Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FINAL | A Palm To Our Heart

'My destination is no longer a place,
rather a new way of seeing.'
- Him

Peristiwa di kolam renang tempoh hari bagai membuka lembaran baru dalam hidup mereka. Serene menjadi lebih terbuka dan Amred juga berkongsi setiap kesedihannya. Mereka faham, untuk melalui proses ini, mereka harus bersama-sama dan saling menjadi sandaran.

Atas nasihat Mikhail, Amred meminta ibu bapa angkatnya menguruskan perkahwinan antara dia dengan Serene. Perkahwinan mereka akan didaftarkan bersama majlis keraian yang sederhana agar tiada sebarang fitnah yang timbul.

Terkejut juga Puan Aina dan Encik Rizwan apabila anak angkat mereka itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin apalagi dengan perempuan berkerusi roda yang merupakan anak yatim piatu. Namun mereka tumpang gembira kerana Amred nampak lebih ceria dan tidak terbawa-bawa dengan peristiwa sebelum ini.

"Nampak sepadan betul dia orang tu, abang. Muka kacukan tu, cucu kita comel-comel la nanti," bisik Puan Aina sewaktu Amred dan Serene bergambar kenangan bersama ahli keluarga yang datang meraikan. Atas permintaan Amred, tetamu yang hadir tidak lebih dari 50 orang.

"Itulah, serasi betul macam dah kenal lama. Abang harap bahagia la si Ammar tu. Banyak benda yang dia hadapi. Keluarga sebenar dia pun belum jumpa lagi," tambah Encik Rizwan sambil menyeka air yang bergenang di hujung mata.

Tiada siapa pernah menyangka dia akan memiliki anak angkat di usia yang sudah tua apatah lagi menerima Amred yang ketika itu sudah dewasa. Amred anak yang begitu baik, membawa warna baru dalam rumahtangga dia dan isteri sejak kali terakhir mereka memutuskan untuk tidak lagi membangkitkan soal rezeki anak. Percaturan Allah itu sangat teratur dan baik.

"Tunggu sekejap aku ambilkan air," ujar Amred bila dilihat Serene berkerut sedikit. Mungkin kepenatan dengan majlis hari ini sedangkan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

"Apa benda Abang Am cakap 'aku' 'aku' dengan isteri," tegur Aiman dengan nada mengejek. Amred jeling kecik besar kecik besar je adik sepupu yang baru bersekolah rendah.

"Itu la pasal. Dari tadi kami dengar. Patutnya cakaplah sayang ke, abang ke, darling ke. Budak pun reti Am oii," tambah Kak Lijah, habis semua orang pandang mereka. Apalagi, jadi bahan ketawa sampai cemberut muka Amred.

Di atas pelamin ringkas serba putih, Serene tersenyum melihat Amred diusik keluarga angkatnya. Mungkin inilah hikmah mereka tercampak ke dunia ini, merasai sesuatu yang mustahil mereka miliki di sana. Sebuah keluarga yang ceria.

Ketika kembali dengan segelas air, Amred melihat wajah sayu Serene memandang kanak-kanak di hadapannya. Sebab itu dia menolak untuk mengadakan majlis perkahwinan. Dia tak nak Serene bersedih melihat kanak-kanak sebaya dengan Fijr namun Serene berkeras tidak mahu menghampakan permintaan Puan Aina.

Ketika pandangan mereka bertaut, spontan mereka berbalas senyum, melapangkan hati gundah milik Amred. Mungkin ini lebih baik untuk membawa Serene keluar menghadapi realiti.


Lama mereka duduk di bilik bacaan Encik Rizwan, menelek keratan akhbar kemalangan bas 7 tahun yang lalu. Cuba menyusun memori demi memori bagaimana Amred boleh tiba di situ.

          "Abang yakin lelaki yang pesan pada mama untuk jaga abang tu adalah Sachred," ucap Amred selepas mendengar cerita Serene bagaimana Sachred terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Amred yang cedera ketika itu. Hujung bibir diketap perlahan.

Melihat wajah Amred mula kemerahan, Serene tahu suaminya itu sedang menahan sebak. Diurut perlahan belakang tubuh Amred yang merenung keratan akhbar di dalam buku album.

          "Mungkin dia sebut nama Amred tapi ma salah dengar dalam keadaan Sachred cedera macam tu. Sayang sekali, abang tak sempat ucapkan terima kasih pada dia. 7 tahun, baru abang tahu kesetiaan dia dan kesanggupan dia korbankan diri untuk abang yang... banyak dosa ni," lirih suara Amred mengenang kenangan bersama Sachred dahulu.

"Serene pun, tak sedar dah tenggelam dengan masalah sendiri sampai Fijr menjadi matang macam tu," tambah Serene.

"Macamana muka Fijr ya?" soal Amred. Dah lama dia memendam soalan itu. Serene tersenyum. Teringat soalan yang sama Fijr ajukan padanya.

"Sekejap." Serene menarik beg kulit di atas meja. Sehelai kertas lukisan bersaiz A4 dikeluarkan. "Hadiah perkahwinan kita." Kertas bertukar tangan.

Berkerut dahi Amred saat melihat garis-garis halus lukisan potret yang terlakar membentuk satu wajah ceria berambut pendek dengan senyuman yang lebar. Itulah lukisan terindah pernah dia lihat.

"Serene upah seorang pelukis untuk lukiskan wajah Fijr. Untuk abang kenal anak abang dan dalam masa yang sama, Serene takut..." Serene terhenti apabila suara mula bergetar. Kedua tangannya digenggam Amred, memberi kekuatan.

"...takut kalau Serene lupakan wajah Fijr," sambung Serene.

          "Serene, mereka berusaha untuk kita. Fijr dan Sachred. Kita mulakan hidup baru seperti yang mereka harapkan. Semoga satu hari nanti kita semua akan dipertemukan semula," ucap Amred dengan mata berkaca mengenangkan cerita Serene bagaimana Serene boleh kembali ke sini. Sejak menyedari kewujudan Fijr, air mata menjadi murah dan emosinya mudah terusik.

Serene mengangguk perlahan. Setitis air mata jatuh ke riba. Sedalam mana pun luka dalam takdir, sebesar itulah pengubat bila kita belajar untuk menerima.

Setahun kemudian.

Dengan bantuan topang di tangan kiri, Serene menginjak rumput yang basah dengan embun tanpa menggunakan alas kaki. Amred yang sedang menunggang kuda memerhati dari jauh. Serene tidak lagi berkerusi roda dan itu sudah cukup baik baginya, menandakan ada harapan untuk Serene sembuh.

Namun, sedikit sebanyak rasa bimbang bergusar di hati. Serene tidak tahu, hampir setiap malam dia mendengar Serene meracau menyebut nama Fijr. Kadangkala dia menangis dalam tidur. Amred hanya mampu berdoa agar Allah menguatkan hati isterinya.

Dia melompat turun dari tunggangan dan diberikan tali kekang pada seorang penjaga lapangan lalu berlari anak mendapatkan Serene. Tanpa amaran, dia mendukung Serene dengan mudah.

"Turunkan!" Serene mencubit bahu Amred. Mujur saja mereka di situ masih awal-awal pagi jadi tiada orang lain selain pekerja stable sahaja. Namun Amred buat tidak peduli, tenang membawa Serene hingga ke tempat parkir.

          "Kita tak tahu sampai bila kita akan hidup bersama. Abang takkan biarkan hari kita berlalu dengan sibuk memikirkan pandangan orang lain," ucap Amred sambil membetulkan kedudukan Serene lalu dipakaikan tali pinggang keledar.

          "Memanglah, tapi kasut Serene tertinggal kat sana," jawab Serene seraya ketawa melihat Amred menarik muka. Terpaksa dia berpatah balik ke tempat Serene berdiri tadi. Botol air mineral dibuka, dibilas kaki Serene di bahagian tepi kereta melalui pintu yang terbuka.

Melihat air yang mengalir, Serene menggerakkan jari telunjuk dalam gerak pusaran. Dalam keadaan bertinggung, Amred mendongak memandang wajah Serene yang berarak suram. Tangan Serene yang bergerak digenggam erat. Sejak setahun yang lalu, kelebihan Serene lenyap perlahan-lahan.

          "Serene tak boleh kuasai air tapi awak masih boleh kuasai hati abang," seloroh Amred sambil meletakkan tangan Serene di dadanya, mengundang tawa Serene. Amred senyum, senang hati. Walaupun Serene masih pendiam, namun Serene juga sudah kurang menangis.

          "Minggu depan Serene cuba tunggang kuda sendiri," rancang Amred sambil memandu. Terapi menunggang kuda banyak membantu isterinya pulih dan Serene nampak lebih tenang, mungkin kerana ia berkait rapat dengan kehidupan mereka satu ketika dulu.

Serene tidak menjawab, hanya memandang ke luar, merenung ke kawasan berbukit yang diselimuti kabus nipis. Membawa dia pada pergunungan di desa tempat dia membesarkan Fijr.

Amred menarik tangan Serene dan diletakkan pada dagunya sambil dia memandang jalan di hadapan.

         "Awak rasa abang lebih kacak bercukur habis atau biarkan jambang abang tumbuh sikit?" Sengaja dia menarik perhatian Serene yang nampak tenggelam dalam dunia sendiri.

Anak mata Serene merenung lama wajah Amred sebelum dahinya berkerut. Amred yang merasakan tangan Serene menggeletar terus memberhentikan kereta di bahu jalan. Nafas Serene menjadi laju hinggan turun naik dadanya.

          "Amred..."

          "Ya, abang kat sini."

          "Bukan, bukan abang. Tapi Amred..." Serene tekan kepala dengan sebelah tangan, cuba mengingati sesuatu yang tertinggal.

          "Narsha Serene Abdullah, tenang. Pandang abang, beritahu abang satu persatu," pujuk Amred. Kedua tangannya memegang pipi Serene, memaksa Serene memandang tepat pada matanya.

         "Avenue Mall. Kita kena ke sana, sekarang. Please..." rayu Serene bersungguh-sungguh.

Amred mengerling jam di dashboard kereta. Ianya mengambil masa dua jam untuk sampai ke sana memandangkan mereka sudah berpindah jauh dari bandar.

          "Okey, kita ke sana."

"Kita rehat dulu," pujuk Amred. Sudah lama mereka berpusing di aras dua pusat beli-belah ini dalam keadaan Serene yang masih belum boleh berjalan dengan betul. Dia mula kerisauan melihat Serene yang pucat lesi.

"Tapi memang betul, lelaki tu mirip abang. Terlalu mirip sampai Serene keliru yang mana satu abang sebenarnya. Cuma dia berkumis dan waktu tu badan abang susut berbanding dulu. Bukan sekali tapi dua kali Serene nampak dia. Serene tak salah dengar, tapi memang dia sebut nama Serene," jelas Serene entah buat kali ke berapa.

"Ya, tapi sekarang, Serene bertenang dan relaks. Kita rehat dulu, okey? Abang lapar." Amred mengalih perhatian Serene dengan menggosok perutnya.

Rasa bersalah menerpa melihat wajah kasihan Amred membuatkan Serene ketawa perlahan.

"Maaf," ucap Serene. Terlalu ikutkan hati sampai lupa Amred di sebelah. Tangannya melingkar pada lengan Amred, beriringan mencari tempat duduk.

"Tunggu sini, abang beli air. Jangan ke mana-mana. Tunggu abang," pesan Amred sebelum berlalu.

Serene tersandar kepenatan. Bila dah duduk baru terasa penat memaksa diri. Kaki yang menggigil dicengkam kuat.

          "Fijr akan cari ibu. Fijr janji."

Ayat itu bergema dalam kotak memori. Walaupun ia cuma kata bujukan dari seorang kanak-kanak, tapi entah mengapa dia memegang kata-kata itu. Mungkin kerana kata-kata itu membuahkan harapan yang membuatkan dia lebih bersemangat untuk meneruskan hidup.

"Serene Forrest?"

Tubuh Serene terkaku mendengar satu suara garau yang jelas menyebut namanya. Walaupun hati meronta ingin tahu, tapi dia terlalu takut untuk menoleh. Hanya anak matanya menangkap seluar hitam dan snickers biru gelap.

          "Maaf sebab mengganggu. Cik ni, Serene Forrest?" Sekali lagi lelaki itu bertanya.

Akhirnya Serene mendongak memandang wajah yang dicari sedari tadi. Sebak menyerbu hingga wajah terasa hangat. Amred yang baru tiba turut tergamam melihat susuk tubuh yang menghampiri Serene. Raut wajah mereka mirip sekali.

Segera dia menghampiri sisi Serene dan menggenggam tangan isterinya. Mata lelaki itu beralih ke arah Amred pula. Jelas dia pun nampak terkejut dan tidak percaya saat Amred di depan mata.

          "Amred Hayana?"

Bertambah terperanjat apabila lelaki itu menyebut nama penuh Amred pula. Tiada siapa di dunia ini yang tahu nama itu selain Mikhail. Serene sudah tegak berdiri, memandang lelaki itu tanpa berkelip.

"Saya..." Lelaki itu nampak sebak dengan tangan melekap di dada. "Saya Qaid Amred."

Sejurus menyebut namanya, Qaid terus menerpa dan memeluk Amred dengan erat. Teragak-agak Amred membalas pelukan itu dengan seribu persoalan di fikiran. Tidak mengerti.

Ketika pelukan dilepaskan, lelaki itu cepat-cepat menyeka mata yang basah. Ditunduk hormat pada Serene yang masih tergamam.

"Akhirnya, saya jumpa juga. Saya jumpa juga Amred Hayana dan Serene Forrest. Selepas Serene lari dari saya, hampir setiap hari saya menanti di sini sambil berdoa Serene akan mencari saya. Ternyata ini bukan dongengan. Saya berjaya," tergagap-gagap Qaid bercerita dengan riak wajah yang berubah-ubah.

Serene dan Amred berpandangan, tidak mengerti.

"Fijr... Fijr Amred minta sampaikan salam," sambung Qaid.

Terduduk Serene mendengarnya. Mujur Amred sempat menahan.

"Rasanya lebih baik kita berbual di tempat yang agak terlindung. Kita ke sana," cadang Amred sambil menunjuk ke sebuah restoran.

"Baik, saya akan datang sekejap lagi. Saya perlu ambil sesuatu dalam kereta," ujar Qaid.

"Tak, awak tak boleh pergi." Serene menahan. Dia takut lelaki itu akan hilang sekali lagi.

"Tak, saya takkan sia-siakan peluang ni. Ada sesuatu yang saya nak serahkan pada puan. Saya akan datang balik, saya janji," jamin Qaid.

Mereka menunggu di restoran itu tanpa sebarang suara. Hanya Amred setia menggenggam tangan Serene yang terasa dingin.

Qaid kembali dengan senyuman yang tidak putus-putus. Tangannya membimbit sebuah beg hitam diperbuat dari kulit yang mahal.

"Macamana awak tahu tentang Fijr?" Pantas Serene  bertanya apabila Qaid duduk di hadapan mereka.

Qaid tersenyum."Dia nenek moyang saya."

Sekali lagi Amred dan Serene berpandangan. Sukar untuk diterima namun bila memikirkan kewujudan mereka di sini juga adalah satu perkara yang sangat mustahil, mereka mula mempercayai kata-kata Qaid.

Qaid meletakkan beg bimbit itu di atas meja. Saat beg itu dibuka, terserlah kotak kayu berukir indah yang jelas nampak dimamah waktu.

"Setiap anak lelaki dalam keturunan kami, di belakangnya pasti akan diletakkan nama Amred dan salah seorang dari setiap garis keturunan itu akan dilantik sebagai The Seeker yang bertanggungjawab dengan warisan dan tugas mencari Serene dan Amred. Mereka akan mengangkat sumpah dan janji untuk meneruskan tradisi. Dari kecil moyang saya sudah berpesan, carilah sepasang suami isteri bernama Serene Forrest dan Amred Hayana di daerah Nusantara dan serahkan kotak ini pada mereka. Saya sangkakan ia hanya dongeng keturunan kami. Ramai yang semakin tidak ambil peduli hingga ia mula dilupakan. Pakcik dan makcik saya pun mula menganggap ianya cerita orang-orang tua termasuk saya hingga tiada sesiapa lagi menawarkan diri menjadi The Seeker. Begitu juga saya, hinggalah ketika saya terlihat wajah Serene di mall ini, saya jumpa semula datuk saya dan menjadi The Seeker," cerita Qaid sambil meneliti kotak kayu jika terdapat sebarang kerosakan. Setiap sentuhan dilakukan dengan penuh berhati-hati.

"Serene pernah cerita pada Fijr, dunia ini terletak di tanah Nusantara," beritahu Serene, mengingati semula perbualannya dengan Fijr.

"Sejak hari itu, saya cuba menjejak Serene. Saya yakin itu Serene berdasarkan lukisan ini," sambung Qaid.

Sehelai kertas lusuh yang sudah dibingkaikan dikeluarkan dari kotak itu dan diletakkan di hadapan Serene dan Amred. Jelas wajah Serene terlukis elok meskipun kertas itu kelihatan berusia dimamah waktu.

"Ini lukisan yang keempat seperti yang dicatat di hujung kertas ini. Lukisan kedua dan ketiga ada dalam simpanan datuk saya dan dia sedang sakit sekarang, terlantar di hospital. Lukisan ini pun rasanya sudah berusia puluhan dan mungkin ratusan tahun. Dilukis semula bila lukisan asal mula kabur. Dan lukisan ini pula..." Qaid mengeluarkan sehelai lagi kertas keras yang sudah berwarna coklat, memudar dimamah waktu.

"...lukisan pertama dilukis oleh Fijr sendiri. Saya tak pandai bercerita, jadi biarlah Fijr yang bercerita sendiri. Saya cuma pernah baca salinan terjemahan yang masih ada dalam simpanan datuk saya," sambung Qaid, mencapai sebuah buku yang dibalut rapi, diletakkan bersebelahan bingkai gambar itu.

Meledak esakan Serene. Manakan tidak, itu adalah buku milik Fijr yang dihadiahkan oleh Khael. Buku yang dibaca senarai impian Fijr bersamanya. Disentuh perlahan dengan hujung hari yang menggigil. Amred memeluk bahu isterinya, sama-sama berkongsi rasa.

"Buat ibuku, Serene Forrest dan ayah yang tidak pernah aku lihat wajahnya, Amred Hayana. Fijr bangga menjadi anak ayah dan ibu. Fijr bahagia meskipun jarak memisahkan kita," baca Serene.

Membaca tulisan kabur di kulit buku itupun sudah membuatkan Serene merasa hiba.

Helaian demi helaian diselak dengan berhati-hati. Ada yang sudah lerai dan ada yang sudah dibaikpulih. Qaid hanya mampu memandang kerana dia tidak memahami tulisan asing itu. Sesekali mereka ketawa kecil, sesekali menangis semula.

Fijr menulis rentetan hidupnya untuk dikongsikan bersama ibu dan ayah yang tiada di sisi. Membesar bersama pakcik dan makcik yang ramai, Ketua Tertinggi sebagai datuk yang penyayang, juga rakan-rakan yang baik. Bagaimana dia terjatuh hati dengan seorang wanita bernama Shiu dan berkahwin, mempunyai lima anak orang, kisah suka dukanya menjadi ayah dan bagaimana dia menolak dari menggantikan tempat ayahnya sebagai panglima tentera sebaliknya dia dan Shiu menguruskan dapur kota sebagai tukang masak malah dia mengajar keluarganya untuk menyembah Allah yang Esa.

Fijr menulis cukup banyak untuk Serene baca hari demi hari, sebagai teman dan saksi bahawa dia bahagia walaupun Serene meninggalkannya.

"Fijr meninggal dunia selepas cedera kerana terjatuh dari kuda pada usia 50 tahun," beritahu Qaid dari cerita yang didengari dari datuknya turun temurun.

Ah, sukar dipercayai anak mereka sudah tiada sedangkan setahun yang lepas dia baru berumur 7 tahun. Serene membuka beberapa helaian yang terakhir.

'Ibu, Fijr tidak memiliki kelebihan ibu dan ayah. Lihatlah, Fijr cedera kerana menaiki kuda. Andai ini coretan Fijr yang terakhir, Fijr sangat berharap ibu dan ayah tidak bersedih lagi kerana Fijr sangat bahagia. Fijr dah tua tapi bila menulis semua ni Fijr masih rasa seperti kanak-kanak yang manja dengan ibu. Fijr minta maaf sebab banyak menulis untuk ibu seorang sebab Fijr tak tahu macamana nak berbual dengan ayah. Tapi Fijr tetap rindu ayah sama seperti rindukan ibu.'

'Bahagia seorang anak itu tidak semestinya mesti lena di lengan ibunya, belajar di sisi ayahnya, makan bersama di sebuah meja. Tapi bahagia itu bila kita tetap menyayangi dan saling merindui biarpun tidak terlihat. Tidak dinafikan, mata ini sentiasa basah. Namun basahnya ia membuatkan Fijr terus bersemangat untuk hidup. Berhentilah bersedih. Fijr tahu, ibu suka sangat menangis.'

          'Fijr nak ibu tahu, pilihan untuk pergi adalah pilihan Fijr. Ibu tidak tamak dan ayah tak pernah bersalah. Fijr merayu jangan salahkan diri ibu atau sesiapa kerana ia tak merubah hakikat Fijr anak ibu. Ibu kan dah ada ayah yang gagah. Teruslah hidup untuk Fijr sebab Fijr dah hidup bahagia demi ibu.'

- yang tidak pernah sepi, Fijr Amred.

Membaca coretan akhir itu ibarat pengubat bagi setiap rasa ralat dan bersalah yang memakan diri. Amred tidak mampu menahan sebak, meraup wajah yang mula basah. Serene menyentuh tulisan akhir Fijr yang semakin memburuk. Pasti Fijr sedaya upaya menulis untuknya walau dalam kesihatan yang merosot. Fijr sangat faham rentak hatinya rapuh.

"Saat-saat terakhir, dia minta dibawa pulang ke kampung pendalaman tempat dia dilahirkan. Dan di situlah dia dikebumikan, tidak jauh dari sungai tempat dia selalu tunggu ibu dia balik dari 'sana'," ujar Qaid.

"Aku tak pernah tengok wajah anak saya sendiri, tak pernah kenal pun dia siapa," rintih Amred.

Qaid tersenyum. "Datuk beritahu wajah Fijr mirip ayahnya. Jadi mungkin tuan boleh tengok cermin kalau nak bayangkan wajah Fijr bagaimana. Ah, kelakarlah pulak! Pelik tapi betul-betul bukan cerita dongeng. Patutnya Serene dengan Amred ni nenek moyang saya tapi kita hampir sebaya."

Ketawa mereka bersatu. Sisa air mata ditepis. Qaid menarik tali rantai dari dalam kotak yang sama dan diletakkan di atas meja.

"Saya sudah mewarisinya turun temurun dan kini saya pulangkan semula," ujarnya.

"Ini loket perkahwinan kita, kan?" soal Amred, kehairanan.

"Serene ada serahkan pada Fijr sebelum Serene ke sini!" Serene meraih loket itu dan dikucup hiba. Fijr, ibu rindu.

"Akhirnya, ia kembali pada tuannya."

Mereka bertiga berbalas senyum. Beginilah rupanya pengakhiran penderitaan mereka. Tiada lagi persoalan yang tidak berjawab. Kebahagiaan, kisah hidup dan pemergian Fijr, semuanya kini di dalam buku di tangan mereka. Yang akan menjadi simpanan abadi Serene Forrest dan Amred Hayana. Kasih yang terukir beribu tahun lamanya.

Untuk ke Timur, harus meninggalkan Barat.
Untuk mudik ke muara harus menjauh dari kuala.
Untuk meneguk air dingin pasti mendongak ke terik mentari.
Untuk pungguk merindukan bulan, menjadi bisu pada cerahnya siang hari.

Kerana di dunia, tidak semuanya akan kita miliki.
Bahkan hakikatnya tidak ada satu pun milik kita.
Sampai di satu jalan, kita akan sedar kadangkala melepaskan adalah lebih indah,
Kerana memiliki itu tidak mudah.

Zen.
03072021
PKPD 3.0

Jangan lupa baca EPILOG TAU!

2992words
0307211629
#blackflag

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro