07 | VAL : Fought The Change of The Tides
"Merudumlah ke dasar...
Dan jangan pernah kembali."
- Val
Tangan sejuknya terasa hangat digenggam seseorang. Serene membuka matanya, menatap satu senyuman yang melebar, melekukkan lesung pipit memanjang di pipi. Rambut perang kemerahannya berkilau disimbah cahaya mentari yang menerobos masuk melalui bukaan tingkap.
Rasanya sudah lama dia tidak melihat senyuman yang lebar itu. Bagaikan hilang segala sakit dan perit yang ditanggungnya sekarang.
"Aku berjaya, Serene. Benarlah kata mereka, kesakitan akan mendorongnya."
Serene mencengkam alas pembaringan. Ayat itu pernah meniti di bibir Beth. Nampaknya apa yang diharapkan Beth ada kaitan dengan dirinya dan Val namun entah bagaimana harus dia memberitahu Val.
"Beberapa waktu lagi pertabalan akan berlangsung. Aku cuma perlu meyakinkan mereka dan aku..." Val menyentuh pipi Serene. Siapa akan menyangka dia akan mengasihi orang terasing seperti Serene. Anak mata biru kehitaman itu direnung tanpa berkelip.
"...aku akan bawa kau pergi dari sini."
Sejak janji yang dipateri, Val tidak muncul hampir sepurnama lamanya. Serene tidak pasti apa yang terjadi. Beberapa kali juga dia mengintai ke pinggir bandar namun tidak ada apa-apa maklumat yang diperoleh.
Kaki yang menginjak tanah berbonggol akar selirat semakin perlahan hayunannya memikirkan kemungkinan Val sudah pergi meninggalkannya. Perlahan-lahan terdengar rintik hujan menimpa dedaunan hutan. Serene mendongak, merenung hujung pepohon yang menjulang tinggi. Membiarkan hujan yang turun semakin lebat.
Dia keluar ke kawasan tanah lapang menuju ke air terjun tempat dia menghabiskan waktu. Hujan yang turun setitis pun tidak mengenainya. Bagaikan dilindung bulatan pelindung lutsinar, semua air hujan yang melalui akan terpercik ke sisi. Dirinya kekal kering berjalan di tengah-tengah air mata langit itu.
Langkahnya terhenti apabila menangkap bunyi derap langkah jauh di belakangnya. Saat dia berpaling, Val sedang berdiri tegak memandangnya di sebalik kerudung hijau gelap tanpa segaris senyuman seperti selalu.
Serene menelan air liur yang terasa kering. Pandangan Val jelas menunjukkan lelaki itu terkejut melihat air hujan tidak menimpa dirinya. Pantas Serene menghentikan gerakan hati, membiarkan hujan membasahi tubuhnya biarpun sudah terlambat.
Val menggerakkan kaki mendekati Serene. Patutlah selama ini dia boleh menguasai air sepenuhnya apabila berhampiran dengan Serene, rupanya Serenelah penguasa air yang dicari untuk mewarisi Tembok Barat sedangkan dia berhempas pulas melatih diri hanya mampu mengolakkan air tanpa mengawal pergerakannya. Tiada siapa tahu gadis terbuang inilah yang dicari orang.
"Maaf, Val. Aku memang nak beritahu kau cuma aku tak tahu bagaimana." Gugup Serene mengucapkannya saat mereka berdiri berhadapan. Takut jika Val marah dan berjauh hati dengannya.
"Tunjukkan aku bagaimana kau lakukannya," arah Val, tanpa nada.
Serene mendahului langkah hingga sampai ke tebing puncak air terjun. Val berdiri tidak jauh darinya.
Serene mengangkat tangan kirinya lantas air sungai yang sedang mengalir deras menjadi perlahan. Ditahan alirannya agar menjadi tenang.
"Aku tak tahu bagaimana tapi aku cuma merasakan. Tapi banyak waktu aku tak boleh mengawalnya. Mungkin kerana aku belum belajar lagi. Pernah juga aku berenang ke dasar dan tidak dapat naik ke permukaan kerana permukaan menjadi beku biarpun aku tidak mahukannya. Tapi ia terjadi kerana di waktu itu aku terfikirkan sungai ini yang menjadi sangat dingin di musim sejuk."
Val memejamkan mata. Tangan di sisi dikepal erat. Dia ingat lagi saat itu pertama kali dia berusaha menguasai air di sungai dan permukaannya menjadi beku. Dia sangkakan itu adalah hasil usahanya yang berulang kali hampir mati.
"Aku sangka semua manusia biasa boleh buat begini tapi bila aku lihat saban hari ibu bersusah payah mengangkut air, baru aku sedar mungkin aku bukanlah seperti yang aku sangkakan."
Serene berhenti bicara apabila dirasakan Val tidak memberi tindakbalas. Hanya bunyi hujan masih melebat menimpa batuan dan dedaunan. Dia berpaling, terkejut melihat Val begitu hampir dengan dirinya.
"Val, aku..."
Tak semena-mena Val menolak tubuhnya jatuh ke dalam sungai. Kerana hilang kawalan, air yang ditahan tadi kembali mengalir dengan lebih deras menggulung dirinya ke dalam amukan yang tiada belas ihsan. Tenggelam timbul dia melihat Val tegak berdiri tanpa berbuat apa-apa. Hidung terasa perit apabila dia tersedut air beberapa kali.
Antara percaya dan tidak, adakah Val tidak sengaja menolaknya? Adakah langkahnya yang tempang hingga dia tergelincir jatuh ke dalam sungai?
Sampai di hujung puncak jatuhan air terjun yang tinggi, Serene melonjakkan diri mencapai hujung batuan yang terjulur keluar dari tebing. Termengah-mengah dia mencuri nafas dalam ketakutan melihat air sungai yang berjatuhan ke bawah. Pegangan hampir terlepas dihentam arus air. Seluruh tubuhnya terasa sakit apabila dihentam batu ketika terjatuh tadi.
Dalam pandangan yang kabur dan dada yang terasa menyempit, dia melihat langkah Val mendekati tempat dia berpaut. Serene mendongak mencari-cari wajah itu di sebalik titisan air hujan.
"Val... tolong aku..." Menggeletar dia menghulurkan tangan agar disambut Val namun lelaki itu hanya diam merenungnya tidak beriak sedikit pun. Serene mula ragu-ragu jika benar Val tidak berniat untuk menolaknya.
"Aku tak akan tinggalkan kau."
"Aku akan bawa kau pergi dari sini."
"Kau akan bawa aku pergi dari sini, kan?" Bergetar bibirnya mengulang janji Val. Pautannya semakin melemah kerana bahu yang tercedera ditambah dengan air dingin yang menggigit hingga ke tulang hitam.
"Val, tolong aku, Val! Aku, Serene sahabat kau berbelas tahun yang lalu!"
Air yang menenggelamkan separuh tubuhnya tiba-tiba terasa sangat sejuk. Serene tergamam melihat permukaan sungai mula mengeras dengan bunyi retakan ais di mana-mana. Emosi membuatkan kuasanya kacau bilau.
Val mengangkat tinggi tombak di tangannya.
"Tidak! Val, tolong selamatkan aku!" Serene mula menangis semahunya. Separuh badannya terasa lumpuh membeku di dalam air berais.
Di mana Val yang selama ini menjadi penyelamat dan mententeramkan jiwa di saat rapuh? Adakah dikeranakan kelebihan ini melenyapkan Val yang dahulu?
Val merenung anak mata Serene beberapa ketika.
"Merudumlah ke dasar... dan jangan pernah kembali."
Serentak dengan ucapan itu, Val menghentam permukaan sungai yang membeku lantas mencipta impak yang besar, meremukkan kesemua permukaan berais lalu arus air kembali menderu membawa serpihan ais tajam bersamanya.
"Val!"
Serene meraung panjang sebelum dirempuh kepingan ais yang pecah lalu jatuh bersama jatuhan air terjun. Kedua tangannya tergapai ke hadapan, masih bersisa pengharapan agar Val mencapai tangannya, namun bayang lelaki itu terus menjauh sebelum tubuhnya menghempas kuat ke permukaan air dan tenggelam ke dasar.
Val masih tegak berdiri dengan wajah kosong, melihat lenyapnya Serene membawa bersama kisah hati mereka yang tergadai.
➰
"Jangan menyerah, Serene."
Kaki yang lemah diseret penuh kepayahan.
"Dunia takkan berubah kalau kau menyerah!"
Sebelah tangannya menekup dahi kiri yang masih mengalirkan cairan merah tanpa henti, menuruni ke leher jinjangnya lantas mencemarkan baju yang terkoyak di sisi dengan warna merah.
"Diri kau sekarang tak lebih dari hanya sisa debu di dalam hutan terpencil!"
Saat bayang Beth menyapa mata, hati terasa rapuh. Ingin dia berlari dan mengadu pada ibunya itu tentang remuk di hati. Ingin dia menangis di pangkuan Beth semahunya.
"Serene!" Beth melepaskan pegangan pada bejana air dan berlari mendapatkan anaknya. Cemas melihat Serene cedera parah. Dipapah tubuh lemah itu dan dibawa ke dalam kediaman mereka.
"Mana kamu pergi? Dua malam kamu tak kembali! Puas aku mencari bagai nak gila! Kenapa sampai boleh jadi begini?"
Serene bagaikan patung tidak bernyawa. Tiada jawapan untuk dibalas. Masih dalam keadaan terkejut, cuba menerima realiti bahawa Val berniat untuk membunuhnya. Dua malam juga dia bertarung nyawa selepas dibawa hanyut jauh ke dalam belantara.
Matanya tidak lepas dari merenung Beth yang pantas menukarkan baju dan mengubati lukanya. Ada satu persoalan yang mengganggu. Tangannya diangkat, menggosok mata yang terasa pedih apabila darah mengalir mengenai matanya.
"Berhenti menggosok! Ianya akan menjadi lebih teruk," halang Beth. Dibersihkan wajah Serene dan ditekap dengan kain agar darah berhenti mengalir dari koyakan luka di situ.
"Ibu..." panggil Serene.
Beth berhenti mengelap leher Serene, memandang wajah Serene yang sedang sarat menanggung sesuatu.
Serene mengangkat tangan kanannya ke arah tanah yang tidak beralas. Tiba-tiba sahaja keluar titisan-titisan air dari liang tanah terapung di udara sebelum bergerak masuk ke dalam bekas pemanas air di tepi pendiang api.
"Inikah yang dicari ibu?" Akhirnya Serene menyoal. Dia ingin tahu, adakah dengan kelebihan itu Beth akan berubah seperti Val? Adakah Beth akan lebih menyayangi kerana dia berjaya mencapai apa yang dihajatkan Beth?
Mata Beth membulat. "Dah berapa lama kamu boleh buat begini?"
Bibir Serene bergerak-gerak ingin menjawab namun lidah terasa kelu apabila melihat riak wajah Beth. Entah ianya berita baik atau tidak bagi Beth.
"Ikut aku!" Tangan Serene ditarik, dipaksa gadis itu berdiri. Disarung kerudung berhud di tubuh Serene dan disuruh mengikuti langkahnya keluar dari kediaman. Mereka berjalan pantas melalui denai menuju ke kawasan utama Kota Larangan.
"Ibu, kaki Serene..." Serene menahan kesakitan di kaki kiri yang terasa mencucuk namun Beth seakan tidak mendengar rintihannya. Kehadiran mereka mula menarik perhatian penduduk di situ.
"Aku ingin bertemu dengan Ketua Tertinggi!" Beth nampak berang apabila seorang pegawai yang berpangkat tinggi menghalang dia dari masuk ke kawasan Sayap Utama.
"Beth, baik kau balik sajalah bersama angan-angan kau..." ejek pegawai itu.
"Angan-angan? Andre, kau akan terlopong melihat segala usaha aku terbayar. Aku akan dapat ganjaran lebih dari gaji tahunan kau! Sekarang, beri aku masuk untuk bawa budak ini bertemu Ketua Tertinggi," bentak Beth.
Berkerut dahi Serene cuba menghadam perbualan dua orang manusia di hadapannya.
"Tak boleh! Mereka sedang adakan majlis pertabalan Penguasa Tembok Barat!"
"Kau kena hentikan majlis! Val si puak syaitan tak layak memegang jawatan itu! Serene, tunjukkan kuasamu!" arah Beth dengan amarah. Pertama kali Serene melihat wanita itu melampiaskan kemarahannya.
"Ibu... Serene sakit..." adu Serene. Kain balutan pada luka di sisi dahi dirasakan semakin basah dengan darah yang masih mengalir. Kepalanya berdenyut, hampir pitam.
"Cepat, Serene! Tunjukkan kuasamu!"
"Ibu..." Mata Serene mula kabur dengan air mata. Tidak pedulikah Beth dengan kecederaan dirinya?
"Berhenti panggil aku 'ibu'! Aku cuma menjaga kau kerana aku tahu kau ada sesuatu yang berguna untuk aku! Aku dah muak habiskan hidup aku menunggu waktu ini. Sekarang, tunjukkan kuasa kau!"
Serene terundur setapak. Ayat Beth bagaikan satu tamparan hebat baginya selepas 'kehilangan' Val atas sebab yang sama.
"Tak perlu kau berjauh hati atau terkejut! Kau akan berterima kasih kerana aku selamatkan kau dari dibuang waktu kecil. Kau akan dapat lebih dari kediaman buruk di pinggir hutan. Kau akan hidup lebih senang dari aku! Yang penting sekarang, kita kena cepat!" marah Beth.
Serene ketawa dalam kesedihan. Sesungguhnya ketawa di saat terluka adalah lebih menyayat hati berbanding senandung sebuah tangisan.
Ya, dia terluka.
"Apa yang kau ketawakan, Serene?" jerkah Beth.
"Dasar anak beranak gila. Pulanglah, Beth." Pegawai bernama Andre itu berpaling ingin meninggalkan mereka tetapi ketawa Serene semakin kuat.
"Diam, budak!" Tangannya diangkat tinggi ingin memukul Serene namun belum sempat tubuh kecil itu diapa-apakan, lehernya terasa dijerut. Serene menggerakkan tangan kanannya, mengawal air dari takungan membelit leher Andre hingga lelaki itu menggelupur mencari nafas. Beberapa orang tentera dan penduduk kota yang berada di sekitar mereka mula cemas.
"Apa kau buat ni, Serene?" bentak Beth, separuh ketakutan.
Serene menggerakkan tangan kiri pula dan Beth menjadi sasaran serangannya.
"Tunjukkan kuasa aku yang kau semua mahukan." Serene menggerakkan tangan kiri pula dan Beth menjadi sasaran serangannya. Dia ketawa sepuas hati dengan juraian air mata bersatu bersama darah yang masih mengalir.
Di bahagian Sayap Utama yang dibentengi 4 penjuru tembok dan kawasan lapangan luas tidak berbumbung di tengah-tengahnya, suasana menjadi agak kecoh apabila dikhabarkan kejadian di luar pintu ruangan utama itu.
Val yang sedang duduk sebaris dengan wakil Puak Barat mencerlung tajam ke arah pintu gerbang yang terbuka. Suasana menjadi kelam dengan gumpalan kabus air halus memenuhi ruangan udara. Gelas minuman mereka bergetar dan air berserakan naik ke udara.
"Apa yang terjadi? Ini kerja engkaukah, Val?" soal Mav, pengiring kanan Puak Barat.
Val mengepal kedua tangannya, bangkit dari duduk memandang tepat ke arah bayang berkerudung yang melangkah setapak demi setapak hingga sampai ke tengah-tengah kawasan lapang Sayap Utara.
"Serene..." Nama itu terucap bersama hembusan nafas yang semakin menderu.
Ketua Tertinggi turut bangkit, mengenalpasti punca kekacauan itu adalah dari satu tubuh yang kecil diiringi keberanian tanpa gentar untuk mengganggu majlis yang sangat penting.
Serene menolak hud yang melindungi kepala. Pandangannya tepat membalas renungan Val. Saat itu sedarlah dia ini semua bukan khayalan. Val mengisytiharkan perang dengan dirinya. Dia tahu, dia tidak akan melihat lesung pipit lelaki itu lagi. Ada sebak merelung di hati yang berkecamuk antara marah dan dendam.
"Terima kasih kerana meyakinkan aku untuk tidak menyerah, Val."
Mereka bertikam pandangan mencetuskan api permusuhan yang membakar kenangan berbelas tahun lamanya angkara kuasa dan takhta.
#headache
1998words
3012201708
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro