Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 24

"ADIK nama apa?"

"Nina."

Inara mengangguk sebaik saja Nina memperkenalkan dirinya. Si gadis kecil berumur dalam lingkungan enam tahun kelihatan ketakutan. Kepalanya tertunduk menekur kukunya yang panjang dan kotor. Seakan-akan ada bahaya berada di depan mata.

"Kakak nak ubatkan luka dekat siku dan lutut Nina supaya kuman tak merebak. Jangan takut. Kakak tak akan sakitkan Nina," pujuk Inara sambil menuang antiseptik pada kapas.

Nina hanya mengangguk lemah. Dia percaya Inara tidak akan menyakitinya. Buktinya, Inaralah yang telah memberikannya makanan dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bahkan, Inara jugalah yang telah membersihkan Nina dan memberikan pakaian yang baharu. Bagi Nina, Inara ialah heronya.

"Wahai sakit, tolong pergi dan jangan sakitkan Nina lagi. Nina nak bermain dengan kawan-kawan baru."

Nina tersenyum bila Inara menyapu antiseptik ke lututnya. Pujukan Inara menghiburkan hatinya. Terasa pedih pada luka dibawa pergi dengan kelembutan Inara. Bahkan, senyuman manis doktor muda itu menenangkan hati kecil Nina.

"Okay! Dah siap. Baguslah Nina. Dengar cakap kakak. Tak melawan pun," puji Inara sambil mengusap lembut rambut Nina yang masih basah setelah dimandikan. Plaster dilekat di tempat yang luka.

"Sekarang, kakak nak ketip kuku Nina pula. Kakak nak tanya, Nina tinggal dekat mana?" soal Inara. Gadis berkot putih itu kembali mengujarkan beberapa soalan kepada Nina. Bertujuan untuk menghantar gadis kecil itu ke rumah perlindungan atau rumah anak yatim.

Inara yakin, Nina merupakan anak gelandangan berdasarkan penampilan dan tubuh Nina yang begitu kurus.

"Nina tinggal dengan emak dekat bawah jambatan. Kadang-kadang, kita orang tinggal dekat lorong belakang kedai," jawab Nina, polos. Sesekali, Nina memberanikan dirinya memandang wajah Inara. Terserlah kelembutan di roman wajah heronya itu.

"Nina dengan emak saja? Ayah Nina?" soal Inara lagi. Kali ini, pandangannya sudah bersatu dengan Nina.

"Nina tak ada ayah. Nina tinggal dengan emak saja. Tapi... lepas emak cari makanan, emak tiba-tiba hilang. Nina tak tahu, emak ada dekat mana sekarang," ujar Nina. Bibirnya sudah menggeletar menahan sebak di dada. Gadis kecil itu rindukan belaian emaknya. Entah berapa lama emaknya menghilang pun Nina tidak tahu.

Perlahan-lahan, Inara mengelus lembut pipi Nina. Namun, Nina terus menyendengkan tubuhnya ke sisi katil. Seakan-akan tidak mahu disentuh. Jelas, Nina kembali menggigil di kornea mata Inara. Saat itulah Inara semakin yakin bahawa ada trauma menjengah si gadis kecil.

"Nina jangan takut. Kakak janji kakak akan cari emak Nina. Sekarang, Nina kena duduk dekat hospital dulu. Dekat sini ada kawan-kawan baru. Nanti Nina boleh bermain dengan dia orang. Doktor dan jururawat akan jaga Nina dan tak akan sakitkan Nina," pujuk Inara dengan nada yang lembut. Tangan kecil Nina lantas digenggam erat.

"Kakak... tak tipu?"

Inara tersenyum manis. Dia mengangguk. Mengeyakan soalan yang terpacul dari bibir Nina. Jari kelingking dihalakan ke arah pesakitnya. Kemudian, jari kelingking Nina dibawa untuk disatukan dengan jari kelingkingnya.

"Kakak janji tak ada sesiapa yang boleh sakitkan Nina lagi. Kakak janji, kakak akan cari emak Nina sampai jumpa," ujar Inara. Sebotol vitamin C khusus untuk kanak-kanak dicapai lalu tapak tangan Nina dibuka.

"Memandangkan Nina budak baik, kakak nak bagi hadiah ini kepada Nina. Nina kena makan vitamin magik ini supaya Nina bertenaga dan sentiasa sihat," jelas Inara. Sebiji vitamin C dihulurkan kepada gadis itu.

Usai memastikan Nina lena, Inara melangkah keluar dari wad pedriatik. Ada rasa simpati yang menghurung Inara sebaik saja mendengar latar belakang Nina. Betullah andaiannya. Nina merupakan budak gelandangan. Persoalannya sekarang, di manakah keberadaan emak kepada Nina?

"Macam mana dengan keadaan budak tu?" soal Aisar sebaik saja figura Inara kelihatan.

Inara menghela nafas berat dengan soalan Aisar. Langkahnya terbejat di ruangan menunggu. Berat sungguh bibirnya mahu menjelaskan keadaan Nina kepada Aisar. Sesaknya kian terasa. Tidak menyangka dia akan menemui gadis tak berdosa hari ini.

"Kongsilah dengan aku kalau kau stres. Mana tahu aku boleh buat magik buat kau senang hati lagi," tambah Aisar diselitkan dengan lawak hambar.

"Nina, positif HIV. Dia tu budak gelandangan yang sering berpindah randah. Dia tinggal dengan mak dia. Aku yakin, berdasarkan fizikal Nina, mak dia mesti guna barang terlarang seperti dadah. Cuma sekarang, mak Nina tiba-tiba hilang," jelas Inara.

Aisar tersentak dengan penjelasan Inara. Hatinya direnggut rasa simpati buat Nina. Gadis sekecil itu sudah diberikan ujian yang maha hebat. Sudah tentunya Aisar terkilan dengan nasib Nina.

"Aku rasa dia trauma. Ada kesan lebam dekat bahu dan belakang tubuh Nina. Dia nampak ketakutan bila aku cuba belai pipi dia. Aku yakin, Nina didera," tambah Inara lagi. Kini, pandangannya sudah bersatu dengan Aisar.

"Okay, tak apa. Kau jangan risau. Aku akan tolong cari mak Nina juga. Boleh jadi, orang sekitar tempat kita jumpa Nina tahu pasal mak dia. Pasal Nina, kita kena sama-sama berdoa supaya Allah lindungi dia," pujuk Aisar cuba menenangkan hati sahabatnya.

Inara tersenyum pahit. Sungguh, Inara rindu momen bila Aisar cuba menenangkan galau di jiwanya. Benarlah, maaf itu dapat menenangkan jiwa yang lemah. Buktinya, Inara semakin senang hati dengan hubungan di antara dia dan Aisar yang mula membaik.

"Nah, telefon kau. Tertinggal dalam kereta tadi. Aku dah letak sekali nombor telefon aku dalam tu. Kalau ada apa-apa perkembangan pasal mak Nina, aku hubungi kau," tambah Aisar seraya menghulurkan telefon pintar berjenama iPhone 6 kepada Inara.

"Terima kasih untuk hari ini. Aku kena sambung kerja. Kau baliklah dulu," ucap Inara.

"Terima kasih juga..."

"Dah sudahlah tu pinjam tunang aku. Kau jangan cuba nak usya tunang aku eh sepupu!"

Aisar kematian kata sebaik saja suara Zulfan muncul di antara Aisar dan Inara. Laju saja pemuda berkot putih dengan stetoskop tergantung di leher berdiri menjadi penghadang Inara dan Aisar.

"Zulfan..."

"Ya sayang. Kenapa buat muka terkejut beruk tu? Ni, sampai hati awak tak bagi tahu saya siapa Aisar dalam hidup awak kan. Kecil hati saya dibuatnya," pintas Zulfan. Suaranya kedengaran lirih. Mengusik Inara yang kelihatan kaget.

Sudah tentunya Inara semakin kaget bila Zulfan tahu mengenai kisah di antara Aisara. Tak lain dan tak bukan, pasti Aisar sudah membuka cerita terlebih dahulu.

"Halah nak bermesra panggil tunang dengan panggilan 'sayang' depan aku pula. Cuba hormat sikit orang bujang macam sepupu kau yang kacak lagi bergaya ini," ujar Aisar. Dia mencemik. Memang dia cemburu melihat hubungan Inara dan Zulfan.

"Sebab tu aku kata pergi cari bakal isteri kau secepatnya. Mana tahu kita boleh naik pelamin sama-sama dengan pasangan. Kesian aku tengok kau ni, sunyi semacam sampai pinjam tunang aku," usik Zulfan sambil menepuk bahu Aisar.

Tak semena-mena, Aisar ketawa sinis dengan usikan kasar sepupunya. Pelipis yang tak gatal digaru. Wajah Inara yang kelihatan terpinga-pinga dipandang sekilas. Ada rasa kecewa menyelinap masuk ke dinding hati Aisar.

Bagaimana dia mahu mencari pasangan jika hatinya hanya ditulis oleh Doktor Nur Inara? Seribu yang datang, hanya nama Inara saja yang terpahat dalam hati Aisar. Begitu sukarnya untuk Aisar hapuskan perasaan itu.

Mendengarkan usikan kasar Zulfan turut memberikan rasa kurang senang dalam diri Inara. Pandangan Aisar kepadanya membuatkan gadis itu tersentak. Entah itu perasaan Inara atau bukan, ada biasan kekecewaan di sebalik wajah Aisar Mumtaz.

"KESIAN aku tengok kau ni, sunyi semacam sampai pinjam tunang aku."

Kata-kata sinis daripada Zulfan seakan-akan halilintar yang masih menujah dinding hati Aisar. Pemuda yang sedang menunggang motosikal itu tercabar. Kemesraan di antara Inara dan Zulfan yang menjadi babak ulang tayang di memori seakan-akan memarakkan lagi api cemburu Aisar.

Tika itu, Aisar hanya ralit melayan emosinya. Angin malam yang menampar tubuh tidak terasa nyaman. Hanya bisikan-bisikan syaitan yang menggoncangkan lagi emosi Aisar. Wajahnya semakin terasa membahang.

"Aku tak nak cakap macam ni tapi inilah kenyataannya. Zulfan muncul di saat aku dah melepaskan perasaan cinta aku untuk kau. Aku dah penat menunggu, Aisar. Tapi Aisara... selamanya ada dalam diri aku. Sampai hujung nyawa."

Di saat kata-kata Zulfan berganti dengan omongan Inara, Aisar tidak lagi mengawal had kelajuannya. Fokusnya sudah tergendala. Syaitan benar-benar mendominasi pemikiran seorang Aisar Mumtaz saat ini. Ditambahkan pula dengan kehancuran yang menikam hatinya.

Sehinggakan, hampir saja Aisar dirempuh oleh sebuah lori kayu apabila secara tidak sedar, Aisar sudah melanggar lampu isyarat berwarna merah. Aisar lantas brek mengejut. Decutan motosikal berkuasa tingginya kedengaran serentak dengan bunyi hon lori bertubi-tubi.

"Astaghfirullahalazim!" ucap Aisar saat dia hampir saja kemalangan. Nafasnya sudah turun naik. Debaran mula terasa. Hampir saja Aisar menjadi mangsa tabrakan lori. Hampir saja dia digilis.

Tika itu, Aisar terus-terusan menenangkan dirinya di bahu jalan. Segala anasir negatif cuba dibuang sejauhnya. Tidak seharusnya dia mencemburui hubungan Inara dan Zulfan. Inara berhak bahagia setelah dia menghancurkan hati gadis kesayangannya itu.

Ya, Aisar mahu melupakan perasannya buat Inara dan menjadi saksi hari kebahagiaan sahabatnya itu. Demi Aisara yang telah kembali dibina, Aisar tidak mahu terus-menerus melayan kekecewaan dan cemburunya.

Telefon pintar yang diletak di dalam poket seluar bergetar. Lantas, Aisar mencapai dan menatap skrin telefon pintarnya. Mesej daripada Adeline lantas dibaca.

Aku minta maaf kalau aku menyusahkan kapten tapi Cik Sandra... dia buat hal lagi dekat kelab tempat biasa dia pergi!

Keluhan berat lantas terlepas dari bibir Aisar. Baru saja dia mahu pulang ke rumah setelah seharian menghadap Datuk Sri Lee, kini satu lagi masalah mula menimpa. Tanpa berlengah, Aisar kembali menyisipkan telefonnya ke dalam poket. Hal peribadi serta-merta hilang dari benak fikiran Aisar. Fokusnya kembali beralih kepada pekerjaannya sebagai pengawal peribadi keluarga Datuk Sri Lee.

PAKET berisi serbuk putih yang ditaburkan di atas meja bar hanya dipandang dengan pandangan yang sinis. Sesekali, Cassandra mengenggam serbuk putih yang akan menghantarnya ke dimensi lain. Dimensi yang akan menghilangkan segala kesesakan dan tekanan yang menjengah hidupnya.

"Aku tak pandai guna benda alah ni, setan!" rengek Cassandra yang sudah separuh mabuk. Wajah Kris dipandang lalu serbuk putih tersebut dibaling ke wajah si pengedar dadah.

"Habis tu kau nak apa? Kau juga yang tanya aku benda apa yang boleh buat kau gembira sepanjang masa. Jawapannya dah ada depan mata kut. Kau tak nak rasa ke? Ala sikit saja. Tester percuma untuk kau," kata Kris seraya memaut pinggang ramping Cassandra. Liar saja matanya memandang paha gebu Cassandra yang terdedah itu. Benar-benar bisa menggetarkan naluri lelakinya.

Cassandra mencemik. Tubuh Kris ditolak kasar. Rimas apabila lelaki miang itu mula merapatinya. Dahi licinnya sudah dilapisi dengan kerutan. Seteguk wain merah diminum lagi.

"Kau jangan nak sentuh aku! Bau bangkai dekat badan kau buat aku nak muntah. Jijik! Baik kau ajar aku macam mana nak guna benda alah ni dari nak menggatal!" cemuh Cassandra seraya melentokkan kepalanya di atas meja bar. Matanya semakin layu.

Kris mula diserang amarah dengan cemuhan Cassandra. Sewenangnya saja gadis itu mahu menghinanya. Kalau Cassandra mahu berkasar, Kris boleh buat lebih teruk dari itu!

Lantas, pemuda bersubang di hidung dengan rambut mohawk meletakkan dua serbuk dadah ke dalam minuman Cassandra. Wain ditambah lagi ke dalam gelas mangsanya. Segala taktik kotor untuk mengasari Cassandra mula bermain di benak fikiran Kris.

"Nah, minum. Pastikan kau habiskan minuman ini kalau kau nak hilangkan segala tekanan yang ada dalam fikiran kau," arah Kris seraya menghulurkan segelas wain kepada Cassandra.

"Macam tu saja?" soal Cassandra. Teragak-agak tangannya mencapai huluran Kris.

"Percaya sajalah cakap aku! Kau jangan nak banyak tanya. Baik kau minum sampai habis!" tegas Kris seraya memaksa Cassandra mencapai hulurannya. Tidak sabar rasanya mahu menghancurkan seorang Cassandra Lee.

Cassandra mencebik. Huluran disambut. Wajah Kris yang sedang tersenyum ditatap. Kris tidak pernah berbohong dengannya. Kris juga banyak membantunya demi kariernya sebagai artis.

Manakan tidak, Cassandra akan mengarahkan Kris meletakkan ubat tidur mahupun dadah ke dalam minuman artis yang mengunjungi kelab ini. Kemudian, mangsa akan dibawa ke dalam kamar hotel. Gambar tidak senonoh mangsa akan dijadikan sebagai bahan ugutan supaya menarik diri dalam drama atau filem yang dilakonkan oleh mereka. Di situlah, Cassandra akan mengambil tempat mangsa.

Namun, belum sempat Cassandra meneguk minuman tersebut, satu figura menghalangnya terlebih dahulu. Serentak Cassandra dan Kris memandang si figura. Terpampang dua wajah di hadapan mereka. Wajah yang tegang.

"Masa bermain sudah tamat. Mari pulang Cik Cassandra Lee!" tegas Aisar seraya mengarahkan Adeline mencengkam pergelangan tangan majikan mereka.

"Tak nak! I..."

"Aku cakap balik! Kenapa kau degil sangat nak menyusahkan kita orang? Kau jangan ingat yang kau tu anak orang kaya seenaknya saja kau nak pijak kepala kita orang!" bentak Aisar tak semena-mena. Tidak dapat tidak, tangannya dan Cassandra terus digari. Terpaksalah Aisar guna kekerasan untuk mengheret Cassandra keluar.

Melihatkan Aisar tiba-tiba mengamuk membuatkan Adeline dan Cassandra terbungkam. Inilah kali pertama mereka melihat Aisar yang sentiasa tenang mengamuk. Masing-masing mula gerun sehingga mahu berbicara saja mereka tidak mampu.

Kris terus mencengkam bahu kiri Aisar dari belakang. Menghalang pemuda berjas hitam itu membawa mangsanya keluar.

"Lepaskan bahu aku atau muka kau bengkak malam ini!" ugut Aisar. Ekor matanya sudah mencerlung memandang tangan Kris yang sedang mencengkam bahunya dengan kuat.

"Your pleasure! But the girl is mine!" tegas Kris. Menyahut cabaran Aisar yang sudah mengugutnya.

Aisar tidak mengendahkan omongan Kris. Dia bukan Aisar si kaki pukul seperti zaman remajanya lagi. Cukup sekadar amaran keras demi tugasnya saja. Langkah terus diatur mengheret Cassandra keluar dari kelab tersebut.

Persetankan semua cemuhan dan makian Cassandra. Aisar hanya menjalankan amanahnya. Mata-mata yang sudah memandang mereka juga Aisar tidak kesah. Malu? Tidak. Aisar sudah lali dihina dan diherdik sepanjang dia menjalankan tugas.

"Lepaskan Sandra, jahanam!"

Amarah Kris mula bergema di dalam kelab hiburan tersebut. Dia menghampiri Aisar yang hanya menonong tanpa mengendahkan amarahnya. Kedua belah tangan lantas digenggam erat. Nafas Kris sudah turun naik seperti lembu yang dilanda amarah.

Lantas...

Cassandra yang ralit memaki hamun Aisar terus tersentak tatkala melihat aksi yang terpampang di depan matanya. Anak matanya yang layu serta-merta kembali segar bugar. Wajah sinis Aisar dipandang silih berganti bersama wajah Kris yang baru sahaja menerima tumbukan padu Aisar.

Entah tenaga apa yang dimiliki oleh Aisar sehingga Kris tersungkur di belakang meja bar juga Cassandra tidak tahu. Dalam kesamaran lampu kelab, kelihatan wajah Kris juga sudah dikotori dengan darah yang mengalir dari hidung dan birai bibirnya.

"Aku dah bagi warning awal-awal. Itu yang kau nak. Itu jugalah yang kau dapat! Kau ingat muka aku ni baik-baik. Kalau kau cuba buat benda yang bukan-bukan dekat Cik Sandra, aku tak akan teragak-agak lumpuhkan kau sekelip mata!" jerkah Aisar seraya kembali mengheret Cassandra yang sudah digari dengan tangannya keluar dari kelab tersebut. Membiarkan saja mata-mata yang sudah tercengang melihat pergaduhan itu.

"Adeline, hantar budak ni balik rumah. Kalau boleh, ikat dia supaya dia tak menyusahkan kau!" arah Aisar sambil membuka gari. Wajahnya semakin tegang tanpa secangkir senyuman.

"Baik..."

"Aku tak hadap sangatlah perlindungan daripada kau! Aku boleh jaga diri aku sendiri. Daddy aku pun tak pernah larang aku buat..."

"Diam! Sekali lagi kau cari fasal dengan Adeline, aku akan cari cara supaya kau dikurung dalam bilik. Kau jangan jadi bodoh! Kau tak sedar ke jantan keparat tu cuba nak rosakkan kau? Kau tak nampak ke dia letak dadah dalam minuman kau tadi?" pintas Aisar bersama amarah yang semakin berada di kemuncak. Malam ini, Aisar benar-benar tertekan. Dia tidak bisa berkompromi lagi. Maka, layanan buruklah yang diberikan kepada Cassandra.

Sebaik saja omongan Aisar menusuk telinganya, Cassandra jadi pegun. Hanya sorotan matanya saja yang mampu menatap wajah bengis Aisar. Kenapa ya Aisar berkelakuan aneh malam ini? Dua tahun Aisar berkhidmat bersama keluarganya, Aisar tidak pernah berkasar. Sudah tentunya Cassandra terkilan dilayan dengan kasar.

"Masuk kereta. Jagalah diri kau tu baik-baik, Cik Sandra. Sejahil mana sekalipun hidup kau... jangan risikokan diri sendiri. Sayangi diri kau," pesan Aisar. Nada suaranya mula kembali terkawal. Pintu penumpang bahagian belakang dibuka.

Cassandra seolah-olah lembu dicucuk hidung. Kakinya menapak masuk ke dalam BMW berwarna merah. Entah mengapa, hatinya kembali disuntik sesuatu dengan keprihatinan Aisar. Sudah terlalu lama dia tidak dimarahi dan berakhir dengan nasihat. Hanya mendiang mummynya sahaja yang akan bertindak seperti itu.

Sebaik saja Aisar menutup pintu kereta, pandangannya dipusatkan ke laman wajah Adeline yang masih kaku di pintu bahagian pemandu. Ada riak bersalah terlakar di wajah gadis akhir 20 an itu.

"Kapten, a... aku minta maaf. Aku selalu susahkan kapten bila aku tak dapat handle Cik Sandra," pinta Adeline dengan kepala tertunduk. Segan bila mana dia sering mengharapkan bantuan  Aisar.

"Tak apa. Aku faham. Kau masih baru dan masih belajar. Kita kan satu pasukan. Mestilah kita kena bekerjasama dalam menjalankan tugas. Tak begitu?"

Adeline terus memanggung kepalanya tatkala pesanan Aisar meresap hingga ke relung hatinya. Dia terkilan. Namun, tiba-tiba saja anak mata Adeline melotot melihat ada marabahaya yang sedang menerpa seniornya itu.

"Kapten! Tun..."

Belum sempat Adeline menyampaikan amarannya, tubuh Aisar terus terhentak ke belakang pintu kereta. Tembakan yang tiba-tiba dilepaskan oleh figura bertopeng hitam membuatkan suasana tiba-tiba cemas. Hampir saja kaki Aisar melorot jatuh akibat kesakitan yang mula menjalar di bahunya.

Lantas, Aisar berpaling seraya mencapai glock di pinggang. Sebaik mungkin Aisar cuba menahan sakit tatkala melihat lima orang lelaki serba hitam sudah mengacukan senjata ke arahnya. Nampaknya, malam ini Aisar dan Adeline harus beraksi demi melindungi Cassandra Lee.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya Syaf 🌷

Kalau sukakan karya ini jangan lupa vote ⭐

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro