan tak?" soal Raziq bersama tawa yang masih tersisa. Ada ejekan di sebalik kata-katanya.

"Hodoh? Biar betul lukisan ni hodoh? Kau orang saja ni nak ejek abang supaya dapat jawapan. Kan?"

"Taklah! Lukisan abang memang tak cantik. Ana pun tak tahu abang nak lukis apa. Sekejap rasa macam orang, sekejap macam kucing. Petak-petak tu pula bentuk empat segi je yang Ana nampak," ulas Ana yang lebih tua berbanding empat orang kanak-kanak yang lain.

Aisar terus menilai hasil lukisannya. Cuba mengamati kekurangan yang terdapat di sebaliknya. Memang hodoh. Apakan daya, Aisar hanya mahir bergasak dan bukannya melukis. Bagi Aisar, bergasak itu lebih mudah berbanding menghasilkan sebuah lukisan.

"Tak nak terima kenyataan ke yang lukisan Kapten Aisar Mumtaz tu memang hodoh?" soal seorang figura yang baru saja muncul di sebelah Aisar.

Aisar terus memanggung kepalanya memandang si figura. Dia tersengih kelat saat pandangannya bersatu dengan Inara. Lukisan terus ditunjukkan di hadapan Inara pula. Meminta kritikan mengenai lukisannya.

"Dia orang kata lukisan aku hodoh. Betul ke?"

"Kau memang tak pernah berubah kan? Tak nak terima kenyataan yang tangan kau tu tak berseni. Itulah, dulu masa Cikgu Kamariah ajar subjek Pendidikan Seni... kau tidur. Kan sekarang ilmu tu tak berkat dengan kau," jawab Inara. Tawa kecilnya turut terletus melihat lukisan hodoh Aisar. Seakan-akan, kelelahannya terbuang buat seketika.

Melihat tawa yang terpancar di wajah Inara membuatkan senyuman Aisar semakin mekar. Sudah terlalu lama dia tidak melihat keceriaan dan gelak tawa terpapar di wajah Inara. Masa seakan-akan berhenti buat seketika. Gadis itu masih sama seperti dulu. Tawanya sering saja membuatkan seorang Aisar Mumtaz berbunga bahagia.

Pandangan Aisar yang seakan-akan menerobos masuk ke anak mata Inara, membuatkan tawa Inara terhenti perlahan-lahan. Ada rasa janggal menyelinap masuk ke dinding hatinya tatkala pandangan Aisar semakin tajam. Lantas, Inara berdeham.

"Kenapa kau pandang aku macam nak telan? Terasa ke?"

"Eh... tak! Tak terasa pun. Saja pandang kau lama-lama. Aku suka tengok kau gelak macam tu. Rasa hilang stres tengok kau gelak," ujar Aisar seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Inara. Tak fasal-fasal, dia tertangkap asyik memandang si empunya diri.

Inara menggelengkan kepalanya. Senyuman masih terkulum di bibir. Ada sajalah ulah sahabatnya itu. Aisar tidak pernah berubah. Masih saja suka memandangnya bila tawanya sudah terletus. Adakah itu bermakna perasaan Aisar juga masih sama? Kalau ya, sudah pastinya Inara tidak senang. Inara mahu Aisar membuka hatinya untuk orang lain. Sama seperti dirinya.

"Okay! Masa outing kau orang dah berakhir. Sekarang, ikut kak Shiha masuk wad. Pasal barang-barang kau orang, nanti doktor kemaskan. Siapa yang kena makan ubat tu, jangan degil! Kalau nak keluar hospital cepat-cepat, kena dengar cakap," tegas Inara namun masih tersisa nada lembut di sebalik suaranya.

Sebaik saja Inara memberikan arahan, para pesakit terus menurut dan dibimbing oleh misi Shiha. Meninggalkan Aisar dan Inara di taman buatan itu. Tanpa berlengah, Inara terus mengemas barangan yang berselerak di atas meja.

"Budak-budak tu pesakit kau ke?" soal Aisar sambil membantu Inara berkemas.

"Ya. Pesakit aku. Dia orang semua tu penghidap kanser. Jadi, tiga kali seminggu... dia orang kena buat aktiviti dekat luar untuk aktifkan diri. Ambil masa cuma sejam. Dia orang tak boleh terlalu penat," ujar Inara.

"Patutlah muka dia orang nampak cengkung dan pucat. Dia orang nampak gembira sangat walaupun sakit. Sekali tengok, macam bukan orang sakit pun ada. Aktif," kata Aisar. Ada rasa simpati menyelinap masuk ke sudut hatinya tatkala mengetahui penyakit yang dideritai oleh kanak-kanak tersebut.

"Kena guna cara psikologi supaya dia orang tak sedih. Contohnya macam Sufi. Dia pesakit paling baru setakat ni. Dia menghidap barah otak tahap empat. Disebabkan kesibukan, ibu bapa dia langsung tak peduli kesihatan Sufi bila dia mengadu. Sampailah Sufi kerap tunjukkan tanda-tanda penghidap kanser. Sufi pernah murung dan selalu memberontak. Sebab tu umi dia hantar ke sini," kata Inara seraya bangun dari duduknya.

"Patutlah dia selalu puji kau. Dia nampak senang dapat jumpa Doktor Inara," ujar Aisar. Buat seketika, pandangannya saling bersatu dengan Inara. Masing-masing saling berbalas senyuman.

"Rezeki Allah kurniakan aku kebolehan untuk faham budak-budak. Lagi pun, kau tahu kan aku sukakan kanak-kanak. Sebab tu aku pilih untuk jadi doktor pakar pediatrik."

"Hah, kau pula buat apa dekat sini? Stalk aku lagi ke?" tambah Inara lagi.

Tak semena-mena, Aisar tertawa dengan soalan cepumas Inara. Pelipis yang tak gatal digaru. Mendalam sungguh soalan Inara ini. Bisa saja menggugurkan jantung Aisar dengan soalan mengejut.

"Aku bertugas. Majikan aku ada projek amal bersama dengan para doktor dekat hospital ni. Masih berbincang dengan bos kau kut," jawab Aisar. Jam di pergelangan tangan dikerling. Tak sedar bahawa sudah hampir sejam dia menghabiskan masa bersama pesakit Inara.

"Kau bertugas tapi sempat pula ya kau layan budak-budak tu. Jangan cakap dengan aku, kau ponteng lagi. Okaylah, aku nak masuk. Kau tu... jaga diri baik-baik," kata Inara. Anak matanya dikecilkan ke arah Aisar. Bukannya boleh dipercayai sangat sikap bersungguh Aisar itu. Langkah kembali diatur memasuki hospital. Inara tiada masa untuk bersenang tika ini.

Omongan sinis Inara membuatkan Aisar tertawa kecil. Hanya sorotan matanya saja yang menghantar Inara yang sedang melintas jalan. Sahabatnya itu memang pakar dalam bersarkastik.

Serentak dengan itu, telefon pintar Aisar kembali bergetar. Aisar mencapai telefonnya yang terletak di saku seluar. Tertera lagi nama Cassandra. Keluhan berat terlepas dari bibir Aisar. Tidak dapat tidak, dia sudah mengalah. Punat hijau lantas disentuh.

"Aisar! Kenapa susah sangat you nak jawab panggilan I? Kalau urgent... macam mana? You nak lari dari tanggungjawab you ke?" jerkah Cassandra tanpa mukadimah. Melepaskan rasa tidak puas hatinya kepada Aisar Mumtaz.

Aisar terus menjarakkan telefonnya dari telinga. Tidak betah mendengar omelan Cassandra. Pandangannya masih fokus tertumpu ke arah Inara. Namun, wajah Aisar tiba-tiba saja berubah tegang. Jantung mula berdebar kencang melihat keadaan Inara yang sedang ditarik masuk ke dalam sebuah kereta!

"Inara!"

Bersambung...

Thanks korang sudi baca AISARA 🌷

Harap korang happy dengan episod kali ini 😊

Maaf tau syaf update lambat 😔 susah kalau tak ada ideani. Tapi syaf akan cuba sedaya upaya tamatkan AISARA juga 🌷

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro