Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

24 | Dying To Make It Last Us A Lifetime

"I always had the strength to stand on my feet.
Because I never lose sight of the future where I was happy."
- Serene

Dia melangkah longlai meninggalkan perkarangan kediaman keluarga Isabella selepas menyerahkan kunci rumah kawannya itu kembali meskipun Isabella pernah memberitahu pada ibu ayahnya bahawa dia akan menyerahkan rumah itu pada Serene jika ada apa-apa yang menimpa dirinya. Serene sendiri tidak menyangka Isabella sebaik itu. Rasa berdosa semakin menggunung.

Kaki berhenti di persimpangan masuk ke tanah perkuburan namun dia hanya memandang dari jauh.

"Selamat tinggal, Bell..." bisiknya bersama angin lalu.

Kemudian dia berpatah balik ke perhentian bas untuk mendapatkan teksi. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon yang mengejutkan. Dipandang ke arah sisi kereta yang berhenti di bahu jalan.

Mikhail?

Lelaki itu tergesa-gesa mendapatkannya dengan wajah yang cemas.

"Ya Tuhan! Aku separuh mati cari kau! Mujur aku datang ke sini." Jelas ada nada lega di situ.

Serene mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.

"Kau tak sihat ke?" soal Mikhail. Wajah Serene nampak jauh berbeza berbanding semalam. Sangat pucat, bibir yang sudah tiada merahnya, cengkung dan tidak bermaya.

"Kenapa cari saya?" Soalan berbalas soalan.

"Oh!" Mikhail bagai teringat semula. Dibuka pintu keretanya, memaksa Serene masuk. Pantas Serene menggeleng.

"Tolong, Narsha. Tolong ikut aku. Aku tak tahu nak jelaskan macamana tapi kau kena ikut aku," rayu Mikhail.

Tanpa dapat menolak, Serene akur. Hendak berhujaj pun dia dah tak larat. Sepanjang perjalanan, Mikhail langsung tidak menerangkan apa-apa namun dari cara pemanduannya, jelas dia mahu bersegera.

Kereta diparkir. Serene memandang wajah Mikhail yang terus melangkah masuk ke dalam bangunan yang dipenuhi dengan manusia.

Hospital? Otaknya bagai terbejat. Hanya mampu mengekori langkah Mikhail tanpa suara.

Sampai di tingkat 4, mereka melalui beberapa laluan sebelum sampai di sebuah wad persendirian. Mikhail membuka pintu sambil mempersilakan dia masuk. Serene memandang dengan penuh persoalan. Tanpa amaran, Mikhail menolak tubuhnya masuk ke dalam dan pintu ditutup semula.

Serene menahan tubuhnya dari jatuh. Sebal dengan sikap Mikhail namun kerutannya menghilang di saat sesusuk tubuh di atas katil menyapa pandangan. Wajah yang polos, lena dengan tenang tanpa gangguan. Sinaran cahaya matahari yang mencuri masuk memancarkan cahaya lembut pada wajah itu.

Bagai dejavu, ada perasaan aneh menyusup ke dalam hati. Perasaan yang sama ketika dia melihat Amred tidak sedarkan diri satu masa dulu. Rindu yang sama. Pilu yang sama.

"Amred..." Entah bagaimana nama yang ingin dilupakan itu terpacul di bibir. Serene menekup mulut. Dihampiri setapak demi setapak. Wajah Ammar menjadi Amred semakin jelas di matanya lebih-lebih tanpa sebarang reaksi menjengkelkan dari lelaki itu. Rambut perang yang terlihat jelas, kulit kemerahan dan anak mata hijau pekat.

Ah, lelaki itu membuka matanya!

Serene mengetap bibir. Wajah lesu Ammar menyesakkan dada. Kedudukan mereka yang hampir membuatkan dia terkaku, tidak dapat melarikan diri. Tiba-tiba pergelangan tangannya dicapai. Ammar menarik Serene duduk di birai katil, menghadap dirinya. Serene memandang lelaki itu tanpa berkelip. Mata berkaca, hanya tinggal waktu untuk jatuh ke pipi.

"Serene... Serene Forrest. Ratu Amred," ucap Ammar, satu persatu.

Serene tergamam seketika. Setiap garis wajah itu diteliti. Jadi, benarlah Ammar ini Amred yang dicari selama ini? Saat hati mengakui, tangisan Serene pecah semahunya.

Amred menarik Serene ke dalam pelukan. Serene mengongoi bagai anak kecil di dada suaminya. Betapa dia merindui saat ini. Dia sudah cukup sesak dengan kesunyian hidup terbuang selama ini. Dia merindukan Amred.

"Maafkan aku. Aku lupakan kamu. Aku lupakan Serene aku. Maaf..." Air mata lelaki membasahi wajah. Tubuh Serene dirangkul erat tanpa mahu dilepaskan.

Ketika dia tidak sedarkan diri, segalanya berulang semula di memori. Waktu dia tersedar di hospital, dia mula merasa perbezaan pada seluruh tubuhnya selama ini.

"Maaf sebab banyak melukakan hati Serene."

Serene hanya terus menangis. Suara lunak itulah yang dirindui. Bukan suara kasar Ammar yang sering mengusirnya pergi.

Dari luar, Mikhail yang mengintai melalui celah pintu tersenyum puas. Dirapatkan semula dan dia melangkah sambil bernyanyi riang. Kebahagiaan mereka, kebahagiaannya juga.

          "Kalau Serene pulang..."

Genggaman menjadi erat.

           "...kita akan bersama. Kalau Serene tak mampu..."

Kesedihan ini nyata tidak berpenghujung.

          "...maafkan Serene. Sebab, Serene dah berjanji pada Fijr."

Mereka kalah dengan emosi. Setelah sejauh ini perjalanan, pertemuan ini mungkin hanyalah satu titik perpisahan.

Berbanding semalam, kali ini dia merasakan kemampuannya sudah sampai ke penghujung. Kesakitan terdampar di batuan kecil dan tajam sudah tidak dirasakan. Langit yang terbentang menjadi kelam perlahan-lahan. Sayup-sayup kedengaran suara memanggil-manggil namanya.

Suara-suara di sekitar memaksa dia membuka mata meskipun dia berasa ingin lena tanpa jaga lagi.

"Ibu!"

Bagai mendapat semangat baru, Serene mengangkat sedikit tubuh apabila mendengar suara lunak itu. Dalam kabur, tubuh Fijr menerpa pantas memeluknya. Serene membalas pelukan itu dengan seerat yang mampu.

"Terima kasih kerana kembali."

Serene memandang ke arah pemilik suara. Khael menghadiahkan senyum. Segelas air dihulurkan dan dia menyambutnya. Tangan kecil Fijr molek membantu dia meneguk dengan cermat. Diusap perlahan rambut keperangan itu.

Anak mata kecil itu ditatap dengan perasaan yang bergolak di dada. Benar dia sudah kembali, tapi ada sesuatu yang tertinggal di sana.

"Lepas ni, kita buat jamuan makan besar! Sambut kepulangan ibu!" cadang Khael sambil menarik tubuh kecil Fijr dan dilambungkan ke udara. Terkekeh kanak-kanak itu menahan kegelian.

"Fijr nak makan buah banyak-banyak!" Keletah Fijr dengan wajah yang sangat ceria.

Serene ketawa kecil. Dibiarkan Catherina yang sedang memeriksa kesihatannya. Kata Catherina, kemungkinan racun yang dia minum sebelum ini tidak keluar sepenuhnya dari tubuh memandangkan dia tidak dirawat oleh tabib yang handal. Hanya bergantung kepada herba biasa namun Serene akur kerana itu adalah salahnya sendiri satu masa dahulu.

Kini dia ingin tumpukan perhatian pada Fijr. Tidak lepas walau sesaat pun wajah polos Fijr dari matanya. Andai bisa, dia tidak mahu berkelip pun.

Catherina turut bergembira. Lily dan Rose menjadi saksi petang yang bahagia selepas dua hari Serene tidak sedarkan diri.

Malam itu, selepas makan malam yang istimewa, Fijr leka bermain dengan Khael. Lily, Rose dan Catherina duduk di meja makan sambil membancuh tepung roti untuk esok pagi. Serene pula hanya memerhati kerana tubuh yang masih terasa lesu. Dia juga masih belum dapat berjalan dengan sempurna. Perlu dipapah untuk ke mana-mana.

           "Serene jangan sedih lagi ya. Tak semua manusia dapat hidup yang sempurna. Khael kata, dia mungkin akan berpindah ke sini. Jadi Fijr takkan sendirian lagi. Hakikatnya memang perit, tapi hidup mesti diteruskan," ucap Catherina.

Khael mendekat bersama senyuman penawar lara di hati. Ah, lelaki berlesung pipit ini murah dengan senyuman sejak dulu lagi.

          "Kami akan temani Serene dan Fijr. Abang tak kisah walaupun abang akan dihukum sekali."

Ucapan Khael benar-benar meruntun hati. Serene seka air mata dengan hujung jari. Catherina bangkit memberi ruang kepada mereka berdua.

Seketika, mereka hanya diam menikmati hembusan angin dari jendela yang terbuka.

           "Tak sangka, Serene sedang bercakap dengan Khael, bukannya Redrick sekarang." Serene tertawa dalam sebak.

Khael tersengih. Dia mengerti maksud Serene. Redrick lebih mesra dan akrab dengan Serene berbanding dia yang lebih pendiam dan suka memerhati tetapi itu tidak bermakna dia tidak menyayangi Serene.

Sejak kali pertama dia diamanahkan mengawasi Serene, jelas terlihat Serene memerlukan seseorang untuk melindunginya. Kerana itu dia membahasakan diri sebagai 'abang' walaupun Serene membantah satu masa dahulu. Dalam olak mata Serene, dia tahu wanita itu merindui Redrick.

Sejak Redrick menyalahkan Serene atas kematian Arsha, bakal isterinya, hubungan mereka terus merenggang malah Redrick tidak menerima jemputannya untuk menziarahi Serene.

          "Redrick baik-baik saja sekarang," maklum Khael tanpa dipinta.

Serene tersenyum pahit. Rindu itu memang pahit.

          "Val?" Spontan Serene bertanya.

Air muka Khael sedikit berubah, menggusarkan Serene.

          "Val menghilangkan diri tidak lama selepas Serene pergi. Tiada khabar berita tentangnya sehingga kini."

Mata dipejam rapat. Maka, musim luruh tujuh tahun dahulu itu benar-benar satu perpisahan buat mereka.

         "Serene, kita lepaskan semua. Kita mulakan hidup baru. Abang bukan nak rampas kedudukan Amred sebagai ayah Fijr, abang cuma akan isi kekosongan itu hingga Fijr boleh hidup sendiri nanti."

Serene mengetap bibir. Bagaimana harus dia menyatakan?

          "Asalkan Cik Puan jaga kesihatan, selalu tersenyum, itu sudah memadai bagi Fijr. Nampak dia sayang betul pada Cik Puan. Kelmarin dia tertunggu-tunggu Cik Puan di tepi sungai sampai sanggup tak pergi ke kelas. Mujur Tuan Khael ada," celah Rose. Meskipun sudah ditegah berkali-kali, Lily dan Rose tetap memanggil panggilan hormat itu pada Serene.

Serene memandang ke arah Fijr. Hatinya berbelah bahagi. Antara dua insan yang disayangi, dua lelaki yang dia miliki, dua hati yang menyayangi dia dengan seikhlasnya, yang menunggunya saban hari. Amred dan Fijr.

Amred menantinya di sana. Fijr mengharapkannya di sini. Amred tidak mampu mengharungi perjalanan ke sini. Beberapa kali mereka mencuba, Amred hampir mati kelemasan hingga saat percubaan akhir, Amred terpaksa dikejarkan ke hospital. Lelaki itu terlalu memaksa diri namun dayanya tidak setara Serene yang mampu menguasai air kerana arus yang terlalu deras dan dasar sungai terlalu dalam untuk dicapai. Kerana itu hanya Serene yang berjaya kembali.

Tujuh tahun dia menanti untuk bersama semula dengan Amred, kini dia tersepit pula. Benar-benar tersepit!

Tiba-tiba ketukan pintu dari luar kedengaran. Masing-masing berpandangan dengan penuh curiga. Fijr berlari bersembunyi di sisi tubuh Serene. Di saat Khael membuka pintu, lelaki itu tergamam tanpa kata.

          "Ketua Tertinggi?"

Serene terkedu. Wajah Redrick turut muncul bersama beberapa orang lagi yang mengiringi rombongan kota itu. Gentar juga hatinya melihat wajah Ketua Tertinggi yang sudah tujuh tahun tidak ditemui. Catherina dan Lily serta Rose beranjak ke tepi, memberi laluan kepada Ketua Tertinggi yang sedang melangkah lurus ke arah Serene.

Tanpa segaris senyuman, lelaki yang sudah dimamah usia itu memandang silih berganti ke arah Serene dan anak kecil di sisi Serene.

          "Serene..."

Serene memejamkan mata. Sungguh terasa gerun apabila mendengar suara yang acapkali menggertak dan mengherdiknya selama ini. Rupanya luka di hati tidak pernah sembuh.

Sekelip mata, dia terasa tubuhnya tenggelam di dalam pelukan Ketua Tertinggi. Masing-masing terkejut.

           "Maafkan ayah, Serene. Maafkan ayah..." Air mata seorang ayah membasahi pelupuk mata Ketua Tertinggi. Mata yang selama ini penuh dengan nyalaan api amarah dan keegoan.

          "Maafkan ayah. Ayah tak boleh pilih kasih. Sebab antara semua anak angkat ayah, hanya Serene anak kandung ayah."

Sekali lagi mereka semua terperanjat besar, apalagi Serene. Selama ini dia dimomokkan dengan cerita kematian ibu dan ayahnya. Jadi benarlah kata ibu angkatnya dulu, dia dibuang ayahnya dan jika bukan kerana ibu angkatnya itu, dia sudah mati tenggelam ke dalam sungai.

          "Ayah akui, ayah mahukan anak lelaki sebagai pewaris. Tapi ibu Serene lahirkan Serene dan dia mati selepas itu. Dan ayah, dengan kejam menghukum ibu dengan melampiaskan kemarahan pada Serene. Ayah kejam kerana menghukum sesuatu yang di luar kuasa ibu Serene. Ayah bersalah. Maafkan ayah."

Serene menolak sedikit tubuh ayahnya. Dahinya ditekan kuat. Sakit kepala cuba menghadam kata-kata Ketua Tertinggi. Hatinya bagai dihiris sembilu.

Kenapa begini akhirnya?

Kenapa kebenaran itu amat pahit sekali untuk diterima?

Catherina menerpa, menahan tubuh Serene dari rebah. Wanita itu masih belum sembuh sepenuhnya dan kini terpaksa menerima khabar mengejutkan itu pula. Didudukkan Serene di atas kerusi kayu.

Serene meraih Fijr ke dalam pelukan, inginkan kekuatan. Redrick sudah berpaling ke belakang, menahan sebak. Siapakan tahu, dia sebenarnya merindukan Serene namun terlalu malu untuk berhadapan memikirkan betapa dia tidak patut meletakkan kesalahan di atas pundak Serene yang hanyalah mangsa keadaan.

Serene menarik nafas yang paling dalam.

          "Ya, hati Serene sakit. Tapi dah tak ada guna, kan? Serene dah lali dengan semua kesakitan dan kesusahan ni. Serene dah lali dengan penghinaan sebagai orang terbuang." Sungguh dia berjauh hati.

          "Serene, memang dulu ayah selalu marah dan hukum Serene tapi tentang pembuangan negeri itu, ia memang di luar kuasa ayah. Ayah kena bersikap adil demi keselamatan kota. Dan sekarang, Serene di dalam proses pengampunan kerana tidak melanggar sebarang pantang larang. Kalau pun Serene terseksa, ayah juga. Ayah diseksa oleh tangan ayah sendiri. Maafkanlah ayah." Ketua Tertinggi melutut, cuba memandang Serene yang berpaling ke arah sana.

Seketika suasana menjadi hening. Serene pejamkan mata. Jika dulu dia mendambakan perkataan 'ayah' itu namun kini, mendengarnya sahaja sudah cukup menyeksakan.

Serene memandang Fijr yang masih terpinga-pinga. Lama. Ditelan air liur yang pahit sebelum ditarik tangan Ketua Tertinggi dan disatukan dengan tangan kecil Fijr.

         "Ini datuk Fijr," ucapnya, perlahan. Ya, dia mengalah. Untuk apa menyimpan dendam. Dia sudah terlalu penat berperang dengan perasaan sendiri.

Ketua Tertinggi terus memeluk Fijr serta Serene serentak. Cukuplah berkali-kali dia membuat kesilapan, dia tidak mahu menghancurkan peluang yang masih bersisa.

Catherina, Khael dan Redrick sudah bergenang air mata. Semoga ada kebahagiaan buat mereka.

          "Kita balik ke kota. Hidup di sana bersama-sama. Fijr nak ikut?" tawar Ketua Tertinggi.

          "Datuk nak bawa Fijr balik ke kota? Fijr teringin sangat!" sorak Fijr.

Lily dan Rose sudah bertepuk tangan perlahan, yang lain pula berpandangan dengan wajah teruja. Kejanggalan beransur pudar dengan gelak tawa Fijr.

Di saat mereka meraikan saat bermakna itu, hanya Serene yang sudah tidak mampu lagi untuk tersenyum.

Mengapa sekarang?

Mengapa di saat dia sudah bertemu dengan Amred?

Adakah dia patut menyesali perbuatannya mengikut Mikhail ke hospital?

Ah... hanya dia seorang yang merasa gelodak hatinya sendiri.

          "Aku akan tunggu kamu untuk perbetulkan semula segalanya. Aku akan menunggu biarpun beribu tahun lamanya. Andai kamu tidak kembali, jangan memaksa diri. Satu hari nanti, kita masih ada kenangan bersama."

Kata-kata Amred terngiang-ngiang di telinga, bersilih ganti dengan wajah-wajah ceria manusia di hadapannya terutama Fijr.

#beingabetter
2159words
0605210533
T48468

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro