Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Misteri

Perpustakaan, kantin, bilik guru, tandas lelaki, termasuklah bilik pengawas pun telah Adam jejaki. Eh, di mana Arash?

"Aku tak pergi dengan dia pagi tadi ke?" gumam Adam sendirian sambil memerhatikan sekeliling. Biasanya, mereka akan berjumpa pada waktu rehat namun batang hidung kembarnya itu langsung tidak kelihatan.

Nasi goreng ayam kunyit miliknya itu dikunyah perlahan-lahan. Otaknya ligat memproses dan berfikir, seperti ada insan kecil di dalam otaknya yang sedang berlari-lari membuka laci-laci informasi. Tetapi jalan mati insan tersebut adalah sebuah lorong gelap yang dipenuhi sarang labah-labah yang banyak.

Aduhai, penatlah jika mempunyai kondisi seperti ini.

 "Mungkin Arash sibuk?" Monolog Adam lagi kemudian memerhatikan gelagat kumpulan manusia yang menjamah makanan di dewan terbuka tidak jauh darinya. Kelihatan empat orang gadis tingkatan tiga sedang tertawa gembira dan bertukar-tukar cerita. Seronoknya jika ada kawan baik. Tidaklah sunyi sahaja.

Adam menongkat dagu di atas meja batu yang didudukinya, kepalanya didongakkan ke langit, memerhatikan gumpalan awan yang menenangkan. Begitulah mindanya, tenang namun mempunyai lompong-lompong akibat kehilangan memori yang hanya boleh disimpan untuk seketika.

"Niya, jom masuk kelas cepat, loceng dah bunyi!" Suara seorang gadis yang melalui sisi meja Adam menyentak remaja itu daripada lamunannya. Keadaan dewan terbuka tersebut kini riuh kerana para pelajar mula beransur pulang ke kelas dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan mereka.

Adam segera bangkit, menutup bekalan makanannya semula. Buku latihan yang asalnya dibawa untuk dibuat bersama Arash lekas diambil dan dipeluk ke dada. Sekelip mata, meja batu tersebut kosong tidak berpenghuni.


📸📸📸


Berpeluk tubuh sambil merehatkan tubuhnya di selusur koridor, Adam mengeluh perlahan. Sedari tadi dia menunggu Arash untuk keluar dari kelasnya namun kelibat abangnya itu langsung tiada. Dia menunggu dan menunggu, sehinggalah kelas tersebut kosong tanpa sesiapa pun.Adam mengintai ke dalam kelas, hanya meja-meja kosong menyambut pandangan matanya. Mungkin Arash  sudah bergerak ke kelas tambahan dan tidak perasan akan kehadirannya di situ?

Jika begitu, Adam akan bergerak ke tempat letak basikal terlebih dahulu kerana dia tahu bahawa dia akan pulang berseorangan seperti biasa. Perlahan-lahan, Adam melangkah ke luar bangunan sekolah dengan penuh kecewa. Sudahlah tidak bertemu dengannya hari ini, boleh pula si Arash itu membiarkan dia pulang seorang diri?

 Adam berlari-lari anak setelah terlihat basikalnya yang bewarna oren terang. Namun dia hairan apabila tempat parkir di sebelahnya itu kosong. Dia memerhatikan sekeliling, langsung tiada basikal yang berwarna biru terang kelihatan.

"Arash balik dulu?" soal Adam sendirian pula. Dahinya berkerut-kerut padakala dia mula membuka rantai kunci basikal. Peliknya hari ini.

Tongkat yang menstabilkan basikal kini diangkat, kerusi basikal didudukinya. Pedal basikal lantas dikayuh tanpa membuang masa lagi. Adam benar-benar panas hati.Deruan angin kuat menampar wajahnya yang panas kerana marah. Sampai hati abangnya sendiri meninggalkan dia sendirian. Dia sedar bahawa dia lemah dan dibuli, tidak akanlah hanya kerana itu Arash tidak mahu berjumpa dengan dia?Adam beristighfar panjang untuk menenangkan hati.

"Jangan bersangka buruk terlebih dahulu," bisik hatinya. Pasti ada sebab Arash berbuat demikian. Tiba di rumah nanti, dia akan bertanya pada abangnya akan hal hari ini. 

'Jangan percaya sesuatu yang masih belum dilihat dengan mata kepala sendiri.' Arash selalu berpesan.

Pagar automatik dibuka, Adam memakirkan basikalnya di sebelah pintu utama rumah. Masuk sahaja ke dalam rumah, bondanya merupakan orang pertama yang dapat dia lihat. Lekas dia menanyakan soalan yang bermain di mindanya sejak tadi.

"Arash kan ada kem anjuran sekolah selama dua minggu lebih?" Puan Laila membalas soalan anaknya itu. "Kamu pergi cari dia dekat sekolah ke? Ya Allah, Adam," sambungnya lagi kemudian tertawa besar.

Wajah Adam membahang menahan malu. Bukan salahnya jika dia tidak mengingati perkara itu. Arash menyertai kem sekolah? Bukan perkara acap yang membuatkan dia dapat mengingati rutin itu.

"Alah, manalah Adam nak ingat. Patutlah rasa pelik bila Adam tak jumpa Arash dekat sekolah. Ingatkan dia elak jumpa dengan Adam," tutur Adam dalam nada perlahan. Begnya diletakkan ke atas lantai sebelum dia menghempas diri ke sofa.

Puan Laila sekadar menggelengkan kepala dengan kerenah anaknya itu. "Arash nak elak jumpa kamu? Jangan haraplah. Dia tu sayang kamu sangat. Dah! Pergi mandi, solat, lepas itu makan. Nanti boleh siapkan kerja sekolah."

Dengan lemah-gemalai, Adam bangkit dari sofa. Dia meregangkan tubuhnya sebelum melangkah ke tangga bagi meneruskan rutin hariannya setiap kali pulang dari sekolah.

Apa guna buat kerja sekolah kalau Arash tidak ada untuk membantu? 

"Tak faham nanti tanya bonda, bonda boleh tolong kamu!" Suara Puan Laila kedengaran dari bawah. Wah bonda, seperti boleh membaca fikirannya pula. "Dengan syarat, nanti tolong bonda kemas rumah!" jerit wanita itu lagi. 

Terus wajah Adam masam mencuka.


📸📸📸


Keesokan harinya, Adam bersarapan bersama walidnya dengan riak muram. Encik Zulkarnain yang enak mengunyah karipap memerhatikan wajah anaknya itu dengan penuh konsentrasi. Berdasarkan riak dan pergerakan tubuhnya, dia sedar bahawa Adam tidak selesa sendirian apatah lagi mendapat tahu bahawa Arash tidak akan ke sekolah bersamanya lagi hari ini.

"Adam," panggil Encik Zulkarnain, membuatkan Adam mengangkat kepalanya. "Dua minggu lebih saja Arash pergi, janganlah sedih sangat," tegurnya dengan senyuman nipis. 

Adam tidak membalas senyuman tersebut. Dia sekadar merengus kecil bagi menunjukkan bahawa dia mendengar kenyataan itu. Tetapi entah kenapa, hatinya berasa tidak enak. Bukan kerana Arash tidak bersamanya, namun pemergian Arash itu sangatlah tiba-tiba. 

"Adam pergi dulu, Assalamualaikum walid," ujar Adam lalu bergegas ke pintu rumah tanpa menunggu walidnya menjawab salam. Bersalaman dengan walidnya pun tidak, fikirnya dia hanya mahu bergerak meninggalkan rumah dengan cepat.

Basikalnya dikayuh perlahan-lahan bagi menikmati suasana alam. Jantungnya berdegup kencang tiba-tiba, membuatkan matanya melilau bagi melihat sekeliling. Kata orang Melayu, kalau jantung tiba-tiba laju itu tanda ada makhluk halus mendekat. Betulkah? 

Semua tekaan mengarut. Itu tandanya akan ada perkara buruk yang bakal berlaku hari ini. Adam mengusap-usap dadanya bagi menenangkan diri. Tenang, tenang. Jangan percaya dan menyangka apa-apa selagi deria tidak menerima inputnya. 

 Adam menarik nafas dalam dan menghela perlahan sebaik sahaja basikalnya melintasi pagar sekolah. 

Baru sahaja satu jam Adam berada di sekolah, dia telah mendapat satu arahan.

"Adam Bin Zulkarnain, awak dipanggil untuk ke pejabat pengetua." 

Dah agak! Adam menampar pahanya sendiri. Dia sudah agak, pasti akan ada sesuatu yang berlaku! Jika tidak, mengapa dia harus berjumpa dengan pengetua sekolahnya sendiri? Habislah, habislah! 

Firasatnya tidak pernah salah. Walaupun ingatannya berjangka pendek, firasatnya itulah yang membuatkan dia masih berguna dalam hidup ini. Adam mempunyai gerak hati yang kuat, itulah apa yang sering diperkatakan oleh Arash. 

Memperkemaskan penampilannya, Adam mengatur pernafasan supaya terlihat normal. Dia mahu mengelakkan  diri daripada hiperventilasi di situ juga. Sabar Adam, pengetua panggil sahaja, bukan mahu berikan kau hukuman.

"Tujuan saya panggil kamu ini atas sebab abang kamu."

 'Aku yang buat salah ke Arash yang buat salah ni?' 

Adam menelan liur kesat. Dia tidak pernah bertentang mata dengan pengetua sekolahnya secara berhadapan dan bersendirian. Apabila hanya mereka berdua sahaja di dalam pejabat ini, Adam dapat merasakan bulu romanya meremang. Adakah pengetua sekolahnya itu makhluk halus yang dinyatakan mindanya pagi tadi? 

Tuan Ramlan memandangnya dengan pandangan yang tajam namun tidak berbaur apa-apa ancaman. Adam di hadapannya pula berdiri tegak seperti askar yang sedang melaporkan diri, manakala matanya pula sudah berair kerana ditahan daripada berkelip. 

"Adam, ini bukan pertandingan lawan mata. Tenang, jangan nampak takut sangat," tegur Tuan Ramlan dengan keluhan kecil. "Kamu tidak ada buat apa-apa salah. Cumanya, saya nak berbincang dengan kamu tentang Arash. Jadi, saya nak kamu duduk, tarik nafas dalam, lepas itu tenangkan fikiran." 

Perlahan-lahan, Adam bergerak ke hadapan dan menarik kerusi yang terletak bertentangan dengan pengetua sekolahnya itu. Otaknya berfikir ligat, nampaknya ada perkara besar yang bakal disampaikan oleh Tuan Ramlan jika sebegini rupa arahan yang diberi. Adam cuba menenangkan hatinya yang berdegup kencang agar  otaknya dapat memproses apa yang akan dikatakan oleh Tuan Ramlan.

Dia harus bersedia untuk menyimpan maklumat itu supaya dia tidak akan terlupa.

"Keluarkan buku nota kamu dulu, nanti lagi senang kamu nak ingat." Tiba-tiba Tuan Ramlan mengingatkan seperti sudah biasa melihat buku nota milik Adam.

Meskipun terkejut, Adam lantas mengeluarkan buku nota kecilnya dari poket seluar. Pena ditekan-tekan menggunakan tangan kanan, membezakannya dengan Arash yang kidal. Tarikh, keberadaannya, dan dengan siapa dia bercakap lekas Adam tulis di atas kertas.

"Sudah?" tanya Tuan Ramlan sebelum dia membicarakan perkara yang ingin disampaikan. Adam mengangguk sekali, menunjukkan bahawa dia akan fokus. Tuan Ramlan tersenyum nipis melihatkan aksi itu kemudian menarik nafas dalam-dalam. Wajah Adam dipandangnya dengan serius. Selepas itu, dia berkata dengan suara yang bergema di dalam pejabat tersebut seperti baru sahaja melepaskan bom yang besar.

"Arash telah hilang dari radar agensi dan kami perlukan bantuan kamu, Adam."

Zap! Otak Adam terasa seperti direnjat elektrik bervoltan tinggi. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro