Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

13 | Seawater Saturates My Wings

"I may not have said the nicest things but there's one thing that I never said to you that I always thought;
You meant the world to me."
- Serene


Berat terasa mendengarkan arahan dari Ketua Tertinggi. Mereka perlu berpisah! Tidak boleh berjumpa langsung malah tidak boleh tegur menegur andai berselisih.

Apabila ditanya sampai bila mereka harus begini, mereka hanya menerima herdikan dari ketua mereka.

"Kau masih hendak bertanya sedangkan engkau sendiri puncanya!"

Serene hanya mampu menekur lantai, memandang Amred dari pandangan sisi. 6 bulan hidup bersama, bagaimana mahu berpisah di saat mereka sedang belajar memberi dan menerima?

Petang itu juga mereka berpindah ke bilik asal sebelum mereka berkahwin. Serene memandang Amred yang tenang membantu Sachred mengemaskan barangnya. Menyedari dirinya ditenung, Amred menghulurkan tangan, menggamit Serene mendekatinya.

"Janganlah buat muka sedih. Kamu patut tersenyum sebelum kita berpisah. Nanti tak adalah aku terbayangkan wajah kamu yang mencuka ni," usik Amred. Dicuit hujung hidung isterinya.

Serene tersenyum hambar. Dia memeluk tubuh Amred dengan kejap. Bagai tidak mahu dilepaskan.

Amred mengetap bibir. Menahan rasa sayu seorang lelaki. Dia baru belajar menjadi seorang manusia yang berperasaan. Dia baru menyimpan impian untuk memiliki keluarga sendiri namun halangan bertimpa-timpa.

Siapa kata mereka yang berkuasa itu bahagia?

Entah sampai bila hidup mereka akan begini. Entah bila saatnya mereka akan tenang bersama menjalani perkahwinan yang bahagia.

Sachred, Lily dan Rose segera keluar dari kamar mereka. Memberi ruang kepada pasangan itu meluahkan perasaan sebelum mereka berpisah. Masing-masing berpandangan dan terlepas keluhan kecil. Simpati dengan nasib tuan mereka.

Warga kota yang dipagari dengan tembok kukuh, dikumpulkan seramai 1500 orang. Tiada seorang pun yang tertinggal. Mereka diberitakan tentang 'perlindungan' status hubungan antara Amred dan Serene. Sesiapa jua yang mengetahui mengenai perkahwinan itu mesti menutup mulut atau akan dibawa ke bilik hukuman.

Kota juga akan dibuka kepada sesiapa sahaja yang berkepentingan dan dari puak mana pun untuk keluar dan masuk. Ini kerana hal perebutan kuasa yang bakal menggantikan Zouk tidak lama lagi. Mereka akan menilai siapakah yang paling layak untuk kedudukan itu.

Serene atau wakil dari Utara, Val.

"Kenapa tidak diserahkan saja kedudukan itu pada Val? Bukankah lebih mudah? Tidaklah berlaku pergaduhan begini!" Catherina menyuarakan pandangannya ketika mereka berkumpul di balai persidangan. Pandangannya dipersetujui mereka semua lebih-lebih lagi Serene namun tiada sahutan dari Ketua Tertinggi.

"Lagipun, Val adalah lelaki. Pasti mereka semua akan lebih menyokong dia berbanding Serene," Khael menambah.

Serene duduk tegak tanpa riak. Berlagak kuat seolah-olah tidak terjejas dengan apa yang berlaku. Dikerling sekilas ke arah Redrick yang masih bersikap dingin dengannya. Jauh di sudut hati, dia pilu dilayan begitu. Dipinggirkan, dipersalahkan.

Andailah Amred ada di sisi, mungkin dia tidak merasa sesunyi ini sedang Amred dilarang ikut serta sebarang majlis yang ada Serene bersama di dalamnya.

"Kita sudah tidak boleh berpatah balik." Ketua Tertinggi menggumam. Masing-masing menggeleng kepala. Tidak mengerti.

"Tidak cukup lagi ke dengan nyawa yang terkorban sebelum ini? Belum dicampur lagi dengan peperangan yang meletus. Berapa ramai orang yang perlu mati hanya untuk meletakkan Serene di tempat yang tidak layak untuk dia pegang?" bentak Redrick dari tempat duduknya.

Khael segera menarik Redrick agar duduk semula. Dikerling ke arah Serene yang nampak kelat air wajahnya.

"Ketua, tolonglah cakap sesuatu. Kami tak faham." Catherina seakan merayu.

Ketua Tertinggi memandang setiap wajah di hadapannya. Nafas ditarik dengan paling dalam dan dihembus berat.

"Amred... dia anak Hayana, Penguasa Sumber Air sebelum ni."

Mereka semua terkejut hingga tidak terkata apa-apa. Masing-masing tahu, jika sesiapa yang mempunyai sebarang hubungan dengan Sumber Alam yang terdahulu, maka hanya dia yang layak menggantikan tempat itu.

Meskipun Serene dan Amred bercerai sekalipun, Val tetap ketinggalan jauh ke belakang dari Serene untuk jawatan itu. Tiada siapa menjangka Amred anak Hayana meskipun dia tiada kelebihan apa-apa kerana apa yang mereka tahu anak Hayana sudah mati semenjak kecil.

Serene mencengkam hujung baju. Jadi, selama ini hidup Amred juga sama sepertinya yang tidak mempunyai ibu bapa. Pasti Amred menderita terpaksa hidup membesar dengan bersembunyi.

"Aku pernah mendengar khabar angin wanita penguasa air puak syaitan yang disimpan di antara orang-orang mereka lalu aku putuskan untuk mengahwinkan Serene dengan Amred, memang semata-mata untuk mengelakkan jawatan itu diambil oleh Val yang hanya menjadi samaran rancangan sebenar mereka. Pasti mereka akan merosakkan apa sahaja yang kita miliki sekarang jika mereka sudah dapat menawan Tembok Barat," jelas Ketua Tertinggi. Wajahnya agak kusut.

"Aku tak biarkan kesilapan lalu berulang..." ucap Ketua Tertinggi lagi seolah-olah sedang bercakap dengan dirinya sendiri.

Mereka saling berpandangan.

"Kesilapan? Dengan menjadikan ibu Val sebagai isteri?" soal Redrick, cukup sinis. Sedikit pun tidak gentar melawan pandangan anak mata ketuanya

Ketua Tertinggi terdiam, merenung Redrick dengan tajam. Benar kata lelaki itu, dia melulu mengahwini ibu Val tanpa mengetahui wanita itu adalah dari puak syaitan yang sudah lama merancang sesuatu.

"Redrick, duduk!" Khael menarik lengan Redrick, bimbang melihat temannya yang bersikap melulu.

"Pembunuhan Hayana sendiri tak pernah selesai!" bentak Redrick sebelum menepis pegangan Khael.

Suasana menjadi semakin tegang. Pembunuhan Hayana Penguasa Air yang cukup sadis pernah membuatkan seluruh kota diselubungi musim suram selepas mayatnya ditemui terapung di permukaan sungai diikuti kematian isteri Ketua Tertinggi yang disayangi ramai tidak lama selepas perkahwinan Ketua Tertinggi dengan ibu Val.

"Cukup Redrick. Buat masa ini kita kena utamakan perbincangan untuk mencari jalan keluar?" Khael menyampuk.

Ketua Tertinggi memandang ke arah Serene diikuti yang lain.

Tiba-tiba pembantu kanan Ketua Tertinggi datang menghampiri membawa bersama sehelai pesanan yang ditulis di atas kertas kasar. Perubahan riak wajah Ketua Tertinggi menggusarkan mereka.

"Benar jangkaan aku. Val hanya pengalih perhatian. Mereka menuntut hak penguasaan ke atas Tembok Barat dengan perlawanan antara Serene dan penguasa air dari puak mereka, Dar."

Serene ikut tergamam bersama mereka semua. Buat seketika, telinga membingit hingga tenggelam suara mereka berbincang dan berbalah. Serene mencengkam hujung meja kayu, matanya melirik ke arah pintu. Separuh jiwanya meronta ingin mendapatkan Amred.

"Serene."

Seruan Ketua Tertinggi menyentaknya dari terus tenggelam dalam perasaan.

"Nampaknya hanya ada satu jalan. Perkahwinan ini hanya akan diumumkan selepas Serene menang pertarungan melawan Dar. Dan Serene, kau mesti menang. Tiada pilihan lain. Menang atau dunia ini akan berperang dan perkahwinan kau tak pernah wujud."

Serene terperanjat hingga berdiri dari kerusi. "Ap... apa semua ni?" Suaranya mula bergetar.

Memenangi sebuah pertarungan?

Catherina menghampiri Serene. Menggosok lembut lengan gadis itu, memujuk. Mengerti gelodak Serene yang masih setahun jagung. Tidak pernah mengenal dunia luar, tiba-tiba dicampak ke medan pertarungan.

"Tapi aku tak bersedia! Aku masih dalam latihan!" bantah Serene. Cemas hingga menggeletar tubuhnya.

"Latihan, latihan, latihan! Dari dulu sampai sekarang itu saja yang aku dengar. Mana pencapaiannya? Kalau kau bersungguh, kau akan kalahkan Dar sampai dia tersungkur di pintu kota, faham?" tengking Ketua Tertinggi.

"Ini kesilapan percaturan ketua!" Serene melawan.

"Menang atau kau dibuang negeri!"

Serene terduduk lemah.

"Jadi, kau Catherina, awasi setiap masa latihan Serene. Ketatkan jadual. Dalam masa 3 minggu, pertarungan akan diadakan di dalam kota."

"3 minggu?" Masing-masing terkejut. Serene terasa jasadnya hampir berpisah dari roh. Mati sebelum mati.

"Amred...' Dia menangis di dalam hati.



"Saya harap awak dapat hadir. Sebagai seorang kawan. Saya hormati keputusan awak kalau awak tak dapat datang. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."

Isabella terpempam. Kad bersampul ungu itu bertukar tangan. Dia memandang susuk tubuh Ammar yang berlalu pergi tanpa menoleh sedikit pun.

Biar betul?

Lelaki itu sengaja mahu menyakitkan hatinya?

Sengaja menunjukkan dia mampu hidup tanpa wanita bernama Isabella?

Mahu memberitahu dia mampu memanggil wanita lain kepadanya hanya dengan memetik jari?

Kad bersampul ungu itu membingungkan dan sedikit sebanyak mencalarkan hati wanitanya juga namun tidak seteruk Narsha yang baru menerima perkhabaran itu.

Isabella memeluk bahu Narsha yang sudah mencampakkan kad itu ke lantai. Dipeluk kejap Narsha yang terduduk tidak berdaya.

"Bell... aku isteri dia, Bell. Kenapa dia tak ingat aku? Kenapa dia tak rasa apa-apa bila aku dekat dengan dia? Bell... dia tak boleh kahwin dengan perempuan tu. Sekurang-kurangnya dia perlu ucapkannya selamat tinggal pada aku. Dia tak boleh tinggalkan aku macam ni, Bell. Bertahun aku cari dia, aku tinggalkan semuanya di belakang. Mengejar hingga mengabaikan hati orang lain."

Isabella sendiri sudah teresak mendengar rintihan Narsha yang mengongoi kesedihan. Andai dia terasa ditikam ketika menerima berita itu, Narsha apatah lagi. Mungkin bagai sudah dicincang lumat tidak bersisa. Hancur punah segalanya.

Dia sudah membantu yang termampu, menyelidiki latarbelakang lelaki itu namun untuk membuatkan Ammar memandang Narsha melalui hati, dia tidak mampu. Hanya doa yang dititipkan.

Hingga malam hampir sampai ke penghujungnya, Narsha menangis tidak berhenti. Dia sudah penat. Lelah dan letih. Namun segalanya bagaikan tiada hasil malah hatinya pula semakin terluka. Ditikam dan dirobek berkali-kali.


AMMAR MERENUNG lama gadis di hadapannya yang jelas sugul dengan wajah yang sembab dan mata yang bengkak. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia menolak desakan gadis itu untuk ke satu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana namun melihat wajah sembab dan pucat itu, dia tidak sampai hati pula melayan gadis itu dengan kasar seperti sebelum ini.

Teksi yang membawa mereka ke sini sudah lama menghilang setelah dihulurkan not RM50 sebanyak 4 keping. Macam kawasan pendalaman, namun Ammar agak hairan. Sedikit pun dia tidak berasa gentar berada di tengah-tengah laluan di tepi jurang dan berdindingkan hutan tebal. Dia bagaikan pernah datang ke sini.

"Awak langsung tak ingat saya?" Gemersik suara Narsha kedengaran setelah lama mendiamkan diri. Sesekali, saputangan dibawa ke tubir mata, menghalang kolam air kecil itu tumpah ke pipi.

"Ingatlah sangat. Perempuan stalker yang gilakan lelaki kacak macam saya," bidas Ammar, sedikit geram. Entah apa yang nak dibuat oleh Narsha membawa dia ke tengah jalan raya terpencil ini.

Narsha tersenyum kelat dengan jawapan itu. Dia maju ke hadapan, mendekati jurang yang agak dalam. Di bawahnya terdapat sebatang anak sungai lebar yang mengalir  agak deras, melanggar apa sahaja di hadapan.

Ammar membatukan diri. Terfikirkan Narsha ingin membunuh diri bersamanya. Bukankah selama ini gadis itu menggilainya, mengikut ke mana sahaja? Entah-entah mahu mati pun bersama.

Ammar menepuk dahi. Kenapalah dia tidak terfikir tentang itu! Melihat emosi Narsha yang jelas terganggu, kebimbangannya semakin menjadi-jadi.

Setapak demi setapak dia mengundur ke belakang, ingin menghilangkan diri sebelum disedari Narsha. Sangat-sangat mengharap agar ada kenderaan yang lalu di situ. Bolehlah dia meminta bantuan jika terjadi apa-apa.

"Awak berasal dari sini, kan?" Soalan Narsha mematikan langkahnya.

Bagaikan tersentak ke masa lalu, Ammar meluaskan pandangan matanya. Kiri kanan laluan itu dipandang. Matanya mengecil, cuba mengingati sesuatu.

"Bukan ke 5 tahun yang lalu, ada satu rombongan di dalam bas yang terbabas ke dalam jurang ini? Ramai yang terkorban namun ada yang terselamat dan awak di antaranya. Kemudian awak dibawa ke hospital bersama seorang lelaki yang turut cedera di dalam kemalangan itu. Dia memberitahu yang dia adalah satu-satunya saudara awak dan meminta sepasang suami isteri menjaga awak hingga sembuh. Kemudian, dia meninggal dunia kerana cedera parah hingga akhirnya pasangan suami isteri itu yang menjaga awak hingga sekarang, kan? Awak tak ingat?"

Narsha mengulang semula kisah yang Isabella dapatkan untuknya. Dia yakin dia tidak salah lagi dengan apa yang diputuskannya kini.

Ammar terkesima. Di kepalanya, terbayang wajah seorang lelaki berkumis nipis. Ya, dia masih ingat ketika dia diselamatkan dari lemas ketika bas sudah tenggelam separuh ke dalam sungai, ada seorang lelaki yang menyelamatkannya dengan bersusah payah. Nama yang diseru-seru lelaki itu juga bergema di dalam mindanya namun untuk mengingati semula babak demi babak, sungguh dia tidak ingat apa-apa.

"Sebelum kemalangan tu, awak tak ingat apa-apa ke?" soal Narsha, serius. Tepat anak matanya menikam bebola mata Ammar yang kelihatan sudah resah.

"Awak..tak ingat siapa awak? Siapa... saya?"

Ammar memejamkan mata. Nafasnya juga mula tidak menentu.

"Awak bukan Ammar. Awak... Amred."

"Diam!" Ammar memekik. Ditekap kedua telinganya. Kepalanya terasa berpusing.

"Amred... awak Amred Hayana!" Narsha mula tenggelam dalam emosi yang menggila. Melihat respon Ammar membuatkan dia yakin lelaki itu mengingati sesuatu.

"Awak tak boleh kahwin dengan Dhia. Saya merayu, awak tak boleh... tinggalkan saya. 7 tahun saya menderita kerana mencari awak." Narsha teresak perlahan.

Ammar memandang Narsha dengan pandangan yang tajam.

"Kau..." Jari telunjuk dituding tepat pada wajah Narsha. "Jangan kacau hidup aku lagi!"

Usai dia melontarkan amaran itu dengan keras, segera dia berpaling untuk pergi dari situ namun entah bagaimana, kepalanya terasa berdenyut. Begitu juga dengan luka lama di kakinya kembali datang menyucuk di setiap urat nadi.

Ammar menyeringai kesakitan lantas melutut di atas tanah. Namun tidak lama. Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang sejuk menjalar di kakinya. Ammar membuka mata. Terkejut melihat aliran air halus yang mengalir naik dari hujung kasut dan membasahi kakinya separas lutut.

"Wargh! Argh!" Ammar menjerit ketakutan.

Entah mimpi atau realiti, hantu atau makhluk asing, Ammar menepis-nepis air di kakinya. Menggelepar dia dibuatnya.

Narsha menarik semula tangannya ke belakang. Serentak dengan itu, air di kaki Ammar turun semula meninggalkan Ammar dengan seluar yang kering seperti sediakala. Dengan mulut separuh terbuka, Ammar memandang Narsha di hadapannya. Dikilas kepalanya mencari-cari andai ada kamera tersembunyi. Mana tahu dia sudah terjebak di dalam rancangan prank namun tiada sesiapa yang kelihatan di situ. Hanya dia, dan Narsha si... makhluk asing, mungkin.

Narsha menggerakkan telunjuknya. Aliran air tadi membentuk bulatan di atas permukaan tanah mengikut gerakan jarinya namun dahinya berkerut apabila melihat Ammar seakan tidak mengingati apa-apa langsung malah wajahnya pucat ketakutan.

"Kau main sihir ke apa ni?" tengking Ammar. Dia cuba bangkit dalam keadaan berjaga-jaga. Mengawasi andai Narsha mahu mendekatinya.

"Awak betul-betul tak ingat?" Narsha bertanya, sebak.

"Gila! Perempuan sihir!" Ammar berundur beberapa tapak.

Melihat Ammar yang semakin menjauh, Narsha menurunkan tangan kembali. Wajahnya berarak mendung. Lopak air yang tadinya bertakung, hilang meresap ke dalam tanah. Hampa. Dipandang wajah Ammar sekali lagi, lantas dia diterpa rasa ragu.

Tersilapkah dia?


'A million words will not bring you back.
I know because I tried.
Neither would a million tears.
I know because I cried.'

#fevergogoaway
2261words
2702212000

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro