Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

03 | Could Never Break

"Memiliki membuatkan kita terlupa.
Kehilangan menciptakan denai tidak berturap."
Serene

Isabella bergolek di katilnya. Kiri kanan, kiri kanan. Bantal peluk diramas-ramas dengan hujung jari. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

        "Kau ni dah kenapa? Semacam saja aku tengok," tegur Narsha, teman serumahnya.

Terus Isabella duduk dari pembaringannya menghadap Narsha yang sibuk menulis di atas kertas.

       "Kau tahu, lelaki yang selalu datang setiap kali aku perform kat kafe tu?"

       "Hmm..." Nampak sangat Narsha tidak berminat dengan ceritanya namun Isabella tidak kisah. Apa yang penting, dia perlu ceritakan pada seseorang apa yang dia rasa.

       "Aku rasa, happy gila setiap kali tengok dia! Aku rasa... aku dah jatuh cinta..." Isabella senyum meleret lalu menghempaskan semula badannya ke atas tilam.

       "Ya, aku tahu."

       "Hah, kau tahu?" Isabella terduduk semula.

       "Iyalah, kalau kau dah cerita setiap hari, setiap saat, handsome la, kacak la, rupawan la, tak sabar nak tunggu hujung minggu la... apa la dan sekian sekian, memang nampak jelas tersangatlah kau suka dia! Apalah kau ni," balas Narsha. Isabella mencebik.

       "Narsha, mintalah kat Mikhail jadual kita hari lain-lain jugak. Takkan Ahad saja."

       "Tak nak aku!"

        "Ala, Narsha. Kau tak nampak ke setiap minggu 6 hari aku menderita."

       "Menderita ke namanya baru naik 2kg berat badan kau? Tapi yang sehari itupun kau dah melayang, tak takut terlebih dos pulak nanti?"

Isabella mencampak bantal ke arah Narsha. Menyampah! Narsha meneruskan tulisannya.

       "Maaflah Bella. Aku sibuklah dalam 6 hari tu." Perlahan Narsha bersuara tanpa mengangkat muka.

       "Entah apalah yang kau sibukkan sangat tu. Kau buat apa eh, sampai hujung minggu baru dapat tengok batang hidung kau?"

       "Cari jodoh."

        "Ceh, bertahun jawapan yang sama. Cari jodoh, cari laki, cari suami, tapi tak kahwin-kahwin jugak." Isabella menjuih bibir.

Narsha hanya tersengih. "Tak lama lagi."


Ammar termenung di laman rumahnya beralaskan kerusi kayu seperti selalu. Memandang ke arah langit malam yang pekat. Namun malam ini perhatiannya agak terganggu. Dia terasa diperhatikan. Ada sesuatu dalam dirinya yang merasa terganggu. Dalam kesuraman malam, dia mengecilkan mata, mencari-cari di sekitar halaman jika memang ada makhluk menghidupkan prasangkanya gugat.

       "Am, termenung tu ingatkan siapa?" tegur abah dari belakang. Ammar menggaru kening. Tiada jawapan.

       "Tahun depan Am dah makin tua. Tak rasa terlajak ke?" Mama pula menyampuk.

Ammar diam. Dia tahu, memang wajar perkara itu dibangkitkan. Dia bukannya semakin muda.

       "Abah nak Am cakap pada abah, kalau-kalau Am dah ada pilihan hati. Kalau tak, tak perlulah setiap saat abah dengan ma fikir tentang anak orang itu, orang ini."

       "Am ada..." Kata-katanya terhenti seketika. Isabella terlintas di benaknya namun pesanan Mikhail menghalangnya dari terus mengangankan perempuan berambut perang asli itu.

       "Ada?" Abah dan mama sudah membulatkan mata, ternanti-nanti.

Ammar mengeluh perlahan. Disandarkan tubuhnya ke dinding. Rambut depan ditolak ke belakang. Abah dan mama berpandangan. Macam ada masalah besar saja.

       "Kalau Am ada tapi tak pasti atau tak yakin, apa kata Am jumpa saja dulu calon bakal isteri Am. Anak kawan abah. Ma suka tengok dia. Bertudung manis saja," cadang ma yang kelihatan ceria.

Berkerut dahi Ammar. 'Hai, Isabella. Kenapalah kau tak pakai tudung? Mesti ma tolak punya nak jadi menantu dia.'

       "Macamana?"

       "Hmm..." Ammar tertunduk. Menurut saja demi menjaga hati orang tua. 'Jumpa je, bukannya terus kahwin.' Dia memujuk hati.



Air sungai yang tenang beralun-alun mengikut jari telunjuknya. Kaki dicecahkan ke dalam air yang sungguh dingin. Deruan air terjun terasa menyenangkan. Dia memang sukakan air dari kecil. Dia boleh menyelam begitu lama di dalamnya.

       "Macamana kamu buat tu?"

Serene terkejut. Kawalan terlepas membuatkan air yang sedang bergerak bebas itu terhempas ke tebing sungai dan memercik kuat ke arah mereka berdua.

Serene menggenggam tangan. Dia paling tidak suka disapa tiba-tiba dari belakang. Namun marahnya tidak menjadi apabila melihat wajah cemberut Amred memandang cawan di tangannya. Air di dalam cawan itu sudah bercampur dengan air sungai.

       "Aku petik bunga wangi di atas Gunung Manae di Tembok Barat 3 hari lepas dan proses menjadi serbuk halus dengan kedua tangan kasar aku sendiri. Susah... dan payah. Teh ni sukar untuk didapatkan dan bunganya mekar setahun hanya sekali. Aku nak menikmati bersama kamu tapi nampaknya, aku patut lupakan sahaja." Sayu suara Amred bercerita. Riak wajahnya cukup hampa ditambah dengan daun musim luruh yang berguguran menjadi latarbelakang.

Mulut Serene terbuka, ingin menyatakan sesuatu namun teragak-agak. Amred meletakkan cawan itu di atas batu di hadapan Serene dan terus berlalu pergi.

Serene menggenggam erat kedua tangannya dengan geram. Amred sengaja buat dia rasa bersalah! Panglima perang mendaki gunung bukanlah satu hal yang luarbiasa. Memang tugasannya mengawasi sempadan di gunung itu, bukannya menyimpang dari tugasan asal!

Ugh!

Petang itu, ketika Amred baru pulang dari menjadi juri memanah di kem tentera sempadan kota, dia melihat dua orang pengiring Serene sedang bersantai di bawah pohon. Dirapati gadis-gadis itu yang tersipu malu menerima kehadiran Amred.

"Mana Serene, isteri aku?"

Gadis-gadis itu diam, mencebik tanpa sedar. Amred mengecilkan matanya. Dia bukan buta untuk membaca garis raut wajah insan biasa di depannya.

       "Cik Puan di sungai. Cik Puan arahkan kami pulang tinggalkan dia di sana."

Wajah Amred berubah merah padam. Dia melangkah laju ke arah sungai melalui denai yang berwarna jingga keemasan dengan dedaunan kering. Dari jauh, dia melihat Serene terduduk kepenatan. Seluruh tebing basah dengan air sungai yang berolak sedikit.

       "Serene."

Serene mengangkat wajah. Wajah Amred kelihatan sedikit tegang.

       "Kenapa belum pulang?"

        "Aku sedang berlatih." Tanpa nada, Serene menjawab.

Amred melutut di sisi Serene. Dagu gadis itu diangkat dengan hujung jari. Wajah mereka begitu dekat sekali, mengundang debar di hati Serene. Debar yang dia sendiri pun tidak tahu asbabnya.

       "Jangan bahayakan diri. Jangan bebankan diri. Jangan buat aku risau. Jangan duduk berseorangan. Jangan sesekali suruh pengiring kamu tinggalkan kamu. Jangan berlatih terlalu lama hingga tidak pulang ke bilik. Jangan buat sesuatu yang kamu tak mampu menanggungnya."

Serene menepis tangan Amred. "Kau tak perlu membuat pelbagai larangan untuk aku. Kau tak perlu bersusah payah untuk merasa risau. Ini memang tugas aku untuk menguasai apa yang aku miliki sebelum hari itu tiba."

       "Jangan berdegil. Aku akan latih kamu. Biarpun kita berbeza tapi aku suami kamu."

Serene terdiam.

      "Aku akan ke Kem Tembok Selatan. Mungkin akan pulang 3 atau 4 hari lagi. Tunggu aku kembali, barulah kita berlatih bersama. Dalam pada masa itu, kamu cuma berlatih memanah di lapang sasar. Faham?"

Serene mendengus, memalingkan pandangan ke arah hujung sungai. Amred menghela nafas berat, memandang sisi wajah Serene yang begitu dekat dengannya namun terasa jauh di hati.

Sebelah tangannya menyentuh perlahan ubun-ubun isterinya. Serene membatukan diri biarpun sedikit kaget. Tidak pernah ada orang menyentuhnya begitu. Ada rasa sebak tanpa punca bergentayangan di jiwa.

Tangan Amred turun ke sisi kepala Serene, ibu jarinya mengusap lembut parut yang merentangi antara dahi dan telinga Serene. Hujung telinga Serene juga sedikit cela meninggalkan kesan memori yang tak boleh dipadamkan.

Pantas Serene menepis kasar tangan Amred. Dibetulkan kembali uraian rambut agar terlindung semula parutnya. Sebak tadi hilang serta merta malah mencerlung marah memandang Amred yang masih merenung dengan mata redupnya.


Amred resah. Hujan yang lebat disertai guruh membuatkan dia terasa ingin gila.

        "Kau tak boleh hentikan ribut ni ke, Redrick?"

Temannya tertawa lepas. "Walaupun aku boleh menguasai angin tapi aku tak boleh menguasai alam semulajadi. Seperti Serene, dia boleh menguasai air tapi hujan tetap akan turun."

Kata-kata Redrick hanya menambah resah yang ada. Hujung jarinya mengetuk perlahan baju besi yang masih tersarung di tubuh.

Selepas pergi meninggalkan Serene di sungai tempoh hari, dia terus bergegas ke Kem Tembok Selatan. Perjalanan yang jauh memakan masa 2 hari pergi dan balik ditambah dengan dua malam di sana. Bermakna sudah 4 hari dia tidak bertemu dengan isterinya. Balik-balik sahaja dia mendapat tahu Serene tidak pulang ke kamar sejak hari dia pergi. Bermalam di tebing sungai sendirian. Pengiring yang menjaganya diusir pulang.

       "Kau boleh ketawa? Tak risau pada adik sendiri ke?" marah Amred. Makin terbahak Redrick dibuatnya.

       "Buat apa nak risau. Sudah ada panglima gagah yang risaukan dia."

Amred merengus. Dia meluru keluar, meredah hujan dan laluan berlecak jauh menuju ke sungai. Malam yang pekat menyukarkan perjalanan namun diteruskan jua. Angin dingin membawa musim salju tidak mampu menenangkan redam di jiwa. Hatinya bagai dipalu, tidak senang.

Dari jauh, dia mendengar deruan sungai kedengaran keras, tidak seperti biasa. Bagaikan aliran kasar yang menghentam apa sahaja di hadapannya. Langkahnya dipercepatkan. Sesekali dia terjelepuk jatuh namun dia bangkit kembali tanpa mempedulikan kepenatan yang belum hilang.

       "Serene!" Dia melaung.

Terkejut melihat air yang sebelumnya tenang kini berdebur hebat. Bagaikan ada raksasa besar sedang mengamuk di dalamnya. Tebing sudah tidak kelihatan. Ditenggelami air.

Nama Serene dilaung-laung. Melihat keadaan air yang menggila hingga terlambung berpuluh meter ke udara, dia yakin itu kerja seseorang. Mana ada sungai yang berolak begitu sekali. Siapa lagi kalau bukan Serene!

       "Serene!"

Malam yang pekat menyembunyikan sang rembulan menyukarkan pencariannya. Ribut juga tidak berhenti. Hujan turun bagaikan tumpahan air dari langit. Amred menutup matanya, melutut di tanah yang basah, memohon agar Tuhan menunjukkan di mana isterinya.

       "Amred..."

Amred membuka mata. Bagaikan terdengar bisikan Serene. Tidak jauh di hadapannya, Serene tercungap-cungap kelemasan di bawah gelodak air. Tangannya yang berpaut pada batu sudah hampir terlepas. Dia terlihat Amred namun air menghalang suaranya dari keluar. Hatinya menyeru nama Amred kerana dia tahu pandangan Amred terbatas.

        "Serene!" Kilat memancar memperlihatkan keberadaan Serene dalam masa sesaat.

Amred terjun ke dalam air tanpa berfikir panjang. Baju besi yang tersarung menyusahkan pergerakannya. Dengan berpaut pada batu-batu tebing yang sudah tenggelam, dia merapati Serene yang lemah.

       "Capai tangan aku! Capai tangan aku!" jerit Amred.

Serene menggeleng. Dia takut hendak melepaskan pegangannya. Dia takut terlepas dan dihanyut pergi. Memori lalu kembali datang menghantui hidupnya. Trauma.

       "Serene, lepaskan perlahan-lahan! Aku ada, aku akan sambut kamu!" Amred menjerit bagai orang gila. Hidungnya sudah pedih dimasuki air. Tangan kanannya berpaut pada batu dengan seluruh badannya di dalam air. Tangan kirinya dihulurkan pada Serene yang tidak jauh darinya.

Serene memejamkan mata. Meraih kekuatan. Dipandang Amred dengan sayu. Kali pertama dia merasa takut dengan makhluk bernama air. Memandang jari Amred yang bergerak-gerak ingin mencapainya. Ditekadkan diri dan dia melonjakkan tubuh ke depan, tangan mereka bertaut namun hanya di hujung jari.

       "Amre..." Serene tenggelam dibawa arus.

Amred melepaskan pautannya dan berenang menuju ke arah Serene dihanyutkan. Air terus menggila, menghempas mereka berdua ke dasar sungai tanpa belas ihsan.

Notes : I met Serene and Val in person. Amred? No... not yet haha!

#theonewholyinginside
1694words
2212201950

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro