Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 26

"RARA. Kau Rara kan?" laung seorang lelaki dari kejauhan. Berkejaran dia mengejar langkah laju Aariz dan Khayra.

Aariz pandang Khayra, Khayra pandang Aariz. Habislah, tembelang mereka berdua akan terbongkar jika Sadad berjaya mengecam Khayra. Macam mana ini? Terus Aariz memejam mata, mencari solusi.

"Papa, kenapa pipi papa panas?" Tiba-tiba kanak-kanak di atas dukungan Aariz menyoal polos. Mudah saja tangannya merayap ke pipi bersih Aariz.

'Panas? Aariz demamkah?' Hati Khayra dipagut risau. Tadi batuk, kini panas badan. Mahu tidak percaya, kanak-kanak tidak pandai menipu.

"Papa tak apa-apa, papa okey aje sayang. Jomlah kita keluar dari sini, kata nak pergi tengok air menari?" Cepat-cepat Aariz membalas.

"Okey papa." Si kanak-kanak ketawa riang.

"Cepat jalan Rara, Sadad ada di belakang saja tu," bisik Aariz kepada Khayra yang jelas kelihatan risau saja memandangnya.

'Rara, janganlah tengok aku dengan pandangan risau macam itu. Ya, aku mengaku yang aku tak berapa okey sekarang tapi wallahi aku berjanji akan menjaga kau semampu aku. Sekarang, kita perlu melepaskan diri dari mata Sadad terlebih dahulu,' bisik hati Aariz.

"Rara! Rara!" jerit Sadad lagi.

Langkah kaki Sadad semakin mendekat, mereka berdua pula tersekat. Aduh, masa ini jugalah orang ramai berpusu-pusu ke muka pintu. Oh ya lupa, waktu semakin menginjak ke tengah malam jadi pastilah pengunjung lain juga sudah mahu beredar dari situ.

'Apa nak jadi, jadilah.' Aariz menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan.

Allah... sesak betul dirasakan nafasnya ketika ini, namun apa pun yang berlaku dia tidak boleh mengalah dengan kesakitan ini. Sadad mesti dilencongkan!

"Rara, dukung budak ni." Aariz meletakkan si kanak-kanak tersebut ke lantai untuk diganti dukung oleh Khayra.

Yalah, mana boleh dia menyerahkan begitu sahaja kanak-kanak tersebut ke atas dukungan Khayra. Jika tersentuh macam mana? Tunggulah apabila sudah halal nanti, tidak mengapalah jika mahu bersentuhan. Tidak berdosa malah mendatangkan pahala.

"Rara! Kau Rara kan?" terjah Sadad di depan Aariz dan Khayra.

Tercungap-cungap nafasnya melepaskan lelah yang tersisa hasil daripada berlari tadi. Panggilan terjerit-jerit daripada teman wanita si lubuk emasnya kini tidak lagi diendahkan. Apa yang dia tahu, Khayra ada di depan matanya.

"Kau siapa, bro?" soal Aariz dengan muka sengaja dikerutkan lalu Khayra yang berada di sampingnya dibawa ke belakang.

"Perempuan sebelah kau tu, Rara kan?" soal Sadad kasar, tidak mempedulikan soalan Aariz.

"Kau siapa main terjah-terjah? Ini isteri akulah, Nura. Rara mana pula kau ni?" Aariz membengang.

"Tak, aku yakin dia Rara. Mari sini tunjukkan muka kau perempuan!" tempik Sadad semakin agresif.

Mata-mata pengunjung lain yang memandang tidak dihiraukan, teman wanita gediknya juga tidak dipedulikan. Apa yang dikisahkannya sekarang ialah kunci kepada hartanya daripada Tuan Butcher ada di depan matanya.

"Huargh... papa... mama... siapa pak cik hodoh ni? Adik takut. Isk... isk... huargh..." Si kanak-kanak yang berada di atas dukungan Khayra tiba-tiba meraung hebat dengan pelukannya kepada gadis itu semakin kejap.

"Tengok bro, apa yang kau dah buat pada anak aku hah?" marah Aariz.

"Aku tak kira. Aku nak Rara!" jerkah Sadad kuat.

"Mana ada Rara di sini!" Aariz cuba bersabar. Tangan Sadad yang cuba menyentuh Rara ditepis kasar.

"Itu Rara!" bentak Sadad kuat lalu tanpa berfikir panjang, dia menerpa ke arah Khayra.

"Dia isteri aku, bukan Rara kaulah!" Aariz terlebih dahulu pantas mengilas tangan Sadad ke belakang lalu membentes betis kiri lelaki tersebut.

Pup!

Sadad termelutut dengan tangan tersilang ke belakang. Rontaannya semakin kuat tetapi setiap kali dia meronta, setiap kali itulah Aariz akan menekan lagi pergelangan tangannya dengan lebih kuat.

"Rara! Rara!" tempik Sadad bagai lagak orang gila.

"Wifey, bawa anak kita keluar dari sini," arah Aariz dengan tegas kepada Rara.

"Baik hubby, hati-hati." Khayra terus mengikut sahaja arahan Aariz tanpa berfikir panjang.

Kumpulan orang ramai yang bersesak di pintu keluar dirempuh laju dengan kanak-kanak di dukungannya dipegang erat. Hati yang berdebar dipujuk tenang, fikiran yang berkelabut dikerah rasional. Apa yang penting, dirinya wajib dipastikan agar terlepas daripada Sadad.

Sadad merupakan balaci The Butcher, lelaki tua yang membencinya kerana satu sebab iaitu dia, si Princess Devil membongkarkan kepada seluruh umat manusia bahawa The Butcher sebenarnya ialah syaitan yang bertopengkan malaikat.



TELEFON pintar yang berada di dalam poket baju Khayra bergetar. Mengikut perkiraannya, kedudukan mereka berdua sudah agak jauh dari Snowalk. Khayra meletakkan kanak-kanak tersebut ke bawah lalu telefonnya yang masih bergetar di dalam poket diambil. Lantas, nama pemanggil dikerling sekilas sebelum panggilan tersebut diangkat.

"Wana?" soal Khayra dengan nafas tercungap-cungap.

Letih juga berjalan laju dengan mendukung kanak-kanak. Nanti kalau anak dia nanti macam manalah agaknya? Jauh betul dia berfikir.

"Ejen cilik kita ada dengan kau kan?" soal Wana dengan selamba.

"Hah?" Khayra memandang tepat kepada kanak-kanak yang turut memandangnya dengan penuh minat sambil tersengih-sengih.

Dalam berjalan laju ke kereta Cindy sambil mendukung si kanak-kanak kecil yang diam saja di atas dukungannya tadi, terlintas jugalah dalam fikirannya akan identiti kanak-kanak di hadapannya ini. Munculnya tiba-tiba saja. Siapakah budak ini? Siapakah ibu bapanya?

"Kenalkan Yaya, ejen termuda kita. Dia tak mengada-ngada kan? Hahaha thanks me later. Anak saudara aku tu," jelas Wana.

"Habis tu, budak ni datang dengan siapa?" tanya Khayra pelik.

"Akulah. Aku ada di Snowalk dengan budak tu tadi dan aku nampak apa yang berlaku. Kau kat mana sekarang? Aku ke tempat kau," soal Wana.

"Parkir," jawab Khayra pendek. Gilalah si Wana ini, ibu bapa Yaya tak marah ke?

"Okey, tunggu. Dua minit aku sampai," balas Wana seraya mematikan talian.

Setelah Wana menamatkan perbualan, Khayra kembali menumpukan fokusnya kepada Yaya. Cerdik ya amat ini budak, boleh tahan berdrama juga walaupun baru berumur lima tahun, mungkin.

"Siapa nama ibu dan ayah adik?" tanya Khayra seraya merendahkan dirinya separas dengan ketinggian Yaya.

"Mama dan papalah," jawab Yaya lalu mengucup mesra pipi Khayra.

Saat itu, satu perasaan halus serta-merta berdesup masuk ke jiwa Khayra. Sebelum ini, jujur dia mengatakan bahawa dirinya tidak terlalu sukakan kanak-kanak. Hatinya beku dengan budak-budak. Tetapi kala ini, tiba-tiba dia berasa mahu anak sendiri.

Kuk!

"Hoi, berangan." Aariz mengetuk perlahan topi sudu Khayra.

"Aariz!" seru Khayra. Ya, terkejut. Apa jadi kepada Sadad?

Tanpa mempedulikan riak tertanya-tanya Khayra, Aariz terus membuka pintu kereta Cindy setelah diberitahu oleh Light tempat rahsia anak kunci kereta disimpan. Nasib baik jugalah Light dan Cindy ini sejenis berkongsi segala rahsia. Bagus.

"Budak ni," ujar Khayra lagi.

Uhuk! Uhuk!

Aariz menekup mulut. Batuknya semakin menjadi-jadi. Habislah kalau dia tidak dapat bertahan. Tatkala ini, dia berharap sangat agar tidak terjadi apa-apa. Dia perlu membawa Rara pergi dari sini sebelum Dodo dan partner pembunuhnya sampai ke sini sekarang.

Teringat dia akan perbualannya dengan Light ketika berlari ke sini tadi. Situasi sekarang memang amat meruncing!


Imbas kembali...

"DARK, rahsia kita terbongkar. Si pembunuh perempuan tu berjaya tahu yang Cindy bukan Rara!" beritahu Light terburu-buru.

"Macam mana boleh terkantoi?" Aariz membengang.

"Cindy tak segarang Rara. Rupa-rupanya, mereka dah bergusti sesama sendiri sebelum ni jadi si pembunuh tu sudah kenal Rara macam mana orangnya," jelas Light lagi.

"Kau orang berdua okey?" tanya Aariz dengan suara mengendur. Ya, bimbang jugalah.

"Kami berdua okey. Kau dan Rara sepatutnya lebih berhati-hati, Dark!" balas Light.

"Jangan risau. Backup aku jika ada ada apa-apa berlaku nanti." Aariz mematikan talian.



BUNYI derapan langkah larian serta-merta menyepaikan ingatannya pada maklumat Light. Darah Aariz berderau. Dari kejauhan, dia dapat melihat figura seorang lelaki dan perempuan berlari laju ke arah mereka bertiga dengan tangan masing-masing mengacukan sepucuk pistol.

"Rara masuk cepat!" arah Aariz seraya mencempung Yaya ke dalam kereta lalu meletakkannya di kerusi belakang. Namun, belum sempat pintu kereta ditutup, satu desiran angin panas tiba-tiba menujah laju ke arahnya.

Bang!

"Allah..." Aariz tertolak ke belakang.


EDITED: 4/1/2025

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro