Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 25: Bagai Sigai Dua Segeragai

“Dengan segala hormatnya, patik menolak.”

“Guntur!” Bentak dari Lanang itu hampir spontan. Namun, setelah menyedari ketelanjurannya, dia mengangkat sembah meminta maaf kepada Putera Zulkarnain.

Lama Putera Zulkarnain diam. Diamati wajah tujuh Satria di hadapannya, satu per satu, dari kanan ke kiri. Athari, Lanang, Nasir, Guntur, Bakti, Jallal dan Arjuna. Walaupun ini baru kali kedua mereka bersua, Putera Zulkarnain sudah hafal nama-nama mereka.

Mereka kini segak menyarung seragam Satria Istana, berbaju kurung hitam berkolar cekak musang, lengkap dengan kain samping dan destar kuning pinang. Walau bagaimanapun, tanpa sebarang lencana pasukan atau pangkat pada perisai ringan pelindung dada, penampilan mereka kelihatan agak canggung. Tidak lengkap.

“Berikan beta sebab-sebab yang kukuh,” perintah Putera Zulkarnain sambil berpeluk tubuh. Matanya mencerlung tajam pada Guntur.

“Pertama, Tengku… kami berada di sini sebagai pengawal. Dalam buku peraturan sebagai Satria Istana, ada dinyatakan dalam bab ketiga, perkara sebelas: ‘Satria Istana mesti sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan sekeliling, terutamanya ketika mengawal anggota keluarga diraja.’ Keselamatan Tengku harus menjadi keutamaan kami,” terang Guntur.

Athari dan Lanang serentak saling melirik. Guntur hafal sampai begitu sekali? Rasanya, pemuda itu lebih banyak bergurau berbanding menekuni buku yang diberikan pihak istana. Bila masanya dia menelaah?

“Ampunkan patik, Tengku. Tetapi, patik juga bersetuju dengan Satria Guntur,” Jallal mencelah. “Pasukan ini sudah sedia kecil, untuk dikecilkan lagi bagi melaksanakan tugasan yang Tengku berikan. Patik khuatir kami terleka sehingga gagal melaksanakan tugas kami sebaiknya.”

Guntur girang mendengar sokongan yang tidak disangka-sangka itu. Dia menambah, “Lagipula, tugas yang Tengku tuntut daripada kami ini pula setaraf penggawa kerajaan. Jawatan yang sepenuhnya berasingan dengan jawatan kami sebagai….”

“Beta akan berikan upah,” potong Putera Zulkarnain.

Putera itu pantas menguis-nguis biji-biji sempoa. “Upahnya akan sama dengan upah yang diterima oleh seorang penggawa. Untuk permulaan, upahnya 100 syiling perak. Jumlahnya akan meningkat sesuai kebolehan kalian. Paling tinggi, beta boleh berikan sehingga 500 syiling perak. Selain upah asas yang kalian terima dari perbendaharaan negara, beta berikan juga 200 syiling perak tambahan setiap bulan.”

“Patik bersetuju!” Nasir dan Bakti menyahut hampir serentak. Jallal, Lanang dan Arjuna pula tercengang. Biar benar Putera Zulkarnain akan membayar mereka sebanyak itu?

Sekampit beras dapat mereka beli dengan 20 syiling timah, bersamaan dengan dua keping syiling tembaga. 100 syiling tembaga sama nilainya dengan satu syiling perak. Otak mereka ligat mengira upah yang bakal mereka terima. 100 syiling perak dari perbendaharaan istana, dan 300 syiling perak dari Putera Zulkarnain, bersamaan dengan empat syiling emas sebulan.

Kenyang sekampung kalau dijamu!

Putera Zulkarnain mengalih pandang pada Arjuna. Remaja itu jadi tidak tentu arah apabila putera itu merenung tepat ke matanya, seperti menantikan jawapan.

“Patik… patik mungkin tidak cukup makan garam untuk jadi penggawa, Tengku.” Halus suara Arjuna, hampir tidak kedengaran.

“Pandai membaca dan mengira?”

Arjuna mengangguk laju.

“Maka, itulah yang engkau akan lakukan,” kata Putera Zulkarnain. Dia menghalakan penanya pada Alang yang setia berdiri di sebelahnya. “Ini Alang, awang kesayangan beta. Cerdik orangnya dan sudah biasa membantu beta dalam pekerjaan seumpama ini. Dia muda dua tahun darimu, tetapi belajarlah dengannya.”

Terkejut Alang. Tidak pernah-pernah Putera Zulkarnain memujinya di depan orang lain. Namun, apabila sedar yang para Satria memandangnya dari atas ke bawah, Alang serta-merta tersengih. Sedarlah dia, Putera Zulkarnain memujinya untuk menyindir para Satria. Kalau dia yang muda remaja boleh, masakan mereka tidak?

Sudah dipuji, maka haruslah Alang buat-buat bangga diri. Dia membetulkan tegaknya, mengangkat dagunya lebih tinggi dan tersenyum lebih lebar. Putera Zulkarnain menyembunyikan senyumannya di sebalik telapak tangan yang menongkat dagu. Alang memang cerdik.

“Patik menurut perintah, Tengku.” Arjuna mengangkat sembah, mengalah. Dua remaja itu saling berpandangan antara satu lain sebelum sama-sama menunduk, mengirimkan salam perkenalan dalam diam.

“Lalu, bagaimana dengan dirimu, Tuan Muda? Beta tidak akan memilih kasih dan melayanmu berbeza hanya engkau anak keluarga bangsawan,” kata Putera Zulkarnain lagi.

“Anak bangsawan?” gumam Nasir. Dia menyendeng ke arah Lanang di sebelahnya. “Siapa?”

Lanang yang ditanyakan hanya menggeleng. Dia sendiri tidak pasti. Rasanya, tiada bangsawan dalam kalangan mereka. Jadi, siapa yang Putera Zulkarnain maksudkan?

“Patik menerima dengan senang hati, Tengku.” Athari tiba-tiba menjawab.

Mendadak, pelbagai suara terkejut melompat keluar dari mulut para Satria. Ada kepala yang sentak menoleh, rahang yang jatuh melopong dan mata yang bulat terbeliak. Athari tahu dia sedang menjadi tumpuan rakan-rakan sepasukannya, tetapi dia tidak berani menoleh kepada mereka.

“Engkau seorang bangsawan, Athari? Tapi…” Soalan Lanang tergantung.

Putera Zulkarnain sedar ada tidak kena dengan reaksi para Satria. “Kalian sudah tunggang terbalik berlatih bersama, masakan kalian masih tidak tahu siapa anggota sepasukan kalian?”

“Athari… maksud patik, Tuan Muda tidak pernah memberitahu kami, Tengku!” adu Bakti. Kemudian, dia terbungkam, baru tersedar sesuatu. Jadi, selama ini mereka memaki-hamun satria-satria bangsawan lain, Athari ada di situ dan mendengar semuanya! Bakti menjadi pucat lesi. 

“Nama patik masih Athari, saudara-saudara sekalian. Dipanggil pun ‘Athari’ sahaja. Nama belakang sekadar nama keluarga.” Athari ketawa kekok. Namun, tawanya mati apabila tidak disambut oleh anggota pasukannya yang lain.

“Athari Gandarya, putera ketiga dari salah sebuah keluarga bangsawan besar Inderagana,” lafaz Putera Zulkarnain dalam senafas. “Ketika anak-anak bangsawan lain sudah angkat kaki, kenapa masih kekal di dalam pasukan ini?”

“Batu yang selalu bergolek tidak akan mengumpulkan lumut, Tengku.” jawab Athari tenang. “Jika patik boleh berterus-terang, patik sebenarnya hanya ingin ada sebab untuk tinggal di kota ini. Ada tunang yang menunggu patik di sini.”

“Walaupun itu bermaksud nantinya engkau umpama dari anjung turun ke sampan?” soal Putera Zulkarnain, menguji.

“Asalkan ada hitam putih, patik bersedia.  Patik pegang janji Tengku untuk jadikan kami benih, yang kalau dilempar ke laut, boleh menjadi pulau. Kata dahulu bertepati, kata kemudian kata bercari.”

Putera Zulkarnain tersenyum, berpuas hati.

Sejujurnya, sebelum ini dia ragu untuk menerima Athari kerana status kebangsawanannya. Mana-mana bangsawan yang berada di sisinya, harus dipilih dengan saksama. Bagai sigai dua segeragai, setiap tindakan dan keputusan Putera Zulkarnain akan ada kesan dan akibat, terutamanya dalam percaturan siasah yang licik.

Gandarya adalah antara keluarga bangsawan besar kerana sejarahnya yang panjang, menjangkau sehingga sebermula penubuhan Inderagana. Walaupun masyhur dengan jaringan perdagangannya, sudah beberapa generasi keluarga itu memilih untuk berkecuali dalam kemelut siasah Inderagana.

Sempurna.

“Kalau begitu, gantikan Srikandi Dang Anum, jadi pembantu kanan beta. Beta percaya engkau ada pengalaman dan kebolehan, jadi jangan kecewakan beta.”

Bersinar wajah Athari. Dia mengangkat sembah dan berkata, “Patik menjunjung kasih. Tidak akan patik sia-siakan peluang yang tengku limpahkan buat patik.”

“Namun, jika Guntur tidak setuju, maka beta terpaksa batalkan tawaran beta.”

Riak wajah Guntur serta-merta berubah, sedar Putera Zulkarnain sudah melancarkan helah. Renungan anggota pasukannya kini tertikam padanya, mendesaknya untuk bersetuju. Guntur berkeringat. Mana adil enam lawan satu begini!

“Tidak, tidak… patik masih tidak setuju!” Guntur cuba bertegas. Bakti dan Nasir sudah mencengkam lengannya di kiri dan kanan. Wajah keduanya sudah seram, seperti harimau yang mahu menerkam. Kalau Guntur menolak, mereka bakal kehilangan peluang mendapat lebih banyak syiling perak!

“Tengku, patik jadi Satria Istana, supaya tidak terperuk membuat kerja menulis lagi!” rengek Guntur separuh menjerit.

Putera Zulkarnain tertawa kecil. Luahan perasaan Guntur sebenarnya begitu senada dengan raungan jiwanya. Kalau ikutkan, dia juga tidak rela terperuk dalam timbunan kertas dan dokumen seperti ini.

Tapi, kerana dia ‘putera’ Inderagana, ini tanggungjawabnya buat pertiwi. Maka, harus digagahkan juga, walau hanya sementara.

“Ah, apalah boleh dibuat kalau begitu? Beta juga tidak boleh memaksa.” Putera Zulkarnain mengangkat bahu. Serta-merta, bertindan-tindan bantahan dan desakan dari para Satria pada Guntur. Mereka berdebat sesama mereka. Putera Zulkarnain sudah berkongsi senyum nakal dengan Alang, terhibur menyaksikan babak itu.

“Masakan adinda sudah mahu mengalah?” Suara gemersik seorang gadis tiba-tiba mencelah. Para Satria serta-merta terdiam. Mereka segera menoleh ke belakang.

Alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati Puteri Zulaikha melangkah dari belakang daun pintu. Di belakang puteri itu, Dang Anum menutup pintu yang menjadi tempat persembunyian puteri itu sejak tadi. Srikandi itu menggeleng perlahan sambil mengurut pelipis dahi.

Ada dehem dari Putera Zulkarnain, barulah para Satria itu tergopoh-gapah mengangkat sembah. Puteri Zulaikha hanya melenggang melepasi mereka bertujuh menuju Putera Zulkarnain. Manja-manja puteri itu melingkarkan lengan di leher saudaranya. Putera Zulkarnain sekadar membiarkan.

“Degil-degil Satria adinda ini. Sudahlah degil, nakal pula.” Puteri Zulaikha menjeling Guntur, membuatkan pemuda itu segera memaling wajah ke arah lain. “Mahu ayunda bantu?”

“Bantu?” Putera Zulkarnain menjongket kening. Bantuan yang bagaimana ditawarkan oleh Puteri Zulaikha?

“Satria Guntur.” Panggilan tegas Puteri Zulaikha membuatkan Guntur tersentak. Lambat-lambat dia menyahut. Puteri Zulaikha menyambung. “Bacakan beta petikan dalam buku panduan Satria Istana, iaitu bab kelima, fasal kedua, terkait kesalahan tatatertib.”

Guntur menelan air liur. Dengan suara yang mendatar ke hujung, dia melafazkan hafalannya, “Bab kelima, fasal kedua. Sebarang tindakan yang disengajakan untuk mencelakai anggota Satria Istana lain, jika didapati bersalah, boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Satria Istana…”

“Tepat sekali!” seru Puteri Zulaikha, ceria. Puteri itu mengitari meja lalu berdiri di hadapan Guntur. Seperti keresahan, Guntur tunduk menekur lantai untuk mengelak tatapan Puteri Zulaikha. Bakti yang berada di sebelah Guntur, ikut mengecil sama.

Puteri Zulaikha menoleh pada Putera Zulkarnain. “Pagi ini berek utama Satria Istana huru-hara, adinda. Beberapa orang Satria menjadi mangsa jerangkap samar. Bila diperiksa, ada pelbagai jenis perangkap ada di merata tempat di sekitar bangunan itu.”

Silih berganti Putera Zulkarnain memandang antara Puteri Zulaikha dan Guntur. Pemuda itu yang tadinya begitu lantang menyuarakan pendapat, kini diam seribu bahasa.

“Apakah adinda tidak salah dengar, ayunda? Jerangkap samar di berek Satria Istana?” Putera Zulkarnain pura-pura terkejut, cuba memancing. “Dang Anum, mengapa hal mustahak begini tidak engkau khabarkan kepada beta?”

Dang Anum mendesah perlahan. “Usah khuatir, Tengku Putera. Satria Kanan Jamdar sudah melaksanakan penyiasatan dan tiada yang tercedera dalam kejadian ini. Jerangkap samar tersebut semuanya… seperti ulah anak-anak nakal.”

Meletus tawa Puteri Zulaikha. “Jangan pandang rendah, Dang Anum! Bagaimanapun juga, semua jerangkap samar itu cerdik buatannya! Mengena belaka! Engkau melihat keadaan Satria Setia Daik dan anak-anak buahnya?”

“Tengku Puteri, tidak manis begitu…” Dang Anum menegur. Namun, ketegasannya runtuh jua dek tawa Puteri Zulaikha masih beralun lepas. Dang Anum mengigit bibir agar dia tidak terjangkit tawa puteri itu.

Pemandangan Saria Daik dan anak-anak buahnya terpekik terlolong seperti kera kerana terjerat jerangkap samar tiba-tiba menerpa ingatan. Makin payah untuk Dang Anum membentung tawanya.

Sehabis baik srikandi itu cuba mengawal ekspresi wajah sebelum berkata, “Walau bagaimanapun juga, hal Ini menyangkut keselamatan keluarga diraja. Kita tidak boleh pandang remeh, Tengku Puteri. Pesalahnya harus ditangkap segera.”

"Betul. Buatan jerangkap samar itu mengagumkan. Pelakunya pasti telah membuat persediaan dan pengamatan yang teliti untuk memasang semua jerangkap samar itu tanpa terkesan,” kata Puteri Zulaikha. “Mungkin, kita harus bertanya pada Satria Guntur bagaimana dia melakukannya.”

Kenyataan Puteri Zulaikha menyentak para Satria. Terutamanya Athari, Lanang dan Bakti. Mereka tinggal sebilik dengan Guntur! Bagaimana dia menjadi tertuduh dalam hal ini?

Namun, hendak membela Guntur, mereka juga tidak ada bukti.

“Satria Guntur. Engkau selalu berlatih sendiri sekitar pukul tiga sehingga empat pagi, hampir setiap hari. Tetapi, malam semalam, srikandi beta melihat engkau berada di atas pokok berhampiran berek utama. Apa yang engkau lakukan di situ sebenarnya? " soal Puteri Zulaikha. Nada puteri itu rendah dan perlahan. Lenyap segala kesan ceria sebentar tadi.

“Guntur, adakah yang diperkatakan Tengku Puteri benar?” Lanang memberanikan diri untuk bertanya. Saban hari, memang Guntur yang paling awal bangun untuk lari pagi. Orangnya memang tidak betah duduk diam. Lanang mengharapkan Guntur menafi, namun pemuda itu diam seribu bahasa.

Jangan-jangan, memang betul Guntur pelakunya?

“Jawab soalan beta, Satria.” Setapak Puteri Zulaikha melangkah mendekati Guntur, setapak Guntur melangkah ke belakang. Tangan pemuda itu perlahan-lahan merayap naik ke bahu, bersilang di dada.

"Tengku Puteri..." Suara Guntur bergetar. "Tidak manis mengendap anak teruna orang. Kalau sukakan patik, biar terus terang!"

Spontan itu juga, anggota pasukannya menerkam Guntur. Berebut mereka mencekup mulut, meluku kepala dan menangkap anggota badannya.

Pemuda ini! Lain ditanya, lain dijawab!

Guntur masih sempat ketawa sebelum dia ditawan sepenuhnya.  Sesudah dia diam, para Satria takut-takut menoleh semula pada dua bersaudara diraja itu.

Kedua-duanya tampak tergamam. Wajah Puteri Zulaikha yang semula jadi cerah kuning langsat, berubah rona ke merah padma. Sedetik berlalu, berderaian tawa Putera Zulkarnain. Alang dan Dang Anum pula memalingkan muka. Bahu mereka bergegar hebat.

"Adinda."

Putera Zulkarnain terus terdiam. "Ya, ayunda?"

"Pinjam buku."

Sekelip mata, buku berkulit keras paling tebal berpindah dari atas meja ke tangan Puteri Zulaikha. Terbeliak Guntur. Dia meronta mahu membuka langkah, tapi anggota pasukannya masih menahannya di tempat. Puteri Zulaikha mengangkat buku itu tinggi.
\
"Tengku Puteri, ampun! Ampun! Patik hanya bergurau!" Guntur tidak dapat menepis. Berkali-kali juga buku tebal itu menghentam lengan, bahu dan belakangnya, tapi tidak pernah kena kepala. Jeritan Guntur bertukar jadi gelak, bila sedar pukulan Puteri Zulaikha tidak sekuat mana. Sekadar melepaskan geram, namun tidak berniat untuk mencedera.

Putera Zulkarnain segera bangun lalu menarik saudarinya itu, risau keadaan akan berubah lebih buruk. Namun, dia terpinga-pinga apabila buku tebal itu ditolak ke dadanya. Puteri Zulaikha tarik nafas panjang sambil mengatur anak rambutnya. Dia menampal semula senyuman anggun.

"Tidak pernah beta temui pemuda dengan keyakinan seperti engkau, Satria Guntur."

"Makin patik yakin, kerana puteri nan jelita yang memuji."

Sekali lagi, mulut Guntur dicekup. Berdebik bunyi badan Guntur ditepuk-tampar anggota pasukannya. Tidak boleh dibiarkan pemuda ini bercakap! Dia yang putus urat malu, mungkin mereka yang bakal putus urat saraf!

Puteri Zulaikha menggeleng perlahan. Dia memberi isyarat agar Guntur dilepaskan. Para Satria itu akur. Namun, mereka masih bersedia untuk menerkam Guntur sekali lagi andai pemuda itu masih bermulut celupar.

“Hentikan gurauanmu. Jawab soalan beta sejujurnya,” perintah Puteri Zulaikha tegas.  “Hanya beta dan para Srikandi yang mengetahui perbuatanmu buat masa ini. Beta memberimu peluang untuk menjelaskan diri. Jika tidak, engkau akan beta serahkan kepada pengadilan Majlis Satria Istana. Di hadapan mereka, nasibmu tiada jaminan lagi.”

Guntur melirik rakan sepasukannya. Wajah masing-masing keruh. Guntur turun berlutut lalu mengangkat sembah dengan tertib. Agak lama dia begitu, seperti diam untuk menyusun kata.

“Ya, patik mengaku, Tengku Puteri. Memang patik yang memasang jerangkap samar itu. Meski begitu, patik tidak menyesal atas perbuatan patik. Tengku Puteri dan para Srikandi telah memerhatikan gerak-geri kami selama ini. Maka, sudah semestinya Tengku Puteri tahu niat patik melebihi sesiapa,” kata Guntur, tenang.

Sekilas, dia menoleh pada Arjuna sebelum menyambung, “Niat patik sekadar melampiaskan marah atas keadilan yang tidak berbela. Tak dapat tanduk, telinga dipulas pun cukuplah. Tidak lebih, tidak kurang.”

Berat tarikan nafas Puteri Zulaikha. Melalui srikandinya, memang dia tahu apa yang terjadi kepada mereka bertujuh. Hakikatnya mereka itu mangsa keadaan. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. 

Dari ekor mata, dia mengerling Putera Zulkarnain. Saudaranya itu sedang mendengarkan bisikan Alang. Apabila Putera Zulkarnain meminta kepastian, bersungguh-sungguh Alang mengangguk dengan wajah sugul. Entah apa yang dilaporkan Alang, namun itu menyebabkan Putera Zulkarnain melarikan pandangan dari Puteri Zulaikha.

Semoga itu tanda Putera Zulkarnain sedar dia telah melakukan kesalahan.

Puteri Zulaikha menyambung, “Namun, sedarkah engkau yang tindakanmu ini salah? Jangan kerana seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya.”

“Patik bersedia menerima hukumannya, Tengku Puteri. Namun, patik akan mengheret sama Satria Setia Daik dan sekalian anak-anak buahnya. Bagaimana patik dapat memasang jerangkap samar itu, kalau bukan kerana kelalaian mereka? Cakap berdegar-degar, tahi sangkut di gelegar. Baru patik yang bertingkah usil. Bagaimana jika musuh yang berakal jahat?”

“Jangan lancang, satria!” Dang Anum separuh menjerkah. Namun, Puteri Zulaikha mengangkat tangan. Mahu tidak mahu, Dang Anum mendiamkan diri dengan hati yang mendongkol.

“Adakah dengan begini, engkau sudah puas hati?” Kali ini, Puteri Zulaikha bertanya dengan nada lembut.

Guntur mengangguk sambil tersengih.

Puteri Zulaikha sudah mendengar apa yang dia perlu dengar. Sejujurnya, dia sendiri terhibur dengan kejadian yang telah berlaku. Sekali-sekala, Satria Istana harus ditampar agar tidak leka. Kali ini sahaja Puteri Zulaikha akan tutup mata atas kesalahan yang dilakukan Guntur.

Sekarang, bagaimana caranya dia memberi pelajaran pada pemuda lancang di hadapannya ini? Pemuda yang tiada segan-silunya mengusiknya di hadapan semua orang. Tidak pula gentar menjolok sarang tebuan berupa Majlis Satria Istana.

Ligat Puteri Zulaikha berfikir, menggali semula maklumat yang diketahuinya tentang Guntur.

Puteri Zulaikha akhirnya tersenyum manis, “Mungkin benar beta sudah jatuh hati denganmu, Satria. Kalau begitu... patutkah beta menyeru bapa angkatmu ke istana?”

“Jangan!” Guntur mencekup mulutnya. Nada suaranya lebih tinggi dari yang dijangka, sampai dia sendiri terkejut.

Senyuman Puteri Zulaikha makin merekah. Manis.

Makan garam
[Maksud: Mempunyai banyak pengalaman hidup]

Batu yang selalu bergolek tidak akan mengumpulkan lumut
[Maksud: Orang yang suka berpindah-randah pekerjaan itu tidak mungkin mencapai kemajuan dalam hidupnya]

Dari anjung turun ke sampan
Maksud: diturunkan pangkat

Hitam putih
[Maksud: Pengesahan atau bukti secara bertulis]

Kata dahulu bertepati, kata kemudian kata bercari
[Maksud: Janji mesti ditepati, hanya boleh diubah apabila sudah dirundingkan]

Bagai sigai dua segeragai
[Maksud: Perkara yang ada sangkut pautnya dengan perkara yang lain]

Tak tanduk, telinga dipulas
[Maksud: Sanggup melakukan segalanya demi membalas dendam]

Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah
[Maksud: Jika pemimpin (kuasa besar) bersengketa, rakyat (orang-orang bawahan) juga yang susah.]

Seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya
[Maksud: Seorang yang bersalah, semuanya dipersalahkan]

Cakap berdegar-degar, tahi sangkut di gelegar.
[Maksud: Cakap sahaja yang besar tetapi tidak ada apa yang dikerjakan]

Menjolok sarang tebuan
[Melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro