Bab 7
KAYUHAN basikal semakin laju. Lily mengelap air matanya yang turun bagai hujan. Dia menunggang basikal tanpa haluan. Lily mahu pergi jauh, jauh dari semua orang yang membuangnya tadi. Lily rasa dirinya dah tak ada guna.
Jiwa remajanya tertekan hebat. Agak keterlaluan dia dihukum atas kesalahan yang dia tidak sengajakan. Dipukul, dicerca, dituduh dan dimaki. Pipinya yang merah kerana ditampar berdenyut-denyut sakit namun lebih menang sakit dalam hati.
Lily mengayuh dan terus mengayuh basikal. Sehinggalah dia tiba di Pusat Rekreasi dan Air Terjun Ulu Kenas. Lily menongkatkan basikalnya. Tanpa berlengah lagi dia terus berlari kencang ke arah air terjun yang mengalir lalu terjun.
Kedebushhh! Badannya tenggelam di dasar air terjun. Kemudian dia timbul di permukaan. Dalam tangisan Lily menampar-nampar permukaan air berkali-kali untuk melepaskan perasaannya.
Lily menangis teresak-esak lalu berkata.
"Arghhh! Kenapa semua orang hukum Lily? Kenapa tak nak dengar alasan Lily? Kenapa salahkan Lily? Sampai hati abah pukul Lily dan kata Lily ni anak tak guna. Sampai hati ibu kata ibu menyesal ada anak macam Lily! Sampai hati ibu dan abah buang Lily sebagai anak! Teruk sangat ke Lily ni?"
Lily meraung kesedihan. Dia tampar lagi air berulang kali melepaskan geram. Bagai seorang wirawati sedang bertempur atas air saja lagaknya. Janji dia dapat melepaskan perasaan biar apapun caranya.
"Isy! Isy! Isy!!!"
Lily mengeluarkan nada keras sambil memukul air dengan geram. Berkali-kali air dijadikan mangsa dia melepaskan perasaan. Dia menangis sedih. Pilu. Jiwanya tertekan.
Lily mula penat sangat lalu dia berhenti memukul air tapi tangisannya berterusan. Tenaganya bagai diserap pergi. Lemah, terkulai, layu. Dia memandang kosong ke hadapan. Lama. Tangisan jadi peneman.
Lily tersentak dari dunia yang terkepung tadi apabila terperasankan seorang lelaki sedang menongkat dagu memerhatikan lagaknya dari atas darat. Lelaki itu terpaku memandang lagaknya yang dia rasa memang pelik.
Rasa seperti kenal wajah ini. Bukankah ini abang yang menyelamatkan Lily dari jatuh sungai tadi? Abang bomba? Rayqal? Sejak bila dia berada di sini? Dia nampak ke apa yang Lily buat tadi?
"Dah lega?" soal Rayqal, selamba.
Lily tiba-tiba rasa malu. Tapi jiwa yang sakit dalam mengawal malu tersebut. Biarlah orang nak gelak ke, nak kata dia gila ke, dia tak peduli. Siapa pun tak akan faham apa dia alami sekarang ni. Jiwanya benar-benar tertekan.
Lily menggeleng lemah. Masakan boleh lega dengan hanya melepaskan tekanan sebegitu. Keadaan tak akan dapat diubah. Terenjut bahu Lily menahan tangis. Rayqal bangun lalu duduk di tebing. Dia sedap-sedap memancing ikan tadi, tiba-tiba dihidangkan dengan satu tayangan filem aksi bersiaran langsung di depan mata.
Seorang wirawati sedang bertempur atas air. Terpinga-pinga dibuatnya. Tapi dia tak mahu menghentikan perbuatan gadis ini. Dia membiarkan dan melihat apa gadis ini nak buat. Dia membiarkan gadis ini melepaskan perasaannya habis-habisan. Biarpun habis lari segala ikan yang mahu makan pancingnya dek terjunan gadis ini, namun dia sabar sajalah. Nak buat macam mana, tiada rezeki.
Matanya beralih ke arah pipi yang lebam dan bibir yang bengkak. Perasaan serta-merta bertukar kasihan. Tentu bukan kecil masalah yang gadis ini alami. Penerimaan keluarga pada keputusan SPM tentu tidak sebaik orang lain. Jika tak, tak mungkin seteruk ini akibatnya.
"Mari sini dekat abang." Lembut ajakan itu, membuatkan Lily yang sedang menangis tersentak.
"Lily dah sejuk tu. Nanti demam pula. Mari naik," pelawa Rayqal pada Lily yang sedang memeluk tubuh dan terketar-ketar. Biru sudah mulutnya.
Lily akur. Bagai dikuasai aura abang bomba itu, Lily perlahan-lahan melangkah mendekatinya. Saat ini, Lily memang memerlukan seseorang. Seorang yang peduli akan dirinya pada saat dia dibuang. Jiwanya lemah longlai mohon dipimpin.
Rayqal menggeleng kesal lalu membelek wajah lebam dan bibir yang merah bengkak itu dengan rasa kasihan. Ini dah nama kes dera.
"Duduk di sini," arah Rayqal lagi. Lily akur lalu duduk di sebelahnya. Lily memeluk tubuhnya yang kesejukan. Bibirnya membiru sebagai bukti. Tangisannya gugur lagi kerana hari ini sangat menyedihkan dalam hidupnya.
Rayqal bangun meninggalkan Lily. Dia mahu mengambil sesuatu yang diperlukan oleh gadis itu di dalam keretanya.
Sepeninggalannya itu, Lily terus menangis. Lily tersentak apabil tubuhnya yang kesejukan itu diletakkan sesuatu dari belakang. Lily terkejut lalu berpaling. Rayqal menyelimutkan tubuhnya dengan baju sejuk. Tersentuh hati Lily yang sensitif kala ini. Bagai disimbah air dingin.
Setelah memastikan baju sejuk itu tersarung kemas di tubuh genit Lily, Rayqal duduk di sebelah Lily.
"Pandang ke sini," arah Rayqal. Lily akur.
Rayqal membuka first aid. Dia mengambil putik kapas lalu membuka botol ubat.
"Buka mulut." Lily membuka mulutnya sedikit namun sakit mula terasa. Rayqal membelek luka di dalam mulut Lily untuk menyapu ubat bagi meredakan pedih. Lily rasa seriau dan berdesit pedih.
"Abang belum lagi sapu. Macam mana boleh pedih? Jangan risaulah, ubat ni berangin aje. Menghilangkan terus pedih."
Lily rasa tersindir. Oh, belum sapu rupanya. Rayqal mula menyapu ubat tersebut. Memang berangin dan menghilangkan pedih. Rasa sedikit lega.
"Dah rasa okey?"
Lily angguk. Rayqal mengambil krim luka lalu disapu di pipi Lily yang lebam. Tersentuh hatinya. Pada saat tiada siapa yang mengambil berat tentang Lily, memahami kedukaan dan masalah Lily, Allah telah kirimkan seseorang untuk berada di sisi Lily. Lily rasa terharu.
Rayqal melepas keluhan. Dia tidak selesa melihat Lily masih menangis.
"Menangis lagi? Dahlah tu." Rayqal menganggap Lily ni seperti adiknya.
Lily menggeleng lalu menangis lagi. Melihatkan keadaan itu, Rayqal mengeluarkan sesuatu dari poketnya.
"Nah."
Lily akur. Sapu tangan itu diambil.
"Be kind to your heart and stop worrying about the things which out of your control. Let Allah handle them," pujuk Rayqal.
"Huh. Cakap senang aje tapi abang tahu ke apa masalah adik?" ujar Lily sambil mengelap air matanya dengan sapu tangan.
"Tadi masa adik bertempur dengan air, adik dah beritahu abang segala-galanya. Abang ada kat sini, tengok dari mula sampai habis."
Malu pula Lily mengingatkan perbuatan yang ditonton oleh Rayqal sebentar tadi.
"Itu adik bocorkan sikit aje, yang adik lalui tadi berat tau. Abang tak rasa apa yang adik rasa," luah Lily dengan nada sedih. Lantas dia menangis lagi.
"Memang abang tak rasa, tapi abang pernah muda. Abang pun pernah gagal. Pernah kecewa. Abang fikir masa tu nasib abang malang tapi rupanya perancangan Allah tu lebih baik. Rasa sedih, kecewa, terluka, terjadi dalam satu hari aje. Tapi esok kehidupan kita perlu diteruskan. Rugi kan kalau kita asyik ingat benda yang dah lepas. Masa lalu tak akan dapat ditebus. Tapi untuk esok rancanglah untuk menebus. Tak semestinya kita gagal dalam peperiksaan sekolah, kita akan gagal dalam peperiksaan hidup."
Bicara itu menarik minat Lily. Mendinginkan jiwanya yang memberontak.
"Keadaan kita tak sama. Abang lain, adik lain. Ibu dan abah tak macam orang lain. Mereka tak pernah memahami anak mereka. Kami harus ikut telunjuk mereka saja. Bila gagal, sanggup buang Lily sebagai anak. Sekarang Lily kena tinggal dengan atuk. Lily tak diizinkan balik ke rumah lagi. Lily dah jadi anak yang derhaka, Lily dah kecewakan ibu dan abah, Lily dah hancurkan harapan mereka. Tak berkat hidup Lily selepas ni." Lily terus menangis teresak-esak.
"Setiap ibu bapa ada cara masing-masing nak didik anak. Tak ada ibu bapa yang nak anaknya gagal. Semua nak anak mereka berjaya. Mungkin cara mereka tu, Lily tak dapat nak terima. Soal derhaka, serahkan kepada Allah. Allah Maha Mengetahui. Selagi Lily cuba yang terbaik untuk jadi anak yang berguna, itu pun dikira satu ketaatan. Kecuali kalau gagal, itu memang takdir." Kata-kata semangat dari Rayqal melegakan sedikit hati Lily.
"Tapi adik memang dah gagal, abang."
Rayqal menggelengkan kepala.
"Tak. Tak ada manusia dilahirkan gagal. Gagal tu hanya satu latihan untuk kita belajar menjadi pemenang. Percayalah. Allah lebih merancang dan pastinya perancangan-Nya lebih baik sebab tu Dia uji adik dulu."
Lily memandang lama Rayqal sambil fikir sedalamnya.
"Ya ke macam tu?"
"Ya. Allah mendengar doa kita tapi bila doa tak termakbul itu tandanya Allah tunggu masa yang sesuai untuk makbulkan doa kita. Dia nak tengok sejauh mana kita bersabar, berdoa, berusaha dan bertawakal."
"Ya, mungkin. Tapi macam mana adik nak pulihkan balik hubungan adik dengan ibu dan abah? Mereka dah buang adik sebagai anak. Adik kena tinggal atuk selepas ni."
"Pasal ibu abah adik, adik kena bagi mereka masa. Nanti keadaan akan pulih seperti biasa. Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak dia? Bila mereka marah tu sebab mereka sayang. Mereka nak adik berjaya dalam pelajaran, jadi orang yang berguna. Kalau mereka tak sayang, mereka dah biar adik. Tak peduli dah tentang adik," pujuk abang itu lagi.
"Tapi ibu dan abah ada kata tadi, mereka dah tak peduli pasal adik. Bermakna mereka dah tak sayang lagi, kan?" soal Lily.
"Tak, adik. Kasih sayang yang tak kenal erti jemu adalah kasih sayang ibu bapa pada anaknya. Setiap ibu bapa ada cara yang berbeza untuk tunjukkan rasa sayang pada anaknya. Mungkin adik yang tak berapa nak faham cara mereka. Okey, kalau adik jadi ibu bapa, adik tentu nak anak adik lulus cemerlang dalam peperiksaan, kan? Apa perasaan adik kalau anak yang adik harapkan tu gagal dalam peperiksaan? Tentu adik kecewa, kan? Kalau anak adik gagal, macam mana dia nak berjaya nanti? Itulah yang ibu dan abah adik fikirkan. Sebab risaukan masa depan adiklah mereka marah," terang abang itu lagi.
"Betul ke, abang? Mereka sayang adik lagi?"
"Ya. Cuma cara mereka tu, adik tak dapat nak faham. Memang kalau difikirkan tak patut dipukul tapi cuba adik letakkan diri adik di tempat mereka. Mungkin mereka hilang sabar kerana selama ini mereka selalu berlembut dengan adik. Mungkin mereka kecewa bila anak yang mereka harapkan, menggagalkan impian mereka. Mungkin mereka dah ada perancangan baik untuk masa depan adik."
"Abang harap adik maafkanlah ibu dan abah adik. Jangan simpan rasa marah dan dendam. Kejayaan seorang anak adalah dari restu kedua-dua ibu bapanya. Itu adalah salah satu keberkatan dalam hidup kita," nasihat Rayqal lagi.
"Baiklah, abang. Adik ikut nasihat abang. Perlahan-lahan adik akan cuba bangkit dan buktikan pada mereka yang adik tak bersalah," terang Lily lagi.
Rayqal itu tersenyum lega. Kepala gadis ini yang bertudung digosok perlahan. Persis seorang abang memujuk adiknya. Rindunya Rayqal pada arwah adiknya, Ruhaila.
Jiwa Lily tersentuh. Terasa ada yang sudi menyayangi dirinya. Dia mengemaskan sweater milik abang bomba. Wanginya perfume abang bomba. Dari mula berjumpa, dia jatuh suka pada bau ini.
"Abang nak adik kuatkan semangat. Untuk berjaya, kita diuji dengan kegagalan dulu agar apabila kita bangkit, langkah kita lebih berbisa dari biasa. Perlu gagal untuk kejayaan yang sempurna. If you want to make your dream come true, the first thing you have to do is wake up!"
Lily ralit merenung wajah Rayqal yang tampan.
"Adik."
Lily tersentak. Suka pula tengok wajah abang bomba ini. Manisnya membunuh jiwa. Hatinya bergetar tidak semena-mena.
"Errr... Ya, abang. Terima kasih sebab bagi adik kata-kata semangat. Adik tak tahu nak kongsi dengan siapa. Walaupun adik tak kenal abang tapi abang faham adik. Sekarang ni adik rasa lega sikit. Apa pun terima kasih layan adik dengan baik." Lily rasa bertuah kerana kenal Rayqal. Sudah banyak kali Rayqal menyelamatkan nyawa Lily dan ada di sisi Lily apabila Lily sedih. Syukur mereka dipertemukan.
"Kasih tak diterima selagi adik tak buktikan yang adik bukan seteruk yang disangka ibu dan abah adik. Jangan menangis dah. Abang nak adik bangkit, kuatkan azam, rancang masa depan semula. Masih belum terlewat. Sebenarnyakan, result adik tak adalah teruk sangat. Masih banyak cabang untuk adik pergi." Lily mengangguk.
"Insya-Allah, adik pasti akan buktikan."
"Hah, macam itulah."
Bibir Lily merekah senyum.
"Adik datang dengan apa ni?"
"Basikal."
"Hah? Basikal? Dari Bukit Chandan sampai ke sini?"
Lily angguk dan sengih.
"Jauh tu."
"Erm, tak sedar, abang. Adik kayuh aje tak berhenti. Tengok-tengok dah sampai sini," jawab Lily mengundang kelucuan.
Rayqal geleng kepala.
"Kalau macam tu, abang hantarkan adik balik. Mujurlah hari ni abang naik Jeep. Jom! Dah lewat petang ni." Rayqal bangun lalu mengemaskan peralatan memancingnya.
Lily hanya mengikut. Baiknya abang bomba ni. Tersentuh hati Lily. Untung Lily bertemu dengannya. Sesungguhnya pertemuan ini mengajar Lily sesuatu. Don't lose hope. You never know, what tomorrow will bring for you.
"Abang, rumah atuk Lily kat Taman Jasa. Boleh tak abang hantar Lily kat sana?"
"Rumah atuk? Habis tu, Lily memang tak nak balik rumah la ni?"
"Buat masa ni abah suruh Lily tinggal dengan atuk. Lagipun atuk baru aje balik dari haji. Jadi, adik nak jumpa atuk. Rindu sangat pada atuk," maklum Lily.
"Baiklah, abang hantar adik ke sana, ya?"
Lily mengangguk dan senyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro