Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

Glendalough, County Wicklow, Ireland.

LILY menyertai program kembara bersama rakan sekuliahnya di hujung minggu ini. Sudah hampir setahun belajar di sini, barulah mereka keluar dari kepompong yang mereka ciptakan. Asyik belajar saja, tiba masanya mereka meneroka negara Ireland ini. Banyak lagi destinasi menarik yang mereka belum lawati kerana masa begitu mencemburui.

Mereka memilih untuk menikmati suasana hutan simpan di Glendalough yang penuh kehijauan dengan berjalan kaki. Siap bawa bakul yang penuh makanan ringan dan tikar lagi untuk berkelah. Angin sejuk yang dingin sesekali menyapa tubuh manja. Indahnya ketenangan ini. Jiwa yang serabut menjadi hilang.

Akhirnya mereka tiba ke destinasi yang dituju iaitu Upper Lake. Sebuah tasik yang sungguh indah nan permai. Keindahannya diperkatakan seantero dunia.

"Wah..." Perkataan yang serupa muncul dari setiap bibir. Semua terpegun tak terkata. Mata begitu asyik menyaksikannya.

Mahunya tidak, panoramanya sangat memikat jiwa. Tidak sia-sia menjejakkan kaki ke sini.

"Bestnya! Tak rugi kita datang, kan? Oh My God! Cantiknya. Menyesalnya tak datang dari dulu." Azrini melompat-lompat kecil kerana teruja sangat. Dia menikmati suasana dengan gembira.

Sebelum ini, mereka hanya mendengar cerita saja dari rakan senegara, sehingga memanggil-manggil mereka datang. Akhirnya sampai juga. Dari universiti ke sini, mengambil masa hampir kira-kira 50 minit. Mereka menaiki kereta yang disewa beramai-ramai.

Haziq membalas.

"Kan saya dah kata, tempat ni memang best gila. Tapi kau orang asyik hold aje. Kan dah rugi? Setahun dah belajar baru nak datang sini." Bahan orang pula mamat ni, tahulah dia yang sampai dulu.

Lily mencelah.

"Ala, kita orang bukan tak nak. Ikutkan hati memang nak sangat datang sini. Tapi awak tahu la, kami ni tak macam awak. Semulajadi bijak. Kalau buang masa sikit, habislah. So, dah berapa kali awak datang ke sini? Datang dengan siapa sebelum ni?" Lily memandang Haziq sekilas.

Haziq bahagia. Rasa macam Lily ambil berat.

"Dah dua kali. Pertama kali datang dengan Faroq. Yang kedua, datang dengan Angelina yang cantik tu. Awak jealous tak Lily, kalau saya dengan dia?" Amboi, minah salih yang diusungnya. Bukan main lagi. Hurm, playboy biasalah. Semua dia nak try.

Lily mencebikkan mulut.

"Eee, tolong sikit. Tak ada sebab nak jealous, okey!" Haziq mengangkat bahu. Begitulah Lily, tak ada perasaan.

"Ala, saya tahu siapalah saya ni, hanya gagak di rimba, dambakan helang di angkasa!" Mendengarnya mencetus tawa.

Azrini membahan.

"Baru berapa tahun duk negara omputih, dah suka hati buat peribahasa sendiri. Peribahasa omputih pun tak seteruk peribahasa awaklah!"

Lily menggelengkan kepala.

"Dahlah. Kau orang ni, orang tengah seronok menikmati keindahan kat sini, kau orang nak bertekak pula. Dahlah bukan selalu boleh keluar. Tu tengok, geng Jepun dah merebak merata dah. Kita masih duk kat sini aje lagi. Jom, jom!" Tanpa membuang masa, Lily, Haziq, Azrini menyertai rakan-rakan yang lain.

Hampir setahun mereka bergelar pelajar perubatan di Royal College Of Surgeons, Ireland. Tahun pertama praklinikal memang sangat mencabar mental dan spiritual mereka. Tekanan dan halangan belajar silih berganti. Kadang-kadang rasa tidak mampu nak pikul kerana stres memang makanan. Namun berkat kecekalan, perlahan-lahan mereka cuba menyesuaikan diri di bumi asing ini.

Kelihatannya rakan-rakan sekelas Lily sedang sibuk mengambil gambar di tepi tasik yang sungguh indah pemandangannya bagai sebuah lukisan. Swan-swan putih berterbangan memenuhi tasik dipandang dengan rasa lapang. Manakala Lily memilih untuk bersendiri dengan menghampar tikar dan duduk menghadap tasik. Makanan ringan yang dibawa untuk berkelah dikeluarkan dari bakul.

Tapi, bila berkeadaan tenang begini, teringat pula Malaysia. Homesick. Itu yang sedang dideritai Lily sekarang. Dia rindu segala-galanya tentang Malaysia.

Wajah abang bomba kerap kali muncul menyentak fikiran. Tak hilang-hilang. Mengingati wajah itu bagai memberi satu semangat tapi parut akan kembali berdarah.

Kenapa susah sungguh nak lupakan dia? Susah nak lupa atau Lily yang masih nak ingat?

Okey Lily, be strong. Sekarang, kau perlu buang segala cinta kau, di sini. Tak payah nak sentap-sentap lagi, tak payah nak sedih-sedih lagi. Dia, seorang yang susah kau nak gapai. Faham?

Lily perlu tegas dengan diri sendiri. Dia angguk, jana kemahuan.

Abang Rayqal, Lily mahu lepaskan abang, buat selama-lamanya mulai hari ini. Lily harus kotakan janji, dalam 5 tahun ini, segala rasa cinta akan lenyap bila kepulangan Lily nanti. Wahai hati, tolonglah jangan degil nak lupakan dia. Wahai hati, kesiankanlah aku. Aku dah letih mengingati orang yang tak cintakan aku.

Lily mengeluarkan satu-satunya gambar dia dan abang bomba yang sengaja disesatkan ke Ireland. Hati belot. Agaknya, selagi disimpan, selagi itu dia teringat. Dieluskan potret itu penuh rasa kasih. Sayu rasa hati. Kenangan lalu datang lagi.

Lily mengeluarkan pemetik api. Lalu dinyalakan dengan hati yang sungguh berat. Tapi jika disimpan, nak buat apa? Berdosa pun boleh jadi.

Akhirnya, Lily membakar sekeping gambar kenangan terakhir antara dia dan Rayqal. Sepertimana terbakarnya gambar itu, seperti itulah terbakarnya jiwa Lily. Terbakar bukan kerana marah atau benci, tapi kerana kelukaan. Lily segera melepaskan gambar itu dari pegangannya. Biar tamat saja setakat itu.

Lily memegang jiwanya yang terbakar dan hanya lelaki itu yang mampu memadamkannya.

Lily bangun lalu mendapatkan teman-temannya yang sedang beriang ria merakam gambar di pinggiran tasik. Dia mahu melupakan seketika perbuatannya sebentar tadi. Tapi baru tiga langkah dia kembali berpaling dan memerhati gambar tadi. Api telah padam? Lily pantas berlari mendapatkan gambar itu semula.

Tak sangka, gambar itu tak terbakar keseluruhannya. Tersentuh hati Lily melihat kesan bulat yang nampak kreatif dan dalam bulatan itu, masih tinggal gambar mereka berdua. Lily rasa terharu dan menangis di situ juga.

Dia menjerit sekuat-kuatnya dalam hati. Abang bomba, I love you!!! Madah keramat yang tak pernah bernisan.

"Lily, are you okey?" Lily lantas mengerdipkan mata yang basah lalu menyembunyikan gambar itu di celahan baju sejuknya. Lantas berlagak biasa.

Lily berpaling ke arah Haziq dan tersenyum paksa.

"Haziq. Kenapa?"

Haziq berasa hairan apabila Lily tidak menyertai rakan-rakannya di sana. Lily berkeseorangan, melayan perasaan sendiri. Oh, ini tabiat tidak baik. Kerana dia mengerti, mereka semua berada dalam tekanan perasaan.

"Lily yang kenapa, bukan Haziq?"

"Okey, Lily okey, apa masalahnya?" Itu saja Lily balas.

Haziq tersenyum, Lily nampak kalut. Kedekut membelot masalah sendiri.

"Janganlah duk sorang-sorang. Nanti ada aje yang ganggu fikiran you balik. Sebab tu I bawa you datang sini sebab I rasa jiwa you tak sihat. Ada sesuatu yang you pendamkan. Please, lepaskan semua di sini. Cukup hanya tinggal I, ilmu dan kawan-kawan kita untuk dibawa balik."

Lily mengangguk. Haziq, bila datang fiil dia yang okey beginilah. Tapi bila datang fiil gila-gila dia tu, menyusahkan.

"Lily okeylah, janganlah risau. Saja aje nak ambil angin kat sini. Okey, jom." Lily angguk lalu mengulung semula tikar. Manakala Haziq membawa bakul. Mereka mahu berkelah di sana pula.

"Bestnya tempat ni, aku rasa macam nak berkhemah aje kat sini. Tak nak balik!" Azrini menegur Lily yang sedang memejam mata sambil berdiri mendepangkan tangannya menghadap tasik. Agaknya mahu merasa angin dingin yang mencelah di sebalik baju sejuknya. Tak lama lagi, musim salji. Tak sabar rasanya.

Haziq menggelengkan kepalanya. Baru terfikir nak berdiri di belakang Lily seperti hero dan heroin dalam filem Titanic. Tapi Azrini pula mencelah, kacau daun betullah. Sudahlah nak menghabiskan masa berdua dengan Lily pun payah bukan main.

Lily menoleh.

"Itulah, tapi tanggungjawab kita sedang menunggu. Jangan nak mengada nak berkhemah pula. Karang tak siap assignment aku tau!"

Azrini melepaskan keluhan.

"Yalah. Aku taulah. Kau ni, orang datang nak seronok, kau dah serabutkan aku balik. Bukan kau aje, assignment aku pun tak siap lagi tau." Berada di perantauan jauh dari perhatian keluarga, memerlukan tahap kesabaran dan keimanan yang kuat.

Haziq mencelah.

"Rini, you kenapa tinggalkan Lutfi kat sana? Pergilah, kesian buah hati you. Ehem. Tak boleh ke you berpisah sekejap dengan roommate you ni? Bagi peluang pada I pula."

Azrini mengekek ketawa. Merpati dua sejoli yang dia sungguh pelik dengan cara mereka bercinta.

"Alamak, lupa pula yang I usung Lutfi sekali. Okey, okey I pergi kat dia. Tapi you kena janji, jaga kawan I baik-baik!" Membulat mata Azrini.

"Kalau I perlu pilih nyawa I dari kawan you, I akan pilih dia. Okey?"

Lily terpinga-pinga mendengarnya. Amboi ayat, so gula betul.

Azrini lagi galak ketawa kemudian pergi. Tinggallah Haziq dan Lily duduk berdua.

"You nak sandwic? Air?" pelawa Lily. Bab ini, Haziq suka sangat bila Lily melayan dia.

"Berdua dengan you, I tak rasa lapar. Kenyang aje. Aura you tu bagi I satu rasa yang buat I bertenaga." Haziq merenung sayang Lily. Ditongkat mukanya dengan tangan.

Lily buat muka.

"Baik you puasa aje kalau nak keluar dengan I. Dapat juga pahala."

Haziq ketawa bahagia. Diperhati tindak-tanduk Lily penuh minat.

"Sandwic ni you buat ke?"

"Ya." Lily menuang air teh yang masih panas kerana diletak dalam termos kecil kemudian dihulurkan buat Haziq.

"Dahlah bijak orangnya, rajin masak pula tu. Cantik lagi. Air ni, ufffhhh sedapnya. Memang terbaik la, tengah-tengah sejuk, you sediakan I teh panas. Isy-isy, beruntungnya siapa dapat you!" Lily buat-buat tersengih kemudian padamkan.

"Isy, belum siapa pun dapat I. Mana you tahu beruntung. Pandai-pandai aje kan, nak bermanis mulut." Lily menggelengkan kepala dan beriak serius.

"Ala I gurau ajelah, you ni 24 jam serius aje. Tahulah bakal doktor pun. Time lawak, ketawalah juga!" Haziq mengumpan mood Lily yang agak kurang baik. Entah apa yang Lily ingat tadi.

"Tapi lawak you tak kelakar. Sarkastiklah sangat. Punch line pun tak sampai."

Haziq kena sindir lagi. Alahai, perempuan aku yang satu ni memang susah betul nak ayat. Jangan kata cair, senyum pun belum tentu.

"Okey, done. Kenyang perut I. Lily, jom kita ke sana? View kat sana lagi cantik tau. Kalau you pergi, mesti tak nak balik. Terus ajak I kahwin dan menetap kat sini!" Haziq mengusik lagi tak habis-habis.

Lily mencekak pinggang dan muka bengang. Sabar sajalah dengan mamat ni.

"You buat I fobia terus tak nak pergi sana. Janganlah masin mulut you tu! Tak mahulah I."

Haziq ketawa besar.

"Hai, handsome macam ni pun tak mahu? I ni minah salih pun berebut tau? Tapi nak buat macam mana, gadis Melayu yang sorang ni juga kuterpikat!"

"Eloklah tu, I bagi ajelah stok lelaki Melayu bernama Haziq ni kat dia orang. Dia spesies terancam. Buaya darat!" Giliran Lily pula membahan. Sabar ajelah, Haziq.

"Oh, selama yang you kenal I, di mata you I hanya sebagai buaya darat?"

"Ada lagi. Ikan jerung."

Haziq ketawa besar. Tak jadi nak ambil hati. Hesy, ikut hati mahu dicuitnya hidung mancung Lily, geram.

"Hahaha, orang yang buat lawak akhirnya dia sendiri ketawa dengan lawak dia. Yang selamba juga kelakar. Itu yang buat I suka sangat you. You lain, tak macam gadis-gadis lain yang I kenal." Haziq menutup kecewa dengan cara itu. Bisa juga Lily ni sekali dia membahan Haziq.

Lily akhirnya tergelak juga.

"Sebab lawak you tu, punch line tak sampai."

Sambil berbual dan usik mengusik, mereka meneroka alam sekeliling mereka.

Setelah puas meronda-ronda sambil selfie, mereka menuju ke Wicklow National Park untuk menikmati keindahan di puncak bukit. Memang heaven betul rasa. Hari ini buang segala beban. Pulang nanti, tinggal ringan jiwa.


Bab 1

"PIHAK bomba dan penyelamat, masih lagi menjalankan operasi mencari mangsa-mangsa bot karam dan berita terbaru, satu mayat telah dijumpai. Kami akan melaporkan berita ini dari semasa ke semasa. Orang kata air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Sekian saya, Karam Sign Kelia, melaporkan untuk berita TV 23."

Wartawan seperti biasa, setia menunggu dalam hujan renyai-renyai untuk mendapatkan berita terkini mengenai misi pencarian yang sudah menjangkau dua hari.

Dari pusat operasi bomba, kelihatan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Tuan Roslan bin Tuan Budiman turut turun padang untuk menyaksikan anak buahnya sedang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa bot karam di Kuala Sungai Perak yang seramai 3 orang itu sejak dari semalam lagi.

Dari makluman yang diterima, kesemua mangsa turun ke sungai semalam untuk menangkap ikan sepertimana aktiviti harian mereka. Namun, malang tidak berbau apabila hujan lebat menyebabkan arus deras hingga memukul bot mereka sehingga karam. Tinggal seorang yang berjaya selamat dan berpaut pada dahan pokok. Yang lainnya, masih giat dicari.

Anggota-anggota bomba yang terdiri daripada ahli skuba yang terlatih dan terbaik diarahkan mencari mangsa sejak dari pagi tadi namun belum ada khabar berita sama ada mangsa selamat atau mayat dijumpai. Mereka menyelam ke dasar sungai tanpa kenal erti penat dan putus asa biarpun berdepan dengan cuaca buruk dan arus deras.

Di tebing Sungai Perak, kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa menanti dalam hujan renyai-renyai, seolah turut sama memahami kedukaan mereka. Sudah pasti mereka berasa bimbang dan sedih akan kehilangan anggota keluarga biarpun jauh di sudut hati mereka berdoa agar ahli keluarga mereka itu selamat. Pihak polis juga turut serta, bertindak mengawal keadaan dan menanti mangsa dijumpai untuk urusan selanjutnya dengan pihak hospital dan ahli keluarga.

"Apa ni? Kata bomba terlatih? Tapi kenapa tak jumpa lagi? Saya ni dah naik gila tau tak? Risau, suami saya tak jumpa-jumpa lagi dah dua hari. Kau orang ni buat operasi menyelamat ke tidur aje atas bot tu? Entah-entah yang masih hidup pun, boleh matilah kalau macam ni lembabnya kau orang buat kerja!" Salah seorang ahli keluarga mangsa sudah bersuara kerana hilang sabar.

Tuan Roslan mengucap panjang namun dia tenang menghadapinya. Dia faham keadaan waris mangsa yang tertekan. Mereka tak nampak betapa bertungkus-lumusnya anak buahnya menjalankan operasi menyelamat kerana berada di darat.

"Puan, sabar puan. Saya tahu puan risaukan suami puan. Puan kena faham, Sungai Perak ni luas, panjang, air deras, dalam. Anak buah saya, dah buat sehabis baik untuk cari mangsa-mangsa bot terbalik tu. Mereka pun pertaruh nyawa mereka." Ketegasan Tuan Roslan buat isteri mangsa sedikit mengendur marahnya. Dia tertunduk sedih.

"Saya minta maaf. Saya tertekan sangat-sangat. Saya harap sangat suami saya selamat walaupun sukar." Dia menangis teresak-esak.

"Maaf puan, memang sukar saya nak ramal yang mereka ni masih hidup atau tak. Puan berdoalah semoga urusan mereka dipermudahkan. Percayalah kami akan sedaya upaya menyelamatkan mereka semua." Tuan Roslan memujuk lembut.

Perempuan itu terdiam tak terkata. Hanya tangisan saja kelihatan.

HARI ini pencarian dilanjutkan sehingga 10 kilometer dari tempat kejadian. Sebelum operasi dijalankan, Rayqal mengetuai rakan-rakan setugas yang lain melaungkan azan agar urusan kerja mereka berjalan dengan lancar. Itu sudah menjadi kewajipan mereka setiap kali berdepan situasi berisiko ketika menyelamatkan orang awam.

Perhatian Rayqal tertarik pada sesusuk tubuh yang terapung kaku di celahan ranting pokok.

"Zaini, tu mayat kat sana. Alhamdulillah, jumpa juga."

Rayqal memberitahu Rozaini yang bertindak sebagai boat man. Sebaik saja bot yang dipandu mendekati mangsa, Rayqal dan Hasmi, terjun ke dalam sungai. Mangsa ditarik dan diangkat ke atas bot.

"Bukan satu, tapi dua. Tu kat sana!" Rayqal menunjukkan pada Hasmi. Tanpa menunggu lagi, mereka berenang menghampiri mayat yang terapung dan membawa mangsa ke bot.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia. Mujurlah masih belum berbau cuma perutnya sudah kembung. Mungkin sudah dua hari tidak dijumpai.

"Innalillahiwainnailaihirojiun..." Itu yang termampu Rayqal ucapkan. Mata mangsa ditutup tangannya dan tangan mangsa-mangsa diletakkan atas perut dengan penuh simpati dan rasa sayu. Sebagai anggota penyelamat, Rayqal sentiasa berdepan dengan kes-kes kematian namun setiap kali itulah, dia tetap akan berasa sedih biarpun tiada sebarang pertalian dengan mereka.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, cucurilah rahmat ke atas mereka dan tempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Mati itu pasti bagi setiap yang bernyawa. Manusia itu mati satu kali. Itulah yang dialaminya ketika berpindah dari dunia ke akhirat. Tidak ada kematian sesudahnya. Sesudahnya adalah kekekalan. Dunia hanya medan ujian untuk bekalan akhirat.

"Dah jumpa ke yang lain?" soal Rayqal pada Rozaini yang sedang mengendalikan bot untuk bergerak pulang ke jeti. Di sana, pihak polis dan rakan setugas yang lain sedang menunggu.

"Aku tak pasti. Aku cuma lapor yang kita dah jumpa dua mayat tadi. Tapi harap-harap, agensi menyelamat lain akan jumpalah. Polis, JPAM pun turun bantu." Rozaini dengan nada yang kuat melawan bunyi bot.

"Kita tak nak lanjutkan 15 kilometer lagi?" Rayqal memberikan cadangan.

Latiff mencelah.

"Sudah-sudahlah tu, Rayqal. Aku dah penat ni, lagipun syif kerja kita dah lama habis. Turn orang lainlah pula. Penat-penat macam ni, tak pasal-pasal pengsan dalam sungai karang. Nak selamat orang lemas, kita pula yang mati lemas." Latiff yang keletihan menyampuk.

Rayqal memang tak pernah berkira soal tenaga selagi tugasnya tidak sempurna. Oleh kerana itu, setiap kali ada saja operasi, nama Rayqal akan naik kerana dia anggota bomba yang berkemahiran. Dia merupakan anggota Unit Khas Special Technical Operation Rescue Malaysia (STORM) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Jika ada operasi yang tidak mampu dikendalikan oleh anggota bomba yang lain, Rayqal akan diarahkan oleh bahagian PPO Putrajaya untuk ke serata pelusuk negara. Itu yang membuatkan Latiff kagum dengan kekuatan, kemahiran dan keberanian Rayqal.

Kalau Latiff , dia sudah berputus asa menjalankan operasi sebentar tadi kerana keletihan.

"Kita lapor dulu pada pegawai bertugas. Selepas tu kita tunggu arahan selanjutnya," ujar Rayqal dalam lelah yang terkawal.

"Aku tak kira. Aku nak balik. Aku manusia wei, bukan robot. Kau ni, kerja macam sampai ni sekali, kau nak kejar apa? Pangkat? Gaji? Dalam Jabatan Bomba kau jangan mimpi." Prejudis betul Latiff ni, suka hati hina kerjaya sendiri.

"Aku kalau nak kejar duit, dah lama aku berhenti jadi bomba, Latiff. Kau ni nama aje bomba, tapi kau sendiri tak faham apa. Dahlah, Zaini jom kita." Rayqal malas nak panjangkan cerita.

Rozaini mengangguk. Dia pun dari tadi mati akal dengar rungutan Latiff. Kerja buat tak seberapa pun.

"Kita beredar dulu, bawa mayat ni ke jeti. Pihak wartawan dah ramai menunggu kat pusat kawalan," maklum Rozaini pada Rayqal.

Latiff mencebir.

"Alah, berangan ajelah. Macamlah kita yang ditemuramah. Orang atasan juga. Kita yang berpenat lelah, orang atas yang dapat nama."

Rayqal menggelengkan kepalanya.

"Astaghfirullahalazim, Latiff. Kau bercakap pakai otak boleh tak? Kau tu berpangkat apa? KB17 aje. Takkan kau tak tahu hanya Pegawai Kanan dan Penguasa Bomba sahaja yang layak ditemuramah oleh wartawan.

Kau ingat, mereka kat sana goyang kaki ke? Kalau apa-apa hal berlaku, mereka yang kena menjawab dengan pihak atasan. Mereka yang menghadap kerenah wartawan. Tu belum lagi tekanan dari keluarga mangsa.

Kita masing-masing ada tugas. Kau jadi bomba ni, kau nak penghargaan manusia ke penghargaan Allah?" Rayqal sudah hilang sabar.

Pantang datuk nenek dia, orang yang mementingkan diri sendiri semasa bertugas. Sudah namanya anggota penyelamat, biarpun gaji yang diterima itu tidak setimpal dengan nyawa yang selalu di hujung tanduk, namun Rayqal pasti, di sisi Allah tugas mereka tetap dianggap mulia. Anggota bomba memang tidak penting, tapi harus ada. Ada sesetengah masalah yang rumit, tidak sesiapapun pun boleh menyelesaikannya kecuali bomba. Kelebihan apa yang lebih bernilai dari itu?

"Kau lainlah Rayqal, kau tu bujang. Aku ni ada anak bini. Balik karang bergaduh lagi sebab aku mungkir janji nak spend masa dengan dia orang. Esok-esok kau kahwin, kau tahulah apa yang aku rasa." Latiff menambah lagi. Serabut terimbau wajah cemberut isteri dan anak-anaknya. Mereka sudah merancang bercuti ke Teluk Senangin tapi cutinya terpaksa dibatalkan atas alasan anggota tak cukup.

Rayqal menggelengkan kepala.

"Oh, punca masalah dengan binilah yang kau pergi kaitkan semua orang sampai muka dah macam asam kecut dari tadi. Come onlah Latiff, be professional. Jangan campur aduk tugas dengan peribadi. Hidup kena ada tolak ansur. Kau ingat, dalam Malaysia ni kau sorang aje pegawai bomba yang ada bini? Orang lain pun menghadap perkara yang sama juga. Dah tahu suami tu bomba, isteri kau kenalah faham, kan? Dia sepatutnya berbangga dengan kerjaya kau.

Nak kerja mudah, kau berhenti kerja. Jual nasi lemak dengan bini kau. Sure, kau boleh menghadap muka bini siang malam. Habis cerita!" balas Rayqal. Selalu saja dia dengar rakan-rakan setugas mengeluh kerana kerap berkorban masa berharga disebabkan beban tugas.

Rozaini tergelak lucu. Mereka bersembang tanpa rasa takut langsung pada dua mayat yang berada di dalam bot. Alah bisa, tegal biasa. Mereka bukan tak biasa berdepan dengan peristiwa mistik dan badi mayat.

Latiff tersenyum sinis.

"Alah Zaini, Rayqal cakap lawa. Dia kahwin nanti, kita tengok pula dia macam mana pula. Macam mana kalutnya nak bahagi masa antara isteri dan anak-anak."

Rayqal tergelak lucu. Kahwin? Dia baru saja berumur 22 tahun. Rasanya masih muda untuk bergelar suami orang. Lagipun dia baru saja menyertai pasukan bomba selama dua tahun. Inilah cita-citanya sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun dihalang dan ditentang juga pada awalnya oleh mama dan papanya, namun Rayqal lantas buktikan pilihannya tidak sia-sia.

Perbualan mereka terhenti tatkala sampai di jeti. Kelihatan orang ramai sedang mengerumuni pusat operasi bomba untuk mengikuti perkembangan terkini kes bot karam yang mendapat liputan meluas di media massa dan media elektronik ini sejak semalam lagi.

Seketika kemudian, rakan setugas yang lain pula berjaya menjumpai kesemua mayat-mayat bot karam. Alhamdulillah, pencarian mereka selama dua hari akhirnya selesai. Selepas ini, pihak polis dan pihak hospital pula yang menguruskan mangsa-mangsa yang telah dijumpai. Bertugas sebagai anggota bomba, sudah menjadi kemestian berdepan dengan kes-kes kematian dan berisiko tinggi.

Rayqal teringat pada sahabat baiknya, arwah Osman yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat pada tahun lalu di Pantai Ban Pecah. Osman yang turun ke laut menyelam menyelamatkan mangsa lemas, namun dia pula tidak timbul-timbul padahal mangsa lemas sudah selamat dijumpai. Rupa-rupanya, arwah Osman terkorban dalam operasi dan Rayqal yang menemui mayatnya.

"Kau fikir apa ni? Aku panggil tak dengar. Macam sedih aje?" tanya Rozaini.

"Aku teringatkan arwah Osman." Selepas kejadian itu, Rayqal cukup menitik beratkan soal keselamatan ketika menyelamat.

"Rasa macam baru aje berlaku tapi dah setahun." Rozaini membalasnya.

Rayqal menghela nafas panjang. Redup matanya memandang permukaan sungai yang beriak jernih itu. Sayu pilu berdendang dalam hati.

Al-Fatihah buat sahabatku, Osman. Sungguhpun dah hampir setahun kau pergi tinggalkan aku, aku tak pernah lupakan kau. Kau sahabatku yang terbaik di dunia. Semoga kau tenang di pengabadian dan roh kau dicucuri rahmat. Amin.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: