EPISOD 21
SEBAIK saja lima orang lelaki asing berpakaian serba hitam terpampang di depan mata, Aisar terus dalam posisi bersiap sedia untuk bertempur. Kekudanya dipasang. Tangan yang sedang mengenggam glock dieratkan. Aisar tidak akan melepaskan tembakan jikalau pihak lawan tidak mengeluarkan senjata terlebih dahulu.
Hal itu sangat menyalahi undang-undang. Tembakan hanya boleh dilepaskan jikalau pihak lawan mula bergerak. Demi mengelak daripada kehilangan nyawa.
Pihak lawan terus berpusu-pusu meluru ke arah Aisar. Penyerang pertama terlebih dahulu menghayunkan tendangannya ke tengkuk Aisar. Tangkas, Aisar menyendengkan tubuhnya dan menyepak pelipat lutut lawan dengan kuat. Penyerang pertama rebah akibat ketangkasan Aisar.
Pihak lawan semakin mengganas menyerang Aisar. Bertubi-tubi tumbukan dan tendangan ditujahkan kepada pemuda itu. Aisar hanya mengelak dan sesekali membalas serangan. Sesetengah daripada mereka juga meloloskan diri untuk mengejar Datuk Sri Lee. Malangnya, ketangkasan Aisar membejatkan pergerakan mereka.
Aisar semakin ligat membalas serangan sambil menghalang mereka mengejar Datuk Sri Lee. Pandangannya semakin tunak membaca pergerakan lawan. Sesekali, Aisar melompat ke dinding sebelum berpusing menghayunkan tendangannya ke tubuh dua orang musuh sekali gus.
Pertarungan mereka semakin sengit. Erangan kesakitan pihak lawan semakin melatari lorong berhampiran pintu kecemasan. Penangan seorang Aisar Mumtaz benar-benar melemahkan tenaga mereka. Terasa tulang-temulang seakan-akan dipatahkan dengan setiap tendangan dan tumbukan Aisar.
Kini, dua orang musuh berbadan sasa masih bertenaga untuk menentang Aisar. Salah seorang daripada mereka mula menggagau sesuatu di kocek seluar. Anak matanya tunak memerhatikan Aisar dan rakannya yang masih ralit bergasak sesama mereka. Melihat Aisar lebih mendominasi benar-benar membakar amarah di sukma si antagonis.
Sudah tentunya dia tercabar! Semudah itu saja mereka dijatuhkan oleh seorang pemuda. Walhal, tenaga mereka lebih berganda berbanding Aisar. Lantas, pisau kecil bermata tajam digenggam erat. Kakinya lantas meluru ke arah seterunya.
Aisar yang baru saja membanting tubuh musuhnya ke belakang, tangkas mengenggam tangan musuh yang hampir menikam jantungnya. Nafasnya mula turun naik akibat kelelahan. Gigi dikacip menahan geram tatkala mata pisau hampir ditujahkan ke dadanya.
Anak mata dua seteru tersebut sudah saling bersabung. Masing-masing dengan pandangan yang bengis. Sebaik mungkin Aisar cuba merampas pisau yang hampir membunuhnya. Namun, kekuatan seteru terakhirnya ini lebih berganda daripada seteru yang lain.
Malahan, tubuh Aisar yang semakin kuat mengenggam pergelangan tangan seterunya dihentak ke belakang dinding. Tergaris senyuman sinis di bibir seteru berkulit hitam tatkala dahi Aisar semakin dilapisi dengan kerutan. Jiwanya yang ingin membunuh Aisar semakin membuak-buak.
Namun, hanya seketika cuma apabila Aisar menghayunkan lututnya ke rusuk seteru tersebut. Langkah seteru terdorong ke belakang. Penangan maut Aisar seakan-akan mematahkan tulang rusuknya. Buru-buru, seteru menegakkan posisinya lantas menyendengkan tubuhnya tatkala Aisar hampir menghayunkan tendangannya.
Aisar mendengus apabila tendangannya berjaya dipatahkan. Glock lantas dihalakan ke arah musuh. Ingin mengugut musuh yang masih gagah berdiri.
"Letakkan senjata kau!" jerkah Aisar. Wajahnya semakin membahang panas. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipi pemuda itu.
"Kau tak akan menang! Aku akan bunuh kau saat ini juga!" bentak si seteru seraya meluru ke arah Aisar. Pisau yang berada di genggamannya lantas ditujah ke tubuh Aisar. Kalau Aisar lepaskan tembakannya sekalipun, dia akan puas saat senjatanya dapat menjatuhkan Aisar.
Senyuman sinis terukir di bibir Aisar. Kakinya berganjak ke sebelah kanan. Tangkas, kaki kirinya dihayun menendang kuat tengkuk seterunya. Akibat tindakan tangkas dan cekap Aisar, musuh akhirnya tersungkur. Buru-buru, Aisar mengilas tengkuk musuhnya ke belakang sehingga membuatkan musuh tidak sedarkan diri.
"Siap satu hal! Tak pasal-pasal, aku terpaksa kotorkan tangan aku dengan bajingan macam kau orang berlima ni!" keluh Aisar. Kot hitamnya dibetulkan. Rambut yang kusut disebak ke belakang dan dirapikan semula.
"Ramesh! Macam mana dengan keadaan datuk?" soal Aisar seraya merenggangkan tengkuknya yang terasa lenguh.
"Datuk sudah selamat. Kapten, kau okay? Aku dah panggil pihak polis," lapor Ramesh. Sesekali, pandangannya tertancap ke cermin pandang belakang. Memandang Datuk Sri Lee yang sedang memarahi Lukman. Hanya kerana mereka meninggalkan Aisar.
Mendengar keadaan Datuk Sri Lee benar-benar melegakan hati Aisar. Tanggungjawabnya berjaya diselesaikan hari itu. Sudah tentunya Aisar senang hati. Aisar mahu menyelesaikan tugasannya dengan cepat. Jadi, dapatlah dia menemui Doktor Inara untuk memastikam keselamatan gadis kesayangannya itu pula.
"DOKTOR, oksigen pesakit betul-betul dalam keadaan kritikal. 15 peratus. Pesakit tiba-tiba saja drop," lapor misi Sarah sebaik saja Inara meluru masuk ke dalam ruangan NICU.
Suasana kelihatan begitu cemas tatkala kulit seorang bayi perempuan pramatang kelihatan biru. Pernafasannya tidak begitu stabil. Turun naik nafas Inara yang baru saja berlari anak menuju ke ruangan NICU sebaik saja dipanggil oleh jururawat.
Lantas, gadis berbaju kurung hijau daun dipadankan dengan kot putih mencapai sarung tangan yang dihulurkan oleh jururawat. Monitor jantung dipandang sekilas. Terasa kelat liur yang ditelan melihat bayi yang sedang berjuang dengan kematian itu.
"Kita buat suction! Nurse, suction catheler dengan endotracheal tube," arah Inara.
Sebaik saja alat yang diperlukan dihulurkan kepadanya, doktor muda itu lantas menjalankan tugasannya. Tiub dimasukkan ke rongga bayi tersebut. Bagi menjaga kebersihan. Usai melakukan tugasan tersebut, jururawat terus memicit beg oksigen yang disambungkan kepada pesakit.
Tatkala itu juga, jantung Inara berdebar kencang. Keadaan bayi pramatang yang kritikal itu benar-benar meluluhkan jiwanya. Tambahan pula, rayuan si ibu yang masih bermain di benak fikiran Inara.
"Doktor, saya merayu tolong selamatkan anak saya. Saya tak sanggup nak tengok anak saya terseksa. Saya dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni melainkan bayi saya."
"Fatimah sayang, awak kena kuat demi ibu awak," desis hati Inara seraya mengambil alih tugasan jururawat. Beg oksigen lantas ditekan selaju mungkin. Tak henti-henti gadis itu merintih kepada yang Maha Esa agar anak kecil itu diselamatkan.
Setengah jam berlalu, kahak dapat dikeluarkan menggunakan penyedut. Oksigen mula menunjukkan peningkatan. 50 peratus. Namun, kulit bayi tersebut masih biru.
Keadaan bayi bernama Fatimah sangatlah kritikal. Selain lahir pramatang, paru-parunya juga dijangkiti dengan kuman. Sudah bermacam antibiotik diberikan kepada bayi tersebut namun nasibnya masih belum membaik.
Inara sedaya upaya mengelakkan dari melakukan suction terhadap Fatimah. Risikonya sangat buruk bagi bayi sekecil itu. Tisu paru-paru Fatimah akan tercedera akibat bendasing yang masuk ke rongga pernafasannya. Fatimah juga akan dijangkiti kuman.
Subuh itu, Inara dan dua orang jururawat masih bertungkus lumus menyelamatkan nyawa Fatimah. Dada si bayi kelihatan turun naik menerima oksigen. Inara semakin hilang keyakinan bahawa bayi itu akan selamat. Dia bukan Tuhan yang dapat menentukan nyawa manusia. Dia hanyalah seorang doktor yang ditugaskan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Azan Subuh sayup-sayup kedengaran melalui pembesar suara di surau yang terletak di sebelah Hospital Bima Sakti. Saat itu juga, Inara hanya mampu menyerah kepada Allah agar Fatimah selamat. Ya, hanya kepada Allah saja Inara meletakkan harapannya.
"Doktor, monitor tu..."
Inara terus memandang monitor yang memaparkan oksigen Fatimah. Bibirnya diketap menahan sebak. Tubir mata mula terasa hangat sebaik saja melihat respons Fatimah. Wajah comel Fatimah ditatap dengan pandangan sayu.
"Alhamdulillah sayang. Awak memang kuat," lirih Inara seraya menghela nafas berat. Kelelahannya seakan-akan hilang sebaik saja wajah Fatimah mula kembali kemerahan.
Sebaik sahaja keadaan kembali stabil, Inara terus melangkah keluar dari ruangan NICU. Si ibu yang sedang ditenangkan oleh seorang jururawat lantas mendapati Inara. Jantungnya seakan-akan berhenti mengepam darah ke seluruh tubuh. Matanya mula sembap menangis tanpa henti.
Dia takut!
"Anak saya..."
"Alhamdulillah, anak puan masih selamat. Cuma kami masih perlu memantau keadaan Fatimah. Risau kalau dia terkena infeksi lagi. Kami juga perlu memantau kadar denyutan jantung, tekanan darah dan juga oksigen anak puan," jelas Inara. Segaris senyuman manis terukir di bibir gadis itu.
Mendengarkan berita baik itu, si ibu lantas menjatuhkan lututnya dan melakukan sujud syukur. Air matanya kembali menitis ke pipi. Tak henti-henti bibir melafazkan Alhamdulillah sebagai kesyukuran kepada Allah. Sungguh, si ibu terkilan.
"Terima kasih doktor! Terima kasih berusaha selamatkan bayi saya. Hanya Allah yang boleh membalas kebaikan doktor. Semoga hidup doktor sentiasa diberkati oleh Allah," ucap si ibu lantas memeluk erat tubuh Inara. Dia terlalu bersyukur dengan kesempatan kedua yang dianugerahkan oleh Allah. Selepas ini, dia dapat memeluk anaknya lagi.
Senyuman Inara semakin lebar dengan doa si ibu. Tangannya ligat mengusap lembut belakang si ibu yang sudah menangis teresak-esak. Itulah nikmat sebuah doa. Kesannya sangat mendalam. Hanya saja, sesetengah manusia seakan-akan ego untuk meminta kepada sang pencipta.
INARA menanggalkan kot putihnya lalu digantung di dalam loker. Nafas panjang dihela sebaik saja dia dapat menikmati rehat setelah 18 jam bekerja. Inara masih ada enam jam untuk dia menghangatkan tubuh dan meredakan keletihannya.
Foto keluarga yang dilekat di cermin loker dipandang. Senyuman terukir di bibir gadis itu melihat foto lama keluarganya yang lengkap bersama ayahnya. Kalau saja Encik Rosham masih hidup, pasti ayahnya insan yang paling bahagia setelah Inara berjaya bergelar seorang doktor. Namun, apakan daya bila Allah lebih menyayangi ayahnya.
Inara reda.
"Doktor, ada kiriman untuk doktor daripada seseorang."
Suara seorang jururawat mematikan lamunan panjang Inara. Gadis itu lantas memusatkan pandangannya ke arah si figura yang berdiri di sebelah. Terpampang wajah misi bertubuh kecil molek yang sedang membawa sebuah bungkusan dan sejambak bunga mawar merah.
"Untuk saya? Siapa bagi?" soal Inara. Ada tanda tanya di sebalik wajah doktor itu. Aneh bila mana dia tiba-tiba mendapatkan bungkusan dan bunga. Mustahil daripada Zulfan. Tunangnya itu terlalu sibuk di wad pembedahan.
"Saya pun tak pasti siapa yang bagi. Tapi, si pemberi ni memang dah lama sangat tunggu doktor dekat lobi hospital. Saya dah bagi tahu yang doktor sibuk dekat NICU dan wad pedriatik," ujar misi Lana.
Intuisi Inara mula terasa tidak enak tika itu. Dalam keadaan nyawanya diancam bahaya, Inara sentiasa merasakan hidupnya sudah tidak aman lagi. Apalah nasib. Inara kembali ke Malaysia setelah 12 tahun menjadi anak perantau pun hanya disebabkan dia terlalu rindukan tanah airnya. Inara juga mahu dekat dengan keluarga dan tunangnya.
"Muka dia... muka orang jahat ke orang baik?"
Tak semena-mena, misi Lana terkekek dengan soalan Inara. Hatinya tercuit lucu dengan omongan Inara. Nampak cemas semacam saja muka doktor baru itu. Aneh.
"Muka dia sejuk mata memandang. Handsome! Dahlah senyuman dia manis. Sempat pula tu dia nak berseloroh dengan saya supaya tak stres sangat buat kerja. Dia cuma kata, dia tu kawan lama doktor saja. Tapi tulah, dia pergi terburu-buru dan dia minta tolong saya bagi hadiah ni kepada doktor," jelas misi Lana. Senyumannya terukir lebar tatkala teringat akan wajah si pemberi.
Mendengarkan itu, senyuman Inara mula terasa pahit. Kawan lama? Berseloroh? Hanya ada satu nama saja yang muncul di benak fikiran Inara. Dia yakin, nama itulah gerangan si pemberi.
Lantas, Inara mencapai bungkusan dan sejambak bunga
mawar daripada pegangan misi Lana. Ada kad yang terselit di sebalik jambakan bunga tersebut. Entah mengapa, Inara merasakan dejavu tatkala melihat bunga mawar tersebut.
Manakan tidak, hanya Aisar Mumtaz yang akan memberikan bunga mawar kepada Inara sebagai tanda maaf. Sama seperti zaman remaja mereka suatu ketika dahulu. Sanggup Aisar memetik bunga mawar emaknya sendiri hanya untuk diberikan kepada Inara. Walaupun pengakhirannya, pemuda itu akan dimarahi. Teringat akan hal itu membuatkan hati Inara digeletek kelucuan.
"Terima kasih," ucap Inara.
Misi Lana hanya mengangguk dan meninggalkan Inara di ruangan rehat bagi para doktor. Lantas, Inara menarik kad berbentuk hati yang diselit di sebalik bunga. Ingin memastikan deduksinya mengenai si pemberi itu benar.
Sejambak bunga buat Doktor Inara sebagai tanda maaf sebab menyakiti hati doktor. Aku tahu, seberapa banyak mana sekalipun maaf yang aku pinta kepada kau,maaf itu tak akan dapat ubati kesedihan kau lepas aku tinggalkan kau tanpa ucapan selamat tinggal. Tapi aku harap, kita masih boleh berkawan walaupun tak serapat dulu. Lagi satu, tahniah di atas kejayaan kau bergelar doktor. Tahniah juga di atas pertunangan kau dengan Zulfan. Aku tumpang bahagia. Kau jangan lupa makan. Kau tu ada gastrik. Tu... aku ada bawakan nasi goreng sardin kegemaran kau. Makan tau. Aku tak guna-gunakan makanan tu pun. Jangan risau ✌
"Aisar. Kau tak berubah. Masih guna taktik lama nak pujuk aku," desis hati Inara seraya menyelit semula kad ke dalam jambakan bunga. Dinding hati Inara seakan-akan dilanda kesedihan dengan kiriman Aisar.
Aisar masih ingat tentang dirinya. Sudah tentunya Inara terharu. Namun, keadaan sudah berubah. Persahabatan mereka sudah retak sebaik saja Aisar meninggalkannya. Memang sukar untuk Inara menerima Aisar semula.
"Hey bakal isteri Doktor Zulfan tak balik lagi?"
Buru-buru Inara meletakkan sejambak bunga mawar ke dalam loker sebaik saja Zulfan muncul. Keluhan berat terlepas dari bibir. Loker lantas ditutup dan dikunci rapat. Inara tidak mahu Zulfan berburuk sangka.
"Saya tunggu tunang kesayangan saya. Rindu. Seharian tak nampak bayang," ujar Inara seraya melabuhkan duduknya di atas kerusi panjang. Bungkusan makanan yang diberikan oleh Aisar lantas dibuka. Tanpa sedar, segaris senyuman terukir di bibir Inara.
Pasti Aisar masak sendiri memandangkan diletak di dalam bekas. Tambahan pula, matahari belum terbit. Restoran masih belum buka. Bahkan, nasi goreng sardin masih terasa hangat.
"Kau memang pantang kan kalau mak aku masak nasi goreng sardin. Dah macam ikan sardin dah aku tengok muka kau. Sardin yang suka membebel lepastu kuat merajuk. Nasiblah aku ini sahabat yang baik hati. Selalu jemput kau nikmati pesta nasi goreng mak aku."
Usikan Aisar suatu ketika dahulu membuatkan Inara kembali tersenyum. Ulah Aisar sememangnya menjengkelkan namun ulah itulah yang sentiasa menceriakan hari Inara.
"Sayang! Dengar tak apa yang saya cakap?"
Suara tegas Zulfan membuatkan Inara tersentak. Nampak sangat Aisara masih setia dalam diri Inara. Sehinggakan kisah sebelum persahabatan mereka retak pun Inara masih ingat.
"Awak cakap apa tadi?"
Zulfan yang duduk bertentangan dengan Inara mula terasa aneh dengan tingkah tunangnya. Nasi goreng sardin dipandangnya silih berganti dengan wajah polos Inara.
"Awak kenapa? Tengok nasi goreng tu siap tersengih-sengih. Kelakar ya rupa nasi goreng sardin yang hitam tu? Ke... awak teringat dekat si pemberi? Hah! Siapa yang bagi awak sarapan?"
"Ish! Mengarutlah awak ni. Awak nak? Kita kongsi ya," ujar Inara. Soalan Zulfan diabaikan.
"Tengok. Pandai ubah topik kan. Tadi awak cakap awak rindukan saya. Bila saya dah ada depan mata awak, boleh pula awak abaikan apa yang saya cakap. Mana satu sebenarnya ni?" kata Zulfan. Meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Inara. Pandangan yang penuh dengan syak wasangka mula terpancar di kornea matanya.
"Ya, Doktor Zulfan. Okay, awak cakaplah apa saja yang awak nak cakap. Saya dengar. Karang kalau awak merajuk, saya juga yang tak senang duduk. Awak cakap, saya makan," ujar Inara seraya membaca basmallah. Nasi goreng sardin lantas disua ke dalam mulut.
Zulfan menggelengkan kepalanya melihat Inara yang kelihatan berselera. Nampaknya, tunangnya itu benar-benar kelaparan. Kasihan sungguh.
"Kita minta cuti dalam minggu depan. Saya nak jumpa abang awak," ujar Zulfan tanpa mukadimah.
Serta-merta, dahi Inara dilapisi dengan kerutan tatkala Zulfan mula mengeluarkan arahan mandatorinya. Inilah yang dia tidak senang mengenai Zulfan. Pemuda itu ada satu sikap yang suka mengarah dan membuat keputusan mengikut kepalanya sendiri.
"Saya baru nak masuk dua minggu bekerja dekat sini. Nanti apa pula kata staf lain? Saya tak nak dia orang buruk sangka. Saya tak nak minta cuti. Tolong jangan paksa saya kali ni," tegas Inara.
"Habis tu awak nak minta cuti bila?"
"Tak tahu. Saya tak terfikir nak cuti lagi buat masa sekarang. Saya masih baru. Mohon faham situasi saya, Doktor Zulfan," kata Inara. Nada suaranya sudah bertukar tegang. Botol mineral lantas diteguk.
Zulfan mengangguk faham. Dia berpeluk tubuh sambil memandang wajah tegang Inara. Tidak dapat tidak, niat di hati harus diungkapkan kepada Inara juga.
"Saya nak cepatkan pernikahan kita. Jadi..."
"Cepatkan pernikahan? Awak, kita ada tujuh bulan lagi..."
"Ya, kita ada tujuh bulan lagi sebelum kita menikah. Tapi saya risau keadaan awak. Saya nak awak selalu ada di sisi saya. Saya nak bawa awak tinggal dengan keluarga saya. Lagi pun... dah setahun kita bertunang. Kenapa nak lambatkan benda yang elok?"
Tatkala itu, selera Inara serta-merta mati. Terasa kelat nasi goreng yang dikunyah. Ada benarnya omongan Zulfan. Dalam diam, Inara juga bersetuju. Mereka sudah terlalu lama menjadi tunangan.
Namun, Inara merasakan semuanya masih terlalu awal. Meskipun umurnya sudah menjejak ke usia 31 tahun, Inara masih mahu menumpukan hidupnya terhadap pekerjaannya saja.
"Saya tahu, awak masih tak bersedia. Tapi cepat atau lambat, awak akan tetap jadi isteri saya. Kita awalkan lima bulan ya? Please, Nara. Saya nak jadikan awak yang halal buat saya. Secepatnya," pujuk Zulfan. Intonasi suaranya sudah rendah. Mengharapkan Inara mengerti bahawa dia sangat mencintai gadis itu.
Inara terkelu. Pandangannya terus dialihkan dari menatap wajah Zulfan. Tiada lagi diksi yang mampu Inara ujarkan di saat Zulfan sudah merayu.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan vote ⭐
INFO:
Di sini Syaf tayangkan proses suction yang dilakukan oleh Inara
Lihat pada durasi minit 5:00-10:00
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro