
Bab 3
AIRINA merenung kosong skrin komputer di depannya. Tengkuk yang terasa lenguh diurut perlahan. Sudah hampir empat jam dia menghadap skrin komputer itu untuk melaksanakan tugasnya, mengedit gambar-gambar yang ditangkapnya tadi.
Airina bekerja sebagai jurufoto bebas, tidak terikat dengan mana-mana kedai ataupun syarikat. Atas permintaan Atikah, dia menjadi jurufoto di majlis pertunangan Atikah dan Aiman. Sementara Farah dan Aisyah bergaya sakan dan melawa, Airina pula hanya memakai baju kurung biasa dan sekadar mengenakan gincu. Dalam pada dia mahu menghormati majlis Atikah, Airina juga mahu pastikan pergerakannya tidak terbatas.
Mata Airina kembali tertumpu pada gambar Atikah dan Aiman yang diambilnya tadi. Pasangan berdarah manis itu memandang satu sama lain bersama senyuman lebar mereka. Airina mula menganalisa mata dan gaya tubuh mereka berdua.
"Dia orang betul-betul sukakan antara satu sama lain..." komennya. Bibir Airina turut tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar di mata kedua-duanya. Syukurlah rakannya itu sudah berjaya menemui cinta hatinya. Mata Airina tertumpu pada album gambar yang terletak elok di atas mejanya. Di luar sedar, tangannya sudah mencapai album gambar tersebut.
"Majlis Pertunangan Airina dan Harris." Airina membaca perlahan nama album tersebut. Kulit album diselak dan mindanya turut sama menyelak memorinya bertemu dan berkenalan dengan Harris.
"CIK, cik tertinggal envelope ni tadi," sapa seorang lelaki dari belakang.
"Ya Allah, saya betul-betul terlupa. Terima kasih!" kata Airina yang sudah pun tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Sampul berisi beberapa keping gambar yang baru lepas dicetak itu bertukar tangan.
"Nasib baik awak tolong saya. Kalau tak, saya kena print lagi gambar kahwin dia orang ni..."
Lelaki itu mengulum senyumnya.
"Cik ni photographer ke?" tanyanya walaupun dia sudah dapat mengagak jawapan Airina. Apabila Airina mengangguk, dia tersenyum lebar seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"By the way, saya Harris," katanya memperkenalkan diri.
Airina pandang Harris dan tangannya silih berganti sebelum dia mengucapkan maaf. Airina masih menjaga batasnya.
"Sorry," tolaknya sopan. Harris dilihatnya sudah tersengih malu sebelum dia menarik semula tangannya.
"Thanks, Harris. Saya kena pergi dulu. Saya ada appointment lain," kata Airina seraya meminta diri. Baru kaki kanannya mahu mengorak langkah, Harris sudah menahannya dengan berdiri tepat di depannya. Airina pandang Harris dengan dahi berlapis. Mulalah akalnya berfikir benda bukan-bukan. Adakah Harris mempunyai niat jahat kepadanya?
"Saya sebenarnya... Hmmm, sebenarnya dari dalam kedai gambar tadi saya perhatikan cik. Boleh tak kalau saya nak berkenalan dengan cik?" tanya Harris.
Airina terkedu seketika. Adakah lelaki di depannya ini serius?
"Maaflah cik, saya memang jenis straightforward macam ni. Kalau cik tak kesah, boleh kita berkawan?" Harris pandang Airina penuh berharap walaupun dia tahu kemungkinan untuknya ditolak adalah lebih besar.
Lambat-lambat Airina mengukir senyumnya.
"Sorry tapi saya sebenarnya dah bersuami. Saya mintak maaf..." bohong Airina.
Sangkanya itulah kali pertama dan kali terakhir dia bertemu insan bernama Harris itu. Dunia ini besar, mustahil dia akan bertemu Harris sekali lagi.
Seminggu kemudian, Airina menghadiri majlis perkahwinan Haikal dan Dayang. Kali ini dia hadir sebagai tetamu dan bukannya selaku seorang jurufoto. Haikal dikenalinya semasa mereka sama-sama mengambil diploma di UiTM Shah Alam. Majlis perkahwinan Haikal diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang, sesuai dengan statusnya sebagai anak Tan Sri.
Airina berlalu ke meja yang menempatkan pelbagai pilihan air. Tangannya mencapai segelas cawan yang berisi air putih. Mata Airina tertumpu pada Haikal dan Dayang dan hatinya memuji kedua-dua pasangan itu. Sama cantik, sama padan. Airina mengulum senyumnya lagi.
"Tak sangka kita jumpa lagi kat sini, cik..." sapa seorang lelaki.
Melopong Airina apabila melihat Harris di sisinya.
"Ap... Apa awak buat kat sini?"
"Saya abang pengantin lelaki," jawab Harris jujur dan Airina terus-terusan melopong apabila akalnya merumuskan Harris ialah abang Haikal. Dia terkebil-kebil di depan Harris yang sudah tersenyum lebar, menampakkan barisan giginya yang putih.
Haikal yang sedang berbual dengan rakan kerjanya meminta diri apabila melihat Airina dan Harris berdua.
"Eh, kau orang kenal ke?" sapa Haikal.
Harris menjongket bahunya.
"Rin, ni abang aku. Nama dia Harris. Harris, ni kawan aku, Airina, tapi kita orang semua panggil dia Rin aje..."
"Airina. Sedap nama awak," komen Harris.
Airina tersenyum kambing, tidak tahu mahu membalas apa. Harris pandang Haikal pula seraya bertanya...
"Mana suami dia? Kau tak invite suami dia ke, Kal?"
Bulat terus mata Airina mendengarkan soalan itu. Dia pandang Haikal seraya menggeleng perlahan, cuba menghantar isyarat kepada lelaki itu tetapi Haikal pula menjawab soalan Harris dengan polos.
"Suami? Dia single lagilah," kata Haikal.
Airina sudah tertunduk. Rasa malu menyerbu dirinya apabila pembohongannya kantoi begitu sahaja. Dayang menghampiri mereka dan menarik Haikal untuk diperkenalkan dengan ahli keluarganya, maka tinggallah Airina dan Harris berdua. Airina tidak dapat mengangkat wajahnya untuk bertentang empat mata dengan lelaki itu. Malu!
"Cik Airina ni single lagi rupa-rupanya..."
"Sorry sebab saya tipu awak. Saya tak selesa bila awak tiba-tiba approach saya macam tu, jadi saya terpaksa tipu. Tak sangkalah pula kita jumpa lagi kat sini," kata Airina dengan nada mendatar.
Senyuman masih melekat di bibir Harris.
"Tak apa, saya faham. Tapi alang-alang kita jumpa kat sini, Rin pun dah tahu siapa saya, kan? Eh, saya boleh panggil awak Rin, kan?" tanya Harris yang dijawab dengan anggukan Airina.
"Sekarang awak dah tahu siapa saya, boleh tak kita berkawan?"
KETUKAN di pintu memecahkan lamunan Airina. Dia menutup semula album itu dan diletakkan di tempatnya semula. Hilang terus nama Harris dan Haikal dari fikirannya. Airina berpura-pura memandang skrin komputernya.
"Akak buat apa tu? Syida kacau akak ke?" tanya Syida yang sudah pun melangkah masuk ke bilik Airina tanpa dipelawa. Airina pandang Syida sekilas sebelum dia menggeleng.
"Syida penatlah, kak..." adu Syida seraya berbaring di atas katil Airina.
"Syida photo shoot kat mana tadi?" tanya Airina.
"Negeri Sembilan. Dia orang tukar location last minute, geram aje Syida," omel Syida. Tubuhnya terasa letih tetapi mulutnya ringan sahaja bercerita kepada Airina. Syida tahu, Airina lebih memahaminya berbanding Halim dan Salbiah. Barangkali kerana dia dan Airina berada di dalam bidang yang sama maka Syida lebih senang hati untuk bercerita kepada kakaknya itu.
Syida duduk tegak semula. Matanya tertumpu pada gambar Atikah dan Aiman di skrin komputer.
"Cantiknya akak ambil gambar dia orang," puji Syida ikhlas.
Airina sekadar tersenyum tipis.
Mata Syida beralih pada album tunang Airina dan Harris pula. Timbul satu soalan dalam benaknya.
"Akak... Cintakan dia ke?"
"Hah?" Airina terkejut mendengar soalan itu. Siapa? Aiman? Gila! Sudah terang lagi bersuluh Aiman sudah bertunang dengan Atikah!
"Bukan Aimanlah. Harris tu..." kata Syida.
Sejujurnya, Syida tahu Airina bersetuju untuk bertunang dengan Harris hanya kerana nasihat Halim dan Salbiah. Sikap Harris yang mesra dan sopan itu berjaya mencuri hati Halim dan Salbiah sekelip mata. Pastinya Airina sangka doa dan restu kedua-dua orang tuanya itu sudah memadai untuk dia mengahwini lelaki yang tidak dicintainya sama sekali.
"Akak cintakan dia ke?" Syida mengulangi soalannya sekali lagi. Ada kemungkinan perasaan Airina kepada Harris sudah berubah!
Airina pandang skrin komputer semula. Akal mula membandingkan dirinya dan Atikah. Airina tahu matanya tidak pernah bersinar setiap kali melihat Harris, jauh berbeza dengan mata Atikah sewaktu dia bercerita tentang Aiman dan semasa dia melihat Aiman. Airina pasti tentang satu perkara, seluruh kepercayaan dan kesetiaan sudah diserahkan kepada lelaki bernama Harris itu. Tetapi...
Adakah percaya dan setia itu bermaksud cinta? Keluhan kecil dilepaskan.
Terasa tangannya disentuh seseorang, Airina pandang Syida.
"Wedding akak dengan dia lagi tiga bulan aje. Kalau akak tak cintakan dia, better akak putuskan sekarang. Jangan seksa diri akak. Mungkin ada orang lain yang lebih baik untuk akak dan mungkin juga jodoh dia dengan orang lain," nasihat Syida meluahkan apa yang dirasakannya jalan terbaik.
Airina mengulum senyumnya. Tak sangka kata-kata itu terbit dari bibir Syida. Tangannya dipanjangkan untuk menggosok kepala Syida.
"Dah matanglah adik akak ni," kata Airina.
"Kak, Syida dah 20 tahunlah!" ujar Syida dengan muncungnya.
Airina ketawa kecil mendengarkan kata-kata Syida.
"Kenapa Syida tanya akak tiba-tiba ni? Randomnya!"
"Mana handphone akak?" tanya Syida pendek. Airina angkat keningnya tanda tidak mengerti. Kenapa Syida tanya pasal handphone aku pula? soal hatinya.
"Tadi mak Harris call. Dia suruh remind akak pasal appointment kau orang kat butik esok untuk fitting session," beritahu Syida.
Norli, bakal ibu mentua Airina cuba menghubungi Airina tetapi panggilannya tidak berjawab. Norli menelefon bakal besannya pula dan meminta Salbiah menyampaikan pesanannya kepada Airina. Kebetulan Syida baru pulang ke rumah, laju sahaja Syida menawarkan dirinya untuk membantu. Alasan Syida, kasihan Salbiah terpaksa mendaki anak tangga. Salbiah pula hanya bersetuju dengan senang hati.
Demi mendengarkan itu, Airina ternganga. Tangannya tiba-tiba ditepuk sekali.
"Patutlah! Akak lupa battery handphone dah habis!" Airina jadi gelabah sendiri. Rasa bersalah kepada Norli menyerbu hatinya pula. Airina tarik beg kameranya lalu tangannya meraba-raba mencari iPhone miliknya. IPhone ditarik keluar kemudian dicas. Jari Airina mengetuk meja, menanti skrin iPhonenya menyala.
"Akak calllah mak Harris. Syida nak rehat," kata Syida seraya berjalan menuju ke pintu bilik. Daun pintu ditarik.
"Assalamualaikum, aunty..."
Telinga Syida dapat menangkap perbualan Airina dengan seseorang, pastinya itu Norli. Syida menoleh semula ke arah Airina. Tahu-tahu sahaja bibirnya sudah diketap menahan rasa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro