Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

MUJURLAH atuk sporting, jemput Lily tidur di rumah dia. Bolehlah Lily bebas tanpa dikongkong. Bosan betul hampir seminggu duduk rumah. Ibu dan abah pula asyik sibuk aje kerja. Tapi kalau ada pun, macam tak wujud.

Atuk benarkan Lily ke rumah Wanie. Bolehlah lepak-lepak sambil bersembang. Lily mengayuh basikal dengan gembira bagaikan burung yang terlepas dari sangkar.

Tiba-tiba basikalnya ditahan oleh seorang pak cik yang tengah cemas.

"Tolong pak cik, nak... Tolong pak cik..." rayu pak cik tersebut. Lily panik, aduhai masalah apa pula ni?

"Ke... Kenapa, pak cik?" Pak cik itu seperti mahu menangis saja.

"Lembu pak cik. Kakinya tersangkut besi longkang. Pak cik dah tak tau nak buat apa-apa. Pak cik cuba tarik kaki lembu pak cik. Terus luka dan berdarah. Kesian lembu pak cik..." cerita pak cik itu membuatkan Lily terkejut mendengarnya.

"Apa? Jadi pak cik nak suruh saya selamatkan lembu tu? Saya mana tahu. Mana... Mana lembunya?" soal Lily yang turut sama risau.

"Tu..." Pak cik itu menunjukkan lembu yang sedang tersepit di celah hujung longkang di tepi jalan sana. Dari jauh Lily dapat mendengar lembu itu berbunyi lemah. Sakitlah agaknya tu.

"Kesiannya. Macam mana boleh jadi macam ni, pak cik? Banyak laluan lagi, kat situ dia nak lalu? Isyyy!" bebel Lily salahkan pak cik itu pula.

"Pak cik pun tak tahulah, nak. Nama pun lembu. Bukan tahu baca signboard. Pak cik bukan bela seekor aja, banyak lagi. Seekor ni yang terlepas ke sini. Puas pak cik cari mana dia menghilang, rupa-rupanya tersangkut kat sini." Sedih sungguh nampaknya.

"Yalah. Saya bukan nak salahkan pak cik pun. Nak buat macam mana, benda nak jadi. Tapi, saya manalah tau nak buat apa ni? Kejap saya fikir. Errr... Kita telefon pejabat haiwan? Pak cik ada nombor telefon?" soal Lily memberikan idea.

"Manalah pak cik ada..."

Aduhai pak cik ni. Dengan aku-aku sekali yang blur. Seolah-olah beban terletak atas aku pula. Lily berdesis dalam hati sambil tak sudah-sudah berfikir. Kepala yang bertudung digaru.

"Pak cik ni, nama aje bela haiwan. Tapi nombor telefon pejabat haiwan pun tak tau. Susahlah macam ni. Nak minta tolong siapa? Ketua kampung mana?"

"Tak ada. Pergi Kolumpo, hantar anak mengaji."

"Pula? Habis tu pak cik nak suruh saya settle masalah pak cik? Mana saya tahu!"

"Pak cik lagilah tak tau."

Hesy geramnya Lily. Mujurlah pak cik, kalau baya dia, Lily dah cekik-cekik. Bela lembu tahu, jaga lembu tak tau.

"Polis rasanya tak ambil kes lembu terlekat kaki kat longkang ni. Ini bukan kes lembu teraniaya ke, kena curi ke, kes jenayah ke... Kalau kita telefon tentera, hesy jauh benor perginya. Kalau telefon hospital, rasanya saya tak pernah nampak lagi lembu masuk wad kecemasan, pak cik. Hah, apa kata kita telefon bomba! Rasanya, kalau kecemasan macam ni, bomba aje yang boleh selesaikan." Lily memberikan cadangan yang bernas.

Pak cik itu meraup mukanya.

"Anak telefonlah sesiapa pun. Pak cik cuma nak lembu pak cik selamat. Sudahlah dia tengah bunting tu. Buatnya lembu jantan yang buntingkan dia nampak, mahu kena sondol kita nanti. Garang tau lembu jantan tu!"

Kecut perut Lily mendengarnya. Sudahlah dia memakai baju merah. Bahaya kalau masin mulut pak cik ni. Lily angguk pantas.

"Saya faham, pak cik. Saya akan hubungi pihak bomba sekarang. Roger and out!" Lily mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi pihak bomba Kuala Kangsar. Berdebar-debar pula jantung rasanya. Ini kali pertama menghubungi bomba.

"Selamat petang. Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Boleh saya bantu?" Suara itu menjawab.

"Errr, saya nak laporkan kes kecemasan ni. Saya rasa tak tau dah kat mana tempat yang sesuai untuk saya laporkan kes ini. Kalau tersilap, saya minta maaf siap-siap boleh?" Lily bermukadimah.

"Ya. Ada apa tu, cik?"

"Saya di Kampung Talang ni. Ada lembu, kakinya terlekat di celah besi longkang. Tak boleh nak keluarkan. Macam mana dia terlompat masuk pun saya pun tak tahulah. Pihak bomba boleh kan, datang ke sini keluarkan lembu tu? Memang ni, salah satu tugas bomba juga ke?"

"Memang salah satu tugas kami, cik. Di mana tempat kejadian, cik? Kampung Talang tu luas juga..."

Lily rasa ingin melompat mendengarnya. Alhamdulillah. Ini yang buat dia bertambah kagum dengan kredibiliti anggota bomba. Serba boleh.

"Kampung Talang. Lepas sikit aje dari Taman Jasa."

"Boleh saya tahu siapa nama cik?"

"Saya Nur Lily binti Khalid. Nombor IC..."

"Oh, tak perlu, cik. Kami akan menghantar anggota kami ke sana. Terima kasih, cik."

"Sama-sama."

Lily berasa lega mendengarnya.

"Pak cik jangan risau, bomba on the way datang."

Pak cik itu mengucap syukur dan mereka mendapatkan lembu yang sedang terdampar kesakitan.

Lily menerima panggilan sekali lagi.

"Helo, selamat petang. Kami dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Kangsar. Cik ni Nur Lily binti Khalid ke yang melaporkan kejadian kaki lembu tersangkut di celah besi longkang?"

"Ya, saya," angguk Lily dua kali.

"Kami dalam perjalanan ke sana, boleh tak cik tunggu di tepi jalan supaya senang kami nak kenal tempat?"

"Boleh, tak ada masalah. Saya memang duduk di tepi jalan. Kampung Talang atas sikit aje dari Taman Jasa," maklum Lily.

"Baiklah. Terima kasih, cik. Kami akan sampai sekejap lagi." Talian dimatikan. Lily berdebar-debar mendengar suara yang kedengaran macho itu. Baru dengar suara, macam manalah orangnya? Tengok-tengok, pak cik pengembala lembu ni lagi handsome. Kikiki.

Hampir 4 minit menanti akhirnya pihak bomba datang menaiki jentera bomba. Seorang demi seorang anggota bomba lengkap berpakaian celoreng dan berhelmet yang turun dari jentera di pandang. Tak ramai, dalam 6 orang. Namun, mata Lily terlekat bagai digam pada salah seorang daripadanya yang Lily rasa pernah lihat sebelum ini. Lily melongo. Abang bomba yang dia nampak kat Sungai Perak hari tu?

Pak cik itu tanpa berlengah lagi terus meminta anggota bomba itu menyelamatkan lembunya yang tersepit kaki. Rayqal memeriksa keadaan lembu itu dan memikirkan peralatan yang sesuai untuk memotong besi longkang.

"Syawal, kita gunakan Res Q Cutter 190..." arah Rayqal.

Lily perhati aje abang bomba itu buat kerja. Walaupun hanya selamatkan lembu, dia bagaikan superhero di mata Lily. Berdebar-debar jantung Lily tidak semena-mena apabila menatap wajah tampan abang bomba. Apa ertinya ini?

Dengan mudahnya pihak bomba menyelesaikan masalah yang rumit itu menggunakan kemahiran yang mereka ada. Padahal pak cik itu dan Lily punyalah pecah kepala fikir nak selesai masalah.

Rayqal menulis butiran laporan terperinci lalu menghubungi Pusat Gerakan Operasi Ipoh.

"PGO, PGO, panggilan dari Kuala Kangsar 3, lapor selesai operasi khidmat menyelamat kaki lembu tersepit dan akan balik ke balai." Setelah panggilan diterima, Rayqal menghampiri pak cik tersebut dan rakan setugasnya yang sedang membelek lembu yang tercedera di kaki. Pak cik itu mengucap syukur yang tidak terhingga kerana masalahnya sudah selesai.

"Terima kasih pihak bomba tolong pak cik. Kalau tak ada pihak bomba, tak taulah nak minta tolong siapa lagi. Pak cik buntu sangat. Mujurlah anak tu bagi pak cik cadangan suruh telefon pihak bomba. Terima kasihlah sebab datang," ucap pak cik itu dengan rasa terharu.

Rayqal senang hati tugasnya sudah selesai. Sempat matanya dihalakan ke arah gadis yang berada di belakang pak cik itu. Gadis muda itu tersipu malu. Comel orangnya.

Syawal membalas.

"Jangan risau, pak cik. Selagi menjadi tugas kami, kami akan sedaya upaya membantu. Errr, kaki lembu tu taklah cedera parah sangat. Cuma luka sebab tersayat besi longkang yang tajam tu. Pak cik hubungilah pejabat haiwan untuk rawatan lanjut," terang Syawal dengan baik.

Lily masih berdebar melihat senyuman abang bomba tadi. Peluang ini diambil sebaik mungkin untuk usyar secara dekat. Jantungnya bekerja lebih rajin hari ini. Kenapa ya lain macam rasanya ni?

Matanya terpaku apabila abang bomba yang handsome tu perlahan-lahan mendekatinya yang terketar-ketar menahan rasa. Kenapa pula dia datang kat aku ni? Malunya aku.

Lily rasa nafasnya dicuri kala abang bomba itu menanggalkan helmet kemudian dia mengelus lembut rambutnya ke belakang agar tampak kemas. Ketampanannya mencairkan hati Lily dan rasa mahu terkulai layu dek auranya. Tidak curang matanya ke tempat lain.

"Nur Lily binti Khalid?" soal Rayqal. Bibir Lily tergerak-gerak kerana otaknya jadi hang.

"Adik?" Lily tersentak. Pergh, Lily dapat semula akalnya.

"Ya, saya. Mana abang tahu saya ni Lily?"

Abang bomba itu tersenyum manis.

"Abang yang call masa dalam perjalanan tadi..." maklum abang bomba itu. Lily rasa wajahnya merah menahan malu dan dia tersipu-sipu lagi.

"Oh..." Itu saja jawabnya. Aura abang bomba melembabkan otak Lily. Patutlah dengar suara pun dah berdebar semacam. Tengoklah orangnya.

"Adik buat tindakan yang bijak dengan berani hubungi bomba. Nampak macam tak logikkan selamatkan kaki tersepit tapi itulah tugas kami. Apa saja yang perlu diselamatkan, pihak kami akan membantu. Bukan saja orang, tapi binatang juga dan mungkin manalah tau suatu hari nanti alien juga."

Lily tersenyum segan. Aduhai mulut, jawablah. Apasal satu perkataan pun tak terfikir ni?

"Errr... Pak cik, adik, tugas kami dah selesai, jadi kami beransur pulang dulu, ya?" Syawal meminta diri untuk pulang.

"Terima kasih ya, bomba. Jemputlah ke rumah, minum dulu," pelawa pak cik tersebut.

"Tak apa, pak cik. Kami sedang bertugas ni, lain kali saja." Pak cik itu mengangguk faham.

"ASSALAMUALAIKUM. Wow! Buang tabiat ke kawan aku memasak hari ni?" Sampai saja rumah Wanie, Lily terus menjengah ke dapur setelah rakannya ini tiada di dalam biliknya.

Tak sangka Wanie memasak. Padahal, dia tahu ini kebencian Wanie.

"Waalaikumussalam. Eh kau, bila sampai? Dari mana ni?" soal Wanie sambil tersengih bangga. Baru Lily tahu Wanie pun hebat juga di dapur.

"Baru aje. Tadi mak dan ayah kau baru aje nak keluar, mereka yang jemput aku masuk. Aku dari rumah atuk," maklum Lily. Lega dapat bebas dari penjara di rumahnya itu.

"Ya ke? Baguslah tu. Kalau tak, bernanah telinga aku ni dengar kau sebut boring-boring dalam telefon. Aku dah kata, masalah kau kecik saja. Hidup ni kena bijak! Geliga tak otak aku bagi kau idea?" Mempergunakan atuk untuk kebebasan adalah rancangan Wanie yang cukup menjadi. Lily berasa bangga dengan kebolehan semulajadi Wanie itu.

"Yalah, terima kasih banyak. Otak kau ni memang otak pembelit. Eh, kau masak apa yang terkial-kial ni?"

Wanie yang sedang menghidupkan api gas dari tadi merengus.

"Ini yang aku malas nak masak. Susah betullah nak hidupkan api ni. Aku nak goreng telur aje pun, belum lagi masak asam pedas! Hesy!" Akhirnya api berjaya dihidupkan namun malang tidak berbau bila wayar yang menyalurkan gas ke dapur tercabut menyebabkan api terkeluar dari landasan.

Wanie dan Lily saling berpandangan, panik.

"Ya Allah, Lily? Kenapa jadi macam ni? Apilah Lily, api makin besar! Api, Lily! Tolong, Lily!" Wanie menjerit dalam panik. Lily ternganga melihatnya. Cemas. Kedua-duanya kelam kabut.

"Ya Allah, api! Wanie apa kau buat ni? Macam mana boleh jadi macam ni? Api... Api... Air! Air!" Lily berlari ke singki dan mencurah ke atas api yang mula merebak dan marak itu. Namun lagi dicurah api lagi membesar membuatkan mereka menjerit ketakutan. Keadaan bertambah panik apabila api sudah menyambar langsir dapur. Api semakin membesar.

"Lily! Matilah kita! Aku tak nak mati terbakar. Apa kita nak buat ni? Aku takut tong gas meletup! Hancur lebur tubuh kita. Lily!"

Lily cuba menenangkan dalam keadaan yang sangat panik itu. Nyawa mereka berdua kini di hujung tanduk.

"Kau pergi minta bantuan! Sekarang! Pergi!" arah Lily pada Wanie. Tanpa menunggu, Wanie berlari ke pintu depan lalu membukanya. Terkunci? Kunci... Mana kunci? Ya Allah... Wanie bertambah panik.

Lily memberanikan diri mencabut kepala gas sambil bertawakal pada Yang Esa. Lantas segera menjauhkan tong gas itu sebelum api menyambar dan meletupkan rumah. Wanie tiba-tiba muncul dengan wajah berganda panik dari tadi. Jawapan pada masalah pun tak beriak langsung.

"Lily! Pintu terkunci. Mak dan ayah aku kunci pintu ke tadi? Dia bagi kau kunci tak? Ya Allah. Kat mana letaknya kunci lain ni? Aku tak boleh fikir." Lily tergamam mendengarnya. Terkunci pula dah?

"Kau biar betul, Wanie? Mana kunci rumah kau ada kat aku? Agaknya mak ayah kau kunci pintu tadi lepas aku masuk. Kunci pendua tak ada ke?" soal Lily cemas. Wanie memegang kepalanya yang berserabut. Kunci pendua? Kat mana, ya? Tengah serabut kunci pendua pun entah di mana letaknya. Entah-entah kunci itu ada tapi sebab kelam kabut dan takut, boleh tenggelam fikiran.

Namun mata mereka kian membesar tatkala melihat api kian marak. Nak fikir pasal kunci masa-masa begini, ah kirim salam!

"Ya Allah, Wanie!!! Api! Api dah besar!" Lily dan Wanie melarikan diri ke ruang tamu sambil menarik tong gas.

"Buka tingkap, jerit minta pertolongan!" arah Lily yang melihat Wanie cemas sehingga hilang arah. Wanie yang patuh arahan mengikuti pantas. Otaknya jadi jam.

"Tolong! Tolong! Tolong!" jerit mereka berdua. Asap hitam mula melatari ruang sehingga pedih mata. Mereka sudah terbatuk-batuk sehingga terduduk. Dada rasa sesak sangat sehingga sukar untuk bernafas.

Wanie merangkak menghampiri Lily yang terduduk sambil menutup mulut dan hidungnya yang kelemasan dek asap tebal. Mereka rasa tidak mampu bertahan lama. Tubuh terasa lemah. Dunia mula hilang timbul. Wanie rebah dan diikuti Lily. Adakah sudah sampai janji Allah, mahu menjemput mereka pulang?

Lily terbaring lemah. Sayup-sayup pandangan, berbekal rasa yang masih kekal di tubuh yang tak bermaya, Lily terasa bahang api mendekat ke tubuhnya. Dunianya sekejap timbul tenggelam.

Tiba-tiba pintu hadapan ditendang jatuh. Dari samar cahaya di muka pintu, munculnya sekujur tubuh tegap yang memakai pakaian beruniform lengkap berwarna oren.

Pandangan Lily berbalam-balam. Dada Lily semakin seksa untuk bernafas.

Orang tersebut pantas menghampiri Lily. Lily terasa tubuhnya dibalut sesuatu dan dikendong oleh orang tersebut lalu dibawa keluar. Orang tersebut memakai topi keselamatan dan alat pernafasan. Tidak kelihatan wajahnya. Lily tidak berdaya lagi membuka mata. Dadanya sesak. Matanya terpejam perlahan-lahan.

LILY membukakan matanya perlahan-lahan. Di mana dia sekarang? Serba putih aje. Dah mati ke dia? Lily perhati ke kiri dan ke kanan. Oh, dia di hospital. Lily memegang dada yang terasa sesak. Baru dia teringat yang kebakaran berlaku di rumah Wanie. Lily panik. Ya Allah. Apa yang dah jadi?

Bantuan pernafasan yang melekap di mulut dan hidungnya ditanggalkan. Mata tertangkap sesuatu. Lily terkesima melihat wajah asing di depan matanya. Siapa ni? Teragak-agak Lily.

Lelaki itu senyum.

"Adik okey?" soal lelaki itu.

"Saya okey. Abang ni siapa?"

"Lily!" Suara atuk memanggil Lily. Lily berpaling.

"Atuk!" Atuk tersenyum lega melihat Lily membuka mata.

"Syukurlah, Lily selamat. Risau betul atuk. Mujurlah pihak bomba sampai cepat dan pantas mengawal api dari merebak. Terima kasih ya, nak. Budi baik pihak bomba, hanya Allah yang membalasnya." Haji Mustafa menarik nafas lega cucunya selamat.

"Pak cik, dah menjadi tugas kami untuk menyelamat orang awam. Selagi terdaya, itu yang kami buat. Syukurlah, tiada kemalangan jiwa berlaku tadi..." terang lelaki itu.

Lily terkedu mendengarnya lalu berfikir sejenak. Terimbau masa kejadian, bagaimana munculnya seorang lelaki bagaikan superhero yang pantas menyelamatkan nyawanya. Oh, sangat dramatik saat itu.

"Abang yang selamatkan saya?" soal Lily terharu. Lelaki itu tersenyum cuma.

"Siapa pun berada di tempat adik, abang akan selamatkan. Adik berehatlah, paru-paru adik masih lemah, terhidu asap tebal tadi..." saran Rayqal tatkala melihat gadis itu masih lemah.

Rayqal berasa lega melihat gadis ini masih bernyawa. Hairan juga, sebelum ini tidak pernah dia follow up mangsa-mangsa yang diselamatkan setelah tamat operasi. Tapi lain benar pula pada gadis ini. Dia jatuh sayang.

Mungkin Rayqal teringat pada arwah adiknya yang meninggal dunia kerana kebakaran ketika umurnya 12 tahun. Rayqal yang berada di luar rumah hanya mampu memandang saja adiknya menjerit-jerit meminta tolong kerana api sedang marak. Dia mahu menyelamatkan adiknya, tapi tubuhnya dipegang erat oleh jirannya. Akhirnya adiknya terkorban dalam kebakaran di hadapan matanya sendiri.

Terkenangkan pada yang tiada membuatkan Rayqal pilu. Kalau adiknya masih hidup, tentu sebaya gadis ini.

"Kawan adik macam mana?" soal Lily.

"Dia selamat. Katil dia kat belakang sana," maklum Rayqal membuatkan Haji Mustafa rasa senang hati mengenali lelaki ini.

"Errr, pak cik. Saya balik dulu, ya? Kalau ada apa-apa masalah, pak cik boleh cari saya di Balai Bomba Kuala Kangsar, ya? Telefon saja pihak kami. Adik, abang balik dulu, ya? Jaga diri baik-baik. Ingat, malang tu tak berbau. Di mana-mana saja musibah boleh berlaku. Kalau terjadi lagi macam tadi, adik jangan panik. Masalah wayar gas bocor tu, masalah kecil aje.

Mula-mula, adik cabut kepala gas serta-merta dulu, aliran api akan terpadam. Kalau tak cabut dengan pantas, gas akan menyebabkan api membesar. Dalam keadaan api yang masih kecil tu, adik boleh padamkan terus dengan kain basah atau air. Selalunya kebakaran besar berlaku berpunca dari hal kecil aje macam tadi. Panik. Sebab panik, menggelabah dan cemas, kita biarkan api yang kecil tu menjadi lawan," terang Rayqal panjang lebar agar peristiwa ini tidak berulang. Biar menjadi pengajaran.

"Patutlah, kami langsung tak terfikir nak cabut kepala gas. Kami biarkan api membesar. Masa kebakaran tadi, kami berdua panik sampai tau tau nak buat apa. Lastly tak terkata tengok api tu makin besar, menyambar langsir dan siling. Kami cuba padamkan guna air, tapi api dah membesar. Bila dah besar tu, barulah adik terfikir cabut kepala gas dan jauhkan tong gas dari situ. Silap kamilah sampai terbakar satu rumah.

Insya-Allah, kalau terjadi lagi lepas ni adik akan kawal diri untuk tidak panik dan ikut kata abang. Terima kasih ya abang selamatkan adik. Kalau abang tak ada, entah-entah adik dah mati," luah Lily dengan sedih. Trauma teringat betapa sesak dada menghidu asap tebal sebentar tadi.

Tersayat hati Rayqal mendengarnya. Jeritan arwah adiknya terngiang-ngiang di telinga.

"Abang, tolong adik! Abang tolong! Panas... Adik panas... Adik dah tak tahan, adik takut..."

Allahuakbar, Rayqal meraup wajahnya dengan tangan. Sehingga kini dia tidak pernah lupa detik hitam itu. Diabaikan sebentar untuk fokus realiti.

"Sama-sama. Adik berehatlah. Pak cik, saya balik dulu, ya?" Rayqal meminta izin pulang. Selagi dia menunggu di sini, kenangan pahit itu akan terbayang dalam ingatannya.

"Baiklah, nak. Jalan elok-elok."

"Baik, pak cik."

Haji Mustafa menghantar Rayqal pulang dengan pandangan mata sehingga hilang susuk tubuhnya. Kemudian dia memakaikan semula alat pernafasan ke mulut Lily. Mahu Lily segera sembuh seperti selalu.

"Ibu abah tahu ke, atuk?" soal Lily. Atuk menggelengkan kepala. Lega Lily. Karang kena bebel dan diharamkan ke rumah atuk, tak pasal-pasal. Atuk nampaknya cukup faham perangai anak kandungnya itu.

"Terima kasih, atuk. Hurm, tapi kesian Wanie. Habis rumahnya terbakar." Lily berasa kesal. Kehadirannya di situ, membawa musibah pada Wanie. Dia cuba membantu tapi apa dayanya.

"Lily jangan risau. Buat masa sekarang, mak ayah dan adik Wanie, tinggal sementara di rumah atuk. Pihak kebajikan kata nak membantu keluarga Wanie bina semula rumah yang baru secepat mungkin. Kerja-kerja pembinaan bermula hari ni!" Mata Lily bersinar gembira.

"Ya ke, atuk? Syukur, alhamdulillah..."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: