18 | Scattered In The Mist
"The worst tragedies are conflicts between
a hero and his destiny."
- Stranger
Serene termengah di hujung medan. Sebelah lututnya mencium tanah, menyokong tubuh dari terjatuh. Ternyata Dar bukan calang-calang lawan seperti yang dijangkakan. Pusingan pertama tadi dia menang tipis saat memanah menggunakan elemen air namun saat pusingan mengawal aliran sungai dan hujan, Dar menang dengan mudah.
Kini, pusingan terakhir yang juga penentu segalanya. Mereka berdiri di tengah-tengah pentas lawan yang mempunyai kolam air di tengahnya. Dengan menggunakan kedua belah tangan, mereka berdua mengawal air dan berentap sebagai senjata.
Kekuatan Dar membolehkan dia menguasai lebih banyak air menyebabkan Serene terkejar-kejar mengawal air dengan tangannya.
Dia menyilangkan tangan, membentuk perisai apabila Dar menujukan aliran air ke arahnya bagaikan ombak berbentuk naga. Pertahanannya ternyata lemah. Dia terhumban ke belakang dan menyeringai kesakitan.
Catherina berdiri dari duduk apabila melihat Serene memegang pinggang yang terhentak namun Khael pantas menarik semula tangan Catherina agar duduk semula. Tidak mahu mengundang kemarahan Ketua Tertinggi.
Serene memejamkan mata. Dia perlu bertenang. Wajah Amred memenuhi ruang mindanya membuatkan fokusnya terganggu. Dia mahu menang agar boleh meneruskan hidup dengan lelaki yang dicintai.
Tanpa dia sedar air di sekelilingnya bergerak membentuk bulatan seakan melindunginya dari serangan bertubi-tubi Dar. Ketenangan Dar sedikit terganggu apabila air di tangannya turut mengalir tertarik ke arah Serene. Sedaya upaya dia fokus agar tidak kehilangan kawalan hingga tegang urat di tangannya.
Serene masih berteleku, membayangkan dari mula perjalanan hidup yang berliku. Hingga apabila dia bertemu dengan seseorang yang berjaya membuat dia tersenyum kembali dan belajar erti hidup. Sungguh dia merindui insan itu. Dia merindukan Amred.
Ketua Tertinggi mengerling bongkak ke arah ketua puak 'syaitan' namun senyuman mati apabila melihat mereka seolah-olah sedang berbincang sesuatu yang sangat serius. Ketua Tertinggi sempat berbisik kepada pegawainya agar mengarahkan kesemua anggota tentera agar berjaga-jaga.
Ketika dia berpaling semula, pandangannya bertembung dengan ketua puak 'syaitan'. Lelaki berparut di dagunya itu menyeringai seakan-akan menahan amarah.
Jeritan Dar menarik pandangan mereka semua. Terkejut melihat tubuh itu terlambung tinggi ke belakang dan menghempas hujung pentas namun sempat ditahan agar tidak terjatuh ke bawah. Jika tidak, pasti dia sudah kalah.
Melihat Serene bangkit seperti mendapat kekuatan baru, ketua puak 'syaitan' memberi isyarat sesuatu kepada Dar lantas lelaki itu bangkit dan kembali menyerang. Pertarungan menjadi sengit sekelip mata. Serene bagaikan mendapat kekuatan dari harapannya agar dapat bersama dengan Amred dan anak mereka yang bakal lahir. Dia tidak mahu perpisahan mencelah di antara mereka.
"Pengkhianat!" Tiba-tiba ketua puak 'syaitan' menepuk meja. Pandangan matanya bersabung dengan anak mata Ketua Tertinggi yang duduk di sebelah timur gelanggang.
Ketua Tertinggi memandang Khael, Catherina, Val dan Redrick. Memberi isyarat berjaga-jaga.
"Kau sembunyikan anak Hayana dan kau kahwinkan dengan orang kau? Kotor! Tembok Barat milik puak kami!"Dari jauh, ketua puak 'syaitan' melampiaskan kemarahan.
Ketua Tertinggi hanya membalas dengan ekor mata yang tajam. Sedikit cemas bertandang apabila rahsia itu terbongkar sebelum waktunya.
Jeritan penonton dari kalangan warga kota membuatkan mereka berpaling ke arah pentas lawan. Dar tercampak ke tembok dan jatuh ke tanah. Baju hudnya tertanggal, menampakkan susuk tubuhnya yang dibaluti baju hitam. Figura seorang perempuan dengan lekuk tubuh yang langsing serta wajah yang keayuannya tidak dapat disembunyikan menyebabkan semua yang berada di situ terkejut besar.
"Cis, kau juga penipu! Dar seorang wanita!" Ketua Tertinggi bertempik.
"Bunuh dia sampai tidak bersisa!" jerit ketua puak 'syaitan' dengan jari telunjuk yang tertala ke tepat ke arah Serene.
Sekelip mata, seluruh puak 'syaitan' bangkit dan mara ke hadapan. Serentak dengan itu juga tentera kota turut bertindak melindungi Serene. Khael dan Redrick pantas menyerang panglima-panglima puak 'syaitan' manakala Catherina menerpa ke arah Serene.
Serene yang masih terkejut tidak menyedari serangan dari salah seorang puak 'syaitan'. Dia terjatuh dari pentas lawan apabila dipukul dengan kayu di belakang tubuhnya. Kedua tangannya melekap ke perut. Perit!
Dalam kekecohan, dia merasa tubuhnya ditarik oleh seseorang. Suasana menjadi hingar bingar seperti medan perang. Keadaan tidak terkawal dengan tumpahan darah di mana-mana. Langit juga berubah wajah. Angin bertiup kencang, air bagaikan hidup menjadi raksasa. Tanah bergegar dan sesekali api menyambar. Peperangan yang pastinya mengundang kedatangan malaikat maut.
Langkah Serene tidak kuat untuk berlari. Dalam kekalutan, tubuhnya dikendong di belakang. Rasa hangat tubuh itu membuat Serene tersentak. Pantas dia mengangkat wajah.
"Amred?" Menggeletar bibirnya menyeru nama itu namun tiada sahutan.
Hinggalah apabila mereka tiba ke ruangan tersembunyi di bawah tanah, tubuhnya diturunkan. Dalam lemah, dia mencengkam tangan lelaki yang menyelamatkannya itu.
Tubuh menjadi kaku. Air hangat membasahi tubir mata sebelum mengalir laju ke pipi. Bukan Amred yang menjadi penyelamat tapi Val.
Serene berundur setapak.
"Kau bawa aku ke sini untuk mendapatkan ganjaran membunuh aku?" soal Serene.
Val yang menunduk sedari tadi perlahan-lahan mengangkat wajah, memandang Serene yang nampak berputus asa.
"Aku tak berhak untuk sebuah penjelasan. Tapi kau patut tahu, bahawa kau berhak untuk teruskan hidup ini."
Serene tersandar sebelum melurut ke tanah. Pandangannya berpinar bercampur dengan emosi yang menggila.
"Kau betul, Val. Aku patut biarkan kau bunuh aku suatu masa dahulu. Aku tak patut berusaha untuk hidup." Serene menekup wajah dengan sebelah tangan.
Val menggenggam kedua tangan. Saat dia melihat Serene hampir terbunuh tadi, separuh jiwanya bagai hancur dan saat itu barulah dia sedar Serene masih wujud dalam hatinya. Dia sendiri sedar berat badan Serene semakin susut dan wajah itu selalu mendung sejak kebelakangan ini.
Rasa hati kuat ingin menerpa dan membawa Serene ke dalam pelukan namun dia tidak layak untuk kedudukan itu kerana dia juga salah seorang yang membuatkan hidup Serene menderita.
"Serene!" Catherina muncul dengan tiba-tiba. Cemas melihat wajah Serene yang memucat menahan sakit.
Melihat Serene bernafas termengah-mengah sambil menekan perut, Catherina pantas membaringkan Serene dan menggosok pinggangnya. Lily dan Rose yang baru tiba terus mendapatkan Catherina dan Serene.
Val terus berundur sedikit memberi ruang kepada mereka, merasa lega Catherina ada di sisi Serene.
Tiba-tiba pintu ditendang kasar dari luar. Masing-masing cemas apabila melihat wajah Ketua Tertinggi yang kelihatan cukup marah.
"Serene!"
Serene kecut perut apabila namanya disergah begitu. Lily dan Rose segera ke tepi namun Catherina tetap di sisi Serene. Dia dapat mengagak Serene mungkin akan menerima hambatan kemarahan ayah angkat mereka.
"Kau dah cukup menyusahkan semua orang dari dulu, kau tahu? Dari kecil, kau hanya gadis yang lemah! Dan sekarang kau dah rasa besar kepala dengan kelebihan yang kau ada?"
Catherina sendiri merasa gerun mendengar tempikan Ketua Tertinggi yang cukup dengan amarah. Serene menikus di sisinya. Dapat dirasai kegentaran dari tubuh Serene yang menggeletar.
"Ketua, kenapa? Serene sedang sakit ni!" Dengan berani, Catherina mencelah.
"Kau ke tepi!" Catherina terdorong ke tepi apabila tubuhnya ditolak Ketua Tertinggi. Bahu Serene dicengkam kuat.
"Berapa orang yang kau rawat waktu peperangan tempohari?" soal Ketua Tertinggi.
Serene terkebil-kebil tidak mengerti. Memorinya segera berputar pada hari dia membantu di khemah rawatan sewaktu peperangan berlaku.
"Aku... aku tak pasti..." Serene terketar-ketar memandang anak mata Ketua Tertinggi yang begitu dekat dengannya. Fikirannya terasa tepu.
"Ingat semula orangnya! Siapa yang kau rawat?"
Catherina ingin menghalang Ketua Tertinggi dari terus mendesak namun Khael yang baru tiba menahannya dari masuk campur. Dikhuatiri akan memburukkan keadaan.
"Kau ada rawat Philip? Brandon?"
Teragak-agak Serene mengangguk. Memang ketika dia tiba, dia terus menerpa ke arah salah seorang tentera bernama Philip. Dia memang mengenali hampir kesemua tentera kota kerana sudah lama dia bergaul bersama mereka semua.
"Lagi?"
"Maze, Phillip, Brandon, Maxim, Jen."
"Itu saja?"
"Ya, sebab selepas itu Amred arahkan aku pulang." Menyebut nama Amred, hati Serene bertambah sayu. Namun dia tak mengerti kenapa Ketua Tertinggi menimbulkan persoalan itu.
Ketua Tertinggi berpaling ke arah seorang tentera yang sedari setia di sisinya.
"Dapatkan mereka semua."
Belum sempat tentera itu pergi, Redrick menerpa masuk dengan wajah cemas. "Ketua, dua orang tentera mati tiba-tiba di kem dan tiga orang lagi tidak sedarkan diri."
"Siapa?"
"Phillip dan Jen disahkan mati. Tidak sedarkan diri ialah Maxim dari Kem 3, Maze di luar kota dan sedang dirawat dan Brandon yang baru sampai di pintu kota."
Termengah-mengah Redrick membaca kertas laporan di tangannya. Kertas yang disampaikan oleh seorang anak buahnya.
Semua tergamam lebih-lebih lagi Serene. Lutut terasa longlai. Waktu di khemah rawatan, memang dia merawat orang yang mempunyai kecederaan serius sahaja. Yang luka-luka kecil diserahkan pada perawat yang lain kerana di waktu itu dia yakin dia dapat membantu.
PAP!
Serene terjelepuk ke lantai akibat tamparan kuat oleh Ketua Tertinggi. Semua terperanjat termasuk Val. Pedih hatinya melihat tubuh kecil itu menerima kemarahan dari lelaki sebesar ketua mereka. Catherina menerpa, membantu Serene bangkit. Ketua Tertinggi bagai hilang pedoman.
"Kau tahu, kau masih tak boleh kuasai lagi kelebihan kau! Tanpa izin aku, kau merawat orang lain sedangkan kau tak tahu tahap penguasaan kau setakat mana? Kau hanya merawat di bahagian luar. Menutup luka tanpa parut tapi dalamnya semakin teruk tidak terubati!"
Serene menggeleng kepala dengan tangisan yang tersekat-sekat. Di fikirannya hanya terbayangkan seseorang.
"Amred..." serunya. Dia memandang ayah angkatnya dengan penuh air mata. "Aku ada rawat Amred hari tu. Juga hari-hari sebelumnya."
"Apa?" Kali ini Ketua Tertinggi benar-benar terkesima. Dia memandang ke arah tenteranya. "Sebab itu ke Amred tak sedarkan diri?"
Soalan itu membuatkan Serene terasa tersekat nafas di kerongkongan. Amred tidak sedarkan diri?
"Apa yang kau dah buat ni, Serene?" Sekali lagi Serene tertolak ke tepi menerima hambatan Ketua Tertinggi bersama Catherina yang masih memeluknya. Manakan tidak, Amred adalah aset, harapan utama Kota Verga.
Sekali lagi Ketua Tertinggi mengangkat tangannya, Val tidak berfikir panjang. Tangan itu dicengkam, tertahan di udara. Tanpa gentar dia melawan pandangan Ketua Tertinggi yang terjegil padanya.
"Kau ke tepi atau kau juga akan dihukum bersama dia!" tempik Ketua Tertinggi namun Val langsung tidak bergerak malah matanya tidak berkedip langsung.
"Ketua, tolong jangan sakiti Serene." Bergetar suara Catherina. Dia tahu dia terpaksa membocorkan hal itu demi keselamatan Serene. Isyarat gelengan dari Khael diabaikan. Wajah Ketua Tertinggi dipandang dengan air mata.
"Serene kandungkan anak Amred."
Mereka semua tergamam termasuk Val. Wajah Ketua Tertinggi berubah olak dengan mulut yang separuh terbuka, jelas tidak percaya. Dia memandang Serene yang masih menangis tersedu-sedu. Wajahnya sudah tidak ada rupa, pucat lesi dan kusut masai. Saat itu dia bagaikan tersedar betapa menderitanya Serene selama ini.
"Ketua, keadaan di luar sudah tidak terkawal. Tentera kita ramai yang terkorban!" Laporan seorang tentera yang menerpa masuk menyentakkan minda Ketua Tertinggi. Dikerling sekilas ke arah Serene sebelum terus menapak keluar bersama Redrick dan Khael.
"Bawa dia pergi dari sini." Perlahan, tapi tegas. Ada nada ihsan di situ.
Catherina mengangguk faham. Redrick sempat memandang seketika ke arah Serene sebelum bergegas keluar dengan keluhan halus di bibir.
"Aku akan melindungi laluan hadapan," tawar Val pada Catherina lalu dibalas anggukan.
Dengan bantuan Lily dan Rose, Catherina memapah Serene melalui jalan rahsia menuju ke tempat persembunyian yang sememangnya sudah wujud sekian lama.
"Cath."
Catherina berpaling memandang Val.
"Tolong... jaga dia untuk aku," pesan Val sebelum hilang di sebalik pintu.
Catherina tidak sempat membalas lalu meneruskan perjalanan mereka.
"Serene nak jumpa Amred." Serene merayu dalam lemah. Kesakitan yang dialami sudah tidak dirasai. Dia takut. Takut jika menerima perkhabaran tentang kematian Amred. Terbayang wajah Amred yang pucat, yang kerap sakit kepala dan sesekali menyeringai menahan sakit di dalam tidurnya. Terasa dirinya seorang pembunuh. Sudah lima orang yang terkorban di tangannya dan kini, Amred...
"Serene kena berehat. Fikirkan anak ini."
"Serene kena jumpa Amred dulu." Serene mencengkam lengan Catherina. Matanya menikam anak mata coklat oak itu tanda dia bertegas.
"Serene cedera, tahu tak? Kita pun masih tak tahu kandungan Serene macamana! Tolonglah, Serene. Jangan berdegil!"
"Serene takut Serene tak sempat jumpa Amred. Dah lima orang terkorban kerana Serene! Dua daripada mereka sudah mati, Catherina! Mati! Tolonglah..." Serene terjelepuk di kaki Catherina. Merayu agar tidak dihalang permintaannya.
Catherina mengetap bibir, menahan sebak. Melihat Serene begitu menderita, dia mengarahkan Lily pergi mendapatkan berita tentang keberadaan Amred. Mereka bersembunyi di bawah pohon besar yang merendang yang dilitupi semak, dikhuatiri mereka dijejaki.
Ketika Lily tiba semula, Serene menggagahkan diri untuk meraih Lily merapatinya. Lily jelas kelihatan teragak-agak hendak berbicara. Direnung wajah Catherina dan wanita itu mengangguk, meminta Lily meneruskan sahaja apa yang ingin diucapnya.
"Tuan Amred, selepas jatuh pengsan, dia sedar semula. Mereka kata dia nak bertemu dengan Cik Puan Serene. Tanpa dapat dihalang, dia terus keluar namun Sachred mengiringinya. Pihak perawat tidak pasti mereka berdua ke mana. Mungkin ke kediaman Cik Serene," jelas Lily.
Mendengarkan itu, Serene segera bangkit. Tanpa mempedulikan panggilan Catherina, dia berlari ke arah selatan, menuju ke kediaman dengan diekori mereka bertiga namun hampa. Penjaga di situ menyatakan tiada sesiapa yang datang mencarinya apalagi Amred.
Serene bagaikan mahu meraung. Digagahkan lagi langkah goyahnya, mencari Amred di tengah-tengah hutan. Mungkin Amred ditimpa masalah di dalam perjalanan.
Catherina tidak mampu menghalang dengan kepantasan Serene yang jelas luarbiasa walaupun dengan kecederaan yang dialami. Hanya mampu berjaga-jaga agar Serene tidak tercedera. Melihat Serene bagaikan anak ayam yang kehilangan emaknya, terpinga-pinga, mencari dengan cemas dan wajah yang tidak bermaya, hatinya turut sayu. Tidak pernah kering pipi itu dengan air mata malah kesakitan tidak membekas lagi padanya.
Di dalam hati, Serene menyeru-nyeru nama Amred. Entah bagaimana tergerak hatinya untuk menuju ke arah sungai tempat dia selalu menghabiskan masa dahulu.
Di tengah hutan tebal, Sachred terpisah dari Amred. Dicari-cari tuannya dengan hati yang cemas.
Amred pula sudah tidak peduli lagi dengan panggilan Sachred yang sayup-sayup kedengaran. Pandangannya kabur, kepalanya berdenyut perit bagai dipalu. Kakinya juga terasa ngilu hingga tempang langkahnya. Di fikirannya cuma satu, Serene, isteri yang dirindui. Satu-satunya harta yang dia punya.
Langkah yang terhuyung hayang membawanya ke tebing sungai yang berjeram dan berakhir dengan terjunan air tinggi. Di situlah selalunya dia dan Serene menghabiskan masa bersama.
"Serene..." Dia memanggil perlahan.
Matanya dikelip dan dipejam rapat beberapa kali. Pandangannya begitu kabur. Kedua tangannya melekap di sisi kepala, terasa ada barisan selumbar menggesel ke dalam otak.
Di bahagian bawah sungai, Serene tiba dengan nafas terputus-putus. Pandangannya melingas mencari kelibat Amred.
"Serene..."
Perlahan suara itu menyapanya. Lantas dia mendongak ke atas, ke arah puncak air terjun.
"Amred!" Dia melaungkan nama itu tatkala melihat Amred sedang melutut dengan menekap tangan di kepala. Darah mengalir keluar melalui hidung diikuti batuk keras yang turut mengeluarkan darah lalu menitis ke batuan sungai.
"Tuan! Tuan Amred, bertahan!" Dari jauh kedengaran suara Sachred menjerit kuat.
Catherina yang baru tiba turut mendongak ke atas. Serene cuba untuk memanjat tebing berbatu itu namun kakinya terasa sungguh lemah. Bahagian ari-arinya menyucuk ngilu membuatkan dia terduduk. Rose dan Lily menerpa, memaksa Serene agar berundur tidak memaksa diri.
"Amred di atas sana... Serene nak jumpa... suami Serene.." Serene merintih.
Catherina mengarahkan Lily dan Rose menjaga Serene di situ sementara dia naik ke atas untuk menyelamatkan Amred
"ARGH!" Meletus suara Amred apabila kesakitan sampai ke kemuncaknya.
Belum sempat Catherina dan Sachred berbuat apa-apa, tiba-tiba Amred berdiri dengan terhuyung-hayang sebelum terlanggar batuan kecil di kakinya lantas rebah, jatuh bersama terjunan air sungai ke bawah.
"AMRED!" Catherina melaung dengan kuat. Jelas di mata mereka tubuh Amred yang terhentak pada batuan sungai sebelum hilang bersama busa air yang terhasil dari terjunan air yang tinggi.
Kali ini Serene menggila. Dia meronta-ronta ingin terjun ke sungai untuk mendapatkan suaminya.
"Tuan!" Di atas, Sachred turut tergamam apabila melihat kejadian yang sama. Dia dan Catherina berpandangan. Apabila melihat Catherina ingin terjun, segera dia menghalang.
"Tolong jagakan isteri tuan. Biar saya yang mencarinya!" Sehabis lafaz, Sachred turut hilang di dalam busa air. Kesetiaan yang sudah mendarah daging hingga nyawa menjadi senjata terakhir.
"Cik Catherina!" Panggilan cemas Rose menyentakkan Catherina yang masih terkejut. Dia memandang ke arah mereka dan dadanya mengasak lagi. Darah! Darah pada pakaian Serene!
Baru dia mahu mampir, tiba-tiba air sungai bergolak hebat, membentuk ombak tinggi.
Dar! Kenapa 'syaitan' itu mesti muncul di waktu begini?
"Lindungi Serene!" arah Catherina sebelum berpaling dan melawan Dar.
Lily dan Rose mengangguk lalu terus menghilang ke dalam hutan bersama Serene yang tinggal nyawa-nyawa ikan. Bibir birunya bergerak-gerak, tidak rela dibawa jauh dari sungai namun apakan daya. Dia hilang upaya untuk meronta lagi.
"Amred... Serene cintakan Amred."
Segalanya menjadi gelap. Hitam.
2637words
1504212142
#lostanddespair
T37796
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro