Bab 6
"WHAT?" Khalid dan Syafiqah terkejut serentak. Keputusan SPM Lily yang diberitahu oleh Mawar benar-benar mengejutkan mereka.
Mawar tersenyum puas dalam hati. Inilah masa terbaik untuk jatuhkan Lily. Nampak macam sikit punya hal, tapi bagi anak remaja seperti Lily ini adalah tekanan berat dan masalah yang besar. Segalanya baru bermula. Lama benar Mawar menanti saat-saat ini, akhirnya tiba juga.
"Ya abah, ibu. Lily gagal. Tadi dia beritahu Mawar dalam telefon."
Khalid terhenyak di atas sofa. Hatinya begitu sakit, harapannya hancur.
"Macam mana Lily boleh gagal? Padahal, Lily pelajar harapan sekolah, cemerlang setiap kali peperiksaan? Ibu dah merancang nak dia sambung matrik kemudian ambil kos perubatan," ujar ibu Lily, Syafiqah.
"Itulah, dah banyak kali Mawar cerita pada ibu yang Lily ni dah tak macam dulu. Dia dah banyak berubah sejak bercampur dengan kawan-kawan dia yang tak senonoh tu. Malas belajar, suka berpeleseran ikut jantan sana sini, keluar balik malam sesuka hati, tapi ibu dan abah tak ambil peduli. Percaya sangat dengan anak kesayangan abah tu. Mawar perhati yang Lily ni tak macam nak periksa. Sepanjang Mawar balik bercuti pun masa minggu peperiksaan tu, tak ada Mawar nampak Lily belajar. Kerja dia, asyik tengok TV dan Facebook aje. Petang merayau entah ke mana. Balik pun lewat malam. Siap ada jantan hantar. Tengoklah hari ni, dah pukul 12.30 tengah hari pun belum balik lagi! Entah ke mana merayaunya. Jangan-jangan takut nak balik sampai lari ikut jantan!" ujar Mawar panjang lebar.
"Bila Mawar marah, selamba aje dia cakap dia akan gagal sebab exam susah. Ada ke patut, dia suruh Mawar tipu abah dan ibu yang dia cirit-birit dan demam masa exam? Sebab dengan alasan tu, dia boleh selamat kalau dia fail. Isy, tak ingin Mawar nak bersubahat!" Mawar menokok tambah lagi bahan cerita. Menyalakan api yang sedang marak dengan melontar minyak tanah ke dalam diri kedua-dua ibu bapanya.
Air muka Khalid dan Syafiqah merah padam, menahan ledakan yang mahu meletus. Keputusan peperiksaan Lily benar-benar mengecewakan mereka. Rasa kecewa kini bertukar marah yang amat. Lily memang harus diberi pengajaran. Hah, elok sangat Lily pun sampai tepat-tepat di depan pintu.
"Lily!!!"
Kuat nama Lily dipanggil. Mawar tersenyum kemenangan. Yes! Yes!
PANG! Satu tamparan kuat hinggap ke pipi tanpa isyarat dari abah. Rasa hendak pecah gegendang telinga. Lily benar-benar tidak menyangka begini penerimaan ibu dan abahnya. Agresif dan menakutkan.
Dada Dr. Khalid naik turun menahan marah. Ikutkan hati mahu saja dipukulnya Lily dengan rotan sebagai habuan.
Manakala Mawar tersenyum puas. Ini yang dia mahukan. Penampar sulung untuk anak bongsu yang ditatang lebih dari dia selama ini. Mana aci asyik dia saja yang kena. Semua dia buat, semua tak betul.
Kali ini giliran Lily pula. Bukan bagus sangat Lily ni, pandai tunjuk baik aje. Menyampah. Mawar pun anak juga, tapi kenapa Lily yang dapat kasih sayang lebih? Sekarang Mawar nak tawarkan dan buang terus kasih sayang itu menjadi benci.
"Where is your result? I want to see. Now!" tengking Khalid kuat. Terketar-ketar Lily dibuatnya menahan sakit memegang pipi yang dirasakan berbekas.
Tak pernah abah marah sedahsyat ini. Lily mengeluarkan slip peperiksaan dengan tangan terketar-ketar. Lalu dihulurkan buat abah.
Khalid membelek keputusan peperiksaan dengan perasaan marah yang terlambung tinggi. Dia merasakan kepalanya mahu meletup. 'C' yang kelihatan sangat menyakitkan hatinya.
Pang! Dapat satu hadiah lagi. Kali ini pipi kiri pula. Sakit, menyengat sampai ke urat kepala. Pening.
"Why so bad? Hah? Hesy, budak ni! Ikut hati, memang mati aku kerjakan. Anak tak kenang budi! Aku penat-penat cari duit sekolahkan kau, ini hasil yang kau bagi? Memalukan aku saja. Kalau orang tahu anak Dr. Khalid, macam ni teruk keputusan SPM, mana aku nak letak muka? Hah? Sekarang ni, kau makan. Kau telan keputusan peperiksaan kau ni, aku tak hingin nak tengok!" tengking Khalid tidak mampu menahan perasaannya. Slip SPM Lily dikoyakkan dan cuba disumbat ke dalam mulut Lily yang tertutup.
Lily menangis teresak-esak. Pipinya yang sakit dipegang. Mengapa sampai begini dia dihukum? Dia tahu dia tak cemerlang. Namun dia bukan sengaja.
Syafiqah menambah pula.
"Apa nak jadi dengan Lily ni? Kenapa sanggup memalukan ibu dan abah? Kami ni pensyarah. Apa nak jawab bila kawan-kawan ibu bertanya nanti? Lily tahu kan harapan ibu macam mana pada Lily? Selama ni, ibu percayakan Lily. Lily boleh buat apa yang Lily suka, ibu ingatkan Lily dah cukup bijak nak bezakan mana baik mana buruk. Tak sangka ini yang Lily balas?" soal Syafiqah.
"lbu dan abah, penat-penat bersekang mata cari duit sekolahkan Lily, tak boleh ke Lily balas jasa ibu dan abah dengan belajar bersungguh-sungguh? Lily nak apa semua ibu dan abah sediakan. Apa lagi yang tak cukup sampai Lily tergamak buat kami macam ni? Kenapa Lily ni tak macam Kak Mawar? Tak boleh ke Lily ikut jejak langkah dia? Salah ibu tak percaya cakap Kak Mawar sebelum ni sebab ibu percaya Lily bukan bodoh nak rosakkan diri. Hari ni ternyata benar perangai Lily dah macam setan. Perangai mengalahkan bohsia. Berpeleseran dengan jantan tak kira siang malam. Macam perempuan tak ada maruah. Sampai terabai pelajaran. Apa nak jadi ni, Lily?" bebel Syafiqah lagi panjang lebar.
Lily tergamam mendengar pertuduhan yang dikatakan berpunca dari mulut kak Mawar. Dia hilang kata. Hanya air mata menemani jiwa lara.
"Buat apa menangis, hah? Buat apa menangis? Dah tak ada guna lagi dah. Lily buat hati ibu hancur tau tak? Lily memang mengecewakan ibu dan abah. Hari ni ibu rasa menyesal ada anak macam Lily!" Syafiqah sambung marahnya lagi. Berbakul-bakul keluar. Manakala Khalid meredakan jiwanya yang tak terkawal tadi.
Lily benar-benar dihukum tanpa diberi peluang untuk membela diri.
"Abah, ibu, dengarlah dulu. Ada sebab Lily gagal." Lily cuba mencari ruang membela diri.
Khalid berpaling dengan marah.
"Gagal tak ada alasan. Sebab masalah tu datang dari diri sendiri. Buat apa Lily nak terang lagi pada abah. Untuk apa? Boleh ubah result bodoh ni? Hah? Jangan kata nak jadi doktor, pencacai najis pun belum tentu lagilah! Rosak dah masa depan. Dah tak ada guna lagi dah!"
Lily menekur lantai menadah telinga. Air mata yang berbicara kerana ruang dimonopoli hukuman. Jiwa Lily luka teruk kerana cacian ini terbit dari bibir seorang ibu yang melahirkannya.
Khalid cuba memegang dadanya, ingin mengawal marah. Namun dia gagal.
"Tak guna punya anak!" Pang!!! Belum sempat Lily menjawab pipi kanan pula menerima habuan. Kali ini yang terkuat. Bibirnya rasa panas. Sah luka dan berdarah dalam bibir.
Ibu hanya diam tidak berkutik. Dari air muka ibu, seolah-olah merestui perbuatan abah. Mewakili rasa kecewa dan sakit hatinya.
Lily menangis tersedu-sedan. Dia tahu dia telah mengecewakan harapan dan impian ibu dan abah. Dia tahu dia anak yang tak berguna saat ini. Dia anak yang dianggap derhaka. Semua memang salahnya. Tapi apa boleh buat, dia tak berdaya nak tegakkan apa-apa kebenaran.
"Ikut hati aku ni, memang rasa nak pijak-pijak aje budak ni! Sakitnya hati." Khalid memegang dadanya. Sabar tak mampu ditahan lagi.
Lily menangis meraung menutup mukanya dari ditampar lagi. Air mata tersembur keluar tanpa mampu ditahan. Tak berani menjawab kerana bimbang akan mendapat tamparan lagi.
"Mulai hari ni, Lily pergi tinggal dengan atuk. Biar atuk yang tanggung makan minum Lily. Aku tak ada anak macam kau dan aku tak nak ada anak macam kau! Tak tahu kenang budi! Menyusahkan, memalukan orang tua. Selagi kau berperangai macam setan, selagi tu aku tak akan terima kau sebagai anak aku lagi. Kau bungkus kain baju kau, kau keluar dari sini. Faham? Aku tak nak tengok muka kau kat dalam rumah ni! Kau tak ada lagi bagus. Tengok muka kau ni menyakitkan hati aku!" Khalid membuat keputusan lalu melangkah masuk ke dalam bilik.
Ibu merengus dan berlalu dari situ menuruti suaminya. Dia pun malas mahu ambil tahu soal Lily. Segala-galanya sudah terlambat. Sudahlah memiliki dua orang anak, yang ada pun tak boleh pakai. Rosak pula tu! Apalah malang nasib mereka.
Khalid menarik nafas panjang. Marah yang cuba dikendur masih galak menegang. Itukah pemutusnya? Selesaikah masalah yang ada? Tak pernah dia naik darah sebegini rupa pada Lily kerana hari ini, Lily benar-benar mengecewakan Khalid. Harapan setinggi gunung telah disandarkan pada Lily, tapi anaknya itu meruntuhkan sekelip mata.
"Fiqah, ini semua awak yang punya pasal. Manjakan sangat anak. Macam mana awak jaga anak hah, didik anak?" Khalid mula menuduh isterinya dan menimbulkan bibit-bibit pergaduhan.
"Saya pula awak salahkan. Awak ingat saya ni suri rumah ke? Boleh menghadap anak-anak 24 jam? Saya banyak kerja nak kena settle sama macam awak juga. Lily ni pun anak awak juga, kenapa nak salahkan saya pula? Kenapa tanggungjawab letak atas bahu saya seorang? Awak tu, asyik sibuk saja dengan kerja. Tak pernah nak ambil tahu hal anak. Percayakan sangat anak, harapkan sangat anak. Takkan awak tak tahu perangai budak-budak zaman sekarang ni? Macam-macam dah pandai, tak payah ajar tak payah suruh. Tersalah langkah, buruk padahnya," jawab Syafiqah geram.
"Argh! Semua ni dah tak gunalah. Dah terlambat. Sekarang ni, pandai-pandailah awak suruh budak tu pergi duduk dengan bapak saya. Saya dah tak ingin menghadap muka atau bercakap sepatah pun dengan dia. Kalau abah saya tak nak, saya hantar dia kat pusat pemulihan akhlak. Biar dia belajar jadi orang dari jadi setan. Saya tak nak tengok muka dia dalam rumah ni lagi! Dia dah tak ada gunanya bagi saya. Masa depan dia dah hancur. Memalukan orang tua saja!" Khalid menambah lagi.
"Habis tu, awak ingat saya tak malu? Kawan-kawan saya semua tahu yang Lily ni pelajar harapan sekolah. Mana saya nak letak muka bila dia orang tanya result Lily?" Syafiqah menjawab kemarahan suaminya.
"Sekarang ni, saya tak nak dengar pasal budak ni dan saya tak nak tengok muka dia lagi. Telefon bapa saya. Kalau dia tak nak jaga cucu bertuah yang dia selalu menangkan ni, saya akan hantar Lily ke pusat pemulihan akhlak!"
Mawar yang mengintai dari sudut biliknya tersenyum puas. Puas hati adiknya itu ditampar dan dimarahi sedemikian rupa. Puas hatinya apabila Lily dibenci. Mulai saat ini, Mawar yang akan menjadi anak kesayangan ibu dan abah. Dia akan singkirkan Lily buat selama-lamanya. Tiada siapa pun yang akan merampas takhtanya sebagai anak kesayangan ibu dan abahnya lagi. Tiada siapa pun boleh melebihi dia dalam keluarganya ini. Mawar hanya mahu dia yang dipuji-puji dan dipandang tinggi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro