Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 27 : Sebelum Sampai ke Api

“Di sini tempat yang bagus.”

Putera Zulkarnain menarik kekang kudanya, menyuruh haiwan tunggangannya itu untuk berhenti. Para Satria pun ikut turun dari kuda masing-masing sambil memerhati kawasan sekeliling. Selepas beberapa lama menelusuri, mereka berada di penghujung denai hutan itu. Silau mentari pagi menerpa mata sebaik sahaja mereka keluar dari teduhan hutan.

“Wah…”

Pemandangan terhampar sejauh mata memandang. Dari kedudukan mereka di puncak bukit itu, terhampar petak-petak sawah bendang yang sedang menghijau. Rumah-rumah orang berserakan di merata tempat dan bertumpu di sepanjang jalan utama untuk memasuki ibu kota Inderagana melalui gerbang barat. Menoleh ke arah timur laut, bukit-bukau berjajar. Indah, diselaputi awan-gemawan. Sekali-sekala, angin laut berpuput dari arah barat daya.

Sementara Satria-satrianya masih terpegun memerhatikan kawasan sekitar, Putera Zulkarnain menambat kudanya di bawah pokok sementara Alang menghamparkan tikar mengkuang tidak jauh dari situ. Tidak menangguh kuda putih itu meragut rumput segar yang masih dibasahi embun.

Putera Zulkarnain sedang melipat duduk bersila di atas tikar ketika Jallal mendekatinya seraya mengangkat sembah. Jallal bertanya, “Kalau patik boleh bertanya, sampai bila tengku berniat untuk berada di sini?” 

“Sampai tengahari, mungkin?” Putera Zulkarnain menyambut buku yang diserahkan oleh Alang. Remaja itu segera meninggalkan mereka berdua. “Mengapa?”

Kening Jallal berkerut. Dia menoleh ke belakang, bertembung pandang dengan Athari yang memerhatikan mereka dari jauh. Dia menghadap Putera Zulkarnain semula sebelum berkata, “Sepatutnya, kami perlu menjalani latihan khusus bersama pasukan Satria Raja, sebelum… tengku mengajak kami semua ke mari. Jadi, bolehkah Tengku jadi saksi bahawa kami tetap melaksanakan latihan tersebut?”

Putera Zulkarnain menatap wajah Jallal seketika. Parut yang melintang di pipi kanan pemuda itu sentiasa menjadikan Jallal kelihatan garang. Persis soldadu yang hati dan disiplinnya dikeraskan peperangan. Mungkin anggapan awal Putera Zulkarnain padanya tidak salah.

“Sejujurnya, beta bawa kalian ke mari supaya dapat berehat. Latihan kalian sangat padat. Beta faham, kerana Datuk Bentara Utama mahu kemampuan kalian sesuai taraf sebagai pengawal beta. Namun, kalau sampai mencuri lelap walaupun sedang tegak mengawal pintu pejabat beta...” Putera Zulkarnain hanya tersenyum nipis tanpa menghabiskan ayat.

Membulat mata Jallal.

“Tapi, beta harus hormati jika kalian masih menjunjung disiplin sebagai Satria.” Putera Zulkarnain menuding ke belakang Jallal. “Pergi isi perut dengan makanan yang dibawa Alang. Setelah itu, terpulang kalian mahu lakukan apa-apa yang kalian mahu. Namun, jangan terlalu leka. Sekarang, pergi.”

“Titah dijunjung, tengku,” jawab Jallal perlahan. Teragak-agak dia mengorak langkah kembali ke anggota pasukannya, seperti masih ada sesuatu yang memberatkan hati tapi belum terluah pada Putera Zulkarnain.

Setelah pemergian Jallal, Putera Zulkarnain berbaring mengiring di rusuk kanan, menongkat kepala lalu membuka bukunya. Namun, cuaca yang sebaik pagi itu malah menjemput kantuk. Putera itu kalih berbaring dengan berbantalkan lengan.

Sayup-sayup, Satria-satria itu riuh-rendah bergurau sesama mereka. Suara Guntur dan Bakti paling kuat kedengaran. Bertingkah-tingkah suara berdesir dan bunyi berdebik, barulah mereka berdua senyap. Putera Zulkarnain tersenyum, terhibur sama dengan keletah mereka.

Selepas beberapa ketika, keriuhan mereka itu reda. Putera Zulkarnain mengerling dari ekor mata. Mereka mula membuat regangan dan pemanasan badan sebelum mula berlari di pinggiran dataran itu beberapa pusingan.

Putera Zulkarnain menutup mata. Damai. Derap kaki yang berlari, dan angin laut yang masin. Seketika semuanya membawa imbasan-imbasan kenangan dengan suasana yang hampir serupa. Suasana masa kecilnya yang sudah lama tidak dirasai, lantas memekarkan sekelumit rindu dan hiba. Putera Zulkarnain celik mata lalu bingkas bangun. Dia harus kembali ke masa kini sebelum masa lalu meruntun hati.

Ada bunyi rumput dipijak mendekat lalu terhenti di sebelahnya. Tanpa menoleh, Putera Zulkarnain tahu itu Alang.

“Bagaimana? Benar kata beta, bukan?”

Alang mendengus sambil berpeluk tubuh. “Seperti yang Tengku jangkakan… Mereka terus berlatih sebaik sahaja selesai makan. Padahal, dibawa ke mari untuk berehat!”

“Baguslah. Bukankah mereka patut dipuji kerana tidak culas? Tetap menjalani latihan walaupun tidak diawasi. Ramai lagi yang mengincar posisi mereka. Jika mereka lemah, kemampuan mereka akan dipersoal, kelayakan mereka akan diragui dan maruah mereka akan dipijak-pijak.”

“Tapi, latihan yang dikenakan ke atas mereka keterlaluan dan tidak masuk akal, Tengku!”

“Itu pendapatmu, bukan mereka. Buktinya, mereka masih melaksanakan latihan tersebut tanpa mengeluh.”

Tiada balasan dari Alang. Putera Zulkarnain mencapai buku yang tergeletak di sini sambil menyelak muka suratnya. Dengan nada rendah, dia berkata, “Mereka Satria-satria yang sudah terlatih, Alang. Sudah alah bisa, tegal biasa. Asalkan tidak mengancam nyawa, mengalami kecederaan semasa latihan adalah perkara biasa.”

Putera Zulkarnain akhirnya menoleh memandang Alang. Meskipun sedang cekap menghidangkan teh dan menyusun kudap-kudapan di atas tikar mengkuang, wajah remaja itu sedang cemberut. Ketara benar masih tidak berpuas hati.
  
“Jika engkau khuatir, mengapa tidak engkau pergi membantu mereka? Lihat, Arjuna tidak mempunyai lawan untuk berlatih seni bela diri.”

Kata-kata Putera Zulkarnain membuatkan kepala Alang serta-merta berpaling mencari rakan sebayanya itu. Anggota pasukan yang lain sudah berpasangan dengan yang sama bentuk fizikal, lawan Arjuna pula halimunan.

Walau bagaimanapun, formasi untuk berlatih tempur itu pecah apabila Lanang menuding sesuatu ke arah barat. Anggota pasukan yang lain juga tertinjau-tinjau, berkumpul di pinggir cerun bukit. Mereka bercakap-cakap antara satu sama lain sebelum Nasir berlari ke arah Putera Zulkarnain dan Alang.

“Tengku, ada utusan membawa isyarat kecemasan. Dia sedang dalam perjalanan ke kota!”

“Kecemasan?” Putera Zulkarnain bingkas berdiri. Panjang langkah mereka bertiga bergegas menyertai yang lain. Para Satria itu segera memberikan laluan agar Putera Zulkarnain dapat melihat dengan lebih jelas.

Dari kejauhan, mereka melihat seorang penunggang kuda sedang memecut laju menuju ke gerbang timur kota. Bendera merah yang berkibar di belakang penunggang itu, menandakan isyarat kecemasan yang dibawa.

Alang muncul di sisi Putera Zulkarnain menyerahkan teropong. Dari kanta teropong itu, Putera Zulkarnain dapat melihat dengan lebih jelas penunggang kuda itu.

“Jika dari arah barat… adakah sesuatu telah berlaku di sempadan?” gumam Guntur perlahan, tapi cukup untuk didengar Putera Zulkarnain.

“Utusan itu bukan anggota Satria Darat. Menilai dari susuk tubuhnya, dia masih muda remaja.” Putera Zulkarnain menurunkan teropongnya.

Namun, fakta itu sendiri menimbulkan resah hatinya. Utusan kecemasan sepenting itu tidak sepatutnya dibawa oleh seorang remaja. Bendera merah yang dikibarkan menandakan bahaya besar.

Jika darurat telah berlaku, seharusnya istana akan segera tahu. Sebelum sampai ke api, tentu bahangnya dulu terasa.

“Tengku! Utusan itu hampir jatuh!” Arjuna menjerit. Penunggang kuda itu kelhatan longlai, teroleng-oleng seperti hilang kesedaran.

“Selamatkan dia cepat!” Putera Zulkarnain menjerkah arahan, Athari, Lanang, Jallal dan Guntur tangkas menaiki kuda. Mereka berlumba menuruni bukit, mengelakkan pohon-pohon dengan cekap. Sekejap sahaja, mereka sudah muncul di tanah rata di bawah sana. Tinggal sepelaung sebelum mereka bertembung dengan kuda utusan itu.

Guntur terlebih dahulu turun dari kudanya, diikuti Lanang.

Utusan itu terlambung-lambung di punggung kudanya, hampir terjatuh.

Dalam detik cemas itu, Guntur telah berlari lalu menangkap tubuh utusan itu. Mereka berdua tergolek di atas tanah. Athari dan Lanang bergegas mendapatkan mereka berdua manakala Jallal pula mengejar kuda yang masih berlari tanpa penunggangnya.

Melihat Guntur masih dapat bangun, Putera Zulkarnain menghembuskan nafas lega. Baru sedar dia lupa bernafas tadi. Rasa ketat di dadanya masih belum longgar. Dia memusing bola kaki untuk mendapatkan kuda putihnya.

“Nasir, Bakti! Kita turun sekarang. Arjuna, temankan Alang mengemas bawaannya. Segera turun bukit ini sebaik sahaja selesai.”

“Baik, tengku.”

Tidak lama, Putera Zulkarnain, Nasir dan Bakti sudah menuruni bukit itu. Mereka bergegas mendapatkan kumpulan Athari, Lanang dan Nasir. Utusan itu tidak bergerak, terbaring di pangkuan Guntur.

“Tengku...” Suara Lanang bergetar tetapi tidak diendahkan oleh Putera Zulkarnain.

“Beri beta lihat.” Putera Zulkarnain terus melutut di sebelah Guntur. Baru kali ini baru dia dapat melihat dengan lebih jelas wajah utusan itu. Remaja lelaki berumur belasan tahun. Wajahnya tampak memerah dan pakaiannya lembab. Nafasnya perlahan dan berat. Putera Zulkarnain menyentuh urat nadi.

“Badannya panas,” Putera Zulkarnain mencabut keris di pinggangnya lalu memotong tali yang mengikat batang bendera pada tubuh utusan remaja itu. “Pasti dia telah meredah hujan sepanjang perjalanan untuk sampai ke mari. Periksa jika dia ada kecederaan lain.”

Guntur membantu meleraikan baki ikatan, sementara Lanang dan Athari membelek-belek lengan dan kaki. Selain birat dan luka garit halus kesan terkena ranting tumbuhan, remaja utusan itu tidak mempunyai sebarang kecederaan yang serius. Bajunya yang lembab ditanggalkan. Bakti dan Nasir menawarkan pakaian mereka sendiri untuk jadi pengelap tubuh remaja itu.

“Adakah dia sedarkan diri sebelum beta datang?” Putera Zulkarnain menyinsing lengan bajunya. Guntur menggeleng. Putera itu menyuak rambut remaja itu ke belakang lalu telapak tangannya di dahi remaja itu. Pijar rasa tangannya seperti menyentuh bara.

“Ada pesanan kecemasan dengannya?”

“Tiada, kami sudah periksa tubuhnya, Tengku. Mungkin ada bersama kudanya,” jawab Guntur.

“Jallal sedang mengejar kuda yang terlepas itu.” Athari pula menambah.

“Belum tentu kuda itu dapat ditangkap. Jadi, lebih cepat jika kita tanya terus dengan tuan badan.” Putera Zulkarnain melekapkan tangannya pada dahi remaja itu. Tidak semena-mena, telapak tangannya bercahaya terang. Cahaya itu seperti menyerap masuk ke tubuh utusan itu.

Sebaik sahaja cahaya itu hilang, remaja itu tersedar, tercungap-cungap seperti ikan di darat. Spontan tangannya mencekau kolar baju Lanang.

“Kampung Bhumija… Hijau… tanah runtuh…” Hanya itu yang dikatakannya sebelum pitam semula.

“Fajar? Fajar bangun! Apa maksudmu tanah runtuh?” Lanang menggoncang bahu remaja itu. Tiada reaksi. “Fajar!”

“Lanang, bawa bertenang!” Putera Zulkarnain merentap lengan Lanang. Guntur segera menarik tubuh remaja bernama Fajar itu dari Lanang ke dalam pelukannya.

“Oh, badannya sudah tidak panas?” Guntur terkejut. Athari terus menekap tangan ke dahi Fajar dan memeriksa hembusan nafas. Wajahnya nampak terkejut dan kagum.

“Beta sudah redakan demamnya. Dia tidak apa-apa. Hanya perlu berehat dan kembalikan tenaganya.” Putera Zulkarnain memandang Lanang yang sedang terkesima. “Perkara paling penting sekarang… Lanang, kau tahu siapa dia?”

“Dia… dia orang kampung patik, Tengku.”

Sebelum sampai ke api, tentu bahangnya dulu terasa
[Maksud: Bahaya besar yang akan berlaku biasanya didahului dengan tanda-tanda atau fenomenanya]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro