
Kita Semua Adalah Generasi Kitar Semula
Evolusi ialah sesuatu yang indah. Dengan memahami proses perubahan ruang dan masa, semakin kita dapat mengenali hakiki diri.
Tulisan ini terbit dalam minda semasa aku dan Uchan sedang hotboxing dalam keretanya (atau lebih tepat, kereta ayahnya). Dia sedang buka lagu dari kumpulan At The Drive In, One Armed Scissor.
Lagu ini ialah lagu memuja semangat muda remaja dekad 2000an. Seperti 90an ada Smells Like Teen Spirit, seperti Beat It dalam dekad 80an.
Tiba-tiba topik perbualan bertukar tentang bagaimana semua ini berlaku. Budaya pop yang ada hari ini mestilah datang dari sebelumnya dan sebelumnya.
Jauh sebelum 2000an, ketika zaman mak ayah saya, mereka pakai baju corak bunga dan seluar bell bottom, topik ni buat saya tiba-tiba teringat pada Eleena Terfaktab yang pakai seluar bell bottom semasa di PBAKL.
Eleena berkata dia peminat Donna dalam That's 70s Show, sebuah tv series lewat 90an dan awal 2000an yang popular di kalangan remaja yang lahir pada sekitar 1980an.
Tapi dah lahir 1980an apa kejadahnya kau boleh tahu pasal 1970an?
Tetapi disebabkan tv series itu popular, makanya kami yang remaja ini secara tak langsung revivalkan pop culture 1970an.
Dekad 1970an adalah dekad yang berwarna-warni disebalik ekonomi yang suram kerana boikot minyak oleh negara Arab kepada Amerika dan konconya. Dekad di mana kedua-dua Soviet Union dan Amerika Syarikat sedang mengalami stagflasi ekonomi.
Dekad Perang Vietnam sudah terlanjut hampir berbelas tahun, dan remaja Amerika sudah marah dengan establishment.
Dekad 70an muncul lah muzik seperti metal, punk, skin, ska, reggae, dan lain-lain lagi. Dan seni melawan establishment menjadi mainstream seperti John Lennon dan Iggy Pop, Sex Pistols dan The Velvet Underground.
Sekitar lewat 70an apabila Kraftwerk dari Jerman Barat muncul, serta asakan terakhir dari Tembok Sebelah Barat menyerang timur semakin kuat. Muzik elektro menjadi pilihan. Teknologi muzik sudah semakin digital.
1980an muncul angin konservatif yang kuat bertiup kencang di Amerika. Kerja-kerja Bush Yang Bapak sebagai Pengarah CIA mencantas dan menabur dadah heroin dan kokain di Amerika, serta War on Drugs - drama yang dicipta dari zaman Nixon digunakan untuk menyerang budaya counter culture dan menjelang 80an - mampos semua seni melawan ni.
80an menunjukkan kebangkitan golongan yuppie - golongan menengah yang muda bekerja di Corporate America - golongan muda kebanyakan tidak seperti pakcik-pakcik mereka yang kaki stoner dan mat hippie macam Tommy Chong.
Mereka mula berpakaian kemas dan angkuh, sepertimana filem yang menggambarkan dekad 80an paling tepat, Wall Street arahan Oliver Stone. Greed is good adalah kalimah paling kuat di minda mereka.
Dan di penghujung 80an ada krisis ekonomi, di mana Ronald Reagan di tahun pemerintahan terakhir, dan Pengarah CIA tadi - kini Naib Presiden - bertanding jadi Presiden.
Presiden Bush Yang Bapak mengangkat sumpah pada Januari 1989 dalam suasana asakan Tembok dari Barat sudah mula menembusi Timur. Dasar glasnost dan perestroika memakan diri Soviet.
Kehancuran Soviet Union dan blok komunis memberikan harapan baru pada para liberal dan penggemar pasaran bebas seperti Francis Fukuyama yang menulis The History of Man - mengatakan kapitalisme adalah cukup sempurna untuk evolusi manusia.
1990an menjengah tiba dalam suasana ekonomi makmur di sini sana. Di Malaysia, Dr Mahathir sentiasa dikenang sebagai Bapa Pemodenan, mula membina KLCC, Litar Sepang, Putrajaya, dan lain-lain lagi.
Kapitalisme sedang memuncak, tapi anak-anak muda rasa kekosongan kerana ibu bapa mereka dari generasi "greed is good" sedang sibuk bekerja.
Mereka ini adalah the latchey kids - mereka adalah generasi yang membesar tanpa ibu dan bapa kerana sibuk bekerja. Mereka belajar sendiri kehidupan ini tanpa pemantauan ibu bapa mereka.
Mereka inilah generasi millennials yang mula terdedah dengan realiti kehidupan tanpa tapisan yang ampuh dari ibu bapa. Jadi kemunculan muzik grunge pada awal 90an, anak cabang dari muzik punk menjadi trend semasa itu.
Trend grunge dilaungkan oleh laungan Smells Like Teen Spirit telah memuncak, dan anak-anak muda mula mencari arah tuju. Malangnya, satu hari di April 1994, hero mereka Kurt Cobain bunuh diri.
Kematian sesuatu adalah kehidupan benda yang lain dalam evolusi. Kematian grunge digantikan oleh muzik alternatif seperti Weezer, punk rock revival seperti Green Day dan Rancid, hip hop dari kedua-dua belah East Coast dan West Coast, dan ada satu band bernama Sunny Day Real Estate, yang akhirnya bassistnya bersama kumpulan Foo Fighters.
Dan kematian Nirvana adalah kehidupan Foo Fighters, muncul Britpop seperti Oasis, Blur, Pulp dan The Verve, serta kumpulan yang bersifat eksperimental, Incubus. Dan selepas kejayaan album S.C.I.E.N.C.E ( Sailing Catamarans Is Every Nautical Captain's Ecstasy), muncul lah band-band nu age metal seperti Limp Bizkit (sebelum itu Korn), dan kumpulan seperti Coal Chamber dan Slipknot, yang mengambil dari band hardcore circa 80an seperti Earth Crisis dan Strife.
Dan dekad 2000an sebenarnya ialah extention dari 90an. Dan aliran dari alternatif, bermula dari OK Computer dari Radiohead, Weezer Green Album serta At The Drive In, dan Sunny Day Real Estate dari "trendsetter" yang mengais-ngais kerja-kerja bassist Foo Fighters Nate Mandel, lalu menemui Sunny Day Real Estate.
Gabungan ini semua mewujudkan sesuatu yang ampuh di dekad 2000an.
Semasa Johnny Depp namanya meletup dalam filem Pirates of the Carribean pada tahun 2003, kumpulan seperti Jimmy Eat World, Dashboard Confessional dan The Used mula muncul.
Generasi pasca September 11, adalah generasi Perang Menentang Keganasan - satu perang yang ironi kerana perang itu sendiri adalah satu keganasan, adalah generasi yang setiap masa dibalut dengan kesedihan, akibat perang dan ketakutan dari ekstremis agama, sama ada di madrasah-madrasah, dan di gereja-gereja serta Pentagon.
Dengan kewujudan Internet untuk orang ramai secara meluas pada dekad 90an, mereka mula mencari sesuatu yang lepas dari teknologi ini. Dan meletupnya nama Johnny Depp, mereka mencari kerja-kerja lama lakonan beliau oleh para "trendsetter".
Akhirnya, mereka menemui Edward The Scissorhands, filem arahan Tim Burton. Seperti mana mereka menemui hasil kerja Nate Mandel sebelum di Foo Fighters, akhirnya trend goth direvivalkan.
Gabungan kerja lama Johnny Depp dan Nate Mandel mewujudkan scene emo. Kemunculan trend emo, kartun seperti The Night Before Christmas dan Emily The Strange adalah benda yang paling hip pada ketika itu.
Dan yang bertindak mengambil dan mengadunkan kedua-dua ini dan bertindak meletupkan ke arah mainstream ialah My Chemical Romance.
Seperti Nirvana pada 90s, My Chemical Romance ialah suara anak muda untuk dekad 2000an.
Kemunculan Myspace, media sosial yang membenarkan penggunanya mengubah laman sosial mereka sendiri, adalah seperti serbuk yis pada adunan oleh My Chemical Romance tadi.
Satu scene telah muncul - adunan dari kerja lama Johnny Depp, dan muzik dari kerja lama Nate Mandel, ditambah dengan satu agen baru - Internet, serta suasana kesedihan dan kematian akibat perang menentang keganasan pimpinan Bush Yang Anak menjadi satu trend 2000an yang bakal kekal dalam memori kita selamanya.
Bagaimanapun, emo mati kerana seperti grunge, ia bersifat reaksionari. Kemunculan trend muzik indie di Malaysia pada sekitar pertengahan 2000an adalah datang dari Myspace Music - kumpulan seperti Hujan, Bittersweet, dan Meet Uncle Hussain, mengambil influence dari kumpulan seperti The Strokes, Libertines atau Franz Ferdinand.
Dan apabila Myspace Music mati, perlahan-lahan scene indie pun mati, lalu kewujudan hipster dari golongan suburban Amerika, dari Austin, Texas, Portland, Oregon dan di Alameda California - muncul di penghujung dekad 2000an.
Dan hipster ini adalah budaya kitar semula - kerana kita generasi pasca moden adalah generasi kitar semula. Manifestasi dari perangai kita yang perlu mengitar semula kertas, tin, botol dan sebagainya dibawa ke budaya dan muzik.
2010an adalah gabungan pelbagai dari sampah zaman lepas, seperti misai dekad 1910an, kain jenis 1930an, atau gaya rambut 1950an. Lalu, gabungan pelbagai ini mencipta trend yang baru - menggantikan emo, indie dan lain-lain yang telah mati.
Kejatuhan ekonomi akibat dari perbankan Amerika yang membenarkan peminjaman wang dari bank dengan mudah di dekad 80an dan 90an - seperti meletus bisul - pada 9 Ogos 2007 apabila bursa saham Wall Street jatuh menjunam.
Dan dari situ kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan bermula.
Trend politik 70an mula bangkit. Topik seperti hak wanita, LGBT, kesamarataan ekonomi mulai bangkit pada sekitar 2010an kembali. Di mana-mana pun rakyat tidak suka pemimpin.
Di Amerika rakyat tidak suka Obama, di UK rakyat tidak suka Cameron, di Brazil rakyat tidak suka Rousseff, di Malaysia rakyat tidak suka Najib. Ini hakikat.
Trend ini akan mati. Mungkin, angin konservatif akan bertiup lagi. Mungkin muzik nu metal akan kembali. Mungkin trend seluar bell bottom akan kembali lagi. Siapa tahu? Dekad 2020an sudah semestinya gabungan dari silam, tapi gabungan dari apa?
Hanya masa akan boleh beritahu. Tapi yang pasti, kereta terbang seperti The Jetson dan jetpack serta polis berpakaian seperti Cybercop atau Power Rangers tak mungkin berlaku.
Kecewa, kan?
Pengulangan ini akan terus berlaku. Yang berubah cuma teknologi. Muzik akan berulang, mungkin dengan adunan lain. Fesyen akan berulang, dengan adunan lain. Teknologi adalah serbuk yis pada satu trend berkembang.
Dan ekonomi dan politik adalah seperti ketuhar yang membentuk adunan roti yang entah rasa apa dari adunan ini semua. Atau seperti mesin kitar semula kertas dari pelbagai jenis kertas membentuk produk baru.
Hingga satu hari bila ia dibuang, nanti ia akan dijumpai semula dan dikitar menjadi benda lain.
Kita adalah generasi pakai buang, pajak gadai, dan kitar semula. Dan bila kita menua, kita akan melihat generasi muda dengan penuh jelik kerana kepelikan mereka kononnya, kerana kita sudah tidak kenal lagi apa budaya pop zaman ini kerana zaman kita tidak begitu.
Kita juga dulu pernah jadi muda dan pelik dan jelik di mata orang tua kita, sekarang giliran kita pula yang melihat orang muda yang pelik dan jelik di mata kita.
Kitaran takkan terhenti sehingga satu malapetaka besar berlaku pada bangsa manusia bila berlaku nanti.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro