Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 25

SUASANA hening melatari kawasan parkir yang terletak di belakang kelab hiburan. Pandangan Aisar semakin fokus tertumpu ke arah lima figura serba hitam yang sudah mengacukan senjata ke arahnya. Akal mula ligat memikirkan cara untuk melindungi Cassandra dari marabahaya.

Dalam keadaan mereka dikepung dan diugut dengan senjata, sudah tentunya memberikan kesukaran kepada Aisar untuk bertindak. Aisar tidak mahu kehilangan nyawa berlaku malam ini. Tetapi, Aisar juga tidak bisa mengelak jika hal itu terjadi. Sama ada dia yang terkorban ataupun musuh yang terkorban.

Derapan tapak kaki yang menghampiri menyapa pendengaran Aisar. Dari ekor mata, kelihatan Adeline sudah menghampiri Aisar yang sedang menahan sakit pada bahunya yang ditembak. Aisar terus mengangkat tangan kanannya. Menghalang Adeline dari mendekatinya.

"Kapten..."

"Plan B."

Dua patah perkataan yang meluncur keluar dari mulut Aisar benar-benar menggerunkan Adeline. Wajahnya mula membahang. Jantungnya seakan-akan berdebar kencang. Terasa mahu putus nafas saja bila Aisar memutuskan untuk menggunakan rancangan yang lagi menggerunkan.

Plan B. Itu idea yang akan digunakan bila mana mereka menghadapi serangan hendap atau rambang. Pengawal peribadi yang baharu berkhidmat hanya diarahkan untuk berada di sebelah klien. Senior saja yang akan turun ke padang bagi menyelamatkan keadaan. Itulah syarat yang dikenakan oleh orang atasan Aisar dan Adeline.

Tanpa berlengah, Adeline terus menghubungi Lukman dan Ramesh bagi membantu Aisar. Langkah terus diatur memasuki kereta. Sesaat kemudian, panggilannya dijawab. Tangan sudah mula mengawal stereng untuk keluar dari kawasam parkir.

Melihat Adeline yang sedang membawa Cassandra lari, kelima-lima musuh mula menghalakan senjata ke arah kenderaan. Berdas-das tembakan dilepaskan ke arah sasaran. Ada juga yang sudah meluru ke kenderaan masing-masing untuk mengejar.

Namun, Aisar terlebih dahulu memulakan aksinya dengan melepaskan tembakan rambang ke arah musuh yang sudah berura-ura untuk mengejar mangsa. Menghalang mereka dari mencederakan Adeline dan Cassandra. Tembakan turut dilepaskan ke arah kenderaan musuh.

"Adeline! Ini masanya untuk kau kuatkan stamina. Kalau ada musuh yang terlepas, jangan teragak-agak untuk membalas! Yakin, Adeline!" tegas Aisar melalui earbud kepada Adeline yang baru setahun jagung itu.

Buru-buru, Aisar bersembunyi di belakang dinding apabila aksi tembak menembak semakin hangat. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya. Sesekali, Aisar menekup bahunya yang sudah tercedera. Darah semakin deras mengalir. Sakitnya bukan kepalang!

"Kapten, dalam dua minit lagi Ramesh dan Lukman sampai. Buat masa sekarang, tiada lagi musuh yang mengejar kami. Aku akan bawa Cik Sandra balik dengan selamat," kata Adeline. Resah semakin menggoncang sanubarinya. Takut kalau-kalau seniornya cedera parah.

Cermin pandang belakang dipandang sekilas. Kelihatan Cassandra sedang menggigil ketakutan sambil menangis teresak-esak. Jelas, ketakutan terserlah di laman wajah gadis berambut perang itu.

Aisar berpuas hati bila keadaan Adeline dan Cassandra selamat. Di sebalik dinding, Aisar memusatkan anak matanya ke arah musuh yang sudah mencari keberadaannya. Glock di tangan digenggam kemas. Bersedia untuk melumpuhkan musuh sekali lagi.

Kedengaran makian dan amarah daripada musuh. Dalam keadaan kenderaan mereka yang sudah pancit akibat tayar yang ditembak oleh Aisar, sudah tentunya menghalang mereka dari mengejar Adeline dan Cassandra. Seorang daripada lima orang musuh juga hanya mampu mengerekot apabila kakinya sudah tertanam dengan peluru yang dilepaskan oleh Aisar.

"Bangsat! Kalau kau nak sangat menentang kita orang, keluarlah!" gertak musuh yang berparut di pipi kanan. Langkah diatur mencari keberadaan Aisar. Amarah benar-benar membakar sukmanya. Mahu saja dia merodok jantung Aisar. Melepaskan amarahnya setelah pekerjaannya dihalang.

Melihat sasaran berada di depan mata, Aisar terus menyerang dari belakang. Tengkuk musuh dicekik dengan lengannya dari belakang. Turun naik nafas musuh mula terasa apabila menerima cengkaman ketat Aisar itu. Tangannya mula terkapai-kapai akibat kelemasan. Beberapa saat kemudian, musuh pengsan serta-merta akibat kelemasan.

Aisar terus menjadikan musuh tersebut sebagai sasarannya. Setidaknya, dia dapat memperolehi sedikit informasi berkaitan musuh keluarga Datuk Sri Lee. Glock diacukan ke tepi dahi musuh bersama langkah diatur ke arah musuh yang lain.

"Lepaskan kawan..."

"Kalau kau nak kawan kau selamat, bagi tahu aku siapa yang arahkan kau orang untuk menyerang!" bentak Aisar.

Diam.

Tiada sebarang jawapan yang terpacul daripada mulut musuh. Ketiga-tiga mereka yang masih gagah berdiri sudah saling berpandangan dengan ugutan Aisar. Tidak menyangka pemuda itu lebih bijak menggunakam strategi dalam menyerang.

"Jawablah! Siapa arahkan kau orang!" bentak Aisar lagi. Picu sudah ditarik. Menghangatkan lagi suasana yang semakin cemas di lorong itu.

Tak semena-mena, salah seorang daripada mereka mengacukan senjata ke arah Aisar. Kelihatan dia masih amatur dalam kumpulan itu. Tangannya seakan-akan teragak-agak mahu menyerang Aisar.

"Kau tembak kawan aku... aku tembak kau sekali!" ugutnya. Langkah sudah diatur mendekati Aisar.

Melihatkan itu, Aisar ketawa sinis. Mengejek musuh yang mahu mencelakainya. Dengan pandangan yang sinis, Aisar memandang si figura dari atas hingga ke bawah. Kelihatan masih muda dan dibawah umur.

"Kau itu budak lagi ada hati nak bunuh aku? Huh! Hey budak, kenapa kau lebih pilih nak jadi pembunuh dari pergi sekolah? Ke sekolah kau ni istimewa sebab latih kau untuk jadi pembunuh? Dahlah. Pergi balik. Pergi taubat dan masuk sekolah yang betul!" provok Aisar bersama tawa yang masih tersisa.

Mendengarkan provokasi itu, musuh terus melepaskan tembakannya ke arah Aisar. Akal tidak lagi memikirkan kawannya yang berada dalam cengkaman Aisar. Namun, tembakannya tersasar dengan kehadiran Ramesh dan Lukman.

"Lambat! Aku baru nak mulakan drama aku dengan budak hingusan itu!" marah Aisar.

"Maaf, kapten!" kata Lukman dan Ramesh serentak.

"Kau orang settle. Aku nak buat perhitungan dengan manusia yang seorang ini. Pastikan tiada siapa yang terlepas!" arah Aisar seraya mengheret musuh yang berada dalam cengkamannya ke belakang.

Tanpa berlengah, Aisar terus menghubungi Fir untuk membawa tebusan mereka. Kali ini, Aisar mahu bertindak gila dengan mengintograsi musuh. Manakan tidak, aneh bila mana kesemua suspek yang diberkas tidak mahu bekerjasama dengan pihak polis. Bagaikan ada ancaman di dalam penjara jikalau merela bersuara. Maka, keputusan gila inilah yang mampu Aisar buat.

Usai saja menghubungi Fir, tika itu juga intuisi Aisar mula terasa tidak enak. Matanya melingas ke sekeliling lorong yang semakin jauh dari keriuhan. Hanya Aisar dan musuh yang masih tidak sedarkan diri saja. Namun, entah mengapa Aisar merasakan dirinya sedang diperhatikan.

Angin malam mula terasa dingin sehingga menggigit ke tulang hitam. Kesakitan di bahu semakin mencengkam. Bau darah semakin menyengat rongga hidung Aisar.

Tiba-tiba, cengkaman Aisar terhadap musuh semakin lemah tatkala Aisar merasakan sesuatu yang tajam menyucuk pinggangnya.

"Lepaskan dia atau aku kerat badan kau," bisik suara yang sedang menikam tubuh Aisar dari belakang. Pisau terus dipulas dan ditusuk dengan lebih dalam.

Sontak, Aisar hampir rebah dengan kesakitan yang seakan-akan meragut kekuatannya. Nafas terasa sesak di dada apabila item itu seakan-akan merodok isi perutnya. Namun, Aisar tetap melawan dengan menghentakkan sikunya ke rusuk musuh dengan kuat.

Ketangkasan Aisar membuatkan musuh terundur ke belakang. Sebilah pisau yang sudah meleleh dengan darahnya Aisar digenggam erat. Musuh berhoodie hitam itu langsung meluru ke arah Aisar untuk kembali menyerang.

Malangnya, Aisar terlebih dahulu mara dengan menujahkan tendangannya ke pergelangan tangan musuh. Pisau terlepas daripada tangan musuh. Malahan, Aisar semakin tangkas menujahkan tendangannya ke tubuh musuh bertubi-tubi sehingga musuh tersandar di belakang dinding.

Seketika, pandangan Aisar mula berbalam-balam. Tangannya mula menekup luka di pinggang. Aisar mendongkol geram. Alpa apabila tidak memberikan peringatan kepada dirinya untuk berwaspada. Fokusnya hilang. Malam ini, Aisar terlalu memikirkan emosinya sehingga membiarkan dirinya dicederakan.

Musuh yang tercabar mula menyerang. Pemuda di hadapannya ini sering saja menggagalkan rancangan kumpulannya untuk menghapuskan keluarga Datuk Sri Lee. Sepatutnya, pemuda berjas hitam itu dihapuskan terlebih dahulu untuk mengurangkan koloni Datuk Sri Lee!

Mereka terus-menerus bertarung di kawasan itu. Masing-masing saling mendominasi. Baik Aisar mahupun musuh, keduanya sama-sama mendapatkan sasaran. Manakan tidak, dalam keadaan Aisar hampir kehilangan darah yang banyak menyukarkan Aisar untuk fokus sepenuhnya.

Sesekali, Aisar rebah apabila tendangan daripada musuh tidak dapat dielak. Tika itu juga kesakitannya semakin menyengat. Ada ketika Aisar hampir mengalah. Namun, dengan darah pejuang yang sudah sebati dalam jiwanya membantutkan niatnya untuk mengalah.

"Kapten!"

Laungan Fir kedengaran. Aisar yang sedang mengenggam pergelangan kaki musuh yang mahu menujahkan tendangan ke wajahnya terus menghela nafas berat. Aisar terus mengilas kuat kaki musuh sehingga musuh tersungkur di atas jalan.

"YA, saya dah sampai rumah. Baru tekan lif ni hah."

"Saya hantar awak sampai awak kunci rumah..."

"Hello! Awak cakap apa? Tak dengarlah. Hello, awak!" pintas Inara. Pura-pura tidak mendengar omongan Zulfan yang terlebih prihatin itu. Rimas!

Sebaik saja pintu lif terbuka, Inara terus melangkah masuk. Tanpa ucapan selamat tinggal, Inara terus meletakkan telefonnya. Keluhan berat terlepas dari bibir. Tika ini, Inara hanya mahukan rehat tanpa sebarang gangguan. Tenaganya harus dijimatkan. 21 jam dia berkhidmat tanpa rehat. Hanya tersisa lima jam saja waktu rehatnya sebelum Inara kembali bertugas.

Belum sempat pintu lif tertutup, seseorang telah menahan terlebih dahulu. Mata Inara yang layu serta-merta sugar bugar melihat figura berhelmet dan berjas hitam di sebelahnya. Malahan, bau darah yang menyengat menggerunkan lagi hati Inara. Intuisi Inara mula terasa tidak enak.

Sejujurnya, Inara sentiasa dihurungi dengan persoalan mengenai figura berhelmet itu. Rumahnya hanya terletak bertentengan dengan rumah Inara. Manakan tidak, apabila bertemu di dalam lif, lelaki itu sentiasa mengenakan helmet. Kini, Inara semakim gerun dengan bau darah yang datangnya dari si figura.

Adakah figura itu baru saja membunuh seseorang? Negatif saja pemikiran Inara bila berhadapan dengan si figura berhelmet ini.

Sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat empat, Inara yang hanya memandang nombor yang terpapar di lif  menerbos keluar. Tangannya terus menggagau kunci rumah di dalam tas tangan.

Namun, bunyi hempasan yang kuat dari belakang membantutkan langkah Inara serta-merta. Kaget. Malahan, derapan tapak kaki yang tak kedengaran memberikan titik persoalan dalam benak fikiran Inara. Akal terus mengarahkan Inara untuk kalih ke belakang.

Tika itu juga, Inara melihat si figura berhelmet hitam sudah rebah di hadapan lif. Inara terus memusingkan kembali kepalanya ke hadapan. Debaran bertalu-talu mengetuk jantungnya. Kaget! Sebahagian dari hatinya ingin membantu namun sebahagian lagi seakan-akan menegah.

"Kau seorang doktor, Inara! Banduan pun kau kena rawat. Ini kan pula orang awam. Kalau kau nak mengelak daripada dia, semua ni salah!" desis hati Inara. Cuba meyakinkan hatinya bahawa figura itu memerlukan bantuan.

Lantas, perlahan-lahan Inara menghampiri. Kalau si figura ingin memerangkapnya, Inara sudah bersedia untuk menentang. Hujung kasutnya sudah menguis bahu si figura. Takut kalau-kalau si figura mahu menerkam. Namun, tiada sebarang pergerakan. Hanya dada si figura saja yang seakan-akan turun naik.

Di situ jugalah pandangan Inara mula tertancap ke arah darah yang mengalir di atas lantai. Buru-buru, Inara menjatuhkan lututnya. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala reseptor mula menerima rangsangan. Pemuda itu tercedera! Lantas, Inara terus menanggalkan helmet si figura perlahan-lahan. Memberikan udara kepada pemuda misteri itu.

Saat itu juga, Inara seakan-akan sesak melihat wajah yang memar di hadapannya. Anak matanya sudah membuntang dengan kebenaran yang terpampang di depan mata. Tubir mata mula terasa hangat. Ketakutan mula mencengkam sanubarinya.

"A... Aisar! Kenapa dengan kau? Aisar..."

Inara jadi panik. Ditambahkan pula dengan kejutan di depan mata. Siapa sangka identiti di sebalik lelaki misteri berhelmet itu rupanya Aisar Mumtaz! Oh sungguh, Inara rasa dia mahu pitam saat ini juga. Kaget! Melihat Aisar cedera juga membuatkan Inara semakin tidak tenteram.

Tanpa berlengah, Inara terus mencarik selendangnya dengan pisau lipat seraya menekup luka Aisar. Menahan darah dari terus mengalir. Talian kecemasan lantas dihubungi. Dinding hati Inara tak putus-putus berdoa agar Aisar selamat. Sungguh, luluh hati Inara melihat sahabatnya yang sudah cedera di depan mata. Wajah pucat Aisar ditatap dengan tatapan sayu.

PERLAHAN-lahan, matanya cuba dicelikkan. Dahi berkerut menahan sakit yang meragut kekuatannya. Sayup-sayup kedengaran suara yang berada di sebelah. Ingatan Aisar mula berputar mengingat kejadian yang menimpanya sehingga dia berasa lemah.

Setelah pertarungan itu, Aisar terus pulang ke rumah. Dia lupa bahawa dirinya tercedera. Manakan tidak, akibat terlalu fokus dengan keselamatan Cassandra, Aisar lupa dia baru saja ditikam dan ditembak.

Apabila pandangannya semakin jelas,  pandangan pertama yang Aisar lihat adalah seorang gadis yang sedang tersengguk-sengguk di sisinya. Terukir senyuman pahit di bibir Aisar. Wajah anggun Inara terus ditatap.

Terasa dejavu seakan-akan menerpa. Kotak memori  mengimbas detik dia dibelasah sehingga terlantar di hospital. Tika itu, Inara sering menemaninya sehingga sembuh. Kini, Aisar menghadap situasi yang sama sekali lagi. Hanya dengan melihat wajah manis Inara saja mampu memberikan sedikit kekuatan kepada Aisar.

"Tak boleh ke kalau kau cintakan aku semula, Doktor Inara? Aku... pentingkan diri ke kalau aku nak kau cintakan aku... lepas aku hancurkan hati kau?" desis hati Aisar. Terasa pahit mencengkam sudut hati bila menyedari Inara yang akan bersatu bersama Zulfan dalam beberapa bulan saja lagi.

"Aisar..."

Hampir saja Aisar meledakkan tawanya melihat Inara sudah tertunduk dan kembali memanggung kepalanya. Comel saja tingkah Inara yang sudah bangun itu. Matanya ditenyeh. Alahai, macam manalah dia tak jatuh hati dengan Inara.

"Aisar! Kenapa kau tak kejutkan aku yang kau dah bangun?" tegas Inara. Kaget bila Aisar ralit memandangnya. Wajahnya terus diraup kasar. Risau kalau-kalau ada sesuatu yang tak sepatutnya dilihat terpampang di wajah kusutnya.

"Saja. Kesian tengok kau letih. Okaylah. Aku kena balik. Esok aku kena kerja lagi," ujar Aisar seraya bangun dari baringnya. Selimut disebak. IV drip di kura tangan mahu dicabut.

"Eh! Tak boleh! Kau kena stay dekat hospital sampai drip tu habis," tegas Inara seraya bangun dari duduknya. Menahan Aisar dari bergerak. Wajah Inara tegang tanpa senyuman.

"Aku okay..."

"Kau tak okay lagi! Kau kena cuti dua tiga hari. Kau tahu tak yang kau kehilangan banyak darah? Benda ni melibatkan nyawa! Jangan paksa diri kau sangat boleh tak?" pintas Inara. Ada getaran di sebalik suaranya. Masih tersisa rasa takut melihat Aisar cedera.

Mendengarkan omongan Inara membuatkan Aisar terkesima. Wajah Inara yang sudah merah ditatap. Ada air mata yang sedang ditahan oleh gadis itu. Sungguh, Aisar tidak menyangka sekuat itu ketakutan terserlah di wajah Inara.

"Kau rehatlah dulu. Lepas tu, aku nak kau jelaskan dekat aku apa yang jadi. Paling penting aku... nak kau bagi tahu aku sejak bila kau jadi jiran aku," kata Inara seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah memar Aisar.

Mendengarkan omongan Inara membibitkan senyuman di bibir Aisar. Teringat wajah gelabah dan cuak Inara setiap kali mereka terserempak di dalam lif.

"Jangan fikir sangat fasal aku. Baik kau rehat. Nanti tak fasal-fasal, kau pula yang sakit. Aku dah biasa hadap situasi macam ni. Aku pun dah pernah rasa mati hidup semula," pujuk Aisar. Cuba menenangkan Inara yang resah.

"Aku risaukan kau. Aku takut tengok kau cedera macam tu. Aku..."

"Sayang juga kan kau dekat aku. Ingatkan sejak ada Zulfan, kau dah tak sayangkan aku lagi," pintas Aisar. Kening kirinya dijongketkan. Mengusik Inara.

"Mestilah aku sayangkan kau! Aku tak pernah buang rasa sayang aku untuk kau. Aku masih Inara yang dulu. Inara yang terlalu sayangkan sahabat dia, Kapten Aisar Mumtaz. Aku nak kau jadi sahabat dunia akhirat aku. Sakit kau... aku terasa juga. Tolonglah, jangan biarkan kau dicederakan lagi," tegas Inara seraya menundukkan kepalanya. Meluahkan perasaan yang sudah lama tidak diluahkan.

Aisar terpempan. Senyumannya mati. Ucapan sayang Inara benar-benar menggetarkan sukma Aisar. Sayang sebagai sahabat. Ya, kau dan Inara hanya mampu menjadi sahabat. Tidak lebih dari itu.

"Aku dah belikan makanan untuk kau. Makanlah dulu. Kau perlukan tenaga yang cukup," kata Inara seraya menghulurkan bungkusan nasi ayam kepada Aisar.

"Rasa ada doktor peribadi sendiri pula bila kau layan aku istimewa," usik Aisar. Senyuman kembali terukir di bibirnya. Membalas senyuman manis Inara.

"Tak salah kan kalau aku jadi doktor peribadi untuk sahabat aku sendiri? Free of charge pula tu. Anggap sajalah sebagai balasan kebaikan kau yang selalu lindungi aku dulu," jawab Inara sambil membuka bungkusan nasi.

"Luka tikaman kau tu dalam. Kau tak boleh nak bergasak buat masa ini. Jadi, lebih baik kau berehat sampai luka kau pulih. Bila dah pulih, kau nak bertembak ke, nak bergasak ke nak berperang sekali pun boleh," tambah Inara. Duduk kembali dilabuhkan di atas kerusi. Menemani Aisar menjamah makan tengah malamnya.

Mendengarkan omongan Inara membuatkan Aisar tertawa buat seketika. Hatinya tercuit dengan omelan Inara. Kepala terangguk-angguk mengerti. Biarlah kali ini dia mengalah. Sekurang-kurangnya, dapat juga Aisar merasakan keprihatinan Inara sebelum gadis itu sah menjadi hak milik Doktor Zulfan Ridhwan.

"Baik doktor. Aku dengar pesanan doktor peribadi buat Kapten Aisar Mumtaz ini," kata Aisar. Menyedapkan hati Inara yang mula dalam mood tegas. Sesekali, tangannya menekup abdomen yang sudah dibalut. Denyutan kesakitan itu tiba-tiba saja terasa.

"Sakit ke? Kau nak aku bagi ubat tahan sakit?" soal Inara. Risau melihat Aisar yang seakan-akan menahan sakit.

Tanpa Inara dan Aisar sedar, Zulfan sudah menjadi pemerhati kemesraan dua sahabat itu. Tangan yang sedang mencatat laporan pesakit digenggam erat. Sudah tentunya Zulfan cemburu melihat Inara dan Aisar. Dia sudah tahu hubungan Inara dan Aisar.

Satu hal lagi, intuisi Zulfan seakan-akan mengatakan bahawa Aisar Mumtazlah insan yang menjadi cinta pertama Inara. Gadis itu pernah menceritakan secara tidak langsung mengenai hubungan persahabatannya dengan seseorang. Hubungan yang berakhir dengan perasaan cinta.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 😊

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote ⭐

Ps/: siapa tak faham kenapa Inara ni pergi hapuskan perasaan dia buat Aisar, lagu ini menceritakan segalanya.

Syaf hayati lagu tu dan memang ada kena mengena dengan point of view Doktor Nur Inara 🤭

1. Inara yang setia menanti Aisar kembali dalam hidup dia

2. Inara yang tertanya adakah Aisar sudah melupakannya?

3. Inara yang move on dengan melepaskan perasaannya buat Aisar sebab dia nak mulakan hidup baru dengan Zulfan

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro