❦20
Daun-daun pokok rambutan yang bertaburan di atas tanah akibat hujan lebat petang semalam membuatkan Lia mengeluh perlahan. Pencakar sampah yang tersandar di tepi rumah, diambil untuk menyapu daun yang menganggu pandangan matanya. Oleh kerana masih basah, sedikit susah untuk dia mengaut daun-daun yang melekat pada tanah.
Selesai di depan pintu rumah, Lia berjalan sedikit ke hadapan lalu menyapu pula daun yang bertaburan di bawah pokok rambutan itu. Cuaca sejuk pada pagi itu terasa sangat menyamankan hingga Lia tidak berasa penat sedikit pun sewaktu melakukan aktiviti itu seorang diri.
Satu timbunan daun siap dikumpulkan. Memandangkan waktu masih pagi tambahan pula keadaan daun yang basah, Lia membuat keputusan untuk meletakkan saja daun itu ke dalam plastik sampah kerana jika hendak dibiarkan di situ saja, risau pula akan bertaburan semula dek angin. Pencakar disandarkan pada pokok sementara dia masuk ke dalam rumah mengambil plastik hitam.
Sedang memindahkan daun ke dalam plastik, Lia teringat semula perbualannya dengan Seungmin malam tadi. Sungguh dia tidak menyangka yang Minjeong ialah Minjee, orang yang sangat dikenalinya. Hubungan mereka boleh dikatakan rapat kerana sering berbual. Memikirkan yang gadis itu sudah pun tiada, sedikit sebanyak Lia berasa sedih. Dalam pada masa yang sama, patutkah dia memberitahu berita itu kepada Jessica oleh kerana kakaknya mencari Minjee?
"Selamat pagi..." Sapa Seungmin apabila melihat Lia sedang melakukan sesuatu di bawah pokok rambutan. Hendak kata gadis itu mengutip buah rambutan, belum tiba musimnya lagi.
"Selamat pagi... Hehe." Lia membalas sapaan Seungmin. Kehadiran jejaka itu membuatnya melupakan sejenak perihal Minjeong yang singgah di fikirannya sebentar tadi. Daun yang dikutipnya segera dimasukkan ke dalam plastik hitam sebelum dia bangun dari tempatnya.
"Nanti awak sarapanlah di rumah. Saya ada buatkan nasi goreng tadi," pelawa Seungmin meskipun Lia boleh dikatakan setiap hari akan mengisi perut di rumahnya. Sengaja dia mengajak, beramah mesra apa salahnya.
Lia mengangguk kecil tanpa berkata apa. Di kepalanya sibuk memikirkan jika dia patut memberitahu yang Minjeong ialah pekerja di syarikatnya ataupun dia perlu berdiam diri saja. Melihat wajah ceria Seungmin ketika itu, tidak sanggup pula dia hendak merosakkan suasana hati Seungmin.
Seungmin memandang sisa daun yang masih terkumpul di satu tempat sebelum matanya memandang plastik yang dipegang Lia. Tanpa bersuara, Seungmin mengambil plastik itu lalu membersihkan timbunan daun yang masih tersisa. Lia hendak menghalang namun tiada guna juga kerana jejaka itu sudah pun menyelesaikan kerjanya.
"Terima kasih... Awak nak ke ladang bunga ke?" Tanya Lia sebaik saja Seungmin berdiri semula.
"Eh tak adalah... Saya nak pergi rumah Pak Sooman kejap. Paip belakang rumah dia pecah lagi. Entah kali ke berapa dah saya tukar untuk bulan ni," beritahu Seungmin disertakan ketawa kecil. Geli pula hatinya apabila teringatkan tentang paip rumah orang tua itu. Masalahnya, hanya kediaman Pak Sooman saja yang menjadi mangsa sondol binatang buas itu. Entah apa yang istimewa sangat belakang rumah kayu itu hingga begitu kerap sekali dijadikan sasaran.
"Awak jangan pandang Eunbi pula," pesan Lia. Ada rasa cemburu dalam nada suaranya.
"Ish, buat apa pandang dia kalau saya boleh pandang awak," sakat Seungmin seraya tersenyum nakal.
Lia yang mendengarkan kata-kata itu, mula tersenyum malu. Kedua tangan digunakan untuk menutup wajahnya supaya Seungmin tidak menyaksikan pipinya yang sudah merona merah. Seungmin memang sengaja membuatkan jantungnya lemah di pagi hari.
Melihat reaksi gadis itu, Seungmin tertawa perlahan. Menjadi juga ayat manisnya. Tidak sia-sia dia mengorbankan masa tidurnya untuk belajar tentang itu di YouTube malam semalam.
"Tak adalah... Saya bukan nak cemburu dengan Eunbi tapi, Pak Seman eh- Pak Sooman tu bukan boleh kira. Suruh awak kahwin dengan anak dia lagi. Saya tak suka," jelas Lia seraya memintal hujung rambutnya manakala matanya memandang tanah. Tidak sanggup hendak bertentangan mata dengan Seungmin.
"Tak ada maknanya... Okeylah, saya pergi dulu sebab nak ke kedai hardware dulu, cari barang untuk paip. Awak tolong tengokkan Nenek, ya? Tadi saya ingat nak beri sarapan terus tapi Nenek tidur lagi. Tak sampai hati pula nak kejut bangun," kata Seungmin. Plastik hitam yang berisi daun-daun juga dibawa untuk dibuang terus.
"Okey, jangan risau. Hati-hati ya bawa motor tu," pesan Lia seolah-olah Seungmin akan merempit dengan skuternya.
Seungmin hanya mengangguk sebelum melambaikan tangannya. Enjin skuter dihidupkan lalu jejaka itu mula meninggalkan halaman rumah.
Sebaik saja bayang Seungmin menghilang dari pandangan, Lia melompat keriangan. Walaupun perbualan mereka singkat tetapi Seungmin memberi kesan yang sangat mendalam hingga membuatkan jantungnya terkeluar melompat sekali. Gadis itu menyanyi riang dan hasratnya untuk memberitahu Seungmin kebenaran tentang Minjeong, dilupakan begitu saja.
✾✾✾✾✾
Changbin menarik muncung ketika menyarungkan selipar. Rasanya dia sudah beritahu dengan jelas yang dia sibuk pada hari itu namun nampaknya Seungmin mempunyai masalah pendengaran oleh kerana jejaka itu masih datang ke rumahnya. Apa yang lebih menyakitkan hati, Seungmin menunggu di depan pagar rumahnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga. Sebelum ini, bukan kata sampai ke telinga, senyum sepanjang jarak lubang hidung pun tidak pernah dilemparkan.
"Aku tahu kau tak akan biarkan aku tunggu dekat sini," kata Seungmin apabila Changbin membuka pintu pagar.
"Kau ni! Aku dah kata kan aku sibuk!" Marah Changbin.
"Alah, kau kan bos... Sekali sekala ponteng apa salahnya. Lagipun tak kan kau nak suruh aku bawa batang paip naik skuter? Kalau terkena kepala orang, tak ke naya?" Balas Seungmin sekaligus berseloroh bagi memujuk Changbin.
"Pak Sooman kan ada kereta. Kenapa dia tak pergi beli je sendiri batang paip tu? Dia ingat kau ni pekerja dia ke, nak arah itu ini? Tak faham betul aku dengan orang tua tu. Kau pun sama, baik sangat kenapa?" Bebel Changbin. Kedua tangannya sudah mencekak pinggang bagi melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
"Pak Sooman memang nak beli sendiri tapi aku yang offer nak tolong belikan. Lagipun, kita dah lama kan tak keluar sama-sama. Jadi aku saja sebab nak spend time dengan kau." Seungmin memberi alasan.
Changbin menjeling kecil. Memang dirinya untuk dicari semasa dalam kesusahan pun. Melihat wajah Seungmin, tidak sampai hati pula dia hendak menolak permintaan kawannya. Soal sibuk yang dikatakan pada Seungmin, itu bukanlah perkara benar sebaliknya helah untuk melarikan diri.
"Ya lah... Kejap, aku pergi ambil kunci kereta." Akhirnya jejaka berbadan sasa itu mengalah. Seungmin terus mengucapkan terima kasih apabila kawannya bersetuju untuk membawanya ke pekan bagi membeli batang paip.
Eunbi yang sedang menyidai baju di ampaian, berlari lintang-pukang setelah melihat kereta Changbin memasuki perkarangan rumahnya. Tidak pernah-pernah jejaka itu menjejakkan kaki ke rumahnya. Tidak mungkin Changbin ingin belajar ilmu silat dengan ayahnya memandangkan dia mengetahui yang jejaka itu lebih gemarkan gim.
"Ya Tuhan... Boleh tak tu?" Ujar Pak Sooman sebaik saja melihat Changbin memikul batang paip di atas bahunya.
"Benda biasa je ni, Pak Sooman. Saya selalu angkat besi lagi berat dari batang paip. Nak letak mana ni?" Tanya Changbin dalam keadaan termengah-mengah.
"Letak je dekat atas tanah tu," jawab Pak Sooman.
Seungmin menahan tawa melihat gelagat Changbin. Melihat wajahnya saja, menggelikan hati. Belum lagi dia membuka mulutnya. Bermacam perkara merepek yang akan dituturkan.
"Teruk ke pecah paip tu, Pak Sooman?" Soal Changbin selepas menyelesaikan tugasnya.
"Ya lah... Sebab itu Pak Sooman kena ganti yang baru. Tahun ni dah nak masuk empat kali tukar batang paip. Tu belum masuk baiki lagi. Pak Sooman pun dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Pasang pagar pun, langgar semacam babi tu," adu Pak Sooman.
Changbin menggeleng perlahan mendengarkan masalah orang tua itu. Kalau itu terjadi pada rumahnya, tidak mustahil dia terpaksa menjual kafe memandangkan tidak mampu hendak menampung kos pembaikan.
"Saya rasa babi tu betina lah, Pak Sooman," ujar Changbin yang mana membuatkan orang tua itu termasuklah Seungmin terpinga-pinga.
"Kenapa pula kamu rasa macam tu?" Tanya Pak Sooman.
"Bukan apa... Pak Sooman tak perasan ke yang rumah Pak Sooman je jadi mangsa babi tu? Saya kata dia betina sebab... Ya lah, Pak Sooman kan single, mana tahu dia berkenan dengan Pak Sooman ke? Itu yang dia sondol paip rumah Pak Sooman sebab nak attention." Selamba saja Changbin berkata begitu.
Seungmin membulatkan matanya lantas memukul kuat belakang Changbin. Bukan main lepas lagi jejaka itu bertutur kata. Tidak seperti reaksi Seungmin, Pak Sooman malah ketawa mengekek kerana terhibur dengan Changbin.
"Pandai juga kamu loyar buruk, ya?" Kata Pak Sooman yang masih lagi tertawa.
"Bab mengarut memang pandai, Pak Sooman. Cuba suruh dia baiki paip, mahu dia pacakkan batang paip tu macam tiang lampu jalan," celah Seungmin yang membuatkan Pak Sooman tertawa sekali lagi. Senak perut dibuatnya.
"Kamu berdua dah sarapan ke belum ni?" Tanya Pak Sooman seraya mengelap airmata yang mengalir kerana ketawa.
"Da-"
"Belum! Saya baru nak gigit roti, Seungmin dah datang, Pak Sooman. Kenapa tanya, ada makanan ke? Hehe..." Changbin tersengih menampakkan barisan giginya.
Seungmin hanya mampu menggeleng kepala. Dia masih ingat sebelum ini, Changbin pernah beritahunya yang dia takutkan Pak Sooman dengan alasan orang tua itu guru silat di kampung. Sekarang ini, beramah mesra mengalahkan kawan lama padahal ini kali pertama mereka bersua muka.
"Ouh, macam itu ke. Tak apalah, Pak Sooman suruh Eunbi goreng mi. Sementara tunggu tu, sempatlah Seungmin pasangkan paip dulu," kata Pak Sooman dan mereka berdua mengangguk faham.
Pak Sooman meminta diri sebentar untuk memaklumkan hal itu kepada anak daranya yang berada di dalam rumah. Seungmin memastikan orang tua itu melangkah masuk terlebih dulu sebelum sikunya menyinggung lengan kekar Changbin.
"Amboi, bukan main lagi kau eh? Selama aku tolong Pak Sooman, tak pernah lagi lah aku tanya ada makanan ke tak. Apa lah kau ni, buat malu je," marah Seungmin.
"Eh, kau patut berterima kasih tau tak? Biar lah pertolongan kau tu terbalas. Tukar paip keluarkan tenaga yang banyak jadi apa salahnya lepas siap kerja, kita makan," balas Changbin semula.
"Ha yalah... Kau memang tahu menjawab je lah. Kau tolong aku kejap lagi." Seungmin mengakhiri perbalahan kecil mereka berdua. Hendak berkata lebih, tiada guna juga kerana Pak Sooman sudah pun masuk ke dalam rumah.
"Nenek macam mana, Seungmin? Pak Sooman tak sempat lagi nak datang jenguk," soalnya sambil memerhatikan Seungmin yang sibuk memasang paip baru.
"Macam tulah... Sekarang kurang selera, makan roti je. Nak bangun pun dah tak boleh," beritahu Seungmin sementara mata fokus pada kerja yang dilakukan. Pak Sooman mengangguk faham dan selepas itu dia hanya berdiam diri saja kerana tidak mahu mengganggu kerja pemuda itu.
Seungmin termenung sejenak apabila teringatkan keadaan neneknya di rumah. Penyakit kronik yang dihidapi wanita tua itu lebih merunsingkan hatinya, lebih-lebih lagi pada malam tadi, dia dapat mendengar suara batuk neneknya. Changbin yang berdiri tidak jauh darinya, memerhati sejak tadi dan perasan yang air muka kawannya sedikit berubah selepas Pak Sooman bertanyakan soal neneknya.
"Argh!" Seungmin menjerit kesakitan apabila tangannya terkena bahagian pecah pada paip. Darah mula mengalir lagi dari tapak tangannya oleh kerana luka agak dalam.
"Seungmin! Ya Tuhan, tinggal dulu! Banyak darah tu!" Panggil Pak Sooman cemas.
Tidak membantah, Seungmin mendengar arahan Pak Sooman lantas meninggalkan kerjanya yang separuh siap itu. Wajahnya berkerut menahan pedih sementara tangan kirinya memegang pergelangan tangan kanan oleh kerana tapak tangannya tercedera.
"Kejap, Pak Sooman pergi ambil peti kecemasan." Orang tua itu berlari kecil menuju ke pintu dapur.
"Macam mana boleh terkena bahagian pecah tu sedangkan kau dah alih ke tepi," soal Changbin kehairanan kerana dia melihat sendiri Seungmin melakukan itu semasa mula-mula mencabut paip lama.
"Entahlah... Mata aku jadi kabur, sebab tu aku tersalah pegang paip pecah," jawab Seungmin sambil menahan sakit. Darah masih lagi mengalir tanpa henti sejak dari belakang rumah lagi.
"Kabur? Kau biar betul... Teruk betul rabun kau. Ke kau risaukan Nenek?" Changbin meneka dan kali ini Seungmin tidak diam tidak membalas.
Kurang dari lima minit, Pak Sooman datang semula bersama peti kecemasan pada tangannya. Oleh kerana darah terlalu banyak, Pak Sooman menyuruh Seungmin membasuh lukanya terlebih dulu sebelum disapukan ubat. Selepas Seungmin membersihkan darah, Pak Sooman menuangkan minyak kayu kapur yang mana elok untuk luka terbelah seperti itu pada kain kasa lalu ditekap pada bahagian luka.
"Hati-hati lain kali. Nasib baik tak dalam luka ni," kata Pak Sooman sambil membalut tangan Seungmin. Jejaka itu hanya menjawab dengan sekadar mengangguk.
✾✾✾✾✾
Oleh disebabkan tiada apa yang ingin dibuat, Lia membuat keputusan untuk mengemas ruang tamu sementara tunggu Nenek bangun dari tidur. Nasi goreng yang terhidang di atas meja, ditutup dengan tudung saji dulu.
"Ha! Makan berterabur!" Sergah Lia yang mana membuatkan Areum tersentak kerana terkejut. Melihat reaksi kanak-kanak itu, Lia tertawa jahat.
"Tak baiklah, Makcik Cantik... Kalau Areum tersedak nasi goreng macam mana?" Marah Areum sebelum menarik muncung tidak puas hati.
"Alah, main-main je. Lagipun Areum bukan suap nasi lagi. Lainlah, tengah kunyah... Barulah tersedak," balas Lia tidak mahu mengalah meskipun ada benarnya apa yang dikatakan Areum.
"Tak habis makan lagi ke? Makcik nak sapu lantai rumah ni," tanya Lia lantas mengambil tempat di atas sofa. Areum pula ketika itu makan di bawah sambil menonton televisyen. Gadis kecil itu hanya berani buat begitu semasa Seungmin tiada di rumah. Kalau ayahnya ada, jangan haraplah jejaka itu membenarkan anaknya membuka televisyen selagi makanan belum dihabiskan.
"Okay, dah habis." Areum bangun dari tempatnya. Alat kawalan jauh diambil sebelum mematikan televisyen. Sempat dia mengutip beberapa butir nasi yang terjatuh di atas meja lalu menuju ke dapur.
Kipas siling yang terpasang ditutup terlebih dulu supaya habuk tidak berterbangan semula. Penyapu yang disangkut belakang pintu, diambil. Sejak Lia menetap di kampung, dia sudah handal memegang penyapu dengan betul. Semuanya berkat ajaran Areum dan juga Seungmin.
Pintu kayu dibuka seluasnya, menampakkan pemandangan di hadapan rumah. Lia mula menyapu dimulai dari depan pintu menuju ke dapur hinggalah ke pintu utama rumah. Setiap ceruk, disapu sehingga tidak tertinggal sedikit pun habuk.
Bilik Areum turut disapu sekali memandangkan kanak-kanak itu masih kecil untuk membiarkan dia membersihkan biliknya sendiri. Pelbagai jenis plastik makanan ringan ditemukan di bawah katil yang membuatkan Lia mengeluh perlahan. Dia pasti yang Areum makan snek tanpa pengetahuan Seungmin. Terfikirkan hal itu, Lia tertawa sendiri. Bijak juga Areum kerana membuang plastik di bawah katil kerana jika dia membuangnya ke dalam tong sampah, sudah pasti dia akan tertangkap.
"Areum nak pergi main dengan kawan dekat padang kejap. Nanti Areum balik," beritahu Areum. Lia hanya mengangguk tidak menghalang. Lagipun apa salahnya membenarkan Areum bermain dengan kawannya daripada terus berimaginasi dengan anak patung yang tidak bernyawa?
Selepas mengambil masa hampir sejam untuk mengemas rumah, Lia melepaskan penat di atas kerusi ruang tamu. Telefon yang ditinggalkan di atas meja terus dicapai untuk melihat jika ada mesej baru masuk. Barulah dia perasan yang pada masa itu jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari namun Ok Soon masih belum bangun dari tidurnya.
Tidak menunggu lama, Lia bangun semula untuk memeriksa keadaan nenek. Mana tahu dia tidak perasan orang tua itu ada memanggilnya tadi. Pintu bilik dibuka dan kelihatan Ok Soon masih dalam lenanya. Lia kemudiannya menapak masuk untuk menghampiri nenek. Dia perlu mengejutkannya untuk makan terlebih dulu kerana perlu mengambil ubat pula.
Wajah pucat Ok Soon dipandang lama sebelum rasa tidak sedap hati menerpa dirinya. Malas melayan perasaannya, Lia menepuk perlahan lengan Ok Soon untuk membangunkannya dari tidur.
"Nenek... Bangun makan," ujar Lia. Kali ini, dia menggoyangkan perlahan badan Ok Soon tetapi masih tiada jawapan ataupun sebarang tindak balas. Jantung Lia mula berdegup laju kerana cemas. Kebetulan pada masa itu, satu suara wanita kedengaran dari arah luar lantas Lia keluar dari bilik untuk meminta bantuan.
✾✾✾✾✾
Seungmin hanya mengambil sedikit saja mi goreng yang terhidang. Dia masih lagi berasa kenyang kerana sudah makan nasi goreng sebelum ke situ tadi. Lain pula bagi Changbin yang sudah menambah dua kali hidangan itu.
"Sedap betul mi goreng ni... Pandai Eunbi masak," puji Changbin seraya mulutnya sibuk mengunyah makanan.
Pak Sooman tertawa kecil bila mendengar pujian Changbin. Nasib baiklah Eunbi tiada di situ. Kalau tidak, entah apalah reaksi anak gadisnya seorang itu. Kemudian Pak Sooman menoleh ke arah Seungmin yang sudah pun menolak pinggan.
"Tak nak tambah, Seungmin?" Tanya Pak Sooman.
"Saya dah kenyang... Makan nasi goreng di rumah tadi," jawab Seungmin lalu tersenyum. Pak Sooman hanya mengangguk saja mendengarkan itu.
Seungmin menggeleng perlahan melihat Changbin yang masih belum selesai makan. Rasanya itu sudah masuk kali ketiga kawannya menambah mi. Sedang menunggu Changbin habis makan, Seungmin mendapat satu panggilan dari Lia. Dengan wajah yang tersenyum, dia menjawab panggilan itu.
"Hello, kenapa awak call saya?" Tanya Seungmin. Ceria saja nada suaranya.
"S-Seungmin... Nenek..."
Senyuman yang tadinya terukir perlahan-lahan mengendur sebaik saja mendengar suara tangis Lia. Apatah lagi gadis itu ada menyebut perkataan nenek. Riak wajahnya serta merta berubah setelah Lia memberitahunya sesuatu. Tidak membuang masa, Seungmin terus turun dari bangsal.
"Kamu nak ke mana ni?" Soal Pak Sooman kehairanan melihat tingkah laku Seungmin yang tergesa-gesa itu.
"Saya nak balik dulu." Itu saja yang dikatakan. Pak Sooman tidak sempat bertanya lebih oleh kerana Seungmin sudah pun pergi.
Lia yang sedang menangis di beranda, terus mendapatkan Seungmin yang baru saja pulang. Airmata yang mengalir pantas diseka sebelum berhadapan dengan jejaka itu.
"Awak salah cakap kan tadi? Nenek mana?" Soal Seungmin sebaik saja Lia menghampirinya. Jelas kelihatan wajah gadis itu sembap kerana menangis. Bibir mula menggeletar manakala cecair jernih mula bertakung di tubir mata, menunggu masa untuk mengalir.
"Nenek dah tak ada..," beritahu Lia lalu menangis semula manakala Seungmin menggeleng perlahan, tidak mahu menerima kenyataan itu. Dia terus naik ke rumah untuk melihat sendiri neneknya, meninggalkan Lia yang masih di bawah.
Sebuah kereta menghentikan langkah Lia dari mengejar Seungmin. Changbin, Pak Sooman keluar dari kereta. Selepas melihat reaksi Seungmin, mereka berdua membuat keputusan untuk pergi ke rumahnya.
Seungmin melangkah perlahan menuju ke biliknya, di mana Ok Soon berada. Melihat saja tubuh neneknya ditutup dengan kain putih, Seungmin terus jatuh terduduk. Airmata yang ditahan sejak tadi, akhirnya tumpas jua.
Dengan rasa berat hati, Seungmin menghampiri neneknya. Kain putih tadi diselak hingga menampakkan wajah pucat orang tua itu. Makcik Goonja dan beberapa lagi orang kampung, turut berasa sedih melihat Seungmin. Mereka semua sudah maklum betapa akrabnya hubungan antara dua insan itu.
Tidak dapat menahan rasa sebak, Seungmin terus memeluk badan neneknya lantas melepaskan tangisan di situ juga. Seorang wanita yang telah menemaninya di saat susah dan senang sejak kecil, sudah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro