EPISOD 13
"MANUSIA bangsat macam kau patut mati! Aku tak nak, anak dara dekat kampung ini jadi mangsa kepuasan nafsu kau sekali lagi!
"Perogol patut dikenakan hukuman mati!"
"Kau tak patut wujud dekat kampung ini! Memalukan mak bapa kau saja besarkan perogol macam kau!"
Bertubi-tubi cemuhan menusuk gegendang telinga seorang Aisar Mumtaz. Jiwa Aisar jadi sesak. Hatinya benar-benar diruntun pilu dengan fitnah yang ditujahkan ke atas dirinya. Bermacam anasir negatif membadai diri Aisar. Pemuda itu semakin lelah.
Serentak dengan makian yang sayup-sayup itu, Aisar turut merasakan nyawanya akan melayang pada malam itu juga. Sepak terajang dan tumbukan yang diterima bertalu-talu bagaikan tiada hentinya. Mereka seakan-akan sang algojo yang ingin menamatkan riwayat seorang Aisar Mumtaz saja.
Tika itu juga, momen bersama keluarga melintasi kotak memori Aisar. Air mata sudah mengalir ke pipinya. Tatkala memorinya bersama Inara pula muncul, dada Aisar semakin terasa sesak. Sungguh, Aisar masih mahu menjadi pelindung buat Inara!
"Aisar..."
Kini, suara gemersik menyapa pendengaran Aisar. Makian sudah hilang serta-merta. Hanya kesakitan yang menjalar sehingga ke tulang hitam saja masih tersisa.
"Aisar Mumtaz."
Sekali lagi, suara itu bergema di gegendang telinga Aisar. Ada himpunan rindu yang mula menyapa Aisar. Ingin sekali dia menatap wajah si pemilik suara. Malangnya, kesakitan di segenap sendi dan tulang-temulang lebih mendominasi.
"Aisar, kau tunggu sekejap. Aku panggilkan doktor," kata suara itu lagi. Sempat Aisar menangkap nada hiba di sebalik suara seorang gadis.
Adakah itu Inara?
Oh sungguh, Aisar tidak mahu melihat kesedihan menghiasi roman wajah sahabatnya. Tak kesahlah kalau Inara mahu marah. Tapi, Aisar masih tidak mampu melihat kesedihan seorang Nur Inara.
Sebaik saja seorang doktor dan jururawat menghampiri katil Aisar, Inara diarahkan untuk menunggu di luar. Tirai ditutup bagi melakukan pemeriksaan ke atas Aisar.
Tika itu juga, hati Inara semakin meronta pilu. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Menahan sesak di dada sebaik melihat sahabatnya yang sentiasa gagah sudah terbaring lemah di atas katil.
Semuanya berlaku secara mengejut. Masih segar di memori Inara, tika pertama kali dia mendapat berita buruk mengenai Aisar. Baru saja dia kebah dari demam, perbualan kakak dan ibunya menyapa pendengaran.
"Heboh sangat dah dekat balai raya tu pasal Aisar cuba nak rogol Marissa. Mulut pasukan mak cik bawang pun sama. Kalau Mak Cik Su dengan Pak Cik Yusuf lalu depan dia orang, habislah kena canang yang anak dia orang tu perogol!"
"Lailahailallah. Tak cukup lagi ke dia orang belasah Aisar sampai nyawa-nyawa ikan? Orang kampung ini memang susah nak diajak berbincang. Menghukum tanpa soal selidik!"
"Inara! Macam mana dengan anak mak? Kenapa doktor tutup tirai itu? Dia baik-baik saja kan?"
Ketika soalan bertalu-talu Puan Suhaila kedengaran, Inara serta-merta tersedar dari lamunannya. Setitis air mata yang mengalir ke pipi dikesat lembut. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan. Tidak! Inara tidak mahu menangis. Sudah masanya untuk dia menjadi kuat demi melindungi nama Aisar.
"Tadi, Aisar dah tunjukkan respons bila Inara panggil dia. Sekarang, doktor tengah buat pemeriksaan ke atas Aisar," jelas Inara.
Mendengar penjelasan Inara membuatkan Puan Suhaila mampu mengukir sebuah senyuman. Hatinya sedikit lega. Manakan tidak, hampir seminggu Aisar tidak sedarkan diri. Kecederaan yang dialami oleh anak sulungnya juga begitu parah. Sudah tentunya akan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.
"Mak cik, pak cik masih berurusan dengan ketua kampung ke?" soal Inara sekadar berbasa basi. Walhal, Inara sendiri sudah tahu bahawa ketiadaan Encik Yusof melawat Aisar, hanya disebabkan lelaki itu mahu membersihkan nama anaknya.
"Ya. Pak cik tengah nak baiki keadaan. Kali ini, orang kampung bertegas bersepakat nak buang..."
Belum sempat Puan Suhaila menghabiskan kata, tirai kembali ditarik oleh jururawat. Buru-buru, Puan Suhaila menghampiri anaknya. Wajah doktor yang merawat Aisar ditatap dengan pandangan sayu.
"Alhamdulillah, anak puan dah sedar. Saya dah jelaskan keadaan yang sebenar kepada anak puan. Esok, kami akan lakukan CT brain. Risau kalau-kalau ada darah beku dekat otak. Jangan biarkan dia banyak bergerak memandangkan tangan dan kaki dia patah," jelas doktor kepada Puan Suhaila.
"Bila anak saya boleh keluar hospital?" soal Puan Suhaila. Sesekali, tangannya mengelus pipi Aisar yang masih memar.
"Kita tengok perkembangan dia macam mana. Kalau dia dah boleh bangun, saya izinkan Aisar keluar. Kalau ada apa-apa, puan jumpa saya dekat bilik," kata doktor seraya pamit meminta diri. Memberikan ruang kepada keluarga pesakit.
Puan Suhaila hanya mengangguk. Perlahan-lahan, dia melabuhkan duduk di kerusi. Raut wajah pucat Aisar ditatap dengan rasa sayu. Wajah tampan anaknya seakan-akan hancur tatkala dipenuhi dengan memar. Kepalanya juga sudah dibalut dengan kain anduh. Mata kirinya sudah sepet ditutup dengan kesan lebam. Malahan, nafas Aisar benar-benar sesak di pendengaran wanita itu.
"Mak... sa... sakit sa... ngat"
Aisar terjeda buat seketika tatkala dadanya terasa sesak untuk mengungkapkan bait aksara. Kemarahan mulai menerjah diri tatkala tubuhnya terasa lemah. Oh sungguh, mahu saja Aisar membantai figura yang sudah menghancurkan maruahnya!
"Ya, nak. Tahan sikit ya. Jangan risau, mak dengan bapa percaya, kamu tak buat benda terkutuk itu. Bapa sedang selesaikan semuanya. Apa yang penting, Aisar kena kuat supaya Aisar cepat sembuh," ujar Puan Suhaila.
Ubun-ubun Aisar diusap dengan penuh kasih. Kasihan sungguh anaknya ini. Baru saja mahu menginjak ke usia 18 tahun, sudah diberikan ujian yang maha hebat.
"Aku pun percaya... kau tak buat semua tu. Kau jangan risau. Aku akan lindungi nama kau. Aku akan hadap si Marissa yang gatal itu. Aku akan buat dia mengaku, kenapa dia fitnah kau!" tegas Inara yang sudah berdiri di sisi Puan Suhaila.
Mendengar tekad Inara membuatkan segaris senyuman pahit terukir di bibir Aisar. Aura tegang Inara sedikit melegakan hati Aisar. Di saat dia terlantar sakit di atas katil, Aisar hanya mahu melihat Inara kuat. Bukan si gadis cengeng yang sentiasa menyapa kornea matanya.
"Nara, mak cik nak pergi beli air dulu. Terlupa pula nak beli untuk Aisar tadi. Kamu tunggu sini ya," kata Puan Suhaila seraya bangun dari duduknya.
Inara hanya mengangguk. Segaris senyuman terukir di bibir gadis itu. Hanya sorotan matanya saja yang menghantar Puan Suhaila keluar dari wad lelaki.
Seketika, suasana kembali sepi. Beberapa orang pesakit kelihatan sedang tidur. Ada juga yang sedang menikmati makan tengah hari. Dua orang doktor yang sedang memeriksa dan memberikan konsultasi kepada pesakit turut kelihatan.
Sungguh, semangat Inara untuk menjadi seorang doktor semakin membuak-buak tika itu. Lantas, duduknya dilabuhkan di atas kerusi. Wajah Aisar terus menyapa kornea matanya. Sekali lagi, sekuntum senyuman manis terukir di bibir gadis itu. Membalas senyuman pahit di bibir Aisar yang lebam.
"Selama ini, kau selalu cakap yang kau tu bodyguard tak diiktiraf aku. Kali ini, giliran aku pula jadi doktor peribadi tak diiktiraf kau sampai kau sihat. Kau kena dengar cakap aku kalau kau nak sembuh," tegas Inara. Arahan mandatori lantas diujarkan kepada Aisar Mumtaz.
Aisar hanya mampu menahan tawa. Abdomennya yang masih terasa sengal benar-benar membejatkan pergerakan pemuda itu. Mahu berbicara saja Aisar rasa sesak tika ini. Namun, terlalu banyak aksara yang ingin diujarkan kepada sahabatnya.
"Kau kena banyakan berehat kalau nak cepat sembuh. Dah, baik kau tidur dari pandang muka aku lama-lama. Tak ada faedahnya pun kalau kau pandang aku. Tak ada ubat yang boleh sembuhkan luka kau," kata Inara. Air mukanya sudah bertukar tegas. Tiada lagi senyuman yang menguntum bibirnya.
Semakin banyak Inara berceloteh, senyuman Aisar semakin melebar. Raut wajah manis Inara ditatap dengan lebih dalam. Entah berapa lama dia tidak sedarkan diri, Aisar sendiri tidak tahu. Apa yang pasti, Aisar amat merindukan wajah manis Nur Inara.
"Kau nak aku nyanyikan kau lagu twinkle twinkle little star ke baru kau nak tidur? Ke kau nak aku bacakan kisah dongeng? Yelah, kau kan suka sangat berangan puteri kayangan. Mana tahu lepas dengar cerita aku... kau boleh tidur dengan nyenyak," tambah Inara lagi. Sengaja Inara berseloroh untuk menceriakan keadaan.
Tak semena-mena, terletus tawa kecil di bibir Aisar. Hatinya benar-benar digeletek kelucuan dengan omongan Inara yang sedang berseloroh. Namun, tawanya hanya seketika cuma apabila tulang rusuknya yang patah mula berdenyut sakit. Lantas, mata terpejam rapat.
Melihat Aisar yang mula berkerut menahan sakit, membuatkan Inara diserang keresahan. Serta-merta, gadis itu bangun dari duduknya. Butang kecemasan lantas disentuh.
"A... ku... rindukan... kau, Ina... ra," luah Aisar dengan nada suara yang lemah. Anak matanya terus dicelik semula. Tangan kanan yang bebas dengan kain anduh diangkat. Diletak di atas abdomen yang terasa sengal.
Mendengar luahan hati Aisar membuatkan segaris senyuman semakin mekar di bibir Inara. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Beban kesedihan yang dipikul di bahu terasa semakin berat. Perlahan-lahan, Inara terduduk di atas kerusi.
"Aku pun... rindukan kau sangat-sangat. Aku sunyi bila kau tak ada. Aku rasa... separuh dari hidup aku hilang. Kau tahu, aku rasa nak putus nyawa saja bila aku dengar apa yang dah jadi kepada kau malam itu," ujar Inara. Kedua belah tangan yang diletak di atas paha digenggam erat. Sebaik mungkin, Inara menyembunyikan kesedihan yang membaluti sukmanya.
"Tapi, aku dah janji dengan diri aku yang kali ini, aku kena kuat. Demi Aisara! Kau jangan risau, okay. Aku janji... persahabatan kita tak akan tergugat angkara Marissa atau sesiapa pun yang cuba nak putuskan persahabatan kita," sambung Inara. Kali ini, nada suaranya mula bersemangat. Senyuman di bibir semakin melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik.
Alangkah sebaknya hati Aisar tatkala janji setia Inara menusuk relung hatinya. Hanya tatapan matanya saja yang ligat memerhatikan raut wajah sahabatnya. Di saat orang kampung menghinanya, dia masih ada Inara dan keluarga yang menyokongnya. Aisar benar-benar bersyukur.
SENARAI keperluan barang yang dipesan oleh Puan Kirana diperhatikan satu per satu. Inara tidak mahu ada barang yang ketinggalan. Ada sifat malas bertamu di sudut hati gadis bertudung sarung hitam itu.
"Banyak ke barang ibu kau suruh beli?" soal Amanda. Aiskrim yang baru sahaja dibayar dibuka.
"Tak adalah banyak sangat. Ibu aku cuma suruh beli bahan nak buat asam pedas. Aku pula nak beli bahan nak buat bubur ayam cendawan kegemaran Aisar," jawab Inara. Kuib pati ayam Knor dicapai lalu diletak di dalam bakul.
Mendengar nama Aisar meniti di bibir Inara membuatkan Amanda tersenyum sendiri. Akalnya mula ligat memikirkan modal bagi mengusik rakan sekelasnya itu. Lantas, Amanda berdeham. Aiskrim berperisa lemon dikunyah.
"Hubungan kau dengan Aisar ni betul ke sekadar sahabat? Kenapa aku rasa... hubungan kau orang lebih dari sahabat eh? Ke perasaan aku saja?"
Tatkala soalan cepumas Amanda menyapa halwa telinga, serta-merta tangan Inara mencubit pinggang rakannya. Geram! Manakan tidak, sudah hampir berbuih mulut Inara menjelaskan hubungan sebenarnya bersama Aisar Mumtaz.
"Aduh! Aku tanya..."
"Siapa suruh, tanya lagi soalan yang dah terang tang tang ada depan mata. Tolonglah jangan tanya soalan klise. Kenapa eh, kalau perempuan dengan lelaki jadi sahabat mesti kena cop bercinta? Tak faham!" omel Inara. Langkah diatur mencari bunga kantan.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa kau macam marah bila aku tanya? Hah! Ayok. Kau mesti dah syok dekat Aisar, kan? Dah tu sepanjang dia sakit, setiap petang kau pergi jaga dia dekat hospital. Alahai, sweet sangatlah Aisara!" usik Amanda lagi. Gadis bermata sepet itu sudah terkekek melihat wajah tegang Inara.
"Hello! Cik adik. Aisar tu sahabat aku sejak kita orang sekolah rendah lagi! Susah senang kita orang selalu hadapi bersama. Waktu dia sihat, dia selalu jaga aku baik-baik. Sekarang, biarlah aku balas kebaikan dia dengan jaga dia pula. Adil!" jelas Inara. Anak matanya dijelingkan ke atas. Sungguhlah, usikan Amanda kali ini buat Inara tiba-tiba jadi tak keruan.
Amanda hanya terangguk-angguk. Mengiakan omongan rakannya. Pelik benar melihat Inara diserang amarah. Ada nada bergetar di sebalik tutur bicara rakannya. Apa maksudnya? Aneh sekali!
"Tapi, kenapa aku rasa layanan Aisar dekat kau macam protective sangat? Boleh menimbulkan syak wasangka!" kata Amanda. Mahu mengorek rahsia hati Inara yang sukar difahami itu.
Namun, Inara seakan-akan tidak mendengar usikan Amanda lagi. Telinganya tiba-tiba menangkap perbualan dua orang wanita yang berada di rak sebelah. Ada Puan Ramizah dan Puan Jemah yang sesekali memberikan pandangan sinis kepada Inara.
"Hah Inara. Aku dengar, kawan jahil kamu tu hidup lagi lepas kena bantai dengan orang kampung. Panjang pula umur si perogol tu ya," soal Puan Ramizah sebaik sahaja Inara dan Amanda melintasi mereka.
Inara hanya buat dengar tak dengar saja dengan soalan ahli mak cik bawang. Bakul diletak di atas kaunter pembayaran. Melihat saja dua figura itu, menghilangkan terus mood Inara yang ceria.
"Kamu tak takut ke bergaul dengan perogol? Kamu tu, selalu dijadikan contoh dekat kampung kita ni. Nanti tak pasal-pasal, nama baik kamu dan keluarga kamu pula tercemar disebabkan perogol itu!" cemuh Puan Jemah pula. Menambahkan minyak di sudut hati Inara.
Keluhan berat terlepas dari bibir Inara. Kepalanya kalih memandang Puan Ramizah dan Puan Jemah silih berganti. Sungguh, kesabaran Inara semakin nipis. Emosi marah mula medominasi fikirannya.
"Saya tak nak kurang ajar. Tapi, mak cik berdua betul-betul dah melampau! Mak cik berdua ni, tak ada kerja ke selain mengumpat dan burukkan orang lain? Dah cukup ke pahala mak cik berdua? Dah yakin, mati nanti masuk syurga?" tegas Inara. Nada suaranya sudah naik seoktaf.
Puan Jemah mencebik dengan kemarahan Inara. Bibirnya sudah terkumat-kamit berbisik dengan Puan Ramizah. Terangguk-angguk saja ibunya Baizul tatkala bersetuju dengan omongan rakan bawangnya.
"Kami cakap benda yang betul! Satu kampung ni tahu yang Aisar tu cuba nak rogol..."
Tak semena-mena, Puan Jemah kematian kata tatkala Inara meluru ke arahnya. Turun naik nafas gadis itu tatkala kesabarannya sudah beransur hilang.
"Rogol Marissa? Wow! Hebat ya orang kampung ni menghukum tanpa bukti. Ya! Memang sekarang semua orang nampak Aisar pelakunya. Sebab dia tu banyak bawa unsur negatif. Tapi, mak cik berdua tak tahu ke anak mak cik si Baizul dengan Leman tu penagih dadah! Jangan nak cakap pasal keburukan oranglah kalau anak sendiri pun terabai!" jerkah Inara seraya tersenyum sinis. Menghina mak cik bawang yang sesuka hati mahu menghina Aisar.
"Eh budak ni! Aku cilikan karang! Kau jangan nak biadab..."
"Mak cik tu yang biadab! Mak cik jangan nak hina sahabat saya kalau mak cik tak ada bukti! Dahlah bedak macam opera cina! Lipstik macam badut! Huh! Buruk betul muka mak cik berdua ini. Sebiji macam monyet nenek Aisar!" ejek Inara seraya kembali melangkah ke kaunter pembayaran. Note RM 50 dihulurkan kepada Pak Misai yang sudah menyembunyikan tawa. Buru-buru, Inara keluar dari kedai runcit itu.
Hailah, buruk benar perangai Puan Jemah dan Ramizah. Dengan budak sekolah saja mahu cari gaduh. Geleng kepala sajalah yang Pak Misai mampu. Namun, dia puas tatkala Imara lancang menghamburkan amarahnya. Belum ada bukti, orang kampung sudah menghukum. Dia yakin, Aisar tidak bersalah!
"INARA, janganlah macam ni. Cuba bawa istighfar dulu. Nanti nama kau pula yang buruk kalau kau serang Marissa!" pesan Amanda sebaik sahaja basikal mereka berhenti di perkarangan rumah Marissa.
Inara tidak mengendahkan omongan Amanda. Dia mahu berhadapan dengan Marissa sendiri. Sudah hampir tuli telinga Inara tatkala mendengar nama Aisar terus dihina. Inara tidak sanggup!
"Marissa! Kau keluar sekarang! Aku nak cakap sikit dengan kau," jerit Inara. Tangannya sudah mengetuk pintu rumah bertalu-talu.
"Hoi perempuan jalang! Kau keluarlah sekarang! Mari hadap aku pula," jerkah Inara lagi. Sesekali, pintu yang dikunci ditendang kuat. Memang Inara rasa dia sudah gila tika ini.
Amanda hanya mampu garu kepala dengan tindakan kasar Inara. Takut kalau-kalau, kemarahan Inara mengawal fikiran tanpa bertindak rasional.
"Mar..."
Sebaik sahaja pintu rumah kayu dibuka dari dalam, Inara terus menyerbu masuk tanpa salam. Terpampang roman wajah Marissa yang kelihatan kosong.
"Kenapa kau fitnah Aisar?" soal Inara tanpa mukadimah.
Mendengar soalan Inara membuatkan Marissa tersenyum sinis. Kepalanya digelengkan dengan bahu yang sudah diangkat.
"Jawablah! Apa masalah kau..."
"Kenapalah kau nak lindung perangai syaitan sahabat kau sendiri? Kira cukup baik tau, aku tak buat report polis atas pemerkosaan dia ke atas aku!" pintas Marissa seraya berpeluk tubuh.
"Kau tu yang syaitan bertopengkan manusia! Pandai kau berlakon jadi mangsa. Hebat kau fitnah kawan baik aku! Dah boleh rangkul anugerah pelakon popular! Tanpa kau sedar, kau itu yang sundal. Sengaja jual diri dengan mana-mana jantan kaparat!"
Tak semena-mena, Marissa menaikkan tangannya ingin menampar wajah Inara. Badai amarah mula membakar sukmanya dengan hinaan Inara. Namun, Inara tangkas menggenggam pergelangan tangannya.
"Kau tak buat report... sebab Aisar tak bersalah! Kau yang sengaja reka cerita sampai satu kampung bencikan Aisar. Siapa yang arahkan kau buat macam tu? Thariq?" tegas Inara seraya menolak kasar tubuh Marissa. Akibatnya, gadis itu terduduk dengan kekasaran Inara.
"Inara... dahlah tu. Nanti mak bapa dia balik, naya kita," ujar Amanda. Tangan Inara sudah ditarik untuk keluar dari rumah.
"Dah memang betul Aisar cuba nak rogol aku! Aku tak buat report pun sebab..."
Tak semena-mena, Inara menampar kuat pipi Marissa. Melongo mulut Marissa tatkala menerima penangan maut Inara. Rahangnya seakan-akan dipatahkan saat itu juga. Darah yang mengalir di hidung dan bibirnya membuatkan Marissa gerun.
"Inara! Ya Allah. Sudahlah tu..."
"Kau ingat tamparan aku ni sampai kebenaran terungkai. Kau teruskan sajalah dengan lakonan kau. Tapi, aku tak akan biarkan Aisar dihina disebabkan perempuan jalang macam kau!" jerit Inara sekuat hati.
Melepaskan amarah yang membenam sukmanya. Setitis air mata sudah mengalir ke pipi gadis itu. Lantas, kepala Marissa ditunjal kuat sebelum Inara melangkah keluar dari rumah itu. Meninggalkan Marissa yang sudah kelihatan menggigil dengan amarahnya.
Inara tekad! Kali ini, dia akan melindungi Aisar Mumtaz dengan segala kudrat yang Inara milik. Demi Aisara!
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 💕
Emosi roller coaster tak tu 🤭
Syaf rasa elemen komedi dalam karya ini akan berkurang. Syaf surrender 😭 syaf tak reti komedikan karya 👉👈
Sedutan episod 14...
"Bapa, Aisar nak jadi askar macam bapa. Izinkan Aisar... keluar dari kampung untuk mulakan hidup yang baru. Aisar tak nak... nama mak, bapa, Airis terus buruk sebab Aisar. Aisar tak nak, tengok Inara pura-pura kuat lagi."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro