Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

-'²¹'-

Sebaik saja pulang, masing-masing terus meminta diri. Penat kian terasa memandangkan hampir seharian mereka meluangkan masa di luar. Tambahan lagi dengan perjalanan yang panjang. Han sempat melambai ke arah Hwa Ra sebelum melangkah masuk rumah.

Sofa di ruang tamu terus dihenyak Han. Kedengaran Hyunjin memanggil dari luar yang membuatkan dia merungut kecil. Baru saja dia hendak melepaskan penat, Hyunjin sudah memanggilnya. Han menghentak kaki seakan berkawad menuju ke pintu.

"Kenapa? Aku baru nak hilangkan penat." Han menggaru belakang kepalanya lalu menyandarkan badan pada pintu. Hyunjin yang berdiri di belakang kereta, menjengah.

"Penat apanya? Kau tidur setengah jam sebelum sampai. Aku yang bawak kereta ni tak ada pulak penat macam tu. Beg baju kau ni, ingat ada bibik nak tolong bawa masuk??" Sindir Hyunjin. Jeongin yang membuang sampah dari dalam kereta, membiarkan dua sahabat itu berbicara.

Han tersenyum kekok. Melihat Hyunjin yang sudah bercekak pinggang itu, terus teringat ibunya di rumah. Tidak mahu Hyunjin meneruskan bebelan, Han menyarungkan semula selipar lalu pergi mengambil beg baju.

"Eiii... Selalu marah kita. Patutlah muka berkedut." Han mengejek lalu segera berlari masuk. Hyunjin menarik nafas sedalamnya untuk kekal bertenang. Itulah dugaan yang perlu dihadapinya kerana mengajak Han untuk bercuti bersama.

Jeongin menutup pintu kereta. Plastik makanan ringan sudah dibuang. "Ada apa-apa lagi ke?"

Hyunjin menggeleng. Rasanya tiada apa lagi. Jeongin yang baru ingin melangkah itu dipanggilnya. "Malam ni, kita berborak nak?"

Jeongin mengerutkan dahinya seraya mengangguk. Sudah kenapa Hyunjin mengajaknya berbual? Sedangkan sebelum ini mereka selalu bersembang tanpa diajak terlebih dulu. "Abang okey, kan? Tiba-tiba je?"

"Eh Abang okey.. saja je. Mana tahu Iyen nak tidur ke, nak keluar ke? Itu yang Abang ajak... Hehe." Hyunjin tersengih. Melihat Jeongin sudah masuk, Hyunjin menampar mulutnya perlahan. Niat sebenarnya ingin mengajak Jeongin makan berdua tetapi, entah apa yang difikirkan hingga soalan lain pula yang keluar.

Hwa Ra menghampiri Ji Ah yang sedang mengeringkan rambutnya. Dia belum sempat bertanya apa-apa tentang perkembangan hubungan sahabatnya itu kerana balik lewat semalam. Tidak mengetuk pintu terlebih dulu, Hwa Ra terus masuk ke dalam bilik Ji Ah.

"Weh, kau tak cerita pun dekat aku pasal semalam. Macam mana? On?" Tanya Hwa Ra sebelum duduk bersila di atas katil.

"On apa? Suis lampu?" Ji Ah bertanya semula. Sengaja dia berbuat demikian kerana malas hendak bersembang topik semalam. Membayangkan dirinya yang menangis sendirian di tepi pantai, cukup membuatnya hilang mood. Apatah lagi, Hyunjin menjadi saksi semua itu.

"Jangan buat bodoh, Ji Ah. Pasal kau dengan Iyen lah... Macam mana, kau luahkan tak pada dia? Jangan cakap kau syok makan sampai lupa." Hwa Ra membuat kesimpulan sendiri.

Ji Ah memekakkan telinga lalu menepuk perlahan masker yang dipakai pada wajahnya. Mulut dimuncungkan supaya masker itu melekat dengan sempurna. Hwa Ra hampir membaling bantal ke arah Ji Ah kerana geram. Bukan hendak menjawab soalannya malah Ji Ah sengaja membuat tidak dengar.

"Cepatlah... Aku nak tahu..." Hwa Ra mendesak. Dia perlukan cerita untuk mengisi masanya pada malam itu. Ji Ah menghela nafas perlahan sebelum mengangkat punggungnya.

"Sebenarnya... Iyen rejected aku. Dia cakap yang dia anggap aku ni sebagai kawan je. Terkejut kan? Aku tahu..." Hwa Ra ternganga mendengarkan itu. Macam mana Jeongin yang menolak sedangkan dia yang meluahkan perasaannya dulu. Dia memandang kipas yang berpusing untuk menghadam apa yang diberitahu Ji Ah.

"Kau salah sebut, kan? Kau yang rejected Iyen? Kenapa kau buat macam tu??" Hwa Ra menolak untuk percayakan Ji Ah lalu membuat andaian sendiri.

Ji Ah merenungnya tajam. "Aku kena rejected. Iyen cakap yang aku terlambat dan tak sukakan aku lagi. Macam tulah cerita dia. Nak dengar sangat tapi tak nak percaya." Ji Ah mendengus geram. Dia terjerit kecil bila Hwa Ra menampar belakangnya.

"Itulah... Aku dah cakap jangan lama sangat nak bagi jawapan! Kau tak nak dengar nasihat aku!" Berang Hwa Ra. Dia sudah banyak kali berpesan kepada Ji Ah untuk menerima Jeongin tapi, banyak pula alasan yang diberi. Hendak kenal dulu lah, nak itu nak ini. Akhirnya, semua tidak dapat.

Ji Ah mencebik. Nasib baiklah dia sudah menangis sepuasnya semalam jadi tiadalah airmatanya jatuh lagi malam itu. Hwa Ra membulatkan matanya apabila melihat Ji Ah.

"Weh! Kau menangis?? Sorry, kuat sangat ke aku pukul kau? Alah.. janganlah menangis..." Hwa Ra memujuk lantas memeluk Ji Ah yang sedang tercengang itu. Airmata yang mengalir perlahan di pipinya, diseka.
Pelukan segera dilepaskan.

"Mana ada aku menangis. Air liur kau kot sebab menjerit tadi..," ujar Ji Ah selamba. Memang dia tidak ingin rasa menangis pun malam itu. Mungkin itu lebihan air mata yang tidak keluar habis malam semalam.

"Ingat lawak? Sekarang ni, aku tak faham kenapa Iyen tolak kau. Dah tak sukakan kau lagi? Cepat betul perasaan dia berubah." Hwa Ra kembali kepada topik asal. Bab air mata, air liur ditolak ke tepi.

Ji Ah mengangguk tanda mengiyakan. Pelembap bibir dioles pada bibirnya sebelum benda kecil itu mendarat di mulut Hwa Ra pula. Hwa Ra tidak pula menghalang.

"Kau tak tanya dia? Mana tahu dia ada sebab cakap macam tu?" Hwa Ra bertanya lagi. Pendirian Jeongin lebih sukar untuk dirungkai berbanding soalan matematik tambahan.

"Malaslah aku... Kau ni sama macam Hyunjin. Suruh aku tanya Iyen. Memang taklah aku nak ungkit pasal ni dekat dia lagi." Ji Ah menyengetkan mulutnya tanda tidak berminat.

Hwa Ra mengecilkan matanya lalu merenung tepat wajah Ji Ah. "Hmm... Hyunjin?"

Ji Ah mengutuk dirinya sendiri. Niatnya hendak menutup perbualan malah memanjangkan lagi bila tersebut nama Hyunjin. Terpaksalah dia menceritakan dari A sampai Z.

Han menjerit histeria bila dirinya kalah dalam permainan batu kertas gunting. Hyunjin pula tergelak besar seraya menepuk tangannya tanda teruja. Mereka bertiga membuat taruhan, siapa yang kalah dalam permainan itu perlu keluar beli makanan di restoran. Nampaknya nasib tidak menyebelahi insan bernama Han Jisung.

"Alah... Tak payah makanlah malam ni.. bukan mati pun. Ya, Hyunjin? Iyen?" Han merayu. Kemalasannya untuk keluar pada malam itu sudah sampai pada tahap maksima. Jeongin mengangkat bahunya sambil mulut dimuncungkan ke arah Hyunjin.

Han merengek kecil bila Jeongin tidak membela dirinya. Dia beria berharap yang Jeongin akan menyerah dan dengan itu, Hyunjin tidak memaksanya keluar malam itu.

"Pergi jelah... Kalau malas jalan kaki, bawa kereta aku. Bukan payah pun," ujar Hyunjin.

"Aku tak pandai bawa kereta manual... Nak suruh aku terbabas masuk laut?" Han masih lagi tidak mengalah. Hyunjin memandang kawan baiknya dengan pandangan kosong. Kalaulah Han itu seekor tupai, sudah lama dia mencekiknya.

"Biar Iyen yang pergi beli..." Han sudah tersenyum lebar hingga ke telinga mendengarkan itu.

"... Tapi Abang Han jangan makan. Tadi cakap tak mati kan kalau tak makan malam ni. Jadi, Iyen beli untuk Abang dengan Iyen je. Abang Han makan pinggan kosong..," kata Jeongin dengan nada serius. Kalau ikutkan, dia tidak kisah namun badannya terasa begitu penat malam itu. Jadi, terpaksalah dia menggunakan cara itu.

"Ya lah, ya lah... Korang ni saja je buli aku. Mentang-mentanglah aku ni cuma kawan, bolehlah korang buat macam ni" Han menuturkan kata-kata sedih.

"Tak payah nak berdrama. Kau bukan buat apa pun hari ni..." Hyunjin mencelah. Han mengambil kunci kereta Hyunjin yang terletak di atas meja. Perbuatannya itu membuatkan Hyunjin memandang hairan.

"Bukan ke-"

"Aku tipu je tadi... Dah korang duduk diam-diam." Han melangkah keluar dari rumah dengan perasaan terpaksa.

Han mengomel sendirian. Kemudian dia tersenyum bila satu idea muncul di kepalanya.

Bunyi loceng menghentikan perbualan dua sahabat di dalam rumah. Hwa Ra menawarkan dirinya untuk pergi membuka pintu. Dia mengerutkan wajahnya melihat Han sedang tersengih di depan muka pintu rumah.

"Kenapa Han?" Tanya Hwa Ra. Han memuncungkan mulutnya sebelum meraih tangan Hwa Ra.

"Awak... Teman saya pergi beli makanan? Diorang buli saya... Saya takut pergi sorang-sorang," pinta Han dengan nada manja. Hwa Ra menahan tawanya bila Han berkelakuan seperti budak kecik itu.

"Ya ke? Alololo kesian dia... Kejap ya, saya ambik kardigan dekat dalam. Tunggu tau.." Hwa Ra mencuit hidung Han sebelum melangkah masuk.

Han tersenyum sendiri. Telinganya sudah merah kerana menahan malu. Bagus juga Hyunjin menyuruhnya keluar malam itu. Dapatlah dia meluangkan masa bersama Hwa Ra. Tidak lama kemudian, kekasih hatinya menampakkan diri. Han membuka pintu untuk Hwa Ra sebelum dia masuk ke tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah.

:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:

Memandangkan hanya tinggal mereka berdua di rumah itu, Hyunjin mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Jeongin. Jika Han ada sekali, mahu kecoh dibuatnya.

"Iyen... Abang nak tanya sikit boleh?" Tanya Hyunjin dengan penuh berhati-hati. Jeongin yang sedang menonton televisyen, hanya mengangguk kecil.

"Kenapa Iyen tolak Ji Ah? Bukan Iyen bagitahu Abang yang Iyen suka dia ke?" Hyunjin melanjutkan soalannya.

Tidak lama Jeongin mendiamkan diri, dia mula bersuara. "Sebab Iyen dah tak sukakan Ji Ah."

Hyunjin menggaru hujung keningnya. Jawapan Jeongin saja sudah kedengaran tidak jujur. "Iyen tipu... bagitahu lah Abang sebab apa?

"Tak ada sebab... Nak buat macam mana. Daripada Iyen tipu diri sendiri, baik terus terang." Jeongin masih berkeras dengan jawapannya manakala Hyunjin pula tidak berpuas hati mendengarkan itu. Dia tahu yang adiknya menyembunyikan sesuatu.

"Tipu. Abang tahu yang Iyen sukakan Ji Ah lagi. Kenapa Iyen buat macam tu... Mesti ada alasan kan? " Kata Hyunjin lagi.

Kali ini, Jeongin menoleh ke arah Hyunjin. "Iyen buat semua ni sebab Abang... Iyen tahu yang Abang sukakan Ji Ah kan? Masa Abang berborak pagi haritu, Iyen dengar semua apa yang Abang cakap dengan Abang Han."

Hyunjin terdiam. Sejujurnya apa yang dikatakan Jeongin, di luar jangkaannya. Sekarang ini, dia tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan.

"Kenapa Iyen sanggup korbankan perasaan sendiri? Ji Ah sukakan Iyen bukan Abang..," ujar Hyunjin. Dia melemparkan pandangannya ke lantai.

"Samalah macam Abang. Kenapa Abang abaikan perasaan sendiri demi Iyen? Kenapa terima Erika walaupun Abang tak sukakan dia? Semuanya sebab Iyen kan? Jadi, apa salahnya kalau kali ini, Iyen buat perkara yang sama. Iyen lebih sanggup Abang dengan Ji Ah daripada biarkan Abang balik semula dengan perempuan tak malu tu..." Jeongin memberitahu alasan dia sanggup menolak Ji Ah.

Hyunjin menahan air mata yang hampir gugur. Entah kenapa mendengarkan kata-kata adiknya, membuatnya terasa sebak. Jeongin menepuk perlahan bahu Hyunjin sebelum mengangkat punggungnya.

"Iyen nak masuk bilik kejap..." Jeongin meminta diri seraya mengurut dahi perlahan. Kepala yang berdenyut dari tadi, masih terasa hingga membuatkan dia berasa mual. Seingatnya, hari itu dia tidak melangkau waktu makan. Hyunjin yang melihat perubahan tingkah Jeongin, bingkas bangun dari tempatnya.

"Iyen.. okey tak ni?" Soal Hyunjin risau sebaik saja menyedari Jeongin berkelakuan begitu.

Tidak menjawab soalan abangnya, Jeongin hanya mengangguk perlahan. Kaki yang terasa berat, digagahkan juga untuk melangkah. Suara Hyunjin kedengaran sayup dan penglihatannya semakin kabur. Tidak mampu menahan diri lagi, pandangan Jeongin bertukar gelap sepenuhnya lalu rebah ke lantai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro