Bab 1
PROLOG
Aliza membelek-belek sebatang besi kecil berkaki dua kepunyaan Nenek Melur. Cantik. Ada ukiran bunga di hujungnya. Dia selalu melihat Nenek Melur memakai benda ni pada sanggulnya. Kata Nenek Melur, benda ni boleh buat muka nenek nampak cantik dan berseri-seri. Sebab itu semua orang suka Nenek Melur. Aliza pun naklah macam tu. Cantik dan semua orang sayang!
"Ija suka ke benda tu?"
Aliza pandang Nenek Melur. Kepala diangguk laju.
"Suka sangat!"
"Kalau suka, nanti nenek akan beri pada Ija. Tapi Ija kena janji dengan nenek."
"Janji apa, nenek?"
"Kena jaga benda tu elok-elok dan jangan bagi orang lain."
"Ooo..." Muncung mulut comel Aliza yang berumur tujuh tahun tu. Tapi sekejap kemudian dahinya berkerut.
"Kenapa tak boleh kasi orang, nenek? Bukankah kita tak boleh kedekut?"
"Sebab itu barang nenek. Nenek hadiahkan istimewa untuk Ija seorang saja."
Aliza anguk-angguk. Setuju sajalah, walaupun dia masih tak faham.
BAB 1
EMAK Aliza mengeluh kecewa. Abang dia yang dua orang itu juga mengeluh. Mereka berpandangan antara satu sama lain, lepas tu menggeleng-geleng kepala. Dah tak tahu nak ucap apa dah. Kakak ipar Aliza pun diam tidak berkata. Tak berani menyampuk. Jika suami mereka berdiam diri, takkanlah dia orang hendak terlebih aksi, kan? Kakak Aliza yang seorang itu hanya mampu menjeling adiknya. Geram sangat.
"Orangnya baik Ija, kerja pun baik-baik. Bukan senang nak dapat suami yang kerja kerajaan ni. Kita ni orang kampung ceruk ni, manalah orang nak pandang sangat. Ni dah cukup bertuah ada orang elok-elok sudi masuk meminang," ujar Mak Nah, emak Aliza dengan bahasa yang lembut.
Dengan Aliza, Mak Nah tak berani cakap lepas-lepas. Anaknya yang seorang ni cepat baran jika diungkit bab nikah kahwin. Walaupun Aliza ni anak dia yang paling prihatin terhadapnya, tetapi dia faham sangat akan kelemahan Aliza.
"Isy!" dengus Aliza. Tidak suka. Dia menjeling emak dan adik-beradiknya dengan jelingan maha tajam.
"Orang kata tak nak... Tak nak la. Tak payah pujuk-pujuk!" ujar Aliza kasar. Dia menghempas belakang tubuhnya ke jenang pintu. Bersandar di situ.
Semua ahli keluarganya hanya memerhati. Penyakit tak semenggah Aliza dah datang la tu, bisik hati masing-masing.
Adik mereka yang sebenar, sopan dan baik orangnya. Bukan kasar macam ni. Jika mood tak berapa baiknya datang, dia akan bertukar perwatakan. Mereka semua sudah tahu. Kalau boleh mereka cuba elakkan pasal perkara yang boleh mendatangkan kemarahan Aliza. Sebab bila Aliza marah-marah, berhari-hari dia akan jadi murung dan berkurung di dalam bilik. Itu belum masuk bab menjerit-jerit tak sedar diri lagi tu.
Namun hari ini tak dapat dielakkan. Tiba-tiba saudara jauh mereka terjah rumah, membawa hajat untuk pinang Aliza untuk saudara jauh juga. Semua kenal pemuda ni. Orangnya baik dan bertanggungjawab. Sesuai sangat untuk menjaga Aliza. Kalau calonnya gitu-gitu saja, dia orang semua tak terkilan untuk menolak. Yang ni lain, agak istimewa sebab pakej lengkap serba-serbi.
"Nak pilih macam mana lagi, Ija? Dah banyak sangat dah Ija tolak. Ramai yang suka dengan Ija, nak jadikan isteri... Ija saja yang suka tolak tuah. Kat kampung ni ramai anak dara tua belum kahwin. Rezeki dia orang tak macam Ija. Dia orang tak ada orang pinang, yang Ija pula saja nak tolak rezeki."
Nampak gaya Mak Nah tak berputus asa, cuba untuk menasihati satu-satu anak daranya yang masih belum berkahwin. Bimbang sangat Mak Nah dengan sikap Aliza yang tak suka dengan perkahwinan. Umur dah dua puluh lima, molek benar untuk dijadikan isteri orang. Masalahnya, Aliza ni pantang disebut pasal kahwin, mulalah melenting tak tentu pasal. Turun perangai siapa entah. Kakak dan abang-abangnya taklah macam tu, lagi dia orang menggedik adalah dulu. Sengih sampai ke telinga bila disuruh kahwin.
"Tak mahulah! Orang nak jaga mak! Kalau orang kahwin siapa yang nak jaga emak? Abang dengan kak semuanya sibuk dengan anak bini dia orang!" Alasan Aliza. Setiap kali dipinang orang itu jugalah alasannya.
"Kalau Ija kahwin, pandai-pandailah abang uruskan mak. Abang kan anak lelaki, mesti la bertanggungjawab jaga mak. Ija jangan risaulah pasal mak, pandailah kami nanti. Yang penting, lepaskan diri Ija tu dulu. Sampai bila nak membujang? Tak laku nanti baru terhegeh-hegeh nak kahwin. Masa tu dah terlambat."
Kamal, si abang sulung mengambil giliran bercakap setelah sekian lama mengunci mulut.
"Eee... Orang tak mau... Orang tak mau la... Jangan la paksa-paksa! Kenapa tak faham-faham?!" balas Aliza, keras. Tangannya menarik-narik rambut sendiri. Kelihatan kusut benar wajahnya.
"Bukan paksa, Ija jangan salah faham. Abang ni wali Ija, abang nak selesaikan amanah ayah pada abang. Dah jumpa orang yang boleh jaga Ija ni, abang rasa elok benarlah abang serahkan Ija pada orang yang ikhlas nak jaga Ija..." pujuk Kamal lagi dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu menambah kepanasan Aliza. Namun sebagai ketua keluarga, dia harus berusaha yang terbaik untuk masa hadapan adiknya.
"Orang boleh jaga diri sendirilah! Tak kahwin pun orang boleh hidup, aih! Nak buat apa susah payah berlaki?!" bantah Aliza, pantas bangun dengan gaya kasar menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah. Dia masuk ke bilik, tempat persembunyian kesukaannya.
Mengeluh sekali lagi ahli keluarganya di ruang tamu di tingkat bawah. Sedikit kecewa dengan sikap Aliza. Namun mereka semua sudah maklum akan reaksi Aliza seperti ini. Bukan sekali dua Aliza membantah. Sudah banyak kali. Peliknya orang tetap datang dan datang merisik Aliza.
"Mak dengan abang tak rasa ke yang Ija tu macam ada sesuatu yang tak kena?"
"Maksud kak yang?" Kamal soal adik perempuannya balik. Bukan tak boleh agak, dia sendiri pun tahu sikit-sikit, tetapi mahukan penjelasan yang lebih terang dari orang lain.
"Yalah, adik kita tu bukannya jenis cakap kasar-kasar. Ija kan lemah lembut orangnya. Tapi bila kita sebut pasal kahwin ke, pasal pakwe ke, dia terus membengis. Macam bukan diri dia yang sebenar. Macam ada benda lain yang dok jawab bagi pihak dia."
"Hantu, jin?" Najib, abang kedua Aliza menyampuk.
"Isy kamu ni, Najib... Tak berlapik nyebut benda-benda tak semenggah tu," marah Mak Nah. Minta simpang malaikat empat puluh empat. Tak mahu dia Aliza didampingi hantu atau makhluk yang seangkatan.
"Tapi, mak... Kamal pun rasa macam tu juga. Ija tu kan selalu sakit. Entah-entah benda tu memang dok ada dalam tubuh dia..."
"Emak tak percayalah. Ija tu lemah semangat aje. Tu sebab benda-benda tu suka menyinggah. Mak tak percayalah ada benda bertapa dalam badan dia. Memang dia tak suka kita sebut pasal kahwin-kahwin ni, sebab dulu kan dia suka sangat-sangat pada Fatih Aman tu. Lepas tu bila Fatih dah jadi pelakon terkenal, dia dah tak nak la kat adik kamu lagi. Tu yang Ija kecewa kut, sampai dah malas fikir pasal kahwin."
"Ya ka, mak? Fatih Aman pelakon yang selalu jadi hero drama adaptasi novel tu? Yang la ni tengah meletup dengan drama siaran Seterok, Suri Hati Pemandu Helikopter tu, kan?"
Teruja sangat gaya kak yang bertanya. Kemain luas mulutnya menyeringai. Matanya juga membulat. Terkejut dan kurang percaya pun ada. Dia memang peminat tegar Fatih Aman tu. Jadi ahli fan club lagi. Handsome siot woi Si Fatih tu. Tapi logik ke pernah couple dengan adik dia yang ala-ala kampung dan rupa comot tu?
"Betul ka, mak?" Kak yang tanya lagi. Sumpah dia tak percaya. Merepek sungguh la mak dia orang ni. Dengar sangat apa kata Aliza.
"Haaa la... Masa belajar dulu dia orang kawan!"
"Isy... Tak percayalah!"
"Tak percaya sudah! Mak bukan paksa kau orang semua percaya pun. Sebab tu malas mak kecoh-kecoh!"
"Pasal apa kak yang tak tahu?" Kalau betul la apa yang diberitahu emak, kak yang rasa dia rugi besar sebab tak tahu. Jika tak, boleh la canang pada kawan-kawan ahli fan club. Kalau ada gambar lagi bagus. Fatih Aman pernah couple dengan adik dia tu. Berita panas!
"Dah... Takkan semua benda mak nak cerita ke kamu? Lagipun benda dah tak jadi. Tapi mak rasa sebab inilah agaknya adik kau orang tak mahu kahwin. Dia patah hati dengan pelakon tu. Dah popular, kekasih dilupakan."
Tergelak adik-beradik Aliza. Antara nak percaya dengan tak percaya. Bila masa la adik mereka pergi berdating dengan Fatih Aman tu? Setahu mereka, Aliza tu suka mengurung diri di dalam bilik. Mana dia bebas sangat keluar.
Waktu buat diploma dulu, dia suka saja duduk kat asrama. Kena histeria pun, dia masih suka kat bilik asrama dia. Lawak la emak dia orang ni punya alasan. Lagipun, tak logik sungguh yang Fatih Aman tu sukakan Aliza yang selekeh tu. Fatih Aman yang segak tu hanya padan dengan pelakon yang cantik macam Pajira tu aje. Tidak pun pelakon dan pengacara meletup Si Naifa tu. Apa kelas dengan Aliza? Kalau kak yang, boleh lagilah diterima. Kak yang lagi segak dan pandai bergaya.
"Tapi kan, mak... Sesekali cuba mak naik ke tingkat atas tu. Kamal pernah juga dengar Ija ni macam ada cakap dengan orang. Tapi tak ada siapa pun dalam bilik dia. Kalau cakap sorang-sorang tu, apa tandanya, mak?"
"Haah... Betul tu, Najib pun perasan!" celah Najib.
"Hah... Kau orang ni, ada-ada sajalah. Ija tu memang suka berlakon. Cita-cita dia memang nak berlakon drama macam Fatih Aman tu tapi nasib dia kurang baik sikit sebab nak kena jaga mak kat kampung ni. Jadi, biarlah dia nak berlakon sorang-sorang kat bilik dia. Bukan kacau orang lain pun. Lagipun mak mana la larat nak panjat tangga naik atas. Biar sajalah Ija berlakon, biar dia terhibur sikit. Sekurang-kurangnya bila berlakon, dia boleh marah Fatih Aman yang kecewakan dia tu. Dia boleh lepas perasaan. Kau orang tahu apa, asyik sibuk memanjang. Mak yang hidup sama dia ni yang faham keadaan dia..."
Panjang bebelan Mak Nah pada anak-anaknya. Sungguh, abang-abang dan kakak Aliza hanya sesekali datang jenguk mereka berdua di sini. Susah payah kehidupan dia hari-hari, hanya Aliza yang paling mengambil berat. Bila dia orang kata pasal Aliza yang bukan-bukan, Mak Nah terasa hati juga. Kasihan anak bongsunya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro