26 | Leaving Silhouettes Against The Sky
"To leave home is to break your own heart,
Leaving with your feet, never with your heart."
- She
"Eh, Catherina dengan Lily dan Rose bukan nak tinggal di sini? Tunggu sampai tiga hari kemudian?" tanya Khael, hairan apabila melihat tiga orang wanita itu sudah menunggang kuda masing-masing.
"Kenapa? Tak boleh?" Jawab Catherina, selamba. Dia memandang Fijr yang berdiri di sisi Serene. Dikenyitkan mata pada anak kecil itu. Fijr turut membalas sebelum ketawa lunak.
Malam tadi, Fijr merayu agar ditinggalkan dia dan Serene berdua sahaja. Mahu menghabiskan masa berdua sepuas-puasnya selama tiga hari sebelum pulang ke kota. Dia ingin merasai suasana yang sangat diimpikan itu kerana apabila pulang ke kota, pasti tiada lagi kehidupan desa begini. Rumah tempat dia membesar juga akan ditinggalkan.
Selepas rombongan itu berlalu, Fijr menggenggam erat tangan Serene dan mereka beriringan melangkah masuk ke dalam rumah. Serene membalas senyuman Fijr yang jelas sangat gembira. Nampaknya, keputusan dia untuk tinggal di sini adalah tepat. Langit cerah dipandang seketika, berharap angin yang berhembus akan membawa khabar rindu ke dunia di sana.
➰
Tiga hari.
Mungkin satu tempoh waktu yang singkat namun ia tiga hari paling bermakna bagi satu jiwa kecil bernama Fijr.
Serene akan bangun di awal pagi, mengajar Fijr solat Subuh bersama. Biarkan mungkin seru agama suci itu belum tiba di tanah ini namun dia mahu Fijr membesar dengan mengenali Zat yang menciptakan seluruh alam semesta. Dia mahu Fijr faham, biarpun tidak memiliki ayah, Fijr ada Tuhan yang akan menemani. Kerana itu yang dia rasakan saat tenggelam dalam tekanan hidup sendirian.
"Ibu, walaupun Fijr belum pandai membaca sepenuhnya, boleh ke ibu tuliskan ayat-ayat waktu solat ni? Fijr takut Fijr lupa satu hari nanti," minta Fijr saat mereka duduk bersama di pangkin kayu, menanti matahari terbit.
"Ibu boleh bantu Fijr hafal sampai Fijr mampu baca semuanya sendiri nanti."
"Tapi, ibu takkan selamanya ada dengan Fijr."
Lidah Serene menjadi kelu. Anak mata zamrud itu direnung tanpa berkelip. Terkesima. Benar kata Fijr, belum tentu dia akan sempat hidup bersama Fijr hingga dia tua apalagi kesihatan yang semakin merosot.
"Ibu akan tuliskan." Bergetar suara Serene, menarik Fijr baring berbantalkan ribanya. Sebak menyelubungi diri. Kata-kata Fijr meninggalkan kesan yang amat dalam.
Saat matahari mula meninggi, Serene menyarungkan selendang melindungi rambut lalu memegang tangan Fijr sepanjang perjalanan ke kelas harian. Perjalanan mereka begitu lambat kerana Serene terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
"Maaf, ibu. Fijr tahu ibu sakit. Tapi untuk tiga hari je, ibu boleh kan bertahan untuk hantar Fijr? Kat kota nanti Fijr takkan susahkan ibu." Terkelip-kelip kelopak mata Fijr, membuat muka comel meraih simpati. Pipinya yang kemerahan dicubit lembut oleh Serene. Terhibur dengan kemanjaan anak lelakinya itu.
"Tak susahlah. Ibu pun gembira dapat hantar Fijr."
Erat genggaman hangat Fijr, bahagia impiannya tercapai. Saat mereka tiba di bawah pohon besar itu, anak-anak desa yang lain berdiri menerima kedatangan Fijr. Ada beberapa rakan sebaya yang mula menegur dan mengajak duduk bersama.
Serene tersenyum dari jauh. Walaupun bertahun-tahun hidup mereka dihina dan dipulaukan dari penduduk desa, akhirnya dia dapat bersihkan nama mereka dan Fijr dapat menikmati baki waktunya di desa ini sebagai kanak-kanak normal.
Ketika rumah mereka mula terlihat dalam pandangan, Serene perasan bayang seseorang berjalan dan menghilang di antara pohon hutan yang kering. Saat dia semakin mendekat, terlihat botol kaca bertutup gabus berisi cairan berwarna jingga keemasan di atas pagar kayu. Hatinya berdetak laju. Kertas kecil yang bergulung, diikat dengan tali kasa di bahagian penutup botol kaca itu dibaca dengan tangan yang menggigil.
'Aku tinggalkan rindu ini di sini.'
V.
Val. Tiada orang lain yang selalu membawakan dia sirap maple setiap kali musim luruh tiba melainkan lelaki itu. Ada rindu yang menyerbu. Serene melingas ke kiri dan kanan mencari bayang yang dilihat tadi. Tertatih-tatih dia mencari dalam langkah tempang.
"Val!" Dia melaung namun tiada jawapan.
Kaki yang lemah tidak mampu menampung kehendak hati lantas dia rebah jatuh di atas tanah bertongkat lengan. Angin bertiup lembut membawa khabar musim selatan, menerbangkan guguran daun-daun maple yang indah.
Tujuh tahun lebih dari cukup untuk membuatkan dia rindu pada Val. Lelaki yang sudah dianggap keluarga, satu-satunya manusia yang menemani dia semenjak kecil. Mungkin setakat ini sahaja perhubungan mereka. Bukankah ini berita baik, menandakan Val masih hidup dan masih punya kudrat menjejaki dia hingga ke sini. Jauh di lubuk hati, dia mendoakan agar Val bahagia.
Hingga hari hampir senja, Serene duduk bersandar di pangkin kayu, menulis bacaan solat di atas kertas kasar sambil sesekali merenung aliran sungai di kejauhan. Mengimbas kembali semua memori lalu bersama Val, tidak sedar waktu sudah beredar melewati garis sempadan.
Dalam cahaya jingga yang bersarak ke dada langit, terlihat Fijr berlari anak bersama tiga orang kanak-kanak lain. Mereka berbalas lambaian sebelum Fijr meneruskan larian ke arah Serene. Baru dia sedar, setiap saat bersama Fijr adalah waktu yang mahal, mustahil untuk ditebus kembali. Melihat senyuman Fijr, bagai satu jangkitan yang membentuk lengkungan di bibir Serene. Seolah-olah melihat Amred tersenyum.
Malam itu, mereka bergelincah bersama di dapur untuk makan malam. Fijr langsung tidak beranjak dari sisinya. Setiap apa yang dilakukan Serene, pasti dia akan turut serta. Apatah lagi Serene masih perlu menyokong tubuhnya jika hendak ke mana-mana.
Malam itu malam terakhir mereka mendiami rumah kayu itu sebelum esok pagi mereka akan menerima ketibaan rombongan dari kota yang akan mengiringi mereka pulang bersama. Seperti malam yang lepas, Fijr berbaring di sisi ibunya.
"Fijr dah dewasa, ibu," ujar Fijr sambil memintal hujung baju Serene.
"Iya?" Serene buat muka tidak percaya.
"Fijr boleh solat sendiri, Fijr dah pandai hidupkan api. Fijr dah ada kawan, Fijr dah belajar hidup dengan orang lain. Fijr dah besar," cerita Fijr, bersungguh-sungguh mengundang tawa Serene. Dia mencuit hidung kecil Fijr dan menekan-nekan pipi gebu merah itu. Memang dia akui, Fijr matang dan boleh buat banyak kerja dewasa bagi budak seusia dia.
Tiba-tiba tangan kecil Fijr melekap di lembut di pipi Serene. Anak matanya tidak berkelip, merenung Serene dengan jarak dekat.
"Fijr akan mampu hidup dengan baik walaupun ibu dan ayah tiada," tutur Fijr, satu persatu tanpa melepaskan pandangannya. Seolah-olah ingin meyakinkan bahawa Serene tidak perlu merisaukannya.
"Fijr..."
"Ibu, apa nama tempat ayah berada sekarang? Fijr tak nak lupa tapi terlupa jugak," soal Fijr, memintas kata-kata Serene sambil kembali menelentang.
"Malaysia. Kalau zaman sekarang entah apa nama dia. Mungkin Tanah Melayu, di tanah Nusantara." Serene ingat-ingat lupa apa yang dibacanya ketika dia sampai di 'dunia' sebelah sana. Waktu itu dia menghadapi kesukaran untuk memahami tutur biacara mereka.
"Ibu, boleh cerita tentang ayah lagi?"
Serene tersenyum. Saban malam, jika mereka tidur bersama memang itulah yang selalu diceritakan pada Fijr. Dia tak mahu Fijr lupakan Amred. Diusap kepala anak kecil itu.
"Dah lewat, sayang. Esok kita cerita lagi."
"Ibu..." Fijr merayu dengan bibir merahnya muncung ke hadapan lalu ditekup Serene, geram. Susah nak tolak permintaan Fijr bila dia buat muka begitu. Dia membetulkan selimut Fijr lalu baring mengiring saling berhadapan dengan sebelah tangan menepuk perlahan bahu Fijr.
"Kalau Fijr nak lihat mata ayah, lihatlah mata Fijr. Sama macam mata ayah. Warna rambut ayah juga sama dengan rambut Fijr."
Fijr menyentuh mata dan rambutnya. Betapa hati kecilnya sangat menginginkan ayah di sisi. Membesar bersama kasih sayang lelaki yang akan menjaganya. Tidak pernah dia tahu apa makna ayah tapi fitrah kecilnya mendahagakan kewujudan lelaki bergelar ayah.
"Ketawa ayah lembut tapi ayah panglima yang tegas. Dulu ayah suka buli ibu. Marah-marah ibu. Lepas tu, dia yang merajuk." Serene kemam dua ulas bibir, menahan getar. Bukan mudah untuk menceritakan seseorang yang 'hilang' dari hidup. Satu ayat yang diluah, seribu memori yang mengunggah.
Fijr ketawa kecil. Bagai ternampak-nampak bayang ayahnya.
"Ibu rindu ayah, kan?" tebak Fijr.
Serene terhenti bicara. Senyumannya juga mati. Di dalam suram cahaya api, dia memandang wajah polos Fijr.
"Rindu itu bagaikan daun maple yang gugur. Indah dalam kepiluan penghujung hubungan daun dan pohon, ianya tidak berakhir, dan musim itu akan terus berulang hingga akhir dunia."
Jari kecil Fijr menyentuh genangan air mata Serene lalu menitis di belakang tapak tangannya. Mungkin kurang mengerti bahasa puitis kerinduan Serene namun dia sangat faham apa itu rindu yang tak berpenghujung.
"Kalau ibu rindukan ayah, mesti ayah rindukan ibu juga, kan?"
Serene terdiam lagi. Fijr terlalu petah berkata-kata hingga dapat menebak rasa hatinya.
"Ibu nak bersama dengan ayah?"
Serene pejamkan mata. Hujung selimut digenggam sebelum dia teresak perlahan. Bagaimana harus dihentikan bicara anak kecil ini?
Perlahan-lahan Fijr merapat dan membelakangkan tubuhnya. Ditarik tangan Serene merentangi tubuh, meminta Serene memeluknya dari belakang. Dengan erat, dipeluknya Fijr bagai tidak mahu dilepaskan.
"Ibu bahagia bersama ayah, ibu bahagia bersama Fijr," bisik Serene.
"Ibu jangan sedih. Ibu jangan nangis-nangis ya," pesan Fijr. Serene mengangguk perlahan, merenung rambut Fijr lalu dicium belakang kepala anaknya itu. Harum bauan manusia kecil yang tidak berdosa. Pelukan dieratkan, menahan esakan yang terasa menggila.
Dia tidak sedar, Fijr yang sedang menghadap sebelah sana turut mengalirkan air mata.
Entah berapa lama dia terlena, tiba-tiba dia terjaga apabila dada terasa sakit. Bibir digigit agar tidak terbit erangan kesakitan, tidak mahu Fijr terganggu tidurnya. Beberapa minit berlalu, barulah dia dapat bernafas semula dengan lancar.
Serene duduk dari pembaringan. Hairan melihat Fijr tiada di tempat tidur. Dia cuba bangkit namun terasa payah sekali. Rasa macam lebih teruk dari semalam.
"Ibu takkan selamanya ada dengan Fijr."
Suara Fijr menerjah ke ruangan minda. Entah berapa lama dia boleh bertahan. Terketar-ketar dia mencapai selendang kait. Dijengah kepala ke ruang tamu.
Serene menghela nafas lega apabila terlihat susuk tubuh kecil sedang memeluk lutut di hadapan pendiang api. Setapak demi setapak dia melangkah tanpa bunyi. Sengaja mahu mengintai apa yang sedang dibuat oleh anaknya di waktu ini. Baru dia hendak menghampiri, tiba-tiba dia terlihat ada titisan yang jatuh dari pipi mungil Fijr dalam simbahan cahaya pendiang api.
Langkahnya terhenti. Tersayat hati melihat hujung jemari kecil itu menyapu pipi dan menekup mulut agar esakannya tidak kedengaran. Bahu yang comel itu bergerak-gerak, terhinggut-hinggut menahan tangis. Sesekali ditarik bajunya mengelap cecair yang keluar dari hidung.
"Fijr?"
Pantas Fijr berpaling dengan terkejut. Tidak sedar Serene berdiri di belakang. Dia berdiri pantas, menghadap Serene yang sudah semakin mampir dan memeluknya. Serene memejamkan mata apabila kepalanya mula terasa berdenyut.
"Kenapa menangis, sayang? Fijr dah sukakan kampung ini ya? Tak apa. Sekali sekala kita boleh datang ke sini semula," pujuk Serene dalam nafas yang memberat, tidak mahu Fijr nampak kesakitan yang ditanggung
Fijr menolak tangan Serene, melepaskan pelukan. Pandangan mereka bertaut.
"Ibu, Fijr tak nak ambil ibu dari ayah."
Berkerut dahi Serene mendengarnya.
"Fijr tahu, ibu sangat rindukan ayah."
"Apa Fijr cakap ni?"
"Fijr hidup dengan ibu lebih lama dari ibu hidup bersama ayah. Pergilah cari ayah. Fijr pandai jaga diri Fijr sendiri. Ibu pun nampak kan, yang Fijr boleh buat semua perkara yang orang dewasa lakukan?"
Terduduk Serene mendengarnya. Benar-benar terperanjat dengan apa yang diluahkan oleh anaknya itu.
"Fijr..."
Disentuh pipi Fijr namun tangan kecil itu menggenggam kembali tangan ibunya.
"Jangan risaukan Fijr. Ada ramai orang yang akan jaga Fijr. Bagi Fijr, 3 hari ni sudah cukup untuk Fijr bersama ibu. Fijr sayangkan ibu dan Fijr sayangkan ayah. Fijr tak boleh biar ibu dan ayah terpisah sebab Fijr. Fijr tahu semuanya. Ibu bimbangkan ayah di sana, kan? Ayah keseorangan... tanpa ibu dan Fijr."
Serene menekup wajah. Esakannya pecah di saat Fijr mengelus lembut rambutnya.
Mengapa anak ini terlalu matang?
Mengapa anak ini terlalu memahami?
"Sebab ni ke Fijr suruh Auntie Catherina tinggalkan kita berdua?" soal Serene dalam sebak.
Fijr mengangguk perlahan."Fijr tahu takkan ada sesiapa yang akan membenarkan ibu pergi temankan ayah di sana. Tapi, Fijr harap sangat ibu pergi."
"Tak! Ibu takkan tinggalkan Fijr lagi!"
"Ibu, Fijr teringin nak sampaikan salam Fijr pada ayah. Fijr teringin sangat nak peluk ayah. Hanya ibu yang boleh sampaikan untuk Fijr. Tolong ya, ibu?"
"Kenapa Fijr buat macam ni? Ibu dah tekad takkan tinggalkan anak ibu lagi."
Fijr memandang ke dalam anak mata ibunya. "Sebab Fijr sayang ibu dan ayah."
"Fijr tahu tak, kalau ibu ke sana, ibu takkan boleh kembali ke sini lagi. Kita takkan berjumpa lagi!" tangis Serene.
Fijr menarik hujung bajunya dan menyeka air mata sendiri. Dia bertahan untuk tidak menangis, tidak mahu Serene mengalah kerana air matanya.
"Fijr akan cari ibu. Fijr janji."
Berpelukan dua beranak itu di dalam tangisan. Melihat ufuk timur sudah bercahaya sedikit menandakan Subuh akan tiba tidak lama lagi, Fijr segera berlari anak mendapatkan selendang ibunya. Dilindungi kepala Serene yang hanya terkaku, memandang dengan air mata yang tidak putus-putus. Bila-bila masa rombongan dari kota akan tiba seperti yang dijanjikan.
Serene sudah tidak terkata apa lagi. Dalam angin dingin yang membawa bersama kabus pagi, Fijr memimpin tangan ibunya menuju ke sungai. Serene hanya mampu mengekor dengan hati yang berbelah bagi. Seluruh tubuh yang sakit semakin melemahkan, bagai dipukau. Akalnya terbejat, tak mampu menimbang logik keputusan mereka. Sesekali Fijr terpaksa menarik dengan kuat apabila Serene seakan tidak mahu melangkah.
'Ya Tuhan, kuatnya jiwa anak ku. Kuatkanlah ia, sampai bila-bila..'
Sampai di gigi air sungai, Fijr memeluknya sekali lagi. Kali ini lebih lama. Serene tahu Fijr menangis di bahunya. Bagai tidak mahu dilepaskan, Fijr terpaksa menolak tangan Serene dari keliling pinggangnya.
"Fijr sayang ibu sampai bila-bila."
Semakin menjadi-jadi tangisannya. Saat air sudah di paras pinggang Fijr, Serene melutut, membawa anak itu ke dalam pelukan sekali lagi. Fijr memegang kedua pipi Serene. Dicium dahi, dagu, kedua belah pipi dan hidung ibunya. Sama seperti yang selalu Serene lakukan padanya setiap pagi. Serene membalas dengan sayu. Dingin air sungai tidak lagi terasa.
"Fijr..." Serene masih berat hati untuk melangkah ke dalam air. Fijr ketawa kecil dalam sebaknya.
"Ibu menangis macam Fijr pula sekarang," gurau Fijr, tidak jemu menyeka air mata Serene.
Ah, Fijr sudah pandai bersenda membuatkan Serene semakin berat hati.
"Untuk ibu dan ayah, Fijr akan hidup sebaiknya," janji Fijr buat kesekian kalinya.
Serene mencengkam baju di dada. Sakit. Nafas terasa tersekat dengan pandangan yang berbalam-balam dan hati yang berbelah bahagi.
Tiba-tiba kedengaran nama mereka dilaung dari jauh diselangi dengan pekikan kuda. Fijr menjadi cemas. Pantas ditolak tubuh Serene agar segera menghilangkan.
"Pergilah, ibu. Fijr sayang ibu."
Dalam keadaan yang semakin lemah, Serene memeluk Fijr buat kali terakhir sebelum menyarungkan rantai leher perkahwinannya pada leher Fijr. Fijr tersenyum sedang matanya berkaca. Masa seakan terhenti di waktu pandangan mereka bertaut dengan imbasan 1001 memori yang takkan terganti.
Tidak lama selepas itu, segerombolan kuda yang ditunggangi Khael dan Catherina serta dua pengiring yang lain semakin mendekat.
"Fijr!! Fijr! Buat apa di sini? Mana ibu?" Suara Khael kedengaran cemas lalu melompat turun dari kuda yang belum berhenti sepenuhnya. Diranduk gigi air yang dingin, memandang belakang tubuh kecil Fijr tegak berdiri.
Melilau pandangan Catherina mencari bayang Serene di sebalik kabus pagi yang memenuhi permukaan air sungai. Langit masih samar kegelapan, membataskan penglihatan.
"Fijr?" Khael merendahkan tubuh hingga wajah Fijr sama tara dengan wajahnya. Wajah Fijr kosong, tidak berkedip memandang lurus ke hadapan. Saat Khael menyapu air sungai pada muka Fijr, tiba-tiba anak kecil meletakkan tangan pada matanya dan menangis memecah sepi suasana pagi yang masih suram.
"Jangan marah ibu... jangan marahkan ibu..." rayu Fijr disulami tangisan yang sangat menyayat hati.
Redrick yang baru tiba terpinga-pinga melihat keadaan itu. Hatinya bergendang tidak enak.
"Serene!" Dia melaung dalam ketakutan. Takut akan sebuah kehilangan. Dia sudah berjanji pada diri sendiri untuk mengembalikan semula hubungan mereka yang renggang dahulu selepas Serene pulang ke kota. Redrick melutut, mencengkam tanah menahan perasaan. Dia belum bersedia untuk kehilangan Serene. Tidak untuk sekali lagi.
Catherina tergamam.
"Khael!" panggil Catherina sambil menunjuk ke arah air sungai yang mengalir lembut. Terlihat sehelai selendang yang terapung-apung. Khael berdiri dalam rasa tidak percaya, mencantumkan setiap yang berlaku di hadapan matanya.
Tak mungkin...
"Serene... sudah pergi..." Catherina terduduk di atas batuan sungai dengan mulut separuh terbuka. Tidak percaya. Tubuh Fijr dibawa ke dalam dukungan dan dipeluk erat. Khael menekup mulut dan tanpa dapat ditahan, air matanya menitis laju, bersatu dengan aliran sungai yang membawa Serene pergi... mungkin untuk selamanya.
#agoodbye
2635words
2306211630
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro