EPISOD 12
DENGAN nafas yang termengah-mengah, si lelaki berkumis lebat meneruskan lariannya di hutan belantara itu. Sesekali, langkahnya sumbang tatkala ranting pokok yang menjalar menghalang laluannya.
Namun, nasib tetap tidak menyebelahinya tatkala dia menemui jalan mati. Anak matanya sudah melotot melihat jurang yang begitu tinggi. Kalau dia terjun, sudah pasti kematian menjemputnya. Air sungai mengalir deras di bawah jurang. Di belakang pula, ahli Black Eagle sudah mengejarnya. Bersedia untuk menjadi sang algojo bagi mencabut nyawanya.
Oh sungguh, lelaki itu jadi buntu. Dia tidak mempunyai pilihan lain untuk melarikan diri lagi.
Bang!
Bunyi tembakan kedengaran. Degupan jantung si mata-mata polis semakin berentak kencang. Nafasnya seakan-akan tersekat dari rengkungannya. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya.
"Kau nak lari ke mana lagi, Saad? Terima sajalah yang kau tak ada peluang nak tengok hari esok dan seterusnya!" bentak Firman tatkala langkahnya sudah terpacak di hadapan Saad.
Serta-merta, tubuh Saad jadi longlai dengan perangkap Black Eagle. Anak matanya tunak memandang Firman dan Salim silih berganti. Melihat glock sudah diacukan ke tubuhnya membuatkan Saad menggeletar ketakutan.
"Tapi, kalau kau nak hidup... kau masih ada kesempatan terakhir. Hidup dan mati kau, hanya ada di tangan kau sendiri!" kata Salim yang bertindak lebih berkompromi. Kakinya sudah melangkah menghampiri Saad. Bahu Saad yang menggeletar dicengkam erat.
Sebaik saja omongan Salim menyusup ke dalam gegendang telinga Saad, anak mata lelaki yang dijadikan mata-mata itu terus memancarkan sinar. Seakan-akan, ada harapan untuk dia menyelamatkan diri daripada cengkaman musuh.
"Apa... yang... aku perlu... buat?" soal Saad dengan nada suara terketar-ketar.
Firman dan Salim berpandangan buat seketika. Masing-masing mempunyai muslihat untuk menjejak keberadaan pengkhianat Black Eagle. Manakan tidak, sejak kebelakangan ini, perniagaan kumpulan mereka semakin tergugat. Pasti ada lebih dari seorang mata-mata sedang merisik aktiviti mereka.
"Katakan pada kami, siapa lagi pembelot selain daripada kau!" tegas Firman. Glock sudah diacukan tepat di tepi dahi Saad. Menambahkan gerun di sudut hati pelayan bar itu.
Alangkah kagetnya Saad sebaik saja mendengar aksara meniti di bibir Firman. Anak mata Firman yang galak ditatap sedalamnya. Mana mungkin Saad membongkarkan hal itu! Dia mahu membalas dendam kepada Black Eagle yang membuatkan adiknya menjadi seorang pelacur! Maka, caranya dengan menjadi mata-mata buat pasukan polis.
"Jawablah! Kenapa kau diam?" bentak Firman lagi. Dia tidak mempunyai masa untuk terus berkompromi.
"A... aku saja yang menjadi mata..."
Tak semena-mena, Saad kematian kata apabila tengkuknya dihenyak kuat oleh Salim. Sontak, Saad tersungkur di atas reranting. Malahan, kepalanya turut ditujahkan dengan tendangan kuat sehingga membuatkan dia hampir rebah. Sungguh, kesakitan akibat diterajang membuatkan nafas Saad semakin terasa sesak.
"Hoi! Kau jangan nak tipu kita orang lagilah! Kalau kau seorang saja yang jadi mata-mata, kenapa business rumah pelacuran dengan sindiket kanak-kanak itu pun anjing-anjing tu boleh kacau!" bentak Salim. Lelaki bertubuh sasa itu mencengkam kuat baju Saad sehingga membuatkan nafas Saad terasa sesak.
Melihat air muka Salim dan Firman yang semakin tegang membuatkan Saad menggelupur. Sungguh, mereka berdua benar-benar persis seperti sang algojo yang ingin mencabut nyawa Saad saja. Ingin saja bibirnya berterus-terang. Namun, dendam yang tertanam di sudut atma lebih mendominasinya.
"Aku rasa, dia memang pilih nak mati dari..."
Tak semena-mena, Firman kematian kata tatkala sedas tembakan dilepaskan ke pergelangan tangannya. Sontak, glock yang berada di tangan kanannya terlepas akibat kejutan. Malahan, dua das tembakan turut ditujahkan ke kedua belah kaki penjenayah itu. Firman rebah serta-merta. Erangannya mula kedengaran di kawasan hutan belantara.
Salim yang turut kaget dengan serangan hendap si figura misteri lantas mencapai glocknya. Matanya melingas memandang sekeliling. Hanya pepohon yang melindungi langit malam saja yang kelihatan. Bahkan, rembulan yang tidak menunjukkan sirnanya membantutkan pandangan lelaki itu.
"Jahanam! Kalau kau nak sangat mati... ke marilah! Tunjukkan diri kau depan aku sekarang juga!" jerkah Salim. Nafasnya muka berombak di dada tatkala kesabarannya semakin beransur hilang.
Si figura yang sedang berselindung di belakang pokok sekadar tersenyum mengejek. Kepalanya disembulkan. Anak mata dipusatkan memandang figura yang sudah menerima habuannya.
Melihat saja peluang di depan mata, Saad terus mengambil kesempatan dengan melarikan diri. Ada rasa lega bila mana Mustaqim mula menunjukkan bayangnya. Dia memang mengambil keputusan yang benar! Melindungi Mustaqim dan akhirnya, pemuda itu sampai tepat pada waktunya.
"Salim! Saad... dah terlepas! Lekas, cari... dia. Kalau boleh, kau... bawa jantung dia... hadiahkan pada bos!" arah Firman yang sudah menahan sakit itu. Terasa mahu putus nyawanya akibat kesakitan yang bukan kepalang!
Lantas, Salim menurut perintah Firman. Langkah muka diatur mengejar Saad dari belakang. Glock mula diangkat untuk disasarkan ke arah Saad. Picu ditarik. Sesaat kemudian, peluru mula mengikut arah sasaran dari belakang Saad.
Malangnya, Saad ditarik terlebih dahulu oleh seseorang yang berselindung di balik pokok. Melihatkan itu, Salim semakin diserang amarah yang membuak-buak. Emosi lebih mengawal fikirannya. Kaki melangkah laju mencari kelibat yang sudah membantu Saad.
Tak semena-mena, tubuh Salim ditendang dari belakang. Buru-buru, Mustaqim mencekak leher Salim dengan kuat dari belakang. Glock yang berada di tangan lelaki itu lantas dirampas. Namun, sengaja Salim mengeraskan genggamannya dan menghentak rusuk musuhnya dengan kuat dari belakang.
Serta-merta, Mustaqim melepaskan tubuh Salim. Dahinya sedikit berkerut tatkala luka tikaman yang baru saja ditujahkan oleh seorang konco Black Eagle semakin menusuk. Hoodie dibetulkan. Pandangan mula dipusatkan ke arah Salim yang mula membuka kekudanya untuk menyerang.
"Come!" tegas Mustaqim. Nada suaranya kedengaran dingin.
Sesaat kemudian, suara pekikan mula memenuhi kawasan hutan belantara tersebut. Pertarungan di antara Mustaqim dan Salim dimulai. Saad yang menyaksikan kejadian itu mula mencernakan mindanya untuk membantu Mustaqim.
PERGERAKAN Thariq benar-benar terkunci tatkala seterunya mengilas tangan kirinya ke belakang. Malahan, kepalanya juga sudah tertunduk apabila tengkuknya dikunci rapi dari belakang.
Melihat pertarungan sengit di antara Aisar Mumtaz dan Thariq di gelanggang silat, membuatkan beberapa orang pelajar mula melopong. Ada juga yang saling berbisik melihat ketegangan dua seteru itu. Manakan tidak, kebanyakan penduduk kampung Seri Wangi sudah tahu bahawa Aisar dan Thariq tidak sehaluan.
"Aisar! Lepaskan Thariq. Kau nak patahkan tangan dia ke hah!" tegas Tok Guru Hanif.
"Dia yang cuba nak cederakan saya, tok. Saya balaslah balik. Saya pantang betul bila orang sentuh muka saya!" bidas Aisar seraya mengeratkan lagi kuncinya. Biar tangan Thariq yang sudah menumbuk wajahnya itu patah.
"Sudah! Aku suruh kau orang berdua berlawan. Bukan bertumbuk dan bermusuhan! Aku cuma nak tengok skil kau orang untuk pertandingan yang akan datang. Cukup, Aisar!" bentak Tok Guru Hanif seraya mencekak baju silat Aisar dari belakang. Menjauhkan Aisar daripada Thariq.
Thariq terlepas serta-merta daripada cengkaman Aisar. Tengkuknya yang sudah lebam diusap lembut. Nafasnya semakin turun naik setelah Aisar berjaya menjatuhkan dirinya. Sudah tentunya Thariq rasa tercabar! Lantas, Thariq berpusing seraya menghayunkan tendangannya ke tubuh Aisar.
Aisar yang sedang ditenangkan oleh Tok Guru Hanif sempat mengelak. Pemuda itu menyendengkan tubuhnya seraya menyepak pelipat lutut Thariq dengan kuat. Natijahnya, sekali lagi Thariq tersungkur di atas tanah.
"Cukup!" jerkah Tok Guru Hanif kepada kedua orang anak muridnya. Dia sudah berdiri di antara Aisar dan Thariq. Tangan dihalakan ke arah kedua seteru itu. Menghalang pergaduhan yang semakin hangat.
"Thariq! Kau lebih tua daripada Aisar. Sepatutnya, kau tunjukkan contoh yang baik kepada budak ini! Bukannya ambil kesempatan pergi pukul dia. Kau dah belajar silat lebih lama daripada Aisar. Seharusnya kau tahu, prinsip dan asas belajar silat ini macam mana!" marah Tok Guru Hanif. Sesak dadanya melihat sikap panas baran Thariq itu.
"Kau pula Aisar. Jangan lepaskan amarah kau tanpa fikirkan risikonya! Kau dah banyak kali buat masalah dekat kampung ini. Ramai dah tahu yang kau suka bertumbuk dekat sekolah. Sampai bila kau nak nama kau terjejas? Huh?" bentak Tok Guru Hanif kepada Aisar pula. Kepalanya digeleng-gelengkan melihat wajah bengis Aisar Mumtaz. Tiada lagi keceriaan terpancar di laman wajah pemuda berlesung pipit di pipi kanan itu.
Tika itu, atmosfera kedinginan mula menyapa gelanggang silat. Baik Aisar mahupun Thariq, keduanya masih belum berpuas hati. Hanya pandangan sinis saja yang saling bersatu. Masing-masing, masih dibakar dengan api kemarahan.
"Aku nak kau orang berbaik depan mata aku!" arah guru silat itu seraya menarik tubuh Aisar dan Thariq. Membiarkan dua orang pemuda saling mendekati antara satu sama lain.
Namun, Aisar dan Thariq masih statik berdiri bertentangan antara satu sama lain. Arahan daripada tok guru langsung tidak diendahkan. Baik Aisar mahupun Thariq, keduanya semakin tenggelam dengan lautan amarah.
"Aku cakap berbaik. Sekarang!" marah Tok Guru Hanif seraya menarik tangan Aisar dan Thariq. Disatukan terus tangan kedua anak muridnya untuk bersalaman.
Tatkala itu, Thariq terus mengambil kesempatan dengan memulas kuat tangan Aisar yang sedang digenggam. Terbit senyuman sinis di bibir pemuda berkulit sawo matang itu. Sungguh, kebenciannya terhadap Aisar Mumtaz semakin membuak-buak.
Apabila tangannya dilepaskan daripada genggaman Thariq, Aisar yang masih tidak mahu mengalah lantas menolak kasar tubuh seterunya. Keluhan berat terlepas dari bibir. Kenapalah sering saja Thariq menimbulkan amarahnya?
Sungguh, Aisar tidak mahu menanamkan kebencian di dalam hidupnya!
"KAU orang baliklah dulu. Aku nak jadi posmen pin pon kejap," arah Aisar sebaik sahaja Badrul dan Fakhri mengajaknya untuk pulang. Baju silat dimasukkan ke dalam beg sebelum begnya digalas di bahu.
"Posmen? Malam-malam macam ni? Kau nak hantar barang untuk siapa pula? Tak takut ke gerak seorang malam-malam buta?" soal Abidin.
Aisar mendengus. Bahu Abidin dicengkam bersama tatapan mata yang tajam. Dahinya berkerut menahan geram. Bingit pula telinga Aisar dengan soalan Abidin yang seakan-akan mencabar keberaniannya.
"Jangan kau cakap seperti itu, wahai Abidin! Aku sudah semaikan jiwa pendekar Melayu yang penuh dengan keberanian di dalam hati aku. Lagi pula, demi Tuan Puteri Nur Inara, aku sanggup jadi posmen tak diiktiraf untuk dia," kata Aisar dengan nada suara yang penuh dengan semangat waja.
Fakhri ketawa dengan jenaka Aisar. Kepalanya digelengkan. Terhibur sungguh dirinya dengan loyar buruk yang diujarkan oleh rakannya.
"Pendekar Melayu kepala otak kau! Layak ke, kau dipanggil pendekar Melayu dengan perangai tak semenggah kau itu? Huh! Hah cakap pasal Inara, apahal dia tak datang kelas silat malam ni? Stres lagi ke walaupun dah habis SPM?" kata Fakhri pula.
Aisar tersengih. Hailah, mahu perasan buat seketika saja pun tiada yang sudi menyokong. Malang sungguh nasibnya menjadi Aisar Mumtaz yang sering diperlekehkan.
"Nara tak sihat. Okaylah. Aku nak pergi belikan aiskrim untuk Nara. Kesian pula dia tunggu lama-lama. Aku pergi dulu. Assalamualaikum wahai bakal jenazah!" ujar Aisar. Enjin motosikal bapanya lantas dihidupkan. Tangan dilambaikan dengan lagak diva sebelum keluar dari perkarangan rumah Tok Guru Hanif.
Fakhri dan Abidin hanya menggeleng kepala dengan ulah Aisar Mumtaz. Ada sajalah omongan Aisar yang sentiasa mencuit hati mereka. Spontan tanpa ada sebarang tapisan.
Sesekali, Aisar memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah masuk pukul 11 malam. Aisar mengharapkan kedai runcit Pak Misai masih dibuka. Risau tatkala teringat akan Inara yang diserang demam panas.
"Demam pun, masih cari pasal nak makan aiskrim. Nasib baik aku sayang kau, tahu! Kalau tak... aku ikut saja cakap ibu kau. Tak payah belikan kau aiskrim," desis hati Aisar. Motosikal semakin dilajukan menuju ke kedai runcit Pak Misai.
Sesekali, bunyi cengkerik yang saling sahut-menyahut kedengaran. Menghiasi malam yang sepi. Rembulan dan gugusan bintang juga tak kelihatan. Hanya lampu jalan saja yang menerangi lorong yang dipenuhi dengan kawasan belukar. Sememangya, lorong kawasan perumahan Tok Guru Hanif begitu sepi.
Sebaik saja Aisar sampai di simpang jalan, hampir saja dia terlanggar satu susuk tubuh yang tiba-tiba rebah di hadapannya. Aisar brek mengejut. Dahinya mula berkerut menatap figura yang sedang menangis teresak-esak.
Buru-buru, Aisar mematikan enjin motornya dan menghampiri si figura. Sikap prihatin yang sememangnya disemai di dalam diri, membuatkan Aisar tak mampu meninggalkan si figura. Tambahan pula, melihat si figura berambut panjang dengan baju t-shirtnya yang koyak di bahagian bahu.
"Cik..."
"To... tolong saya," pintas si figura. Perlahan-lahan, kepalanya mendongak memandang raut wajah Aisar. Saat itu juga, esakannya semakin mendayu-dayu. Seakan-akan menanggung sakit yang bukan kepalang!
Anak mata Aisar serta-merta membuntang tatkala wajah memar Marissa terpampang di depan mata. Kakinya terus mencangkung di hadapan Marissa yang kelihatan teruk itu. Dengan rambut yang serabai, baju yang koyak rabak sehingga mendedahkan bahu serta anak mata kiri yang sudah lebam.
"Ma... Marissa! Kenapa dengan kau? Siapa buat kau macam ni? Kita lapor polis..."
"Sa... saya tak tahu. Saya... cuma balik... dari kelas tambahan... Cikgu Suria. Aisar... tol... ong saya. Sakit... sangat," rintih Marissa seraya mencengkam baju Aisar. Terus-menerus, gadis yang sudah menggigil ketakutan itu merayu meminta simpati Aisar.
"Okay. Kau tunggu sini, aku..."
"Saya takut, Aisar! Macam mana kalau... kalau orang-orang tu datang... lagi? Jangan... tinggalkan... saya dekat sini," pintas Marissa lagi. Baju Aisar dicengkam semakin kuat. Pandangannya seakan-akan semakin berpinar-pinar.
Melihat keadaan Marissa yang semakin teruk, membuatkan Aisar kebuntuan. Ada benarnya. Jika dia meninggalkan Marissa, seakan-akan memberikan risiko gadis itu diserang semula. Tanpa berlengah, topi keledar ditanggalkan. Perlahan-lahan, Aisar menyandarkan tubuh lemah Marissa di belakang pokok.
Hoodie yang membaluti tubuh Aisar lantas ditanggalkan untuk membalut tubuh Marissa yang sedikit terdedah. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipi Aisar. Rasa bahang dan berdebar melihat keadaan Marisa yang teruk dikerjakan.
Belum sempat Aisar mendapatkan semula motornya, tiba-tiba saja satu tumbukan dihenyak ke wajahnya. Aisar hampir rebah dengan serangan hendap tersebut. Terasa mahu patah rahangnya akibat menerima penangan penyerang.
"Kau cuba nak buat apa dengan Marissa, setan!" marah Encik Taufik seraya mencengkam baju Aisar. Turun naik nafasnya melihat keadaan Marissa.
"Pak... pak cik... jangan salah faham. Saya cuma nak tolong Marissa. Dia..."
"Mak..." rintihan sayu Marissa yang sudah meluru ke arah emaknya membantutkan terus omongan Aisar. Kelihatan, gadis itu sudah menggogoi di dalam pelukan Puan Bainun.
"Apa yang dah jadi ni, Rissa? Siapa yang buat Rissa macam ni? Allahu, anak mak," rintih Puan Bainun sambil mengusap wajah anak gadisnya. Air matanya sudah menitis ke pipi. Luluh hatinya melihat anak gadisnya luka memar. Intuisinya sebagai seorang ibu mula terasa tidak tenteram.
"Kita kena bawa Rissa pergi balai polis. Biar polis selesaikan semuanya. Bahaya kalau Rissa dibiarkan tanpa pemeriksaan lanjut," cadang Aisar. Intuisinya mula terasa tidak enak. Tambahan pula, dia sudah dikelilingi dengan lima orang lelaki. Risau kalau-kalau dia dituduh.
Perlahan-lahan, Marissa kalih memandang raut wajah cemas Aisar. Kepalanya digelengkan. Terketar-ketar, jari telunjuknya dihalakan tepat ke wajah Aisar.
"Kau... kau yang cuba... nak rogol aku, Aisar! Kenapa kau... pura-pura nak buat baik... walhal kau... kau yang buat aku..."
Tak semena-mena, Marissa rebah di atas tanah. Pandangan gadis itu serta-merta jadi gelap. Nafasnya semakin sesak di dada akibat menanggung kesakitan.
Tatkala fitnah dilemparkan kepada Aisar, serta-merta pemuda itu merasakan dunianya jadi gelap. Tubuhnya kaku. Alangkah terkejutnya Aisar apabila Marissa yang sentiasa bersifat sopan dan lembut tutur bicaranya, memfitnahnya sedemikian rupa.
Makian dan cacian orang kampung mula menyelinap masuk ke gegendang telinga Aisar. Aisar jadi lemas. Kakinya mula terasa lemah menampungnya untuk terus berdiri.
"Aku tak buat benda terkutuk seperti yang Marissa cakap! Aku cuma nak tolong dia. Sumpah demi Allah... aku tak buat! Aku..."
"Kau jangan nak jadi mangsa keadaanlah! Sudah ada bukti depan mata. Kau nak buat benda tak senonoh dengan Marissa! Aku tak sangka, perangai kau memang macam syaitan!" jerkah Seman. Tubuh Aisar lantas ditolak kasar.
"Tak sangka, kau dah mula nak jadi perogol selain penyangak dekat kampung ini! Kau memang tak ada masa depan ke hah!" cemuh Ghani pula.
"Ya Allah. Ini semua fitnah. Aku berani bersumpah atas nama Allah! Aku tak buat. Aku..."
Tak semena-mena, Aisar kematian kata tatkala sebatang kayu dihayunkan ke belakang kepalanya. Serta-merta, Aisar tersungkur akibat hentakan kuat itu. Kepalanya mula berdenyut-denyut. Bau hanyir darah mula menusuk rongga hidung apabila darah mengalir ke pipi pemuda itu.
"Kau tak payah bersumpah! Perogol macam kau... tak patut hidup! Kau patut diberikan pelajaran yang secukupnya, jahanam!" cemuh lagi seorang penduduk kampung seraya menujahkan tendangannya ke wajah Aisar. Melepaskan geram tatkala melihat keadaan Marissa.
Saat itu juga, emosi yang mula mengawal penduduk kampung membuatkan keganasan mengawal diri. Demi memuaskan kemarahan, tubuh Aisar terus dibantai tanpa memberikan kesempatan kepada pemuda itu untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.
Di satu sisi, Thariq sudah ketawa sinis sambil menghembuskan kepul-kepul asap ke udara. Puas! Puas melihat Aisar dimalukan dan dikeroyok habis-habisan. Nampaknya, drama tragis yang diarahkannya pada malam itu menjadi! Tepukan gemuruh diberikan kepadanya oleh Leman dan Baizul yang turut menjadi penonton.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 💕
Jangan lupa tekan vote kalau sukakan karya ini 😊
Sedutan episod 13...
"Kau tu yang syaitan bertopengkan manusia! Pandai kau berlakon jadi mangsa. Hebat kau fitnah kawan baik aku! Dah boleh rangkul anugerah pelakon popular! Tanpa kau sedar, kau itu yang sundal. Sengaja jual diri dengan mana-mana jantan kaparat!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro