BAB 24
"HUH, tak guna. Disebabkan aku terpaksa ikut arahan Tuanlah aku tolong kau, Dodo!" Sadad mendengus kasar.
Dalam keserabutannya memikirkan jejak gadis yang menyerupai Rara telah menghilang di sebalik langkah orang ramai, fikirannya melayang kepada perbualannya dengan The Butcher. Demi sesuap duit, dia terpaksa melutut dan bersujud kepada lelaki tersebut.
"Ingat, harta bapak kau si Sani tu, aku punya. Kalau kau tak tolong aku, kau takkan dapat satu sen pun harta bapak kau. Faham?' Angkuh The Butcher berbicara tadi.
"Baik, Tuan. Aku akan ikut semua cakap tuan." Terpaksa, dia merelakan dirinya menjadi hamba The Butcher.
Sadad mendengus marah lagi. Dia yakin yang gadis bersama seorang lelaki di hadapannya tadi ialah Rara. Mana mungkin dia tersalah orang? Rara ialah cinta hati bertepuk sebelah tangannya sejak dahulu sehingga kini. Dari A sampai Z dia mengenali lenggok berjalan Khayra.
Sudahnya, dua kali dia menelefon Dodo untuk memberitahu bahawa Khayra ada di depan matanya. Namun, dua kali itulah Dodo tetap dengan pendiriannya bahawa orang yang diekorinyalah Khayra dan Dark. Eh, Dodo ini buta ke apa? Khayra ada depan dialah, tadi perempuan itu sedang berjalan menyelit di celah-celah orang ramai.
Huh!" Buat kali ketiga, Sadad mendengus kasar.
Rambutnya yang agak panjang dikuak ke belakang. Stres. Rara datang ke sini dengan siapa? Seorang diri saja atau dengan suami? Nampak seronok saja perempuan itu makan gula-gula kapas tadi. Tapi, dia tak nampak pun Dark ada dekat sini.
Perempuan cantik bertubuh seksi yang berada di sisinya kemudian dikerling tanpa bernafsu. Entah, geram pula dia melihat perempuan tidak cukup kain ini. Sudahlah manja, mengada-ngada pula. Sadad menjulingkan matanya ke atas.
Geram bertingkat-tingkat. Itu yang dirasakannya ketika ini apabila malang menimpanya bertali arus hari ini. Mula-mula, dia terpaksa ke tempat ini dek mahu diturutkan sahaja kemahuan teman wanita pakai buangnya ini. Kemudian, malangnya bertambah lagi apabila Dodo menelefonnya dan memberitahu bahawa target mereka berada di i-City bersama bodyguard bertopeng arwah daddynya.
Sebetulnya, pada mulanya dia berasa tersepit apabila mengetahui bahawa target The Butcher dan Dodo ialah Nur Amra Khayra, gadis pujaannya. Namun, apabila memikirkan imbuhan harta yang tujuh keturunan makan pun tidak habis jika dia berjaya membantu Dodo menculik gadis itu, serta-merta kesempitannya sirna.
"Laling, laling tengok siapa tu?" rengek gadis yang bagaikan lintah saja menempel di lengannya.
Lamunannya bersepai, geramnya kembali memuncak. Geli telinga dia mendengar suara gedik itu.
"Tengok manusialah sayang. Jomlah kita ke sana pula." Menyampah, tetapi Sadad terpaksa memaniskan muka dan melayan saja gadis genit di sebelahnya. Lubuk emas, ya...
"Okey..." Si gadis melentokkan kepalanya ke bahu Sadad.
"Huh!" Kali keempat, Sadad mengeluh kasar dengan nasib hidupnya.
Ibu bapanya mati dibunuh, dia pula terpaksa mengemis kasih lelaki yang dipanggil The Butcher demi sesuap harta peninggalan orang tuanya. Bodoh punya bapak, kenapa letak nama Mr. Mark Delez sebagai pewaris? Mat Saleh itu bukannya ada hubungan darah dengannya pun!
"RARA, pakai ni." Aariz menghulurkan baju sejuk dan kasut but serta sarung tangan kepada Khayra.
"Okey," balas Khayra dengan teruja.
Wah, seronoknya dapat bermain salji! Setelah siap memakai pakaiannya, Khayra terus berlari ke tengah salji lalu berpusing-pusing dengan lengan dirapatkan ke paha dan kedua-dua belah tangan dikuak. Seronok sangat!
Aariz menarik senyuman lebar melihatkan telatah "penguin" di hadapannya. Aduhai, Khayra. Tahulah suka penguin, tapi tak payahlah menjadi Pingu Pingu pula di sini. Malu apabila beberapa pasang mata memandang sambil terkekek-kekek melihat aksi comelnya.
"Rara," panggil Aariz.
"Ya!" sahut Khayra sambil tersengih lebar.
"Hati-hati bermain," pesan Aariz seraya melemparkan senyuman lebar buat Raranya.
"Baik," jerit Khayra seraya meneruskan aksi penguinnya dengan riang.
Comel. Sekali lagi, Aariz memuji Raranya dalam hati. Rara sangat comel apabila sporting saja mengajak beberapa orang kanak-kanak kecil turut bermain Pingu-pingu bersamanya. Penuh di dalam Snowalk tersebut dengan hilai tawa Rara dan kanak-kanak serta para pengunjung lain.
Dalam memerhatikan aksi riang Rara, matanya tetap peka dalam mengenal pasti wajah pengunjung. Manalah tahu Sadad berjaya mengecam Rara, kan haru pula. Anak lelaki arwah Dato' Sani itu miang orangnya, jika dia mengapa-apakan Rara macam mana?
Uhuk! Uhuk!
Aariz menekup mulut dan hidungnya. Sejuk! Harapnya, janganlah terjadi sesuatu ketika ini. Baju sejuk yang disewanya dikemaskan ke tubuh lalu dengan lagak bagaikan tiada apa-apa yang berlaku, dia membalas lambaian Rara yang melambai riang kepadanya.
Tit... tit...
"Ada apa Light?" Dua kali getaran, telefon pintar yang berada di dalam poket seluarnya diambil lalu panggilan daripada Light dijawab.
"Sadad geng Dodo, Dark!" beritahu Light dengan nada membengang.
"Apa?" Pantas Aariz berpaling ke sekeliling dengan perasaan berdebar-debar. Kenapa Sadad bersekongkol dengan pembunuh ibu bapanya sendiri?
"Aku dan Cindy berpecah sekejap tadi. Cindy terdengar perbualan Dodo dengan seseorang yang dipanggil Sadad." Berbelit-belit lidahnya memutar ayat. Geram betul Light dengan kaki perempuan bernama Sadad itu!
"Kalau begitu, kedudukan aku dan Rara tak selamat buat masa sekarang. Sadad mengekori kami tadi," beritahu Aariz dengan keluhan kecil terzahir pada mulutnya.
"Ahh!" tempik Light.
'Aduh Light, boleh tak jangan menjerit di telefon? Kau tu jantan, boleh pekak aku mendengar suara jeritan ala soprano kau tidak berapa nak sedap tu.' Aariz menjauhkan telefonnya dari telinga. Tuli sekejap telinga dirasakan.
"Kau kenapa, Light?" selar Aariz.
"Cindy jadi hantu depan aku," balas Light seraya ketawa terkekek-kekek.
"Aduhlah kau ni Light. Aku ingatkan si Dodo dan perempuan tu berjaya terjah kau. Okeylah aku out dulu, apa-apa hal beritahu aku." Aariz menamatkan perbualan lalu mematikan talian.
Light, Light. Menggeleng kepala jugalah dia mengenangkan ulah Light yang tenang saja menghadapi Dodo. Tapi baguslah. Ketenangan ialah kunci utama dalam mengelirukan musuh. Dia berharap semoga tembelang Light dan Cindy tidak pecah awal kerana sekarang ini dia kena menghadapi si Sadad.
"Laling, jomlah kita ke sana."
"Okey sayang."
Sayup-sayup di pendengaran Aariz suara rengekan seorang gadis dan juga suara mengiakan saja rengekannya tersebut daripada seorang lelaki. Namun, apa yang penting ialah suara lelaki tersebut kedengaran sangat familiar. Memang sah Sadad!
Dari kejauhan, dia dapat melihat Sadad bersama dengan seorang perempuan masuk ke dalam Snowalk. Mata Sadad meliar ke sana ke mari dan perempuan di sebelahnya pula semacam berlagak diva saja. Ingat cantik sangatlah tu!
Aariz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. Suhu udara di sini amat sejuk, ketat pula rasa dadanya. Dengan tiada perlindungan topeng muka, lebih cepat udara sejuk yang masuk melalui rongga pernafasannya mencengkam tubuh.
"Aariz!" panggil Khayra.
Khayra dilihat berjalan mendekatinya dengan senyuman keriangan terzahir di wajah. Apa-apa sajalah Khayra, asalkan bahagia malam ini. Bukan senang dia dapat melihat singa betina itu bertukar menjadi penguin.
"Dah puas main? Jomlah, kita kena pergi sekarang." Bertanya dalam memerintah, Aariz terpaksa memotong keriangan Khayra.
Wajah Raranya berubah mendung, tetapi Aariz tiada pilihan. Sadad sudah semakin mendekat!
EDITED: 23/12/2024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro