23 | Fable In the Forest
"We all have that empty space in our hearts
that will always silently cry."
- Khael
"Apa yang dia fikirkan? Hilang akal ke? Dia tinggalkan Fijr, Khael! Fijr tu masih kecil. Sudahlah tak ada ayah, ibu dia pula..."
"Catherina." Dalam nada suara Khael menyentakkan Catherina dari terus-menerus mempertikai keputusan Serene.
"Betul kata kau, dia hilang akal. Benar-benar hilang akal. Beberapa kali dia cuba membunuh diri. Kau pun ada waktu Val ceritakan masa lalu Serene yang penuh derita. Dia baru sahaja nak menikmati kehidupan yang baik tapi ini pula terjadi malah dibuang begitu sahaja," balas Khael.
Catherina diam tidak membalas. Cerita Val terngiang kembali dalam kotak memori.
"Saat dia merentasi sungai dan sampai ke tempat itu, kemungkinan wujudnya Amred memberikan dia 'kehidupan' baru. Dalam tekanan begini, dia terdesak untuk mencari Amred. Tapi desakan itulah yang menbuatkan dia masih bernafas hingga ke hari ini. Dia langsung tak bersalah dan aku lihat, dia mula sedar baik buruk perbuatannya."
Catherina tersandar di pangkal pokok. Tergamam apabila mendapat tahu hal itu. Merasa bersalah kerana tidak memahami kedudukan Serene yang sendirian dan hilang arah tuju.
"Kita semua patut tebus pengabaian kita pada dia dan Fijr, Catherina," ucap Khael, sebak.
Mereka berpandangan dalam bahasa bisu.
➰
Keesokan paginya, ketika Serene bersiap untuk ke sungai, dilihatnya Khael sedang pulang entah dari mana.
"Mana Fijr?"
"Dia sudah ke kelas."
"Awalnya?" Catherina menyampuk.
"Iya, sarapan pun baru siap," Lily pula bersuara.
"Dia kata dia sarapan di sekolah. Khael dah bekalkan dia roti."
"Oh, baik." Serene berpandangan dengan Catherina. Khael tersenyum hambar.
"Pergilah dan cepat pulang. Pulang dengan selamat, ya?" Tangan Catherina menggenggam dengan erat.
Serene mengangguk. Bukan dia tidak dengar perbalahan Catherina dan Khael malam tadi. Catherina membantah keputusan dia untuk pergi hari ini dalam keadaan masih tidak mempercayai sepenuhnya apa yang dia ceritakan.
Hinggalah awal pagi tadi, datang seorang perutusan dari kota memberitakan pengunduran puak syaitan dari perkarangan kota. Dikhabarkan, api sihir yang mewakili nyawa Dar sudah terpadam sekaligus membenarkan kebenaran kata-kata Serene mengenai kematian Dar di 'sana'.
Saat itu, Catherina tiada pilihan lain selain untuk mempercayainya.
Ketika dia sampai di tebing sungai, dia terlihat sehelai kertas kulit bergulung di celah batu. Diambil dan dibuka.
'Fijr sayang ibu.'
Tulisan comot itu menyentakkan naluri Serene. Ah, Fijr sudah pandai menulis rupanya! Kemudian, dia terduduk.
Ya Allah, Fijr ke sekolah lebih awal dari biasa. Adakah kerana tidak sanggup melihat dia pergi lagi?
Serene memejamkan mata. 'Tunggu ibu pulang. Ibu janji.'
➰
"Selamat tinggal, Bell. Aku tak akan datang ke sini lagi. Maafkan aku atas apa yang berlaku. Dan... terima kasih kerana menjadi kawan terbaik aku."
Serene menyiramkan air bunga ke atas tanah yang masih merah. Seketika tangan melekap ke dada yang terasa sempit. Selepas dia tiba di sini, kesihatannya jelas semakin merosot. Langkahnya juga sudah tidak kuat.
Dipaling ke belakang menghadap Mikhail yang berdiri agak jauh darinya. Dia menunduk sedikit tanda terima kasih kerana sudi menunjukkan di mana kedudukan kubur Isabella.
Mikhail mengangguk perlahan. Matanya menatap langkah Serene yang semakin menjauh. Dipandang pula ke dalam keretanya yang diparkir di luar kawasan tanah perkuburan. Kepala digeleng perlahan. Dihampiri kereta yang masih hidup enjinnya.
"Aku dengar tadi, ni kali terakhir dia datang sini. Dia macam nak pergi jauh je. Kau tak nak jumpa dia ke?" soal Mikhail pada Ammar yang sedang bersandar di kerusi sebelah pemandu.
Ammar hanya membatu. Dia mengikut Mikhail ke situ kerana diperdaya. Mikhail kononnya mengajak dia menemani untuk makan di luar, rupanya Narsha yang mahu bertemu dengannya. Tapi, jangan haraplah dia hendak bersua muka lagi dengan perempuan pelik itu! Dipandang ke arah bayang Narsha yang sudah menghilang.
Tiba-tiba, telefon bimbit Mikhail berbunyi. Tanpa amaran, dilekapkan telefon itu pada telinga Ammar.
"Ammar." Suara Narsha menerpa gegendang telinga.
Bulat mata Ammar memandang Mikhail yang sudah keluar dari kereta. Dimatikan panggilan dan dicampak pada kerusi pemandu. Sebal hatinya.
Namun entah mengapa, melihat nama Narsha-Bell muncul pada paparan skrin, rasa simpati pula pada perempuan itu. Akhirnya dia akur, dijawab juga.
"Terima kasih sebab sudi jawab panggilan saya. Saya..."
"Straight to the point!" Tegas.
Serene diam seketika sebelum menyambung. "Saya akan balik ke tempat saya. Cuma, satu saja kepastian yang saya perlukan untuk menjawab keraguan saya. Awak memang tak ingat apa-apa... tentang saya? Serene? Dan Amred. Tentang kita?"
Ammar memejamkan mata. Fikirannya memang kosong. Tidak ada apa. Hanya punya simpati yang berbaki.
"Hmm.." Hanya itu sahaja dan panggilan diputuskan.
Serene memandang skrin telefon bimbit peninggalan Isabella. Panggilan yang diputuskan dengan sengaja. Serene menarik nafas sedalam-dalamnya.
"Terima kasih, Ammar. Sebab menjawab keraguan saya," ucapnya meski dia tahu Ammar tidak mendengar lagi. Perit, namun dia mesti dan wajib terima.
Ammar bukan... Amred.
Ah, hati! Mengapa masih sukar untuk mengakui. Dari berdiri, Serene duduk dan memeluk kaki. Mulutnya disembamkan pada lutut. Baru dia akui, perasaannya terhadap Ammar sama dengan perasaan ketika Amred menyatakan bahawa Amred mencintainya.
"Amred... Serene dah jatuh hati pada Ammar. Serene bersalah... sebab Serene sukakan Ammar." Ditahan air mata. Tidak mahu menangis lagi namun rasa bersalah semakin kuat. Bimbang jika cintanya pada Amred sudah beralih pada Ammar.
➰
"Nak ke mana ni?" soal Ammar apabila kereta Mikhail masuk ke dalam kawasan parkir yang agak sesak.
"Sebab kau naik kereta aku, kau ikut jelah. Duduk diam-diam boleh tak? Kalau tak nak ikut, duduk dalam kereta ni je."
Ammar mencebik. Tiba-tiba naik angin pula mamat seekor ni. Diperhati kawasan sekeliling yang penuh sesak dengan pengunjung yang datang. Poster gambar beberapa orang artis juga penuh bertampal di mana-mana. Dibiarkan Mikhail yang sudah pun keluar pergi meninggalkannya.
Ah, bosan!
Dengan malas, dia keluar juga dari kereta. Tanpa arah tuju, dia berpusing-pusing di sekitar kawasan lapang yang dipenuhi dengan gerai jualan seperti suasana karnival.
"Heart beats fast, colors and promises,
How to be brave,
How can I love when I'm afraid to fall,
Watching you stand alone,
All of my doubt suddenly goes away somehow..."
Suara nyanyian yang bergemersik bergema dari dalam dewan berhampiran di situ menyentakkan Ammar. Langkah dan nafasnya seiring terhenti. Bukankah itu suara Isabella? Suara Isabella yang selama ini memikat hatinya hingga sanggup ke Blind Cafe setiap minggu tanpa terlepas biarpun sakit!
Ammar melajukan langkah menghampiri pintu masuk dewan yang sedang melangsungkan pertandingan nyanyian itu. Dikecilkan mata, memandang sesusuk tubuh yang duduk di atas sebuah kerusi berkaki tinggi sambil memegang mikrofon yang terletak elok.
"One step closer..." Suara yang amat dikenali.
Mata Ammar membulat. Narsha! Suara itu milik Narsha! Suara yang selama ini membuatkan dia gila bayang! Suara yang membuatkan dia berani mendekati Isabella yang langsung tidak dikenalinya.
"I have died everyday waiting for you,
Darling don't be afraid,
I have loved you,
For a thousand years...
I'll love you for a thousand more..."
Serene menahan sebak agar nada suaranya tidak terjejas. Sungguh lirik itu dia yang memaksudkannya. Patutlah Isabella bersungguh mahu dia menyanyikan lagu itu.
Benar sekali. Dia mencintai Amred beribu tahun lamanya dan dia akan mencintai Amred beribu tahun lagi.
Serene terus menyanyi. Tidak sedar dengan sepasang mata Ammar yang merenung dari kejauhan. Mindanya terlayar satu persatu kesusahan yang tertimpa. Wajah Dar juga muncul, yang membuatkan dia sedar betapa tekadnya dia ingin mempertahankan Ammar yang disangka Amred daripada menghilang dari hidupnya.
Tatkala matanya dikatup, setitis air mata gugur juga.
"I have died everyday waiting for you,
Darling don't be afraid I have loved you
For a thousand years,
I'll love you for a thousand more..."
Ammar memandang Mikhail yang entah bila sudah berdiri di sebelahnya.
"Sebab ini ke kau halang aku dekati Isabella?" soal Ammar. Dia teringat kata-kata Mikhail sebelum ini.
"Kalau kau cuma sukakan suara dia, datang sajalah macam biasa hujung minggu. Tak payah kenal-kenal."
Mikhail hanya tersenyum hambar sambil memandang lurus ke atas pentas. Tidak perlu bercakap panjang, Ammar sudah menangkap apa yang terjadi sebenarnya. Suara gemersik itu sebenarnya adalah milik Narsha atau Serene. Selama ini, Isabella hanya menggerakkan bibir sedang di dalam masa yang sama Narsha yang menyanyi di belakang pentas. Itupun di atas permintaan Narsha yang tidak mahu menonjolkan dirinya.
Dan patutlah juga, Isabella tersenyum pahit ketika dia menyatakan bahawa dia terjatuh hati pada gadis itu kerana suaranya.
Mikhail menjauh, meninggalkan Ammar yang masih terpaku. Dibiarkan Ammar hanyut dalam bayangan masa lalu. Andai benar Ammar adalah orang yang dicari Narsha, pasti Ammar akan 'kembali.'
Di saat itu, di atas pentas, jantung Serene berdetak kencang ketika terlihat seorang lelaki berkumis yang mirip wajah Ammar atau lebih tepat lagi mirip wajah Amred! Lelaki yang ditemuinya di pusat beli-belah tempohari. Cara lelaki itu merenungnya membuatkan dia gelisah.
"And all along I believed I would find you,
Time has brought your heart to me,
I have loved you for a thousand years,
I'll love you for a thousand more..."
Alunan muzik beralun seketika. Memberi ruang kepada Serene untuk mengawal air muka dan nada suara yang mula bergetar hebat.
Itukah Amred? Itukah Amred yang sebenar? Itukah Amred suaminya? Amred, ayah kepada Fijr?
"One step closer..."
Ammar melangkah, merapati bahagian tepi pentas tanpa disedari Serene yang masih memakukan pandangan kepada lelaki berkumis itu.
"One step closer..." Serene menutup mata. Entah mengapa, dia terasa sedikit hampa jika lelaki itu benar-benar Amred, bukan Ammar.
Dia mendapat tepukan gemuruh namun tanpa memandang juri yang berada di hadapan pentas, Serene terus bangkit dan turun dari situ. Panggilan dari beberapa orang petugas tidak dipedulikan. Dia hanya ingin lenyap dari situ dengan segera. Tiada apalagi untuk dikejar.
Belum jauh dia melangkah, tiba-tiba lengannya dicengkam kuat. Serene berpaling ke belakang. Serta merta wajahnya memucat.
"Serene?"
Serene tergamam. Pertama kali ada manusia di zaman itu yang menyebut nama betulnya. Lelaki berkumis itu berada terlalu hampir dengannya malah anak mata hijau gelapnya berkaca-kaca.
"Serene Forrest?"
Serene mengetap bibir apabila nama penuhnya pula yang meniti di bibir itu. Dipandang tangan yang mencengkam lengannya. Kabur. Air mata penuh bertakung di tubir mata.
"Saya... Amred..."
Serene teresak perlahan membuatkan lelaki itu terhenti bicara. Ditarik lengannya semula dan dia terus berlari meninggalkan lelaki yang bernama Amred itu.
Hatinya keliru.
Tidak jauh dari situ, Ammar yang cuba mendapatkan Serene tiba-tiba berhenti melangkah. Kepalanya terasa berpusing. Dalam pandangan kabur itu dia sempat melihat Serene bersama dengan seorang lelaki.
Dia cuba mendekat namun langkahnya mula tempang. Tangannya dihulur ke depan apabila melihat bayang Serene yang kabur berlari menjauh meninggalkan tempat itu.
Mikhail yang turut melihat pertemuan Serene dengan seorang lelaki asing, mencari-cari bayang Ammar. Tadi disangkanya lelaki asing itu adalah Ammar kerana susuk tubuh mereka sangat mirip. Cuma apabila dipandang ke wajah, lelaki asing itu mempunyai kumis nipis yang kemas.
"Ya Allah, Ammar!"
Mikhail mengucap panjang apabila ternampak Ammar yang sudah melutut di lantai dengan kedua belah tangan menongkat lantai, menyokong tubuhnya dari tersembam. Darah menitis dari rongga hidung mencemari lantai. Diterpa dan dipaut tubuh kawannya dibantu oleh seorang lelaki entah dari mana membawa Ammar ke kereta. Selepas menerima ucapan terima kasih, lelaki berbaju petugas itu berlalu pergi.
Mikhail menepuk-nepuk pipi Ammar yang sedang meracau-racau.
"Am, bangun Am!"
Dibasahkan tangannya dengan air dari botol mineral lalu disapu pada wajah Ammar namun caranya tetap tidak memberi kesan. Akhirnya dia memandu laju menuju ke hospital. Bimbang.
"Serene... Serene..." Ammar terus meracau dengan beberapa butir yang tidak jelas sebelum akhirnya dia tidak sedarkan diri sepenuhnya.
➰
Serene berselubung di bawah selimut. Tubuhnya menggeletar hebat. Hujung kuku digigit-gigit. Wajah Ammar dan lelaki berkumis itu bersilih ganti bagaikan ulang tayang di minda. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri.
Kenapalah dia melarikan diri dari lelaki tadi?
Apa yang dia takut sangat?
Takut kalau lelaki itu benar-benar orang yang dicari?
Ah, kenapa dia tidak minta penjelasan dari lelaki itu tadi!
Serene menolak selimut yang membungkus. Ammar sudah lenyap dari fikirannya sekarang. Dipejam mata, mengharapkan sedikit ketenangan sebelum dia merasa hidungnya basah. Disentuh dengan hujung jari. Terkejut melihat darah merah yang pekat mengalir dengan begitu banyak. Dia bertatih ke bilik air. Wajah dibilas berkali-kali. Air yang bertakung di sinki menjadi merah.
Serene menekap dengan beberapa helai tisu. Kepalanya menjadi pusing. Ingin dia melangkah keluar namun entah bagaimana dia tergelincir di lantai yang licin. Tubuhnya menghempas keras lantai marmar yang sejuk.
Serene menyeringai kesakitan. Digagahkan jua untuk bangkit. Nafasnya pula termengah-mengah. Bersusah payah dia merangkak keluar dan berbaring semula di atas katil milik Isabella itu. Seluruh tubuhnya bagai dikerunyut.
Tiba-tiba dia terkenangkan Fijr. Pasti hancur hati anak kecil itu jika dia pulang dalam keadaan tenat. Nampaknya tubuh dia sudah tidak mampu bertahan dengan perpindahan suasana yang dialami berkali-kali. Dalam lemah, dia sudah tidak mahu mengharap apa-apa.
Esok, dia akan pulang ke sana. Biarlah... dia tidak mahu menghadapi kehilangan lagi. Mungkin Amred dan dirinya memang ditakdirkan untuk hidup bersama hanya buat seketika.
Mata dipejam bersama titisan hangat yang mengalir.
'Aku berhenti di sini.'
➰
#stop
2087words
0505210505
T46309
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro