EPISOD 26
"WELCOME to our boutique, bride and groom to be. So, bila majlis kau orang berlangsung? Tema dah bincang? Konsep majlis resepsi?"
Inara dan Zulfan hanya tersenyum riang dengan sambutan daripada Munirah. Si perancang perkahwinan kelihatan ramah dan ceria. Baru saja dua pasangan itu melangkah masuk, mereka terus disambut dengan suasana yang meriah.
"Majlisnya ada dalam lima bulan lagi. Semua pasal tema dan konsep, saya serahkan saja dekat bakal isteri saya. Kalau itu yang dia suka, saya setuju saja," ujar Zulfan seraya menarik kerusi buat Inara. Kemudian, Zulfan melabuhkan duduk di sebelah Inara dan bertentangan dengan si perancang perkahwinan.
Munirah terangguk-angguk. Wajah Zulfan dan Inara dipandang silih berganti. Kelihatan Inara seakan-akan tidak bersetuju dengan cadangan Zulfan yang ingin menyerahkan segalanya kepada dia. Gadis itu sudah tergeleng dan berkerut dahi. Buku yang memaparkan hasil rekaan busana pengantin ditolak ke arah Inara.
"How sweet, handsome and gentleman fiance do you have, doctor Inara. Ini hari bahagia you. Janganlah segan kalau cik abang dah bagi green light untuk you pilih tema," ujar Munirah. Cuba memberikan keselesaan kepada Inara yang kelihatan janggal.
Inara menghela nafas berat. Sebenarnya, Inara keletihan. Dia hanya mahukan rehat setelah melakukan tiga pembedahan. Semalam, rehatnya juga terganggu bila Aisar terlantar di hospital. Inara tidak tega meninggalkan Aisar yang sakit. Masih tersisa rasa takut melihat Aisar yang cedera. Maka, Inara korbankan saja masa rehat walaupun sudah ditegah oleh sahabatnya.
Hari ini, Inara masih tidak boleh berehat sepenuhnya. Keletihannya semakin berada di kemuncak. Inara benar-benar tidak bermaya. Kepalanya seakan-akan berputar dan matanya juga semakin layu. Namun, demi menjaga perasaan Zulfan, Inara gagahkan saja dirinya untuk menguruskan perkahwinan mereka.
"Saya nak konsep..."
Inara kematian kata bila kepalanya sudah tersengguk. Mata sudah terkatup akibat mengantuk. Hanya tangannya saja semakin longlai membelek majalah tersebut.
"Awak okay ke tak ni?"
"Hah. Okay saja. Fan, kita discuss pasal baju dulu eh. Saya tak boleh nak fikir semua dalam satu masa yang samalah," jawab Inara. Mengharapkan Zulfan membatalkan dahulu perbincangan perkahwinan mereka hari ini.
Mendengarkan itu, wajah Zulfan mula menjadi tegang. Bibir diketap menahan geram. Alasan! Semalam, bukannya dia tidak lihat Inara yang kelihatan segar berhadapan dengan Aisar.
Hari ini, mahu berdiskusi tentang perkahwinan mereka saja Inara beralasan letih. Zulfan yang merupakan doktor di bahagian kecemasan juga letih! Silih berganti pesakit dari setiap zon datang. Tetapi, sebaik mungkin Zulfan cuba menggagahkan dirinya demi persiapan perkahwinannya dan Inara.
"Maaf Mun. Kita orang terpaksa batalkan diskusi hari ini. Doktor Inara ni letih sangat sampai tak berdaya. Kami minta diri dulu. Nanti bila situasi mengizinkan, kita orang datang lagi," kata Zulfan. Wajah pura-pura dimaniskan di hadapan Munirah.
"Zul..."
"Jom sayang. Kita balik dulu. Kalau keadaan awak dah penat sangat, susah juga kalau nak berfikir dengan tenang. Tak apa. Kita tundakan dulu," pintas Zulfan. Dari pandangan mata saja dia mengarahkan Inara untuk bangun.
Inara mengeluh berat dengan pandangan sinis Zulfan. Hatinya terjentik rasa bengang. Hanya anggukan saja yang diberikan kepada pemuda berkemeja biru muda itu. Kenapalah Zulfan ini sejenis yang suka membuat sesuatu sesuka hatinya saja? Benar-benar mencabar kesabaran seorang Nur Inara!
"ZULFAN, saya minta maaf kalau saya rosakkan semuanya hari ini," ujar Inara sebaik saja mereka sampai di perkarangan rumah Inara. Seriau saja dia melihat wajah tegang Zulfan. Bahkan, sepanjang perjalanan pulang pemuda itu hanya senyap.
"Awak marah..."
"Awak betul-betul serius ke dengan masa depan kita? Awak betul-betul dah lupakan cinta pertama awak? Ke selama ini, awak terima saya sebab awak nak jadikan saya sebagai alasan untuk awak move on?"
Sontak, wajah manis Inara berubah drastik dengan lontaran soalan sinis daripada Zulfan. Terasa perih di sudut hati Inara bila Zulfan menuduhnya. Tangan yang sedang menggenggam tali pinggang keselamatan dieratkan lagi.
"Apa yang awak merepek?"
"Soalan saya tak pernah merepek. Saya bertanya berdasarkan bukti yang ada depan mata kepala saya sendiri! Kenapa awak selalu saja tak bersedia kalau melibatkan hal perkahwinan kita? Semuanya sebab ada kaitan dengan Aisar, kan? Aisar tu cinta pertama..."
"Sebab itulah saya tak nak awak tahu siapa Aisar dalam hidup saya! Sebab sifat cemburu buta..."
"Saya tak cemburu buta, Doktor Inara! Saya nampak depan mata saya sendiri betapa segarnya awak bila berhadapan dengan dia! Kalau awak boleh korbankan masa rehat awak untuk dia, kenapa pula awak tak boleh berkorban untuk masa depan awak sendiri!" bentak Zulfan tak semena-mena. Dia tercabar bila Inara mengungkapkan soal cemburu buta. Anak matanya sudah melotot memandang wajah tegang Inara.
Seketika, suasana mula dingin. Inara hanya mampu menatap wajah Zulfan dengan emosi yang kecewa. Bibir diketap menahan sebak di dada. Tubir mata mula terasa hangat dengan kemarahan tunangnya itu. Sesak kian terasa.
"Do you still love him?"
"Dia memang cinta pertama saya. Tapi awak... awak datang bila mana saya tengah pulihkan semula kekecewaan saya. Awak buat saya bahagia. Awak buat saya yakin melepaskan perasaan buat Aisar itu satu pilihan yang terbaik. Aisar cuma masa silam saya. Sejarah lama yang tak akan berulang lagi!" tegas Inara. Mengharapkan Zulfan sedar daripada cemburu butanya.
"Aisar sahabat saya. Saya minta maaf kalau awak rasa kita orang terlalu mesra. Saya minta maaf kalau awak sakit hati dengan cara layanan saya terhadap dia. Kalau awak nak tahu, sebelum awak muncul, dia dah terlebih dahulu jadi pelindung saya. Nak lagi lepas arwah abah meninggal. Abang pula ke Kuala Lumpur. Dialah yang jadi pengganti arwah abah dan abang saya," tambah Inara lagi. Pandangan terus dialihkan dari menatap wajah pegun Zulfan. Setitis air mata yang mengalir ke pipi, dikesat lembut.
"Terpulanglah dekat awak. Sama ada awak nak percaya cakap saya atau ikutkan emosi awak. Cuma saya nak tegaskan kepada awak, saya hanya mencintai seorang saja, Zulfan. Hanya awak. Aisar tak ada kena mengena dalam hubungan kita," tegas Inara. Tangan sudah menanggalkan tali pinggang keledar.
"Baiklah, kita awalkan lagi tarikh pernikahan kita. Saya tak nak awak buruk sangka lagi. Persiapkan diri awak. Dalam masa tiga bulan lagi, kita akan jadi suami isteri."
Sebaik saja kata putus diucapkan oleh Inara, Zulfan terkesima. Dia kehilangan aksara. Hanya sorotan matanya saja yang menghantar pemergian Inara. Sungguh, Zulfan kaget. Dia seakan-akan tersedar daripada bisikan syaitan. Zulfan mahu mengejar. Ingin menghapuskan rasa bersalahnya membuat Inara sedih. Namun, sisi ego menegahnya dari berbuat demikian.
ARAHAN daripada Datuk Sri Lee seakan-akan masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja bagi Cassandra. Dengan kaki kanan yang disilangkan di atas paha kiri, gadis berambut tocang itu sekadar mewarna kukunya dengan cat kuku berwarna merah. Sungguhlah, Cassandra rimas dengan arahan mandatori ayahnya yang semakin mengongkongnya itu.
"Lagi satu, bulan depan... daddy nak Sandra wakilkan daddy ke Kampung Dusun. Agihkan barang derma kepada penduduk kampung yang memerlukan dekat sana. Adeline dan Lukman akan escort Sandra selama dua hari satu malam," ujar Datuk Sri Lee. Dia mahu mendidik anak gadisnya yang liar itu dengan cara kampung. Cassandra sudah keterlaluan saat ini.
Mendengarkan itu, Cassandra terus mengeluh berat. Pandangannya dipusatkan ke laman wajah ayahnya yang sedang membaca surat khabar. Dinding hati Cassandra benar-benar dibakar amarah apabila dirinya terpaksa turun ke kampung. Tidak dapat dia bayangkan situasi di pedalaman itu nanti.
"Bulan depan Sandra ada shooting drama baru. Suruh sajalah isteri baru daddy pergi sana. Banyak cantik dia jadi mem besar dekat rumah mama Sandra. Kalau dah menumpang itu, buat cara menumpang!"
"Cassandra! Watch your mouth!" marah Datuk Sri Lee. Anak matanya sudah mencerlung memandang mimik muka Cassandra yang sinis.
"What? I told the truth, right? Kekayaan daddy sebenarnya hasil wasiat daripada mama. Takkan daddy dah lupa? Kalau daddy lupa, Sandra boleh ingatkan. Seminggu selepas mama meninggal, kita terus masuk Islam tanpa kehendak Sandra! Semata-mata perempuan simpanan daddy! Nampak sangat daddy tak sayangkan mama!"
Tak semena-mena, Datuk Sri Lee terus bangun dari duduknya. Wajahnya semakin membahang panas dengan mulut lancang Cassandra. Tidak suka isteri keduanya diburuk-burukkan.
Sudah berkali-kali dijelaskan, Cassandra tetap setia dengan pegangan dirinya. Beranggapan bahawa Datin Sri Zurina merupakan seorang perampas. Walhal, Datin Sri Merinda yang menjodohkan suaminya dengan Datin Sri Zurina.
"Back to our discussion. Why not, daddy suruh mummy pergi gantikan daddy. I tak ada masa nak beramah mesra dengan peminta sedekah tu semua," tambah Cassandra sambil mengasah kukunya pula.
Datuk Sri Lee menggelengkan kepalanya. Dia akui kesilapannya yang sering memanjakan Cassandra. Pengakhirannya, gadis itu menjadi seorang yang keras kepala. Namun, selagi ada masa, Datuk Sri Lee akan mencuba mengubah sikap anaknya itu.
"Deal..."
"Deal! Sandra tak nak dengar cakap daddy, daddy terima. Jadinya, daddy pun dah buat keputusan yang daddy akan sekat kad kredit Sandra. Biar kita sama-sama adil!"
Tak semena-mena, wajah Cassandra membahang panas dengan keputusan ayahnya. Dahinya yang licin sudah dilapisi dengan kerutan. Seketika, wajah Datin Sri Zurina yang baru saja menuruni anak tangga ditatap dengan pandangan yang penuh dengan kebencian.
"Daddy! Kan I dah cakap bulan depan I sibuk dengan shooting! Suruh sajalah mummy yang tak buat apa-apa..."
"Pasal shooting, boleh saja daddy beritahu producer untuk cari pengganti Sandra. Jangan tamak sangat nak overshadow artis lain. Penonton pun mungkin dah bosan tengok muka Sandra dalam TV," pintas Datuk Sri Lee. Kot yang dihulurkan oleh isterinya dicapai lalu dipakai. Bersedia untuk menghadiri mesyuarat bersama kliennya.
Semakin tajam omongan Datuk Sri Lee, jiwa Cassandra semakin bergelojak dengan amarah. Seenaknya saja ayahnya mencabarnya seperti itu. Bukan mudah untuk dia menjadi heroin popular! Semuanya dilakukan dengan usahanya sendiri meskipun ada kalanya, Cassandra menggunakan taktik kotor.
"Abang, kalau Sandra tak nak... janganlah paksa dia. Saya boleh pergi. Wakilkan abang untuk ke Kampung Dusun nanti," ujar Datin Sri Zurina. Kasihan melihat anak tirinya yang sedang dirusuh amarah itu.
"She will be alright. Sekali sekala kena bagi dia pelajaran. Tunjukkan cara kehidupan orang susah. Okaylah. Abang kena pergi. Pastikan Sandra tak keluar rumah senyap-senyap. Nanti tak fasal-fasal, musuh abang pergi kacau hidup dia lagi," kata Datuk Sri Lee. Memegang pendiriannya yang ingin memberikan pelajaran kepada Cassandra.
Langkah lantas diatur keluar dari rumah. Kelihatan Aisar, Fir dan Ramesh sudah berdiri di sisi kereta. Menanti tugasan untuk melindungi majikan mereka. Tatkala pandangan Datuk Sri Lee bertemu dengan anak mata galak Aisar, timbul rasa bersalah dalam dirinya. Sudah tentunya kejadian Aisar tercedera memberikan impak kepada dirinya.
Selama dua tahun berkhidmat, Aisar tidak pernah cedera sehingga harus terlantar di dalam wad. Aisar juga tercedera hanya disebabkan menyelamatkan Cassandra. Sudah tentunya Datuk Sri Lee kesal.
"Okay! I pergi kalau itu akan puaskan hati daddy!" jerkah Cassandra seraya membuntuti ayahnya dari belakang. Mana mungkin dia mampu hidup jika kad kreditnya disekat. Cassandra sudah biasa hidup dilimpahi dengan barang mewah.
Namun, langkah Cassandra terbejat sebaik saja melihat figura Aisar di hadapannya. Sontak, kotak memori Cassandra mengimbas kejadian beberapa hari yang lalu. Di hadapan matanya sendiri Aisar ditembak dan bertarung dengan penyerang bersenjata. Semuanya demi menyelamatkan nyawanya.
Bibir Cassandra terus mengukir senyuman manis. Amarahnya serta-merta terhapus dengan keadaan Aisar yang baik-baik saja. Hanya ada memar yang masih kelihatan di pipi kanan pemuda itu.
"Dengan syarat... I nak Aisar yang temankan I nanti. Kalau ada benda buruk jadi dekat I, I yakin Aisar boleh jadi hero sekali lagi," tambah Cassandra seraya memandang wajah ayahnya yang sudah terpinga-pinga. Senyumannya semakin melebar sehingga menampakkan gusinya.
Melihatkan itu, Aisar pula yang bingung dengan reaksi Cassandra. Wajah majikannya dipandang silih berganti. Dapat Aisar rasakan masalah baharu akan menimpanya dengan pandangan tajam Cassandra itu.
"Psst... aku dah cakap dah. Cik Sandra ni dah gila bayang dekat kapten. Tadi marah-marah, sekarang... nampak muka kapten terus berubah ceria. Kapten ada pakai ubat guna-guna ke dekat Cik Sandra?" bisik Fir. Keningnya sudah dijongket-jongket tatkala Aisar memandangnya.
Sontak, Aisar menyiku rusuk Fir. Geli gelaman pula dia mendengar usikan pemuda berjas coklat itu. Seolah-olah ada ulat bulu menggeletis di tubuh Aisar. Sungguh, Aisar juga lelah dengan kegedikan Cassandra. Tapi, tugas tetap tugas.
"Kepala otak kau! Aku guna ubat semulajadi. Well, kau kena terima kenyataan. Kapten Aisar Mumtaz ini selamanya tetap tampan dan bergaya. Sebab tu mata Cik Sandra sudah dibutakan. Kalau kau nak tips... pastikan Cik Sandra dengar cakap kau dulu," ujar Aisar dengan nada yang angkuh. Sengaja memberikan omongan yang membuatkan Fir mencebik geram.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan butang vote ⭐
Sorry guys kalau karya ini dah membosankan 😔 Syaf rasa momentum menulis dah drop. Bila-bila masa saja karya ni boleh tergantung tanpa penamat 😕
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro