Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

15 | Fragile and Composed

"We're under the same sky at least."
- Narsha


Sejak perselisihan yang tercetus, Ammar sudah tidak hadir ke Blind Cafe seperti kebiasaan namun Isabella tetap meneruskan persembahan bersama Narsha yang setia di sisi.

"Kau hanyalah bayang-bayang. Setia bersama di bawah cahaya dan menghilang tanpa jejak ketika aku diselubungi kegelapan."

Ammar meraup wajahnya. Entah mengapa, dirasakan lirik itu menyentuh hatinya. Buku di tangannya dikatup dan dimasukkan ke dalam kocek. Suara nyanyian Isabella jelas kedengaran di luar kafe.

Perlahan-lahan Ammar menapak pergi. Ini adalah kali terakhir dia datang ke sini. Tiada sebab lagi untuk dia ke mari. Dia masih terluka dengan Isabella dan masih seriau mengenangkan Narsha yang selalu bersama dengan Isabella itu. Masih bertanda soal di akalnya, apakah mereka berdua itu makhluk asing ataupun..ahli sihir?

Ah, Ammar buntu.

Ketika selesai persembahan, Isabella merenung wajah Narsha yang seakan tidak mampu untuk tersenyum lagi. Pahit. Nampaknya, peristiwa ini benar-benar memberi kesan yang mendalam kerana tidak pernah walau sekali pun dia melihat Narsha dalam keadaan berputus asa.

Dihampiri kawannya dan dimulakan perbualan. Sengaja tidak mahu Narsha melayan perasaan sedih setiap saat. Lirik yang digubah Narsha sahaja sudah menggambarkan betapa dia berjauh hati dengan apa yang berlaku.

"Hi, girls cantik manis," sapa Mikhail lantas menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan mereka berdua.

Isabella mencebik namun bertukar senyuman lebar apabila Mikhail menghulurkan sampul surat di hadapan mereka.

"Ada la bonus sikit untuk kau berdua. Aku tengok dua-dua monyok je. Dah macam tempe," ujar Mikhail.

Isabella menepuk tangan. Dia cuba menyahut usikan Mikhail. Walaupun dia juga bersedih namun sampai bila? Narsha pasti akan semakin lemah jika melihat dia turut bersedih sama.

"You memang sweet la, bos!" puji Isabella.

Mikhail tersengih. Bukannya dia tidak tahu apa yang terjadi antara Ammar dan Isabella. Bukan main lagi Ammar minta dia siasat andai Isabella sudah dicuri hatinya oleh orang lain. Namun apa yang dia nampak, Isabella masih single dan jelas nampak sedikit murung selepas berpisah dengan Ammar. Cuma yang dia sangat tidak faham, kenapa Narsha pula yang sangat muram?

"Narsha, kau okey tak? Nampak tak ada semangat," soal Mikhail, prihatin.

Narsha menyembamkan wajahnya ke atas meja sebelum terdengar bunyi hidungnya yang berair.

"Bos, jangan kacau dia. Frust ni," sampuk Isabella sebelum memberi isyarat agar Mikhail mengikutnya menjauhi Narsha. Di belakang kabinet, Isabella mula membuka mulut mengapa dia meminta perpisahan dengan Ammar.

"Ammar... suami orang? Suami Narsha?" Seperti yang dijangkakan, Mikhail terkejut hingga tersandar ke dinding.

"Yes sangat-sangat. I syak, Ammar tu hilang ingatan lepas kemalangan 7 tahun yang lepas. Itu yang dia tak ingat tu."

Mikhail masih terlopong, cuba menghadam apa yang didengarnya. Separuh hatinya meyakini, separuh lagi menolak. Tapi, tidak mustahil juga. Dia sendiri tidak tahu latarbelakang kehidupan kawannya itu meskipun sudah hampir 5 tahun mereka berkawan.

"Jadi, boleh bos tolong tengok-tengok, pujuk-pujuk, siasat-siasat dan korek-korek sejarah kawan baik bos tu?" pohon Isabella.

Mikhail masih merenung jauh ke hadapan. Isabella menepuk dinding membuatkan Mikhail tersedar dari khayalan.

"Tolong ya, bos. I tengok Narsha tu dah teruk sangat. Makan minum pun kena paksa."

Perlahan-lahan, Mikhail mengangguk.

Pulang sahaja ke rumah, Narsha terus mengurungkan diri di bawah selimut tebal milik Isabella. Isabella menggeleng perlahan. Dilabuhkan duduk di birai katil, tubuh Narsha ditepuk perlahan. Tidak lama perlu menunggu, esakan Narsha mula kedengaran.

"Narsha, janganlah macam ni. Aku akan tolong kau, okey?"

Narsha menjengulkan kepala dari bawah selimut. Dipandang seraut wajah Pan Asian milik Isabella. Peristiwa di pusat beli belah tempohari benar-benar mengganggunya. Lelaki mirip wajah Ammar... bukan! Mirip wajah Amred! Dia mula berasa sangsi dengan rasa hatinya sendiri.

"Bell... macamana aku tersilap? Kalau itu bukan dia? Kalau... dia hanya memiliki iras wajah yang sama dengan suami aku?"

"Kalau macam tu, aku get back balik dengan dia." Isabella tersengih.

"Bell!"

Isabella ketawa sakan.

"Taklah! Jangan cakap macam tu! Kau kena yakin dengan rasa hati sendiri!" Isabella menggenggam tangan Narsha yang sejuk. Tangan itu sentiasa sejuk. Dingin seperti ais.

"Aku..." Narsha menggigit hujung bibir. Berat terasa mahu menceritakan lelaki berkumis nipis yang dilihatnya. Dia sendiri masih tidak pasti kerana belum sempat dia mendapatkan lelaki itu, dia sudah jatuh pengsan dan dibawa ke hospital oleh salah seorang pengunjung di situ.

"Dah, sekarang kau rehat. Lepas tu, makan. Kau selalu sangat skip waktu makan. Lepas makan, kita berlatih lagu untuk pertandingan nanti," atur Isabella. Dia tahu, kalau hanya mengharapkan pada Narsha, waktu makan akan tersasar jauh dari jadualnya.

"Aku... aku tak boleh nak tulis lirik. Aku rasa serabut," ujar Narsha, lemah.

Isabella mengangguk faham. Sekurang-kurangnya Narsha bersetuju untuk meneruskan pertandingan nyanyian itu.

       "Tak apa. Nanti aku carikan lagu. Kau rehat je, ok?"

       "Hmm.." Narsha menjawab pendek.



CANTIK. Hanya itu yang dirasakan ketika memandang Dhiarana yang mendekat dari pintu pagar rumahnya. Mereka berbalas senyuman. Ammar mengakui Dhiarana memang menepati ciri-ciri wanita Melayu yang penuh dengan kelembutan dan kesopanan walaupun wajahnya nampak seperti gadis kacukan. Dia yakin, mereka boleh membina cinta selepas kahwin nanti. Asalkan ada niat dan asas yang baik, perkahwinan mereka pasti akan berkekalan.

       "Tak nak masuk?" tanya Dhiarana.

Ammar tersengih. Dia segera mematikan enjin kereta. Di hadapan pintu, disalami ibu dan ayah angkat Dhiarana. Datangnya ingin berbincang sedikit tentang majlis akad nikah yang akan berlangsung kurang dari 3 minggu.

       "Lepas ni, dah tak boleh bertembung-tembung macam ni ya. Nanti hilang manis pengantin," tegur Puan Zaitun.

Ammar menjeling Dhiarana yang tersenyum malu. Memang dia yang beriya mahu menyambut Ammar di muka pintu tadi.

       "Dah, pergi masuk bilik tu."

Dhiarana akur. Diatur langkah ke bilik tidur. Ammar menjeling dengan ekor mata. Alhamdulillah, dia mengucap syukur. Rasanya, dia tidak tersalah dalam membuat keputusan. Isabella dan Narsha juga sudah lupus dari ingatannya. Hanya Dhiarana.




Amred berhenti menarik busur. Anak mata bergerak ke sisi lantas dia menukar sasaran sepantas kilat lalu dilepaskan anak panah menuju ke belakang tempat dia berdiri.

Val terpegun tidak sempat bergerak apabila diserang mengejut begitu. Anak panah itu laju menyusur betul-betul bersebelahan pipinya dan terpacak di batang pokok. Bunyi geseran anak panah dan angin terdengar ngilu jelas di telinga.

Anak mata dua lelaki itu bertentang. Val tahu memang Amred sengaja menyasarkan ke batang pokok sebagai tanda amaran kerana dia datang ke kawasan ini tanpa keizinan.

Dahi Amred berkerut halus melihat Val yang melangkah keluar dari celahan belukar. Entah atas urusan apa pemegang Tembok Barat ituenyelinap masuk ke kawasan peribadi dia. Seketika mereka membisu, beradu pandang dalam keadaan saling berhadapan. Amred memegang erat busur di sebelah tangan.

Air muka Amred nampak janggal pada pandangan Val bagai ada sesuatu yang tidak kena namun dia tidak pasti apa bendanya. Merah pada bibir panglima itu juga memudar namun diabaikan sahaja oleh Val. Ada perkara yang lebih penting untuk dia sampaikan.

       "Hentikan perlawanan."

Amred tersentak. Dia sangat pasti Val memaksudkan tentang perlawanan Serene dan Dar yang akan berlangsung pada hari ini. Warga kota juga sudah mula berkumpul cuma dia dilarang oleh Ketua Tertinggi untuk hadir sama.

Melihat Amred tidak menjawab, Val menghela nafas yang terdengar berat.

       "Perlawanan ini hanya samaran untuk mencari identiti pengganti penguasa Tembok Barat. Mereka akan membunuh dia."

       "Atas alasan apa kau menyampaikan hal ini?" Amred curiga. Dia tahu permusuhan di antara Val dan Serene biarpun dia tidak tahu apa yang terjadi pada masa lalu.

       "Kerana cukuplah aku sahaja yang pernah cuba untuk membunuhnya."

Amred terkesima. Mata redupnya bersinar garang. Busur dicampak ke tepi lalu berganti bilah pedang yang panjang pada tangan kekarnya. Val berpaling dan mula melangkah pergi membiarkan Amred yang masih cuba mencerna apa yang dikatakan tadi. Tidak jauh melangkah, dia berpusing kembali memandang ke arah Amred.

       "Bawa Serene pergi dari sini, Amred."



KAIN baldu sutera asli itu diikat kejap, tidak terlalu longgar, tidak terlalu ketat. Kemudian, disarung persalinan asal di luarnya. Catherina memandang wajah Serene yang tidak perasaan namun gusarnya tetap dapat dibaca.

"Jangan risau. Kain ini akan dapat melindungi kandungan Serene. Hati-hati. Lindungi bahagian ini," pesannya.

Serene memegang lengan Catherina.

"Mana Amred?"

"Dia tak dibenarkan menghadiri perlawanan ini. Tapi jangan risau, kami sudah merancang untuk dia menyelinap masuk sebelum perlawanan bermula," jelas Catherina. Dibalas genggaman wanita muda itu, cuba memberi kekuatan.

"Jangan risau, aku dengan Khael akan jaga kau dari jauh. Kalau ada apa-apa yang berlaku atau timbul hal yang tak dijangka, ingat pesanan aku. Lari sejauh yang mungkin dan jangan sekali-kali berpatah balik lagi. Rose dan Lily menunggu di tepi lorong gerbang belakang. Ingat tu!" tegas Catherina.

Serene mengangguk perlahan. Pesanan Catherina sedikit sebanyak menggugat keyakinan. Catherina menyentuh kedua belah pipi yang pucat itu, dipandang ke dalam anak mata Serene dengan bersungguh.

       "Ingat. Serene dan Amred, kalian berdua hanya miliki anak ini. Jadi, Serene mesti terus hidup untuk dia. Jangan ambil risiko."

Ditarik Serene tenggelam di dalam pelukan membuatkan Serene tidak mampu menahan air mata. Dia benar-benar mengharap agar Amred muncul di situ. Dia ingin khabarkan tentang nyawa kecil di dalam rahimnya. Sejak mereka terpisah, Serene langsung tidak mendengar sebarang khabar. Dia rindukan Amred.

Diiringi dengan pengiring yang lengkap bersenjata, Serene turun dari tunggangan kuda. Wajahnya kosong tanpa riak. Dia tidak mahu kelihatan lemah ataupun takut. Dalam langkah menuju ke meja panjang yang menempatkan wakil dari pelbagai puak, sempat diliarkan anak matanya mencari-cari bayang Amred namun hatta bayang lelaki itu pun langsung tidak kelihatan.

Tangannya yang mahu mengusap perut, dihentikan. Sejak dia mula merasakan ada 'sesuatu' di dalam rahim, tangannya bagaikan mempunyai magnet yang sentiasa mahu menyentuh perut itu. Dia masih mengingati pesanan Catherina agar tidak bertindak curiga mengenai kandungannya.

Ketika majlis antara puak bermula dengan hidangan dan manisan, Serene melirik ke arah Dar, bakal lawannya buat pertama kali. Di sebalik cloak hud hitam yang meliputi kepala dan separuh wajahnya, Dar turut melirik ke arah Serene. Pandangan mata mereka bertembung seketika. Dar langsung tidak gentar malah renungannya penuh dengan amaran.

Puak yang digelar 'syaitan' itu semuanya memakai hud di kepala bagaikan mahu melindungi wajah mereka dari menjadi tatapan manusia lain. Dalam perbualan antara ketua puak 'syaitan' dan Ketua Tertinggi, jelas ada ketegangan di situ biarpun bicara mereka lembut dalam setiap patah.

Seperti yang dijangkakan, ketua puak mereka memerli sikap Ketua Tertinggi yang tidak mengiktiraf kewujudan puak mereka dengan membuat keputusan terburu-buru meletakkan Serene di petak pengganti Val. Maka mereka mengutarakan perlawanan ini kerana ingin melihat siapa lebih berkuasa di antara Serene dan Val.

Serene memandang ke arah jauh ke hujung meja menempatkan Catherina yang sedang berbisik dengan Khael. Wajah Catherina nampak terkejut. Sesaat, Catherina memandang ke arahnya. Menyedari Serene sedang melihat, Catherina terus mengukir senyum namun jelas kepuraan di situ.

Selain Ketua Tertinggi, mereka tidak tahu deria pendengaran Serene lebih tajam berbanding manusia biasa bahkan dia boleh memicingkan pendengaran kepada perbualan tertentu di antara hiruk pikuk orang ramai namun ianya tidak berkesan jika dia mahu mencuri dengar perbualan antara Ketua Tertinggi dan orang lain.

Serene melekapkan tangan ke dada. Bisikan Khael jelas didengari.

       "Ribut dan amukan air sungai beberapa bulan yang dahulu, yang hampir mengorbankan Amred dan Serene rupanya adalah angkara Dar. Dia sudah beberapa kali menyelinap ke kota dan mengintip Serene."

Terasa semangat yang sedaya upaya dibina, menjadi goyah. Peristiwa ribut dan amukan sungai itu tidak akan dilupakannya malah kerana peristiwa itu jugalah dia mengambil masa untuk kembali berlatih seperti biasa.

Jika Dar pernah mengintip dia, adakah mereka sudah mengetahui hal mengenai Amred?

Suasana semakin tegang apabila ketua puak 'syaitan' membangkitkan isu anak Hayana yang disangka sudah mati oleh mereka. Ketua Tertinggi merenung tajam ke arah Serene hingga Serene mula merasa kegentarannya. Dia tahu, andai dia kalah bermakna bukan setakat menyerahkan Tembok Barat kepada puak 'syaitan' tetapi juga dia akan terpisah dari Amred sampai bila-bila.

Amred mungkin akan dilupuskan atau dihindarkan dari orang ramai selama-lamanya untuk mengelak dari menjadi alasan pencetus peperangan mereka dan puak syaitan. Serene yakin, dia juga pasti akan dipisahkan dari anaknya nanti.

Andai dia menang, ada sinar harapan untuk perkahwinan mereka mendapat pengiktirafan. Masalahnya, untuk melawan Dar amat mustahil.

Serene meramas hujung jari. Dipejamkan mata, mengharapkan agar Amred akan berada di situ. Biarpun tidak berbicara, cukuplah dengan memandang redup mata indah itu, dia akan mendapat kekuatan dan meraih keyakinan. Dia perlukan sokongan Amred.

Di kediaman Amred, lelaki itu sudah lengkap memakai persalinan seorang tentera untuk menyelinap masuk ke arena perlawanan itu. Dia kenal Serene. Walaupun selalu menunjukkan sisi diri yang tabah dan kuat namun dia pasti sedikit sebanyak Serene pasti dalam kegusaran.

        "Saya bukanlah hendak membantah, cuma wajar ke kita ke sana?" Akhirnya Sachred meluahkan juga keraguan yang dirasakan.

       "Kita sama-sama pernah menyaksikan apa yang puak syaitan mampu buat. Dalam dunia ni, aku cuma ada dia, Sachred," balas Amred. Biarpun wajahnya tenang namun matanya sarat dengan rindu.

        "Maaf, tuan. Saya terlanjur bicara." Sachred menundukkan wajah.

Amred tersenyum. Jarang sekali Sachred membantah atau mempertikai keputusannya namun dia faham, besar risiko jika dia masuk campur dalam perlawanan itu.

Mereka melangkah seiringan ke arah pintu namun belum sempat langkah mereka melepasi bendul, tiba-tiba sahaja Amred terhenti dengan mata yang terpejam erat. Kepalanya bagai dicucuk dengan seribu jarum. Perit.

Amred memegang kepalanya dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi memaut bahu Sachred apabila dirasakan tubuhnya mula hilang imbangan.

        "Tuan, tuan!" Sachred cemas.

Dia turut terduduk apabila Amred melutut di atas lantai dengan tubuh yang menggigil hebat. Dipanggil beberapa orang pembantu untuk mengangkat Amred yang berbadan sasa menuju ke katilnya. Amred mengerang kesakitan berkali-kali membuatkan Sachred bagai hendak gila. Tiada sahutan setiap kali namanya diseru. Peluh yang merenik di wajah lelaki itu diseka dengan kain. Dipanggil tabib sesegera yang mungkin.

Tiba-tiba datang seorang tentera dengan wajah cemas, tergesa-gesa.

"Mana tuan?"

"Kenapa?" soal Sachred sambil berlari keluar dari kamar meninggalkan Amred yang sedang dirawat oleh tabib. Jantungnya turut berdetak laju.

"Dua orang anggota tentera tiba-tiba jatuh tidak sedarkan diri. Bila diperiksa, mereka... mereka sudah mati."

Sachred terasa tubuhnya bagaikan melayang mendengar cerita itu. Terus dia berpatah balik dengan laju mendapatkan Amred. Kali ini, langkahnya menjadi perlahan apabila Amred sudah tidak mengerang lagi. Diam tidak bergerak sedikitpun dengan mata yang terpejam rapat.

Di medan lawan, Serene mula merasakan gentarnya apabila dia mula diarahkan berdiri dan berdiri di arena perlawanan.

"Amred?"

Terdengar satu suara dari kejauhan menyebut nama itu. Serene pantas mengilas ke arah Ketua Tertinggi. Seorang lelaki di sisinya membisikkan sesuatu. Serene cuba memicingkan pendengaran namun tidak berjaya. 'Pagar' Ketua Tertinggi sukar untuk ditembusi. Resahnya menjadi cemas apabila melihat wajah terkejut Ketua Tertinggi. Pandangan mereka bersabung.

"Kau mesti menang atau mati."

Serene memejamkan mata. Jelas bisikan itu menyapa telinganya. 'Amred...' Serene menangis di dalam hati.

'I can't seem to let myself leave you
But I can't breathe anymore.'

#breakoutaroundthecorner
2374words
030320210721

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro