Bab 5
LILY mengayuh basikal perlahan-lahan. Lily sengaja melewatkan masa balik sebab dia takut. Takut untuk berhadapan dengan ibu dan abah. Keputusan SPM tertayang di ruang mata. Kan bagus kalau ada ibu abah yang sporting. Ini tak, terlalu tegas dan pentingkan kesempurnaan sangat. Tak boleh nak gagal langsung. Ingat Lily nak sangat ke dapat result macam ni? Dua tahun dia berusaha tau tak?
Lily menyusuri jambatan sungai. Dia turun dari basikal dan menolak perlahan. Sehingga ke sini Lily cuba menenangkan fikirannya. Tapi gagal. Semakin dekat jarak rumahnya, semakin dia rasa berdebar di dalam dada.
Lily menongkat basikal. Dia melangkah ke pinggir jambatan lalu memandang ke bawah. Lily merenung air yang bertali arus. Jernih dan kehijauan. Lily sedih. Dia ingin melepaskan kesedihannya di situ.
Miaw... Miaw... Miaw...
Bunyi suara kucing menarik perhatian Lily. Lily tercari-cari dari mana punca bunyi kucing itu. Lily memang suka sangat dengan kucing. Tiba-tiba dia teringat pada Angeline, kucingnya yang baru saja mati sebab dilanggar lari. Kejam betul si pembunuh itu. Dilenyek Angeline dengan tayar motor. Terburai perut Angeline. Lily semadikan Angeline dengan linangan air mata.
Lily tercari-cari di mana kucing itu berada. Dia meluru ke tepi jambatan itu. Alamak, kucing tu tersangkut di celah tiang jambatanlah. Aduhai, bahaya ni. Kalau kucing terjatuh ke dalam sungai, matilah kucing ni.
Lily menunduk untuk mengamati kucing tersebut. Subhanallah, comelnya. Warna perang. Bulunya gebu dan cantik. Kecil lagi.
"Ala sayang, kenapa main kat situ? Bahayalah. Miaw... Miaw..." panggil Lily manja. Kucing itu menyahut dengan suara sayu. Aduhai, kasihan Lily mendengarnya. Tentu kucing ni takut jatuh dan gayat.
"Ala, kesiannya dia. Kejap Lily fikirkan macam mana nak selamatkan Comel, ya? Lily akan cuba selamatkan Comel." Lily menunduk perlahan-lahan mengesotkan tubuhnya ke tepi jambatan. Tangannya cuba menggapai kucing tersebut namun dia tak dapat.
"Macam mana ni? Silap hari bulan, boleh jatuh ke dalam sungai. Sudahlah airnya dalam. Deras pula tu," fikir Lily. Kalau Lily tak selamatkan kucing tu, siapa lagi? Mana ada orang kat sini? Kalau apa-apa jadi pada kucing tu, Lily akan menyesal dan rasa bersalah.
Lily mendekatkan tubuhnya hingga ke tepian jambatan. Dia bertawakal keada Allah agar niat murninya dipermudahkan.
"Assalamualaikum... Adik, adik buat apa kat tepi jambatan ni?" soal satu suara lembut dari belakang menegur Lily. Lily sedaya upaya menggunakan kudrat yang ada untuk menyelamatkan kucing itu. Dia panjangkan tangan sebaik mungkin. Tapi tak dapat.
"Adik, adik buat apa ni? Adik nak bunuh diri ke? Janganlah macam tu adik, bahayalah. Mari sini, mari pada abang. Ada masalah kan kita boleh bincang. Bunuh diri bukan penyelesai masalah," pujuk abang itu lagi.
Hesy, orang tengah buat operasi menyelamat, dia boleh pula duk berceramah pasal ni pula. Sibuk aje.
"Abang diam boleh tak? Janganlah nak sibuk. Saya tahulah apa saya nak buat. Errr... Tolong pegang ni kejap!" Lily menyeluk tangan ke dalam poketnya lalu menyerahkan sesuatu kepada abang itu. Slip SPM Lily. Bimbang jatuh ke dalam sungai nanti.
Lily menarik nafas dalam-dalam. Kali ni Lily akan pastikan dia berjaya selamatkan kucing ni. Tangannya dipanjangkan untuk mencapai kucing tersebut sampai rasa tergeliat urat pinggang. Gagal lagi?
Lelaki itu membelek keputusan peperiksaan SPM Lily. Patutlah nak bunuh diri, tak berapa cemerlang orangnya. Budak-budak zaman sekarang singkat sungguh pemikiran. Harus disekolahkan ni. Kenapa mata pelajaran penting dikutipnya C? Yang lain A pula?
"Astaghfirullahalazim adik, takkan sebab result macam ni adik nak bunuh diri? Berdosa besar, adik. Jasad tak diterima bumi, neraka jahanam selamanya. Bawa mengucap adik, ingat Allah. Abang dulu SPM lebih kurang macam ni juga, tapi abang tak bunuh diri pun. Abang bangkit dari kegagalan. Bukan jatuh dari kegagalan. Adik kenal tak Bill Gates, dia pun bukan pelajar pandai. Tapi sekarang berkat usaha dia, kawan-kawan dia yang pandai dari dia tu akhirnya jadi pekerja dia tau," terang abang tersebut. Lily berdecit. Apa pula sampai ke sana melalutnya abang ni?
"Hesy, abang ni nak membebel pergi tempat lainlah. Saya tak ada masa nak dengarlah." Lily rasa jawapannya macam kurang ajar tapi menyemak betullah abang tu. Bukannya nak tolong tapi membebel pula. Misi menyelamat kucing terus dijalankan.
"Okey, okey. Abang duk sini diam-diam. Tapi adik janji jangan bergerak. Silap hari bulan boleh jatuh tu. Air sungai dalam tu, adik. Buaya pun baru terlepas dua tiga ekor dari zoo. Tengah lapar agaknya tu. Memang kejatuhan adik sedang ditunggu-tunggu..." cerita lelaki itu bersungguh-sungguh membuatkan Lily tersentap. Alamak? Betul ke?
"Hah, buaya? Sejak bila pula sungai ni ada buaya?" Lily mula terbayang tubuhnya menjadi santapan buaya-buaya yang kelaparan. Ngeri pula rasanya. Kalaulah dia jatuh macam mana?
Kucing yang comel ni, pula macam mana? Ia pun makluk Tuhan juga. Mahu hidup.
"Kalau tak ada buaya pun, kalau adik jatuh boleh mati lemas. Arus deras tu! Dalam tau!" larang abang tersebut lagi. Lily diam memikirkan kewajaran itu. Memanglah kalau jatuh, boleh mati lemas. Tapi Lily rasa bertanggungjawab ke atas kucing ni.
"Memanglah takut, tapi saya tak ada pilihan." Lily bertegas lalu meneruskan niatnya.
Lily meneruskan usahanya untuk menggapai kucing yang tersangkut di celah tiang jambatan itu. Dia tak peduli sangat bebelan abang ni sebab dia ada tugas lagi penting. Dia risau jika kucing itu jatuh. Isy, sikit lagi. Dah nak dapat kucing ni. Sikit lagi. Sikit lagi. Yeayyy!!! Dah nak dapat!
"Adik... Adik... Adikkk!" Jeritan cemas abang itu penanda yang Lily sedang dalam kedudukan bahaya.
Tepat sekali ramalannya. Malang tidak berbau apabila kaki Lily tergelincir dari tepian jambatan.
"Arghhh!!!" Lily menjerit panik dan sempat bertindak pantas memaut tebing jambatan yang berbatu. Tergantung badannya di situ.
Abang itu dengan cemas meluru ke arah Lily.
"Allahuakbar, adik!" Abang itu lantas cuba menyelamatkan Lily dengan menarik tangan Lily.
"Abang... Tolong! Tolong adik! Abang, tolong! Adik tak nak jatuh, adik tak nak mati! Adik takut! Tolong! Tolong!" Lily menjerit semahu-mahunya. Wajahnya cemas. Yang difikirkan hanyalah antara hidup mati.
"Adik jangan panik, abang akan cuba selamatkan adik." Abang itu menggunakan sekuat tenaganya dengan cuba menarik tangan Lily agar badannya naik ke atas dengan selamat. Mujurlah gadis ni kurus dan kecil molek saja.
"Abang, tolong adik. Adik tak nak mati!" Lily sudah menangis teresak-esak. Lily menjerit ketakutan apabila badannya yang terangkat tiba-tiba jatuh semula. Namun masih dipegang erat tangannya oleh abang tersebut.
"Abang! Jangan lepaskan adik. Adik tak nak mati. Tolong!" Lily semakin sayu memandang abang tersebut berhempas-pulas menariknya. Kasihannya abang ni, peluh di dahinya bersimbah. Sekerah tenaga dikumpulkan untuk menyelamat Lily. Lily terasa badannya ditarik perlahan-lahan.
"Abang, adik dah tak tahan lagi. Tangan adik sakit. Nampaknya dah takdir kut adik akan mati kejap lagi." Air mata ketakutan mengalir. Mungkinkah kali ini Lily tidak terselamat dari bahaya ini? Ketakutan menguasai dirinya. Lily pasrah saja jika dia akan jatuh ke dalam sungai.
Abang itu kelihatan bersungguh-sungguh menggunakan sekuat tenaga menarik Lily ke atas. Berkerut-kerut mukanya tanda mengerah sekuat tenaga. Kasihan Lily memandangnya. Lily telah menyusahkan dia. Kali ini, Lily reda seandainya dia terjatuh ke dalam sungai itu. Dia yang cari penyakit.
Akhirnya, setelah berhempas-pulas Lily berjaya ditarik naik ke tebing. Terduduk abang itu keletihan manakala Lily menangis tersedu-sedan kerana takut. Namun dia bersyukur kerana dia terselamat.
"Kan abang dah kata, bahaya adik duduk kat situ. Mujur abang ada, kalau tetiba adik jatuh tadi macam mana? Siapa boleh selamatkan adik? Dengan air dalam, arus deras! Kenapalah fikiran adik ni singkat sangat? Umur muda lagi, tapi dah nak bunuh diri. Ingat mati akan selesai masalah ke? Kena jawab depan Allah lagi kenapa adik bunuh diri, tahu tak? Nauzubillahiminzalik!" marah abang itu lagi dalam keadaan tercungap-cungap. Sakit betul hatinya. Puas nasihat baik-baik tapi degil. Bila nyawa di hujung tanduk, baru dia ada akal.
Wajah Lily pucat lesi. Fobia terus. Dia mengurut dadanya yang naik turun kerana takut.
"Astaghfirullahalazim. Terima kasih abang sebab selamatkan nyawa adik. Syukur, Ya Allah." Lily beristighfar beberapa kali meredakan ketakutan.
Abang itu pandang Lily tidak puas hati.
"Eloklah beristighfar banyak-banyak. Tahu pun takut mati. Tapi berani buat pula. Hesy, apa nak jadi dengan budak zaman sekarang? Hidup menyusahkan orang, mati pun menyusahkan orang!" marah abang itu tiada henti. Lily faham dia sudah menyusahkan abang tersebut. Memang salah dia. Tapi dia cuma nak selamatkan kucing tu aje. Bukan nak bunuh diri.
"Adik tak bunuh dirilah, abang." Lily terangkan hal sebenar.
"Habis tu yang adik mengesot pelan-pelan sampai jatuh tadi tu apa? Apa jenis gaya nak bunuh dirilah tu? Nak bunuh diri tapi takut. Baik terjun terus. Habis cerita... Baru Allah uji sikit, dah nak mati! Kenapa singkat sangat pemikiran tu?!" marah abang itu lagi. Orang lagi berhempas-pulas nak hidup, tapi dia boleh pula nak bunuh diri.
Kecut perut Lily kena tengking. Dia tahu, abang ini ada hak untuk marah. Susah payah dia selamatkan Lily.
"Memang adik frust dengan result SPM adik. Tapi adik taklah sampai nak bunuh diri. Adik cuma nak selamatkan kucing tu. Abang nampak tak kucing yang tersangkut di celah tiang jambatan tu. Kesian kucing tu, mengiau ketakutan dari tadi. Dia nak terjatuh dalam sungai. Sayu muka kucing tu macam minta adik selamatkan dia." Jawapan Lily bagaikan air sejuk mencurah bara ke hati lelaki itu.
Abang itu tergamam. Terkebil-kebil matanya. Penat dia membebel dari tadi, rupa-rupanya gadis ini nak selamatkan kucing aje, bukan nak terjun sungai.
"Apa? Adik nak selamatkan kucing aje? Sampai nyawa sendiri pun boleh terancam? Ya Rabbi, kenapa buat macam tu? Tak fikir ke bahaya depan mata?" soal abang tersebut berkali-kali tidak puas hati. Ada juga orang berperangai macam ni. Demi nak selamatkan kucing sanggup mati. Sepatutnya panggillah bomba atau minta tolong siapa-siapa yang boleh.
"Ya. Nampak tak tu?"
Lelaki itu tersentak lalu memandang kucing comel yang sedang mengiau sayu. Luluh hatinya memandang kucing itu. Kesiannya. Subhanallah, luhurnya hati gadis ini. Sanggup membahayakan diri demi seekor kucing.
"Ya Allah, kenapa adik tak cakap dengan abang dari tadi? Kenapa bahayakan diri demi kucing tu? Kalau apa-apa jadi kat adik macam mana? Astaghfirullahalazim, jangan buat kerja gila macam ni, dik." Rayqal menggelengkan kepalanya setelah memikirkan akibat seandainya dia sampai tidak tepat masanya.
"Habis tu, takkanlah adik nak tengok saja. Kalau bukan adik, siapa nak selamatkan kucing tu? Adik aje yang ada kat sini. Kalau kucing tu jatuh, macam mana? Adik tak sampai hati nak tinggalkan tempat ni. Dahlah kucing tu comel," cerita Lily hal sebenar.
"Ya, abang tahu. Tapi keadaan dalam bahaya. Adik boleh aje telefon pihak bomba. Mereka boleh selamatkan kucing ni."
"Bomba? Takkan hal kecil ni pun nak panggil bomba? Bomba banyak lagi tugas yang penting kan selain selamatkan seekor kucing tu? Lagipun, dalam kecemasan macam ni, adik tak terfikir pula..." Lily menjawab dengan nada bersalah.
Rayqal mencekak pinggang dan merengus perlahan. Nafas ditarik dan dilepaskan.
"Adik duk situ diam-diam, biar abang selamatkan kucing tu."
Rayqal menuju ke arah tebing jambatan. Penuh gaya dia melompat ke tepi tebing yang curam itu. Dia mengimbangkan badan kemudian berpaut pada tiang jambatan lalu mengambil kucing itu. Setelah itu, Rayqal memanjat tebing jambatan semula dengan berhati-hati.
Lily memerhati dengan kagum. Gayanya umpama superhero. Pakej wajahnya yang kacak dan tubuhnya yang sasa. Perghhh, cair hati perempuannya.
Lily gembira melihat kucing itu selamat di dalam pelukan abang itu. Tanpa menunggu lagi Lily menghampirinya bagi mendapatkan kucing yang sangat comel itu.
"Syukur alhamdulillah, akhirnya Comel selamat... Ala, comelnya dia. Kesian Comel, tentu dia takut kan tadi? Comel dah selamat sekarang, Comel tak perlu risau lagi!" Lily membelek kucing itu dengan gembira.
Rayqal tersenyum senang.
"Hurm, lain kali jangan sesekali berani buat macam ni. Nak selamatkan kucing nampak remeh tapi tengok apa yang jadi kat adik tadi? Bahayakan nyawa adik juga. Jangan bertindak begini lagi. Sebaiknya kalau berdepan masalah yang sama, adik boleh laporkan kepada pihak bomba yang terdekat." Rayqal menasihatkan Lily.
"Baik, abang. Tapi kalau dah ada abang, adik minta tolong abang ajelah. Buat apa nak minta tolong bomba lagi. Hehehe... Tapi apa pun terima kasih abang sebab selamatkan nyawa adik tadi. Kalau adik jatuh, tak tahulah entah ke mana dibawanya jasad adik. Air sudahlah dalam." Lily rasa fobia pula memikirkan jika dia terjatuh sebentar tadi.
"Comel kucing ni, patutlah adik sanggup bertarung nyawa selamatkan dia." Rayqal tersenyum senang sambil membelek kucing ini. Lily angguk gembira.
"Haah, pertama kali adik tengok kucing ni tadi, adik terus jatuh cinta. Memang comel sangatlah. Abang, boleh bagi adik kucing ni?" pinta Lily menyunting senyum abang itu.
"Hurm, baiklah. Tapi janji dengan abang, jaga kucing ni baik-baik."
Lily angguk berkali-kali sambil tersengih.
"Pasti. Sebab adik nak sangat bela kucing lagi. Kucing adik, Angeline dah mati kena langgar lari. Semoga Comel akan menjadi pengganti dan pelepas rindu adik pada Angeline..." Lily menyambut kucing tersebut lalu mencium dan membeleknya.
"Wah, kucing jantan ni. Adik nak namakan kucing ni Marcellah." Rayqal terpinga-pinga.
"Marcel?" Amboi nama, lagi sedap nama kucing dari nama orang.
"Haah, Marcel. Okey tak, abang?"
"Kucing ni dah jadi milik adik, jadi terpulanglah pada adik."
Lily bersorak gembira.
"Yeay, Lily namakan si comel ni Marcel. Alalala, dia mengiau. Tentu dia suka nama ni. Comel suka ya nama Marcel. Suka, ya?" Lily bercakap-cakap dengan kucing tersebut seolah-olah kucing itu memahami kata-katanya. Rayqal memandang dengan hati yang senang.
"Terima kasih abang sebab selamatkan nyawa adik dan kucing ni. Budi baik abang, hanya Allah yang membalasnya. Errr, adik rasa macam pernah nampak abanglah. Kat mana, ya?" soal Lily mengamati wajah tampan di depan matanya.
Abang tersebut turut mengamati wajah gadis ini.
"Ya ke? Agaknyalah."
Mata Lily bersinar-sinar setelah berjaya mengesan siapa lelaki tersebut.
"Abang bomba, kan? Abang Rayqal? Betul tak?"
Rayqal tersenyum dan mengangguk.
"Oh, jadi adiklah yang abang selamatkan masa kebakaran hari tu. Lily, kan?"
Lily berasa gembira mendengarnya.
"Haah, nama adik Lily! Nampaknya dah dua kali abang selamatkan nyawa adik. Aduh, terhutang nyawa ni. Terima kasih sangat-sangat, abang. Tak cukup tau setakat nak ucap terima kasih ni," balas Lily yang benar-benar tidak menyangka pertemuan terjalin lagi. Rayqal tersenyum.
"Siapa pun kat tempat adik, abang akan selamatkan sebab ini tugas abang. Hurm, kalau macam tu abang balik dulu. Dah lama abang sini. Abang ada hal sikit kat balai. Adik buat apa lagi kat sini sorang-sorang? Macam mana boleh sampai ke sini? Tak elok merayau-rayau tengah hari ni Kenapa tak balik lagi ni?" soal Rayqal, hairan.
Soalan yang bagaikan menarik seri dari wajah Lily. Teringat pula keputusan peperiksaan yang tersimpan di dalam poketnya. Bagaimana dia hendak berdepan dengan ibu dan abah? Takutnya.
"Kenapa, dik? Adik ada masalah ke?"
Lily bermuram durja. Rayqal bijak membaca air mukanya.
"Kecewa ya dengan result?"
Lily mengangguk lemah.
"Kenapa nak kecewa kalau adik sendiri yang menyebabkan result adik macam ni? Kalau adik rajin belajar, tentu adik lulus cemerlang," tambah Rayqal tanpa mengetahui sebab musabab.
"Masalahnya adik tak sengaja. Masa minggu peperiksaan adik demam panas dan cirit-birit. Jadi, adik tak dapat nak tumpu sepenuh perhatian. Gara-gara penangan ubat, adik jadi mengantuk dan tidur masa peperiksaan," terang Lily dengan sedih. Ubat apa entah yang diberi oleh Kak Mawar. Rasa bertambah sakit bukan semakin lega.
"Laaa, ya ke? Tak apalah kalau macam tu, nak buat macam mana, kan? Bukan adik sengaja. Adik jangan give up, adik masih muda. Jauh lagi perjalanan adik. Adalah rezeki adik tu kat tempat lain. Janganlah sedih-sedih lagi. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Adik jangan lemah, adik kena bangkit!" Rayqal memberikan kata-kata semangat.
Lily angguk. Dia tahu itu semua. Lily akan bangkit walaupun dia belum nampak ke mana arah yang bakal dituju. Yang dirisaukan sekarang adalah penerimaan ibu dan abahnya.
"Abang balik dulu, ya? Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Rayqal terus berlalu meninggalkan Lily di situ.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro