Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

17 | Falling Slow In The Pouring Rain

Falling in love is like giving someone
a loaded gun pointed at your heart
and trusting them to not pull a trigger."
- Somebody

Bunyi buaian yang berkarat dari kejauhan membuatkan Ammar merapati tingkap. Susuk bayang yang sedang menginjak tanah dengan hujung jari kaki sangat dikenali meskipun wajah itu menunduk, tidak kelihatan. Lampu jalan yang menyimbah menerangkan suasana. Kenderaan yang bersimpang siur di jalan raya menghilangkan sedikit kesunyian taman permainan itu.

"Assalamualaikum."

Narsha mengangkat wajah dengan pantas. Terkelu sebentar melihat lelaki di hadapannya memakai baju berlengan pendek nampak tidak terjejas dengan malam yang begitu dingin sejak kebelakangan ini.

Ammar memandang pipi Narsha yang kebasahan. Nampak berkilau di bawah sinaran lampu. Narsha segera memalingkan wajah. Tidak mahu dianggap meraih simpati. Dilirikkan pandangan apabila Ammar mengambil tempat buaian di sebelahnya.

Lama mereka mendiamkan diri. Buaian juga sudah berhenti berhayun. Narsha ingin berbicara namun dia gusar andai bicaranya didahului dengan esakan dan ianya pasti akan menjengkelkan Ammar.

"Aku harap ini kali terakhir aku nampak kau kat sini."

Narsha terdiam.

"Dan aku harap, kau akan mengelak kalau kita terserempak kat mana-mana lagi."

Narsha menggenggam tali buaian sekuatnya. Tanah dipandang bagai dengan mata yang tidak berkelip. Benarkah lelaki ini yang sedang berbicara?

"Aku akan berkahwin tak lama lagi dan aku memang tak ada apa-apa kaitan dengan kau. Siapa saja diri kau, aku taknak tahu. Maaf tapi aku benar-benar maksudkannya."

Kali ini, jiwa Narsha benar-benar hancur berdebu. Dia hanya memandang bayang Ammar yang melintas di hadapan, menapak pergi meninggalkannya di situ. Nak angkat wajah memandang Ammar pergi, dia tidak sanggup.

Dengan lemah, dia juga berdiri. Berlalu pergi ke arah bertentangan.

Tidak jauh berjalan, Ammar berpusing ke belakang. Memandang susuk tubuh Narsha yang berjalan longlai sambil menyeka air mata dengan belakang tapak tangan. Bersungguh-sungguh nampaknya Narsha menangis kerana meskipun esakannya tidak kedengaran tapi bahunya jelas terhenjut-henjut menahan sebak.

Ammar menghela nafas berat. Sayu pula hatinya melihat Narsha yang kelihatan begitu kecewa. Namun bukan takdir mereka untuk bersama.


Terangkat bahu Narsha apabila Isabella menghempas kertas di hadapan wajahnya yang sedang meniarap di lantai. Matanya dijegilkan, tanda tidak puas hati dikejutkan begitu.

"Tolonglah, Sha! Pertandingan tu minggu depan. Peluang sekali je."

"Aku tengah berlatih la ni," jawab Narsha, mendatar.

Dari meniarap, dia terlentang pula. Kakinya digerak-gerakkan di atas karpet gebu milik Isabella.

"Dari tadi aku dengar kau humming sampai merepek-repek. Entah ke mana-mana dah. Kau dah hafal ke belum? Pertandingan ni penting bagi kau, kan?" bebel Isabella.

Narsha menarik lengan sahabat terbaiknya itu agar berbaring bersama di sebelahnya. Merenung siling bercat kuning. Isabella hanya menurut tanpa kata. Terkebil-kebil matanya memandang arah yang sama.

"Aku... usahakan untuk masuk ke pertandingan tu untuk cari dia.."

Isabella terdiam. Narsha menghela nafas perlahan.

"'Aku pasti dia akan kenal suara aku dan dapat jejak aku. Tapi bila aku sedar yang dia memang tak ingat apa-apa tentang aku, aku tak tahu nak buat apa lagi. Bell, aku tersilap orang ke? Aku keliru. Tak mungkin dia lupakan suara aku." Suaranya tersekat.

Isabella mengiring ke tepi. Memandang permata jernih yang jatuh dari hujung mata Narsha.

"Bell, esok dia dah nak kahwin..."

Isabella menarik Narsha ke dalam pelukannya. Dia sendiri sudah mati akal. Mikhail juga sudah memujuk tapi Ammar tidak mahu mendengar katanya hingga Mikhail sendiri sudah tidak ditegur.

Siapa tidak berang apabila ada orang memujuk halus agar menghentikan perkahwinannya.

"Mungkin..."

"Syhh... doa okey. Serahkan pada yang lebih tahu," pujuk Isabella. Tiada ayat lain lagi untuk memujuk.

"Dah, dah. Aku taknak kau nangis lagi. Tolong semangat sikit. Aku janji, kalau kau buat yang terbaik untuk pertandingan ni, aku akan tunaikan permintaan kau."

"Aku..."

"Cis, nak cakap lagi tu! Dengar sini. Aku sayangkan kau lebih baik dari si lelaki yang buat-buat tak kenal kau tu! Jadi, better kau layan aku baik-baik." Pipi Narsha diganyang-ganyang seperti menguli tepung.

"Sakitlah, wei!"

"Macam tepung gomak!" Isabella ketawa lepas. Sebiji macam pontianak meroyan.

"Kurang asam!" Nasrha bangkit. Dipegang kedua pipi Isabella dengan kuat. Isabella membalas. Kedua-duanya menjerit kesakitan, berguling-guling di lantai sebelum berakhir dengan ketawa.

"Jimatlah blusher aku untuk seminggu," ujar Isabella sambil mengurut-ngurut pipinya yang terasa mahu tertanggal. Narsha membuat muka sebal. Pipinya juga pedih.

"Dah, aku nak masak Maggie. Nak tak?" Isabella sudah bangkit. Bersinar terus mata Narsha. Lapar!

"Kalau nak, berlatih elok-elok! Kalau kat pertandingan nanti spoil, aku ambik pipi kau buat masak Maggie!"

Narsha membaling bantal pada Isabella yang sudah menutup pintu. Tawa hilainya jelas kedengaran di luar sana. Cet punya kawan!

Perlahan-lahan, Narsha tersenyum. Isabella memang pandai mengalih mood dan perasaannya. Bunyi mesej di telefon bimbitnya yang hanya ada nombor telefon Isabella dan Mikhail, berbunyi.

'Bagi aku, pertandingan tu bermakna untuk kita. Sebab aku rasa lepas ni mesti kau akan balik ke tempat asal kau yang kau kata jauh tu kan. Sebab kau dah tak ada alasan lagi untuk terus teman aku menyanyi.' - Bell.

Narsha tersenyum. Isabella pandai meneka. Dia memang sudah tiada hati lagi untuk berbuat apa-apa. Kerana alasannya sudah tiada.

Narsha tidak tahu, Isabella beredar ke dapur untuk menghamburkan tangisnya di situ. 3 tahun berkawan sudah cukup untuk dia menyayangi Narsha sebagai teman terbaik.


Hari yang dinanti sudah tiba. Sejak dari beberapa hari lepas dia tidak lena tidur. Bukan kerana debaran menjadi suami orang tapi kerana sebab lain yang sangat mengganggu.

Kiri dan kanan diiring namun entah mengapa dia asyik terdengar-dengar tangisan seorang wanita. Perlahan-lahan terluah kalimah istighfar dari bibirnya, meminta belas ihsan Allah agar menjauhkan dia dari sebarang keburukan apalagi sihir atau buatan orang. Biarlah majlis hari ini berjalan lancar.

Lamunannya terhenti apabila hujung mata silau dengan panahan matahari yang baru sahaja terbit di sebelah timur. Ammar membuang pandang ke luar tingkap. Terasa tenang melihat pemandangan pagi dari tingkat dua rumah ibu dan ayahnya.

Kedengaran pintu diketuk dari luar kemudian terpacul wajah Encik Rizwan dengan senyuman mekar apabila melihat anaknya itu termenung di tingkap. Mengerti akan keresahan bakal raja sehari. Mereka berbalas senyum.

"Jangan risau. Mohon banyak-banyak dengan Allah agar dipermudahkan," tegur Encik Rizwan apabila melihat dengan jelas wajah Ammar yang sedikit pucat akibat kurang tidur. Bukan dia tidak perasan hampir setiap malam Ammar akan termenung di balkoni, kadangkala bermain embun pagi di laman rumah.

Ammar hanya tersenyum tawar. Encik Rizwan berdiri di sebelahnya. Sama-sama memandang ke langit suram yang mula dicemari warna jingga.

"Perbaiki niat dari awal. Nak jadi seorang suami, bukan mudah. Ianya perlukan kekuatan dan kesabaran yang tinggi sebab yang menentukan hala tuju syurga neraka isteri kita itu ada di tangan kita. Andai salah mendidik, silap-silap kita sendiri ditarik bersamanya ke neraka. Waliyazubillah."

Ammar memejamkan mata. Jujur, dia tidak memikirkan hal itu langsung. Entah mengapa semakin mendekat dengan hari bahagia, dia terasa resah tentang perkara lain yang dia sendiri tidak pasti apa. Kata-kata Encik Rizwan sudah tidak didengarnya lagi. Fikirannya benar-benar terganggu.

"Abah..." Panggilan Ammar menghentikan kata-kata nasihat yang sedang diucapkan Encik Rizwan. Dia memandang ke arah anaknya yang kelihatan tidak bermaya. Ammar mengangkat wajah, memandang dengan penuh mengharap.

"Apa yang berlaku 7 tahun dulu?"

Encik Rizwan tergamam. Mengapa itu pula yang dipersoalkan anak angkatnya? Bukankah sepatutnya Ammar menumpukan perhatian terhadap majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung beberapa jam lagi?

"Am risau dengan penerimaan Dhia ke? Dia masih tak tahu yang Am bukan anak kandung abah dengan mama?"

"Dhia tahu dan dia kata dia tak kisah sebab dia juga anak yatim piatu. Cuma, Am nak tahu macamana abah boleh ambil Am sebagai anak angkat? Nama Am, memang Ammar ke?"

Encik Rizwan menghela nafas sebentar. Kemudian dia menepuk bahu Ammar dengan lembut.

"7 tahun dulu, Am masih ingatkan yang Am naik sebuah bas kemudian bas tu terjatuh ke dalam jurang dan menjunam ke dalam sungai yang deras. Beruntungnya Am kerana menjadi antara yang masih hidup. Ada yang hanya ditemui esok harinya, ada yang mati lemas sebab bas itu separuh tenggelam ke dasar sungai."

Encik Rizwan mengatur langkah ke bilik bacaan sambil bercerita. Ammar setia mengikuti di sisi, memasang telinga dengan sebaiknya. Di bilik bacaan, Encik Rizwan mencari-cari sesuatu di almari buku.

"Waktu Am dihantar ke hospital, waktu itu mama berada dalam syif sebagai jururawat. Tahun terakhir sebelum mama berhenti kerja. Am tak sedarkan diri dan koma. Doktor kata Am cedera teruk di kepala dan kaki. Mungkin sebab itu Am tak ingat apa-apa. Dah 3 kali abah cerita pasal ni pada Am tapi nampaknya Am lupa lagi."

Ammar mengeluh perlahan mendengarnya. Ya, kecederaannya begitu teruk sehingga dia terjaga seperti bayi yang baru lahir.

Hampir 3 tahun masa yang diambil untuk belajar membaca dan menulis semula malah dalam tempoh itu dia bercakap dengan gagap dan mudah terlupa. Apalagi untuk mengingati peristiwa sebelum atau semasa kemalangan itu berlaku.

"Ada seorang lelaki yang cedera sekali bersama Am."

Ammar pantas mengangkat kepala apabila mendengarkan itu. Sama seperti yang dikatakan Narsha!

"Lelaki itu cedera parah. Waktu dia hampir nazak, mama ada di tepi. Dia tarik tangan mama, beritahu agar jaga Am sebaiknya. Dia kata, hanya dia ahli keluarga yang Am ada. Dan tiada siapa datang ke hospital menuntut Am sebagai ahli keluarga walaupun wajah Am terpapar di berita. Dia menangis-nangis minta mama jagakan Am seolah-olah Am ni anak kecil yang tiada sesiapa. Dia bisikkan nama Ammar pada mama, antara jelas dan tidak. Jadi kami tambahkan Muhammad di hadapan, biarlah menjadi berkat."

"Macamana rupa lelaki itu, abah?"

Encik Rizwan menggeleng. Dia sendiri tidak dapat mengingatinya. Begitu juga Puan Aina. 7 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek.

Encik Rizwan menghulurkan keratan akhbar pada Ammar. Lama juga dia mencarinya kerana sudah 7 tahun keratan akhbar itu disimpan. Ammar membaca beberapa keratan akhbar yang terpampang mengenai peristiwa kemalangan itu. Wajahnya juga terpampang bersama namun hampa apabila wajah lelaki yang dikatakan ahli keluarganya itu tiada.

Gambar bas yang sedang diangkut keluar menggunakan kren cukup ngeri untuk dibayangkan. Melihat rentetan gambar demi gambar, Ammar merasa kepalanya berdenyut perlahan.

Tanpa mempedulikan Encik Rizwan yang merenungnya, Ammar melangkah keluar menuju ke biliknya dengan terhuyung hayang.

"Am?" Panggilan Encik Rizwan tidak bersahut.

Kedengaran Ammar menghempas pintu dengan kuat. Puan Aina yang berada di tingkat bawah, segera naik ke atas, bertanya pada suaminya namun Encik Rizwan hanya menggeleng perlahan. Hairan dengan kelakuan Ammar hari ini.



Kemeriahan di rumah Puan Zaitun petang itu bertambah gamat apabila menerima ketibaan pengantin lelaki yang segak memakai baju serba putih. Setengah jam lagi pukul 3.00 petang, majlis akad akan bermula manakala resepsinya akan berlangsung malam nanti di dewan sebuah hotel terkemuka. Tok kadi dan saksi pun sudah tiba.

Tidak jauh dari situ, Narsha berdiri menyaksikan segalanya dengan hati yang terluka. Dia baru tiba dari pusat beli-belah tempat dia jatuh pengsan tempohari. Mencari-cari kelibat lelaki yang serupa dengan wajah Amred, sama seperti Ammar. Cuma yang membezakan mereka hanyalah kaca mata dan kumis nipis.

Apabila tidak ditemui, Narsha akur walaupun keraguan masih belum terjawab, apakah Ammar itu Amred atau tidak. Namun hatinya kuat menyebelahi Ammar.

Berada di majlis kahwin Ammar, dia semakin terasa berbelah bahagi. Andai keyakinan bahawa Ammar itu Amred, memang sudah dikucar-kacirkan majlis itu, biar tidak menjadi. Tapi masalahnya sekarang, andai Ammar bukan Amred, Narsha takut untuk menghancurkan rumahtangga orang lain hanya kerana kepentingan diri sendiri.

Di halaman rumah, Ammar termenung jauh ke hadapan. Teringat wajah kelat Razif dan ibu ayahnya ketika dia menyatakan bahawa dia akan mengahwini Dhia. Puas hatinya apabila melihat wajah hampa Razif. Biar padan muka!

Isteri pertama tidak terjaga, ada hati nak beristeri dua. Ibu dan ayah Razif pun tidak dapat membantah. Mengakui kesilapan anak mereka.

"Termenung jauh nampak." Sapaan Mikhail dibalas dengan dengusan halus Ammar.

Mikhail tahu Ammar masih tidak berpuas hati apabila dia menyebelahi Narsha. Hampir-hampir Ammar menumbuknya ketika dia menyatakan Narsha itu mungkin isterinya. Mungkin dia hilang ingatan. Mungkin Narsha isterinya sebelum kemalangan itu.

Sah-sah Narsha tak dapat mengemukakan bukti bahawa mereka itu suami dan isteri. Tiada dokumen mahupun gambar mereka berdua bersama-sama. Takkan dia nak percaya dengan kenyataan yang bermodalkan air liur dan air mata?

"Aku minta maaf pasal hari tu. Aku cuma nak kau pertimbangkan, ingat-ingat balik kalau kau pernah melalui semua tu. Tapi, mungkin aku terlalu mendesak. Budak tu silap oranglah, kot."

"Boleh tak jangan sebut lagi pasal tu?" Suara Ammar sedikit tegang. Songkok di atas kepalanya ditanggalkan. Masih bersisa denyutan di situ. Mikhail duduk di sebelahnya.

"Kau tak sihat ke? Apasal pucat semacam? Tak mekap ke?" Mikhail mengurut perlahan bahu Ammar yang sudah memejamkan mata.

"Mekap? Hish, tak naklah!" Bulat terus mata Ammar.

Mikhail menggeleng. Memanglah Ammar tu tak berbedak pun kulit glowing je macam kacukan mat salleh celup mana entah. Tapi nak kahwin kut? Beria la sikit.

"Ah, takde, takde! Nanti gambar tak cantik. Cik Aina, ada lipgloss tak?" Mikhail sudah berlari anak mendapatkan Puan Aina yang sedang berbual dengan tetamu yang hadir.

Ammar hanya mampu mengeluh. Janganlah sakit kepalanya merosakkan majlis nanti.

Tepat jam 3.00 semua tetamu sudah berkumpul di ruang tamu. Tidak sabar hendak melihat upacara suci itu dimulakan.

Ammar memain-mainkan hujung lidahnya pada bibir yang terasa melekit sebelum disiku oleh Encik Rizwan. Terdengar kekekan halus dari Mikhail. Cis, mamat senget yang memaksa dia mengoles lipgloss pada bibirnya.

"Amboi, ayunya..."

Usikan dari seorang tetamu mengundang anak matanya ke sisi. Terpaku seketika melihat Dhia berjalan lemah lembut dipimpin Puan Zaitun. Lengkap berselendang dalam persalinan putih dan tiara kecil melengkapkan penampilan seorang ratu.

Seketika Dhia menjeling ke arah Ammar. Mereka berbalas senyum. Ammar memejamkan mata apabila dilihat wajah Dhia seakan kabur. Pening. Dilekap tangan ke dadanya. Sakit. Gemuruhkah ini?

Encik Rizwan yang perasan dengan wajah Ammar yang agak pucat terus menyuakan air mineral. Ammar menggeleng perlahan dengan senyuman tawar. Berdoa di dalam hati agar majlis ini selesai dengan cepat. Terasa sakit kepalanya menyerang lagi.

Ketika khutbah nikah dimulakan, Ammar cuba mengawal nafas yang terasa berat. Terasa belakang tubuhnya ditepuk namun entah oleh siapa. Dikecilkan matanya, memandang wajah tok kadi di hadapan.

Narsha di luar sudah menyelinap masuk ke laman rumah. Menyelit di celahan beberapa orang tetamu yang sedang mengintai melalui tingkap dikeranakan ruang di dalam rumah sudah dipenuhi orang lain.

Dicuri intai ke arah wajah Ammar yang membelakanginya. Hampa. Tidak kelihatan. Entah mengapa, tiba-tiba dia merasa tidak sedap hati. Dipandang ke arah tetamu wanita.

ZUPP!

Hatinya bagai ditusuk anak panah tatkala pandangan matanya bertembung dengan wanita dalam persalinan indah yang pastinya bakal isteri Ammar. Mereka berpandangan seketika sebelum Dhia menunduk semula.

Narsha hampir rebah. Debar menggoncang. Pandangan anak mata itu!


Astilbe flowers are a symbol of patience and dedication to a beloved one. If you give this flower away, you give the promise that you will be waiting for this person. The flower is long blooming, this symbolize the dedication to the loved one.


Terima kasih korang yang baca sampai sini.
Lambat publish sebab rasa siapa nak baca cerita
mengarut macam ni 🥲
Tapi rupanya ada seinsan dua yang follow up
dan ya kesian diri sendiri dan tulis penat2,
jadi saya habiskan jelah publish.
Terima kasih ✨

2345words
1503210820
#hospital
To35159

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro