Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

14

                          PAGI yang dingin mengganggu lena Dani yang dibuai mimpi. Kedengaran azan subuh berkumandang membangunkan Dani daripada tidurnya. Dia memisat-misatkan mata sebelum bola matanya ditebarkan ke sekeliling bilik yang sunyi sepi. Telefon canggih yang berada disebelah kanannya dicapai, melihat jam yang sudah menandakan pukul 6:10 pagi.

Dia bingkas bangun daripada katil berjalan menuju kearah bilik air.Paip air dipulas perlahan. Air yang turun membasahi celahan jari-jemari kakinya. Kedua belah telapak tangannya menadah air jernih yang mengalir itu sambil bibirnya terkumat-kamit melafazkan niat dengan perlahan lantas membasuh seluruh liku wajah. Dibasuhkan tangan hingga ke siku dan seterusnya. Perbuatan itu dilakukan tiga kali pada anggota yang berbeza. Setelah selesai, dia mengatur langkah keluar daripada bilik air. Kedua belah telapak tangannya ditadah sekali lagi membacakan doa sunat selepas mengambil wudhuk. Dia menyapukan telapak tangannya ke wajah setelah mengaminkan doa. Dani terus berpaling memandang bilik yang berada di sebelah kananya. Dia pasti wanita itu masih lagi terlena diatas katil. Lantas dia mengatur langkah ke bilik itu.

TOK! TOK! TOK!

Pintu bilik diketuk tiga kali. Namun tiada sebarang sahutan daripada Aisya. Dani menggeleng kepala, dah agak perempuan itu masih lagi membuta diatas katil. Tanpa memikirkan apa-apa lagi dia terus memulas tombol pintu itu lalu dikuaknya daripada luar.

"Cik Aisya bangun solat..."

Dani terjeda disitu. Dia tergamam melihat Aisya yang baru sahaja selesai melafazkan salam pada rakaat terakhir. Seusai sahaja dia membacakan doa, dia terus bangun daripada sejadah lalu dilipat kemas sebelum disimpan ke dalam almari semula. Aisya sedikit terkejut saat menyedari lelaki itu berdiri dibelakangnya. Perlahan-lahan dada diurutnya. Nasib baiklah aku ni tiada lemah jantung kalau tidak mati kejung aku disini.

Aisya mengeluh kecil. Dia mencekak pinggang memandang Dani yang masih lagi tercegat disitu memandangnya. Tak berkelip mata Dani melihat wanita itu. Sungguh, dia terpaku dengan kecantikan Aisya apabila mengenakan telekung. Memang jauh sekali bezanya dengan Aisya yang berpewatakan diva. Jantungnya juga tiba-tiba sahaja berdegup kencang, terasa seperti ada sesuatu yang melanda dihatinya sekarang. Aisya mengerut kening pelik. Sesekali dia menunduk memandang telekungnya sebelum dia mendongak memandang Dani semula.

"You ni dah kenapa pandang I macam tu?"

"Kau... cantik..." spontan ayat itu terkeluar daripada bibirnya. Dahi Aisya berkerut. Dia kurang mendengar dengan jelas apa yang lelaki itu katakan tadi.

"You kata I apa? Itik?"

Dani mengangguk. Anak matanya masih tertumpu menatap wanita itu. Eh? Apa aku cakap ni? Pantas Dani menggeleng kepala apabila baru sahaja tersedar daripada lamunannya itu. Kedua belah tangannya meraut wajah.

"Astaghfiruallahhalazim... syaitan... syaitan...nasib baiklah aku dah ambil wudhuk kalau tidak batal iman aku tadi." keluh Dani, perlahan.

"Batal iman? I rasa I tak pakai seksi pun? I pakai telekung kut, apa yang batal imannya? Lainlah kalau I pakai macam biasa. Ish, peliklah orang macam you ini." Aisya menggeleng kepala. Bila pakai pakaian singkat tak ada pula tergoda mamat ni, bila dah pakai macam ini kata lemah iman pula? Tak sangka ada juga lelaki yang berperangai pelik seperti ini. Aisya terus membuka telekungnya, lalu disangkut pada tempat yang disediakan. Rambutnya yang sedikit kusut disapukan rata.

Dani kembali menurunkan tangannya ke bawah. Dia menghembus nafas lega saat perasaan tadi semakin lama semakin reda. Anak matanya kembali teralih kearah Aisya yang berdiri dihadapan cermin.

"Awal Cik Aisya bangun? Aku ingatkan kau..."

"Tak solat?" Aisya terlebih dahulu meneka.

Dani terdiam. Aisya tersenyum sinis. Dia menyelit rambutnya ke belakang telinga sebelum mengatur langkah kearah Dani.

"Sebab itulah I cakap jangan pandang I daripada sudut pakaian I. I mungkin belum sempurna, but I try to be perfect. My mom always ingatkan I untuk solat. Dia kata... kita boleh berubah secara perlahan-lahan. Tak semestinya pakaian kita teruk, amalan kita kena teruk juga. Betul tak? Tapi... I tak adalah sama seperti Puteri. Maybe dia lagi elok daripada I? I tengok cara pemakaian dia pun boleh tahan lawa. Memang sesuai dengan calon pilihan you."

"huh?" Dani sedikit bingung apabila tiba-tiba sahaja Aisya mengaitkan dirinya dengan Puteri. Aisya pantas menekup mulut, tak sedar pula kata-katanya tadi semakin jauh terpesong kearah lain. Ya Allah, macam mana pula aku boleh bandingkan diri aku dengan Puteri? Aduh, kau ni Aisya...

"Errr... you dah solat ke? Rasanya tak elok kalau orang lambat-lambatkan solat ni." cepat-cepat Aisya mengubah topik.

"Eh? Haahlah... aku lupa aku belum solat lagi. Nasib baik kau tolong ingatkan. Aku pergi dulu." pinta Dani, lekas dia berlari anak masuk ke dalam biliknya. Setelah kelibat Dani menghilang, Aisya menghambus nafas lega. Mujur lelaki itu sudah pergi. Kalau tidak tak tahulah aku nak jawab apa. Kau pun satu Aisya... tiba-tiba sahaja kaitkan dengan Puteri kenapa? Karang tak fasal-fasal lelaki itu ingat aku syok dekat dia!

"ADUH..." Aisya mengeluh kecil. Jari-jemarinya mengurut dahi. Baru dia teringat tentang beg bagasi berisi pakaiannya tertinggal didalam kereta semalam. Sudahlah dah pukul 10 pagi aku tak mandi-mandi lagi. Takkan nak pinjam baju Aisyah pula? Terang-teranglah tak muat sebab dia masih budak kecil!

"Macam mana ni? Takkan tak nak mandi pula? Badan aku dah rasa melekit sudah ni..." keluh Aisya. Sesekali dia menggaru lengannya yang mula terasa gatal. Inilah yang terjadi jika dia mandi lambat. Gatal habis satu badan!

"Cik Aisya," tegur Nek Tipah.

Aisya menoleh ke belakang. Senyuman nipis diukir Nek Tipah, lalu dia melangkah beberapa tapak mendekati Aisya. Baju kurung bercorak batik itu dihulurkan padanya Aisya tergamam buat seketika. Membulat matanya memandang Nek Tipah. Baru semalam sahaja dia bertikam lidah dengan orang tua ini, tetapi sekarang Nek Tipah sudah kelihatan tenang.

"Ini baju Nek Tipah yang tak pakai, kamu pinjamlah baju ini dahulu sementara tunggu kereta kamu tu siap dibaiki. Nek Tipah tahu... kamu tak sempat nak bawa baju semalamkan?"

Aisya mengangguk. Lantas huluran baju kurung itu dicapainya.

"Terima Kasih, Nek Tipah." ucap Aisya, Nek Tipah hanya membalasya dengan senyuman. Dia terus melangkah keluar daripada bilik itu menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan. Aisya menggeleng kepala. Dia terasa serba salah pula tentang semalam. Tanpa menunggu masa lagi dia terus mengejar langkah orang tua itu.

"Nek Tipah!" panggil Aisya.

Langkah diberhentikan serta-merta. Dia memusing ke belakang memandang Aisya yang terhegeh-hegeh mendapatkannya. Kedua belah kening terjongket keatas memandang Aisya.

"I... eh? Sa... Saya nak minta maaf dekat Nek Tipah." rayu Aisya.

Keningnya bertaut pelik. "Minta maaf?"

"Ya. Saya tak sepatutnya berkelakuan kurang ajar dengan Nek Tipah semalam. Saya pun cuma menumpang sahaja disini. Jadi saya sepatutnya sopan dengan Nek Tipah bukannya bertikam lidah."

"Ooo... sebab itu ke rupanya. Jangan risaulah. Nek Tipah dah lama maafkan. Cumanya kamu tu janganlah tunjuk perangai gedik sangat. Kalau nak ngorat cucu aku tu kena lemah-lembut dan sopan. Pakaian itu pula biar berjahit sampai ke bawah, bukannya terdedah sana sini." pesannya.

Aisya mengerut kening tidak faham. Apa pula kena mengena aku minta maaf dan ngorat Dani? Aku rasa aku tak pernah pun cuba dapatkan dia sebelum ini.

"Sa... Saya tak fahamlah Nek Tipah. Bila masa pula saya ngorat Dani? Dia dah ada calon, untuk apa saya cuba dapatkan dia?"

"Heh, yalah tu... aku ini dah makan garam sebelum kau. Jadi aku tahu perasaan kau pada cucu aku macam mana? Lagipun, aku tengok cucu aku itu pun macam sukakan kau. Jadi untuk apa kau lepaskan peluang?"

"Ma... Mana ada. Nek Tipah ni pandai-pandai sajalah..."

"Sudahlah, tak payah nak berlakon. Lihat wajah kau sahaja aku dah boleh teka." sindir Nek Tipah. Aisya terdiam. Dia menyentuh wajahnya buat seketika. Nampak sangatkah yang aku sukakan Dani? Nek Tipah hanya ketawa apabila melihat reaksi Aisya. Dia tahu sesiapa sahaja yang mengenali cucunya pasti akan jatuh cinta. Yalah, sikap Dani yang suka membantu, amanah, dan baik hati itulah ciri-ciri yang sukar ada pada lelaki lain. Kadang-kala perangai nakal cucunya juga boleh membuatkan wanita dikampung ini ataupun dibandar tergilakan dia. Nek Tipah menggeleng kepala.

"Nek Tipah nak masak dahulu. Kamu pun pergilah mandi. Karang kalau cucu aku tu tengok kau tak mandi lagi alamatnya kau kena rejectlah."

"Huh? Errr... kalau macam tu saya pergi mandi dulu. Tumpang lalu, Nek." pinta Aisya tergesa-gesa. Dia membongkokkan sedikit tubuhnya meminta laluan untuk pergi.

SECAWAN air teh diletakkan ke atas meja. Anak matanya hanya tertumpu membaca surat khabar. Tergeleng-geleng kepala Dato Shah membaca kes rogol yang baru sahaja terjadi beberapa hari yang lepas. Zaman sekarang betul-betul bahaya sebab itulah dia mengupah Dani untuk menjaga anak perempuannya. Dia pasti lelaki itu satu-satunya yang boleh diberi kepercayaan. Surat khabar itu dicampakkan keatas meja, lantas secawan teh dicapainya pula lalu dituip perlahan sebelum menghirupnya.

"Assalamualaikum, Dato!" sapa seorang lelaki yang memakai suit gelap berwarna hitam. Dia berdiri dihadapan Dato Shah dengan nafas yang tercungap-cungap kepenatan kerana berlari.

"Kamu ni dah kenapa, Zaim?" soal Dato Shah, setelah dia habis menghirup air tehnya tadi.

"Fasal Aisya dan Dani, Dato."

"Ha, kenapa dengan dia orang?"

"Dia orang dah masuk perangkap kita, Dato. Pak Cik warung itu kata Aisya dan Dani kini berada dirumah Nek Tipah." ujarnya. Dato Shah terpenpan sejenak. Lama kelamaan muncul senyuman gembira dibibirnya. Cawan kosong itu diletakkan semula keatas meja sebelum dia bangun menghampiri Zaim.

"Kamu biar betul Zaim?"

"Betul, Dato. Plan kita dah berjaya. Saya pasti Cik Aisya akan mula mengenali Dani mulai sekarang." ujar Zaim, meyakinkan lagi orang tua itu. Dato Shah ketawa puas. Tak sangka idea meletakkan paku dijalan raya itu menjadi. Memang dia sengaja membiarkan Dani dan Aisya terkandas dijalan raya lama itu kerana dia ingin melihat sejauh mana Aisya akan mengenali lelaki bergelar Dani itu. Fasal beberapa lelaki muda yang merakam video Aisya itu juga turut diupah oleh Dato Shah untuk melihat bagaimana reaksi Dani. Nampaknya mereka berdua telah masuk ke dalam jerat, tunggu masa sahaja untuk meyakinkan bahawa mereka telah jatuh cinta antara satu sama lain.

"Bagus! Bagus! Selepas ini tolong intip mereka berdua ya. Saya nak tahu anak perempuan saya tu dah boleh terima Dani atau pun tidak."

"Baik, Dato. Saya minta diri dulu." Pinta Zaim. Dia menunduk hormat terlebih dahulu sebelum beredar pergi daripada kawasan itu. Aminah juga turut tersenyum melihat Dato Shah yang kini bahagia.

"Happy sungguh ya Dato?" tegur Aminah.

"Tentulah saya happy. Saya dah lama cari lelaki seperti Dani untuk menjaga anak saya. Tak kiralah dia pengawal ataupun apa sekalipun. Janji dia boleh jaga Aisya dengan baik." ujar Dato Shah.

"Tapi kalau Dato nak jodohkan Aisya dengan Dani, kenapa Dato tak bagitahu Aisya sahaja?" soal Aminah sekadar ingin tahu.

"Saya tahu kalau saya bagitahu Aisya tentang hal ini pasti dia takkan setuju. Saya nak Dani dan Aisya saling mengenali sebelum disatukan."

"Kalau Aisya tak nak macam mana Dato?"

"Ah, benda itu tidak penting. Saya dah lama kenal anak saya, saya tahu ciri-ciri lelaki yang dia suka dan saya pasti... Dani adalah pilihan yang tepat." ujar Dato Shah, yakin. Dia mencarik senyuman bahagia dibibirnya. Rasa tak sabar pula menantikan kehadiran Dani dan Aisya dirumah anak yatim ini.

BAJU kurung bercorak batik dikenakan pada tubuh Aisya. Mujur saiz itu muat-muat sahaja dengan tubuhnya. Secarik senyuman muncul dibibirnya. Cantik juga baju Nek Tipah ni...

Setelah siap, dia pun melangkah keluar daripada bilik. Ke kiri dan ke kanan dia memandang mencari kelibat Dani yang tidak kelihatan. Bukan sahaja Dani, batang hidung Aisyah pun aku tidak nampak sekarang. Mungkin mereka ke bengkel kut? Aisya menjongket bahu dan mencebik bibir. Dia terus mengatur langkah kearah pintu utama. Kasut selipar berwarna kelabu disarungnya sebelum dia meluru kearah wakaf kayu yang berada dibawah pokok rambutan.

Pemandangan sawah padi yang terbentang luas dihadapan rumah Nek Tipah itu betul-betul indah dan menenangkan. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut rambutnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, lalu dihembus keluar dengan perlahan. Dia akhirnya melabuh punggung dibawah pondok itu.

"Tak sangka hidup dekat kampung macam ini lebih bahagia daripada dibandar." ujar Aisya, dan tersenyum nipis. Dia tidak menafikan bahawa dia lebih selesa dengan suasana kampung daripada bandar yang sibuk 24 jam. Disini jarang ada kereta melintas. Hanya motorsikal ataupun basikal sahaja dibonceng mereka.

Meow!

Aisya terkedu sejenak. Anak matanya melilau memandang sekeliling halaman rumah itu mencari arah bunyi anak kucing tadi. Dia lantas bangun daripada situ, mendongak kearah pokok rambutan yang berada disebelah wakaf. Kelihatan ada seekor anak kucing tersekat dicelahan dahan pokok itu. Aisya mencekak pinggang.

"Hello, kity. Macam mana you boleh tersekat disitu? Dah tahu kecil, tak payahlah panjat. You ni mesti tak reti duduk diamkan? Sekarang you nak turun macam mana?"

Meow!

"What? You nak I naik atas? Apa you gila ke? I ini pakai kain tau, kalau terlondeh nanti siapa susah? I juga!" herdik Aisya, seolah-olah memahami sahaja bahasa kucing itu biarpun dia hanya meneka. Dia menunduk memandang tanah. Ada batu dan pasir sahaja. Tiada alat yang boleh aku bantu kucing ini turun melainkan aku panjat. Aisya mengeluh kecil. Nak tak nak, dia terpaksa.

"Okay fine. I akan tolong you but... kalau I jatuh terluka. Siap you! I akan buat rendang kucing tak ada bulu, faham?" ugut Aisya, memberi amaran. Dia memandang kawasan sekeliling dahulu memastikan tiada orang yang melihat. Setelah itu, barulah dahan itu dipanjatnya dengan berhati-hati.

"I got you!" dia menangkap anak kucing itu letak keatas bahunya. Dahan pokok yang tebal itu menjadi tempat dia melabuh. Terbeliak biji matanya melihat ketinggian pokok itu daripada sudut atas. OMG! Gayatnya!

"Alamak. Macam mana ni you? Tinggi sangat ni, kalau I lompat pasti terseliuh!" soal Aisya dia memandang kucing itu. Malah kucing itu tidak memberi sebarang respon, dia hanya berpaling memandang ke lain. Aisya merengus geram.

"Ish, menyesal I tolong you! Kalau I tahu you akan buat I macam ni tak adanya I nak selamatkan you!" herdik Aisya, tidak puas hati. Dia menjeling sebelum berpaling ke arah lain. Kedengaran enjin motorsikal menyentakkan Aisya. Dia menunduk ke bawah memandang Dani dan Aisyah yang baru sahaja pulang daripada bengkel. Motorsikal honda di parkir dihalaman rumah Nek Tipah. Aisya sudah mula tidak keruan saat mereka melangkah kearah wakaf. Ah, mampus aku!

Aisyah melabuh punggung dibawah wakaf, manakala Dani pula hanya bersandar pada dahan pokok rambutan. Nafas kecil dihembusnya lega. Mujur Dani dan Aisyah tidak perasan aku berada diatas pokok.

"Abang, kalau Aisyah nak tanya abang satu soalan boleh?" soal Aisyah. Dia memandang Dani.

"Aisyah nak tanya apa?"

"Abang bila nak kawin ek?" tanya Aisyah. Dani tertawa kecil mendengarnya. Tak pernah-pernah budak kecil itu menyoalnya tentang perkahwinan. Ini tiba-tiba sahaja tanya pasti ada sebab.

"Kenapa Aisyah tanya soalan macam itu? Aisyah nak ada kakak ipar ke?" soal Dani kembali. Aisyah mengangguk. Sewaktu dia dilahrikan, dia tidak sempat merasakan belaian kasih sayang seorang ibu. Manalah tahu jika Dani berkahwin nanti dia boleh menumpang kasih sayangnya pada kakak ipar.

"Aisyah teringin nak ada kakak ipar. Kalau kakak ipar itu boleh jadi mama angkat Aisyah, lagi Aisyah suka! Nanti boleh jalan sama-sama dekat taman." ujar Aisyah.

"Haih Aisyah... kalaulah ada orang sebaik itu dalam dunia ni dah lama abang melamar dia tapi... abang rasa abang dah jumpa orangnya. Cuma, abang tak pasti sama ada Aisyah boleh terima dia atau pun tidak? Dan abang juga tak pasti sama ada orang itu sukakan abang juga. Abang takut kalau pilihan abang salah kali ini." ujar Dani. Anak matanya hanya tertumpu memandang sawah padi yang terbentang luas dihadapannya. Kening Aisyah bertaut pelik.

"Siapa orang itu?"

"Eh? Mana boleh bagitahu. Benda itu rahsia tapi kalau Aisyah nak tahu juga... perempuan itu ada huruf 'I'."

Huruf 'I'? Jari Aisyah mengetuk dagu beberapa kali, memikirkan siapakah gerangan yang berada didalam hati abangnya itu. Mahu kata Aisya, Puteri juga memiliki huruf I pada namanya. Tetapi daripada segi perkenalan, Dani lebih mengenali Puteri sebelum Aisya. Jadi pasti abangnya akan memilih wanita yang dia sudah kenal dalam tempoh yang lama.

Hmm...

"Puteri ke yang abang maksudkan?" soal Aisyah, dia cuba untuk meneka.

"Kan abang dah kata benda tu rahsia. Cukup Aisyah tahu calon abang itu ada huruf I pun dah cukup."

"Alaaa..." Aisyah mencebik bibir. Beria dia ingin tahu siapakah bakal kakak iparnya suatu hari nanti tetapi boleh pula Dani berahsia. Kalaulah wanita yang berhuruf I itu adalah Puteri, apalah nasib aku selepas ini...

Aisyah mengeluh.

Aisya yang masih lagi berada diatas pokok sudah mengetap bibir. Dalam masa yang sama dia juga ingin tahu siapa yang berada di dalam hati lelaki itu. Tetapi malang sekali tidak berjaya. Satu biji rambutan dipetiknya. Kalau boleh mahu saja dia membaling rambutan ini tepat mengena kepala lelaki itu. Tak boleh ke bagitahu sahaja siapa calon pilihan itu? Suka sangat buat aku jadi gelisah!

"Aisyah harap abang akan dapat isteri yang solehah dan baik. Paling penting sekali Aisyah nak abang bahagia dengan dia. Aisyah tak kisah siapa yang bakal jadi kakak ipar, Aisyah tapi Aisyah cuma mahu abang dapat orang yang betul-betul cinta dan sayangkan abang."

"Thank you, Aisyah." ucap Dani, mengukir senyuman lebar dibibirnya, Aisyah mengangguk. Kedua belah tapak tangannya ditadah ingin membaca doa. dia mendongak memandang ke langit yang cerah, mengharapkan doa yang akan dibacanya tadi dapat dimakbulkan oleh Tuhan yang maha Esa. Cepat-cepat Dani menadah tangannya, mengikut sahaja apa yang budak kecil itu sedang lakukan. Dalam masa yang sama dia menahan tawa.

"Ya Allah, Ya Tuhan ku... KAU temukanlah abang dengan seorang wanita yang betul-betul cintakan abang aku. KAU jauhkanlah abang daripada orang-orang yang jahat yang cuba mempermainkan perasaanya Ya Allah. Jika insan yang bergelar jodoh abangku berada disini, KAU dekatkanlah mereka berdua supaya kekal bahagia sehingga ke Jannah. Amin..."

"Amin..." Dani juga turut mengaminkan doa yang dibacakan oleh Aisyah. Mudah-mudahan doa itu bakal diterima Allah S.W.T. Aisya yang mendengarnya turut tersenyum. Murni betul hati Aisyah pada abangnya.

SAK!

"Aduh!" Aisya mengaduh sakit. Cepat-cepat dia menarik tangannya yang memegang dahan pokok saat digigit oleh serangga. Tubuh Aisya hilang keseimbangan. Alamak!

"Arghh!" Aisya menjerit sekuat yang mungkin. Dia memeluk anak kucing itu seerat-eratnya. Kedua belah matanya dikatup rapat, tidak sanggup untuk menerima sakit yang bakal menyinggah tidak lama lagi. Namun, ada tangan yang lebih pantas menyambutnya. Perlahan-lahan kelopak mata dibuka. Membulat mata Aisya apabila bertentangan mata dengan Dani. Terasa seperti debaran tadi bertukar dengan lebih kencang. Sukar untuk dia menggambarkan bagaimana perasaannya pada waktu itu. Sepasang mata hazel milik lelaki tersebut sungguh membuatkan aku terpana.

Dapat Aisya melihat halkum lelaki itu bergerak-gerak menelan air liur. Anak matanya juga tidak henti melilau memandang wajah wanita itu daripada mata turun ke bibir, selepas itu naik pula ke hidung mancung Aisya dan kembali ke anak mata wanita tersebut. Terasa seperti nafsunya sedang digoda oleh wanita itu.

"Aik? Aisyah baru sahaja doa takkan dah sampai?" tegur Aisyah. Terus mematikan lamunan mereka berdua. Aisya pantas menolak dada Dani ke belakang. Bajunya yang sedikit berkedut dibetulkan. Anak kucing tadi diletakkan ke atas tanah, membiarkan dia berlari pergi daripada situ. Ya Allah, malunya aku apabila Aisyah tegur seperti itu!

Bibir digigitnya. Dia mengalihkan anak matanya kearah sawah padi yang luas terbentang. Tidak berani untuk memandang wajah lelaki itu buat kali kedua. Cukuplah aku dah tenung mata dia tadi itu pun sudah membuatkan aku hampir goyah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro