Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4

SIAPA mamat galah yang dipanggil Handsome oleh si gatal itu? Persoalan itu benar-benar mengganggu ketenteraman Khayra hari ini. Jantungnya berdegup kencang lain macam sebaik saja matanya bertembung dengan lelaki tinggi tersebut. Mata lelaki di sebalik kaca mata hitam itu... bagai ada sesuatu di sebalik matanya.

"Kau dah kenapa Rara?" Khayra mengetuk kepalanya dengan pen.

Serius, dia sudah tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada kerjanya pada petang itu. Fail-fail klien yang baru sampai ke meja kerjanya dipandang sepi. Jiwanya kosong, hatinya resah. Lagi haru, lengannya kirinya sejak dari tadi berasa pedih padahal tidak ada luka walau sedikit pun. Sakit sangat seperti terkena api!

Dalam keadaan seperti itu, kotak memorinya melayang pada kejadian kebakaran rumahnya pada 15 tahun lepas. Kerana dia yang terlalu nakal ketika itu, habis sebuah rumahnya rentung tidak bersisa. Sesalnya menggunung, tetapi apakan daya semuanya telah terjadi.

Pada hari kejadian kebakaran, cikgu di sekolahnya ada mengajar peribahasa. Peribahasa itu berbunyi, marahkan nyamuk kelambu dibakar. Cikgu mata pelajaran Sains pula ada juga mengata bahawa nyamuk sukakan kegelapan. Wah, itu suatu info yang menarik bagi dirinya yang sukakan cabaran dan eksplorasi ilmu.

Namun, dek dangkalnya fikiran serta perasaan ingin tahunya membuak-buak, dia yang ketika itu berusia 12 tahun mengambil keputusan untuk melakukan eksperimen. Pada waktu malam ketika ibu dan ayahnya keluar ke rumah jiran sebelah yang selang sebuah rumah untuk menghadiri kenduri tahlil, dia mula melakukan eksperimennya.

Semua lampu dalam rumahnya ditutup dan pintu serta tingkap rumah dikunci kemas kecuali tingkap biliknya. Gelap gelita. Hanya sebatang lilin dinyalakan dan cahaya pun sebam sahaja. Tujuannya hanyalah satu iaitu mengenal pasti adakah betul nyamuk suka keadaan gelap.

Jika telahan cikgu sainsnya itu salah, dia akan bertapa di dalam kelambu sementara menunggu ibu dan ayahnya pulang. Takutlah pula mahu berjalan dalam gelap. Namun, seperti yang dijangka, tidak lama selepas itu bunyi nyamuk mula berdegung di telinganya. Melihatkan si nyamuk yang berlumba-lumba tidak tahu malu ingin menghisap darahnya, hatinya tersenyum.

Jiwanya teruja. Omongan daripada cikgu sainsnya memang benar iaitu nyamuk sukakan kegelapan. Lalu, tanpa berlengah lagi dengan lilin dipegang di tangannya, dia memasuki kelambu. Hayunan api lilin meliuk lintuk sesuai dengan gerak langkah si pemegang batangnya, namun amat malang nasib si pemegang apabila dia tersadung bantal golek.

Lilin yang dipegang terus tercampak ke hujung kelambu. Kelambu yang diperbuat daripada kain jenis nilon itu serta-merta disambar api. Pada mulanya, kecil saja apinya tetapi disebabkan kepanikan melanda, dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit meminta tolong.

Semakin lama, api semakin marak lalu turut menyambar kain langsir dan merebak pula sampai ke siling. Asap tebal memenuhi bilik dengan api menyala-nyala melahap ganas dinding rumahnya yang hanya diperbuat daripada papan. Meraung merintihlah dia memanggil ibu dan ayah namun malangnya tiada siapa menyahut. Dia keseorangan!

"Rara, Rara!" Satu suara kuat berserta goncangan pada bahu menyedarkannya daripada memori silam.

Matanya berasa basah. Entah bila masa dia menangis, dia tidak sedar. Apa yang dia tahu sekarang ialah sakit pada lengannya semakin mencengkam dan menggila. Menggigil dirinya menahan kesakitan yang seolah-olah menyiat-nyiat kulit lengannya iaitu tempat yang sama di mana api yang marak membakar menyambar lengannya lalu membakar rakus sehingga menyebabkan tahap kelecuran 50%.

"Kau okey tak ni?" panggil lagi si empunya suara dengan nada bimbang.

"Cin... Cindy... sakit..." Akhirnya, Khayra membuka mulut dengan tangisan semakin melebat. Tangannya memegang kejap lengannya.

"Jom, aku bawa ke hospital," ajak Cindy lalu memapah Khayra yang kelihatan lemah seperti kain buruk.

Khayra... seperti biasa dia membenci keadaan ini. Phantom pain benar-benar membuatkan dia menjadi seorang yang lemah!



"DARK, kau okey tak ni?" tanya Light prihatin.

Muka rakannya pucat seperti tidak berdarah dengan nafas juga dihela perlahan dan terputus-putus lagak orang semput. Mereka berdua sekarang sedang berehat di kerusi batu berhampiran garaj kereta. Setelah pulang dari pejabat Dato' Sani, di situlah tempat lepak mereka berdua sebelum masing-masing mengundur diri pulang ke kediaman sendiri.

"Aku okey," jawab Aariz sambil mengurut dada.

Sesekali, kedua-dua belah tangannya ditelangkupkan lalu dibawa ke hidung. Sedaya upaya teknik pernafasan segera yang diajar oleh doktor diaplikasikan dalam situasi ini.

"Kau macam tak okey, Dark!" tekan Light lagi.

Sejujurnya, dia risau dengan keadaan Aariz. Dia takut jika sesuatu yang buruk terjadi kepada rakannya itu. Rasa takut yang bukan main-main tahapnya, lebih-lebih lagi Aariz sihat walafiat saja pagi tadi.

"Aku okey, Light. Jangan risau," balas Aariz pula.

Sedaya upaya dia cuba berlagak biasa di depan Light, tetapi malang keadaannya sekarang tidak dapat menipu mata helang lelaki itu. Light dilihat sangat bimbang seperti seorang ibu bimbangkan anaknya.

Sudah lama dia tidak berasa kesakitan seperti ini. Dadanya sesak, nafasnya semput. Oksigen pula keluar masuk ke dalam paru-parunya seperti paksa rela saja. Dia positif dirinya menjadi begini kerana tindakan Dato' Sani yang memaksanya membersihkan stor lama di belakang rumah tadi.

Sejenis majikan tak guna, suka mengambil kesempatan! Aariz perlu akur kerana ketika itu, Light tidak bersamanya kerana ada tugasan lain di luar. Jadi, dialah kena bersihkan stor walaupun tahu dirinya bakal kesakitan dek habuk tebal di dalam bilik itu.

Uhuk! Uhuk!

Aariz terbatuk-batuk dalam helaan nafas yang semakin memberat.

"Allah..." rintih Aariz perlahan. Dadanya berasa seperti terbakar dek kekurangan oksigen. Semput dan sesak!

"Dark!" panggil Light, gusar.

"Aku bawa kau ke hospital," putus Light lalu tanpa menghiraukan tegahan Aariz, dia memapah tubuh rakannya itu lalu menyandarkannya di kerusi hadapan.

Aariz, jangan tunjuk kuat boleh tak? Dia sayang lelaki itu sebagai sahabat sejati yang selalu menolongnya ketika dalam keadaan terdesak. Kerana pertolongan Aariz, dia terselamat daripada insiden hitam di kilang pemprosesan gas ammonia pada lima tahun lepas.

'Aariz, kau kena kuat!' bisik hati Light.

Enjin kereta Toyota Camry milik Aariz dihidupkan lalu tanpa berfikir panjang lagi, pedal minyak ditekan sehabis rapat. Masa menghambat, jiwa tertambat. Apa yang pasti, Aariz mesti selamat!


EDITED: 2/12/2024

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro