PARA peminat yang berpusu-pusu ingin mengambil foto membuatkan Cassandra semakin rimas. Senyuman di bibirnya semakin pahit. Sumpah seranah sudah ditaburkan buat sekumpulan peminat yang membuatkan Cassandra rimas. Dia baru saja bebas daripada diawasi oleh Aisar. Kini, harinya diganggu sekali lagi.
Aisar hanya tersenyum mengejek melihat wajah Cassandra sudah cemberut. Degil! Itulah hukuman yang seharusnya diterima oleh artis popular itu. Baru Aisar berpuas hati melihat Cassandra yang seakan-akan lemas dengan lautan manusia.
Al kisahnya, Aisar ditugaskan untuk menemani Cassandra menjalani pengembaraan drama terbaru gadis itu. Walhal, Adeline yang seharusnya menjadi pengawal peribadi Cassandra. Bukan Aisar yang hanya bertugas melindungi Datuk Sri Lee. Itu semua pun atas permintaan anak manja Datuk Sri Lee itu sendiri.
Lantas, Aisar menghampiri Cassandra dan berdiri membelakangi gadis itu. Melindungi Cassandra daripada lautan manusia. Raut wajah Aisar juga tegang tanpa senyuman.
"Maaf peminat-peminat Cik Sandra. Kalau kau orang nak sangat ambil gambar dengan artis kesayangan kau orang ni, tolong beratur ikut urutan," tegas Aisar. Arahan mandatori terselit di sebalik nada bicaranya.
"Hey, Aisar! You patut elakkan I daripada dia orang. Bukannya nak menyesakkan kepala I lagi," bisik Cassandra dengan nada yang tegas.
"Mana boleh macam tu, Cik Sandra. Tanpa dia orang... siapalah Cik Sandra di dalam industri hiburan. Cuba Cik Sandra buka mata dan lapangkan dada untuk terima permintaan peminat Cik Sandra. Tak penat ke, main kejar-kejar dengan saya dalam mall ni? Rehatlah dulu. Layankan dulu peminat Cik Sandra," ujar Aisar. Terselit nada sinis di sebalik bicaranya. Sekali sekala, Cassandra perlu diberikan pelajaran agar menghormati para pengawal peribadi.
Cassandra menggetus geram. Omongan Kapten Aisar Mumtaz si bekas tentera itu memang benar-benar membuatkan dia tercabar. Cassandra hanya mampu menurut. Kenapalah Aisar sering saja menyakitinya dengan omongan pedas pemuda itu? Walaubagaimana pun, yang menyakiti itu jugalah yang Cassandra tertarik.
"Kau jangan nak main-main dengan aku. Baru padan muka kau. Gatal sangat kan nak aku temankan kau. Degil pula tu!" desis hati Aisar. Kaca mata hitam dinaikkan sambil memerhatikan tingkah Cassandra.
Aisar tidak kesah jika Cassandra mahu memaki hamunnya. Asalkan, Aisar tahu bahawa dia masih melaksanakan tanggungjawabnya melindungi keselamatan gadis itu.
HEROIN pelakon Kemarau di hati Aifa didapati telah menjadi orang ketiga dalam rumah tangga seorang pelakon baharu
Cassandra mengeluh berat sebaik saja dia membaca tabloid gosip yang mengaitkan dirinya dengan seorang pelakon baharu. Wajahnya diraup kasar sebelum tubuh disandarkan di belakang kerusi. Sungguh, Cassandra tertekan. Ada saja gosip panas yang mengaibkan namanya sebagai artis popular.
"Streslah! I tak faham, kenapa media asyik nak sibuk hal peribadi I. Tak ada kerja ke selain nak mengaibkan orang lain?" keluh Cassandra.
"Tak ada kerja? Setahu saya, menyibuk urusan peribadi Cik Sandra dah kira kerjalah tu. Nanti bila info dah cukup, dia orang tulis dan terbitkan pula cerita pasal cik," ujar Aisar terselit dengan gurauan.
Serta-merta, omongan Aisar seakan memarakkan lagi kemarahan Cassandra. Kecil besar saja dipandangnya pengawal peribadi keluarganya yang sedang memandu. Bukannya mahu memberikan kata-kata positif, malahan ada pula diberikan kata-kata yang menyakitkan hati.
"Jangan marah, Cik Sandra. Saya bergurau. Anggap saja semua ini dugaan untuk cik. Lagi pun, buat apa cik nak marah sangat kalau cik tak buat," tambah Aisar lagi. Wajah cemberut Cassandra dipadang sekilas melalui cermin pandang belakang.
"Memang betul I tak buat pun. Sejahil I yang suka pergi clubbing ni pun, I tak akan layan suami oranglah. I tak kemaruk sangat nak jadi orang ketiga. Itulah mentaliti masyarakat. Penampilan bimbo ke diva ke terus kena cop perampas dan perosak rumah tangga orang!" keluh Cassandra. Sakit benar hatinya tatkala dirinya selalu dikaitkan dengan lelaki yang sudah beristeri.
Mendengarkan keluhan Cassandra membuatkan Aisar tersenyum nipis. Hatinya tercuit lucu tatkala Cassandra sedar diri dengan imej yang sering dibawa oleh gadis itu.
"Kalau macam tu, saya rasa sudah masanya Cik Sandra ubah penampilan dan sikap. Mulut orang kita memang tak boleh elak. Tapi, kita sendiri yang harus berubah ke arah yang lebih baik," pesan Aisar. Teringat akan dirinya yang pernah menjadi mangsa fitnah suatu ketika dahulu.
Pesanan yang diujarkan oleh Aisar menyejukkan sedikit hati Cassandra. Segaris senyuman manis terukir di bibir gadis bermata sepet itu. Lantas, tubuhnya didekatkan ke hadapan. Wajah Aisar ditatapnya dalam-dalam.
"Pandai juga rupanya you bagi pesanan khidmat dekat I. Ingatkan, tahu nak sindir-sindir dan kenakan I saja. That's it. Sebab you selalu menentang I... automatik you dah jadi bodyguard favourite untuk Cassandra Lee," kata Cassandra. Tangannya lantas diangkat lalu diletak di atas bahu Aisar.
Segera Aisar menjarakkan tubuhnya daripada Cassandra. Lain macam benar anak majikannya ini. Miangnya bisa datang tanpa diundang. Patutlah sering menjadi buah mulut media dan netizen. Cassandra memang memerlukan pelajaran mengenai menjaga pergaulan yang secukupnya.
"Kecil hati Adeline kalau dia dengar. Saya dah macam caras kerja dia saja. Cik Sandra sendiri tahu yang saya berkhidmat untuk ayah cik. Adeline yang sepatutnya bertugas untuk cik," tegas Aisar. Memberikan peringatan kepada anak majikannya.
Cassandra mencebik. Itu sajalah yang Aisar sering timbulkan. Memberikan peringatan bahawa Adeline merupakan pengawal peribadinya. Bukan jejaka yang menarik perhatian Cassandra itu.
"You know what captain? I tak boleh nak lepaskan pandangan I daripada you. You such a drugs for me. I like your aura. Maybe... I dah... jatuh cinta dengan bodyguard daddy I yang seorang ni," luah Cassandra. Mengekspresikan secara langsung perasaannya buat Kapten Aisar Mumtaz.
Hampir saja Aisar memijak brek mengejut dengan luahan hati Cassandra. Seketika, pandangannya dikalih ke wajah Cassandra yang sudah menongkat dagu bersama senyuman lebarnya. Kalau saja Inara yang meluahkan rasa cinta itu, sudah pastinya Aisarlah insan yang tambah bahagia.
"You tak kahwin lagi kan. So, tak ada siapa yang boleh halang I untuk pikat you. Jujur I cakap, kejadian you selamatkan I dua tahun yang lalu buat I terus addicted dengan you. That's why, I suggest daddy untuk jadikan you sebagai bodyguard dalam family I. You cukup pakej," tambah Cassandra lagi seraya bermain dengan tali leher Aisar.
Aisar terus menepis kasar tangan miang Cassandra. Rasa kurang senang mula menyelinap masuk ke dalam dirinya dengan setiap godaan Cassandra itu. Pemanduannya semakin dilajukan menuju ke rumah majikannya. Tak betah mahu berlama-lama bersama Cassandra tatkala gadis itu mula bermain soal perasaan.
"Maaf cik. Saya memang tak kahwin lagi. Tapi saya... hati saya sudah dimiliki oleh seseorang. Saya harap... cik... tak layankan sangat perasaan yang hadir dalam diri cik," tegas Aisar. Stereng kereta digenggam erat. Ada perih menusuk tangkai hati Aisar tatkala dia berbicara soal hati.
Senyuman Cassandra mula bertukar sinis. Tubuhnya kembali disandarkan di belakang kerusi. Kaki disilangkan. Dalam posisi berpeluk tubuh, gadis itu semakin ralit memerhatikan Aisar.
"Did she loves you?"
Tak semena-mena, lidah Aisar kelu dengan soalan sinis Cassandra. Gadis berkacukan Cina ini memang benar-benar sedang mencabar emosinya. Mujur, Cassandra itu majikannya. Kalau tidak, sudah lama diherdik oleh Aisar.
"KENAPA kau takut sangat? Aku masih tak rasa nak bunuh kau walaupun kau dah kecewakan aku. Bawa bertenang!" tegas Kadir. Gelas berisi Vodka yang dipegang diteguk perlahan-lahan. Anak matanya tunak memandang wajah seorang konconya yang sudah mengelupur. Ada riak ketakutan di sebalik wajahnya.
"Ta... tapi bos dah lama... tung... tunggu adik... dia balik," ujar si konco dengan nada yang terketar. Sesekali, kepalanya ditundukkan memandang kasut. Kadir itu sukar ditebak. Bila-bila masa saja ketenangannya bisa bertukar menjadi keganasan.
Kadir tertawa sinis. Lelaki berbaju bathrobe putih itu bangun dari kerusi rehatnya. Pandangannya dipusatkan ke kolam renang di halaman rumah. Vodka diteguk lagi. Kadir mendongak pula memandang sekeliling rumah agamnya yang mewah dengan berkonsepkan minimalis.
"Adik dia baru balik. Sabar. Jangan gelojoh sangat nak bunuh doktor tu. Kita panaskan dulu enjin barulah kita bergerak. Susun strategi dahulu sebelum kita hapuskan keluarga dia. Sama seperti strategi yang dia gunakan untuk hapuskan abang aku," kata Kadir. Dendamnya kepada Mustaqim semakin membuak-buak.
Bijak sungguh Mustaqim menyembunyikan ahli keluarganya. Tiada klu yang bisa membawa Black Eagle kepada keluarga Mustaqim. Malahan, Kadir sempat mengalah untuk menghancurkan hidup keluarga musuhnya itu.
Namun, kepulangan Inara ke tanah air memberikan sinar yang baharu kepada Kadir yang sudah menggantikan posisi arwah abangnya. Menjadi taikun dadah. Hanya saja, dia mahu memanaskan 'enjin' terlebih dahulu.
"Ray!"
"Ya bos!" sahut Ray.
"Dah dapat jawapan siapa yang tolong doktor tu?" soal Kadir. Pandangannya mula tertumpu kepada si lelaki berkepala botak. Parut panjang memenuhi wajahnya. Mata kirinya ditutup dengan eyepatch. Menunjukkan lagi aura bengis orang kanan Black Eagle.
Ray menghulurkan telefon pintarnya kepada Kadir. Wajah Aisar yang terpapar di skrin telefon menjadi tatapannya. Dahinya sudah dilapisi dengan kerutan tatkala persoalan mula menujah fikirannya.
"Mustahil Andre boleh kena tangkap kalau tak ada yang ekori dia orang dari awal. Bos sendiri tahu, cara kerja Andre selalu licin. Aku syak, si bedebah ni ada kaitan dengan doktor. Barangkali..."
"Budak ni terlebih dahulu awasi doktor itu. Andre tak sedar ada yang mengawasi dalam diam. Sebab itulah rancangan Andre gagal. Kalau budak ni kacau kerja kita lagi, kau buat saja apa yang patut," pintas Kadir. Arahan yang dikeluarkan buat suasana mula hening. Ada kedinginan yang terpancar di roman wajah Kadir.
SUASANA perkarangan rumah Doktor Irfan kelihatan meriah dengan tetamu jemputan yang menghadiri majlis ulang tahun isterinya. Dengan bertemakan black and white elegant, dekorasi ulang tahun Puan Jasmin kelihatan begitu mempesonakan.
Muzik bertemakan Jazz melatari majlis tersebut. Para tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kakitangan hospital kelihatan sibuk berbual mengenai pelbagai topik. Ada juga yang sedang mengambil makanan bertemakan bufet. Sungguh, suasana majlis pada malam itu kelihatan megah.
"Oh, jadi inilah bakal menantu mama ya Fan?"
Inara dan Zulfan yang sedang berbual bersama para staf terus mengalihkan pandangan ke arah Puan Jasmin. Wanita itu kelihatan elegan dengan gaun labuh berwarna hitam dipadankan dengan selendang berwarna krim. Wajahnya manis dengan senyuman. Sekali lihat, wajahnya seakan-akan awet muda. Tuanya tidak terlalu jelas kelihatan.
"Selamat hari jadi, aunty. Sayalah Inara. Tunang anak bongsu aunty," ujar Inara seraya bersalaman dan berlaga pipi dengan Puan Jasmin. Senyuman tak lekang di bibir gadis bergaun labuh putih dipadankan dengan lace di bahagian tubuh itu.
"Lawa dan manis orangnya. Pandai Zulfan pilih bakal menantu mama. Eh, tak payahlah panggil aunty. Inara tu bakal isteri Fan. Kena biasakan diri panggil saya mama. Okay?"
Inara sekadar mengangguk. Mengiakan omongan Puan Jasmin. Inara bersyukur apabila dia diterima dengan baik. Manakan tidak, darjat keluarganya dan Zulfan umpama langit dan bumi. Terlalu banyak perbezaan di antara mereka berdua.
Namun, kekuatan cinta di antara dua pasangan telah membejatkan fikiran Inara dari terus berfikiran tertutup.
"Untunglah awaknya. Baru pertama kali bersemuka dah diizinkan panggil mama saya dengan gelaran mama. Kalau saya dulu, bukan main susah lagi nak risik awak. Kena hadap ASP Mustaqim yang garang tu dulu," ujar Zulfan. Masih segar di memorinya tatkala Mustaqim memberikan ujian untuk menyunting Inara.
Puan Jasmin tertawa kecil. Pinggang ramping Inara dipaut. Melihat wajah manis Inara saja membuatkan wanita itu jatuh sayang dengan Inara. Wajahnya benar-benar sejuk mata memandang. Ada seri dek kerana bibir Inara yang sentiasa tersenyum.
"Baguslah kalau macam tu. Tak adalah Fan nak main-mainkan Nara kalau Fan teringat ujian yang abang dia bagi. Tak begitu Doktor Inara?"
"Betul. Abang saya kan anak sulung. Ketua keluarga. Ada dua orang adik perempuan pula tu. Bukan awak saja yang kena. Abang Firdaus pun kena tau sebelum menikah dengan Kak Insyirah," jawab Inara. Gemuruh di sudut hatinya sudah beransur hilang. Inara benar-benar selesa dengan layanan Puan Jasmin yang ramah.
Malahan, Puan Jasmin turut membawa Inara ke meja keluarganya dan suami. Mahu memperkenalkan Inara yang bakal menjadi isteri Zulfan.
Benarlah kata Zulfan, meskipun keluarganya orang berada, namun masih ada kerendahan hati yang disemai dalam diri masing-masing. Inara bersyukur.
"Ada seorang lagi yang mama nak kenalkan kepada Nara. Dia tak sampai lagi kut. Mustahil dia tak datang kalau dia dah berjanji," kata Puan Jasmin. Anak matanya sudah melilau mencari figura tersebut. Tidak lengkap rasanya tanpa kehadiran seorang lagi anggota keluarganya merangkap anak kepada abangnya.
"Tak apalah mama. Lagi pun, Nara tak boleh lama sangat dekat sini. Pukul 12 nanti Nara ada on call. Nara nak rehat kejap. Maaf ya mama," ujar Inara. Lembut saja tutur bicara gadis itu.
"Kalau..."
"Amboi mama. Bukan main ralit lagi bawa tunang Zulfan berkenalan dengan keluarga kita. Okay, seorang ni pula seharusnya didenda sebab lambat sampai."
Serentak, Inara dan Puan Jasmin kalih tatkala suara Zulfan menyapa mereka. Terpampang susuk tubuh yang tinggi berkemeja putih di sebelah Zulfan. Pemuda itu hanya tersengih menampakkan sebaris giginya. Ada rasa bersalah di sebalik wajahnya.
"Hah, sampai pun. Sebelum mama fikir pasal denda, izinkan mama jumpa baba kamu kejap. Agaknya dia dah balik dari hospital kut," ujar Puan Jasmin seraya pamit kepada Inara.
Sepeninggalan Puan Jasmin, Zulfan terus mengambil posisinya. Memperkenalkan sepupunya dan tunangnya. Bahu sepupunya lantas ditepuk. Aneh melihat wajah ceria sepupunya tiba-tiba saja kejang. Ada reaksi terkejut di roman wajah sepupunya.
"Inara, kenalkan... sepupu saya, Kapten Aisar Mumtaz. Aisar, inilah bakal isteri aku. Doktor Nur Inara. Akhirnya, dapat juga aku temukan kau orang berdua," kata Zulfan. Wajah Inara dan Aisar dipandangnya silih berganti. Tak semena-mena, senyuman Zulfan mula terasa pahit tatkala melihat wajah Inara yang juga kelihatan kaget.
Ada apa di antara Aisar dan Inara? Aneh sungguh pandangan dua insan di hadapannya saat ini. Seakan-akan ada komunikasi di sebalik kornea mata mereka. Malahan, kornea mata Inara yang mula berkaca-kaca menambahkan lagi tanda tanya di benak fikiran Zulfan.
"Zulfan... sa... saya... kena balik. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum," pamit Inara. Ada getaran di sebalik nada suara gadis itu. Menahan sebak yang terus bertandang di hati sebaik sahaja figura Aisar berada di hadapan matanya.
Oh sungguh, takdir ini benar-benar mengejutkan Inara. Aisar dan Zulfan sepupu? Patutlah, sikap Zulfan sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Aisar. Patutlah, Inara sering merasakan dia berhadapan dengan Aisar tatkala berhadapan dengan Zulfan. Inara benar-benar kaget! Dia memerlukan ruang untuk menghadam semua kejutan ini.
"Nara! Saya hantar. Bahaya kalau awak balik seorang," tegas Zulfan. Langkah Inara ditahan. Menegah gadis itu dari pergi. Risau kalau Inara diancam bahaya lagi.
Aisar yang masih kejang hanya mampu melihat Zulfan dan Inara. Kakinya seakan-akan terpasak di atas bumi. Dinding hatinya sudah remuk sebaik sahaja mengetahui hubungan Zulfan dan Inara. 13 tahun Aisar dan Inara terpisah, Aisar tidak pernah tahu perkembangan Inara dengan lebih mendalam lagi.
Kini, tiada aksara yang mampu Aisar ungkapkan lagi. 13 tahun, hatinya hanya untuk Inara. Namun, lain pula bagi Inara tatkala gadis itu hanya bisa mencintai lelaki lain. Bukan dirinya yang sentiasa menjadi pelindung buat seorang Nur Inara suatu ketika dahulu. Sudah semestinya seorang Aisar Mumtaz kecewa.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote ⭐
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro