19 | Sailing Through Surging Billows
"Kamu pergi bersama musim luruh.
Tetapi musim luruh kembali, kenapa kamu tidak?"
- Narsha
Apabila bahunya dilanggar seseorang, kenangan lama direnggut semula. Narsha merasa dadanya berdebar kencang. Dipandang semula ke arah kawasan tetamu wanita.
Dhia sudah kembali menekur ke bawah, malu-malu pengantin. Narsha cuba menyedapkan hati namun tatkala nama Dhia diseru oleh tok kadi, sekali lagi dia memandang ke wajah Dhia yang sudah mengangkat wajah. Kening bertaut.
"Dar." Terhembus nama itu di bibirnya.
Saat itu juga Dhia memandang ke arahnya yang masih berdiri di luar tingkap. Nafas Narsha terhenti.
Dar! Dhia adalah Dar! Dia yakin. Dia masih ingat anak mata itu biarpun 7 tahun sudah berlalu.
"Ish, ke tepilah!" Seorang lelaki dengan kamera di tangan menolak dia ke belakang. Pandangannya dihalang dengan lelaki yang mungkin seorang jurukamera. Sedang sibuk mengetik punat di kamera DSLR.
Narsha tertatih ke belakang dan bertinggung di tepi pagar. Masih cuba memproses apa yang sedang berlaku kini. Dia yakin, dia tak salah. Dhia adalah Dar yang sememangnya seorang wanita. Macamana Dar boleh muncul di sini?
Melainkan... Ammar adalah Amred!
Tiba-tiba Narsha berdiri tegak dari duduknya. Tidak! Dar cuba memisahkan dia dengan Amred!
Narsha cuba untuk kekal tenang, mencari ruang tersembunyi dan menekur di situ. Mata dipejam rapat. Apa pun yang terjadi, dia mesti hentikan majlis ini!
Di dalam majlis, Dhia mula tidak senang duduk. Khutbah nikah, gurauan dan soalan dari tok kadi terasa merimaskan. Dilirik ke arah Ammar yang kelihatan hilang fokus. Dalam masa yang sama, matanya teralih ke arah cawan di tangan Encik Rizwan yang duduk bersebelahan dengan Ammar, mula berkocak perlahan. Hujung baju pengantinnya diramas-ramas.
"Tenang ya, pengantin perempuan. Koyak baju tu nanti, haa.." Entah suara siapa yang mengusik, membuatkan hatinya panas.
"Boleh tak teruskan sesi akad nikah saja?"
Semua terdiam apabila mendengar suara Dhia yang agak kasar. Terkejut.
Dhia mendengus perlahan apabila menyedari keterlanjurannya. Ammar turut menoleh dengan dahi berlapis. Puan Zaitun menyiku anak angkatnya, tanda menegur.
"Err... sebab saya tengok bakal suami saya macam tak sihat." Dhia mencipta alasan. Lega apabila melihat Ammar mengangguk kepadanya.
Mata diliarkan ke sekeliling majlis, mencari kelibat Narsha atau nama asalnya, Serene. Sungguh dia tak menyangka Serene mampu menyaingi pencariannya.
Akhirnya, dia mampu menghela nafas lega apabila tangan Ammar dan tok kadi bertaut.
"Eh, air melimpah! Dari mana ni?" Jeritan satu suara membantutkan majlis.
Dhia mendengus sebal. Dipaling ke belakang, ramai tetamu sudah bangkit. Entah air dari mana mengalir dari dapur membanjiri lantai ke ruang tamu. Puan Zaitun sudah mengucap panjang.
"Teruskan saja majlis!" Dhia mendesak.
Teragak-agak tok kadi dibuatnya. Ammar mengecilkan mata apabila pandangannya menjadi berbalam-balam. Terlayar-layar wajah Narsha di tubir matanya. Kepalanya dipegang.
"Kau okey tak ni?" Mikhail mampir ke sisi. Ammar memejamkan mata. Perit.
Jeritan dari luar menggamatkan lagi suasana. Tong-tong berisi air terbalik semuanya, habis melimpah bersama ketulan ais. Pili air tercabut di sinki, memuntahkan limpahan air yang banyak. Para tetamu di ruang tamu bertempiaran lari apabila dihujani titisan air yang menitis dari siling di atas mereka bagaikan ada saluran paip yang pecah.
"Tak! Jangan pergi! Teruskan saja! Hanya sekali lafaz saja kan? Apa yang susah sangat?" Suara Dhia melengking apabila dilihatnya tetamu dari masjid mula berdiri sama. Kacau bilau!
Mikhail dan Encik Rizwan sudah memandang Dhia dengan pandangan pelik. Kenapa terburu sangat? Seakan takutkan sesuatu. Bukannya tidak boleh ditangguh dan dibuat di tempat lain. Takkan nak teruskan dalam suasana kelam kabut macam ini?
"Allahuakbar!" Encik Rizwan bertakbir panjang apabila Ammar rebah tiba-tiba di pangkuannya. Titisan cecair merah pekat keluar dari hidungnya. Suasana yang sememangnya sedang kucar kacir bertambah gawat apabila Ammar tidak sedarkan diri. Beberapa orang lelaki mengerumuni, membantu mengangkat Ammar ke ruang yang lebih selesa.
"ARGH!" Dhia melampias rasa geram lantas terus berlari keluar meninggalkan Puan Zaitun terpinga-pinga.
Di luar, tatkala Narsha terlihat kelibat Dhia yang melingas pandangan menakutkan, dia terus melarikan diri. Mereka perlu menamatkan perbalahan mereka di tempat lain. Jauh dari orang ramai.
Dhia menangkap susuk tubuh Narsha yang menyusup keluar. Tanpa menyarung alas kaki, dia turut mengejar Narsha. Pandangan tetamu dan laungan ibu angkatnya sudah tidak dipedulikan. Narsha atau lebih tepat lagi, Serene, harus dihabiskan! Hatinya menyumpah-nyumpah.
Kejar mengejar antara mereka berakhir di laluan berbukit di kelilingi hutan. Terbentang sungai di hadapan mereka yang merupakan pintu pemisah 2 dunia. Hanya mereka yang tahu dan mana-mana manusia pasti akan menolak kenyataan itu kerana akal yang terbatas.
"Sanggup kau kejar kami sampai ke sini, Dar?" tempik Serene. Selama ini dia menggunakan nama samaran Narsha untuk menjejaki Amred. Masih bersisa kesal kerana lambat menyedari kewujudan Dar.
"Seluruh hidup aku memang untuk menghancurkan kau berdua!" bentak Dar. Selendang di kepala sudah terlucut, memaparkan rambutnya yang perang kemerahan diwarisi dari keturunan puaknya. Persalinan pernikahan juga sudah dicemari warna tanah.
Serene menghela nafas berat. Doa dipanjatkan agar Ammar tidak menghadapi apa-apa yang serius. Dia nampak saat Ammar rebah tadi namun apakan daya, dia perlu menyelesaikan hutang antara dia dan Dar yang seakan tidak pernah habis.
"Jadi, Ammar itu Amred, kan? Kalau tak, kenapa kau nak kahwin dengan dia?" Dar ketawa mengilai. Menahan amarah kerana rancangannya hancur di saat-saat akhir.
"Kau buta, Serene. Kau patut lepaskan dia. Diperbodohkan cinta malang dan abaikan orang yang menderita tanpa kau di sana. Yang dikejar tak dapat, yang ditinggalkan kesepian." Dar ketawa mengejek.
Serene memicingkan anak mata. Tidak mengerti maksud Dar.
"Fijr. Kau terlalu mengejar Amred sampai kau lupakan Fijr." Sinis Dar berbicara.
"Bukan kau orangnya untuk mempersoalkan keputusan aku." Serene menahan ombak di dada. Fijr!
➰
Tatkala nama itu melintas di hati, sepantas kilat dia bangkit dari pembaringan.
"Cik Catherina, Cik Puan dah sedar!" Suara Lily menyapa pendengaran. Serene cuba menuruni katil namun ditahan. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.
"Serene, tolong jangan berdegil! Kandungan Serene masih dalam perapian!"
"Amred... Serene nak cari Amred. Dia jatuh dalam sungai, Catherina. Dia tak boleh tinggalkan Serene macam ni..." Serene merayu di kaki Catherina.
Catherina menahan sebak. Sebelum ini Serene sedar beberapa kali namun banyak meracau kemudian pengsan semula namun kali ini wanita itu nampak sudah sedar sepenuhnya.
Dia memandang ke arah Redrick dan Khael yang baru tiba di muka pintu selepas mendengar suara Serene. Masing-masing diam tidak terkata apa. Redrick sudah berpaling ke belakang, menahan air mata yang mula bertakung. Ada rasa bersalah menyelinap kerana melancarkan perang dingin terhadap adiknya itu sedangkan Serene sedikit pun tidak bersalah di atas kematian Arsha. Hanya takdir hidup tidak menyebelahinya.
"Catherina... tolonglah."
"Serene." Khael menghampiri dan melutut di sisi Serene. Dipanggung wajah Serene agar memandangnya. Nafas dihembus perlahan.
"Amred... dah tak ada."
Serene terpaku tanpa berkelip. Nafas juga terhenti. Bibirnya bergetar ingin menyatakan sesuatu namun tidak berdaya.
"Amred mati lemas bersama Sachred yang cuba untuk selamatkan dia. Ramai tentera dikerahkan untuk mencari mereka namun di waktu itu puak 'syaitan' mengganggu. Kami hanya menemui baju Amred yang terkoyak dengan kesan darah. Jasad mereka sudah dilupuskan oleh puak 'syaitan'.
"Tanpa jasad, dia masih ada peluang hidup, Khael. Kenapa semudah itu kau semua percaya dia dah tak ada?" Serene mencerlung menikam pandangan Khael.
"Mereka... mengaku melakukan itu atas dasar dendam. Mereka hanya pulangkan ini sebagai tanda peringatan." Khael meletakkan sesuatu ke dalam genggaman Serene.
Saat objek tu dipandang, Serene bagai sudah tidak mendengar apa-apa lagi. Loket berbentuk bulatan air sebagai tanda perkahwinan mereka itu sudah pecah di hujungnya. Dia memandang langit melalui pintu yang terbuka luas. Tak mungkin Amred pergi meninggalkannya tanpa pamitan.
Perlahan-lahan matanya ditutup rapat. Bagai terdengar-dengar tawa Amred yang selalu menjengkelkan. Suka mengusik dan menyoal itu ini.
Khael mengemam bibir saat air matanya kalah dengan emosi. Wajah kosong Serene benar-benar merobek hati.
"Serene nak ke sungai." Tubuh Khael ditolak dari menghalang laluan.
Khael menggeleng perlahan. "Dah satu purnama berlalu, Serene. Segalanya sudah berakhir. Sekurang-kurangnya Serene masih punya kenangan bersama Amred. Jagalah anak ini sungguh-sungguh," ucap Khael, sayu.
Lily dan Rose sudah saling berpegang tangan, menangis hiba. Catherina juga terduduk di lantai.
"Serene baru belajar menerima dia..."
Tubuh kecil itu tenggelam dalam pelukan Khael.
Di luar kediaman, Val berdiri sendirian di tepi jendela yang terbuka. Mendongak memandang langit yang kosong tanpa awan. Serene tidak meraung penuh derita namun tangisan sayu itu terasa bergema ke segenap ruang hati. Sebuah tangisan yang menanggung 1001 luka.
Bayu musim luruh bertiup dingin membawa khabar duka, menggugurkan dedaunan yang sudah sampai ke penghujung takdir.
Bahawa hidup itu bukanlah satu pilihan.
Lonely wind, blue rain falls, standing alone
Light that I chased is you
➰
Serene tersandar di tepi jalan dengan tangan yang berlumuran darah. Nafas tersekat-sekat. Pemandangan di hadapannya cukup mengerikan.
Sebuah lori terbalik, dua buah kereta terbabas serta sebuah MPV sedang terbakar dan beberapa tubuh manusia yang berlumuran darah bergelimpangan di atas jalan raya yang sunyi tanpa orang lain.
"Sha..."
Tatkala mendengar namanya diseru, bagaikan disentak dari kurungan minda, Serene merangkak ke hadapan dengan teragak-agak. Apabila melihat tangan itu bergerak-gerak, diraih kekuatan dan terus mendekati. Air mata tidak tertahan melihat wajah yang mempunyai kesan lecur di pipi kanan. Dipangku tubuh itu merapat ke dada dengan esakan yang mula kedengaran.
"Maafkan aku, Bell. Bell... tolong bertahan," rayu Serene. Hatinya pedih. Cukuplah dia mengalami banyak kehilangan. Cukuplah... hati ini sudah tidak dapat menanggungnya lagi.
"Sha... sakit..." Rintihan Isabella sungguh memilukan. Apakan daya, dia tiada kuasa apa. Hanya mampu menanti pertolongan tiba. Tubuhnya juga cedera, lemah tidak berdaya.
"Aku ada, Bell. Aku takkan tinggalkan kau. Jadi, aku merayu tolong jangan tinggalkan aku. Hanya kau teman yang aku ada. Aku sayang kau, Bell."
"Sha, aku... ta... takut." Isabella memejamkan mata. Ambang kematian bagai sudah memanggil-manggil.
Serene mengeratkan pelukan. Sungguh, dia menyayangi Isabella seperti saudara kandung. Isabella kawan, ibu, kakak dan abang baginya. Peneman di saat di sunyi dan sentiasa menghulurkan tangan di saat perlu.
"Sha... kalau... a..aku mati... doakan... aku bahagia. Aku... banyak dosa."
Serene mencium dahi Isabella.
'Wahai Tuhan, bahagiakan temanku, di sana. Terimalah dia sebagai 'tetamu' Mu. Ampunkan dosanya, angkatlah darjatnya.'
Di saat itu, genggaman tangan Isabella pada lengannya menjadi kuat beberapa saat sebelum terkulai lemah pada akhirnya. Kedengaran bunyi tayar berdecit. Dua buah kereta berhenti. Penumpangnya turun dengan wajah terpinga-pinga.
"Hubungi panggilan kecemasan!" jerit salah seorang dari mereka. Ada beberapa orang mula mengalih tubuh yang berada di tengah jalan. Dikhuatiri kereta yang sedang terbakar itu akan meletup.
Namun, Serene sudah tidak peduli dengan itu semua.
"Isabella!"
'Sad birds still sing.'
➰
1688words
1504212222
#yepakutersinggungstoppretendinglikeyoucarebutyoujustbawangs
T39484
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro