Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

06 | VAL : The World Has Grown Cold

"Aku tak akan tinggalkan kau."
- Val


Langkah kecil menjadi rapuh. Sesalan bertubi-tubi mendengar lolongan yang semakin hampir di belakang. Nafas turun dan naik dengan pantas hingga mengeluarkan bunyi rengusan kasar dari tubuh kecil itu.

Bonjolan akar yang terkeluar dari tanah menyekat hayunan kaki hingga tersungkur dia menyembah bumi. Derap larian serigala dengan deruan nafas rakus yang kuat semakin mendekat. Dia memeluk tubuh, memejam mata dengan erat.

       "Val!" Nyaring nama itu menyelusup ke segenap rimba bertanah lembab.

Bunyi bising memaksa dia mengangkat wajah menoleh ke belakang. Terdongak memandang seorang lelaki tegak mendekatinya selangkah demi selangkah.

Dia bangkit dan menerpa ke arah lelaki itu, dirangkul lengan rapat ke wajah, hampir-hampir meledakkan tangisannya

       "Kalau kau nak mati, jangan ajak aku sekali, Serene," ucap lelaki itu, tidak bernada marah tapi lebih kepada bosan. Bosan kerana acapkali dia terpaksa meninggalkan kerjanya demi menyelamatkan gadis culas ini. Darah serigala yang dibunuh mencemar tangan dilap dengan hujung baju.

Serene berundur setapak. "Lama sangat Val tak datang. Serene sunyi." Dia menekur memandang hujung kaki yang berdarah kerana menghentam bonjolan akar tadi. Masih bersisa ketakutan bersulam rasa sakit, mencuri-curi pandang bangkai serigala yang terdampar tidak jauh dari mereka.

Lelaki bernama Val itu berpaling, bertinggung di hadapan Serene lalu dikendong Serene di belakangnya, menelusuri laluan hutan yang semakin gelap.

       "Selepas ini, Serene kena jaga diri sendiri. Val takkan selamanya di sisi Serene."

       "Sebab Val bakal mencecah usia 18 tahun? Selepas tu, Val akan pergi?" Dalam sebak, Serene meneka. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki yang tua 2 tahun darinya itu.

Val berhenti melangkah. Bukan sahaja merasa pedih dengan perpisahan yang bakal tiba, namun nasib dirinya juga berada di persimpangan.

       "Tak boleh ke kita terus berhubung selepas Val keluar dari Kota Larangan?"

       "Aku dari puak syaitan. Kami tidak bergaul dengan manusia biasa."

       "Tapi Val berbeza dari puak Val sendiri. Val baik hati, bertimbangrasa dan satu-satunya orang yang sudi berkawan dengan Serene di sini."

Val memejamkan mata, menarik nafas yang paling dalam sebelum meneruskan langkah yang terasa goyah.

Serene menggenggam hujung kain, menahan rasa takut berhadapan dengan Beth, ibunya.

       "Kamu..." Beth memejamkan mata dengan bibir yang diketap seolah-olah sedang menahan amarah.

       "Serene tak berjumpa sesiapa. Serene tak berkawan dengan sesiapa. Serene cuma bosan dan berjalan di dalam hutan," jawab Serene, cukup lancar.

Beth melepaskan nafas berat. Serene membaca riak wajah tua itu. Kadangkala dia hairan, Beth acapkali nampak menahan amarah namun tidak pernah walau sekalipun dia dimarahi. Adakah Beth takut dia terluka? Memandangkan hanya Beth sahaja yang ada dalam hidupnya?

Sejak kecil dia dilarang bergaul dengan mana-mana manusia lain. Dalam masa yang sama, dia tidak pernah melihat dunia di luar tembok besar yang melindungi Kota Larangan. Mereka duduk di pinggir hutan, bersebelahan tembok batu yang sangat tinggi.

Kota itu pula berada di kaki gunung dan sempadan kota adalah di puncaknya jadi Serene selalu menghabiskan masa menelusuri hutan tanpa bertembung dengan tentera penjaga tembok kota.

Malang juga baginya kerana tiada kanak-kanak di dalam kota melainkan anak-anak kepada pembesar dan ahli jawatan tertinggi yang sangat berbeza dunia dengannya.

       "Sekarang, mari dekat aku." Beth menggamit.

Serene mengetap bibir. Matanya mula berair. Setiap empat purnama, dia terpaksa melalui ujian ini. Ujian yang dia sendiri tidak pasti untuk apa dan kenapa.

       "Ada apa-apa yang luarbiasa berlaku ke atas diri kamu sepanjang tempoh ini?"

Serene menggeleng perlahan. Matanya memandang ke arah bekas tembaga berisi air menggelegak. Sebelum ini, Beth merendamnya ke dalam bekas besar berisi air sejuk hingga dia hampir lemas. Selepas setahun berlalu, Beth menukar cara lain bahkan dia pernah disiram air cairan salju dan dibiarkan seharian di dalam air dingin hingga dia jatuh sakit selama tiga hari. Berbagai bentuk ujian yang dia hadapi, sekali pun Beth tidak pernah nampak berpuas hati.

Beth mengambil air menggunakan senduk besar. Wap nipis naik hilang ke udara tidak putus-putus. Serene sudah melangkah setapak ke belakang.

       "Hulurkan kakimu."

Serene menggeleng pantas. "Beritahu Serene apa yang ibu mahukan, Serene akan beri."

Wajah Beth tidak beriak. "Kakimu."

Tidak dapat menolak, Serene duduk dibangku kayu. Kain diangkat menyerlahkan betis kaki kirinya.

       "Maaf, sayang. Ini demi masa depan kita. Sekejap sahaja." Tiba-tiba sahaja Beth bernada memujuk. Mungkin tidak mahu Serene melarikan diri.

Serene keliru. Tidak pasti benarkah dia disayangi atau dibenci Beth. Ketakutan memuncak apabila Beth mencengkam hujung kakinya. Air yang masih panas dicurahkan Beth tanpa teragak-agak.

Raungan Serene hampir pecah sebelum mulutnya ditekup kuat oleh Beth dengan kain kapas. Hujung kain yang digenggam menjadi koyak. Dia terdongak mencari kekuatan. Kulit putih wajahnya menjadi merah apabila air panas itu dicurah ke kaki hingga tegang urat lehernya.

       "Kesakitan akan mendorongmu. Kesakitan akan mendorongnya," bisik Beth.

Serene menderam menahan sakit dalam esakan yang menderu-deru.

Beth memandang betis Serene yang mula kemerahan. Setiap titisan yang mengalir direnung sebelum dia memejam mata diremuk kehampaan. Mulut Serene yang ditekup dilepaskan.

Serene menegakkan kepala. Seluruh tubuhnya menggeletar. Saat itu dia terlihat sisi wajah Val di celahan tirai. Mereka bertembung pandang seketika sebelum Val menghilang pergi.

Ada rasa ralat menghambat dada. Kenapa Val tidak menghentikan perbuatan Beth?


       "Kita tak boleh berkawan, Serene. Sesuatu lebih teruk akan terjadi jika aku menghalang Beth. Teruk bagi kau dan juga aku."

Serene hanya diam merenung Val membuka balutan lecur di kaki sebelum kain itu dibawa ke gigi air dan dibilas bersih. Rambut lelaki itu panjang kemas terikat di belakang dan uraian anak rambut di kiri dan kanan kepalanya sesekali bergerak ditiup angin. Memandang lelaki itu dengan berlatarbelakangkan jatuhan air terjun membuatkan dia merasa Val adalah penyelamat hidupnya dari tenggelam dalam kesunyian hidup.

Val anak kepada Ketua Tertinggi, hasil perkahwinan dengan si gundik dari Puak Barat yang lebih dikenali dengan gelaran Puak Syaitan dikeranakan sihir dan cara hidup mereka yang ganas. Val sedang menanti pertabalannya untuk menjadi Penguasa Tembok Barat pada usia 18 tahun tidak lama lagi. Ini bermakna, Val akan pulang ke tempat asalnya dan mungkin mereka tidak akan bertemu lagi.

Kali pertama mereka bertemu ketika Serene berumur 4 tahun. Saat itu dia hampir mati apabila terjatuh dari air terjun yang tinggi dan Val muncul menyelamatkannya.

Menggunakan kain bersih yang kering, Val membalut semula luka itu dengan rapi dan berhati-hati. Sesekali Serene menyeringai menahan sakit.

       "Di waktu malam atau jika kau berehat di kediaman, biarkan balutan ini terbuka. Biar ia kering dengan udara."

Tangan Val terhenti seketika apabila air mata Serene menitis di belakang tapak tangannya. Dia mendongak, memandang ke dalam anak mata Serene yang biru kehitaman.

       "Emosi akan melemahkan kau," pesannya.

       "Serene mahu ikut Val pulang ke Barat."

       "Tak mungkin." Val berdiri tegak.

Serene teresak dihambat pilu, menunduk dalam esakan yang tertahan.

       "Aku tak akan tinggalkan kau."


Gagah diseretkan kaki menuju ke gigi air. Olakan yang terbentuk dari jatuhan air terjun menampar lembut tangan yang mencecah air. Dari kejauhan terdengar bunyi gendang dan sorak sorai memenuhi ruang angkasa Kota Larangan. Setahun sekali pasti akan ada perayaan diadakan dan kota akan meriah dengan aktiviti dan persembahan selama 3 hari 3 malam berturut-turut.

Serene pernah dipukul oleh pengawal yang melihat dia mengintai persembahan budaya dari pinggir hutan. Apabila Beth mendapat tahu, dia dikurung di dalam ruangan kecil hingga perayaan berakhir.

Pantulan wajah pada air sungai seakan mengejek diri sendiri. Serene berdiri, melepaskan selendangnya dan terjun ke dalam sungai. Serta merta dunia menjadi tenteram, bunyi perayaan hilang ditebat air meninggalkan suasana tenang yang mendamaikan. Saat itu juga betisnya yang melecur terasa sejuk, menghilangkan pedih yang ditanggung beberapa hari ini.

Serene berenang hingga sampai ke dasar sebelum membiarkan diri beralun mengikut arus air. Cahaya matahari berjajaran menembus ke dalam air, berkemilau indah. Kerana tidak pernah bergaul dengan orang lain, dia tidak tahu dia sedang menyelam lebih lama berbanding manusia biasa.

Kalaulah dia boleh berada di bawah air selama-lamanya...

Bunyi deburan sayup-sayup kedengaran memaksa dia membuka mata. Dalam berbalam-balam, satu bayang hitam mendekati. Melihat rambut perang kemerahan itu beralun merentasi jajaran cahaya matahari, dia tahu itu Val.

Lengannya dipaut erat dan pinggangnya dirangkul dari belakang. Perlahan-lahan dirasakan tubuh mereka semakin naik ke permukaan.

       "Ah!"

Val menarik nafas paling dalam diselangi batuk kecil. Ditarik Serene naik ke tebing batuan besar. Dia duduk menunduk dengan kedua tangan menahan tubuh. Air menitis dari hujung rambut yang basah. Kulit sawo matangnya kemerahan disimbah cahaya matahari. Belakang tapak tangannya dicemari luka tercalar mungkin terlanggar permukaan batu.

       "Apa kau cuba buat, Serene?" tengking Val. Turun naik dadanya bernafas dengan laju. Mujur saja dia melihat selendang Serene yang ditinggalkan di tebing. Jika tidak pasti dia tidak tahu gadis itu sudah tenggelam ke dasar.

Serene tidak menjawab. Terus menerus memandang Val dengan wajah tidak berperasaan.

       "Dunia tak akan berubah kalau kau menyerah! Kalau kau nak lenyap dari dunia ini, biarlah kehilangan kau memberi kesan sekurang-kurangnya pada seseorang! Diri kau sekarang tak lebih dari hanya sisa debu di dalam hutan terpencil!"

Val menghela nafas melihat Serene hanya diam. Hilang sinar cahaya dalam anak matanya. Bibir merah itu juga membisu, tidak petah seperti sebelumnya.

       "Jangan menyerah, Serene."

Melihat Serene masih tidak bereaksi, akhirnya Val maju ke hadapan, menarik lengan Serene dan dibawa tubuh itu ke dalam pelukan untuk pertama kalinya selepas persahabatan yang terjalin 12 tahun yang lalu.

Serene tergamam. Kehangatan tubuh Val terasa memujuk. Degupan jantung lelaki itu kuat kedengaran di telinga seolah-olah memberi tahu dia masih memiliki nyawa yang berharga. Tubir mata terasa panas. Sedarlah dia, Val adalah belahan jiwanya. Jadi bagaimana harus dia melepaskan Val pergi?

Puas hidup bersendirian dibungkus kesunyian membuatkan dia kalah dengan berita pemergian Val beberapa waktu lagi. Kenapa  harus dia selemah ini?

Mereka menelusuri denai untuk kembali ke kediaman Beth. Dari belakang, Serene memandang tubuh Val yang tegap melangkah tanpa goyah.  Baru dia sedar lelaki itu bukan lagi budak lelaki yang kuat mengusik. Bukan lagi Val yang kadangkala mengadu dipukul dan dimarahi pelatihnya. Dan mereka tidak lagi bermain sorok-sorok atau kejar mengejar.

Mereka sudah menginjak dewasa.

Selepas Val menghantar Serene pulang, Serene membersihkan diri dan menukar baju. Ketika dia sedang menyarung kain, barulah dia sedar luka melecur pada kakinya telah sembuh sepenuhnya hanya tinggal parut kemerahan. Serta merta dia teringat rasa dingin ketika luka itu disentuh air sungai.

Inikah peristiwa luarbiasa yang selalu ditanya oleh Beth?

       "Serene!"

Terkejut mendengar suara Beth di luar rumah, Serene tergesa-gesa membalut parut melecur itu dan bergegas mendapatkan Beth. Mereka bertembung di ruang tamu yang kecil bersebelahan pendiang api. Mata Beth mengecil memandang Serene, seakan ada sesuatu yang tidak kena.

Melihat renungan Beth yang mencurigakan, Serene memaniskan wajah, mendekati Beth sambil terhincut seperti sebelumnya. Khuatir jika Beth mendapat tahu apa yang terjadi, mungkin ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa dirinya.

       "Aku tidak akan pulang untuk beberapa hari. Ini bekalan makanan dan pastikan kamu tidak keluar jauh dari rumah. Jangan dekati kota dan penduduknya."

       "Baik, ibu." Serene mengangguk laju, separuh lega mendengarnya. Ada alasan untuk dia cipta jika Beth bertanya tentang luka yang sudah sembuh di kaki.

Selepas Beth berpergian, Serene bergegas menuju ke tempayan berisi air bersebelahan pintu belakang kediaman. Selama ini dia melihat Beth mengangkut air dari sungai dengan bersusah payah kerana mereka tiada kemudahan bekalan air seperti di kota.

Sedangkan dia pula jika rasa malas, dia hanya perlu mengangkat tangannya dan ada sumber air dari bawah tanah akan mengalir keluar dan masuk ke dalam tempayan tapi tidak pernah diberitahu kepada Beth tentang hal itu kerana takut dimarahi. Mungkin kerana dia masih kanak-kanak ketika itu, dia menyangka Beth akan memarahinya kerana mengambil air dari bawah tanah sedangkan Beth menyuruhnya mengangkut air dari sungai.

Serene menggerakkan jemarinya di atas permukaan tempayan. Serentak dengan itu, air di dalam tadahan turut berolak hingga terpercik ke luar. Kedua tapak tangan direnung.

Inikah yang dicari Beth?
Jika ya, untuk apa?



Bunyi hujan yang lebat tidak menggugat pendengarannya yang tajam. Serene berlari pantas menuju ke sungai. Telahannya benar.

Val sedang berdiri dengan separuh tubuh berada di dalam sungai, nampak seperti sedang cuba mengawal sesuatu. Baju kain kapas nipis yang membaluti tubuhnya menampakkan beberapa garisan luka cambuk di belakang badan.

Serene menekup mulut, tidak sanggup melihat luka-luka itu yang masih berdarah. Dulu Val selalu menceritakan bahawa dia terpaksa berlatih keras untuk menjadi Penguasa Tembok Barat namun kerana dia tidak memilik apa-apa kelebihan luarbiasa, dia selalu dipukul dan dicambuk oleh pelatihnya sendiri.

Val mengangkat kedua tangan melawan deburan air terjun namun air hanya berundur sedikit sebelum kembali menderam melanggar dirinya. Berang dengan keadaan itu, Val menjerit sekuat hati. Batuan keras di hadapannya ditumbuk berkali-kali melampiaskan amarah terhadap diri sendiri.

"Val! Val!" Serene meredah air mendekati Val yang mula hilang kawalan. Hujan yang menderu menjadikan aliran sungai semakin deras berwarna coklat kelabu. Serene tahu tidak lama lagi kepala air akan merempuh laluan sungai.

Tangan Val dicengkam dan ditarik ke belakang agar menjauh namun tubuhnya tercampak ke dalam air ditepis Val.

       "Tinggalkan aku, Serene! Aku memang tak guna!"

       "Cukup, Val! Kau beritahu aku supaya tak menyerah. Kau patut tunjukkan pada aku bagaimana caranya!" jerit Serene, melawan bunyi arus yang kuat bagaikan suara raksasa bergelodak di dasar.

Val mencengkam kepala dengan kedua tangannya. Marah dan kecewa meracun hati yang sedang patah. Meninggalkan akal yang tidak waras menimbang baik dan buruk perbuatannya. Kedua tangan yang berdarah direnung dengan nafas yang laju. Hari pertabalan sudah dekat dan dia masih belum mampu mencapai apa yang diperlukan bagi melayakkan dia mengambil tempat sebagai Penguasa Tembok Barat sedangkan harapan seluruh Puak Barat tertanggung di pundaknya.

Serene menggigil dalam kesejukan dan ketakutan. Bunyi menderu-deru dari tebing atas semakin dekat bersama paras air yang semakin meninggi.

       "Tolonglah, Val!" Dia merayu sepenuh hati, memegang hujung baju Val yang masih tenggelam dalam emosi. Val sudah berkali-kali menyelamatkan dia sebelum ini dan kini gilirannya untuk menyelamatkan Val. Dia tidak akan meninggalkan lelaki itu biar apapun terjadi.

Serene memandang ke puncak air terjun. Gelombang besar itu sudah tiba!

       "Argh!" Val meraung, wajahnya terdongak ke atas dengan kedua tangan dikepal erat. Merelakan diri dihanyutkan biar sampai ke mana pun nanti.

Pantas Serene ke hadapan dan memeluk belakang tubuh Val dengan kedua mata yang dipejam erat.

       'Berhentilah!'

Diam.

Sepi.

Hanya bunyi aliran air perlahan terdengar pada pendengaran bersama titisan hujan yang merenyai.

Val membuka matanya, tidak sedar dia sedang menunduk ke bawah, melihat Serene masih memeluk erat tubuhnya dengan kedua mata yang terpejam penuh ketakutan.

Perlahan-lahan dia mendongak, terkesima melihat gelombang kepala air yang terhenti di atas mereka, membeku di udara bersama titisan hujan yang turun bagaikan dalam gerak perlahan.

       "Serene..."

Serene membuka mata, mulutnya separuh terbuka, antara terkejut dan ketakutan dengan apa yang terbentang di depan mata.

Namun, tidak sempat mereka bertenang, tiba-tiba terdengar bunyi bagaikan ais meretak dan air kembali bergerak deras disertai hujan kembali menimpa bumi dengan lebat.

       "Serene!"

Mereka berdua tenggelam ditimpa hentaman kepala air yang menggila.


#rathersurroundedbywalls
2412words
2812202235

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro