Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Arash

Perhimpunan pagi bukanlah perkara yang digemari semua orang. Namun sebagai seorang pengawas yang komited, Arash melakukan tanggungjawabnya dengan penuh disiplin. Kini, pengetua sekolah sedang berucap dengan janji yang beliau hanya ingin memberikan sepatah dua kata. Walakin sudah satu jam dia berdiri, pengetua sekolahnya itu masih belum ada tanda-tanda untuk menamatkan ucapannya.

Untunglah pelajar biasa, mereka hanya duduk dan dengar, bukannya perlu berdiri dan memerhati.

Meskipun sekadar berdiri agar mudah untuk mereka memerhatikan gelagat pelajar, Arash tetap mendengar ucapan yang diberikan dengan tekun. Tangan kanannya memegang buku nota kecil manakala tangan kirinya pula menulis segala maklumat dan perkara penting. Sedang dia khusyuk memahami setiap bait kata pengetuanya itu, bahunya ditepuk perlahan dari sisi.

Arash lantas menoleh ke kiri. Jantungnya bagai terhenti seketika apabila melihatkan keberadaan ketua pelajar di sebelahnya itu. Meskipun mereka tidak kenal rapat, namun Arash tetap berbicara dengan mesra.

"Ya, Rafziq?" soalnya dengan kepala yang disengetkan sedikit.

Memahami gementar pengawas yang seorang itu, Rafziq memberikan senyuman kecil kepada Arash, menunjukkan bahawa dia tidak membuat sebarang kesalahan. Bagi menjawab soalan Arash, Rafziq menuding ke arah barisan pelajar lelaki yang berdekatan dengan hujung dataran perhimpunan.

"Boleh tegur adik awak tak? Dia tak berikan perhatian," jelas Rafziq sambil memandang seseorang yang berada di dalam barisan tersebut.

"Oh," balas Arash, matanya tertancap pada Adam yang sedang asyik membaca buku. "Okey, saya tegur dia," sambungnya lagi.

Tanpa membuang masa, Arash bergerak ke barisan kelas ketiga terakhir iaitu kelas 4 Delita. Memandangkan Adam mengambil tempat di bahagian belakang sekali, Arash tidak perlu menyelit antara pelajar untuk berbicara dengan adiknya itu. Dia lantas menunduk di sebelah Adam.

"Adam," tegur Arash dengan suara yang perlahan. Tangannya diletakkan di atas buku yang sedang dibaca Adam. "Rafziq dah tegur tu. Boleh simpan buku ni? Nanti boleh sambung baca."

Adam yang tidak menjangkakan kehadiran seseorang itu terkejut dengan teguran Arash. Dia lekas mendongak, bertembung mata dengan kembarnya yang sedang tersenyum manis. Namun Adam tidak membalas senyuman itu, wajahnya mencuka.

"Hish," itu sahaja yang diucap Adam sebelum dia menyimpan buku tersebut ke dalam begnya semula. Dia berpaling ke arah podium yang menempatkan pengetua sekolahnya itu tanpa memandang Arash sekali pun.

Arash berdiri tegak semula dan menempatkan posisinya di situ. Pengawas yang berada berdekatan telah diarahkan untuk menggantikan tempatnya di barisan kelas lain. Jika dia berdiri di sini, mudahlah dia untuk memerhatikan Adam agar tidak mengundang amarah sesiapa.

Pengetua menghabiskan ucapannya disertai tepukan tangan para pelajar dan guru-guru. Setelah semuanya selesai, pelajar-pelajar diarahkan untuk berdiri bagi bergerak ke kelas masing-masing. Arash menjaga barisan kelas Adam dan mengarahkan mereka untuk berbaris dengan tertib.

Apabila mereka mula bergerak, Arash menghulurkan buku nota kecil yang dipegangnya tadi kepada Adam. Ucapan terima kasih Adam berikan disertai senyuman sebelum dia bergerak ke kelas. Itulah rutin harian mereka, buku nota menjadi komunikasi antara mereka berdua.

Buku nota tersebut adalah milik Adam yang sentiasa digunakan untuk menulis perkara penting. Hal ini kerana Adam mempunyai masalah dengan ingatannya, membuatkan dia harus sentiasa bersama buku notanya. Oleh itu, Arash mengambil tindakan untuk membantu adiknya itu setiap kali perhimpunan berlangsung kerana Adam memang tidak akan memberikan perhatian penuh atau menangkap butir bicara guru-guru mereka.

Lagipun, Arash mempunyai ingatan fotografi, dia juga cepat menangkap segala apa yang didengari. Apa gunanya menyalin nota? Sekali dengar, sudah melekat dalam ingatan bak sotong kurita.

"Okey, kita akan ada roll call lepas ini! Berkumpul di foyer A ya!" Suara Rafziq dapat didengari dari jauh. Nampaknya, Arash tidak akan masuk kelas awal hari ini.


📸📸📸


Waktu rehat menjadi waktu kedua di dalam sekolah untuk Arash dan Adam bertemu. Mereka akan makan bersamasama dan berbual bagi meluangkan masa. Perbualan mereka juga tidak kosong, terutamanya apabila Arash mengambil masa ini untuk mengajar Adam tentang perkara yang dia tidak tahu.

Arash sedar, Adam mudah ingat apabila perkara yang dipelajarinya itu diulang-ulang sebanyak mungkin. Namun zaman kini, era globalisasi serta pergerakan ekonomi dan pelajaran semakin pesat dan laju, maka para pelajar juga perlu mengikut kelajuan guru yang mengajar. Mereka yang kurang bernasib baik akan menjadi ketinggalan di belakang.

Disebabkan itulah Arash akan berusaha supaya Adam mengingati apa yang dipelajari. Tetapi masalah si Adam ini, dia mudah hilang fokus.

"Adam, semut itu tidak akan menjadi kerengga pun kalau kau tenung lama-lama. Baik tengok sini, bagi faham soalan Teacher Adriee bagi ni," tegur Arash, tegas. Pensel yang dipegang diketuk-ketuk pada tangan Adam yang sibuk merenung seekor semut di atas meja.

"Tapi semut tu comel, dia jalan terkedek-kedek," sahut Adam yang masih tidak mengalihkan pandangan.

Arash sudah menampar dahinya dan mengeluh kuat. Apalah nak jadi dengan adik kembarnya yang seorang ini. "Adam bin Zulkarnain!" Panggilnya lagi dengan keras.

"Ya, ya." Adam membalas malas-malas. Dia kembali mendengar penerangan Arash berkenaan silibus matapelajaran Bahasa Inggeris yang baru diterangkan oleh gurunya tadi. Apabila dia tidak dapat memproses apa yang dipelajari, dia pasti akan menyuruh Arash untuk mengajarnya semula.

Setelah Adam yakin bahawa dia dapat menjawab soalan yang disediakan, Arash menyuruh Adam menyiapkan kerjanya itu sementara masih ada masa yang berbaki. Segala gerak-geri Adam diperhatikan Arash agar dia dapat membetulkan semula segala kesilapan.

Adam menjawab soalan-soalan yang ada dengan tekun. Matanya memandang soalan dan rujukan yang ditulis Arash berulang kali. Tangan kanannya bergerak laju bagi menjawab soalan yang ada sebelum dia lupa akan formulanya.

"Apa maksud soalan ni, Arash?" soal Adam sambil mengetuk sebaris soalan menggunakan penanya.

"Oh, soalan ni suruh tulis ayat tentang langkahlangkah menyelamatkan diri daripada kebakaran. Pastikan guna grammar yang betul," jawab Arash, melihat soalan tersebut dengan dahi yang berkerut. "Jadi, apa langkah yang akan kau ambil?"

"Ambil langkah besar-besarlah!" Balas Adam sebelum tertawa. "Sebab siapa saja yang tidak lari sewaktu berlakunya kebakaran?"

Mendengarkan itu, Arash meraup mukanya dan beristighfar panjang. Dalam diam, dia cuba untuk menyembunyikan senyumannya kerana berasa terhibur dengan jawapan Adam. "Suka hati kaulah Adam," malas dia berkata sebelum menyambung mengunyah makanan yang dibawa.

Sedang Arash menghabiskan makanannya pada waktu rehat itu, dia dapat merasakan getaran pada tangan kanannya yang menempatkan jam istimewa yang dipakai. Dia lekas mengalihkan tangannya agar dia dapat melihat permukaan jamnya itu.

Lambang huruf 'O' tertera pada skrin jam yang dipakai. Oh, ada misi baharu yang bakal diterimanya nanti. Arash tersenyum sendiri.

"Kenapa senyum-senyum tu? Tengah fikir seseorang ke?" Suara Adam mengejutkan Arash. Kelihatan kembarnya itu sedang tersenyum nakal ke arahnya.

"Mana adalah. Jangan fikir benda bukan-bukan," jawab Arash dengan riak menyampah. "Kerja tu dah siap ke belum?" soalnya lagi bagi menukar topik.

Adam membuat wajah pelik. "Memang tidaklah nak habiskan sekarang. Balik nanti aku sambung. Tapi sekurang-kurangnya dapatlah aku tulis apa yang aku faham supaya nanti boleh rujuk balik," dia membalas lalu menutup bukunya dan menyimpan peralatan menulis.

"Balik kelas nanti jangan lupa makan ubat. Doktor kata makan dua biji," pesan Arash serius dan sekadar mendapat anggukan daripada Adam.

Bunyi loceng yang menandakan tamatnya waktu rehat memisahkan mereka semula.


📸📸📸


Loceng tamat sekolah merupakan waktu yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar. Dengar sahaja deringan yang satu itu, berpusu-pusu para pelajar keluar dari kelas bagi pulang ke rumah dan meneruskan aktiviti masing-masing.

Arash menuruni tangga dengan berhati-hati, dia dapat lihat adiknya sedang menunggu di tingkat bawah sambil menyanyi kecil. Memandangkan kelas Adam berada di tingkat dua dan Arash di tingkat tiga, pastilah si adik yang sampai dahulu di bawah.

Namun begitu, hari ini bukanlah hari untuk mereka pulang bersama.

"Adam, aku kena panggil dengan tuan pengetua hari ini jadi aku balik lambat sikit. Kau baliklah dulu," tutur Arash tatkala dia berjaya menuruni tangga tanpa sebarang cedera akibat ditolak-tolak tadi.

"Nanti aku kena naik basikal seorang diri lagi," rungut Adam di situ sambil menggoyang-goyangkan tangan Arash bagi mendapatkan ihsan.

Arash mengeluh perlahan. Tugas sudah memanggil, dia tidak boleh mengelat. Jadi, dia hanya menepuk bahu Adam bagi memujuk adiknya itu.

"Tak apalah Adam, macam tak biasa. Balik dulu, tolong bonda dekat rumah. Nanti aku balik, aku belikan kacang pistachio untuk kau," janji Arash.

Pegangan tangan pada Arash, Adam lepaskan dengan rengusan geram. "Okey, bye!" Ucapnya kemudian berlari meninggalkan Arash seorang-seorang di situ.

Gelengan kecil Arash berikan sambil memicit batang hidungnya. Dia kini mendaki tangga semula menuju ke pejabat pengetua.

Mindanya mengimbau pada misi ketiganya sewaktu dia mula-mula menyertai organisasi ejennya itu. Keberadaan Adam yang bersamanya sewaktu dia menjalankan misi sudah hampir membuatkan nyawa adiknya itu melayang. Misinya pada ketika itu adalah untuk mengintip sebuah kumpulan yang membawa lari gajet haram ke dalam negara mereka. Dan kenderaan kumpulan tersebut telah berselisih dengannya sewaktu dia dan Adam sedang pulang dari sekolah dengan menaiki basikal.

Sewaktu dia cuba untuk mengejar kenderaan tersebut bersama panduan yang diberikan oleh mentornya, Arash tidak sedar bahawa pemandu kenderaan itu menyedari kehadirannya. Kenderaan tersebut bertindak untuk mengundur bagi melanggar Arash namun Adam yang kebetulan mengekorinya dan berada di tempat kejadian telah mengambil langkah untuk melindungi Arash yang disangkakan sedang melintas jalan.

Mereka berdua terpelanting di atas jalan raya dengan kasar. Arash hanya mengalami kecederaan ringan tetapi Adam pula sebaliknya. Adiknya itu memiliki kecederaan parah pada kepala dan kehilangan banyak darah. Organisasi ejennya muncul dengan tangkas dan menangkap kumpulan tersebut. Kemudian, dia dan Adam dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala bonda dan walidnya dihubungi bagi menyatakan keberadaan mereka.

Rakan sekerja Arash yang menyamar sebagai polis di sekitar itu telah menceritakan apa yang berlaku kepada orang tua mereka. Walaupun bersyukur kerana kedua-duanya terselamat, namun Adam yang menjadi mangsa keadaan. Kondisi ingatan jangka pendek menjadi balasan terhadap perbuatannya yang melulu itu.

Kondisi adiknya itu tidak terlalu teruk kerana dia masih boleh hidup seperti manusia biasa. Adam hanya memerlukan ubat dan terapi. Oleh kerana minatnya dalam aktiviti sukan, ia amat membantu pergerakan darah dalam otak bagi menajamkan ingatannya. Adam aktif dan mengamalkan pemakanan gaya hidup sihat. Jadi, Arash tidak perlu terlalu risau.

Arash pernah merasa menyesal menyertai OPERA. Ini kerana kesannya pada Adam merupakan masalah jangka panjang. Dia telah membuatkan adiknya itu merana terhadap sesuatu yang dia tidak pinta.

Arash mengeluh kecil. Sudahlah, berfikir terhadap sesuatu yang lepas bakal menimbulkan rasa tidak enak sahaja. Nafas ditarik dalam sebelum dihelakannya perlahan.

Tiba sahaja di hadapan pintu pejabat pengetuanya itu, Arash mengetuk pintu sebanyak tiga kali. "AC di sini sedia berkhidmat," katanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro