Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

11 | Fought Within The Silent

SUASANA di dalam dewan itu tegang. Wajah Ketua Tertinggi bagaikan tiada lagi ruang untuk sekilas senyuman. Redrick tertunduk lemah dengan tangan yang masih menggigil. Khael yang baru tiba dari Tembok Timur menepuk bahu lelaki itu. Usaha untuk menenangkan biarpun hanya sekelumit. Catherina, Val dan Amred duduk berhadapan di meja kayu persidangan yang panjang, saling berpandangan.

"Arsha memang bodoh!" tempik Ketua Tertinggi.

"Dia tak bodoh!"

Semua terdiam. Pertama kali ada orang yang berani meningkah kata-kata Ketua Tertinggi sedang maharaja pun tidak berani masuk campur dalam hal pentadbiran Sumber Alam.

"Dia... dia cuma terlalu jujur." Nada suara Redrick menurun. Menyedari keterlanjurannya.

Ketua Tertinggi mendengus kencang. Bara amarahnya kini mula memercikkan api.

Angkara puak syaitan yang tidak mahu Val digantikan dengan seorang wanita yang bukan dari kaum mereka, mereka mengadakan perjanjian kotor di belakang pengetahuan Ketua Tertinggi. Serene kini menjadi sasaran dan apa yang dimiliki Serene bakal dimusnahkan.

Arsha yang mendapat tahu secara tidak sengaja, telah memperjudikan nasib dirinya agar Serene tidak diapa-apakan. Malangnya ia hanya mencetuskan spekulasi dan isu dari pelbagai pihak. Arsha dikatakan telah melanggar pantang larang kerana membuat perjanjian bersama puak syaitan.

Dan Arsha, dia terkorban menjadi galang ganti nyawa Serene namun dia tidak tahu, 'syaitan' tidak pernah menepati janji. Serene tetap menjadi matlamat.

"Apa yang kau dan puak kau rancangkan, Val? Ini semua sudah melanggar peraturan dan perjanjian kedamaian kita!" marah Ketua Tertinggi.

Tersungging senyuman halus di hujung bibir Val.

"Aku hanya si perca, boneka yang akan dibuang bila tiba masanya. Apa sahajalah yang ada dalam pengetahuanku?"

Ketua Tertinggi menderam mendengar jawapan Val.

Akhirnya, keputusan diambil. Amred diarahkan melatih Serene secepat yang mungkin di bawah perlindungan tentera. Pertarungan dan peperangan berkemungkinan besar akan tercetus dalam masa yang terdekat.

Catherina, Redrick dan Khael diminta mempertahankan kawasan masing-masing dan menghantar pengintip untuk memerhati pergerakan pemberontak yang pasti wujud. Kematian Arsha juga tidak dihebahkan. Para tetamu hanya diberitahu bahawa Arsha berada di dalam keadaan gering. Dikhuatiri ia akan menakutkan jiwa rakyat.

Di bilik rawatan, Serene mundar mandir memikirkan isi perbincangan mereka. Dia dilarang masuk campur sama sekali. Cincin perkahwinan Arsha digenggam erat. Pipinya masih kekal basah, memikirkan Arsha yang sudah dikebumikan senja tadi. Dia masih cuba menafsirkan apa yang ingin disampaikan oleh Arsha sebelum majlis bermula pagi tadi namun hasilnya semakin kusut.

Serene yakin kematian Arsha ada kaitan dengan dirinya. Dia pasti!

Pintu terbuka. Serene meluru mendapatkan Amred namun suaminya hanya melemparkan senyuman tawar. Dipandang pula ke arah abang-abang dan kakaknya.

"Kami perlu pulang segera. Serene, jaga diri ya?" pesan Catherina.

Serene bertambah bingung. Tiada sesiapakah yang nak khabarkan apa yang berlaku?

"Serene, berlatih elok-elok tau. Jaga Amred ni. Jangan bagi dia pandang orang lain," pesan Khael pula, separa mengusik biarpun suasana cukup hambar.

Hanya Redrick, diam merenung tangannya sendiri.

"Red.. Sabarlah.." Khael menghampiri dan menepuk bahu Redrick. Serene turut menapak perlahan merapati Redrick. Dihulurkan cincin milik Arsha pada lelaki itu.

Tidak terjangka, Redrick teresak kuat. Dari tersandar di dinding, tubuhnya melurut jatuh. Wajahnya ditekup, menahan sedih. Catherina turut tersedu menahan deruan sebak yang menggila. Memahami betapa pedihnya Redrick menghadapi kehilangan setelah menanti selama bertahun-tahun.

Khael menerpa, memeluk Redrick bagaikan memujuk anak kecil.

Sepi memamah waktu. Tiada bujukan yang mampu diutarakan kerana segalanya sudah terlambat.

Hujung jarinya bermain-main di kelopak matanya yang sedari tadi basah. Kenangan lama dan apa yang didengarnya tadi membuatkan dia sedikit sesak. Bunyi pintu pagar yang dibuka menyentak dia dari lamunan panjang.

"Awak!" Ceria Narsha menyapa biarpun sebentar tadi dia menangis sendiri. Ammar mendengus bosan.

"Kau ni tak ada kerja lain eh? Memang wajib setiap hari kau kacau hidup aku?"

"Awak sendiri kata saya boleh ikut awak ke mana saja kecuali pergi dating," jawab Narsha tanpa berkecil hati sedikit pun dengan wajah mendung Ammar.

"Kalau macam tu, pergi main jauh-jauh! Aku nak pergi ber-dating ni," usir Ammar. Langkahnya diatur laju meninggalkan Narsha yang mula kembali muram di belakangnya.

"Awak betul-betul serius dengan dia?"

Ammar berpaling tatkala menyedari suara itu kedengaran cukup sayu. Dia memandang wajah suram Narsha.

"Gila!" Dan dia terus berlalu pergi.

Narsha menghela nafas berat. Tanpa Ammar sedari, dia mengikut lelaki itu menuju ke arah destinasinya. Perbualan antara Ammar dan abahnya, Encik Rizwan sangat mengganggu fikiran Narsha.

Atas perbincangan, Ammar setuju untuk mendekatkan lagi hubungannya dengan Isabella. Janjinya untuk berkahwin sebelum tahun hadapan akan ditepati. Encik Rizwan pula berpesan agar tidak mendekati seorang perempuan itu berlama-lama kerana boleh menimbulkan dosa dan fitnah. Kerana itu jugalah hari ini dia akan memberitahu segalanya pada Isabella.

Muram.

Isabella yang terlompat-lompat di depannya langsung tidak mencuit hatinya yang sedang berbelah bagi. Akhirnya, dia menyembamkan wajah di atas katil Isabella yang sering menjadi tempat dia melepak jika tiada urusan di luar.

"Narsha, aku ada dua cerita gempak. Kau nak dengar yang mana?"

"Mmmm..." Entah apa yang digumamkan Narsha dengan wajah terlungkup begitu. Isabella menepuk belakang Narsha dengan buku di tangan.

"Sakitlah, ngok!"

Isabella ketawa senang. Kalau sudah keluar 'ngok' dari bibir Narsha, maknanya mood dia sedang tunggang langgang. Isabella memegang pipi Narsha. "Aku ada cerita gembira ni!"

"Ye. Aku pun ada benda nak cerita kat kau," balas Narsha sambil menepis tangan Isabella di pipinya.

"Okey, aku cakap dulu!" Isabella pantas memotong. "Kita dapat masuk ke pertandingan nyanyian tu!"

"Serius? Oh, wow..." Mendatar. Tiada ciri-ciri teruja langsung sedangkan dari 5 tahun lepas mereka cuba mendaftarkan diri untuk masuk ke pertandingan nyanyian antarabangsa itu.

"Kau ni, kan! Excited la sikit! Kalau kau rasa itu tak cukup gempak, ini lagi gempak. Aku... nak kahwin! Kau ingat lelaki yang suka datang ke Blind Cafe? Dia ajak aku serius dengan dia. Dia kata, dia tak nak hubungan atas pagar kami berlama-lama. Nanti takut membawa keburukan. Dia kata, dia dah janji dengan mak ayah dia yang dia akan kahwin sebelum tahun depan. Dan dia terus terang dengan aku yang mak dia kalau boleh nakkan menantu yang bertudung. Aku langsung tak kisah. Kau tahu, walaupun mungkin ramai orang mencemuh aku sebab bertudung kerana manusia bernama lelaki, tapi bagi aku itu adalah batu loncatan untuk aku berubah. Yang paling buat aku terharu, dia cakap kalau aku bersetuju, dia akan jaga aku sebaik mungkin. Untuk seumur hidup dia."

Panjang lebar Isabella bercerita dengan berbagai gaya bagaikan sedang bersajak hingga terlentang di atas sofa. Jelas dia sudah melihat masa depannya bersama jejaka bernama Ammar.

"Bell..." Suara Isabella bertukar serius. Dia menggamit kawannya itu di sofa. Pertemuan antara Ammar dan Isabella petang tadi sangat mengganggu.

Mengapalah dia tidak sedar selama ini Isabella berkata tentang seseorang yang dicarinya?

Isabella terduduk dari pembaringan. Wajah Narsha yang pucat sangat keruh. Senyuman bertukar kerutan. Narsha menggenggam erat kedua tangan kawannya dengan mata berkaca.

"Weh, kenapa ni?" Isabella juga mula terasa sayu. Terbang segala angannya bersama Ammar.

"Kau ingat lagi apa yang aku beritahu kau waktu pertama kali kita jumpa, 5 tahun lepas?"

Isabella mengangguk. "Kau kata kau datang dari jauh untuk mencari seseorang yang hilang dari hidup kau."

"Dan apa yang aku katakan setiap hari waktu aku keluar?"

"Kau... nak cari jodoh kau. Teman hidup, kawan setia, nyawa kau." Satu persatu Isabella menyebutnya. Mana mungkin dia lupa. Jawapan itu tidak pernah bertukar selama 5 tahun.

"Dia yang aku cari itu, suami aku, Bell."

Jelas Isabella terkejut mendengarnya. Rupanya selama ini Narsha tidak bergurau.

"Aku kehilangan dia 7 tahun yang dulu sebelum aku jumpa kau lagi. Dan kini, aku dah jumpa semula dia."

"Be... betul ke?" Isabella gugup. Masih terperanjat sebenarnya namun dia tetap tumpang gembira. Narsha dipeluk erat.

"Tapi, Bell... maaf. Tentang lelaki yang lamar kau tu, kau tak boleh terima dia." Suara Narsha menggeletar saat mengucapkannya. Sekali lagi senyuman Isabella mati. Dia melepaskan pelukan, memandang Narsha dengan penuh persoalan.

"Kenapa?"

"Tolong... kau tak boleh. Aku... aku minta maaf..." Narsha sudah menangis di hadapan Isabella. Kawannya itu berdiri tegak. Memandang Narsha dengan pandangan tidak percaya.

"Jangan beritahu aku... yang.."

"Dia suami aku, Bell. Dia suami aku yang hilang 7 tahun dulu."


"Apa?"

Amred segera berlari meninggalkan Sachred dan menuju ke arah khemah rawatan. Nafasnya turun naik. Lecak di mana-mana melambatkan pergerakan. Peluh dan darah bersatu di wajah bersama titisan hujan gerimis.

Matanya melilau mencari susuk tubuh yang dimaksudkan Sachred. Khemah itu penuh dengan berpuluh orang tentera yang cedera. Sana sini darah dan erangan kesakitan. Jumlah perawat tidak mencukupi malah ada yang terpaksa menderita menahan sakit di hujung penjuru khemah, menunggu
perawat datang kepada mereka.

Amred berhenti seketika. Rasa sakit kepala bermukim di kepalanya namun perit itu hilang tatkala wajah Serene menyapa matanya. Segera diterpa dengan cemas lalu ditarik menjauh dari khemah.

"Apa kamu buat ni, Serene? Kenapa datang ke sini? Kenapa tinggalkan kota?" jerkah Amred.

Dia benar-benar marah tatkala mendengar Sachred menyatakan Serene datang ke kawasan peperangan. Serene baru sahaja mahu menjawab namun tiba-tiba sahaja Amred melutut dengan tangan menekan kepalanya.

"Amred, kau cedera!" Serene turut melutut, menyentuh rambut Amred yang basah dengan darah. Lukanya tidak kelihatan. Terselindung di sebalik rambutnya.

"Pergi! Tinggalkan sini! Pergi balik sekarang! Aku dah minta Sachred tunggu kamu di jeram besar hujung penghujung sungai. Pergi!"

"Tak! Aku tak akan pergi! Bagaimana aku nak pergi kalau aku diperlukan di sini?" Serene membantah keras.

Amred memegang kuat bahu isterinya. Dipandang ke dalam anak mata Serene. Mengharap agar Serene tidak berdegil.

"Tolong... pergi saja." Kali ini, nadanya berubah merayu. Serene menggeleng.

"Terlalu ramai yang cedera! Aku boleh kurangkan penderitaan mereka dengan kuasa aku!

"Tak boleh!"

"Kenapa?"

"Sebab kamu antara punca pencetus peperangan ini!"

Serene terdiam. Amred juga. Hanya terdengar rentak-rentak gerimis halus menimpa dedaunan dan tanah lembab.

"Pergilah, Serene. Demi aku. Tolong jaga diri kamu. Perang ini tidak akan lama."

Hidung Serene mula merah. Air mata bertakung, mengaburkan pandangan. Kini dia mengerti mengapa dia dikecualikan dari mesyuarat mereka. Mengapa dia dilarang sama sekali meninggalkan kota. Dan juga mengapa, Redrick bersikap dingin dengannya. Dipandang wajah Amred yang basah dirintik hujan.

"Baiklah. Tapi, izinkan aku rawat kecederaan kau sebelum aku pergi."

Akhirnya, Amred mengangguk perlahan selepas berfikir seketika. Serene melekapkan tangannya di kepala Amred. Lelaki itu memejamkan mata. Perit. Namun perlahan-lahan terasa kesakitan itu hilang bagaikan kabus pagi. Matanya dibuka seiring dengan hembusan nafas berat.

"Terima kasih, sayang."

Serene hampir menangis saat tangan kiri Amred menyentuh pipinya. "Janji kau akan pulang."

Amred ketawa kecil mendengarkan permintaan isterinya. "Kamu fikir aku suka ke duduk tengah-tengah hutan ni? Haruslah aku ingin pulang kerana rindukan kamu," senda Amred meskipun di hujung hatinya, dia pilu. Permintaan itu terlalu berat baginya.

Mungkin tidak sebelum dia berkahwin. Namun kini, dia sudah mempunyai insan yang disayangi dan menyayangi. Yang menanti kepulangan di setiap pemergiannya.

Mereka berdiri, saling memandang dengan senyuman hambar. Amred menarik Serene rapat ke dada, memeluk dengan erat bagai tidak mahu dilepaskan. Serene menahan sebak.

"Pergilah."

Perlahan-lahan Serene melangkah. Dipandang ke belakang namun Amred sudah tiada. Bertambah sayu hatinya. Tergesa-gesa Amred pergi, tidakkah mahu menghantarnya pergi meskipun hanya melalui pandangan. Serene kembali memandang ke hadapan dan menangis perlahan.

"Serene!"

Serene berpusing, memandang Amred berlari anak mendapatkannya bersama kardigan kulit labuh mencecah tanah. Terkaku Serene, membiarkan Amred menyarungkan kardigan coklat oak itu di tubuhnya. Hud kardigan ditarik menutup kepala dan separuh wajahnya.

Tatkala Amred menggosok lembut kepalanya, dia terus teresak, kalah dengan naluri seorang isteri. Amred benar-benar meruntuhkan tembok besi di dalam hatinya selama ini dan dia tidak lagi ego untuk menunjukkan kasih yang sudah terikat mati pada lelaki itu.

Sekali lagi tubuhnya dipeluk erat. Amred mendongak ke pohon yang meredup, mengawal air mata yang bersatu dengan rintik halus sang hujan di wajahnya. Selepas beberapa ketika, Amred menolak tubuh Serene sedikit, memaksa dia berjalan pergi.

"Selamat tinggal, ratuku."

selfnotes : your worst battle is between you know and what you feel.

#anxietythoughtiscrankying
0802210330

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro