Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 2

"WAHAI Tuan Puteri Intan Seroja, disaksikan dengan lautan samudera yang luas lagikan tenang, sudikah tuan puteri menerima lamaran tuan hamba sebagai pasangan hidup tuan puteri?"

Si anak raja tersipu malu tatkala lamaran hulubalang istana sampai kepadanya. Namun, senyuman di bibirnya hanya seketika cuma apabila amaran ayahanda melintas di kotak fikiran. Retak seribu hati si puteri raja tika itu.

"Beta menerima lamaran tuan hamba. Kita saling mengasihi. Tidak mungkin beta menolak tuan hamba. Akan tetapi, tuan hamba sendiri tahu bahawa ayahanda tidak bersetuju dengan hubungan kita! Kita tidak setaraf, tuan hamba!"

Serentak dengan omongan Puteri Intan Seroja, pemuda berbaju lusuh itu terpempan. Kilat seakan-akan sabung-menyabung. Langit mula kelam. Sekelam hati si pemuda miskin yang tidak dapat mengahwini kekasihnya.

"Beta... akan dikahwinkan dengan Putera Raja Indera Mahkota tidak lama lagi. Lupakanlah beta. Mulakan hidup yang baharu tanpa beta di sisi tuan hamba lagi," tambah anak raja itu lagi. Setitis air mata mengalir ke pipinya. Hatinya direnggut kecewa akibat perpisahan bersama kekasihnya.

"Tidak! Patik..."

Tak semena-mena, si pemuda kematian diksi tatkala lautan tiba-tiba bergelora. Dua insan yang berada di atas perahu sudah tercengang-cengang dengan keadaan geseran laut yang seakan-akan membahayakan. Tidak lama kemudian, ombak tinggi menghempap dua insan sehingga mereka terjunam di dasar lautan.

"Aisar Mumtaz! Astaghfirullahalazim! Bertuah punya anak teruna. Bangun, Aisar! Dah lewat nak pergi sekolah dah ni," tegas Puan Suhaila sambil menyimbah wajah Aisar yang nyenyak tidur dengan segayung air sejuk.

Sontak, Aisar bangun dari lenanya akibat kelemasan. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Pandangannya menerawang memandang sekeliling sebelum berakhir ke laman wajah ibunya yang sudah menyinga.

"Apa ni mak, siram Aisar macam tu. Bagilah peluang dekat Aisar mimpi kahwin dengan Tuan Puteri Intan Seroja. Dah babak klimaks kut. Tapi mak kacau daun betullah!" omel Aisar sambil memisat matanya. Ngeri benar mimpinya itu. Sudahlah cinta terlarang, malah dia mimpi lemas di lautan pula.

"Tuan puteri pun tak hinginlah nak dengan kamu ni. Dahlah pemalas! Suka buat masalah pula tu. Cepat pergi bersiap. Dah nak dekat pukul 7 dah ni," omel Puan Suhaila. Kepalanya digelengkan melihat tingkah Aisar yang sememeh itu.

Namun, Aisar tidak mengendahkan arahan emaknya. Dengan mata yang kuyu, Aisar kembali merebahkan tubuhnya di atas katil. Mahu menyambung babak peleraian dalam kisah cinta terlarangnya semula.

"Dua minit lagi mak kejutkan Aisar. Jangan kacau Aisar dulu. Memandangkan mak sendiri kata tuan puteri pun tak hinginkan Aisar, baik Aisar bina kisah Aisar dan anak raja dalam mimpi," ujar Aisar dengan mata yang terpejam rapat. Dia tersengih-sengih menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

"Laillahailallah, Aisar..."

"Aisar Mumtaz! Kamu nak bapa heret kamu pergi reban ayam ke baru kamu nak bangun?"

Saat suara seoktaf itu memanah petir di gegendang telinga Aisar, serta-merta pemuda itu mencelikkan matanya dan bangun dari pembaringan. Aisar berdiri tegak. Terpampang riak wajah bengis Encik Yusof di kornea mata Aisar. Dia jadi kecut perut melihat aura bekas askar itu. Dengan parut di pipi kanan menambahkan lagi aura garangnya.

"Pergi bersiap!" jerkah Encik Yusof lagi seraya menolak kuat tubuh Aisar keluar dari kamar. Hampir saja Aisar tersembam akibat kekerasan bapanya.

Nampaknya, kisah seorang Aisar Mumtaz bersama Tuan Puteri Intan Seroja menemui titik noktah yang tergantung. Tidak mengapa, lain hari Aisar akan menyambung mimpi di siang harinya lagi.

SESEKALI, si gadis berseragam biru  menjengah ke luar pagar sekolah. Dahinya yang kasar dengan jerawat pasir tanda hormon remaja sudah dilapisi dengan kerutan. Keningnya bercantum. Sesekali, keluhan kecil terbit di bibirnya.

'Kau memang cari nahas datang lambat lagi, Aisar!'

"Nara, turn kau baca ikrar," bisik Marissa sambil menyiku pinggang Inara yang berdiri di sebelahnya. Dari tadi si ketua pengawas ini seakan-akan tidak fokus saja dengan perhimpunan pada pagi Isnin.

Inara sekadar mengangguk. Langkah diatur menuju ke rostrum bagi memulakan ikrar dalam perhimpunan pagi itu. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Inara mengangkat tangan kanan tanda berikrar. Diikuti dengan murid yang lain.

"Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita yang berikut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut," ikrar Inara sebelum diikuti oleh murid-murid.

Tika itu juga, anak mata Inara menangkap seorang remaja lelaki yang sedang terjongket-jongket masuk ke dalam barisan. Tidak mahu diketahui oleh pengawas yang sedang bertugas. Saat mata mereka bersatu, Aisar tersengih sambil melambaikan tangannya kepada Inara.

Mahu saja Inara bagi penumbuk sulungnya melihat wajah kemenangan Aisar itu. Geram! Licik sungguh seorang Aisar Mumtaz! Sanggup Aisar memanjat tembok sekolah dari belakang. Pasti ada jalan tikus supaya dirinya tidak didenda oleh para pengawas yang bertugas.

Seusai saja perhimpunan pada pagi itu tamat, semua murid beratur masuk ke dalam kelas termasuk para pengawas. Memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran semula. Ketika itu juga Inara melancarkan perang dinginnya bersama Aisar. Sakit pula hati Inara bila Aisar tidak mahu mendengar nasihatnya untuk berubah. Melatih diri menjadi seorang yang berdisiplin.

"Nara, kenapa muka kau merah? Panas ke? Kalau kau panas, balik sekolah nanti aku belanja cendol Mak Jemah lagi. Nak?" pujuk Aisar sambil berjalan beriringan dengan Inara. Alahai, nampaknya pagi itu dia buat Inara bertukar menjadi serigala jadian.

Inara diam. Dia hanya menonong dengan wajah yang ketat. Tiada langsung senyuman terbit di bibir gadis manis itu. Manakan tidak, Inara benar-benar merasakan segala nasihatnya diabaikan oleh Aisar. Tiada guna mahu menasihati sahabatnya jikalau Aisar sendiri tidak mahu berubah.

"Okay, aku mengaku hari ini aku buat salah lagi. Tapi aku tetap datang sekolah kan. Bukan ponteng. Aku minta maaf buat kau bengang dengan aku," kata Aisar seraya menghalang langkah Inara.

Seketika, dua sahabat itu berdiri saling bertentangan antara satu sama lain. Aisar tetap menguntumkan senyumannya meskipun dibalas dengan jelingan daripada Inara.

"Apa lagi, Aisar? Huh? Hari ini, aku tak nak bercakap dengan manusia kepala batu macam kau! Baik aku cakap dengan lembu nenek kau lagi berguna!" tegas Inara. Dia kembali mengatur langkah menuju ke kelas. Terasa bahang benar wajahnya bila berhadapan dengan Aisar tika ini.

"Kalau kau tak nak bercakap dengan aku, tak apa. Tapi, aku akan tetap bercakap dengan kau. Bukan apa, takut kau sunyi kalau aku tak ada dekat sebelah kau. Lagi pun, kalau kau bercakap dengan lembu nenek aku... binatang itu cuma tahu bunyi 'moo' saja. Sendu kut cakap dengan lembu," kata Aisar lagi seraya menyaingi langkah Inara.

"Eh, kau tahu tak yang kau ni comel. Kalau kau senyum, lagi bertambah kecomelan anak bongsu pak cik Rosham. Macam lagu senyumlah ahai cik mek molek," tambah Aisar sambil tersengih-sengih.

Tak semena-mena, Inara tersenyum kecil bila mana Aisar mengakhiri katanya dengan nada lagu Dato M Daud Kilau. Buku teks yang berada di tangan spontan dihempuk ke bahu Aisar. Saat itu juga Aisar tertawa melihat air muka Inara mula berubah ceria.

"Jangan buat suara macam tu boleh tak!"

"Aku tahu kau tak sanggup nak marah aku lama-lama. Ini Aisar Mumtazlah. Dia seorang saja boleh redakan kemarahan ketua pengawas paling garang dekat sekolahni," kata Aisar sambil mendabik dada. Bangga bila mana dia dapat meredakan kemarahan Inara.

Inara sekadar mencebik geram. Senyuman terkulum di bibirnya dengan sikap tak semenggah Aisar. Inara akui. Dengan Aisar, dia tidak bisa melayan amarahnya. Aisar itu penghibur seorang Nur Inara. Ada saja ulah Aisar untuk menceriakan hari-harinya walaupun masih terasa jengkel.

"Assalamualaikum, Kak Inara," ucap seorang remaja lelaki berkaca mata sebaik sahaja Inara menjejakkan kaki di dalam kelas.

"Waalaikumsalam. Hey Akif. Kenapa? Ada apa-apa masalah ke?" soal Inara. Aneh bila mana awal pagi lagi dia sudah didatangi oleh junior tingkatan empat. Sesekali, pandangannya tertancap ke arah Aisar yang mula melakonkan dirinya menjadi Cikgu Ganesh. Guru Matematik yang garang dan bermisai lentik.

Ada saja ulah nakalnya Aisar sehingga membuatkan sesi kelas tertawa.

"Err... sebenarnya saya... saya nak ajak akak makan cendol dekat gerai Mak Jemah petang ni. Boleh?" ajak Akif sambil tertunduk menekur kasut putihnya. Segan bila mana mengajak senior yang diminati untuk keluar berdua.

"Oh, nak ajak makan..."

"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?"

Tak semena-mena, Inara kematian kata bila mana Aisar tiba-tiba muncul dengan wajah yang bengis. Serentak, Inara dan Akif memandang wajah Aisar yang sudah berdiri di sebelah Inara.

"Apa ni Aisar. Dia bawa aku pergi makan cendol..."

"Tak boleh! Ajak makan cendol ke, makan keropok ke, makan durian belakang rumah nenek aku ke semua tak boleh. Kecuali, kau ajak aku sekalilah budak. Boleh?"

Mendengarkan arahan mandatori Aisar, dinding hati Akif terus bergelegak panas. Hujung kaca matanya dinaikkan. Kecil besar saja dipandangnya wajah angkuh Aisar Mumtaz itu. Bagaikan ada panahan di sebalik kornea matanya yang ingin dipancarkan ke wajah Aisar.

"Hah, kenapa? Tak puas hati? Eh budak, kau tu baru form 4 tau hormat sikit budak form 5. Sesuka hati kau saja ajak Inara dating. Kalau kau tak nak kaca mata kau hancur, gigi kau patah... baik kau berhambus!" tegas Aisar lagi.

Serentak dengan kekasaran Aisar, Cikgu Jarizah yang mengajar pada pagi itu sudah muncul. Akif terus berganjak pergi tanpa pamit membawa hati yang kecewa. Tidak mahulah dia bertumbuk dengan Aisar si budak setan. Pasti dia juga yang akan kalah dengan kekuatan Aisar itu.

"Kau memang dah melampau! Kalau kau jealous cakap sajalah yang kau jealous!" cemuh Inara. Geram pula dia dengan sikap terlebih protektif Aisar Mumtaz itu.

"Kau tu... aku punya, tahu. Orang lain tak boleh ambil kau daripada aku!" tegas Aisar yang sudah melabuhkan duduk di belakang Inara.

"Ada tulis nama kau ke dekat muka aku? Tak ada kan!"

"Kenapa? Nak aku conteng muka kau dengan nama aku ke? Boleh. Tak ada masalah. Nanti lepas balik sekolah kita buat," kata Aisar. Tercabar dengan omongan Inara.

"Kau..."

"Inara! Aisar! Apa lagi tu. Cepat buka buku muka surat 57," tegas Cikgu Jazirah. Boleh pula dua orang muridnya bergaduh ketika kelas dijalankan.

Inara terus memalingkan mukanya ke depan. Keluhan berat terlepas dari bibir. Menyampah benar dengan sikap Aisar yang suka mengawalnya. Atas alasan, dia ini hak milik Aisar Mumtaz seorang saja. Gila benar kenyataan itu.

Tiba-tiba, tudung sekolah Inara ditarik dari belakang. Sontak, Inara kalih seraya membaling Aisar dengan kotak pensilnya. Geram! Kenapalah dia ada kawan segila Aisar Mumtaz ini? Waktu kelas pun masih  bermain-main. Tidak sedar agaknya  SPM sudah menghampiri.

"Auch! Garang sungguh Cik Nur Inara ini. Aku bosanlah subjek Sejarahni. Kau tolong cover aku sikit. Aku nak sambung mimpikan Tuan Puteri Intan Seroja pula," bisik Aisar sambil tersengih kelat. Perlahan-lahan, kepalanya diletakkan di atas meja. Bersedia untuk kembali ke alam beradu.

Inara hanya menggelengkan kepalanya. Tepuk dahi sajalah yang Inara mampu dengan sikap tak matang Aisar Mumtaz ini. Tapi, hampir saja Inara tertawa dengan omongan mengarut Aisar. Tuan Puteri Intan Seroja manalah yang Aisar ketemu.

SEMERBAK bau kari menusuk rongga hidung Inara yang sedang menyiapkan kerja sekolah. Perutnya mula berkeroncong minta diisi tatkala bau masakan semakin menyengat. Hilang sudah mood Inara yang sudah keletihan setelah menyiapkan dua subjek pada pagi itu.

Lantas, Inara melangkah keluar dari kamarnya. Laju saja gadis berkulit kuning langsat itu menghampiri dapur. Sememangnya, kari ayam masakan ibunya sering menjadi kegemaran Inara.

"Janganlah buat kerja berbahaya tu lagi. Ibu risaukan Taqi. Cukuplah apa yang sudah berlaku dalam keluarga kita. Ibu dah hilang arwah abah kamu. Ibu tak nak hilang Taqi pula."

Sontak, langkah Inara terbejat tatkala telinganya menangkap nada suara ibunya yang kedengaran lirih. Senyuman yang sentiasa mekar di bibir Inara serta-merta mati. Ada tanda tanya berlegar di ruang fikiran gadis itu tatkala arwah abahnya tiba-tiba timbul.

"Ya, ibu faham ini semua cita-cita Taqi. Tapi, nyawa lagi penting kan daripada keinginan diri. Taqi, ibu risau kalau..."

"Sedapnya bau! Dah lama Syi tak makan kari ayam masakkan ibu. Nah ibu, ini daun kari yang ibu pesan dekat Syi tadi," kata Insyirah sambil memaut memaut lengan ibunya. Plastik berisi daun kari dihulurkan kepada Puan Kirana.

"Taqi fikirlah masak-masak dengan pesanan ibu. Jangan tinggalkan solat. Selalu berdoa supaya Allah lindungi di mana saja Taqi berada. Jaga makan minum dekat sana. Assalamualaikum," ujar Puan Kirana. Resah hatinya teringat akan pekerjaan anak sulungnya itu.

"Ibu..."

Serentak, Insyirah dan Puan Kirana kalih memandang wajah sugul Inara yang sudah berdiri di dapur. Jelas, ada kerutan melapisi dahi anak bongsu keluarga itu.

"Hah! Baru keluar bilik. Ni, muka berkerut ni mesti sebab gastrik lagi eh? Itulah, ibu dengan Kak Syi dah pesan kalau belajar tu berpada-pada.  Ingat makan juga," omel Insyirah. Risau melihat adiknya yang terlalu rajin belajar.

"Taklah! Nara bukan gastrik. Nara cuma... nak tanya ibu pasal..."

Inara jeda.

Anak matanya sudah melilau dari memandang wajah ibunya. Ada sesuatu yang tidak kena dalam keluarganya. Itulah intuisi seorang Nur Inara tatkala kegelisahan terpancar pada mimik muka ibunya. Bukannya sekali dia tercuri dengar ibunya merayu kepada Mustaqim. Hal itulah yang mengukuhkan lagi Inara berkaitan pekerjaan abangnya yang sering menjadi kerisauan ibu.

"Nara nak tanya apa?"

"Pasal... pasal pekerjaan arwah abah dengan abang Taqi. Kenapa..."

"Assalamualaikum!"

Tika salam dilaung dari luar, serta-merta, persoalan yang menjengah kotak fikiran Inara terbejat. Hanya sorotan matanya dan Puan Kirana saja yang saling bersatu. Jelas, ada riak kaget terserlah di wajah wanita anak tiga itu.

"Waalaikumsalam! Lah Mak Bibah ke. Hah masuklah Mak Bibah. Ibu ada dekat dapur tengah masak makan tengah hari," jawab Insyirah mewakili ahli keluarganya. Langkah diatur ke ruang tamu. Rasa kaget dengan soalan Inara ditepis buat seketika.

"Abah kan pemandu teksi. Inara..."

"Ibu tipu, kan? Nara dapat rasa ada yang tak kena dengan kematian abah sejak abang Taqi berhijrah ke Kuala Lumpur. Tapi sampai bila ibu nak tipu Nara? Masa kecil dulu bolehlah ibu tipu. Ibu, Nara berhak tahu pekerjaan arwah abah dengan abang Taqi. Nara dah besar. Tapi... tak apalah kalau ibu nak rahsiakan. Nara tak paksa. Maaf sebab Nara tanya soalan macam ni," pintas Inara. Nada suaranya kedengaran bergetar menahan sebak di dada. Kalau itu keputusan ibunya, Inara terima.

Tapi, suatu saat nanti dia akan bongkarkan dengan usahanya sendiri. Itu tekad seorang Nur Inara.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 💕

Sedutan episod 3

"Kau hati-hati sikit dengan Thariq tu. Jangan nak tunjuk hero depan dia. Kau tahu kan dia tu banyak geng samseng dekat kampung ni. Kalau kau nak hidup lama, baik kau elakkan diri daripada dia."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro