Bab 4
Perlu gagal untuk mencipta kejayaan yang sempurna.
KATA-KATA ini Lily cuba guna pakai atas kegagalannya dalam peperiksaan SPM yang diumumkan di seluruh negara hari ini. Tapi berguna ke, terpakai ke kata-kata tersebut? Tak pernah terdetik yang dia bakal mencipta sejarah mendapat mendapat keputusan yang sungguh mengecewakan ini.
Slip keputusan SPM ditenung berulang kali sampai mata juling. Ini bukan cubaan, ini betul-betul.
BM, MATH, BI, PI, dia dapat C? Empat mata pelajaran ini yang bikin musnah satu slip, walaupun mata pelajaran yang lainnya Lily memperoleh A. Memang tak gagal di mata sesetengah yang biasa, tapi bagi Lily dan abahnya ini dikira kegagalan kerana A itu kebiasaan bukan B apatah lagi C. Lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran teras.
Astaghfirullahalazim. Lily beristighfar berulang kali. Dia sedih dan kecewa sangat. Sungguh, dia tak kuat nak menerima dugaan ini. Dua tahun belajar bersungguh-sungguh sampai garing segala nota di dalam mulut.
Tapi segala-galanya hancur bila Lily boleh pula mengalami cirit-birit selama seminggu sehingga demam pada minggu peperiksaan. Kerjanya berulang-alik ke tandas sehingga tidak punya banyak masa dan tumpuan untuk menjawab kertas soalan. Seminggu berikutnya, dia menjawab peperiksaan di hospital pula kerana demam.
Lily menyandarkan diri ke kerusi. Dia benar-benar kecewa. Orang yang paling dia takut untuk berhadapan adalah ibu dan abah yang sangat tegas dalam soal pelajaran. Sah dia akan dimarahi kaw-kaw, silap hari bulan makan penampar lima jari.
Kadang-kadang sangat tertekan apabila kehidupan yang sepatutnya berwarna tapi diprogramkan. Hanya ada perkataan 'belajar', 'belajar', 'belajar'. Bila result exam, semua mesti A dan mesti dapat nombor satu dalam kelas. Nombor dua boleh dimaafkan tapi perlu beri alasan. Lily diletakkan harapan menggunung oleh ibu dan abah agar bergelar seorang doktor suatu hari nanti setelah Kak Mawar lebih cenderung dalam bidang perakaunan. Tapi nak jadi doktor apa macam ni? Result hampeh. Arghhh, macam mana nak berdepan dengan ibu abah berdua dengan result hampeh ni? Mati Lily, mati!
"Lily, sabarlah. Aku tau kau kecewa. Tapi nak buat macam mana, kan? Kau kan sakit hari tu. Relaks okey, aku pun cukup-cukup makan aje. Aku pun kecewa juga. Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita?" pujuk Wanie, yang memahami keadaan Lily. Kesian sungguh tengok wajah Lily yang menyedihkan. Matanya merah menahan tangis.
Lily melepaskan keluhan. Kalaulah ibu dah abah boleh memahami keadaannya seperti Wanie, alangkah indahnya. Nasib tak menyebelahi Lily, semasa dia sakit ibu dan abah ke luar negara menghadiri seminar antarabangsa. Jadi, mereka tidak tahu dan tidak nampak. Itu yang akan menjadi masalah untuk diterangkan.
"Ibu dan abah aku mesti marah. Aku dah kecewakan harapan mereka," ujarnya takut.
"Kan kau sakit? Sampai masuk hospital. Bukan kau minta jadi macam tu. Lagipun kau bukannya tak pandai. Tak kan parents kau tak boleh nak faham? Dahlah jangan risau, kau terangkan baik-baik pada parents kau. Tentu mereka boleh terima punyalah." Wanie memujuk. Lily melepaskan keluhan lagi.
Cakap senang aje, tapi masalahnya orang tua Lily bukannya jenis yang mudah menerima alasan.
"Kau cakap senang aje, tapi kau tak tahu ibu abah aku macam mana. Masa aku sakit, dia orang bukan ada kat Malaysia ni. Memang aku ada suruh kakak aku bagi tahu. Tapi mereka macam tak kesah aje, aku sakit masa tu. Yang mereka kesah, result aku nanti. Dahlah, Wanie. Sekarang ni nak salahkan sakit ke, apa ke, dah tak guna tau. Bukannya boleh ubah 'C' ni jadi 'A'. Apa yang aku fikirkan sekarang, macam mana aku nak jawab pada ibu abah aku, padahal mereka tu berharap sangat result aku baik. Mereka nak aku jadi doktor. Tapi, dah result teruk macam ni, apa aku nak jadi? Masa depan aku dah musnah!" Lily menyembamkan mukanya ke lutut dan melepaskan tangisan.
Wanie melepaskan keluhan. Dia sendiri pun tak tahu arah masa depannya, hendak menasihat Lily bagaimana? Result dia pun, cukup makan. Tak teruk dan tak terbaik.
"Kita senasib aje, Lily. Tapi nasib aku baik sebab mama dan papa aku sporting. Kau bertahanlah. Jangan putus asa. Nanti kita fikirkan sama-sama hala tuju kita lepas ni, ya? Mungkin, tak ada rezeki kau nak jadi doktor. Rezeki kau ke arah lain." Pujukan itu tidak mampu menjinakkan hati Lily yang gusar tiada noktah.
MAWAR tidak senang duduk di rumah. Dia tidak sabar mahu mengetahui keputusan peperiksaan Lily yang dilalui dalam keadaan Lily jatuh sakit. Dia mahu melihat keberkesanan hasil rancangannya. Nampak simple dan tak masuk akal, tapi jika berjaya masa depan Lily akan musnah. Seluruh harapan yang disandarkan ibu abah pada Lily akan hancur.
Jika Mawar berjaya, selepas ini tentu hanya dia saja akan menjadi harapan ibu abah bukannya Lily lagi. Dia juga mahu ibu abah berbangga melihat pencapaiannya walaupun bukan dalam bidang perubatan. Mawar tak mahu Lily melebihi Mawar. Dia patut berada di hadapan berbanding adiknya. Dia tak mahu kalah.
Mawar menanti saja jarum jam beranjak ke pukul 11.00 pagi. Tentu Lily sudah menghidupkan telefon bimbitnya. Tak sabarnya hendak tahu result Lily.
Yes! Tibalah masanya. Sabar Mawar, susun strategi elok-elok. Bagai menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Mawar mendail nombor telefon Lily. Dapat. Lily jawab.
"Lily, macam mana result?"
Lily tercengang. Salam tak bagi terus tanya keputusan peperiksaan. Tengok gaya macam tak sabar aje nak raikan kegagalan Lily. Tapi Mawarkan kakaknya. Takkanlah sanggup tengok adik gagal pula.
Muka kelat tak mampu dimaniskan lagi.
"Lily, I'm waiting."
"Lagi mahu tanya?" Lily jawab selamba. Apa yang terpampang dalam minda hanyalah bagaimana untuk berhadapan dengan kedua-dua ibu bapanya di rumah.
"Uit, kenapa ni? Jangan-jangan adik fail?" soal Mawar lalu tangan digenggam kemas sambil beryes-yes!
Lily tersenyum pahit. Untungnya jadi macam kakak, anak kesayangan ibu dan abah. Tak pernah dengar kakak kena marah. Sudahlah cantik, pandai pula tu. Kakak memang idola Lily dalam pelajaran. Tapi mampu ke Lily cemerlang seperti kakak? Sekali gagal ni pun, Lily rasa tak berdaya untuk bangkit.
"Bila akak balik?" Mawar berdecit. Tukar tajuk pula dah. Beritahulah cepat adikku, supaya senang aku merencana apa nak buat lepas ni?
"Sampai pagi tadi. Sajalah akak call Lily, di samping rindu, akak nak tahu result Lily macam mana? Kan hari tu Lily demam dan sakit perut? Kesian Lily, kan? Mesti bawa kesan pada result Lily. Bagi tahulah!" soal Mawar yang tidak sabar ingin tahu.
Kesian konon, padahal dialah punca kesakitan Lily itu. Dimasukkan julap ke dalam minuman pagi yang dibancuh untuk adiknya yang tersayang sebagai bekalan ke sekolah. Tiap-tiap hari, Lily cirit-birit sampai demam. Antibodinya kian lemah kerana apa yang masuk, akan keluar. Tentu kesakitan Lily itu memberi kesan dan masalah pada Lily untuk menjawab peperiksaan.
Dia memang mahu Lily gagal supaya abah tidak lagi menaruh sandaran pada Lily seorang. Sikit-sikit Lily, Lily. Meluat, benci! Mawar mahu mengubah ketidakadilan yang berlaku di rumahnya.
"Errr..."
Mawar menanti penuh sabar.
"Ala, segan nak beritahu, ya? Beritahulah. Jangan takut pada kegagalan, Lily. Dari kegagalan itu kita belajar erti kejayaan. Lily gagal, ya?" soal Mawar. Lily angguk lemah.
"Hurm..."
Dalam hati Mawar bersorak gembira. Sudah terangka pelan-pelan untuk mengenakan adiknya itu. Dia melompat keseronokan merayakan kemenangan. Tentu semua mata pelajaran Lily gagal. Wow, Mawar berjaya!
"Hurm, Lily mesti kena marah dengan ibu dan abah. Akak ada beritahu ibu abah kan, yang adik sakit sampai masuk hospital hari tu?" soal Lily ingin tahu. Kalau ibu abah mengetahui keadaannya, jalannya mudah selepas ini.
Mawar terkedu seketika. Dia langsung tidak memberitahu. Atuk pun tak tahu. Alah, tiada faedahnya pun. Rugilah beritahu hal sebenar sebab Mawar sudah lama nantikan saat begini. Pelik, kenapa dia dengki sangat dengan adik kandung sendiri? Jawapannya logik.
Dia tak rela Lily melebihi dirinya. Dia tidak rela Lily disayangi sepertimana ibu dan abah menyayanginya. Cukup-cukuplah, waktu kecilnya disia-siakan gara-gara kehadiran adik. Dia selalu rasa cemburu dan sakit hati bila Lily disayangi lebih dari dia dulu. Hingga dia berazam, akan buat apa saja agar Lily pula rasa dipinggirkan sama seperti dia dulu bila tiba saatnya nanti.
Sakit betul jiwa mengenangkan masa lalu. Sikit-sikit harus mengalah dengan adik. Sikit-sikit dia dipersalahkan walaupun Lily yang bersalah. Sekarang dia tidak mahu kalah. Dia mahu menang dari segala segi. Dan gelaran anak kesayangan ibu dan abah akan jatuh semula ke tangannya. Kalau boleh, dia nak singkirkan Lily terus. Sampai ibu abah membenci dan membuang Lily.
"Errr, ada. Akak ada beritahu, tapi ibu dan abah tak percaya. Mereka tak nak terima apa-apa alasan. Selagi Lily tak nazak selagi itulah Lily kena lulus periksa juga. Akak risaulah, Lily. Macam mana abah nak terima ya semua ni? Tentu dia mengamuk punyalah. Kalau akak jadi Lily, akak dah lari dari rumah tau. Bukan apa, takut sangat nak menghadapi ibu dan abah. Tentu teruk kena marah. Lily pergilah lari dengan siapa-siapa. Tak payahlah balik. Dengan boyfriend Lily ke..."
Mawar mula menghasut agar pemikiran Lily disingkatkan. Bagus juga kalau Lily lari tak balik-balik. Lari ikut jejaka dari Lombok pun okey juga. Tak payah Mawar berebut perhatian ibu dan abah dengan Lily.
Lily menggeleng lemah. Kak Mawar ni, bagi cadangan bukan membina tapi menghancurkan Lily.
"Kenapa perlu lari? Lily bukannya sengaja. Lily akan terangkan pada ibu dan abah baik-baik. Insya-Allah mereka akan terima," jawab Lily.
Mawar berdecit. Degil pula budak ni. Lari ajelah, lagi senang rancangan aku! Kalau bunuh diri pun lagi bagus. Terjun aje dalam Sungai Perak tu. Sure mati punya. Habis cerita.
"Akak dah terang dulu masa Lily sakit tapi mereka kata itu bukan alasan untuk Lily gagal. Macam inilah, biar akak yang cakap dulu. Terang baik-baik, manalah tahu kalau-kalau ibu dan abah memahami tapi jangan harap sangatlah.Lily sendiri pun berani nak berdepan, akak tak boleh kata apalah. Sebab Lily berani sangat kan, Lily baliklah. Bagi abah tengok result. Tapi kalau Lily kena pukul teruk, akak tak dapat nak tolong. Abah tu baran orangnya. Akak pun pernah kena pukul dengan rotan sampai putus dua dulu." Perbuatan itu yang meninggal kesan mendalam pada diri Mawar.
Gara-gara kecuaiannya menjatuhkan Lily yang ketika itu masih bayi, teruk Mawar dipukul sehingga meninggalkan trauma, dendam dan kebencian yang mendalam pada adik kandungnya sendiri. Terbawa-bawa sampai ke besar. Ada peluang dia akan membuli Lily dan bergaduh dengan Lily tanpa pengetahuan ibu abahnya sampailah mereka meningkat remaja.
Yang membuatkan Mawar bengang, apabila Lily lagi pandai darinya. Result Lily mesti lagi baik dari Mawar. Itu yang membuatkan Mawar terpinggir lagi. Asyik-asyik Lily saja dipuji di hadapan sanak saudara. Kali ini, Mawar akan melakukan apa saja untuk merosakkan masa depan Lily.
Lily kembali muram semula. Ya, dia memang takut. Tapi melarikan diri itu akan menyelesaikan masalah ke?
"Lily nak buat apa, kak? Lily takut..." Lily menangis teresak-esak. Mawar tersenyum gembira. Air mata Lily bagai trofi kemenangan buatnya.
"Abah tak akan dapat terima, Lily. Dia pensyarah, Profesor Dr. Khalid. Kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran matlamat hidup dia, maruah dia. Lily dah kecewakan dia dan akak tak boleh bayangkan apa yang abah bakal lakukan pada Lily nanti. Lily tak payahlah balik lagi. Akak risau la." Mawar menghasut. Dalam dunianya, dia tersenyum sinis. Tahulah apa yang bakal dibuat nanti.
Lily melepas keluhan yang begitu berat terpikul atas bahunya. Ya Allah, berikanlah aku ketabahan untuk menghadapi semua ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro