EPISOD 22
"ABANG setuju sangat kalau Zulfan nak cepatkan pernikahan kau orang. Sekurang-kurangnya, ada juga yang jaga adik bongsu abang yang degil ni. Abang pun senang hati kalau ada yang jaga Nara dengan baik. Tup tup Allah tarik nyawa abang sekelip mata."
Inara mencebik geram sebaik saja Mustaqim menoktahkan bicaranya. Bibirnya sudah muncung ke depan. Wajah manis Inara juga sudah berubah kelat masam. Jelas, terpancar ketidakpuasan di sebalik wajah bujur Inara.
"Kenapalah abang suka sangat cakap pasal mati? Ini yang Nara meluat. Asyik cakap benda yang sama. Sajalah tu nak Nara setuju dengan permintaan Zulfan sampai ungkit pasal mati. Kan?" tegas Inara seraya mencerlungkan mata ke wajah abangnya yang sedang memandu.
Mustaqim tertawa kecil dengan keluhan adiknya. Tangan kiri diangkat lalu diletak di atas kepala Inara yang berbalut dengan selendang. Laju saja tangannya mengusap kepala adiknya dengan penuh kasih.
"Kematian itu benda yang pasti. Kenapa pula Nara tak suka cakap pasal mati? Padahal, semua makhluk pasti akan mati. Cuma kita saja tak tahu bila kematian kita tiba. Aik, Nara kan doktor. Takkan masih tak suka kalau berhadapan dengan kematian?"
Sekilas, omongan padu Mustaqim seakan-akan merenggut tangkai hati Inara. Terasa kelat liur yang ditelan sebaik saja omongan Mustaqim meresap hingga ke relung hatinya yang terdalam. Tazkirah ringkas Mustaqim ini selalu saja buat Inara kehilangan diksi.
"Bersedia ke tak... kita kena hadap juga. Macam masa mula-mula abang hilang arwah Delisha dulu. Siapa sangka di saat dia sembuh dari kanser, Allah tarik arwah isteri abang di saat dia melahirkan anak kita orang. Tipulah kalau abang kata abang tak bersedia. Tapi, abang kena reda. Hanya setakat itu saja Allah pinjamkan arwah Delisha untuk abang," tambah Mustaqim. Senyuman kelat terukir di bibirnya tatkala kotak memori mengimbas detik dia kehilangan isteri tercintanya.
Pahit untuk ditelan tapi kenangan yang tak pudar itu telah memaniskan hidup Mustaqim.
Mendengarkan itu, Inara mula dihurung rasa bersalah. Dia tahu, Mustaqim amat mencintai Delisha sehingga sanggup berkorban apa saja. Bahkan, Mustaqim pernah mengalami episod kemalangan yang hampir mengorbankan nyawa hanya demi menyelamatkan Delisha. Ketika Delisha sakit, Mustaqim masih setia merawat isterinya. Dibelai dan dimanja dengan setulus kasihnya.
"Rindu pula dengan anak buah Nara yang seorang itu. Abang, bawalah Sumayyah balik KL. Dalam sehari dua macam tu. Bagi dia tinggal dengan Nara," kata Inara. Menukar topik yang sensitif.
"Boleh tu boleh. Tapi Nara dengan abang sama-sama sibuk. Biarlah dia di bawah jagaan ibu buat masa sekarang. Lagi pun, abang risau kalau musuh di luar sana dapat jejak keberadaan keluarga kita," ujar Mustaqim.
Ada titik kerinduan menyelinap masuk ke dinding hati Mustaqim tatkala teringat akan anak tunggalnya yang sudah berusia enam tahun. Demi keselamatan, Mustaqim menitipkan Sumayyah ke jagaan Puan Kirana. Di kampung, suasana memang aman berbanding ibu kota. Sama seperti yang dilakukan oleh arwah Encik Rosham dahulu.
"Tak payah nak buat muka sayur layu sangat. Zulfan dah nak cepatkan perkahwinan kau orang kira okay apa. Hah nanti bolehlah Nara rancang keturunan Nara secepatnya. Nara tu pun dah tua. Dah 31 tahun dah pun."
"Abang nak cakap Nara andartulah ni?" soal Inara.
Tak semena-mena, Mustaqim terkekek dengan soalan cepumas adiknya. Wajah masam Inara dipandang sekilas sebelum kereta yang dipandu memasuki sebuah kondominium. Mustaqim mengangkat tangan tanda menyapa pengawal keselamatan di pondok. Pengawal keselamatan terus menaikkan palang.
"Sampai bila Nara tak bersedia? Orang sebelah sana asyik ternanti-nanti saja. Apa lagi yang Nara nak capai sampai benda elok macam ni Nara tak ambil kesah? Ke... Nara masih ada perasaan istimewa untuk Aisar?"
Sontak, soalan terakhir Mustaqim membuatkan wajah Inara mula tegang. Pandangan dialihkan dari memandang raut wajah abangnya. Sungguh, soalan itu seakan-akan menampar kuat hidup Inara. Kaget apabila spontan saja Mustaqim mengutarakan soalan itu.
"Orang tua-tua kata diam itu tanda setuju. Jadi, betullah kan Nara masih..."
"Abang, benda tu dah lapuk sangat tau. Nara dah move on. Buat apa Nara nak terus pertahankan perasaan Nara kalau dia sendiri yang tak bagi peluang dekat kita orang? Dia yang pergi, Inara yang menanti. Cukuplah dia buat persahabatan kita orang tergantung. Abang jangan tanya soalan macam ni lagi. Nara tak suka!" tegas Inara seraya menarik tangan abangnya. Satu kucupan diberikan di kura tangan Mustaqim. Sungguh, soalan ini benar-benar menghangatkan dinding hati Inara.
Ya, dia masih kecewa.
"Okay. Abang minta maaf. Tapi kan, kalau Nara sendiri dah rasa sakitnya menunggu, kenapa Nara tak fikirkan pasal perasaan Zulfan? Dia juga menunggu, bukan? Apa pun, abang tak akan paksa Nara. Ini cuma nasihat. Lagi satu, kalau rasa hati tu berbolak balik, buatlah Istikharah. InsyaAllah, Allah akan berikan jalan buat Nara," pesan Mustaqim. Sebuah senyuman manis diukir buat adik bongsunya.
Tiada lagi diksi yang meniti di bibir Inara. Bila berbicara dengan Mustaqim, sering saja minda Inara kehilangan aksara. Ada saja kata-kata Mustaqim yang membuatkan Inara terpempan.
"Thanks temankan abang lunch hari ini. Jangan buat muka cemberut sangat. Nanti muka berkedut mengalahkan ibu."
Inara hanya menjelingkan matanya tatkala Mustaqim sempat mengusik. Hanya sorotan matanya saja yang menghantar pemergian Mustaqim sehingga hilang dari pandangan. Inara menghela nafas berat. Barulah gadis itu beransur tenang setelah dia meluahkan semuanya kepada Mustaqim.
Deruan motosikal berkuasa tinggi yang melintasi Inara membuatkan gadis itu kaget. Sorotan matanya sudah memandang si figura berkemeja jeans denim yang sudah memarkir Ducatinya di hadapan taman permainan. Intuisi Inara mula terasa tidak enak tatkala si figura yang masih duduk di atas motor sedang ralit memandangnya.
Saat itu juga, memori Inara mula mengimbas detik dia diserang dulu. Sebuah Ducati berwarna hitam telah membantunya. Hingga kini, Inara sendiri tidak menemui jawapan siapa gerangan figura tersebut. Apakah dia berniat baik atau sebaliknya? Saat ini pula, sekali lagi Inara ditujahkan dengan persoalan tatkala dia merasakan dirinya sedang diekori.
Buru-buru Inara melangkah menuju ke lif. Jantungnya mula berdegup kencang seakan-akan ada bom jangka di hadapan mata. Tangannya mula terketar-ketar menekan punat lif. Pelbagai anasir negatif mula meracuni minda Inara.
Bagaimana kalau figura itu mahu menyerangnya dengan menggunakan senjata? Sudah tentunya Inara khuatir! Walaupun dia mempunyai skil mempertahankan diri, kalau senjata sudah diacukan kepadanya sudah tentu dia juga takut.
Telefon pintar di dalam tas tangan tiba-tiba berdering. Inara terus mengagau tas seraya mencapai telefonnya. Dahi Inara sudah berkerunyut tatkala nama abangnya terpampang di skrin. Lantas, punat hijau disentuh.
"Nara! Cepat naik dan kunci pintu. Kejap lagi, Sarjan Zira datang temankan Nara," arah Mustaqim tanpa mukadimah.
Tatkala itu juga, Inara semakin keresahan mendengar suara cemas abangnya. Langkah segera diatur memasuki lif sebaik saja pintu lif terbuka. Sungguh, Inara seakan-akan sesak tatkala ketakutan menyelubunginya.
Namun, belum sempat pintu lif tertutup, satu tangan telah menahan pintu. Saat itu juga, anak mata Inara sudah membuntang melihat figura berhelmet di hadapannya. Kakinya terundur setapak ke belakang. Memberikan peluang kepada si figura untuk menekan punat.
"Hello, Inara! Dengar tak..."
"De... dengar. Ya, Nara bu... buat apa yang abang... pesan. Tapi... ken... kenapa abang tiba-tiba cemas?" pintas Inara. Suaranya sudah terketar. Anak matanya tunak memandang butang tingkat empat yang ditekan oleh si figura yang aneh itu.
"Nanti abang jelaskan! Ikut saja dulu apa yang abang arahkan. Abang ada hal mustahak yang abang kena selesaikan dulu!" jawab Mustaqim seraya menamatkan panggilan.
"Tingkat berapa cik?" soalan si figura membuatkan Inara tersentak dari memikirkan perihal abangnya. Nada suara si pemuda yang dingin menambahkan rasa tidak tenteram dalam diri Inara.
Spontan, Inara menekan punat tingkat enam meskipun rumahnya di tingkat empat. Inara tiada cara lain untuk tidak mendedahkan tingkat rumahnya kepada si figura aneh itu.
"Tingkat enam bukan renovation ke cik? Cik salah tekan ya?"
Hampir luruh jantung Inara tatkala si figura semakin ligat berbicara. Inara lupa! Tingkat enam hanya menempatkan kolam renang dan gimnasium saja. Tingkat tersebut juga sedang diselenggara oleh pihak pengurusan.
"Bukan ke rumah cik... tingkat empat? Kenapa? Cik rasa saya nak bunuh cik ke sampai cik cuba nak tipu saya?"
Saat itu juga, Inara terus memberanikan dirinya memandang si figura yang sedang memasukkan tangan ke dalam poket seluar. Hanya anak mata mereka saja yang saling bersabung tika itu. Entah mengapa, Inara merasakan pandangan pemuda itu kelihatan sinis.
"Si... siapa kau?" soal Inara dengan nada suara yang tegas. Tangannya digenggam erat sehingga kukunya menyucuk tapak tangan.
"Aku? Kau akan tahu siapa aku. Tapi aku bukan musuh. Melainkan, CCTV kau dari jauh," jawab si figura seraya melangkah keluar dari lif. Meninggalkan Inara yang sudah dihujani dengan seribu tanda tanya. Tergaris senyuman sinis di bibir si pemuda aneh.
SURAT layang yang bertuliskan warna merah menjadi tumpuan Aisar. Sesekali, Aisar mendekatkan kertas ke hidungnya. Ada bau yang meloyakan di sebalik tulisan tersebut. Bau segar yang sudah tidak asing lagi dalam hidup seorang Aisar Mumtaz.
"Pelaku guna darah untuk menulis. Ada bau hanyir yang masih segar. Huruf AB yang ditulis di hujung surat menguatkan lagi justifikasi aku mengenai pengirimnya. Tak lain dan tak bukan penyerangnya..."
"Orang yang sama sejak kali pertama keluarga Datuk Sri diancam bahaya. Aku pun beranggapan yang sama dengan kau. Dengan pelbagai bukti yang kita kumpul, intuisi aku kuat mengatakan hanya seorang saja yang benar-benar ingin menghapuskan keluarga datuk," pintas Lukman sambil berpeluk tubuh. Matanya tunak memerhatikan kotak berisikan anak patung lelaki yang dicucuk dengan berbelas jarum peniti.
Kiriman misteri yang diterima bersama surat layang tersebut.
"Ada sesuatu yang pelik di sebalik semua yang telah berlaku selama lima bulan ini. Kau orang perasan tak, AB seakan-akan tahu saja pasal jadual keluarga datuk. Padahal, hanya kita selaku bodyguard dan setiausaha datuk dan datin saja yang tahu program dia orang. Semuanya sulit. Melainkan..."
Ramesh jeda.
Wajah Lukman dan Aisar dipandang silih berganti. Sungguh sukar untuk pemuda berkulit hitam manis itu mengungkapkan omongan seterusnya. Bukanlah Ramesh mahu menuduh, namun segala serangan hendap ke atas majikannya sememangnya aneh.
"Melainkan ada orang dalam. Boleh jadi apa yang kau cakapkan itu benar. Ada di antara kita yang cuba menjadi musuh dalam selimut. Licik sehinggakan pihak polis sendiri masih belum berjaya menjejak keberadaan penyerang datuk. Suspek yang ditangkap pula seakan-akan berpegang pada biar pecah di perut jangan pecah di mulut!" ujar Aisar seraya melabuhkan duduknya bertentangan dengan Ramesh.
Sungguh, kejadian serangan ke atas majikannya membuatkan suasana semakin dihurung misteri. Musuh muncul dan menujahkan serangan hendap mereka. Membuatkan Datuk Sri Lee sering naik angin apabila pekerjaanya diganggu.
Suasana mula hening buat seketika. Dingin malam mula menggigit hingga ke tulang hitam. Sesekali, angin malam menyapa tubuh pengawal peribadi Datuk Sri Lee. Masing-masing memikirkan mengenai pembelot dalam kalangan mereka.
"Tapi... betul ke..."
Tak semena-mena, Lukman kematian kata apabila suara nyaring kedengaran di luar pagar. Serentak, mereka bangun dari duduk di taman mini rumah agam itu. Masing-masing saling berpandangan sebaik saja bahasa yang begitu asing menyapa pendengaran.
"Bahasa Cina. Mesti Cik Sandra dan Adeline dah balik," ujar Ramesh. Teringat akan anak majikannya yang hanya menggunakan bahasa Cina bersama pekerja berbangsa Cina saja.
Kelihatan, Cassandra yang dalam keadaan terhuyung-hayang sedang dipapah oleh Adeline masuk ke dalam rumah. Melihatkan keadaan dua orang gadis yang begitu kusut menimbulkan tanda tanya dalam diri tiga orang pemuda.
Cassandra yang sedang membentak Adeline dengan bahasa Cina lantas menolak kuat tubuh pengawal peribadinya. Ada daya tarikan di depan mata Cassandra. Dengan pandangan berbalam-balam, gadis bergaun hitam paras lutut itu menghampiri satu susuk tubuh yang membuatkan hatinya ditumbuhi dengan bunga-bunga cinta.
"Hey handsome! You pergi mana hari ini? Kenapa I tak nampak... bayang you dekat rumah I?" soal Cassandra sambil mengenggam tangan Aisar. Laju saja tangan kekar itu dilekapkan ke wajahnya yang dingin. Mata terpejam rapat.
Buru-buru, Aisar menarik kasar tangannya daripada genggaman Casandra. Dahi Aisar mula dilapisi dengan kerutan melihat keadaan Cassandra yang mengaibkan. Apa sajalah yang bermain di minda gadis itu? Gediknya sudah keterlaluan!
"Adeline! Bawa Cik Sandra naik bilik dia. Karang..."
"Apa kata you saja yang... bawa I naik atas. I tak larat nak jalan..."
Tak semena-mena, Cassandra memuntahkan isi perutnya di hadapan Aisar. Wajah gadis itu mula dilapisi dengan kerutan tatkala tekaknya berasa loya. Cassandra menjatuhkan lututnya tatkala kakinya semakin terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri.
"Cik Sandra! Saya dah cakap jangan minum benda haram tu lagi. Inilah akibatnya..."
"Syhh! You jangan jadi pak ustaz lagi boleh tak? Bisinglah. I tak muntah dekat baju you pun kan!" bentak Cassandra sambil meletakkan jari telunjuknya di depan bibir. Perlahan-lahan, gadis itu kembali bangun. Namun, hanya seketika cuma apabila pandangannya terus menjadi gelap.
Sontak, Aisar menyambut tubuh Cassandra dari terhempas di atas rumput. Keluhan berat terlepas dari bibir pemuda yang sudah diamuk dengan amarah. Sedap hati saja gadis itu tertidur di atas ribanya. Aisar semakin kurang selesa.
"Ramesh, kau tolong Adeline bawa budak ni..."
Di saat pandangan Aisar tertancap ke laman wajah seseorang di depan pagar, masa seakan-akan berhenti berputar saat itu. Seakan-akan ada tarikan magnet, sepasang mata Aisar tunak menatap laman wajah gadis yang tiba-tiba muncul.
"I... nara," desis hati Aisar. Bagai mimpi di malam hari saja saat Inara tiba-tiba muncul di depan matanya. Di saat waktu yang salah. Gadis itu juga kelihatan kaget. Sesekali, mata si gadis memandang keadaan Aisar dan Cassandra yang begitu dekat.
Namun, pertemuan itu tiba-tiba berubah cemas. Anak mata Aisar sudah beralih memandang susuk tubuh yang sedang menunggang motosikal sambil menghalakan sesuatu ke arah Inara. Begitu jelas di belakang Inara dengan keadaan pagar separa tertutup!
"Inara! Awas!" jerkah Aisar seraya menolak kasar kepala Cassandra. Langkah tangkas diatur mencengkam lengan Inara. Sontak, tubuh Inara terhentak ke belakang dinding dengan ketangkasan Aisar.
Serentak, bunyi tembakan kedengaran. Inara jadi kejung. Kaget! Jantungnya berdegup kencang. Terasa darah menyerbu ke seluruh wajah. Manakan tidak, belum surut lagi kejutan dengan pertemuan bersama Aisar. Kini, dirinya hampir terbunuh!
Tujuan Inara ke teratak Datuk Sri Lee, hanya untuk menghantar barang Cassandra yang tertinggal selepas dia menumpangkan gadis itu saja. Tapi, semuanya berakhir dengan kejutan yang membuatkan Inara longlai.
"Kau tak apa-apa? Kau ada sakit dekat mana-mana? Kau cedera tak?" bertubi-tubi soalan yang Aisar ajukan kepada Inara. Wajahnya jadi resah melihat wajah pucat tak berdarah Inara.
Inara benar-benar kaku. Terasa dinding hatinya berdenyut sakit dengan kerisauan Aisar terhadapnya. Sudah terlalu lama Inara tidak berhadapan dengan Aisar yang bersikap prihatin. Aisar yang sering melindunginya dari ancaman. 13 tahun bukan masa yang singkat.
Melihatkan Inara kaku membuatkan Aisar juga tersentak. Dengan dia yang berdiri bertentangan dan hanya jarak sejengkal dari Inara membibitkan debaran yang maha kuat di lubuk hati Aisar. Sungguh, Aisar rindukan wajah polos Inara. Ingin sekali Aisar menyatakan masih kuat rasa cintanya buat Inara.
Namun, Aisar sedar siapa dia dalam hidup Inara. Hati gadis itu sudah dimiliki. Selama mana waktu berlalu, Aisar sedar bahawa rasa cinta Inara bukan untuknya. Hanya Zulfan Ridhwan saja yang layak.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan vote ⭐
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro