Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 16

"KAK Nara, abang... dah pergi dari kampung. Pagi tadi, bapa dah hantar dia dekat stesen bas. Lepas ni... kakak tak akan jumpa abang lagi."

Sebaik saja kata-kata Airis kedengaran, Inara jadi kejang. Bekas berisi kuih bingka kegemaran Aisar terlepas dari tangannya. Tak semena-mena, kuih bersepah di atas tanah. Fikiran Inara jadi kosong. Masa seolah-olah berhenti berputar buat seketika. Tiada aksara yang mampu diujarkan oleh Inara.

Dia kaget!

"Akak! Masuk dulu. Kak Nara terkejut sangat ni," ujar Airis. Kaget melihat Inara yang sudah menjatuhkan kuih. Jelas, wajah ceria Inara bertukar menjadi kelabu.

"Tak... tak mungkin dia pergi. Aisar tak akan pergi tanpa pengetahuan... akak. Tak, Aisar main-main, kan? Huh? Kau orang berdua saja kan nak kenakan akak?" kata Inara. Gadis bertudung sarung hitam itu ketawa kecil. Kepalanya digelengkan.

Namun, Airis hanya membalas dengan gelengan. Dia serius. Melihat mendung berlabuh di roman wajah Inara membibitkan rasa sayu di lubuk hati Airis. Airis tahu, sudah tentunya Inara sukar menerima kenyataan ini.

"Aduh, tak pasal-pasal kuih bingka yang akak buat tumpah. Pandai Airis buat muka serius kan. Makin advance eh Aisar nak kenakan akak. Nak pergi jauh konon," keluh Inara seraya mengutip kuih bingka yang sudah kotor. Menyampah pula dia dengan sikap Aisar yang semakin hari semakin suka mengenakannya dengan kasar.

Airis mengehela nafas berat. Pekerjaannya menyapu dedaun di halaman rumah terbejat. Perlahan-lahan, Airis duduk bertinggung membantu Inara. Tubir mata mula terasa hangat bila Inara masih tidak mempercayai omongannya.

"Tak apa. Biar akak buat. Airis tolong panggilkan Aisar..."

"Airis tak main-main. Abang dah pergi dari kampung. Dia buat keputusan ni sebab dia tak nak bapa, mak, Airis dan Kak Nara jadi mangsa cemuhan orang kampung lagi. Kita orang pun tak tahu... bila dia akan balik," pintas Airis. Nada suaranya bergetar menahan sebak di dada.

Tatkala itu, hanya sorotan mata Inara saja yang menatap wajah Airis. Bibirnya mula menggeletar menahan sebak. Tubir mata mula terasa hangat. Wajah Inara mula membahang panas. Jiwanya bergetar sayu.

Tanpa berlengah, Inara meluru masuk ke dalam rumah Aisar. Emosi sudah mengawal fikirannya. Ternyata, hanya ada Puan Suhaila yang sedang menjahit tempahan kain saja kelihatan. Melihat pintu bilik Aisar yang terbuka luas membuatkan langkah Inara terbejat. Angin tiba-tiba bertiup kencang. Meniup langsir yang seakan-akan melambai Inara.

"Mak cik... be... betul ke Aisar dah tinggalkan Nara?" soal Inara. Anak matanya masih menatap keadaan bilik Aisar yang kosong dari luar.

Serta-merta, pekerjaan Puan Suhaila terbejat. Melihat kesedihan terpancar di raut wajah Inara membuatkan wanita itu simpati. Perlahan-lahan, Puan Suhaila bangun dari duduknya. Langkah diatur menghampiri Inara yang berdiri kaku di hadapan bilik Aisar.

Tangan Inara dipimpin. Duduk dilabuhkan di ruang tamu. Kepala Inara yang berbalut dengan tudung diusap lembut. Segaris senyuman pahit terukir di bibir Puan Suhaila. Sungguh, dia tidak menyangka bahawa Aisar akan pergi tanpa pamit kepada Inara. Manakan tidak, Aisar sentiasa berkongsi cerita dengan Inara. Hatta, perkara sekecil zarah sekalipun.

"Dengar sini, Aisar Mumtaz... tak akan jadi pelindung buat Inara lagi. Dia nak Nara maju ke hadapan. Kejar cita-cita Nara dan jangan fikirkan pasal dia. Dia pergi, demi kebaikan semua orang. Dia ada sebab yang mak cik tak boleh jelaskan kepada Nara. Maafkan mak cik."

Penjelasan Puan Suhaila membuatkan air mata Inara terus mengalir ke pipinya. Pandangannya dialihkan dari menatap wajah emaknya Aisar. Sesak. Inara benar-benar terluka dengan kebenaran itu. Inara merasakan separuh dari hidupnya hilang dengan pemergian sahabatnya.

"Dia pergi mana?" soal Inara. Hanya itu yang bisa dituturkan.

"Aisar nak kejar cita-cita dia. Nara jangan risau pasal dia. Mak cik yakin, anak mak cik akan baik-baik saja. Cuma... Aisar dah tak nak libatkan Nara dalam hidup dia lagi. Sebab itu, dia pergi tanpa ucap selamat tinggal," jelas Puan Suhaila. Tangan Inara digenggam erat.

Alangkah sedihnya hati Inara dengan penjelasan Puan Suhaila. Inara rasa dikhianati. Teganya Aisar pergi tanpa sebarang petanda. Walhal, dia yang seharusnya pergi jauh pun tidak tega meninggalkan Aisar.

"Tapi kenapa mak cik? Demi kebaikan? Kebaikan apa kalau dia sakitkan hati kami berdua? Dia tahu kan yang Nara sayang sangat dengan persahabatan kita orang. Dari kecil... kita orang tak pernah terpisah. Kenapa..."

Tak semena-mena, Inara kematian diksi. Esakannya mula pecah. Bahunya terhinggut-hinggut melepaskan kesedihan. Inara benar-benar tewas. Terngiang-ngiang di halwa telinga luahan hati Aisar dua hari yang lepas.

Aisar marahkah bila dia tidak membalas perasaan pemuda itu? Tapi, Inara tidak mampu membalas perasaan Aisar. Hubungan ini hanya sebagai sahabat!

"Nara, memang Aisar tak pernah tunjuk emosi dia. Nara sendiri tahu, Aisar tu selalu menghiburkan orang sekeliling. Dia tak suka susahkan orang lain. Walaupun dia difitnah, Aisar masih mampu ceriakan semua orang. Namun, mak cik tahu... jiwa anak mak cik rapuh. Dia tak sanggup nak tinggalkan Nara," tutur Puan Suhaila seraya menarik Inara ke dalam pelukannya. Tangisan Inara benar-benar meruntun hatinya.

"Dia buat macam ni... hanya satu sebab. Dia sayangkan Nara sangat-sangat. Mak cik tahu... bukan mudah untuk Aisar buat keputusan besar ini. Tapi, dengan apa yang dah jadi... Aisar tak nak nama Nara buruk selagi dia ada dengan Nara. Sebab itu, Aisar undur diri dari kampung kita," tambah Puan Suhaila. Nafas berat dihela. Tangannya ligat mengusap belakang tubuh Inara. Sebaik mungkin, wanita itu menjelaskan keadaan kepada Inara.

Inara hanya mampu menangis. Esakannya semakin kuat. Melepaskan kesedihannya di dalam pelukan Puan Suhaila. Kata-kata Puan Suhaila seakan-akan belati yang menghiris hati Inara. Sakit! Apa sajalah yang mampu Inara katakan lagi di saat Aisar sudah pergi. Membuatkan Inara tergantung sepi.

Tika ini, ada kerinduan bertamu di hati Inara. Dia rindu bila mana Aisar sering mengusiknya jika dia menangis. Inara rindu, bila mana Aisar membuat jenaka dan benda tak masuk akal hanya demi membuatkan seorang Inara kembali tersenyum. Kini, semuanya hanya tinggal kenangan.

WAJAH sugul Puan Bainun dan Marissa dipandang dengan tatapan yang tajam. Tergaris senyuman sinis di bibir Puan Karmila sebaik saja menerima laporan berkaitan anak tunggalnya. Mengejek status dua beranak yang hanya mahu mengambil kesempatan saja.

"Anak aku rogol anak kau? Kau merepek apa? Kau ada bukti ke? Hari tu, anak kau kata Aisar rogol dia. Malam ni, anak aku pula jadi mangsa tuduhan anak kau. Biar betul kepala otak anak kau ni?" bertubi-tubi soalan diujarkan kepada Puan Bainun. Bergelegak panas hati si isteri ketua kampung. Manakan tidak, dia tahu bahawa Thariq sedang berubah. Anak lelakinya itu sering mengikuti suaminya ke masjid.

Soalan Puan Karmila membuatkan Marissa tersentak buat seketika. Hanya air mata yang mengalir ke pipinya. Tiada aksara yang mampu diujarkan tatkala traumanya masih belum hilang. Masih terasa tangan-tangan jijik yang sudah merosakkan maruah dirinya. Dia sudah diperkosa bergilir-gilir! Sudah tentunya, Marissa rasa dunianya sudah gelap.

"Ke... anak kau ni memang sengaja reka cerita demi wang pampasan? Eh, kalau betullah apa yang otak aku ni fikir, anak kau memang teruk! Sebab dia... Aisar kena bantai, kena hina dengan orang kampung! Sekarang, kau orang nak orang kampung bantai anak aku pula ke apa ni!" bentak Puan Karmila sambil berpeluk tubuh.

Nyeri dadanya mendengar tuduhan Thariq yang sudah memperkosa Marissa itu. Sesekali, Puan Karmila memandang pintu rumahnya. Menanti kepulangan Encik Hamdan dari kenduri kesyukuran di rumah Puan Kirana.

Mendengar kata-kata Puan Karmila membuatkan Puan Bainun mula diserang amarah. Pandangannya beralih ke laman wajah Marissa. Intuisinya mula terasa tidak enak tatkala perihal Aisar terus ditimbulkan.

"Rissa, baik cakap betul-betul dengan mak. Betul ke Thariq dah..."

"Aisar... Aisar tak salah, mak. Marissa mengaku Marissa..."

Tak semena-mena, Marissa jeda. Wajah Puan Karmila yang angkuh dipandang silih berganti dengan wajah Puan Bainun yang kecewa. Marissa kesal! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kerana iri hati, Aisar menjadi mangsa. Kerana mulutnya memfitnah Aisar, nama baik pemuda itu tercalar hanya dalam sekelip mata.

"Mengaku apa? Apa yang Marissa dah buat? Betul ke apa yang Puan Mila cakapkan itu? Betul ke Rissa sengaja reka cerita?" bertubi-tubi soalan yang dilontarkan kepada Marissa. Puan Bainun sudah menggoncang-goncangkan bahu anaknya. Nada suaranya sudah naik seoktaf.

"Aisar tak salah. Marissa... Marissa yang fitnah Aisar sebab Marissa berkomplot dengan Thariq. Marissa... cuma... cemburu dengan Aisar dan Inara. Marissa nak hancurkan... persahabatan mereka. Tapi pasal..."

Tak semena-mena, Marissa kematian kata tatkala pipinya ditampar kuat oleh emaknya. Gadis itu terus menangis teresak-esak tatkala tubuhnya ditampar bertalu-talu oleh emaknya. Dapat Marissa rasakan kekecewaan seorang ibu tika itu.

"Ya Allah! Kenapa kau buat Aisar sekeji itu! Allahu. Kau nak jadi jahat macam bapa tiri kau ke? Kau sedar tak, sebab kau... satu kampung bencikan Aisar. Satu kampung cemuh keluarga dia! Kau memang kejam, Marissa!" jerkah Puan Bainun dengan air mata yang sudah mengalir ke pipinya. Emosi benar-benar menguasai akal fikirannya.

Buru-buru, Marissa duduk melutut di hadapan emaknya. Wajahnya serta merta membahang kemerahan. Belum pun reda traumanya, kini ditambahkan pula dengan lontaran kebencian daripada ibu kandungnya.

"Ampunkan Marissa! Marissa menyesal. Tapi sungguh, Marissa tak tipu pasal Thariq, Leman, Abu, Razi. Dia orang... dia orang yang dah perkosa Rissa, mak! Tolong Rissa... Rissa takut," rayu Marissa sambil mengenggam kaki emaknya. Tangisan dua beranak itu semakin kuat. Meratapi nasib masing-masing.

Mendengar saja nama Thariq disebut, Puan Karmila lantas meluru ke arah Marissa. Rambut gadis itu lantas dicengkam dari belakang. Benci! Jijik! Semuanya sebati menjadi satu.

"Kau nak aku celup mulut puaka kau dekat air panas ke? Kau jangan nak fitnah anak akulah perempuan kotor!" bentak Puan Karmila. Pandangan sayu Marissa hanya ditatap dengan pandangan menjengkelkan.

"Saya tak tipu..."

Tak semena-mena, Marissa kematian kata tatkala kepalanya dihentak ke bucu meja. Turun naik nafas gadis itu akibat sesak. Dahinya mula berkerut menahan perih. Terasa ada sesuatu yang mengalir di dahinya.

"Puan! Jangan pukul anak saya! Saya minta maaf..."

"Cukup Mila! Memang betul apa yang Marissa cakap. Anak awak dah rosakkan budak tu. Anak awak tu cuma pura-pura saja dah berubah. Supaya awak tak membebel dekat dia lagi. Sekarang, anak awak dah kena bantai dengan orang kampung atas kes pecah masuk rumah Pak Misai!" jerkah Encik Hamdan yang sudah meluru masuk ke dalam rumahnya. Sesak dadanya sebaik saja menerima laporan daripada Pak Seman.

Tatkala itu, Puan Karmila terhenyak di belakang kerusi. Dia kaku. Tangannya yang sudah mencederakan Marissa sudah terketar-ketar. Seketika, jeritannya kedengaran. Puan Karmila benar-benar tertekan dengan kebenaran yang terpampang di depan mata. Hanya pandangannya saja yang menatap Puan Bainun yang sudah berpelukan dengan Marissa.

KERUSI kosong yang bertentangan dengannya ditatap sayu. Segaris senyuman yang terukir di bibir mula terasa pahit. Cendol yang sedang dijamah sudah tidak terasa manis lagi. Hanya kepahitan yang dirasakan oleh Inara.

Sungguh, Inara rindukan Aisar Mumtaz. Suara dan usikan Aisar masih terngiang-ngiang di corong telinga. Bagaikan ada bayangan Aisar yang menjengkelkan di kerusi kosong tersebut. Sudah dua bulan Aisar pergi. Namun, Inara masih tidak mampu meredakan pemergian sahabatnya.

Apa yang Aisar sedang buat? Aisar baik-baik sajakah? Aisar sudah ada sahabat baru bagi menggantikan Inara? Semuanya menjadi tanda tanya di benak fikiran Inara.

"Seronoklah Nara nanti. Dapat belajar dekat negara omputeh. Hah, bolehlah Nara jumpa Angeline Jolie si bibir botox," ujar Mak Jemah seraya melabuhkan duduknya di kerusi yang sering menjadi tempat Aisar duduk.

"Amboi Mak Jemah. Update nampak. Ingatkan tahu berdangdut saja. Maklumlah, Mak Jemah kan juara dangdut dekat kampung," usik Amanda.

"Update? Binatang apa tu? Berkaki dua ke? Berkepala tiga?"

Inara tertawa kecil. Terhibur hatinya melihat wajah Mak Jemah yang terkelat-kelat masam. Pakej dengan kepala tergaru-garu. Tidak mengerti kosa kata yang digunakan oleh Amanda.

"Update bermaksud perkembangan terkini. Bukan sejenis binatang. Ada faham?" jelas Inara.

"Oh! Manalah aku tahu. Aku belajar tak tinggi mana. Tapi, aku ada sijil tertinggi dalam buat cendol. Resepi istimewa tu hanya tersemat dalam poket apron aku. Resepi turun temurun tau. Hah! Kau orang ada? Tak ada kan!" ujar Mak Jemah. Terpancar riak bangga di sebalik wajah wanita bertudung bawal itu.

"Yalah. Pasal resepi cendol Mak Jemah, saya tak berani nak lawan. Memang resepinya padu dan mantap. Nanti, mesti saya rindu nak pergi gerai cendol Mak Jemah ni," ujar Inara.

"Aisar pun mesti rindukan gerai cendol Mak Jemah. Kau orang berdua selalu sangat pergi gerai Mak Jemah lepas balik dari sekolah. Lepas ni, Mak Jemah tambah sunyilah kalau Nara tak ada. Dahlah sejak budak tak semenggah tu pergi, dah tak ada yang berani usik Mak Jemah sampai melatah," tutur Mak Jemah. Teringat setiap telatah Aisar yang menjengkelkan. Kini, pemergian Aisar membuatkan wanita itu sunyi.

Inara kematian diksi. Tiada aksara yang mampu diungkapkan saat Mak Jemah meluahkan isi hatinya. Ya, sememangnya pemergian Aisar membuatkan orang sekelilingnya berasa sunyi. Aisar suka mengusik orangnya.

"Masa dia pergi jugalah semuanya terungkai. Siapa sangka, Marissa yang sopan dan lembut sanggup fitnah Aisar. Di sebalik semua ni pun ada hikmahnya kan. Thariq dan penagih dadah yang dah rosakkan Marissa kena hukuman yang setimpal. Marissa pula terpaksa berhenti sekolah. Masuk pusat pemulihan. Tok ketua pula terus letak jawatan sebagai ketua kampung lepas tembelang anak dia pecah," ujar Amanda. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.

Senyuman Inara mula kelat. Dia hanya berharap Aisar kembali di sisinya. Menemani kesepian dan menghiburkannya. Inara benar-benar rasa tergantung tika ini. Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikirannya mengenai Aisar Mumtaz.

"DAN aku sayangkan kau lebih dari seorang sahabat, Nur Inara! Aku sukakan kau bukan sebagai sahabat lagi! Aku ada perasaan istimewa buat kau seorang saja."

Tatkala luahan hati Aisar terngiang-ngiang, keluhan berat terlepas dari bibir Inara. Anak matanya tunak memandang bingkai gambar yang memaparkan fotonya bersama Aisar. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu.

"Aku minta maaf sebab tak mampu balas perasaan kau. Aku cuma anggap kau sebagai sahabat dunia dan akhirat aku, Aisar," luah Inara sambil mengenggam bingkai gambar. Seakan-akan Aisar berada di hadapannya saja saat itu.

Seketika, sekotak hadiah ulang tahun pemberian Aisar yang belum dibuka dicapai. Dibantu dengan lampu meja yang malap, Inara membuka bungkusan tersebut.

Tak semena-mena, segaris senyuman lebar terukir di bibir Inara. Ada kotak muzik berwarna biru bersama dengan seutas gelang bertuliskan AISARA. Lantas, Inara mencapai kotak muzik tersebut. Ada patung yang sedang menari-nari di dalam kotak bersama dengan alunan muzik. Seutas gelang turut dipakai.

Tubir mata Inara mula terasa hangat. Anak matanya mula berkaca-kaca. Sungguh, melihat pemberian Aisar membuatkan Inara semakin dihurung sebak. Rindunya buat Aisar semakin menggunung.

"Nur Inara! Kau dah janji dengan diri kau sendiri. Tak akan ada air mata sebab Aisar Mumtaz lagi. Ya, kau tak akan menangis sebab dia lagi. Dia tak akan jadi pelindung dan penghibur kau lagi! Kau jangan berharap dia akan ada di sisi kau," tekad Inara bersama keluhan berat terlepas dari bibirnya.

Itulah janji setia seorang Nur Inara terhadap dirinya. Inara tidak mahu bersedih dengan pemergian Aisar. Sahabatnya sendiri yang membuat keputusan untuk menjauh. Malahan, Aisar sendiri sudah tidak mahu mempunyai kaitan dengan Inara.

Inara reda.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa tekan vote 😊

Tamatlah sudah kisah remaja AISARA...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro