Bab 9
PULANG dari perpustakaan awam, Lily tidak tahan ingin ke tandas lalu dia singgah di stesen minyak Petronas. Terkedu dia apabila membaca notis yang dilekatkan di pintu tandas.
Diijinkan kincin dan dilarang verak. Lubang itu najis, ada sumbat. Sila amik fahem.
Hah? Apa ni? Haish, rosak bahasa kebangsaan. Pandai-pandai aje mengeja sendiri ikut suka dia orang. Kalau pelancong datang ke tandas ni, pening kepala dia nak mencari dalam Google Translate.
Tanpa menunggu lagi, Lily menolak pintu tandas. Namun dia terkejut besar melihat ular tedung berwarna hitam sedang berlingkar di dalam mangkuk tandas.
Dia menjerit dan berlari keluar dengan panik.
"Tolong! Ular! Ular!" jerit Lily membuatkan beberapa orang datang meluru padanya.
"Aiyak amoi, pasal apa lu jerit?" Tauke stesen minyak ni agaknya. Suasana menjadi cemas. Lily lantas memberitahu.
"Ada ular besar dalam itu mangkuk tandas, tauke."
Terkejut besar tauke Cina itu. Dia pula panik.
"Aiyak, ular besar dalam mangkuk tandas? Banyak bahaya itu boleh kasi patuk masa kincin masa verak! Apa mahu buat ini? Kasi sembur itu Sheltox ada mati ka? Jangan kita pula yang mati! Untung saya punya bini, dapat saya punya harta!" Tauke Cina itu pula yang lebih takut dari Lily.
Sekarang baru Lily faham, ayat dari notis tadi tu datangnya dari siapa. Lily pantas memikirkan sesuatu. Ya, telefon bomba. Bomba boleh tangkap ular.
"Tauke jangan bimbang, saya telefon bomba datang angkut itu ular, kasi buang." Lily segera menelefon balai bomba. Lily mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail 999.
"Bomba? Aiyak, cepatlah telefon. Berapa mahu bayar, saya akan bayar. Saya manyak takut! Tolong amoi, nanti itu ular datang sini kasi patuk saya!" Apek itu terketar-ketar ketakutan.
"Sabar, tauke. Ni tak perlu kita bayar, mereka datang tolong saja. Kalau mahu bayar, kasi duit sama sayalah!" Sempat lagi Lily mengusik tauke itu.
Setelah menelefon dan melaporkan pada pihak bomba, Lily menenangkan tauke itu yang semakin panik. Rimas Lily dibuatnya. Lima minit menanti dengan penuh debaran akhirnya van bomba sampai.
Muncul lima orang anggota bomba yang lengkap beruniform menghampiri Lily dan pemilik stesen minyak yang turut sama panik itu tanpa henti itu.
"Adik ke yang membuat laporan tadi?" soal salah seorang bomba itu yang kacak dan segak bergaya memakai uniform celoreng bomba.
Lily terpegun seketika lalu mengamati. Rasa seperti kenal saja? Rasa seperti pernah tengok saja?
"Adik?" soal abang bomba tersebut. Tauke Cina itu lantas menyampuk.
"Encik, aiyak. Cepat tangkap sama itu ular. Wa manyak takut. Itu ular ada dalam itu jamban lubang!" Tauke Cina itu tidak senang duduk dan cemas. Gila tak takut. Sekali kasi patuk, mahu terus jalan masuk kubur.
Tanpa berlengah lagi, Rayqal, salah seorang anggota bomba tersebut bergegas ke lokasi kejadian yang didakwa ada ular yang berbahaya itu.
Lily masih diam tidak berkutik. Matanya ralit memerhatikan salah sorang anggota yang begitu menarik perhatiannya. Kalau tak salah, ni Abang Rayqal. Ya Allah, kebetulan apakah ini?
Lily pandang lama-lama. Handsomenya dia memakai uniform celoreng bomba. Lily mahu bertanya tapi masa tak sesuai kerana Rayqal sedang menjalankan tugasnya.
"Abang bomba, hati-hati!" pesan Lily dengan risau. Dalam hati, kagum melihat keberanian Rayqal dalam menjalankan tugas. Risiko besar kerana mereka bertaruh nyawa demi melindungi orang awam.
Rayqal mengeluarkan peralatan lengkap iaitu COBRA P.C Model-i 2008/6935T (Cobra P.C) Alat yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu perangkap, panduan arah dan beg bukan sahaja menjamin keselamatannya tetapi ia juga memastikan ular tidak cedera atau mati semasa proses menangkap ular itu nanti.
Rayqal mengamati ular tedung berwarna hitam yang sedang berlingkar di dalam mangkuk tandas. Panjangnya dianggarkan 1.6 meter dan sangat membahayakan. Kesan bisa ular tedung hitam bergantung kepada jumlah bisa yang memasuki badan. Racunnya mampu memberi kesan kepada saraf, jantung dan darah.
Tugas seorang bomba beginilah, sentiasa berdepan bahaya. Walaupun terlatih dan berkemahiran namun risiko tetap ada. Namun, langkah-langkah keselamatan akan diambil setiap kali mereka menjalankan operasi menyelamat.
Rayqal melafazkan bismillah lalu memulakan proses menangkap ular tersebut dengan mengeluarkan Cobra Guide untuk mendorong reptilia itu memasuki ke dalam perangkap. Perlahan-lahan dia menarik ekor ular tersebut hingga berpaut kemas pada Cobra Guide. Mujurlah ular tedung ini tidak bertindak balas dan agresif kerana diganggu. Akhirnya ular tersebut selamat dimasukkan ke dalam karung yang dibuka oleh Syawal, rakan sekerja Rayqal.
Mission complete! Bunyi tepukan bergema. Rayqal berpaling ke arah tuan punya tepukan itu. Pemilik stesen minyak dan budak perempuan tadi. Gembira sungguh mereka berdua meraikan kejayaannya menangkap ular tedung ini. Rayqal menggelengkan kepalanya.
Setelah ular itu disimpan, Rayqal mencatatkan sesuatu dibuku laporannya. Panggilan segera dijalinkan ke Pusat Gerakan Operasi Ipoh (PGO).
"PGO, PGO, panggilan dari Kuala Kangsar 3, lapor selesai operasi khidmat tangkap ular dan akan balik ke balai." Selesai melaporkan operasi pada PGO Ipoh, tiba-tiba dia ditegur.
"Errr, abang bomba. Adik yang telefon balai bomba tadi laporkan pasal ular tu. Adik yang jumpa ular tu dalam tandas. Bravo, abang bomba. Kagum adik tengok tadi, bukan senang nak tangkap ular berbisa tu. Tapi abang buat macam senang aje." Lily memberitahu dengan excited. Sengih sampai telinga. Tergedik automatik.
Rayqal melontar pandang kerana dia bagai pernah mendengar suara ini. Ya, wajahnya macam pernah nampak. Sambil mengamati wajah budak perempuan itu, Rayqal berkata.
"Ya ke? Tindakan adik memang cepat. Ular tedung ni memang membahayakan nyawa tau. Mujurlah adik nampak tadi sebelum guna tandas tu, kalau tak tak tahulah apa yang terjadi." Rayqal menyambung semula menulis laporan. Lily tersenyum gembira.
"Errr, abang bomba tak kenal adik ke? Saya Lily!" soal Lily teruja sangat. Tak sangka masih ada pertemuan antara mereka.
Apa yang pasti, Lily sangat gembira dapat jumpa abang bomba yang selalu diingatinya. Rayqal tergamam seketika. Tidak menyangka bertemu Lily di sini. Oh, sungguh molek aturan Allah merancang pertemuan mereka di sini.
"Ya Allah, adik rupa-rupanya. Patutlah abang macam kenal tadi. Tak sangka boleh jumpa adik kat sini." Jawapan itu membuatkan Lily melonjak gembira.
"Yalah. Siapalah kita ni orang nak kenal. Yang pasti, adik kenal abang sebagai seorang anggota bomba yang hebat!" balas Lily penuh teruja.
Rayqal tersenyum.
"Semua anggota bomba kemahirannya sama aje dengan abang. Tak ada sesiapa paling hebat. Dah memang tugas kami. Okey adik, abang minta diri dulu. Tugas abang dah selesai. Okey tauke, semua sudah settle. Kita mahu balik balai." Rayqal bersalaman dengan tauke Cina tersebut. Tiba-tiba tauke Cina menghulurkan sesuatu. Wang rupanya.
"Terima kasih, bomba. Kalau bomba talak ada, mahu mati semua olang kena patuk dengan itu ular. Aiyak manyak besar, manyak seram." Tauke Cina itu menggeleng kepala dengan wajah kecut.
"Sama-sama tauke, tapi tak perlulah kasi saya wang. Kerajaan sudah bayar saya punya gaji untuk tolong orang awam." Rayqal berjabat tangan dengan tauke stesen minyak itu.
Tauke Cina itu tersengih.
"Tapi ini wang sama nyawa, nyawa tiada nilai ooo."
"Tak apa, tauke. Dah jadi tugas saya. Saya pergi dulu." Rayqal tersenyum lalu melangkah menuju ke jentera bomba. Rakan-rakan sekerja sudah masuk ke dalam jentera sejak dari tadi.
"Abang bomba!" panggil Lily yang belum beres. Dia bergegas menghampiri.
"Ya, adik."
"Errr, sweater abang dan sapu tangan abang ada pada adik. Macam mana adik nak kasi abang balik?" soal Lily dalam senyum tak habis.
"Kalau menyimpannya menyusahkan adik, adik boleh hantar pada abang, ya?" maklum Rayqal.
"Oh, tak menyusahkan pun. Adik suka!" Tersipu-sipu Lily memberitahu. Memang kalau boleh nak disimpan sebagai tanda kenangan.
"Kalau macam tu, adik simpan ajelah," ujar Rayqal sambil melangkah ke pintu van.
"Abang bomba, abang bomba!"
Rayqal berpaling.
"Ya."
"Terima kasih. Adik janji adik akan simpan baik-baik sweater tu!" Lily ikhlas menuturkannya. Rayqal mengangguk dan tersenyum.
"Okey, abang balik dulu. Lily okey, kan? Ingat tak pesan abang?"
Lily mengangguk berulang kali. Mereka bertukar senyum. Van Bomba berlalu meninggalkan Lily yang masih kekal di tempat itu. Lily melompat sedikit kerana seronok sangat dapat jumpa abang bomba hari ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro