27 | Count Stars Behind The Clouds
'The prettiest smile hide the deepest secrets.
The prettiest eyes have cried the most tears.
And the kindest hearts have felt the most pain.'
- Hearts
Sayup-sayup suara yang tidak jelas butir bicaranya mendorong dia untuk membuka mata. Terlihat bayang dua tubuh manusia sedang berbual dengan nada yang perlahan tidak jauh darinya.
"Fijr..." Serene menyeru lemah.
Tangan diangkat tergawamg ke hadapan, ingin meraih Fijr merapat padanya. Terasa hangat saat seseorang mencapai dan menggenggam tangan namun wajah itu kabur.
"Aku di sini. Syhh... rehatlah," bisik satu suara.
Serene memejamkan mata seketika sebelum membuka kembali kelopak matanya. Tatkala wajah itu menyapa pandangan, spontan air matanya menderu mengalir menuruni pipi namun diseka segera oleh lelaki itu.
"Sayang dah sedar! Terima kasih, sayang."
Giliran dahinya pula terasa hangat dikucup Amred. Menyedari Amred itu bukan bayangan halusinasi, Serene mengerti dia sudah kehilangan permata kecil yang berharga. Sebeban kesal dan amarah berpusar menghempap pundak, memberat di hati.
"Serene tinggalkan dia." Serene mula mengongoi pilu. "Amred, apa patut Serene buat. Fijr di sana.."
Tubuh Serene ditarik rapat ke dalam pelukan, membujuk dengan bahasa tubuh sedang bibirnya terkunci rapat tanpa pujukan. Bagaimana dia hendak memujuk sedang dia juga merasa berduka dan bersalah dengan semua ini?
➰
Seperti diduga, Serene tidak sedarkan diri selama 8 hari. Kini dia terpaksa berkerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Serene yakin, andai dia kembali ke 'sana', dia pasti kembali tanpa nyawa.
"Kenapa, Serene?" soal Amred ketika membuka pintu wad persendirian yang diduduki isterinya. Ada kesan kotor pada baju dan wajah Serene jelas nampak berputus asa. Mereka masih belum berbual tentang apa yang berlaku di sana. Serene nampak masih belum boleh menerima kenyataan.
"Kenapa makan sendiri? Kan aku pergi sekejap je." Amred menarik sudu dari genggaman Serene. Tangan Serene menjadi lemah hingga menyukarkan dia untuk melakukan rutin harian. Kotoran di baju Serene dilap dengan cermat. Rambut Serene juga ditolak ke belakang, dipegang kejap manakala sebelah tangan lagi mencapai getah rambut di kabinet bersebelahan kepala katil. Dengan lemah lembut dia mengikat rambut Serene agar mudah untuk makan nanti.
Disuakan sesudu nasi bercampur lauk ke mulut Serene namun wanita itu hanya merenungnya dengan mata berkaca.
"Serene tak patut hidup, Amred. Serene tinggalkan Fijr, kemudian datang ke sini jadi orang yang tak berguna, yang tak mampu nak suapkan diri sendiri dan susahkan orang lain. Serene tak patut tamak." Bibir itu pucat menyalahkan diri buat kesekian kalinya.
Amred terdiam. Perlahan-lahan sudu diletak kembali di tepi pinggan. Tapak tangannya melekap di dada dan dia tunduk dengan wajah merah padam menahan sebak. Tanpa suara, dia bangkit pergi keluar dari ruangan itu tanpa memandang Serene lagi.
Serene mencengkam lemah hujung selimut yang menutupi kaki. Tak mampu menahan, dia menangis semahunya.
➰
"Aku rasa kau dah cukup lama untuk bersedih macam ni. Sekarang dah tiba masa untuk kau kembali kuat. Kau patut fikirkan benda yang jadi sekarang, merancang untuk masa hadapan, bukan terus dragged dengan masa lepas yang takkan berubah pun," nasihat Mikhail ketika Amred meninggalkan mereka untuk menghidang air di dapur.
Serene hanya membalas dengan senyuman yang jelas payah untuk diukirkan. Tiada lagi sinar mata Serene ketika berkawan dengan Isabella dulu. Wajahnya semakin cengkung, kesan jajahan duka di hati.
Cerita Amred berkisar di memori dan dia mula menerimanya perlahan-lahan. Jika bukan dia yang percaya, siapa lagi?
"Aku saksi dia menunggu berjam-jam lamanya di tepi sungai, takut kau tak kembali tapi takut juga kalau kau muncul bermakna anak dia akan sendirian kat sana. Dia tenang tapi dia ketakutan sampai aku pun dapat rasa. Tangan dia cedera sebab tergelincir kat batu sungai waktu hujan lebat tapi dia buat tak peduli dan angkat kau tanpa benarkan aku bantu dia. Kau sendiri tahu bukan mudah nak panjat tebing jurang tu.
Kau kena sedar, Amred juga merasakan perkara yang sama macam kau rasai sekarang malah mungkin lebih jauh dari itu cuma kau sendiri pun kenal dia macamana. Dia memilih untuk memendam supaya luka kau tak bertambah. Budak yang kau tinggalkan, itu juga anak dia." Panjang lebar Mikhail bercerita, mengharap Serene kembali berpijak pada dunia realiti.
Serene tersentak mendengar bait kisah dari Mikhail namun bibirnya masih setia berkunci seolah-olah kamus perkataan di akal sudah memudar. Mikhail hanya mampu mengeluh melihat Serene begitu. Tidak tahu lagi cara untuk membantu
"Terima kasih datang ziarah. Kami pun tak ramai kenalan di sini," ucap Amred ketika menghantar Mikhail di muka pintu. Tangan mereka bertaut erat.
"Jaga diri. Call aku kalau perlu apa-apa," balas Mikhail.
"Aku tengah cuba nak kembalikan senyuman dia tapi payah. Aku tahu, tak mudah untuk dia lalui semua ni selepas bertahun-tahun lamanya. Walaupun dia ketawa dan senyum depan aku, tapi aku tahu dia cuma nak jaga hati aku je. Dalam diri, hati dia dah mati." Amred menolak rambut ke belakang. Kulit putihnya mula kemerahan mengenangkan lara si isteri.
"Kau okey ke?"
"Aku okey. Sekarang aku tengah nak cari rumah untuk menetap. Aku tak boleh lama-lama menumpang di sini," jawab Amred.
"Aku tanya ni, kau okey ke?" ulang Mikhail.
"Okey. Cuma kena fokus pada Serene dan rawatan dia. Fizikal dia pun masih dalam proses untuk sembuh. Depression pulak bukan mudah nak stabil semula dalam masa yang singkat. Ada appointment..."
"Am." Mikhail sentuh bahu Amred, memaksa Amred memandang ke dalam anak matanya. "Kau, kau tu okey tak?" Sekali lagi dia mengulang sambil tersenyum nipis. Dari awal dia datang, Amred langsung tidak pandang tepat pada anak matanya setiap kali mereka berbual.
Amred diam. Dia menunduk sedikit dengan nafas yang berat.
"Semua ni kifarah dosa-dosa aku dulu. Terima kasih sebab ada waktu aku susah dan senang. Maaf banyak mintak tolong pada kau." Amred membalas senyuman sambil menepuk lembut pada tangan Mikhail yang masih berpaut pada bahunya.
Benarlah, nilai seorang sahabat itu menjadi mahal waktu diuji.
➰
Selesai menyapu minyak panas dan mengurut perlahan kaki Serene, stokin disarungkan dengan baik. Perlahan-lahan Serene diangkat dalam dukungan dan dibawa menuruni tangga. Serene merapatkan sisi wajah pada dada Amred. Detak jantung lelaki itu terdengar kuat, mengingatkan dia pada Fijr.
Masih hidupkah Fijr?
Di laman rumah yang mempunyai kolam renang sederhana besar, Serene didudukkan di atas kerusi kayu, menikmati angin pagi yang dingin menyegarkan.
"Tunggu sini, aku bawakan sarapan," pesan Amred lalu dikucup dahi Serene beberapa saat dengan mata yang terpejam sebelum dilepaskan sambil tersenyum lembut. Langkah diatur ke dapur, menyiapkan sarapan yang tertangguh tadi.
Bunyi deringan telefon membuatkan dia mengeluh kecil. Panggilan dari mak ayah angkatnya. Mereka hairan kerana dia kerap tidak pulang, risau dia tertekan kerana majlis perkahwinan yang tidak menjadi ditambah dengan kematian Dhiarana.
Di laman, Serene merenung permukaan air yang bergerak diusik tiupan angin halimunan. Tangannya dihulur ke hadapan, cuba menguji kekuatan penguasaan elemen air yang dimiliki. Ternyata, air itu hanya bergelombang sedikit walaupun sejerih mana pun dia berusaha. Dia tahu, kelebihan itu semakin memudar. Buktinya dia hampir mati lemas dalam perjalanan merentas pulang dari dunia sana.
Kalau dia cuba pulang selepas semakin sembuh nanti, mampukah dia menyelam dengan lama seperti sebelum ini?
Amred menatang dulang berisi nasi goreng dan air kopi panas. Langkahnya mati di muka pintu saat kerusi kayu kelihatan kosong. Melihat ada bayang di dasar kolam dan mengingatkan tempoh dia di dapur yang agak lama, dulang terlepas dari pegangan, menghempas lantai.
Air berdebur kuat ketika dia terjun ke dasar, memutar memori saat dia menyelamatkan Serene ketika tenggelam di dasar sungai kota. Tidak lama, dia muncul ke permukaan bersama Serene yang tidak sedarkan diri. Wanita itu dibaringkan dan ditekan dadanya berkali-kali.
"Serene, buka mata. Pandang aku, Serene. Pandang aku," seru Amred dengan suara bergetar. Apabila Serene terbatuk dan mula membuka mata, Amred terduduk dan tersandar di kaki kerusi. Seluruh kaki terasa lemah tak bermaya mengenangkan dia hampir kehilangan Serene sekali lagi.
Kedua tangannya menutup wajah dengan hidung mula kemerahan. Bibirnya menggigil dengan dada turun naik menahan sebak. Serene yang baru sedar segera bangkit mendekati Amred.
"Tolong... tolong jangan ambil sesiapa lagi dalam hidup aku, ya Allah. Bukan sekarang..." Amred teresak perlahan.
"Amred." Pipi Amred disentuh lembut. "Serene minta maaf. Serene cuma nak pastikan kalau Serene masih mampu menyelam macam dulu. Serene minta maaf." Dia mula sebak melihat emosi Amred pecah di situ. Selama ini lelaki itu berlagak biasa, sedikit pun tidak bertanya apa yang terjadi, sabar menjaga dia tanpa senyuman yang berkurang walau sedikit pun dan kini Amred nampak benar-benar tidak bermaya.
"Ya Allah..." Nama Zat yang Maha Agung itu tidak putus di bibir Amred dengan air mata yang tak tertahan. "Aku terima ya Allah, semua ni balasan dosa-dosa aku dulu ketika membunuh orang yang tak berdosa. Berbangga dengan nama dan jawatan selepas memisahkan suami dari isteri mereka, membuat anak-anak itu menjadi yatim piatu demi kerana kuasa yang tak kekal. Aku terima ya Allah, tapi aku mohon, ampunkanlah aku ya Allah dan aku merayu, bahagiakan anak isteri aku ya Allah. Biar aku saja yang menderita, maafkan aku ya Allah..."
Serene menarik Amred bersandar pada bahu dengan esakan yang semakin kuat. Dia lupa lelaki itu juga menderita.
"Maafkan aku, Serene. Aku hancurkan hidup kamu dan Fijr. Aku minta maaf." Amred mengangkat wajah, menatap mata Serene dengan sepenuh hati. Serene hanya mampu menggeleng, menidakkan kata-kata Amred.
"Hiduplah dengan bahagia. Bukan kamu yang patut derita. Aku yang berdosa, Serene. Tolonglah, tolong hidup dengan bahagia demi anak kita," rayu Amred dengan kedua tangan disatukan, memohon agar Serene mendengar rayuannya.
Serene mengangguk dengan tangisan tertahan-tahan. Air mata Amred diusir dengan hujung jari.
"Fijr..." Suara Serene tersekat saat menyebut nama itu. "Fijr minta Serene sampaikan ciuman dan pelukan untuk ayah dia. Dia yang hantar Serene ke sini. Dia yang dorong dan paksa Serene pergi untuk sampaikan kasih dia pada ayahnya," beritahu Serene. Dikucup dahi, kedua pipi, dagu dan hujung hidung Amred, menyampaikan permintaan Fijr sebelum mereka berpisah.
Tidak tertahan rasa di hati, Amred menarik Serene ke dalam pelukan dan menangis sepenuh jiwa raga, melepaskan segala lapisan duka yang mencengkam hati. Mereka menangisi sebuah perpisahan yang hanya difahami oleh jiwa yang pernah merasai peritnya sebuah kehilangan.
"Ayah rindukan Fijr..."
Dan ianya kisah rindu yang tidak berpenghujung.
Flizwn,
#sufferbetweentheeyes
1642words,
0207212328.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro