Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

                    BUKA sahaja pintu kereta, Eva terus melangkah keluar dari situ. Kedatangannya disambut seperti anak raja. Masing-masing menunduk saat berselisihan dengannya. Manakala di kiri dan kanan, ada dua pengawal yang bakal mengiringi dia sehingga masuk ke dalam bangunan korporat itu.

"Hoi, Eva!" Jerit suara garau itu.

Terus mematikan langkah Eva yang baru sahaja tiba di hadapan pintu kaca automatik itu. Namun, dia tidak menoleh. Dengar suara sahaja, dia tahu siapa yang menjerit tadi. Senyuman sinis elok terbentuk dibibir. Kaca mata hitam diturunkan ke bawah sebelum dia memusing tubuh ke belakang.

Benarlah sangkaannya, yang kini berdiri di hadapan matanya adalah seorang lelaki yang sedang menghadapi masalah rumahtangga sekarang, Aidil.  Mukanya nampak kusut. Pakaian pun tidak kemas. Heh, padanlah dengan perangai sendiri!

"Disebabkan kau, isteri aku sekarang sedang desak aku untuk ceraikan dia! Aku tak kira, aku nak kau betulkan balik apa yang berlaku malam tadi!" Bentak Aidil.

Sekonyong-konyong bibir Eva tersenyum sinis.

"Betulkan balik? Kau ada duit ke untuk tutup mulut aku?"

"Hei, kau jangan nak berlagaklah perempuan!" Mahu sahaja Aidil menyerang wanita berlagak kaya itu, malangnya dia terlebih dahulu dihalang oleh pengawal yang bertugas disitu. Kedua-dua belah tangannya dicengkam kasar. Adakala dia cuba memberontak untuk melawan, bahkan tidak berjaya.

"Ish, lepaslah! Ini urusan aku dengan perempuan tu, korang tak ada kena mengena!" Jerkahnya. Digerak-gerakkan tubuh cuba untuk memboloskan diri tetapi tetap tidak menjadi.

Eva ketawa penuh sinis. Selangkah demi selangkah dia mara ke hadapan penuh gaya sambil tangan memeluk tubuh. Wajah Aidil yang sedang merenungnya serupa singa kelaparan itu hanya dibalas dengan senyuman. Dia. Langsung. Tak. Gentar.

"Lelaki macam kau ni kan..." Sebelah tangan Eva naik menyentuh wajah lelaki itu. Kemudian dicengkam kasar sebelum memaksa muka lelaki itu melihat wajahnya.

"Sebenarnya tak kuat mana pun..." Ejek Eva.

Aidil menjuih bibir. "Tak kuat? Kau suruhlah mereka lepaskan aku kalau kau nak tengok aku kuat ke tidak!" Cabarnya. Itupun kalau Eva berani menyahut.

Malah, Eva sekadar berdecik kecil.

"Lelaki. Memang tak pernah asing lagi dengan berlagak kuatnya. Kau fikir... disebabkan kau jantan,  perempuan macam aku patut tunduk ke? Ada sesiapa yang perempuan dekat sini nak tunduk pada dia? Ada?" Soal Eva, siap memusing memandang sekeliling bertanya kepada pekerja-pekerja wanita yang ada disitu untuk memberi jawapan. Langsung mereka menggeleng.

Siapa lelaki itu untuk mereka tunduk bagaikan hamba abdi?

Eva tersenyum sinis.

"Tak ada." Dia kembali memandang Aidil dengan muka puas. Tatkala lelaki itu masih lagi mengetap bibir, merenungnya dengan begitu tajam.

Perempuan itu benar-benar dah melampau!

"Kau mungkin kuat dekat sini..." Jari telunjuk Eva mencucuk ke dada lelaki itu. Sebelum perlahan-lahan tangan naik menunjuk ke arah kepala pula.

"Tapi kau tak kuat dekat sini. Sebab itu aku boleh pijak kau macam tak ada maruah. Bodoh!" Ditunjal kepala lelaki itu dengan kasar sehingga terteleng kepalanya ke tepi. Puas hati!

Kalau nak ikutkan nafsu dendamnya, mahu sahaja dia memukul lelaki ini sepuas-puasnya. Namun, dia sedar. Dia adalah seorang wanita. Mana mungkin mampu melawan seperti itu. Tentu masyarakat yang memandang nanti akan berfikir lain.

Malas hendak pandang muka lelaki itu lagi, lantas Eva pun kembali menyarung kaca mata hitamnya sebelum melangkah ingin masuk ke bangunan korporat semula.

Selangkah.

Dua langkah.

Tiga langkah.

Dia berhenti lagi.

"Ops! Aku terlupa satu lagi." Eva memusing ke belakang.

"Kau bukan sahaja akan kehilangan isteri, tapi kerja sekali. Macam mana kau buat arwah kawan aku hilang kerja, macam itu juga aku akan balas. Pandai-pandailah kau practice jadi pengemis lepas ni." Sinis Eva, kemudian kembali menyambung langkah yang tergendala tadi masuk ke dalam bangunan korporat itu. Tak dihiraukan lagi suara garau yang sedang terjerit-jerit memanggil namanya. Orang seperti itu, layak dilayan seperti sampah.

"Hoi, datang sini baliklah! Aku memang takkan lepaskan kau! Kau tahulah apa nasib kau nanti perempuan tak guna!" Maki Aidil bertubi-tubi. Tubuhnya bergerak-gerak, cuba untuk memboloskan diri. Malang sekali cekupan pada kedua belah tangannya oleh dua orang pengawal itu sangat kuat.
'Naib kau baik sebab ada pengawal sahaja, kalau tidak sudah lama muka perempuan itu hancur aku kerjakan!' Sinisnya di dalam hati. Gigi terketap-ketap menahan geram. Anak mata masih tajam menikam susuk tubuh belakang yang berlalu pergi begitulah sahaja.

"Tolong campak dia jauh daripada sini. Kalau dia tak nak beredar, panggil sahaja polis." Arah Eva kepada pembantu peribadinya yang berjalan di sebelah, Seroja namanya. Dia langsung mengangguk kepala tanda menerima arahan.

"Baik, Cik Eva." Dia akur. Kemudian, terus berlari anak menuju ke arah sekuriti diluar untuk menyampaikan arahan.

Terbuka sahaja pintu lift. Eva terus melangkah masuk ke dalam. Senyuman sinis terbit dibibir saat melihat lelaki itu ditolak kasar menjauhi bangunan korporatnya sebelum pintu tertutup.







         

                            
                       SAMPAI sahaja ditingkat 60, pintu lift automatik terbuka. Dia terus melangkah keluar, membelok ke arah kanan menuju ke arah sebuah bilik yang jelas bertanda nama Eva Inaya.

"Selamat pagi, Cik Eva." Sapa pekerja wanita yang bertembung dengannya.

"Selamat pagi."

"Ini dokumen pasal lelaki yang menginap di sini beberapa hari yang lepas." Katanya, sambil menghulur satu fail berwarna hitam. Eva terus mengambilnya. Diperiksa sekali lalu sebelum ditutup, kepala mengangguk tanda puas hati dengan kerja yang wanita itu lakukan.

"Good. Thanks, Mei." Ucap Eva, wanita itu sekadar mengangguk kepala sebelum beredar pergi. Hilang sahaja kelibatnya, Eva pun melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya.

Buka sahaja pintu, langkahnya terhenti. Kening berkerut tatkala melihat figura seorang lelaki tua yang membelakanginya. Sedang berdiri menghadap ke arah cermin besar yang menampakkan pemandangan di luar bangunan.

"Papa?" Eva menegur.

Orang tua itu pusing ke belakang. Sebelah keningnya sedikit terangkat. Oh, dah sampai rupanya anak perempuannya yang seorang ini.

"Ha, akhirnya... nampak juga batang hidung kamu."

"Apa papa buat dekat sini? Inikan tempat kerja Eva. Papa tak sepatutnya datang ke sini." Ujar Eva acuh tak acuh, dia meneruskan langkah menuju ke meja. Fail hitam yang dibawa tadi diletakkan ke situ. Wajah Tan Sri Khalid dipandang dengan muka tak puas hati.

"Haih, nak tengok anak sendiri pun tak boleh ke?"

"Bukan tak boleh. Tapi dekat rumah pun boleh jumpa kan?"

"Oh, tahu ada rumah? Tapi rasa-rasanya dah enam bulan juga kamu tak jenguk papa dengan mama dekat rumah tu. Kami ni makan ke? Minum ke? Mati ke? Langsung kamu tak ambil tahu." Kata Tan Sri Khalid penuh mengejek. Kemudian melangkah mendekati Eva.

Eva berpaling ke tepi. Satu hembusan nafas kasar dilepaskan. Bukannya dia tidak mahu pulang ke rumah itu, tapi kalau balik pun tiada soalan lain juga yang orang tuanya akan soal. Dia pun dah berbuih mulut nak jawab.

"Kalau nak cakap pasal hal bulan lepas rasanya ini bukan tempat yang sesuai."

"Sesuai ke tidak. Papa datang sini sebab nak dengar jawapan dari kamu sendiri." Kata Tan Sri Khalid, berhenti betul-betul di hadapan Eva.

Bahkan wanita muda itu langsung tidak berpaling melihat wajahnya. Dia tahu, Eva masih menyimpan perasaan marah kerana perbuatan dia dan Puan Sri Sarah enam bulan yang lepas. Selepas sahaja kejadian itu berlaku, terus Eva menjauhkan diri. Mereka sedar, mereka harus berbincang terlebih dahulu. Tapi malangnya, semua itu telah terjadi dan tidak boleh diputarkan kembali.

Tatkala Eva mengeluh berat. Kelopak mata terpejam buat beberapa saat.

"Apa yang papa nak tahu sangat? Eva dah kata, Eva tak nak sesiapa pun yang atur hidup Eva. Eva boleh hidup sendiri! Susah sangat ke nak faham?"

"Anak perempuan mana yang boleh hidup sendiri sampai ke tua huh? Cuba cakap dengan papa? Apa yang kami buat bulan lepas bukannya satu kesalahannya yang Eva nak hukum sampai macam ini sekali! Kalau Eva tak nak minta maaf dengan papa dan mama, tak apa. Kami faham. Tapi  yang buatkan papa datang ke sini adalah kamu langsung tak minta maaf pada lelaki tu! Pada keluarganya sekali! Kenapa malukan diaorang? Sampai pihak media pergi serbu rumah mereka tanya pasal benda yang bukan-bukan!"

"Bukan-bukan apanya? Lelaki tu memang ada ramai scandal dekat luar sana!" Balas Eva, laju. Nada suaranya kedengaran sedikit meninggi.

"Apa bukti Eva nak cakap macam itu?!"

"Bukti ek? Tunggu!" Eva terus menuju ke belalang meja. Laci ditarik. Dipunggah segala barang-barang yang tersimpan disitu mencari sesuatu. Jumpa sahaja beberapa keping gambar, Eva kembali berhadapan dengan Tan Sri Khalid. Dihentak semua gambar itu ke atas meja dengan kasar.

"Ini! Ini buktinya! Sebelum papa nak kahwinkan Eva dengan jantan ni, Eva terlebih dahulu siasat latar belakang dia.  Orang macam ini nak dijadikan suami huh? Keluar masuk kelab malam macam rumah sendiri? Balik kadang-kadang bawa sampai dua tiga perempuan. Keluarga dia pun tak tahu yang anak dia tu lelaki paling sial sekali dalam dunia ni!"  Hambur Eva begitu geram.

Terdiam Tan Sri Khalid buat seketika. Gambar-gambar yang ditangkap dari jarak jauh itu diperhatikan satu persatu. Memang jelas ada wajah lelaki itu disitu bersama wanita yang berlainan. Rapat sekali kedudukan mereka. Malah ada juga gambar yang sangat menjijikkan dimatanya. Tidak sanggup untuk melihat, dia kembali berpaling memandang Eva dengan muka kesal.

Patutlah Eva membantah sekeras-kerasnya untuk berkahwin.

"Dan untuk soalan papa, boleh ke perempuan hidup sampai ke tua seorang diri? Memang payah. Eva tak nafikan benda tu. Tapi kalau kahwin, dapat jantan macam ni jadi suami. Papa rasa lebih layak kahwin atau lebih layak hidup seorang diri?" Soal Eva begitu sinis.

Malah papanya membisu. Tidak punya jawapan.

"Ini bukan zaman 90 han, lelaki-lelaki masih suci. Ini zaman 2022! Baik yang pakai serban dan tak pakai, semua sama sahaja! Gunakan alasan mereka tu lelaki supaya mereka boleh buat apa-apa sahaja dalam dunia ni! Sampaikan dunia sekarang pun berpihak pada diaorang! Habis kami yang perempuan ni macam mana? Kena tanggung? Kena reda? Kena terima hakikat yang lelaki lebih berkuasa? Macam itu?"

"Eva... jaga sikit apa yang keluar dari mulut kamu tu. Itu semua bisikan syaitan yang nak rosakkan pemikiran kamu! Masih ada lagi lelaki yang baik dekat luar sana. Mama dengan papa cuma tak nak Eva bersendirian sahaja."

"Siapa kata Eva hidup seorang diri? Eva ada Aliya. Ada dia pun dah cukup."

"Tapi dia tak pernah rasa kasih sayang seorang bapakan?" Soal Tan Sri Khalid.

Eva terdiam.

"Eva ingat papa tak tahu apa yang jadi tengahari tadi? Cikgu tadika ada hubungi Eva pasal Aliya gaduh dengan budak lelaki sebab kena ejek tak ada bapak. Sampai bila Eva nak biar Aliya kena ejek macam itu?"

"Lebih baik dia tak ada bapak, daripada bapak yang dia bakal ada nanti yang merosakkan dia."

"Astaghfirullahalazim, Eva..." Mengucap Tan Sri Khalid mendengarnya. Sebelah tangan sudah meraut wajah. Apa nak jadi dengan anak perempuannya ini? Suka fikir yang bukan-bukan tentang lelaki.

"Eva. Berapa kali papa nak kena cakap? Tak semua lelaki dalam dunia ni jahat."

"Jadi buktikan pada Eva. Jangan main cakap sahaja! Eva lebih rela kahwin dengan orang yang cacat akal daripada kahwin dengan lelaki normal yang serupa tak ada otak."

"Baiklah. Kalau itu yang Eva nak. Tapi andai kata papa jumpa seseorang yang baik tetapi ada kekurangannya, nak tak nak Eva kena terima! Sebab itu yang Eva nakkan?"

"Fine! Itu pun kalau papa jumpa." Balas Eva, sinis.

Terangguk-angguk kepala Tan Sri Khalid menerima cabarannya. Baiklah. Dia takkan sesekali bermain dengan kata-katanya. Kalau itu yang Eva mahu, maka dia akan usahakan. Asalkan anak perempuannya tidak terus berfikir negatif tentang lelaki dan hidup bersendirian sampai bila-bila.

"Sudah. Itu aje kan yang papa nak cakap dengan Eva? Sekarang Eva nak buat kerja. Kena fokus. Boleh tolong keluar?" Ujar Eva, siap menunjuk ke arah pintu keluar yang tertutup. Dia tidak mahu serabutkan kepala lagi.

Tanpa berkata apa, Tan Sri Khalid terus berlalu keluar daripada bilik pejabat itu. Membiarkan Eva seorang diri. Pintu ditutup rapat.

Hilang sahaja kelibat orang tua itu, Eva terus menghembuskan nafas. Dia melabuh punggung pada kerusi empuk yang berada disitu. Bersandar sambil sebelah tangan memicit kepala yang mula berdenyut.

"Sebab lelaki sahaja hidup aku jadi macam ini..." keluh Eva. Dia merengus kecil.

Tubuh ditegakkan kembali. Anak mata melihat ke meja kerjanya yang sedikit bersepah dengan gambar-gambar yang dicampak tadi. 'Heh, menyemakkan betul muka lelaki itu!'

Terus Eva mengutip semua gambar-gambar itu lalu membuangnya ke dalam tong sampah ditepi meja.

Kemudian, fail hitam yang berada di hujung meja ditarik. Dia membuka helaian pertama. Jelas terpapar muka seorang lelaki dan biodata ringkas ditepinya.

"Zahrin Noah bin Hanif Mustafa..." nama itu dibaca.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro