2| UPSR (edited)
Kepala Iskandar ditunjal dengan tidak semena-mena oleh Faizal. Dia terpinga-pinga dengan tindakan ayahnya yang baru sahaja mendarat ke atas sofa ruang tamu.
"Kau tahu tak aku kalah malam tadi," ujar Faizal.
Sepatah pun Iskandar tidak menjawab.
Tak lama selepas itu Raudhah melintasi ruang tamu dengan beg tangan di sisi. Dia membelek-belek isi beg duitnya yang sudah berkurangan isi.
"Awak, saya nak minta duit. Nak pergi hospital." Raudhah duduk berdekatan suaminya.
"Saya takde duit. Tak tahu lah pergi mana semua," jawab Faizal bersahaja. Hakikatnya dia telah menggunakan hampir kesemua gajinya untuk perjudian malam tadi. Habis satu sen pun dia tak menang. Tetapi perkara itu harus dirahsiakan daripada Raudhah.
"Kan gaji baru masuk? Saya tengah takde duit ni." Minta Raudhah lagi. Gaji suaminya yang dalam lingkungan RM3000 sepatutnya masih ada baki setelah langsaikan kesemua bayaran sewa rumah, cukai pintu dan lain-lain.
"Apa kata awak tanya anak kesayangan awak tu. Dia ada ambil tak duit saya." Mulalah lelaki bergelar ayah itu hendak melibatkan anak sulungnya yang tidak bersalah.
"Kenapa Iskandar pula?" Hairan Raudhah.
"Sebab duit aku pernah hilang hari tu." Faizal masih tak mahu menanggung kesalahan sendiri. Kalaulah Raudhah tahu tentang perangainya, boleh jadi mereka akan bercerai. Dan boleh jadi harta keluarga Raudhah takkan dirasainya. Dia yakin Raudhah akan diwasiatkan dengan harta ibu bapanya sebagai anak tunggal dalam keluarga.
"Iskandar, jangan sampai aku bagi penampar baru kau nak mengaku." Kepala Iskandar ditunjal sekali lagi. Faizal masih dengan lakonannya di hadapan Raudhah.
"Kenapa awak asyik salahkan Iskandar kalau duit awak hilang? Dia budak lagi tahu tak. Buat apa dia nak ambil duit awak sampai beratus-ratus?" geram Raudhah. Pagi-pagi lagi anaknya sudah dimarahi. Kepala Iskandar diusap perlahan, bekas tunjalan itu dielus. Dia cukup tidak suka Iskandar dikasari sedangkan anak itu lembut peribadinya.
"Mana aku tahu dia nak buat apa. Cuba la kau tanya sendiri dekat anak kau ni." Dijeling wajah muram sang isteri.
"Dah la, saya tak nak besarkan hal ni. Nanti pandai-pandai la saya minta duit dengan mama," putus Raudhah.
"Hari tu kata tak nak meminta. Nanti tak pasal-pasal mama ingat saya biawak darat yang tak reti bagi nafkah dekat anak bini," potong Faizal.
"Kalau duit takde, macam mana saya nak pergi hospital?" Raudhah masih menahan sabar. Duit rawatan Iskandar bukannya murah.
"Aku dah kata, kau ni menyusahkan semua orang."
Kata-kata Faizal mencengkam hati Iskandar. Dia tahu ayahnya sedang memaksudkan dirinya. Iskandar memerlukan rawatan susulan setiap bulan sejak didiagnos kekurangan hemoglobin dalam darah dua tahun yang lalu. Merundum pilulah hati kecil itu.
"Ika, jom pergi hospital hantar along." Raudhah memekakkan telinga seperti biasa. Bebelan Faizal tak mahu dicakna. Lebih baik dia bersegera membawa Iskandar ke hospital buat pertemuan dengan doktor.
"Ya," sahut Zulaikha yang sudah siap memakai tudung putih sekolahnya.
"Abang Is, jom. Nanti kita singgah rumah tokma dulu." Kunci kereta diambil Raudhah setelah bersalaman dengan Faizal.
Perbuatan Raudhah yang mengabaikannya membuatkan dia menahan api kemarahan. Faizal meraup wajah kasar. Fikirannya kusut dengan masalah kewangan yang dihadapinya. Ditambah pula dengan penyakit anak sulungnya, tak habis-habis guna duit je.
* * *
Jam menunjukkan pukul 10 malam.
Rhaudah menolak daun pintu bilik Iskandar. Dia menapak ke dalam bilik yang terdapat dua buah katil bujang. Satu milik anak lelakinya, satu pula untuk anak gadisnya.
Kerlipan mata Iskandar sempat ditangkap Raudhah. Tahulah dia yang hero kecilnya itu belum beradu lagi.
Wanita itu melabuhkan punggung di birai katil. Wajah pucat Iskandar ditatap Raudhah. "Kenapa abang tak tidur lagi?"
Iskandar membisu. Dia membalas pandangan ibunya. Tapi sayang ibunya takkan faham jika hanya memandang anak matanya itu.
"Kenapa ni?" soal Raudhah.
"Abang menyusahkan ibu ke?" ujar Iskandar perlahan. Dia mengalihkan pandangan daripada terus ditikam.
"Kenapa kata macam tu?" Raudhah terkejut dengan soalan Iskandar.
"Sebab setiap bulan ibu kena bawa abang pergi hospital... Macam yang ayah cakap siang tadi."
"Mana ada sayang. Abang tak pernah susahkan ibu. Cukup untuk tengok abang sihat, ibu dah bahagia."
"Abang minta maaf."
"Janji dengan ibu, makan ubat hari-hari. Jangan lasak sangat, nanti abang penat. Kalau rasa tak larat, beritahu cikgu cepat-cepat." Raudhah memeriksa suhu tubuh anaknya. Seperti yang dijangkakan, Iskandar sedang demam. Patutlah wajahnya pucat sejak siang tadi.
" Abang janji," jawab Iskandar perlahan sahaja.
" Esok tak payah pergi sekolah la. Abang demam ni. " Raudhah menarik selimut lalu menyelimuti tubuh Iskandar. Bibir merah anak sulungnya berona merah bak biji saga. Pasti suhu tubuh Iskandar sedang meningkat.
" Tapi kalau tak pergi sekolah, macam mana abang nak pandai. Macam mana nak masuk asrama penuh?" Anak kecil itu tidak bersetuju.
"Sehari je ponteng, takkanlah anak ibu ni terus tak pandai. Ni nak sangat masuk asrama penuh, tak sabar nak tinggal ibu ke?" tebak Raudhah.
"Tak." Iskandar menggeleng. "Abang sayang ibu." Kerana sayanglah dia bertekad untuk masuk asrama penuh. Lagi jauh lagi bagus, tak perlulah dia bersusah untuk menjadi punca pergaduhan ibu dan ayahnya.
"Pergilah mana-mana pun. Tapi janji dengan ibu yang abang takkan lupakan ibu. Janji yang abang akan kembali kepada ibu. Sebab abang nyawa ibu." Raudhah menepuk dada Iskandar perlahan, menyedarkan dia yang asyik jauh berfikir sejak tadi.
Perbuatan itu menyimpulkan senyuman di bibir Iskandar. Senyuman manis yang tak ubah seperti bondanya.
Anak sulung sentiasa ada tempat yang istimewa di hati seorang ibu.
Raudhah menepuk tubuh Iskandar perlahan. Sekarang, anaknya berusia 10 tahun. Lagi dua tahun, Iskandar akan menduduki UPSR. Ibu mana tak doakan kejayaan buat anak sendiri? Apatah lagi buat anak sebaik Iskandar yang sentiasa menyenangkan hati seorang ibu.
***
2 tahun kemudian...
Iskandar berlari mendapatkan ibunya apabila dia telah memeriksa kalendar berkali-kali. Itulah tarikh yang ditunggu-tunggu. Bunyi derapan telapak kaki menghampiri kamar.
"Ibu," panggil Iskandar.
"Ya," jawab Raudhah yang sedang menyisir rambut anak perempuannya di atas katil.
"Ibu, hari ni keluar result exam," ujar Iskandar dengan penuh teruja. Dia menyambar telefon pintar ibunya yang berada di ruang tamu sebelum menyerahkan kepada ibunya yang berada di biliknya. Begitu jantung berdegup kencang.
"Abang dah mandi ke belum ni?" Raudhah menenangkan Iskandar. Dia menyudahkan jalinan rambut Zulaikha sebelum mengambil telefon pintar itu.
"Dah. Ibu, semaklah cepat." Iskandar masih dengan wajah terujanya.
"Sekejap, ibu semak." Nombor kad pengenalan Iskandar ditaip lalu dihantar.
Skrin telefon menjadi tatapan tiga beranak itu, menanti balasan SMS.
Blink!
Raudhah terus membuka pesanan ringkas yang berkunjung tiba. Hatinya juga tak kurang dengan singgahan debaran. Dia takut andai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah itu akan mengecewakan Iskandar yang terlalu menggunung harapan. Iskandar anak yang rajin menelaah dan tidak banyak onarnya. Ubun-ubun anak lelakinya dikucup lembut.
Iskandar Dzulkarnain bin Faizal
6A
Raudhah tersenyum gembira. Dia melihat wajah Iskandar yang masih tak percaya. Telefon pintar itu diambil lalu dibaca berkali-kali oleh Iskandar.
"Ibu, abang dapat straight A." Iskandar memandang Raudhah dengan mata yang bersinar-sinar.
"Alhamdulillah," balas Raudhah.
Zulaikha turut keriangan apabila melihat abangnya gembira. Senyuman luas menampakkan gigi susu terhias di wajah dua beradik itu.
"Yeay! Boleh masuk asrama," sorak Zulaikha.
Raudhah hanya mampu menggeleng melihat telatah dua beradik itu. Zulaikha kata, dia pun nak masuk asrama juga macam alongnya. Tubuh Iskandar yang asyik berdiri dari tadi ditarik agar duduk bertenang di atas katil. "Abang nak masuk asrama mana? Nanti ibu buat permohonan."
"Asrama yang jauh. Tak nak dekat-dekat." Punyalah gembira memperoleh keputusan cemerlang, sedikit pun senyuman tidak lekang.
Permintaan itu agak sukar untuk ditunaikan Raudhah. Iskandar ini anak kesayangannya. "Nanti susahlah abang nak balik jenguk ibu dengan adik."
"Takpe, abang boleh balik juga. Bas kan ada?" Tekad Iskandar. Dia telah pun membuat carian beberapa minggu yang lalu di pusat sumber sekolah atas bantuan guru kelas. Terdapat sebuah sekolah yang akan dia jadikan sebagai pilihan pertama atas dasar jarak.
Ya, Iskandar tak mahu terus menerus menjadi punca pergaduhan Raudhah dan Faizal. Biarlah diri itu mengundurkan langkah.
"Betul ni?" Raudhah inginkan kepastian.
"Ya. Abang dah buat senarai sekolah. Abang minta dekat cikgu kaunseling hari tu," terang Iskandar.
"Ibu, Ika pun nak masuk asrama. Ika nak jadi doktor." Zulaikha turut menempel di tepi ibunya. Terpasang satu impian, ingin mengecapi kejayaan bersama-sama si abang.
"Ya, Doktor Zulaikha," senyum Raudhah.
"Ika nak rawat along. Nanti along tak payah pergi hospital dah, Ika kan ada dekat rumah. Kan, ibu?" Gadis kecil itu tersengih-sengih.
"Boleh sayang, boleh." Raudhah mendakap kedua-dua anaknya. Dia mengucup dahi Zulaikha dan Iskandar dengan lembut. Anak bertuah ini sudah besar, punya hasrat ingin mengejar cita-cita.
***
Iskandar Dzulkarnain membelek-belek barang keperluan asrama yang baru dibelinya. Doanya makbul, pilihan pertama diterima dan itulah sekolah yang akan dia duduki selama lima tahun tidak lama lagi. Maka, akan bermulalah episod baharu dalam diari kehidupan Iskandar.
Baju melayu hitam dilipat rapi sebelum digulung untuk menjimatkan ruang di dalam bagasi baharunya. Semua baharu. Sambil mengemas barangan, Iskandar tersenyum sendirian. Tidak sabar rasanya mahu ke alam sekolah menengah! Tempat baharu, kawan-kawan baharu dan dunia baharu.
Dalam diam, tindakannya diperhatikan oleh Faizal yang berdiri utuh di bingkai pintu bilik.
"Kau sengajakan minta jauh-jauh?" Faizal bersuara.
Iskandar buat tidak endah lalu mencapai pula beberapa helai tshirt yang belum dilipat.
"Aku cakap dengan kau ni, bodoh. Kau nak lari mana?" Suara Faizal semakin mengeras. "Kau jangan ingat selama ni aku berdiam diri, maksudnya aku dah takkan buat apa-apa dekat kau."
Lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik sebelum merapatkan pintu. Dia takut kalau-kalau perbualannya dapat didengari Raudhah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama-sama Zulaikha.
" Kenapa ayah benci saya?" soal Iskandar. Kain baju digenggam perkahan, statik dalam silaan.
"Benci? Aku tak pernah benci kau. Tapi kau yang asyik melawan aku," katanya sambil melangkah ke arah anaknya.
Iskandar bingkas berdiri. Dia takut jika Faizal akan membuat perkara itu lagi. Selagi dia tak beredar dari rumah ini, selagi itu ayahnya akan menjadikan dia sebagai penebus nafsu haiwan.
" Takut?" Faizal berdecit. " Dah kena berapa kali pun kau tak biasa lagi?"
Di saat Faizal menarik kolar baju Iskandar, sepantas kilat kanak-kanak itu menggigit pergelangan tangan ayahnya sekuat hati. Namun, tindakan itu dibalas dengan satu pelempang pada pipi Iskandar sebelum kolar baju itu dilepaskan Faizal.
Dada Iskandar berombak laju. Pipinya berasa pijar akibat tamparan maut itu. Berdesing bunyinya menghinggap telinga.
"Kau tanya aku, kenapa aku benci kau?" Api kemarahan Faizal makin membuak-buak. Pandangan melilau ke sekelilimg, tercari-cari sebarang alat yang bisa dibuat rotan. Anak kurang ajar seperti Iskandar harus diberikan pengajaran, barulah tahu erti serik. Getah paip di dalam bilik air yang berhadapan dengan kamar anaknya menjadi sasaran.
Langkah Iskandar kaku. Dia teragak-agak untuk memanggil ibunya. Tetapi jika tidak selamatkan diri sekarang, habislah batang tubuhnya disinggah pukulan sang ayah.
Kembali sahaja Faizal bersama-sama getah paip, dia menahan tubuh Iskandar yang mahu keluar dari bilik itu. Sekali lagi Iskandar cuba menggigit tetapi kali ini sempat dielak Faizal. Satu tumbukan dilayang mengenai perut Iskandar sehingga kanak-kanak itu terdiam tak bersuara.
Iskandar terduduk di atas lantai. Dia memegang perutnya yang kesakitan dengan mata yang sudah mula berair.
Tok! Tok!
"Abang, buka pintu ni." Kedengaran suara Raudhah di luar bilik.
Faizal membongkokkan badan. Dia menarik leher baju Iskandar sekali lagi dengan keras agar kanak-kanak itu terdongak memandangnya.
"Kalau kau beritahu ibu kau apa yang aku buat, siap kau." Satu amaran keras daripada Faizal. Pegangannya dilepaskan lalu dia membuka pintu bilik. Getah paip satu meter itu disorokkan ke bawah katil buat sementara waktu.
Daun pintu dibuka Faizal perlahan bertemankan wajah yang tenang. Raudhah sedikit berkerut melihat keberadaan suaminya di dalam bilik Iskandar. Seperti ada perkara yang tidak kena.
"Awak buat apa dalam bilik Is?" soal Raudhah.
"Tak buat apa la sayang. Saja tengok anak kemas beg." Tangannya yang mempunyai kesan gigitan disorok. Faizal mempersilakan Raudhah untuk masuk ke dalam bilik itu.
Hati Raudhah lega melihat Iskandar sedang menyusun pakaian di dalam bagasi seperti biasa. Tetapi perbuatan Iskandar yang membelakanginya menimbulkan sedikit rasa curiga.
"Abang tak tidur lagi ke?" sapa Raudhah mesra.
"Tak," jawab Iskandar sepatah.
"Saya nak keluar dengan kawan ni. Tak payah tunggu saya balik. Kalau awak nak tidur, tidur je," ujar Faizal sebelum beredar dari muka pintu bilik.
Raudhah hanya mengangguk sebelum duduk bersila di tepi Iskandar. Dia cuba menghadap Iskandar yang seolah-olah mengelak daripada memandangnya. Hairan.
"Abang... Kenapa ni... Pandanglah ibu." Lembut suara Raudhah mengisi benak pendengaran.
Namun, Iskandar masih membatu. Maka, sengaja wanita itu mengintai wajah anak lelakinya. Alangkah terkejut ketika mata disapa dengan pipi kanan Iskandar yang kemerahan. Iskandar pula hanya senyap membisu.
"Ayah tampar abang ke?" teka Raudhah. Dia menyentuh pipi Iskandar itu.
Anggukkan kecil diberikan Iskandar. Melihat saja ibunya ingin berdiri, terus Iskandar menarik tangan ibunya agar duduk kembali. "Ibu, jangan gaduh dengan ayah. Nanti adik nampak," pujuk Iskandar. Hampir menitis lagi linagan air mata di tubir kanak-kanak 12 tahun berkenaan.
Keluhan kecil dilepaskan Raudhah. Kenapa pula suaminya hendak memukul Iskandar sesuka hati tanpa angin dan ribut?
Kepala Iskandar dibawa ke dalam dakapan. Belakang tubuh anaknya diusap perlahan. "Ibu minta maaf sebab ayah pukul abang..."
***
votexkomen
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro