Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 23

PENJELASAN daripada Inara dan Adeline seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja bagi Aisar. Kornea matanya lebih fokus menatap raut wajah Inara yang masih kelihatan pucat. Ada titik keresahan masih menerajui sukma Aisar tatkala kejadian beberapa minit yang lalu masih bermain di benak fikirannya.

Hanya ada dua asbab berkaitan tembakan rambang yang hampir mencederakan Inara sebentar tadi. Pertama, musuh keluarga Inara kembali keluar dari sarangnya. Kedua, berkaitan dengan gerangan AB, si figura misteri yang sering mengancam keluarga Datuk Sri Lee.

"Terima kasih sebab tolong anak saya. Bagi pihak anak saya, saya nak minta maaf sangat-sangat sebab susahkan cik. Maaf juga sebab cik datang ke mari, cik nyaris menjadi sasaran musuh keluarga kami," ucap Datin Sri Zurina yang baru saja menuruni anak tangga. Memastikan Cassandra benar-benar selamat di dalam bilik. Segera wanita itu melabuhkan duduk di sebelah Inara.

Inara tersenyum nipis. Pandangannya dipusatkan ke laman wajah Datin Sri Zurina. Sebaik mungkin, Inara cuba memaniskan wajahnya meskipun kejadian dia hampir ditembak masih bermain di kotak fikiran. Entah mengapa, kehadiran Aisar di sisinya membuatkan Inara berasa selamat.

"Kebetulan saya ada dekat kawasan tu masa kereta Cik Adeline pancit. Tengok dia dalam keadaan susah, saya pun tolong hantarkan dia orang balik," jelas Inara.

"Kuat rasa bersalah dalam diri saya sebab libatkan cik dalam masalah ini. Mujur Aisar sempat selamatkan cik. Kalau..."

"So, how much do you want?" pintas Datuk Sri Lee. Rimas bila mana isterinya asyik meminta maaf kepada Inara. Bukannya gadis itu mati pun jika mahu berlebih-lebihan meminta maaf.

"Maksud datuk?"

Datuk Sri Lee tersenyum sinis dengan soalan polos Inara. Cerut yang disedut dihembus ke udara. Kepulan-kepulan asap mula memenuhi ruang tamu. Langkah diatur menuju ke pintu gelongsor lut sinar yang bertentangan dengan kolam renang. Ada riak angkuh di sebalik wajah usahawan ternama itu.

"How much that I can pay you after this incident? Your life is a worth right? So, I should pay you as a gift. Ala, semacam duit insurans atas kemalangan macam tu," jelas Datuk Sri Lee.

"Saya tak perlukan duit datuk. Saya ikhlas..."

"Tapi you hampir mati dalam rumah I. Cakaplah, berapa harga nyawa you sebagai ganti rugi? I boleh bagi berapa saja yang you mahukan," pintas Datuk Sri Lee seraya kalih memandang wajah Inara.

Jelas, wajah Inara kelihatan kaget dengan tawaran yang diberikan. Senyuman di bibirnya mula beransur pudar. Terpancar kemerahan di sebalik wajah Inara. Aneh sungguh gadis itu di pandangan Datuk Sri Lee. Sudah ditawarkan wang namun mahu menolak pula.

Suasana seakan-akan tegang. Tiada lagi diksi yang meniti di bibir Inara. Manakan tidak, Inara merasakan usahawan itu  seakan-akan menyamakan nyawanya dengan wang. Dinding hati Inara mula bergelegak panas. Mendidih!

"Datuk tak patut tawarkan nyawa orang yang dah tolong anak datuk dengan harta. Nyawa dia bukan satu permainan. Tolong hormat sikit perasaan orang lain!"

Sebaik saja Aisar menoktahkan bicaranya, empat pasang mata terus memusatkan pandangan ke arahnya. Pemuda itu masih statik berdiri tegak membelakangi pintu. Ada ketegasan di sebalik nada suara pemuda berjas kelabu itu. Manakan tidak, Aisar juga seakan-akan mahu meletup saja dengan keangkuhan majikannya.

Saat pandangan Inara dan Aisar kembali bersatu, buru-buru Inara bangun dari duduknya. Inara pamit. Gelas yang ralit digenggam diletak di atas meja kopi. Sungguh, Inara tak betah bila mana Aisar melindunginya sekali lagi. Inara dihempap dengan kesedihan.

"You memang tak belajar dari kesilapan. Cakap tanpa jaga perasaan orang lain! I dah penatlah bercakap dengan manusia angkuh macam you. Terlalu banggakan harta tanpa sedar kata-kata sendiri!" marah Datin Sri Zurina sebaik saja Inara melangkah keluar. Dengan hati yang mendongkol geram, wanita bertudung sarung itu kembali melangkah ke tingkat atas.

Tanpa berlengah, Aisar terus melangkah membuntuti Inara dari belakang. Berat untuk Aisar melepaskan Inara pergi di saat ancaman baru saja menerpa gadis itu. Lantas, nafas panjang dihela. Mengusir segala anasir yang seakan-akan memberatkan mulutnya untuk menghalang Inara pergi.

"Inara! Tunggu," tegas Aisar.

Sontak, langkah Inara terbejat. Dari ekor mata, figura Aisar sudah berdiri di belakangnya. Perlahan-lahan, Inara kalih menghadap Aisar yang kelihatan resah.

"A... aku nak minta maaf sebab kelancangan majikan aku dalam berkata," ujar Aisar. Sekali lagi, lain yang mahu diujarkan, lain pula yang terucap di bibir Aisar Mumtaz.

"Terima kasih juga sebab pertahankan aku. Kau jangan risau. Aku tak marahkan majikan kau. Aku minta diri dulu, Aisar," kata Inara seraya menyambung semula langkahnya untuk pergi.

"Aku tak habis cakap lagi! Boleh tak, kau bagi aku peluang untuk bercakap?" tegas Aisar. Ingin saja dia mencengkam lengan Inara dan mengunci langkah gadis itu.

Sekali lagi, langkah Inara terbejat. Dahinya mula dilapisi dengan kerutan tatkala intonasi suara Aisar semakin tegang. Apa lagi yang dimahukan Aisar? Tidakkah Aisar perasan bahawa seorang Inara sedang lelah?

"Aku... nak cakap... pasal kita. Maksud aku, pasal Aisara yang aku dah musnahkan selama 13 tahun. Tolong Nara, bagi aku peluang untuk bercakap pasal kita," tambah Aisar lagi. Terasa debaran mula mengetuk pintu hati sebaik saja dia menuturkan isi hatinya.

Inara kejang. Kaget dengan omongan yang baru saja meniti di bibir Aisar. 13 tahun mereka terpisah baru hari ini Aisar mahu menjelaskan semuanya? Di saat Inara sudah merelakan bahawa tiada lagi Aisara dalam hidupnya. Oh sungguh, Inara terpempan.

"Aku tahu, kau kecewa. Aku faham, seberapa banyak mana pun maaf yang aku pinta... aku tak dapat ulang waktu untuk ubatkan kesedihan kau. Tapi aku... aku cuma nak kau tahu yang Aisara... masih setia dalam diri aku. Aku..."

"Jangan cakap pasal setia kalau kau mungkiri janji kau!" bentak Inara tak semena-mena. Jiwanya jadi sesak dengan omongan yang dilafazkan oleh Aisar. Tubir mata mula terasa hangat tatkala ingatan Inara mengimbas detik dia dikhianati. Sakit!

Aisar tersentak. Suara Inara yang bergetar cukup menjelaskan kepada Aisar isi hati Inara. Sudah tentunya kekecewaan membaluti diri Inara sepenuhnya. Keadaan itu seakan-akan mahu membejatkan semula penjelasan Aisar.

"Aisara dah tak ada sejak kau pergi dari hidup aku. Aisara dah mati... sejak kau pergi dan buat aku menunggu. Buat apa lagi kita nak bahaskan pasal benda yang dah berlalu?" tambah Inara lagi. Akalnya sudah tidak mampu berdiplomasi. Inara terlalu mengikut emosi tika itu.

"Ya, aku akui yang aku dah hancurkan Aisara di saat aku pergi dan buat kau menunggu. Aku tak bagi kau peluang untuk tahu perkembangan aku. Aku juga tak ambil kesah pasal kau. Aku tak matang dalam membuat keputusan. Aku hanya fikir dengan cara meninggalkan kau... hidup kau akan lebih tenteram. Aku cuma tak nak nama kau buruk lagi, Nara. Aku tak nak orang cakap yang bukan-bukan pasal kau hanya disebabkan kau rapat dengan aku. Hanya itu yang aku fikir," ujar Aisar. Bahunya seakan-akan jatuh. Kecewa.

"Tanpa aku sedar... aku menyakiti hati kita berdua. Aku minta maaf buat kesekian kalinya. Tapi aku... aku masih sayangkan Aisara. Aku rindu semua pasal Aisara. Aku tahu aku tak layak nak minta sesuatu daripada seseorang yang aku dah sakiti. Tapi..."

Aisar jeda. Satu kalimah ini barangkali akan mengembalikan Aisara yang sudah musnah. Pentingkan diri? Ya, Aisar tahu dia pentingkan kemahuannya. Tidak dapat tidak, Aisar tekad untuk melafazkan kalimah itu.

"Tapi... aku mahukan peluang kedua untuk Aisara. Boleh kan... kita jadi macam dulu? Boleh kan kita baiki apa yang dah hancur dulu?" tambah Aisar. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Langkah diatur mendekati Inara yang masih membelakanginya. Seluruh wajah mula terasa bahang. Seakan-akan mahu luruh saja jiwa Aisar dengan permintaannya sendiri.

Inara mula kehilangan diksi. Pandangannya mula kabur dengan permintaan Aisar. Sedikit masa saja lagi air matanya bisa jatuh. Inara kaget. Nafasnya seakan-akan sesak dengan permintaan Aisar. Peluang kedua? Kalau dia memberikan peluang kedua  kepada Aisar, adakah hatinya juga bersedia untuk disakiti buat kedua kalinya?

"Aku masih sayangkan persahabatan kita. Mungkin kau beranggapan bahawa Aisara itu hanya sekadar kenangan silam dalam hidup aku. Kau salah. Sampai mati pun... kau tetap sahabat aku dunia akhirat. Sampai mati... aku tak lupa semua kenangan susah dan senang kita. Lebih-lebih lagi di saat kau lindungi aku tika aku difitnah dan dicemuh. Aku juga yakin... kau... masih sayangkan Aisara. Kan?"

Sebaik saja Aisar menoktahkan bicaranya, Inara terus berpaling memandang wajah sugul Aisar. Bibir Inara sudah menggeletar menahan tangis. Matanya tunak memandang wajah Aisar. Segala kata-kata Aisar benar-benar meresap hingga ke relung hati Inara. Dia terkesan.

"Jujur dengan aku Nara... kau masih sayangkan Aisara. Bukan? Aisara masih terpahat dalam hati kau. Betulkan aku kalau..."

"Sepanjang 13 tahun, aku tak pernah lupakan Aisara. Tak pernah terjentik sekali pun dalam hati aku untuk lupakan Aisar Mumtaz... sahabat yang selalu menjadi pelindung aku. Cuma aku... masih perlukan masa untuk bina semula Aisara yang dah musnah. Aku takut... aku takut kalau aku harus berhadapan dengan kekecewaan buat kali kedua," pintas Inara. Pandangannya terus dialihkan dari memandang wajah Aisar. Tidak mahu Aisar melihat air mata yang mula memenuhi tubir matanya.

Tiada lagi diksi yang terzahir daripada dua insan yang sama-sama terluka. Mereka hanya berdiri bertentangan. Masing-masing cuba menghadam penjelasan yang meniti di bibir. Hanya sorotan mata Aisar yang menatap wajah manis Inara. Sekali lagi, Aisar buat Inara sedih. Memang logik, kalau-kalau gadis kesayangannya itu seakan-akan tidak sanggup untuk membina Aisara lagi.

TAMAN Botani Perdana yang terletak berhampiran Masjid Negara menjadi destinasi Aisar untuk beristirehat. Melihat kawasan taman yang dipenuhi dengan landskap hijau cukup memberikan ketenangan kepadanya. Memandangkan hari itu merupakan hujung minggu, kelihatan ramai pengunjung sedang beriadah dan bersiar-siar.

Sesekali, Aisar memfokuskan lensa DSLR ke arah landskap yang kelihatan indah. Malahan, sesekali juga Aisar menghalakan lensa ke arah aktiviti yang sedang dilakukan oleh para pengunjung. Sekumpulan remaja kelihatan ligat bermain dengan skateboard.

Aisar tersentak apabila lensanya tiba-tiba menangkap satu susuk tubuh yang sedang melintas di hadapannya. Automatik, Aisar menangkap gambar si figura. Segaris senyuman terus terukir di bibir pemuda itu. Tambahan pula, si figura seakan-akan menyedari fotonya sedang ditangkap. Langkah gadis itu terbejat.

"Aisar?"

"Tak sangka terserempak dengan Doktor Inara dekat tempat ni. Ingatkan, bidadari manalah yang turun dari langit lalu depan aku tadi," usik Aisar seraya mengambil foto Inara yang sudah mendekatinya.

Inara tersenyum simpul dengan pujian Aisar ke atasnya. Seakan-akan ada figura Aisar ketika mereka berada di zaman remaja saja bila Aisar curi-curi mengambil fotonya. Inara juga tidak menyangka, takdir mempertemukannya bersama Aisar hari ini.

"Kau memang tak berubah. Minat bidang fotografi lepas tu suka sangat curi-curi ambil gambar aku," ujar Inara.

"Memanglah. Rezeki jumpa gadis idaman aku," desis hati Aisar. Cukup hanya dia seorang saja yang mendengar.

"Rezeki?"

"Err... maksud aku rezeki kau! Haah! Memandangkan kita terserempak, aku nak bawa kau makan cendol. Dekat Ireland mesti tak ada cendol kan? Rezeki kaulah dapat cendol free hari ini. Kita kena sambut... pertemuan di antara Aisara semula," ujar Aisar. Tidak mahu Inara tahu isi yang tersimpan di lubuk hatinya. Gadis itu sudah jadi milik sepupunya. Aisar tidak mahu cari fasal.

Mendengarkan omongan Aisar membibitkan rasa senang dalam diri Inara. Langkah diteruskan menuju ke sebuah titi. Mahu meneruskan semula aktivitinya mengambil udara segar.

"Aku nak lima mangkuk cendol sebagai denda kau buat aku sedih dan kecewa selama 13 tahun. Lepas tu, aku nak kau belanja satu kedai tu. Ada berani?"

Tak semena-mena, Aisar tertawa dengan permintaan Inara. Seperti Inara, Aisar juga senang hati bila Inara mula bersikap terbuka kepadanya. Perbincangan tegang mereka dua malam yang lepas benar-benar menyedarkan Inara. Aisar yakin itu.

"Kalau masa sekolah dulu pun, aku boleh belanja kau lima mangkuk cendol walaupun aku kena korek tabung ayam aku, ini kan pula sekarang. Aku dah mampulah belanja seberapa banyak cendol yang kau mahukan. Demi menyambut kepulangan Doktor Inara," ujar Aisar. Tergaris senyuman di bibirnya tatkala Inara sudah memandangnya dengan pandangan sinis.

"Aku ingat lagi masa kau korek tabung ayam kau, kita balik saja dari gerai Mak Jemah, mak kau terus piat telinga kau sebab kau mungkir janji! Katanya nak kumpul duit. Tup tup hilangkan duit adalah. Kau memang suka mungkir janji ya Kapten Aisar Mumtaz?"

Aisar mencerlungkan matanya ke arah Inara tatkala gadis itu mula bersarkastik dengannya. Langkah mereka terbejat di hadapan tasik. Tingkah sarkastik Inara benar-benar dapat melepaskan rindu yang terpendam buat Aisar. Inilag Inara yang Aisar kenal.

"Masa tu aku pokai sangat. Mana ada duit nak belanja kau lima mangkuk cendol. Ya aku memang mungkir janji. Aku dah buat satu kesalahan paling besar dalam hidup. Tapi... lepas apa yang jadi dalam Aisara, aku tak akan mungkir janji lagi. Aku betul-betul menyesal sebab tinggalkan kau. Sakitnya merindui Doktor Inara itu hanya Allah saja yang tahu," tutur Aisar bersama keluhan berat. Melepaskan beban yang dipikul di bahunya.

"Janji?"

"Janji apa?"

"Janji yang kau tak akan tinggalkan Aisara lagi? Janji yang kau akan tetap jadi sahabat aku dunia akhirat?"

Tatkala Inara menghalakan jari kelingkingnya ke arah Aisar, pemuda bertopi itu tergamam. Matanya sudah terkebil-kebil melihat raut wajah Inara yang manis dengan senyuman. Dia tidak bermimpikan di saat Inara memberikannya peluang kedua?

"ZULFAN tak marah ke aku ajak tunang dia dating? Mahunya dia buat appointment nak bertumbuk dengan aku, sebab tak minta izin bawa tunang dia makan cendol macam mana?"

Mendengarkan soalan polos Aisar membuatkan Inara tertawa. Hampir saja gadis itu tersedak cendol yang sedang dijamah. Wajah kelat Aisar dipandang. Aisar memang tidak berubah. Masih ada sisi komedinya yang buat Inara terhibur.

"Kau ingat dia kaki pukul macam kau? Dia lebih guna akal dari kekerasan. Takkan sepupu sendiri kau tak kenal?" kata Inara seraya kembali menyambung menjamah cendol bagi mangkuk kedua.

Aisar hanya tersenyum dengan kata-kata Inara. Matanya tak lekang dari memandang Inara yang duduk bertentangan dengannya. Bagaikan mimpi di siang hari tatkala mereka kembali berbaik. Inara memang seorang yang pemaaf. Aisar ingat, Inara tidak mahu menerima dirinya lagi. Rupanya, anggapannya salah.

"Kau masih pakai gelang tu?" soal Aisar tatkala pandangannya tertancap ke arah gelang bertuliskan AISARA di pergelangan tangan Inara.

Gelang di pergelangan tangan menjadi tatapan Inara sebelum pandangannya kembali bersatu dengan Aisar. Segaris senyuman turut terukir di bibir Inara. Dia mengangguk sambil menunjuk gelang di depan Aisar.

"Aisara di antara perkara yang paling berharga dalam hidup aku. Mestilah aku akan pakai dan bawa ke mana saja aku pergi. Aku sayangkan Aisara walaupun Aisara dah tak sama macam dulu," jelas Inara dengan ringkas.

Mendengarkan omongan Inara membibitkan rasa galau di jiwa Aisar. Sudah tentunya Aisar terharu di saat Inara masih menyimpan hadiah yang diberikan kepada gadis itu. Betapa tingginya kesetiaan Inara terhadap Aisara.

"Jadi Kapten Aisar Mumtaz, aku nak tanya pasal kau yang sekarang. Kenapa kau berhenti jadi tentera dan macam mana kau boleh terdetik jadi bodyguard kepada usahawan tu?" soal Inara. Bibirnya dilap dengan tisu. Tubuh disandarkan di belakang kerusi.

Tak semena-mena, soalan Inara mematikan terus senyuman di bibir Aisar. Pandangannya dialihkan dari menatap wajah gadis itu. Aisar tidak mahu Inara membaca kebenaran yang terpampang di wajahnya.

"Ada sesuatu yang buruk berlaku ke sampai kau berhenti?" soal Inara. Aneh melihat Aisar tiba-tiba saja berdiam diri.

"Aku..."

Belum sempat Aisar menoktahkan bicaranya, tangisan seseorang kanak-kanak menusuk ke deria pendengarannya. Pandangan terus melingas ke sekeliling gerai cendol yang terletak di kawasan Kampung Baru. Mencari suara yang seakan-akan dalam ketakutan itu.

"Pergilah budak! Ada karang penyakit HIV kau menular dekat kedai aku."

"Saya lapar..."

"Pergi mampuslah dengan lapar kau tu. Berambuslah anjing kurap! Jijik aku tengok kau dekat kedai aku ni!" bentak si penjual sate yang terletak di hadapan gerai cendol.

Melihatkan itu, Aisar terus bangun dari duduknya. Namun, Inara mara terlebih dahulu. Aisar jadi kaku apabila Inara terus saja menyembur seorang wanita berbadan gempal yang sedang mengipas sate. Sesekali, gadis itu mengunjuk dirinya dan kanak-kanak perempuan yang kelihatan compang-camping.

Aisar merasakan dejavu menerpanya. Teringat bila mana Inara pernah melindunginya ketika dia menjadi mangsa fitnah. Sikap Inara ini sering saja buat Aisar semakin jatuh hati dengan gadis itu. Ketegasannya, keberaniannya cukup membuatkan seorang Aisar Mumtaz jadi sukar untuk melupakan cintanya buat insan bernama Doktor Nur Inara.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya Syaf 🌷

Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan butang vote ⭐

Syaf harap korang happy dalam episod kali ini 😊🌷

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro