
Bab 8
AIRINA menghirup Nescafe panas dengan berhati-hati. Dia sudah kembali tenang.
"Thank you pasal tadi. Sorry juga..." ucap Airina. Dia benar-benar bersyukur Hazizul muncul tepat pada masanya. Lelaki itulah yang membawanya pergi dari rumahnya dan membawanya ke taman untuk menenangkan hatinya. Dan lelaki itu jugalah yang melindunginya daripada dilanggar budak lelaki berskuter itu. Dalam masa yang sama Airina berasa malu kerana dia membiarkan Hazizul melihat sisi lemahnya. Rasa bersalah pula memenuhi ruangan hatinya tatkala mata Airina jatuh pada siku Hazizul yang berbalut.
"Sikit aje ni, tak payahlah rasa bersalah," kata Hazizul seakan-akan dapat membaca fikiran Airina.
"Kau betul-betul okey, kan?" tanya Hazizul prihatin dan disambut dengan anggukan Airina.
Fizikal aje nampak okey. Mental aku tak okey pun... jawab Airina dalam hatinya.
Tiba-tiba Airina teringatkan sesuatu.
"Macam mana kau boleh ada kat rumah aku tadi? Aku try cari kau tapi tak jumpa. Tiba-tiba kau muncul depan mata aku..."
"Kenapa kau cari aku?" Hazizul membalas soalan dengan soalan.
"Sebab nota yang kau bagilah," balas Airina. Akalnya masih belum dapat mencari sebarang jawapan untuk soalan-soalan yang dia punya.
"Kau sebenarnya dah tahu pasal dia orang, kan?" tebak Airina.
"Hmmm," jawab Hazizul sepatah.
"Kau..."
"Airina..." Hazizul sudah terlebih dahulu mencantas kata-kata Airina.
"Aku tak tahu nak mula dari mana jadi jangan suruh aku cerita pasal dia orang. Aku tak tahu," kata Hazizul perlahan.
Tiba-tiba hati Airina berbisik jahat.
"Macam mana kau boleh tahu pasal dia orang? Sebab kau orang sama-sama playboy ke? Heh, kau orang kan adik-beradik, mestilah perangai kau orang sama!" kata Airina pedas.
Hazizul sekadar menggeleng, tiada langsung niat untuk menukas tuduhan itu. Mata Hazizul jatuh pada cincin tunang Airina di atas meja.
"Kau nak pulangkan balik cincin ni ke?"
Airina turut memandang cincin tersebut dan semerta dia mengangguk.
"Aku nak pulangkan balik cincin ni kat tuan dia..."
"Kau nak putus tunang?" tanya Hazizul. Airina angguk.
"Kau nak batalkan wedding kau orang?"
Sekali lagi Airina mengangguk.
"Kau nak bagi tahu parents kau pasal dia orang ke?" Kali ini Hazizul bertanya dengan harapan Airina menggeleng.
"Haah..." jawab Airina pendek.
Hazizul tersentak. Air mukanya berubah. Ketenangan di wajahnya berkocak.
"Please, jangan bagi tahu abah..."
Berkerut dahi Airina apabila mendengarkan itu.
"Kenapa? Kau nak aku kahwin dengan lelaki macam Harris tu ke? Kau nak aku perjudikan masa depan aku?"
Hazizul menggeleng menafikan semua soalan tersebut.
"Jantung abah lemah. Kalau kau bagi tahu benda ni kat dia, mungkin abah akan kena heart attack..." kata Hazizul lemah. Meski hubungan dia dan Zainal tidaklah sebaik mana, Hazizul tetap menyayangi abahnya. Dia tidak mahu kehilangan abahnya hanya kerana kebodohan Harris.
Airina bungkam mendengarkan itu. Ya, barulah dia teringat kini. Norli ada bercerita kepadanya. Disebabkan itulah Zainal bersara awal untuk berehat di rumahnya dan menyerahkan segala urusan syarikat kepada Harris dan Haikal. Airina pandang Hazizul semula, bersedia untuk mendengar apa yang ingin dikatakan lelaki itu.
"Abah sayang Harris sangat-sangat. Dan abah sayang kau juga. Mesti abah tak dapat terima kalau kau cerita benda ni kat dia. Anak kesayangan dia conteng arang kat muka sendiri. Tak cukup dengan tu, abah kena tanggung malu dengan kawan-kawan dia pula kalau wedding kau orang dibatalkan. Aku memang tak rapat dengan abah tapi aku tahu, semua ni mesti bagi tamparan hebat kat abah. Aku mintak maaf sebab jadi selfish, Airina. Tapi boleh tak kau jangan bagi tahu orang lain pasal hal ni?" kata Hazizul penuh berharap.
Airina duduk terpaku di tempatnya. Dia jadi buntu selepas mendengar kata-kata Hazizul itu. Adakah ini bererti dia harus ketepikan perasaannya sekali lagi? Jika sebelum ini dia menerima lamaran Harris kerana Halim, adakah kini dia perlu berkahwin dengan Harris kerana Zainal pula?
"Tapi... Aku tak sanggup hidup dengan Harris walaupun cuma untuk enam bulan aje..." Mendatar suara Airina mengungkapkan itu.
Kepala Hazizul terangkat mendengarkan perkataan 'enam bulan' itu. Ada apa dengan enam bulan? Adakah Airina mempunyai perjanjian dengan Harris yang tidak diketahuinya?
"Aku dengar Harris cakap kat Syida tadi. Harris akan ceraikan aku lepas enam bulan kita orang kahwin. Dia sendiri pun tak nak batalkan wedding kita orang sebab dia fikirkan parents kita..."
Hazizul mengulum senyuman sinisnya. Bijak betul Harris menyusun rencananya.
"Pandai pula dia fikirkan abah..." komennya seakan-akan tidak mempercayai apa yang didengarinya.
Hazizul mengerling Airina sekilas. Hazizul tidak tahu apa yang di dalam kepala Airina tika ini. Apa yang pasti, Hazizul kagum dengan kekuatan Airina. Baru sebentar tadi Airina menyaksikan sendiri kecurangan Harris dan Syida tetapi gadis itu mampu berbual tenang dengannya selepas menangis semahu-mahunya di dalam kereta dan di taman. Tiba-tiba bibir Hazizul mengulum senyuman manisnya.
"Kenapa pula kau pandang aku macam tu?" tanya Airina kurang senang. Pandangan Hazizul itu seakan-akan menjerut lehernya sejak kali pertama mereka bertemu.
"Kau betul-betul dah okey ke ni? Kau tak affected langsung? Macam mana kau boleh cool macam ni?" Kali ini soalan Hazizul berkisar tentang Airina pula.
Gadis di depannya itu menjongket bahunya perlahan. Tidak dinafikan perasaannya remuk selepas mengetahui hubungan Syida dan Harris tetapi perasaan itu lebih kepada kecewa kerana rasa dikhianati. Patutlah sejak kebelakangan ini Airina selalu mencurigai keputusannya untuk berkahwin dengan Harris. Rupa-rupanya Allah sedang memberi petunjuk kepadanya...
"Sebab kau tak cintakan dia ke?" tebak Hazizul pula.
Airina terpanar seketika mendengarkan itu. Ah, barangkali itu jugalah sebab mengapa dia masih boleh bertenang.
"Dah tu apa kita nak buat ni?" soal Airina untuk mengalih perhatian Hazizul. Mata Airina jatuh pada cincin tunangnya.
"Apa the best way yang ada untuk kita jaga hati dan maruah parents kita?"
Kini giliran Hazizul pula terdiam. Akalnya laju memikirkan jalan terbaik yang mereka punya. Bagaimana caranya untuk menarik tepung dalam rambut dan dalam masa yang masa pastikan rambut tidak putus, tepung tidak berselerak? Hampir lima minit mereka berdua diam membisu. Hazizul pandang Airina semula, cuba mencari jawapan di wajah Airina. Tiba-tiba matanya terbuntang luas.
"Airina..." Hazizul memanggil gadis itu. Airina angkat wajahnya.
"Macam mana kalau kau kahwin dengan aku?"
Bulat mata Airina mendengarkan itu.
"Kita kahwin," kata Hazizul lagi.
Airina melopong seakan-akan tidak mempercayai kata-kata Hazizul. Wajah serius Hazizul cukup untuk meyakinkannya bahawa lelaki itu tidak bergurau. Airina cubit pipinya sendiri untuk memastikan itu bukannya khayalan ataupun mimpinya.
Hazizul segera memberi penjelasan kepada Airina.
"Please jangan salah faham dengan aku. Aku tak ada niat nak ambil kesempatan kat kau. Aku cuma fikirkan abah aje. Aku janji, Airina. Aku takkan layan kau macam mana Harris layan kau. Kalau kau nak, aku akan lepaskan kau when the time comes. Aku merayu kat kau. Ini aje jalan terbaik yang kita ada untuk parents kita..." rayu Hazizul penuh berharap. Jika Airina mahu dia melutut di kakinya pun, Hazizul sanggup asalkan Airina bersetuju dengannya.
Airina terus-terusan tergamam, tidak menyangka idea itu lahir dari mulut Hazizul. Akalnya cuba menimbang baik buruk idea itu tetapi mulutnya sudah terlebih dahulu melontarkan soalan kepada lelaki itu.
"Uncle okey ke kalau tahu kita berdua akan kahwin?"
Eh, mulut ni! Pandai-pandai kau aje! Airina marahkan mulutnya pula. Walaupun dia tidak terang-terangan menyuarakan persetujuannya, Airina tahu soalan itu berbunyi satu persetujuan.
Hazizul mengangguk laju.
"Aku memang tak rapat dengan abah jadi marah macam mana pun dia kat aku, aku berani bet abah takkan kena heart attack. Harris mestilah takkan cakap apa-apa sebab kita dah indirectly permudahkan dia untuk kahwin dengan Syida. Dan dalam masa yang sama, abah takkan fikirkan rasa malu kat kawan-kawan dia sebab at least wedding ni masih berlangsung. Cuma tukar groom aje but still, groom tu masih anak lelaki dia juga," jelas Hazizul. Itulah jalan terbaik yang mereka punya untuk masa ini.
Dari air muka Airina, Hazizul tahu gadis di depannya itu sedang mempertimbangkan ideanya.
"You can trust me on this one," kata Hazizul lagi, cuba meyakinkan Airina.
Airina terkebil-kebil sendiri. IPhonenya berbunyi tanda WhatsApp masuk. Airina membaca WhatsApp itu dan semerta hatinya terasa dihenyak. Halim dan Salbiah menghantar gambar mereka berdua memakai baju sedondon.
Ibu ayah tahu dah lewat malam ni tapi kami excited nak tunjuk baju ni kat Rin. Ibu ayah nak pakai baju ni waktu majlis Rin nanti. Cantik tak?
Mata Airina jatuh pada senyuman lebar Halim dan Salbiah. Hatinya mulai berbelah bahagi. Belum sempat Airina letakkan semula iPhone di atas meja, satu lagi WhatsApp diterimanya.
Ibu ayah belikan sepasang juga untuk Norli dan Zainal. Harapnya dia orang sukalah! Esok ibu ayah balik, Rin tolong fetch kat airport, ya? Ibu call Syida tapi dia tak jawab. Love you.
Akal Airina mula berkira-kira sendiri. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi bererti mereka sudah memasuki hari baru. Tinggal empat hari sahaja sebelum majlis perkahwinannya. Esok pula Halim dan Salbiah akan pulang dari Langkawi dan bererti tinggal tiga hari sebelum majlisnya. Airina mulai tidak senang duduk.
"Kau fikirlah dulu. Aku tak nak paksa kau tapi aku harap kau setuju demi parents kita," kata Hazizul perlahan. Airina menggigit bibirnya, tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
"Jomlah balik. Dah lewat sangat ni..." kata Hazizul yang sudah pun berdiri menuju ke kaunter.
Mendengar perkataan 'balik', hati Airina jadi galau. Salbiah kata Syida tidak menjawab panggilannya tadi. Besar kemungkinan Syida dan Harris masih berasmaradana di rumahnya. Tangan Airina pantas mencapai beg tangan, cincin dan telefon bimbitnya. Langkahnya panjang mengejar Hazizul.
"Masuklah, aku hantar kau balik," ujar Hazizul sebaik sahaja mereka berdiri di depan keretanya.
"Hazizul, aku..."
"KENAPA kau nak tidur kat hotel ni juga?" tanya Airina tidak puas hati. Seingatnya, dia meminta Hazizul menghantarnya ke mana-mana hotel berdekatan. Dia sahaja! Bukannya mereka berdua! Tidak cukup dengan itu, Hazizul meminta staf hotel itu untuk memberikan mereka bilik bersebelahan. Airina pandang Hazizul yang berdiri di pintu. Pintu yang memisahkan bilik mereka berdua.
"Aku takut kau buat benda bukan-bukan kalau aku biarkan kau sorang-sorang," jawab Hazizul jujur.
Airina mencemik.
"Masalahnya sekarang ni, aku lagi takut kau buat benda bukan-bukan kat aku..."
Tiba-tiba tawa Hazizul meledak.
"Adakah kau tengah low-key mengungkit yang aku ni playboy?" Tiada jawapan diterima Airina bererti tebakannya tepat mengena. Hazizul menggeleng perlahan. Dia menarik pintu Airina yang memisahkan bilik mereka.
"Kau tidurlah dulu. Jangan fikirkan sangat pasal dia orang. Apa-apa panggil aku. Aku tak tutup pintu aku. Good night, Airina," kata Hazizul seraya menarik daun pintu.
Airina tergamam mendengar lembutnya bicara lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro